Tuesday, September 4, 2007

Jom Minum Kopi Tongkat Ali!

Assalamualaikum...

Tengahari tadi saya ada terdengar satu temuramah di antara DJ radio IKIM dengan seorang pakar sakit Tuan berkenaan dengan ubat "supplement" yang banyak di pasaran. Saya tetarik untuk berkongsi dengan para pembaca.

Pertamanya, makanan seperti ubi jaga, tongkat ali, kacip fatimah dan pelbagai jenis herba-herba yang telah dikomersialkan adalah bertindak sebagai makanan tambahan di dalam konteks makanan kesihatan di Malaysia. Ia tidak dianggap ubat (walaupun ramai orang berpendapat sebegitu). Ia sama seperti vitamin dan mineral yang juga dianggap sebagai makanan tambahan atau supplements. Oleh hal yang demikian, jangan anggap makanan tambahan ini seperti ubat-ubatan. Ia membantu di dalam proses tubuh atau salah satu definisinya "adaptogen" - iaitu mengisi ruang-ruang yang diperlukan oleh badan.

Ada ramai pakar berpendapat bahawa makanan tambahan tidak perlu sekiranya pemakanan kita sudah cukup baik iaitu mempunyai komposisi karbohidrat, protein, lemak, fiber, sayur-sayuran, buah-buahan dan air. Walaupun begitu sekiranya, seseorang itu mempunyai masalah untuk memakan makanan yang seimbang maka pemakanan tambahan boleh dicadangkan.
Terdapat ramai pengusaha industri makanan herba atau supplements mahu menjadikan produk mereka menjadi buah mulut orang. Mereka mahu sesuatu kesan segera kepada pemakan supplement ini. Oleh hal yang demikian, ada pengusaha yang tidak bertanggungjawab meletakkan bahan ubat-ubatan kepada bahan herba semulajadi mereka. Oleh itu ada tongat ali yang dicampurkan dengan steroid atau sildenefil untuk menjadikan makanan tambahan ini sebagai "ubat kuat lelaki". Ini menukarkan resipi makanan tambahan tadi menjadi "ubat". Padahnya timbul apabila seseorang yang ingin mencari makanan kesihatan bertukar kepada makanan yang sangat tidak sihat yang boleh membawa maut.

Pengusaha herba secara komersial juga sering menjadikan proses pengiklanan mereka sesuatu yang kadangkala boleh menyebabkan salah faham. Ada sebuah syarikat menjual pil lelaki menggunakan seorang "pakar sakit tuan" sebagai duta syarikat dan seolah-seolah Pakar itulah yang menghasilkan ubat tersebut tetapi pada hakikatnya beliau sendiri menafikan. Walaupun lumrah di dalam dunia perniagaan makanan tambahan, namun mengaku bahawa sesetengah makanan tambahan boleh merawat kanser dan AIDS adalah sesuatu yang sangat merbahaya dan menipu orang ramai.

Untuk pengetahuan tuan dan puan, menjadikan sesuatu bahan itu dikriteriakan sebagai ubat yang boleh digunapakai oleh doktor melalui proses yang sangat-sangat rapi. Itu termasuk kajian terhadap haiwan dahulu, kemudian kajian beberapa peringkat terhadap manusia sebelum diedarkan. Segala jenis kesan sampingan, masalah-masalah yang timbul setelah memakan ubat juga harus diwartakan secara bertulis. Kadangkala proses kelulusan mengambil masa beberapa tahun dan menelan jutaan ringgit. Adakalanya, setelah habis berjuta, setelah dipasarkan, timbul pula masalah dan terpaksa ditarik balik daripada rak-rak ubat.

Baru-baru ini di dalam surat khabar, satu kajian telah menunjukkan bahawa segala minuman-minuman kopi yang dikatakan mempunyai campuran tongkat ali atau kacip fatimah sebenarnya tidak mengandungi bahan herba tersebut, dan kalau ada sangat sedikit! Ya.. sekadar habuk tongkat ali sahaja... Nampaknya kita telah ditipu oleh pengusaha komersial minuman kesihatan ini.. Mereka mengaut keuntungan daripada "branding" tongkat ali yang tertulis "Eurycoma Longifolia Jack"dan sebenarnya hanya menjual kepada anda setin kopi kosong dengan kaffein dan gula yang berharga RM2.00...
WallahuA'lam

No comments:

Post a Comment