Assalamualaikum.
Sudah 2 bulan umur anak lelaki saya Irfan Auzaie. Sekarang sudah tiba masa ibunya meneruskan tugas mengajar sebagai guru di sekolah. Waktu bersalin 60 hari telah habis. Tentulah saya juga berharap cuti bersalin dinaikkan selama 90 hari. Jikalau 90 hari dengan gaji penuh, ia mungkin terbaik bagi ibu-ibu yang melahirkan. Mungkin bukan dalam masa 3-4 tahun ini...
Saya ada bertanya kepada isteri saya, kenapa tidak ambil cuti 30 hari menyusu? Dia memang ingin sangat mengambilnya. Tetapi baginya tidak adil kepada guru yang terpaksa menggantinya. Ini adalah kerana guru ganti yang diambil dari luar (lepasan universiti atau diploma) cuma dibayar selama 60 hari sahaja. Selepas itu, guru yang mengganti datangnya dari guru di sekolah itu sendiri kerana sekolah tidak akan membayar lagi gaji untuk guru ganti luar.
Menurutnya, ini akan menyusahkan guru tetap yang menggantikannya kerana dia bukan sahaja kena mengajar sekian-sekian banyak masa yang diperuntukkan tetapi terpaksalah pula diambil masa rehat untuk menggantikan guru yang mengambil cuti menyusu.
Hmmm.. saya terfikir bahawa alasan ini valid. Ini mungkin hanya berlaku kepada Kementerian Pendidikan sahaja, kerana saya dahulu di Kementerian Kesihatan memang tiada masalah untuk para doktor wanita mengambil cuti menyusukan anak.
Irfan Auzaie saya hantar ke rumah jiran di sebelah rumah yang berumur 50-an. Kebetulan cucunya yang 3 bulan umurnya tidak lagi dihantar kepadanya untuk dijaga. Isnin lepas adalah hari pertama.
Memang saya ini agak cerewet sedikit jikalau bab menjaga anak kecil ini. Saya jikalau boleh tidak mahu Irfan tidur di dalam buai. Saya cuma mahu Irfan minum susu ibu sahaja. Saya tidak suka letak minyak atau yang sewaktu dengannya pada perut dan badan Irfan dan saya tidak pernah memakaikan Irfan barut. Tapi pada pendapat saya, peraturan itu mudah sahaja. Bukan susah nak diikuti kerana susu ibu dan kelengkapan lain semua telah disiapkan.
Saya pada mulanya tidak beberapa kisah bila Irfan ditidurkan di dalam buai. Ok. Tak ada masalah. Tetapi saya mula terasa juak apabila isteri saya beberapa kali ditanya oleh pengasuh tersebut samada boleh diberi Irfan air masak atau tidak. Kenapa nak beri air kosong jikalau susu ibu itu sudah ada? Malah susu ibu yang diberikan tidak pula habis.
Tetapi saya terkejut apabila jiran saya mengatakan bahawa dia melumurkan 3 jenis minyak selepas memandikan Irfan. Itu saya boleh tahan, tetapi apabila saya meminta tengok apa minyak yang dilumurkan, dia menggunakan satu botol vicks untuk melumurkan ke seluruh belakang badan! Mana tidak terkejut, sebotol vicks habis separuh dalam masa 3 hari sahaja!
Pada masa yang sama dia mahu menaikkan bayarannya daripada RM 250 ke RM 300, apabila isteri saya mula menegur.
Saya meminta isteri saya menanyakan kepada jiran saya yang lain untuk mencari pengasuh yang lebih "faham" tentang masalah Irfan. Takut juga apa-apa yang akan berlaku kepada Irfan. Maklumlah Irfan ada "prolonged jaundice" dan enzim hatinya masih lagi belum normal. Walaupun telah saya beritahu berkali2 tetapi nampaknya pengasuh yang satu ini masih kurang "faham". Saya kena berbuat sesuatu...
Wallahu A'lam