Tuesday, October 12, 2010

Usaha bantu mangsa banjir


Dr. Ishak Masud (tiga, kanan) bersama Pengarang Berita Utusan Malaysia, Mohd. Ridzwan Md. Iman (lima, kanan), pada majlis pelancaran Tabung Dana Kemanusiaan Pakistan di Hospital Pakar Al Islam, Kuala Lumpur semalam.

**Gambar diambil selepas saya selamat tiba di Malaysia, Utusan Malaysia ingin membuat sidang media sebaik sahaja saya tiba.**

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kumpulan Utusan dan Malaysian Relief Agency (MRA) melancarkan Dana Kemanusiaan Pakistan untuk membantu rakyat negara itu yang terjejas teruk akibat bencana banjir.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin berkata, pelancaran dana ini pada bulan Ramadan diharap dapat menarik perhatian orang ramai untuk menderma dan bersedekah kepada mangsa-mangsa banjir di negara berkenaan.

Menurut beliau, tujuan dana tersebut sangat baik memandangkan banjir kali ini menyebabkan terlalu ramai mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan punca pendapatan.

"Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kita bersama untuk melihat kehidupan lebih baik kepada mangsa-mangsa tersebut selepas dilanda bencana yang agak teruk," katanya.

Beliau berkata, Kumpulan Utusan sebelum ini juga pernah mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa tsunami, gempa bumi dan sebagainya di seluruh dunia.

Banjir yang melanda hampir keseluruhan utara Pakistan itu merupakan yang paling teruk dalam tempoh 100 tahun dengan lebih daripada 1,600 orang terkorban, 30,000 rumah hanyut dan hampir 4 juta orang dipindahkan.

MRA ditubuhkan pada awal 2009 dengan dibarisi oleh jawatankuasa yang berpengalaman dalam bidang kemanusiaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden MRA, Dr. Ishak Masud berkata, keadaan banjir itu dijangka menjadi lebih teruk tambahan pula tidak beberapa lama lagi musim sejuk akan tiba.

"Masih banyak kawasan yang belum mendapat bantuan dan antara keperluan yang amat diperlukan ialah khemah, selimut, peralatan dapur umum, makanan, kit kebersihan dan ubat-ubatan," katanya pada majlis pelancaran ringkas dana itu di sini hari ini.

Tambah beliau, MRA telah menghantar misi kemanusiaan pertama yang dianggotai oleh dua sukarelawan selama seminggu pada 20 Ogos lalu dengan membawa dana bantuan kecemasan bernilai RM42,000

Katanya, bantuan berbentuk ubat-ubatan, kit kebersihan, susu, bijirin dan air bersih itu telah disampaikan secara terus kepada mangsa-mangsa banjir dengan bantuan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pakistan.

"Kami ingin merayu kepada semua lapisan masyarakat Malaysia untuk menghulurkan bantuan kepada MRA bagi memudahkan kami membantu mangsa-mangsa banjir di Pakistan ini," katanya.

Segala sumbangan boleh dimasukkan ke akaun Malaysian Relief Agency (MRA), no. akaun: 5640 9820 6365 (Maybank Berhad).

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai sumbangan untuk tabung ini boleh hubungi talian 03-26972007/ 012-2096577 atau layari laman web, www.mra.my.

No comments:

Related Posts with Thumbnails