Monday, June 27, 2011

"Fixed idea" Dan Cerita Mekanik Kereta...

Salam,

Saya pernah menulis artikel tentang acute tonsilltis, sejenis penyakit yang datang dengan sakit tekak, kadang-kadang demam dan bantuk serta tonsil tekak yang membengkak. Pesakit akan memberitahu kepada doktor (dan semua orang juga) bahawa dia mengalami penyakit tonsillitis, walhal pada hakikatnya, ia cuma sekadar sakit tekak biasa atau acute pharyngitis sahaja.

Ini adalah kerana, pesakit tersebut sudah ada di
dalam benak fikirannya bahawa itu adalah penyakit yang dihidapinya walaupun belum diperiksa. Itu tidaklah mengapa kerana dari segi perawatannya acute tonsilitis dan acute pharyngitis tidak banyak berbeza kecuali perawatan tonsillitis ada elemen pembedahan setelah cukup indikasinya.

Bagaimana sekiranya ia berlaku kepada penyakit yang lebih kritikal? Bila di dalam kepala pesakit sudah ada penyakit tertentu, seolah-olah itu adalah penyakitnya dan apa yang doktor ingin beritahu seumpama masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

Saya ada mengalami beberapa insiden di mana pesakit yang datang dengan gejala sakit perut yang teruk sebagai contoh, tetap dengan pendapatnya bahawa sakit perutnya adalah angin biasa, tanpa mahu memikirkan bahawa penyakit tersebut mungkin disebabkan oleh penyakit lain seperti kanser atau ketumbuhan atau penyakit seperti batu di hempedu dan lain-lain. Malah, ada yang sudah 10 kali ke klinik dengan masalah yang sama dan ada yang semakin teruk walaupun menerima ubat berbakul-bakul.

Masalah ini merumitkan kerja doktor. Walaupun memang ada doktor yang tidak mahu bertegang leher dengan pesakit yang dikira "degil" ini, tetapi ini akan merugikan pesakit sendiri yang tidak dapat mengenal pasti penyakit mereka dan akhirnya tidak menerima rawatan yang betul.

Yang paling rugi adalah pembaziran masa kerana ada sesetengah penyakit memerlukan rawatan dalam kadar yang segera kerana setiap minit yang dibazirkan akan mendekatkan pesakit dengan maut.

Saya umpamakan masalah ini dengan kes di bengkel kereta. Seorang lelaki datang ke bengkel dengan keretanya yang ditarik oleh trak penarik. Dengan marah-marah dia memberitahu mekanik kereta di bengkel itu.

"Baru 3 hari lepas saya datang sini repair ini kereta, ini hari apasal rosak balik?", marah lelaki itu kepada mekanik.

"Oh, ya lah, itu hari saya sudah tukar itu bateri maa..". jawab mekanik itu dengan tenang walaupun mukanya kelihatan penat.

"Kalau itu bateri sudah tukar, apasal ini hari itu kereta tak boleh hidup? Lu jangan tipu sama saya tau ka, itu hari sudah kena RM 300 tukar ini bateri free mainenance tau!", bentak lelaki itu yang memang tak puas hati

"Boss, rileks la boss,.. Itu hari I mau cek, lu suruh I tukar bateri saja. Lu kata itu bateri sudah kong maa, bila satu kali lagi I mau cek, lu kata tak payah sebab lu punya bapak pun bekas mekanik jugak... sekali tengok lu sudah tau... aiyaaa.. lu lupa ka?"... jawab mekanik yang sudah mula naik angin.

Terdiam sejenak lelaki tu apabila mendengar jawapan mekanik. Memang betul apa yang dicakapkan oleh mekanik tersebut. Ketika itu, dalam kepalanya memang sudah terpendam bahawa itu masalah bateri sahaja, apabila kereta itu tak kahu hidup. Kebetulan pula, perkara yang sama diberitahu oleh jiran dan kawan-kawannya yang itu memang masalah bateri.

"Itu macam ka apek?, habis lu rasa ini apa problem?", tanya lelaki tu yang mungkin dihimpit rasa menyesal.

"Dari pengalaman I, ini alternator problem.. tapi I kena kasi cek la dulu maa.. U kasi masa sikit", jawab mekanik.

"Ooooo, kalau alternator problem tak payah la I tukar bateri...?", tanya si lelaki.

"Ya la, apa hal mau tukar kalau tarak rosak", senyum mekanik.

Kalau kereta yang rosak, jawapannya mudah sahaja. Tukar sahaja bahagian-bahagian yang tertentu denga spare part yang baru, asal kewangan dan masa mencukupi.

Namun, jika tubuh manusia yang rosak, alat ganti nya tidak dijual di kedai. Oleh itu, masa memainkan peranan yang sangat kritikal untuk memulihkan pesakit.

Kanser sebagai contoh, sekiranya sudah merebak ke bahagian-bahagian yang lain, pilihan rawatan menjadi semakin terbatas. Luka yang tidak sembuh-sembuh, mungkin adalah permulaan kanser kulit, akan menjadi lebih teruk sekiranya dibiarkan. Bulan ini ia sebesar duit 5 sen, bulan depan ia membesar ke saiz duit 50 sen dan bulan seterusnya ia sudah tidak boleh dirawat lagi.

Begitu juga dengan masalah buah pinggang. Sekiranya buah pinggang mengalami kegagalan tahap akhir maka, pesakit akan menggunakan mesin dialisis seumur hidup. Oleh itu, buah pinggang perlu dijaga rapi dari awal. Dalam hal ini, masa memainkan peranan yang kritikal kerana penjagaan penyakit yang menyebabkan kerosakan buah pinggang perlu ditangani dari awal.

Di dalam masyarakat melayu, kita banyak mempercayai perkara-perkara berunsurkan mistik dan alam ghaib. Perkara ini akan timbul dulu di dalam kepala, apabila berlaku masalah-masalah kesihatan. Malah ia menjadi "fixed idea"di dalam kepala. Ini juga boleh melewatkan pesakit daripada menerima rawatan yang sepatutnya.

Saya pernah menulis tentang kejadian benar seorang lelaki tua yang tiba-tiba pengsan di dalam sebuah majlis kenduri. Semua orang datang dan membaca doa dan jampi kerana percaya ia adalah terkena sihir atau tersampuk jin. Kebetulan, seorang lelaki di dalam kumpulan tersebut yang merupakan sukarelawan persatuan bulan sabit merah, bergegas pulang ke rumah dan mengambil alat pengukur gula. Rupa-rupanya paras gula lelaki itu sangat rendah dan menyebabkan dia pengsan. Jika dibiarkan ia boleh membawa maut.

Pemikiran yang terlalu mistik kadangkala boleh membawa kepada masalah perawatan kepada ahli keluarga. Semasa saya belajar di univesiti, seorang budak lelaki berumur belasan tahun, menghidapi masalah kegagalan buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis. Oleh kerana keluarganya percaya yang dia terkena buatan orang, mereka tidak mahu menjalani dialisis.

Keluarga membawa ke pelbagai tempat untuk menjalani rawatan kampung dan tradisional. Setelah budak itu pengsan dan semakin kritikal, barulah keluarga mereka bersetuju untuk menjalani dialisis tetapi sayangnya beliau meninggal dunia keesokan harinya. Saya berasa sedih ketika itu kerana sebagai pelajar perubatan, saya tidak berjaya memujuk keluarganya untuk menjalani dialisis yang merupakan rawatan terbaik untuk kegagalan buah pinggang buat masa ini kerana di dalam fikiran keluarga yang terlalu percaya bahawa ini adalah penyakit buatan orang.

Berbalik kepada cerita lelaki dengan mekanik tadi, mekanik tadi hanya menjalankan arahan untuk membaiki apa yang disuruh oleh tuan punya kereta. Bagaimana sekiranya doktor membuat hal yang serupa?

Pesakit darah tinggi dan kencing manis tidak terkawal datang ke klinik berjumpa doktor dengan masalah pedih di kawasan ulu hati bermula beberapa jam yang lalu beserta sedikit maslah pernafasan. Pesakit berkeras bahawa ini adalah gastritis atau sakit gastrik dan mahukan ubat sahaja. Doktor mencadangkan untuk membuat pemeriksaan jantung tetapi pesakit menolak. Doktor menurut arahan, memberi ubat dan pesakit pun pulang. Bagaimanapun, sakit semakin teruk sehingga pesakit sesak nafas dan meninggal dunia di rumah kerana serangan jantung.

Serangan jantung boleh hadir di dalam pelbagai bentuk dan sakit di bahagian dada yang merebak ke kawasan tangan kiri dan rahang adalah bentuk yang klasik. Namun begitu terdapat serangan jantung yang datang hanya dengan masalah pernafasan sahaja. Ada juga yang datang dengan rasa tidak selesa di kawasan ulu hati dan ada yang tiada sakit dada langsung khususnya kepada pesakit kencing manis kronik. Oleh itu pemeriksaan jantung di dalam kes ini adalah penting untuk memastikan ia bukan penyakit jantung. Dalam kes ini, ia mungkin situasi yang menyedihkan tetapi ia boleh berlaku kepada kita semua.

Oleh hal yang demikian, datanglah menerima rawatan dengan fikiran yang terbuka. Apabila berjumpa doktor, beritahu kepada doktor simptom-simptom yang anda rasa penting untuk doktor ketahui untuk memudahkan beliau membuat diagnosis. Sekiranya anda mempunyai diagnosis di dalam kepala, cuba bertanya kepada doktor adakah ia satu kemungkinan. Berbincang dengan doktor tentang diagnosis anda adalah jalan terbaik. Dengan cara ini, urusan perawatan menjadi lebih mudah dan berkesan.


10 comments:

Anonymous said...

mcmamana pula dgn patient yg jelas black and white disahkan oleh specialist tentang penyakitnya. MRI pun dah buat.dah terbukti dia sakit.memang luaran nampak sihat, tapi dalaman org x nampak.hidung pun pernah keluar nanah,makan antibiotik pun x lega.makan vit c pun x ok.

Anonymous said...

makan ubat utk long term.mujur kerja goverment. x mampu nak byr kos ubat,ribu2 rm.

DOKtor lulusan oversea ,ada PHD lagi mengesahkan pesakitnya.

buat MRI bukannya spt X ray.lama dan penat kepala ni kena ikat

Dr Azwan said...

Penyakit apa tu siap buat mri? Cerciter cerciter...

blog-tips-kurus said...

banyak info berguna di sini. tq mr doc! :-)

Dr Azwan said...

sama2.

Anonymous said...

encik ni dr surgery ke?kenapa tak fokus kepada bidang encik bila menulis blog. barulah ilmu tu berkembang.fokuslah kepada sesuatu bidang.

Dr Azwan said...

En Anon boleh baca banyak tulisan tentang surgery di internet. Taip saja dalam google search. Bukan ilmu saya saja berkembang, malah ilmu en Anon pun boleh berkembang...

nur caseyh said...

salam dokter.
td saya ada bergaduh dgn sesorang,
sya ada tampar dia. dan dia balas tampar saya jugak. banyak kali dia tampar, yang terakhir kepala sya terkena dinding. dan saya terus jatuh.agak lama juga. lepas tu saya bangun sendiri dan seterusnya. kami gaduh2 lagi dan akhirnya dya tampar dan sepak kpala saya dengan kaki, terajang saya.. bayak kali juga.
selepas kejadian tu saya p dekat cermin dan tgk mulut saya ada darah beku, mata saya dekat yg putih tupun ada darah , telinga saya sebelah kiri pun ada darah beku, dekat tulang pipi pun ada.. antara kening kanan dan dahi pun ada. saya tak boleh nk makan sbb rahang saya tak boleh buka luas. dagu saya pun ada lebam.. dan malam ni sya rasa ada benjol di kepala saya.
tengah hari td,, saya rasa mengantuk sangat.. dan pandangan saya kadang2 kelam sangat. tp saya gagahkan diri jugak utk celik. dan saya tak pengsan la lagi. apa yang perlu saya buat ya dokter?

Anonymous said...

ala doc, setakat copy paste tu semua orang boleh buat.mana ilmu yg doc tuntut waktu kat u dulu?kongsilah kat blog doc.

Dr Azwan said...

Anon : Ilmu saya di Universiti sama dengan kat dalam teks book... penat dah baca... hehe
nur :saya dah jawab dalam email.

Related Posts with Thumbnails