Friday, September 5, 2008

"Self Control" di bulan Ramadhan,






Salam Ramadhan,

Hari ini hari kelima kita berpuasa di bulan Ramadhan. Saya kira masih belum terlewat untuk mengucapkan Salam Ramadhan al Mubarak kepada semua pembaca blog yang dihormati. Semoga Ramadhan ini membawa sejuta keberkatan dan pengharapan kepada semua pengunjung.

Satu perkara tentang hikmah berpuasa di bulan Ramadhan ialah tentang "Self Control" atau mengawal diri. Mengawal diri secara fizikal dan juga mengawal nafsu adalah intipati di dalam puasa.

Malah Islam sangat tegas tentang perkara-perkara yang menyebabkan manusia tidak dapat mengawal diri mereka seperti apabila seseorang itu meminum arak. Maka arak diharamkan kerana ia memabukkan sekaligus seseorang itu hilang kawalan ke atas diri mereka sendiri.

"Self Control" ketika berpuasa ialah apabila kita mampu mengawal apa yang masuk ke dalam badan kita melalaui tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah. Kita cuma makan apabila waktu bersahur dan makan semula setelah berbuka. Di antara waktu tersebut kita mengawal diri daripada makan dan minum. Malah kita mengawal nafsu dengan mengelakkan hubungan kelamin pada waktu siang dan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Maka, lama kelamaan, setelah proses berpuasa itu berjalan selama beberapa minggu, kita akan dapati bahawa, nasi beriani, ayam percik, murtabak, ais krim soda dan lain-lain lagi tidak lagi menjadi aral buat kita. Malah, apabila seseorang bukan Islam makan di hadapan kita pun, walaupun sesedap mana, ia tidak boleh mengganggu gugat kekuatan puasa kita.

"Self Control" ketika berpuasa adalah satu mekanisme bagaimana Islam mendidik akal kita agar tidak ada satu pun benda di dunia ini yang boleh mengawal kehidupan kita hatta makanan dan minuman walaupun kita tahu makanan dan minuman itu adalah nadi kehidupan kita.

Apabila manusia yang terdidik dengan akal yang mampu mengawal diri sendiri tanpa dipengaruhi oleh sesuatu seperti ini, maka Islam sebenarnya mengajar kita tentang pengawalan diri secara total.

Maka, di bulan puasa inilah adalah waktu yang paling baik untuk kita mengawal perkara-perkara yang kita patut kawal. Merokok misalnya, ini adalah masa yang paling sesuai untuk menunjukkan bahawa akal kita mampu mengawal pengambilan rokok sebagaimana "self control" yang sama perlu kita buat untuk kita mengelak makan dan minum. Alasan bahawa kita tidak dapat berpisah daripada rokok cuma menunjukkan bahawa akal kita lemah. Sedangkan Islam pula mengajar kita tentang kekuatan mengawal diri dan akal.

Tidak ada apa yang mustahil di dalam hidup seorang Islam itu setelah mencapai amalannya yang optimum. Kepada mereka yang ingin menguruskan badan juga, ini adalah waktu terbaik untuk mengamalkan "self control" yang sebenar-benarnya. 80% penyakit berpunca daripada makanan yang dimakan secara berlebihan. Bulan puasa yang membawa seribu keberkatan adalah peluang untuk kita mengawal tatacara makan kita begitu caca merba.

Di dalam bulan puasa, di mana kita terdidik untuk mengelakkan pembaziran, sepatutnya ia berlaku di bulan Ramadhan. Selain daripada kita mengurangkan pengambilan makanan, kita berhentikan juga amalan merokok sebagai amalan. Inilah waktu untuk kita benar-benar mengamalkan "self control" yang sebenar-benarnya.

Wallahu A'lam.

Kepada

2 comments:

bozzobattousai said...

salam singgah,
harap2 aku ada sket self control masa ramadhan nih.... aku nih cepat marah sket... darah pun tinggi je...

Anonymous said...

setuju ngan kate2 doktor..

kebiasaannya pada awal bulan ramadhan, sangat la sukar mengawal hawa dan nafsu ketika berbelanja di bazar...

pertengahan dan pengakhiran pula, nafsu membuak2 ketika shopping nak raya...isk3

Related Posts with Thumbnails