Saturday, April 25, 2009

Dulu Selsema Burung.. Sekarang Selsema Khinzir..

Salam,

Sejenis virus unik dipanggil Selsema Khinzir yang dijangka telah membunuh hampir 68 orang di Bandaraya Mexico mencetuskan panik di sana. Virus baru tersebut yang merupakan gabungan unsur genetik daripada khinzir, burung dan manusia tidak pernah dikenalpasti oleh mana-mana saintis sebelum ini. Walaupun 68 orang telah meninggal dunia dikaitkan dengan selsema khinzir ini, hanya 20 orang yang betul-betul disahkan meninggal dunia akibat virus ini.

Kisah wabak ini yang menular di Mexico telah menyebabkan lebih 1000 orang jatuh sakit. Ini menyebabkan ramai orang mula memakai topeng muka dan kebanyakan tempat-tempat perkumpulan awam ditutup.

Setakat ini belum ada vaksin yang dicipta bertindak spesifik terhadap virus selsema khinzir ini. Dan tidak dapat dipastikan bahawa vaksin-vaksin selsema yang ada serta vaksin selsema burung seperti tamiflu berkesan untuk memberi perlindungan terhadap selsema khinzir.

Apa yang dikhuatiri, selsema khinzir ini jika tidak dikawal boleh merebak ke seluruh dunia dan menyebabkan pandemik di seluruh dunia seperti selsema burung.

Kerajaan Mexico mengarahkan agar orang ramai cuba mengelakkan diri daripada ke Hospital kecuali jika terdapat kecemasan kerana hospital di sana adalah pusat penyebaran jangkitan. Orang ramai juga diarahkan agar mengelakkan daripada bersalam-salaman dan mencium pipi untuk mengurangkan jangkitan. Di lapangan terbang antarabangsa Mexico, para penumpang disoal siasat dan diperiksa untuk mengelakkan mana-mana penumpang yang dijangkiti menaiki kapal terbang dan akhirnya meyebarkan virus tersebut.

Pakar wabak selsema dari Universiti Michigan, Dr. Arnold Monto berpendapat bahawa sebelum ini memang sudah wujud kes virus selsema khinzir di dalam badan manusia hasil dari hubungan terus di antara manusia dan khinzir. Menurutnya yang ini agak berbeza.

Centre of Disease Control (CDC) di Amerika Syarikat berpendapat, terdapat kombinasi unit virus yang dijumpai ini kerana segmen genetiknya tidak pernah dijumpai pada mana-mana khinzir mahupun manusia. Virus ini mempunyai campuran segmen genetik daripada manusia, segmen virus selsema burung dari Utara Amerika dan virus khinzir dari Eropah, Asia dan Amerika Utara.

Pada tahun 2003, wabak SARS telah melanda Asia dan Beijing telah menerima kesan yang teruk. Pada Mac 2008, Hong Kong pula mengalami nasib yang serupa.

Virus yang baru ini dijangka boleh membunuh ramai manusia dan merebak dengan cepat kerana hibrid kombinasi genetiknya unik dan manusia masih belum boleh menghasilkan antibodi semulajadi untuk melawan virus ini dalam masa yang begitu singkat.

Pada pendapat saya sendiri, kita bersyukur kerana Allah tidak menjadikan khinzir ini boleh terbang seperti burung. Di dalam kes selsema burung, burung yang terkena jangkitan boleh menyebarkan virus tersebut kepada manusia tanpa sempadan kerana kebolehan terbangnya.

Yang boleh menyebabkan ia tersebar sekiranya kita mengimport khinzir-khinzir hidup dari luar negara, atau khinzir di Malaysia terkena virus selsema ini dan merebakkannya kepada manusia.

Apapun, sekiranya khinzir terpaksa dibunuh, ini boleh menyebabkan harga daging lembu atau ayam akan meningkat kerana permintaan yang tinggi akibat penukaran gaya hidup pemakan khinzir kepada pemakan daging atau ayam.

Wallahu Alam

Nazri Aziz Patut Bincang Dengan Mufti




Salam,

Saya bersetuju dengan saranan Dato' Seri Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak bahawa isu agama anak yang ibu bapanya telah memeluk agama Islam patut dirujuk kepada Majlis Mufti sebelum tergesa-gesa membuat keputusan.

Saya kira isu agama anak adalah satu isu yang besar dan sebagai sebuah negara yang mengamalkan ajaran Islam atau digelar "Negara Islam" bagi sesetengah kumpulan politik, maka wajarlah ia dibincang dengan lebih lanjut dan mendapat pandangan daripada pakar-pakar agama sebelum kabinet membuat keputusan.

Adakah keputusan ini berdasarkan undang-undang? Maknanya sudah ada penghakiman seperti sudah berlaku di Malaysia sebelum ini. Atau adakah ini kali pertama berlaku? Jika kali pertama, rujukan ini sepetutnya jatuh di bawah mahkamah yang mana? Bagaimana pendapat Persatuan Peguam Syari'e Malaysia?

Dato' Nazri Aziz tidak boleh menetapkan keputusan yang sangat besar impaknya ini hanya berdasarkan hujah individu tertentu di dalam sebuah jawatankuasa kecil sahaja. Perkara ini sudah menjadi isu negara.

Jika keputusan ini diadakan secara terburu-buru atau untuk menyedapkan hati golongan-golongan tertentu di dalam politik, maka saya khuatir ini akan memberi kesan terhadap pengembangan agama Islam itu sendiri.

Adapun sekiranya para Mufti bersetuju dengan keputusan itu, maka tidak ada masalah untuk kabinet mengumumkan keputusan tersebut kerana ia telah dipersetujui bersama. Sekurang-kurangnya para mufti menyokong keputusan yang diumumkan kabinet dan memudahkan Dato' Nazri Aziz sendiri menjawab persoalan-persoalan yang bakal mengundang.

Saya berharap keputusan kabinet dibuat bukan berdasarkan "reaksi sentakan lutut" atau "knee jerk reaction" kerana ini akan memberi impak kepada agama Islam di Malaysia secara keseluruhan.

Wallahu Alam.

Tuesday, April 21, 2009

Melarik Minda Kelas Pertama




Salam,

Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Sifu Puan Ainon dari PTS Publishing yang telah pada hemat saya berjaya menyampaikan hujah yang hebat, ketika dijemput menjadi salah seorang panel dalam sebuah rancangan forum kelolaan RTM malam tadi.

Saya amat terkesan dengan pandangan balas Puan Ainon dan rakan rakan panelis seperti Saudara Khair Ngadiron (Bekas Deputy Dean Matrik UIAM dulu) dan seorang lagi panelis ketika disoal oleh Moderator Tuan Sayed Munawwar (a.k.a Abang Chik).


BUDAYA PEMBACAAN ILMU MELALUI BAHASA IBUNDA

Memang benar, melarik minda kelas pertama di kalangan orang Malaysia bermula dengan budaya pembacaan buku. Penterjemahan ilmu ke dalam bahasa Malaysia perlu dirintis kerana melalui ilmu yang diterjemah ini ke dalam bahasa yang difahami mendatangkan minda yang lebih terbuka dan objektif.

Di dalam hal ini, Puan Ainon memberi beberapa contoh-contoh yang baik seperti bagaimana orang Eropah terkebelakang selama seribu tahun kerana ilmu-ilmu yang ada ketika itu dipelopori oleh bahasa asing ilmu iaitu bahasa latin. Hanya setelah bahasa tersebut diterjemah kepada bahasa ibunda negara itu sendiri, maka zaman pencerahan mula berlaku dan negara eropah menjadi negara-negara besar seperti sekarang.


MASUK TEPUNG KELUAR TEPUNG

Apabila buku-buku tidak diterjemah ke dalam bahasa sendiri, ilmu sains yang datang dari barat dianggap sebagai sesuatu yang asing. Ini berlaku di Filipina. Di Filipina, sains di ajar di dalam bahasa Inggeris, tetapi adakah orang Filipina lebih hebat sainsnya daripada Orang Jepun, Korea atau Perancis yang belajar sains di dalam bahasa ibunda mereka sendiri? Jawapannya tidak.

Apabila diterjemahkan ke dalam bahasa ibunda negara itu sendiri, maka rasa "self belonging" kepada ilmu itu akan timbul. Rasa menghargai ilmu tersebut sebagai hak sendiri menyebabkan pecambahan minda saintifik dan ia akan berkembang. Maka jadilah satu tamsil iaitu tepung yang masuk akan diuli dan diadun menjadi roti.... bukan masuk tepung keluar pun tepung juga.

Perbandingan yang Puan Ainon bawa iaitu semua negara-negara besar, maju dan kaya di dunia ini menggunakan bahasa ibunda sendiri sebagai bahasa tunjang untuk menghayati ilmu dan akhirnya meningkatkan peradaban dan tamadun.


TIADA PERUNTUKAN UNTUK PENERBITAN BUKU?

Menurut Puan Ainon, tidak ada peruntukan kerajaan untuk pinjaman menerbitkan buku. Beliau membuat pinjaman menerbitkan buku daripada bank-bank "cina". Betul juga apabila beliau menyatakan bahawa kerajaan memberi peruntukan untuk menerbitkan filem-filem sehinga berpuluh juta ringgit, sedangkan tiada peruntukan untuk penerbitan buku?

Malah beliau mencadangkan agar Kementerian Pelajaran memperuntukkan dana RM 1 billion dan diserahkan kepada Institut Penterjemahan Negara untuk menjana projek penterjemahan di negara ini. Dengan ini lebih banyak lagi buku-buku yang berkualiti diterjemah sekaligus meningkatkan lagi budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Ada yang mengatakan bahawa, bisnes buku tidak menjamin pulangan yang memberangsangkan. Ini disangkal oleh Puan Ainon. Jika nak dikatakan buku tiada nilai pasaran di Malaysia, jualan buku PTS naik 50% setiap tahun. Ini bermakna seolah-olah penjualan buku yang diterjemah keluaran PTS Publishing adalah "Mesra Gawat" ataupun "Recession Proof" di dalam kegawatan ekonomi sekarang.

Oleh kerana kerajaan tidak memberi peruntukan pinjaman kepada syarikat penerbitan buku untuk menghasilkan lebih banyak buku, maka pasaran buku sebenarnya adalah berdasarkan refleksi sebenar daripada permintaan pelanggan buku. Sekiranya ada peningkatan kepada permintaan buku maka ia adalah sebenarnya permintaan terus daripada pelanggan bukannya orang tengah. Maka tidak hairanlah, terdapat terlalu banyak judul buku telah habis cetak dan tidak dapat dipasarkan ke pasaran terbuka.


TAIWAN vs MALAYSIA

Saya tertarik dengan perbandingan negara Taiwan yang dari segi populasinya mempunyai bilangan yang hampir sama dengan Malaysia.

Walaupun bilangannya sama tetapi mereka menghasilkan 2 kali ganda judul baru buku daripada Malaysia. Ini menunjukkan bahawa negara Taiwan lebih aktif menghasilkan bahan bacaan dan membawa konotasi bahawa peningkatan kepada budaya pembacaan di Taiwan semakin mengukuh berbanding di Malaysia.


Akhir kalam, untuk melarik minda kelas pertama kita memerlukan tamadun ilmu yang unggul berasaskan pembacaan buku-buku yang mengandungi ilmu tersebut. Mengapa pihak bertanggungjawab boleh memperuntukkan wang berpuluh juta kepada penerbitan filem-filem Malaysia yang pada pandangan saya masih di takuk lama, sedangkan penerbitan dan penterjemahan buku-buku adalah lebih penting untuk melahirkan generasi berilmu dan berwawasan. Jika kita hairan anak muda kita lebih suka menonton TV daripada membaca buku, maka kita harus fikir kembali arah tuju kita untuk menyemai budaya berilmu.

Monday, April 20, 2009

Rahmat Allah Di Sebalik Keguguran



Salam,

Ramai pembaca yang memberitahu perasaan sedihnya kerana baru sahaja keguguran cahaya mata. Ada yang baru kahwin dan keguguran, ada juga yang sudah lama inginkan anak tetapi akhirnya keguguran. Tentulah perasaan sedih yang teramat sangat kerana mengalami keadaan tersebut.

Izinkan saya berkongsi pendapat saya di dalam hal ini.

Memang benar bahawa masalah keguguran ini banyak faktornya.

Apabila seseorang ibu mengalami keguguran, ada yang menyalahkan makanan. "Ini tentu sebab makan ayam penyet atau empel sapi kat Restoran Wong Solo, Kg Baru lah ni", kata suami si Polan apabila diberitahu isterinya baru sahaja mengalami keguguran.

Dalam budaya melayu ada yang menyalahkan buah-buahan atau sayur-sayuran. Yang paling popular ialah nanas kerana sifatnya yang tajam. Sejauh mana kebanarannya saya tidak tahu kerana tiada kajian saintifik dijalankan yang terhadap nanas. Maknanya, kalau puan-puan nak elakkan maka elakkan lah.

Saya pernah mendapat panggilan yang menyatakan bahawa beliau mengandung (luar nikah) dan ingin menggugurkan anaknya. Telah banyak kali cuba termasuk memakan nanas tapi tak berjaya, oleh itu dia mahu mencuba ubat pula. Seperti yang saya biasa jawab, saya tak buat itu semua sebab saya orang Islam. Nenas pada saya, cara yang paling tidak berkesan untuk menggugurkan kandungan.

Secara amnya, ada banyak sebab terjadinya keguguran. Trauma seperti jatuh motor atau kemalangan boleh menyebabkan keguguran, penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit genetik atau autoimun, pintu rahim yang lemah, racun, ubat-ubatan, pembedahan ketika mengandung, demam tinggi akibat jangkitan kuman sehingga lah ke stress juga boleh menyebabkan keguguran.

Terdapat seorang sahabat saya yang bertugas sebagai doktor semasa houseman, beliau mengalami keguguran sebanyak 3 kali berturut-turut sepanjang bertugas. Akhirnya beliau terpaksa mengambil cuti ketika awal mengandung untuk mengurangkan stressnya. Alhamdulillah beliau selamat melahirkan zuriat.

Pada hakikatnya, menyalahkan sesuatu penyebab sebagai sebab utama keguguran adalah sukar kerana setiap individu manusia adalah unik penciptaannya.

Berbalik kepada masalah keguguran itu tadi. Allah menjadikan sesuatu perkara ada hikmahnya.

Allah menyebut di dalam firmanNya, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.", surah Al-Baqarah ayat 216.

Ayat ini membicarakan tentang Allah mengetahui tentang perkara yang tersirat dan tersurat. Di sebalik ujian yang diturunkan pasti ada hikmah disebaliknya. Yang penting kita berfikir tentang ujian ini dan bersabar.

Tahukah anda, bahawa 90% daripada fetus (anak) yang CACAT yang terbentuk di dalam rahim akan gugur? Ini termasuk penyakit genetik seperti Down's Syndrome. Maknanya, sekiranya fetus yang terbentuk itu tidak sempurna sifatnya, kurang genetiknya, cacat pembentukannya, maka kemungkinan tinggi ia tidak akan dilahirkan dan akan keluar sebagai keguguran.

Ini adalah hikmah yang besar tuan-puan. Cuba bayangkan kalau Allah membenarkan kesemua fetus yang cacat ini lahir ke dunia. Apakah yang akan berlaku? Sehinggakan yang sempurna pun Allah jadikan, ada yang dicampak di tong sampah menjadi makanan anjing, ulat dan semut.

Sudi saya mengingatkan di sini, sekiranya ada keguguran, maka ingatlah Allah selalu yang ini mungkin satu ujian daripada Allah dan pada masa yang sama ia adalah Rahmat Allah yang besar kepada manusia.

Allah tahu, sekiranya anak yang lahir itu tidak sempurna sifatnya, kita pasti akan tidak tertanggung ujian yang Allah beri. Oleh itu, di sebalik tangisan, kekecewaan dan kekesalan, adalah lebih baik berdoa agar diberikan Allah yang lebih baik dan sempurna.

Lagi satu, Apabila kita mengandung tetapi keguguran, ini menunjukkan bahawa puan-puan boleh mengandung dan tak mengalami primary infertility iaitu kemandulan. Ini terutamanya kepada mereka yang sudah kahwin bertahun-tahun tetapi belum mengandung. Maknanya, peluang puan-puan untuk menimbang cahaya mata masih ada. Ramai yang saya terjumpa sukar mengandung bertahun-tahun, tetapi selepas mengalami keguguran, beberapa bulan selepas itu, maka Allah mengurniakan sekali lagi peluang untuk menjadi ibu. Syukurlah...

Allah memberi ujian dan rahmatNya melalui banyak cara. Yang diuji dan teruji, pasti menerima ganjaran daripada Allah. Disebalik ujian pasti ada hikmah dari Nya.
Wallahu Alam.

Saturday, April 18, 2009

Tudung vs Tali Leher






TUDUNG vs TALI LEHER

Saya petik dari ABU SAIF @ www.saifulislam.com

“Bertudung busuk dan kotor adalah lebih tidak Islamik berbanding dengan tidak bertudung!” tegas seorang doktor yang senior.

Saya masih termenung. Jari berentak perlahan menari-nari di atas meja. Tanda otak sedang ligat berfikir.

“Tapi doktor, kalau busuk dan kotor yang jadi isu, serangan juga patut dibuat kepada tali leher doktor lelaki. Sebagai lelaki, saya sangat tahu bagaimana kaum lelaki melayan tali leher mereka. Tak pernah dibasuh, dicampak merata-rata, lebih berpotensi menjadi punca jangkitan berbanding tudung yang jarang dipakai lebih daripada sehari,” saya menyampuk.

Cakap saya memang gurau-gurau.

Tapi isinya ada unsur-unsur pembunuhan.

Membunuh sikap double standard yang sering berlaku oleh orang kita sendiri terhadap tuntutan agama kita ke atas kita. Tiga kali ‘kita’.

Apa yang pasti, tudung busuk lagi kotor atau tidak bertudung, dua-dua tidak Islamik. Apa yang Islamik ialah bertudung, dan tudungnya bersih tidak berbau.

Ketika negara ‘kafir’ seperti United Kingdom sudah jauh ke depan dalam menghormati agama, membenarkan aurat dipelihara di dalam pasukan beruniform dan perkhidmatan kesihatan, kenapa masyarakat kita masih lebih Barat daripada Barat? Tudung itu budaya atau perintah Allah? Jika ia perintah Allah, di mana Allah dalam prioriti kamu?




SIFIR TULEN VS PALSU

Sifirnya mudah.

Kalau ada perempuan yang melampau-lampau keperempuanannya, maka berhati-hatilah.

Lenggoknya berlebih-lebihan, solekannya tebal bagai kulit Kamus Dewan, cakapnya lebih mengada-ngada berbanding perempuan gedik, kemungkinan besar, dia itu sebenarnya LELAKI! Yang terdesak untuk menjadi perempuan.

Kalau ada lelaki yang melampau-lampau kelelakiannya, maka berhati-hatilah. Jalannya bersepah-sepah berlagak macho, bajunya rugged hingga ke kenduri pun mahu bersarung jersi, cakapnya lebih mencarut daripada mat lepak di kaki lima, ketahuilah, mungkin dia itu sebenarnya PEREMPUAN! Yang terdesak untuk menjadi lelaki.

Kata orang Arab:

“Yang mengikut, lebih teruk daripada yang diikut”

Barat itu biasa-biasa sahaja.

Yang terdesak mahu menjadi Barat ini yang berlebih-lebihannya.

Berlebih-lebihan itu simptom kepalsuan. Fake!



PERBANDINGAN SOLAT

“Makcik kalau dah sakit perut sangat, memulas-mulas dan makcik sedang menyiram bunga di tengah-tengah jalanraya, makcik sanggup buang air besar di tengah jalan?” saya bertanya dengan bahasa provokasi, iaitu bahasa simpanan yang hanya sesekali dipanggil masuk ke gelanggang.

“Tak sanggup!” katanya tegas.

“Habis makcik buat apa?” saya bertanya lagi.

“Makcik cari jugalah mana-mana semak untuk buang air,” katanya.

“Aha, kalau solat ni sama penting dengan berak tu pun jadilah!” saya menamatkan perbualan yang amat ‘jarang berlaku’ itu.

Makcik itu ketawa. Saya tahu dia akan ketawa. Sebab itu saya berani menggunakan analogi seteruk itu.

Macam-macam alasan diberikannya bahawa susah untuk solat semasa bekerja. Tetapi kalau berak, kurang pula alasannya. Boleh sahaja dicari semak samun untuk melepas. Tahu malu! Tetapi kalau solat, macam-macam alasan diberi. Tak ada telekung, sejadah tak bawa, kain kotor, dan entah apa-apa lagi. Sedangkan semua masalah itu jalan keluarnya mengikut peruntukan azimah dan rukhsah dalam Islam.

Sama jugalah dengan aurat.

Baju lengan panjang kotor, tudung bawa kuman dan seribu satu alasan untuk menolak pemakaian yang elok menutup aurat di hospital oleh doktor dan jururawat. Semuanya kerana Tuhan bukan prioriti utama. Sebab itu berani beralas-alasan. Bermalas-malasan.

Tetapi tali leher yang tidak membawa konotasi agama, hampir tidak pernah saya mendengar kerisauan sesiapa untuk ia berjuntai-juntai di sisi pesakit. Selepas tali leher, tali pinggang lelaki, cuba tanya berapa kali setahun dibasuhnya? Semua itu bukan source of infection? White coat, rajin benarkah ia dibasuh?

Semua itu ada jawapan masing-masing.

Tetapi menyerang tudung dan baju lengan panjang, ia hanya presenting problem. Ada pun the real problem, pentingkah Tuhan dalam hidup kamu?


+++++++++++++ -------------------- ++++++++++++++++++++

Saya bersetuju dengan SaifulIslam. Pernah satu ketika ada satu kajian di sebuah hospital. Swab culture and sensitivity diambil pada tali leher doktor dan MA. Mereka mendapati bukan sahaja kuman biasa terdapat di situ, terdapat MRSA juga (methycillin resistan Staph Aerius). Itu bukan sahaja tidak islamik tetapi sangat merbahaya kepada pesakit. Artikel di atas sangat menarik untuk direnungkan.

Wednesday, April 15, 2009

Baja Zeolite Untuk Dijual..!!


Salam tuan-puan,

Saya ingin menawarkan baja organik zeolite (baja dari gunung berapi) kualiti tinggi secara pukal kepada syarikat yang berminat dengan harga yang sangat menarik. Cation Exchange Capacity berpurata 160 meq/100g menunjukkan kualiti zeolite ini yang tinggi.

Pada masa ini baja MPOB f4 digunakan yang mempunyai unsur zeolite yang digunakan di dalam pembajaan kelapa sawit. Rujuk rencana Berita Harian 25 hb Mac 2009.

Produk : Zeolite / Clinoptilolite
Harga : RM 530.00 setan metrik.
Minimum order : 10 metrik tan
Pengambilan setiap bulan melebihi 40 tan harga boleh runding
Kapasiti : 10,000 metrik tan sebulan
Pengangkutan sendiri.
Pembayaran secara tunai

Spesifikasi:
Silicone Dioxide : 67.97%
Aluminium Trioxide : 14.59%
Iron Oxide : 1.59%
Calcium Oxide : 2.65%
Sodium Oxide : 0.26%
Manganese Dioxide : 0.10 %
Potassium Oxide : 0.11%
Moisture content : 3.84 %
Loss of Ignition (LOI) : 11.88%
Cation Exchange Capacity (CEC) : 167.19


Keterangan mengenai Zeolite : Dipetik dari sini

Zeolite adalah mineral natural yang menakjubkan karena kemampuan luar biasanya untuk menyerap, kandung lepas ( hold release) dan menukar berbagai kimia, nutrien, toxin (racun), dan ion-ion diwaktu. Zeolite dibentuk dari komponen lahar gunung berapi juta tahun dahulu .

Zeolite memiliki struktur atom dalaman yang berpori yang menyediakan ruang yang terbuka dengan rangkaian ruang-ruang yang memberikan permukaan yang luas (sehingga 450m2/g) dan kemampuan yang tinggi (sehingga 45%) untuk merangkap dan menukar unsur-unsur, air dan lain-lain molekul tanpa mengubah strukturnya.

Zeolite sangat aktif, tidak mudah larut dan mempunyai mineral alami yang stabil (sebahagian dari kumpulan hydrated alumino silicates) dan sesuai digunakan sebagai penambahan organik perladangan dan perkebunan. Ia mempunyai unsur negative diimbangkan dengan unsur-unsur bebas yang berunsur positif. Ini menyediakan perangkap yang sangat sesuai untuk unsur-unsur positif seperti ammonium yang mempunyai kandungan nitrogen yang tinggi dan potassium yang akan dilepaskan pada kadar yang diperlukan oleh tumbuhan.

Mineral utama yang terdapat di dalam Zeolite ialah clinoptilolite yang merupakan silikat kalsium, potassium, magnesium dan alumino dan memiliki kadar penukaran cation (CEC) +120 meq./100g. Zeolite amat keras dan rendah dalam kandungan sodium berbanding dengan mineral jenis lain yang terdapat di pasaran, dan dengan itu amat tahan dengan segala kondisi dan sesuai untuk kegunaan perladangan dan perkebunan


APA KEKURANGAN BAJA KIMIA / ORGANIK BIASA ?
1. 40% dari nutrisi baja hilang melalui resapan air dan cuaca panas (Journal of oil palm research 1996, Salisbury F.B, et al. 1969)
2. Ia tidak merawat tanah, tidak memperbaiki pengudaraan, tidak membaiki pengairan dan tidak meningkatkan daya tahan tanaman
3. Tidak mengandungi Mikronutrien

KELEBIHAN ZEOLITE
1. Amat murah (boleh jimat beribu ringgit)
2. Menjimatkan penggunakan baja sebanyak 40%
3. Meningkatkan hasil pengeluaran sebanyak 50% - 80%
4. Mengelakkan kehilangan nutrisi baja melalui aliran air dan suhu panas
5. Menambah daya tahan tanaman dan mengurangkan serangan penyakit
6. Memperbaiki pengudaraan dan pengairan tanah.
7. Sesuai digunakan untuk semua jenis tanaman
8. Mengubah pH tanah masam kepada pH tanah subur (agent perawat tanah)
9. Menyerap, kandung lepas (hold release) dan menukar pelbagai kimia, nutrien baja dan ion-ion mengikut keperluan semasa tanaman
10. Mengandungi Unsur Asas Baja (Makro Nutrien dan Mikro Nutrien)

Kesimpulannya zeolite sangat berguna didlam bidang agrikultur disebabkan oleh kebolehan resapan yang tinggi, Kapasiti penukaran kation, katalisis dan pengeringan. Oleh itu zeolite gigunakan secara meluas untuk mempertingkatkan pertumbuhan tanaman dengan menjimatkan penggunaan baja pada masa yang sama. (Dibuktikan oleh banyak kajian antarabangsa, Watanabe 1992, E Polat et al 2004, Ming and Dixon 1986)

SIAPA YANG MENGGUNAKAN BAJA ZEOLITE ?
1. Baja rasmi Projek Bio Diesel (BIONAS) seluruh Malaysia
2. Persatuan Peladang Negeri Johor (PPNJ)
3. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)
4. Di eksport ke Belanda(Negara Pertanian ke 2 terbesar di dunia)
5. Projek Sawah Padi Kemasin, Semerak, Kelantan
6. Majlis Perbandaran Petaling Jaya
7. Ladang, Estet, pekebun kelapa sawit, sayur, buah dll

STUDI KELAYAKAN DI MALAYSIA
BAGAIMANA MENGHEMAT BIAYA DENGAN ZEOLIT ?

PUPUK NPK SAJA VS ZEOLITE + PUPUK NPK
Pupuk NPK RM 160/50Kg (1 Bag=50Kg)
Zeolite RM 60/50Kg (1Bag=50Kg) - harga retail
Jenis Tanah Tanah Gambut
Mengambil perkiraan harga buah kelapa sawit mentah pada RM 600/ Ton

CONTOH PERKIRAAN UNTUK 10 HEKTAR KEBUN KELAPA SAWIT

Pupuk NPK yang diperlukan untuk 4 bulan ialah 15Bag (750Kg) = RM 2400
Pendapatan kasar / 4 bulan = RM 20 000
Biaya Pupuk = RM 2400
Biaya Racun dan lain-lain = RM 4000
Pendapatan Bersih / 4 bulan = RM 13 600

PERBANDINGAN PENGGUNAAN TERBAIK (NPK:Zeolite , 3:2)

9Bag NPK + 6Bag Zeolite = (RM160 x 9 Bag) + (RM60 x 6 Bag)
= RM 1440 + RM360
= RM 1800 (Penghematan 50% - 80%)

Mengambil perkiraan penghematan sebanyak 50%
Pendapatan kasar / 4 bulan = RM 30 000
Biaya Pupuk = RM 1800
Biaya Racun dan lain-lain = RM 4000
Pendapatan Bersih / 4 bulan = RM 24 200 (Meningkat 77.9%)

KESIMPULAN DENGAN MENGGUNAKAN ZEOLITE

10 hektar kebun kelapa sawit / 4 bulan
Biaya Pupuk = Hemat RM 600
Pendapatan Kasar = Meningkat RM 10 000
Pendapatan Bersih = RM 24 200
100 hektar kebun kelapa sawit / 4 bulan
Biaya Pupuk = Hemat RM 6000
Pendapatan Kasar = Meningkat RM 100 000
Pendapatan Bersih = RM 242 000

Monday, April 13, 2009

Merancang Kaedah Untuk Merancang





Salam,

Ramai yang bertanya saya tentang cara merancang melalui kiraan haid. Mereka ini ada yang belajar dan ada yang sudah berkerjaya tetapi masih belum mahu menimbang cahaya mata.

Untuk pengetahuan puan-puan, kaedah cara merancang melalui kiraan haid boleh digunakan tetapi mempunyai risiko yang tinggi untuk mengandung. Ada yang mengatakan kejayaan sebanyak 80% sahaja, malah ada yang menyatakan kejayaan melalui kiraan kalendar hanyalah setakat 60%. Ini bermakna dalam 10 orang yang mencubanya 4 orang akan gagal! Ini adalah statistik kegagalan yang sangat tinggi.

Lagipun, mereka yang berjaya mempunyai kitaran haid yang tetap setiap bulan. Mereka ini boleh menjangka bila kitaran haid yang seterusnya dan biasanya ianya tepat. Jika perjalanan kitaran haid anda tidak beberapa teratur, ini akan menimbulkan masalah kepada anda jika anda hanya merujuk kepada kalendar. (Ini adalah jawapan kepada ramai yang bertanya, jangan kira bila waktu subur kalau period anda suka berlari, memang tak tepat).

Yang menyedihkan, apabila anda mengandung hasil dari kegagalan kaedah ini, ada yang terpaksa menggugurkan kandungan kerana belum bersedia. Ini tidak elok.

Terdapat banyak lagi kaedah mengelakkan kandungan. Kita ada pil perancang, kita ada kondom, kita ada alat dalam rahim, kita ada implan di tangan dan suntikan hormon. Dan kebanyakan kaedah-kaedah ini mempunyai kejayaan sehingga 90% ke atas.

Saya tidak faham, sekiranya anda beria-ia untuk tidak mahu mempunyai anak buat masa ini, kenapa menggunakan kaedah yang mempunyai kegagalan yang sangat tinggi. Rancang dengan suami untuk menggunakan kaedah yang lebih berkesan. Saya amat tidak suka tentang pembaca yang bertanyakan (telefon pun ada!), di mana hendak menggugurkan kandungan?. Ada yang bertanya (dan menelefon) masih belum berkahwin pun!

Si suami pun ada masalah di antara telinganya (apa yer organ di antara telinga?). Kononnya tidak seronok memakai kondom ketika "bersama". Wah wah... abih tu, seronok ke nak gugurkan anak... ? Untuk suami seperti ini saya cadangkan "vasectomy"... hahaha.. (tolong surf google kalau nak tahu maknanya..)

Oleh itu, tuan puan, jika tidak mahu mengandung buat masa terdekat maka ada pelbagai pilihan yang boleh dibuat. Jika suami 3 bulan sekali ada di rumah kerana bekerja, kita ada after morning pills dan kondom. Kalau sudah mempunyai anak dan mahu jarakkan, kita ada alat dalam rahim, kita juga ada banyak pil hormon yang terbaru (dan mahal) untuk mengelakkan mengandung sekaligus, mencantikkan kulit tetapi mempunyai mengurangkan risiko kegemukan yang rendah. Kebanyakan pekerja wanita Indonesia mengambil suntikan hormon 3 bulan sekali untuk merancang.

Pilihan terletak di tangan anda. Menggugurkan kandungan bukan satu pilihan.

Salam.

Tuesday, April 7, 2009

Usah Pedulikan Agnes Monica






Cerita nyanyian Agnes Monica dengan jadul lagu "Allah Peduli" mengundang sekali lagi kontroversi. In adalah kerana di dalam tajuk lirik tersebut mengandung perkataan "Sebab Allah Yesusku Mengerti". Media mensensasikan kontroversi lagu ini setelah ramai pihak mahu ia diharamkan di Malaysia.

Saya hanya dengar dua siaran radio sahaja iaitu IKIM.FM dan Radio 24. Jadi selama saya dengar, belum ada lagi lagu ini disiarkan... (ke ada Nazira Noran?).

Pada Ahad lepas, Agnes Monica diminta mengulas kontroversi ini. Ternyata beliau mengatakan lagu ini khusus untuk gereja-gereja di Indonesia. Malah beliau pun beragama Kristian dan berketurunan Cina. Jadi apa salahnya?

Saya pun ada terfikir, kenapa yang orang Malaysia ghairah sangat menghentam lagu Agnes Monica ni di dalam surat khabar? Saja nak bawa kontroversi antara agama kah? Itu lagu nyanyiannya untuk agama Kristian di sana... Kita pula janganlah terlalu meloncat, nanti melihatkan kerendahan agama kita pula. Diperlekehkan pula oleh seorang artis seberang yang masih lagi budak..

Kepada Kementerian Penerangan Malaysia (lebih sesuai ditukar namanya kepada Kementerian Hiburan Malaysia), jika hendak digam, maka gam lah sahaja. Kita kekalkan polisi hiburan di Malaysia.

Usah digundah gulanakan kami ni (yang mana iman-iman kami ni ada yang senipis bawang - Dengar lagu lirik macam tu pun boleh bertukar kepada agama Kristian... huh). Sudah terang lagi bersuluh, lagu ini dikhususkan Agnes Monica untuk gereja-gereja di Indonesia.

Yang radio-radio dan stesen TV pun tidak perlulah siarkan lagu ini. Anda sendiri sudah mendengar (dan melihat) kenyataan di Agnes Monica di surat khabar. Lagipun bukan tradisi stesen-stesen radio Malaysia dan TV untuk menyiarkan lagu yang didendangkan di Gereja. Yang lebih penting "lebihkan produktiviti, kurangkan kontroversi".

Kesimpulannya, usah pedulikan Agnes Monica dan lagunya. Kan katanya, sudah ada yang peduli padanya...

Salam

Monday, April 6, 2009

Murnikan Kembali Peribadi Rasulullah SAW





Salam,

Hari Sabtu yang lepas, Dr Farid Shahran, Pensyarah Usuluddin dari UIAM datang untuk memberika tazkirah tetang Rasulullah SAW di Al Islam Specialist Hospital sempena Maulidur Rasul. Sempat saya bertanya pendapatnya tentang beberapa persoalan.

Saya bertanya tentang perarakan ketika Maulidur Rasul sedangkan ada Ulama yang tidak menyetujuinya.

Beliau menerangkan bahawa sekiranya perarakan itu hanya sekadar perarakan, diadakan kerana setiap tahun ada perarakan maka ia hanya sebagai ritual sahaja lebih baik tidak diadakan. Kerana apabila habis perarakan tersebut, maka tidak ada kebaikan yang wujud kepada ummat. Malah ia boleh jatuh haram sekiranya ia melibatkan pembaziran wang rakyat.

Walaubagaimanapun, sekiranya perarakan itu diadakan untuk membangkitkan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW, apatah lagi di zaman yang seba moden ini, kalangan generasi muda lebih mengenali Peserta Akademi Fantasia atau One In A Million daripada Kehidupan Rasulullah SAW. Maka ianya dianggap harus.

Saya ada memberi pendapat bahawa, terlalu banyak unsur-unsur samada dari luar atau dalam yang menghentam dan mencemar peribadi Rasulullah dengan mengeluarkan kata-kata yang menghina. Ini termasuk amalan poligami yang diamalkan Rasulullah SAW, isu perkahwinan dengan Aisyah, Peperangan dan Jihad dan sebagainya.

Para Ulama mempunyai jawapan yang paling ampuh, bagus dan berkesan untuk diberikan kepada umat Islam. Ini merupakan waktu yang sangat tepat bukan sahaja untuk menjawab persoalan ini kepada musuh Islam tetapi yang paling penting menyampaikan jawapan-jawapan kepada persoalan ini kepada Umat Islam sendiri. Kerana sudah terdapat Umat Islam yang mula sangsi.

Umat-umat Islam yang sangsi ini bukan calang-calang kerana mereka adalah golongan professional. Apabila golongan berpendidikan ini dibiarkan dengan kesongsangan mereka tentang peribadi Rasulullah SAW maka wujudlah golongan-golongan berfahaman Liberal dan yang yang paling berat sekali adalah golongan Anti Hadis.

Golongan anti hadis yang menolak hadis ini menganggap bahawa Rasulullah SAW ini dihantar untuk menyampaikan Al-Quran sebagaimana Posmen menghantar surat. Yang penting surat itu tetapi bukan posmennya!

Sedangkan Saidatina Aisyah RA memberitahu kita bahawa Rasulullah itu adalah model Qur'an dan beliau adalah Al-Quran yang bergerak. Ini merupakan pendekatan yang sepatutnya kita ambil.

Saya kira sudah sampai masanya, pemimpin-pemimpin di Malaysia berbuat sesuatu bagi memberi kefahaman tentang isu-isu semasa yang ditimbulkan dan dimainkan oleh ramai golongan musuh Islam. Memurnikan peribadi Rasulullah SAW adalah jihad. Kurangkan ritual, tumpukan Substantial..

Wassalan

Saturday, April 4, 2009

Syukran Pak Lah!





Assalamualaikum,

Terima kasih kepada Pak Lah yang telah meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima. Maka termateri lah teori R.A.H.M.A.N. yang dahulunya sering dikontroversikan (Saya dahulu terfikir A-Anwar Ibrahim, N-Nik Aziz).. hehehe.

Saya secara peribadi amat kagum kepada Pak Lah yang membawa banyak perubahan kepada negara terutama kepada Industri Pertanian.

Visi Pak Lah yang melihat bahawa lebih ramai umat bangsa melayu dapat dibantu secara ekonominya melalui pertanian merupakan visi yang bijak. Untuk beberapa tahun lepas, industri pertanian telah melonjak namanya dan ini sangat penting bagi negara kerana Malaysia banyak mengimport makanan berasaskan pertanian dari luar negara.

Malah hasil import Malaysia adalah melebihi daripada kemampuan negara mengeksport hasil tersebut. Ketiadaan surplus ini menyebabkan negara kerugian berbilion RM kerana pengaliran wang keluar kerana permintaan yang tinggi daripada produk pertanian yang diimport seperti beras, buah-buahan segar dan sayur-sayuran.

Dengan adanya perubahan dasar pertanian yang melihat bahawa strategi pertanian secara komersial yang merupakan satu perniagaan yang menguntungkan, lahirnya ramai jutawan-jutawan melayu yang merupakan penternak lembu dan kambing, penanam cili dan sayur, pengusaha ikan keli, udang dan telapia dan pelbagai lagi pengusaha-pengusaha di dalam pelbagai produk pertanian. Malah industri hiliran seperti pengusaha keropok dan kerepek banyak juga mendapat manfaatnya.

Pengukuhan institusi perbankan yang menyumbang ke arah permodalan kepada pertanian adalah dialu-alukan. Peruntukan RM 300 juta oleh kerajaan sebagai pinjaman mikro oleh Agro bank baru-baru ini sebagai contoh, merupakan satu "spark" bagi pengusaha baru yang mungkin terdiri daripada graduan lepasan universiti yang tidak mendapat pekerjaan di dalam ekonomi sekarang. Dengan adanya kemudahan ini mereka memulakan perusahaan pertanian dengan modal maksimum RM 50,000 tanpa memerlukan apa-apa cagaran tanah dan penjamin.

Akhir kata, terima kasih Pak Lah di atas usaha yang berterusan untuk membantu lebih ramai usahawan di dalam bidang pertanian ini. Semoga Pak Lah panjang umur dan dimurahkan rezeki agar dapat beribadah kepada Allah SWT dengan hati yang lapang.

Amin.



Related Posts with Thumbnails