Tuesday, November 13, 2007

Di sebalik Perhimpunan BERSIH - Sekadar Pandangan

Assalamualaikum Warahmatullah...

Baru-baru ini kita digegarkan dengar perhimpunan BERSIH. Betul-betul menggegarkan. Pendekata walaupun jalan banyak yang ditutup polis, bilangan yang menyertai perhimpunan ini masih lagi menggegarkan.
Bagaimana pandangan saya sebagai seorang rakyat Malaysia tentang suasana politik di Malaysia ketika ini? Pandangan daripada orang yang tak penting seperti saya.. natijahnya adalah komen yang tidak dipedulikan. Tiada impak. Ramai sangat yang membicarakan perihal politik di Malaysia. Tak semena-mena pakcik-pakcik yang duduk di kedai kopi pun mula cakap-cakap pasal politik mengalahkan wakil rakyat dan ahli parlimen. Ada yang bersungguh-sungguh sampai menepuk-nepuk meja dan ada yang terangkat misai menandakan betapa bersemangatnya mereka menegakkan parti dan ideologi masing-masing. Begitu hebatnya penangan politik di Malaysia.

Apapun, saya insan tersangat kerdil didalam senario politik Malaysia jadi biar saya berdiam diri sahaja tanpa mengulas apa-apa buat masa ini. Namun ada perkara yang ingin saya utarakan berkenaan dengan politik juga tetapi di pentas dan arena yang berbeza. Gatal pula tangan ini nak menulis sesuatu mengenai politik tetapi pada skala yang lebih kecil. Pilihanraya sudah mula terasa bahangnya.... teringat waktu zaman belajar dahulu.

Suatu waktu dahulu, saya pernah memegang jawatan sebagai Presiden Mahasiswa Perubatan selama 2 penggal ketika menuntut di Kulliyyah Perubatan UIAM, Pahang. Di dalam kesempatan itu, saya juga pernah dilantik sebagai wakil Mahasiswa Perubatan ke Persatuan Mahasiswa Kampus Induk UIAM selama beberapa penggal. Oleh itu, suasana politik kampus tidak beberapa janggal bagi saya dan saya lebih selesa untuk membicarakannya.

Walaupun senarionya sangat berbeza dengan suasana politik yang sebenarnya tapi ia adalah pembuka mata. Sahabat-sahabat dan senior di dalam organisasi ketika itu termasuk Sdr Samsul Iskandar (abang Sam) yang kini orang Ketua Pemuda Keadilan, Sdr Irmohizam (Org kuat Hishamuddin), Dr Asyraf Wajdi Hj Ahmad Dusuki , Sdr Fadzli Yusof, Sdr Harith dan ramai lagi. Politik kampus sudah diwarnai dengan pelbagai macam dugaan dan cabaran sebelum politik sebenar dicanang secara di atas pentas realiti.

Masih segar di dalam ingatan, untuk mencari undi, ada kumpulan-kumpulan tertentu yang mengedarkan surat layang untuk memburuk-burukkan calon lawan. Ya... ketika itu memang ada parti. Ada pro-pembangkang (ramai) dan ada pro-kerajaan (ketika itu belum lagi dipanggil pro-aspirasi).

Secara umumnya, kebanyakan mahasiswa perubatan tidak beberapa menggemari senario politik yang berlaku. Mereka lebih bersikap tidak ambil peduli dan tidak wujud politik berpartian sehingga beberapa lama. (tak pasti sekarang). Pilihanraya adalah sekadar untuk meletakkan calon untuk mewakili mereka. Itu sahaja. Tak perlulah membuang masa merentang poster atau berceramah sana-sini. Nuu minggu depan ada exam. Silap-silap ada yang fail kalau tak baca buku. Lagi bagus kalau pilihanraya calon menang tanpa bertanding. Tak payah buang masa pergi mengundi.... Itulah sebab kebanyakan doktor yang buat hal sendiri dan tak nak layan politik. Itu sebab ada doktor yang jadi menteri... cakap pun slow motion... dengar tak dengar. Takder yang cakap berdegang-degang cam ahli Parlimen Bung Raden atau Mat Sabu...

Berbeza dengan di kampus induk UIAM, terdapat "ceramah-ceramah politik" untuk calon-calon pilihanraya menyampaikan mesej-mesej dan aspirasi mereka kepada umum. Segala janji-janji pilihanraya dibentangkan dan diedarkan kepada semua. Tidak ada sekatan untuk berhimpun dan tidak perlu ada permit. Kepanasan pilihanraya dapat dirasai. Semua pelajar yang menyokong berusaha untuk membantu calon menang tanpa rasa penat dan mengharapkan apa-apa projek dan wang. Politik wang diganti dengan upah makan atau beberapa kotak rokok. Seperti biasa, pro-pembangkang menang undi dengan majoriti yang tinggi.

Yang pentingnya, di tempat saya.. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, suasana politik hangat seperti itu memang dirasai. Wujud di dalam diri mahasiswa akan kepentingan pergi mengundi calon masing-masing. Wujud ideologi tersendiri di dalam fikiran masing-masing walau apa pun ideologi tersebut tetapi ia tetap ada. Ketika itu tidak ada "tangan-tangan" pemerintah yang cuba menggagalkan usaha untuk menaikkan atau menjatuhkan calon-calon tertentu.

Agak menyedihkan sekarang, senario politik kampus di atas mungkin sudah tidak wujud lagi di Universiti di negara kita ketika ini. Pilihanraya kampus di kebanyakan Universiti sudah tidak lagi telus. Terlalu banyak percaturan oleh orang atasan sehinggakan ?pihak pemerintah pun sudah mula "gatal tangan" meraba sana dan sini. Pilihanraya kampus sudah menjadi hiasan akhbar dan mula dipolitikkan. Seantero dunia sudah tahu akan hakikat sebuah Universiti di Utara, Naib Canselornya sendiri yang memilih wakil mahasiswa. Pilihanraya sekadar cukup syarat. Di ibu negeri Selangor pun begitu juga. Mana-mana calon yang dirasakan mempunyai ideologi yang berbeza akan disekat.

Jadi lahirlah Mahasiswa lesu yang tidak berideologi ataupun ideologi ikut-ikutan. Tidak ada yang berfikiran kritikal. Yalah, belajar di Universiti pun sekadar mahu tamatkan pengajian. Dapatkan sijil, lepas tu bekerja dengan kerajaan. Berkomunikasi tidak beberapa mahir, keyakinan tiada, pengalaman untuk memimpin... kosong. Kita melahirkan mahasiswa melayu yang lemah. Nak bersaing dengan golongan bukan bumiputera pun tidak boleh? Tidak wujud sikap nak bersaing pun... Nak jadi Kiasu bak kata Prof Ungku Aziz? huh... lupakan lah...

Pada pendapat saya, ia adalah sesuatu yang positif sebenarnya sekiranya ahli politik turun bersama-sama mahasiswa berjuang untuk menegakkan parti masing-masing di pilihanraya kampus di dalam satu suasana yang terkawal. Saya rasa ia adalah satu gejala sihat kerana pilihanraya kampus sewajarnya mencerminkan pilihanraya sebenar. Namun begitu, tidak wajar ada pihak-pihak tertentu yang campurtangan secara langsung di dalam pemilihan calon tanpa membenarkan yang lain bertanding kerana berlainan ideologi? Ini sudah kes buli.

Inikah mesej yang cuba ditunjukkan oleh pihak pemerintah Universiti? Sudahlah pilihanraya Nasional yang sebenar dituduh tidak bersih... Di kampus pun sudah wujud elemen tidak bersih. Tak hairan ramai mahasiswa universiti bersama-sama memenuhi perhimpunan BERSIH tempohari. Di kotak pemikiran mereka, pilihanraya kampus pun sudah tidak lagi boleh dipercayai... Inikan pula pilihanraya yang sebenar...

Blog ini sekadar berkongsi isi saya sahaja sebagai bekas pemimpin universiti. Tidak bertujuan menyokong mana-mana parti politik. Melihat kepincangan politik kampus sekarang agak menyedihkan. Saya melihat Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Malaya dan beberapa buah universiti lain sahaja yang masih mengekalkan bentuk pilihanraya sezaman dengan saya. Yang lain nampaknya sudah karat dan lesu.
Kepada pemimpin di atas sana, inikah mahasiswa yang ingin lahirkan? Bersihkan pilihanraya kampus...

Wallahu A'lam...

3 comments:

  1. wah, macam tu sekali politik kampus di Malaysia. Tidak pernah pun merasa kehangatannya. Harap senario ini boleh berubah dalam masa yang terdekat. Jika tidak, MELAYU TAKKAN HILANG DI DUNIA, TETAPI HILANG ENTAH KE MANA.

    ReplyDelete
  2. Mungkin ini antara sebab hampir kesemua universiti di Malaysia merudum kedudukannya dimata dunia. Jgn harap sangat pemimpin di atas sana bersedia untuk membersihkan pilihanraya kampus, kerana memang agenda mereka yang menjadikannya lemah dan lesu (supaya pembangkang tidak mendapat tempat di universiti).
    Yang benar sudah terang tanpa bersuluh, yang jahil juga terserlah jelas terdedah.. Tepuk dada tanya hati. Buatlah perubahan semampu diri. Sesungguhnya Allah memberi pahala kepada setiap kebaikan tanpa terkecuali. Allah juga membalas kejahatan manusia dengan balasan yang pedih. Bantulah manusia yang dizalimi dan menzalimi. Yang dizalimi dibantu dengan mengeluarkannya dari kezaliman. Yang menzalimi dibantu dengan mengingatkan kerasnya balasan Allah diatas setiap kejahatan.....

    ReplyDelete
  3. Dengan cara mengganggu pilihanraya kampus... Bukan pembangkang sahaja yang disekat. Malah barisan pemerintah juga akan sukar mendapat pelapis baru mereka yang hebat, berkarisma dan "high Class" yang lahir di Universiti.

    ReplyDelete