Monday, June 15, 2009

Pendapatan Doktor - Gharar dan Jahalah?



Assalamualaikum,

Ustaz Zaharuddin ada menulis di dalam bukunya Wang, Anda dan Islam tentang pendapatan syubhah para doktor dan klinik yang menyentuh elemen gharar (ketidak-tentuan), jahalah dan kezaliman.

Daripada tulisan Ustaz, Ustaz telah berjumpa seorang ?pakar semasa kakinya sakit dan dikenakan bayaran konsultasi sebanyak RM 60. Kemudian telah membuat beberapa pemeriksaan makmal seperti x-ray dan air kencing. Kemudian beliau dikenakan bayaran RM 400.00. (Pheww.. mahal betul.. hospital mana ni? Patut datang hospital Pakar Al-Islam.. !) Saya kira, ustaz mengeluarkan fatwa berdasarkan pengalaman ustaz sendiri di hospital.

Keesokan harinya beliau dirujuk kepada pakar perubatan kerana kemungkinan mempunyai gout. Saya tak tahu, kemungkinan beliau dikenakan bayaran-bayaran lain pula selepas itu.

Isu pertama yang ustaz bawa ialah bayaran konsultasi doktor sebagak RM 60 tadi hanya diketahui setelah berjumpa dengan pakar tersebut. Sepatutnya harga konsultasi tersebut diberitahu sebelum berjumpa pakar.

Isu kedua ialah ubat-ubatan. Sepatutnya pakar berbincang dengan pesakit tentang ubat-ubatan pesakit. Kemungkinan ada ubat-ubatan yang sama fungsinya tetapi lebih murah harganya dicadangkan kepada pesakit dan pesakit boleh memilih ubat-ubat tersebut. Harga ubat juga diketahui setelah keluar resit selepas menerima ubat bukan sebelum membayarnya.

Menurut Ustaz, sekiranya perkara ini dapat dihindari maka elemen syubhah dan gharar fahish (gharar besar yang merosakkan akad) dapat dielakkan.

Saya ingin memberi pendapat saya tentang hal ini. Bukan tentang hukum yang telah Ustaz fatwakan tetapi tentang proses Standard Operating Procedure yang biasanya klinik-klinik jalankan. Mungkin Ustaz dapat menilai kembali, ataupun para pembaca dapat memahami dengan lanjut apa yang telah ustaz tuliskan.

1. Bayaran konsultasi pakar tidak dikira mengikut minit atau jam, tetapi mengikut kesukaran prosedur, pengalaman atau kepakaran. Biasanya sekali jumpa RM 60. Adakalanya jumpa berjam-jam pun tetap RM 60. Adakalanya mengkut prosedur tertentu, contohnya konsultasi pakar radiology untuk ultrasound ialah RM 50.00 tetapi kalau untuk CT scan mungkin mencecah RM 100.00.

Ada konsultasi pakar sakit puan yang berjumpa dengan pesakit yang mengalami masalah kemandulan dikenakan RM 180.00, tetapi kes-kes biasa pula dikenakan caj RM 60.00. Ini kerana menguruskan masalah kemahilan adalah lebih sukar dan pakar juga tidak ramai. Oleh itu konsultasi pakar adalah bergantung kepada kepakaran dan kerumitan prosedur yang tertentu dan tidak mengikut masa seperti konsultasi profesion lain.

Begitu juga dengan pengalaman pakar. Berbeza berjumpa pakar baru dengan pakar yang sudah 30 tahun dalam perkhidmatan. Sudah tentu fi konsultasi juga berbeza. Jumpa dengan pakar baru setengah jam RM 60, jumpa dengan pakar perunding yang sudah 30 tahun berkhidmat mungkin mencecah RM 150.

Doktor pakar bukan seorang bomoh yang pandai menilik masalah. Dia tidak tahu apa masalah pesakit sehingga segala masalah dan pemeriksaan dijalankan. Adakalanya susah adakalanya senang. Jadi kesukaran dan kerumitan seseuatu perundingan itu tidaklah dapat diketahui setelah berjumpa dengan pesakit, dan setelah pemeriksaan dan prosedur telah dijalankan kepada pesakit. Oleh itu sukar juga untuk memberitahu pesakit berapa caj doktor yang dikenakan sebelum berjumpa. Dikhuatiri tidak adil pula kepada pesakit dan doktor pakar kerana doktor telah menetapkan harga sekian-sekian tetapi akhirnya akibat kerumitan sesuatu pemeriksaan, prosedur dan penyakit maka harga asal tadi telah meningkat.

Mungkin Ustaz boleh tulis hukumnya dengan lebih detail sekiranya perlu. Tetapi saya setuju harga konsultasi sepatutnya diberitahu kepada pesakit sebelum berjumpa walaupun adakalanya sukar. Jika di klinik tempat saya bertugas dahulu, memang ada tertulis harga konsultasi untuk pegawai perubatan sebelum atau selepas jam 12 malam dan harganya pula adalah tetap. Dari segi konsultasi Pakar pula adalah sikit berbeza strukturnya.

2. Tentang ubat-ubatan, kebiasaannya di klinik-klinik swasta, terdapat ubat generik dan original. Saya pernah menulis tentang ubat generik dan original sebelum ini. Walaubagaimanapun, di hospital swasta, kebiasaannya penggunaan ubat generik sangat kurang. Pakar banyak menggunakan ubat original yang mahal harganya.

Sebagai contoh ubat original antibiotik Augmentin 625 mg berharga RM 6 sebiji x 2 kali sehari x 7 hari = RM 84.00. Tetapi ubat generik (biasanya tiada di hospital swasta) cuma RM 4 sahaja sebiji = RM 56.00 seminggu.

Contoh lain pula : sebiji Arcoxia 120mg untuk tahan sakit berharga RM 6.00 sebiji. Walaubagaimanapun, tiada generik yang saya tahu yang sama dengan Arcoxia. Walaupun ubat tahan sakit lain seperti voltaren dan ponstan mempunyai fungsi yang sama dengan Arcoxia tetapi kelebihan-kelebihan Arcoxia seperti kurang kesan gastritis, makan hanya sebiji sehari dan kesan sampingan lain yang lebih kurang melebihi ubat-ubat lain.

Pada pendapat doktor, adalah lebih baik jika memberi ubat yang sama kesan atau lebih berkesan, kurang dari segi dosing harian dan kurang kesan sampingan tetapi sedikit mahal daripada memberi ubat yang murah tetapi banyak kesan sampingan. Itu juga bergantung kepada kemampuan pesakit.

Berbalik kepada permasalahan antibiotik, ada berpuluh-puluh jenis antibiotik yang berada di pasaran. Fungsinya adalah sama, iaitu membunuh kuman. Oleh itu, antibiotik mana yang paling sesuai adalah di atas pilihan doktor. Ada doktor suka memberi antibiotik jenis Zinnat kepada orang yang mempunyai masalah jangkitan kencing sebagai contoh, ada yang suka mempreskripsi Baktrim, ada yang mempreskripsi Augmentin, ada yang beri Ciprofloxacin, ada yang beri Bacampicillin. Kalau ada 10 antibiotik yang boleh memberi fungsi yang sama, tetapi kekuatan dan kelebihan yang berbeza, mana satu yang pesakit ingin pilih? Atau adakah pesakit (yang sedang sakit) ingin memilih? atau lebih mudah menyerahkan kepada doktornya sahaja?

Memang mengikut kebiasaannya, pesakit KRONIK suka untuk memilih ubat-ubatannya. Ini kerana mereka telah mempunyai pengalaman. Contohnya Norvasc 10 mg lebih sesuai baginya daripada ubat-ubatan lain untuk mengawal darahnya. Di dalam hal ini, tiada masalah untuk kita bersetuju dengan pesakit perihal ubat-ubatan yang diambil. Malah sekiranya ada ubat yang lebih murah dengan effikasi yang sama, maka ia juga adalah satu alternatif yang baik.

Justeru, persoalan penyakit yang AKUT seperti sakit perut, sakit kaki, jangkitan kuman, akut appendiks, pendarahan agak sukar untuk dibawa berbincang dengan pesakit di dalam sela masa yang singkat. Ini adalah kerana, sebagai doktor kita mahu yang terbaik dan cepat untuk pesakit. Dan pesakit dengan rela hati menyerahkan tugas mengurangkan kesakitan dan menghindarkan jangkitan secara sebaik mungkin kepada doktor. Pesakit pula di dalam keadaan tidak selesa untuk memikirkan ubat mana yang lebih sesuai untuknya. Asalkan boleh menyembuhkan.

Walaupun begitu, ia bukan tiket kepada doktor untuk mengambil kesempatan memberi ubat yang tidak perlu, hanya sekadar mengaut keuntungan.

Untuk penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan hyperkolestrol, masa lebih banyak untuk hubungan doktor-pesakit berlaku kerana biasanya pesakit akan datang setiap bulan untuk pemeriksaan dan mengambil ubat. Oleh itu pesakit akan berinteraksi dengan doktor ubat mana yang lebih sesuai dan selesa untuk pesakit. Pesakit akan memberi input yang bersesuaian dan doktor mempunyai banyak masa untuk berbincang ubat mana yang lebih sesuai kosnya di dalam lingkungan kemampuan pesakit.

3. Untuk pengetahuan para pembaca dan Ustaz, ada pakar yang dipanggil pakar jemputan atau visiting specialist. Mereka ini menyewa tempat di hospital tersebut. Seolah-olah di dalam hospital tersebut, mereka ini cuma datang sebagai pakar pelawat yang berniaga dengan menyewa tapak di hospital. Sehari mereka membayar kepada hospital sekian-sekian sewa sebagai khidmat hospital menyediakan bilik dan pesakit kepada mereka.

Pakar ini pula meletakkan caj konsultasi kepada pesakit sebagai gaji mereka. Dari segi ubat pula, keuntungan adalah 100% kepada hospital kerana pakar-pakar ini tidak membawa bersama ubat-ubatan. Ubat disediakan oleh hospital. Oleh itu, harga ubat-ubatan adalah terletak pada ketentuan lembaga ubat-ubatan hospital dan bukan pakar perubatan.

Adakalanya, pakar juga tidak tahu berapa harga ubat tersebut. Dia boleh mengganggar sahaja, tetapi harga yang sebenar juga dia tidak pasti. Ini adalah kerana, harga terakhir terletak di kaunter farmasi. Harga ubat juga naik turun hampir setiap bulan mengikut harga pasaran dari syarikat pembekal. Doktor pakar menulis di preskripsi dan di hantar ke farmasi untuk diuruskan. Doktor pakar cuma menerima bayaran konsultasi sahaja. Keuntungan ubat bukan di bawah pengendalian doktor. Oleh itu, tugas memberitahu harga ubat-ubatan terletak di bawah kuasa hospital.

Bagi pihak pesakit, pesakit berhak untuk tidak membeli ubat sekiranya mengetahui ubat adalah mahal. Pesakit boleh bayar kos konsultasi sahaja dan kemudian boleh pulang. Negara-negara di luar negara seperti Indonesia dan UK mengamalkan cara sedimikian. Mereka tidak membeli ubat di hospital tetapi membeli ubat di farmasi luar. Di Indonesia, ada banyak apotek a.k.a farmasi untuk mereka beli ubat. Tetapi masalahnya cuma, ada ubat yang pakar berkenaan tulis tidak terdapat di sesetengah farmasi. Farmasi di hospital lebih memudahkan kerana ubat yang dipreskripsi oleh doktor di dalam hospital biasanya sudah ada.

Sekiranya pesakit ingin membeli ubat di luar, dapatkan preskripsi daripada doktor tersebut dan cari di farmasi luar. Dengan itu, pesakit tidak perlu membayar dengan harga mahal di hospital. Sekiranya pesakit berhasrat untuk membeli ubat di dalam hospital, pesakit boleh bertanyakan harga dan ahli farmasi akan memberitahu harga bagi setiap ubat.

Adakalanya ia tidak berhenti setakat pada persoalan harga, tetapi akan berterusan kepada persoalan mana ubat yang lebih baik, kenapa harga ini lebih mahal dari yang ini dsbg. Ia akan memakan masa pesakit lain yang sedang menunggu ubat. Mungkin hari ini hari anda, namun sekiranya suatu hari yang lain, anda yang terpaksa menunggu.

4. Berkenaan dengan pemeriksaan makmal seperti air kencing, radiology dan darah. Kebanyakan pesakit biasanya akan bertanya harga pemeriksaan makmal tersebut. Cuma pesakit yang tidak bertanya tentang harga ialah pesakit yang mempunyai insurans atau pesakit panel. Kebanyakan pesakit yang membayar tunai akan memastikan harga bagi setiap pemeriksaan makmal yang dilakukan.

Memang secara semulajadinya, hospital tidak mempamerkan harga-harga tersebut secara terbuka. Mungkin kerana strategi pemasaran dsbg, tetapi sekiranya bertanya kepada pegawai pertanyaan di kaunter, biasanya harga tersebut boleh didapati dengan mudah. Saya tak pasti bagaimana ia boleh jatuh kepada "gharar" sekiranya harga makmal tersebut boleh didapati di kaunter pertanyaan.

Secara amnya, saya dapati tidak beberapa praktikal untuk mempamerkan harga ubat kerana itemnya adalah beribu-ribu jenis. Pesakit boleh mendapatinya dengan bertanyakan di kaunter farmasi. Begitu juga dengan harga pemeriksaan makmal yang boleh didapati di kaunter pertanyaan. Pesakit juga boleh menganggarkan harga konsultasi doktor dengan bertanya kepada pegawai yang berkenaan. Pesakit boleh berbincang dengan doktor jika ingin ubat yang lebih murah. Pada pengalaman saya yang ramai menerima pesakit yang kurang berkemampuan, InsyaAllah ia tidak menjadi masalah. Malah, pesakit boleh menolak mengambil ubat di hospital dan boleh membelinya di tempat lain kerana membeli ubat di hospital bukan satu paksaan.

Walahu Alam.























7 comments:

a kl citizen said...

banyak pengetahuan yang saya dapat...tq Dr..

Ealyie said...

Very Good info Doc, thanks!

Anonymous said...

hmm... kalau laa ustaz zaharuddin boleh baca, ulas dan bagi cadangan tentang apa yang doktor tulis ni, saya kira byk lagi ilmu dapat kita pelajari.

Anonymous said...

Tentunya perkhidmatan yang tidak didasarkan kepada mengaut keuntungan semata-mata akan lebih bertanggungjawab memberi pengetahuan kepada pelanggan mereka tentang apa yang sepatutnya pelanggan tahu SEBELUM perkhidmatan diberikan.

Akan tetapi, 'adat' yang berlaku sekarang sebaliknya. Ada banyak perkhidmatan yang tidak diberikan sebagaimana dijanjikan. Over promise, under deliver. Dan pelanggan pula tiada peluang dan ruang untuk menuntut hak mereka secara adil kerana penyedia perkhidmatan berlindung di belakang apa yang mereka namanya 'undang-undang perniagaan'. Pelangggan tetap perlu membayar walaupun perkhidmatan yang disediakan tidak sebagaimana yang dijanjikan oleh penyedia perkhidmatan.

Allahu a'lam

Dr Azwan said...

Anon : Betul.
Mana2 perkhidmatan pun perlu memberikan yang terbaik.
Cuma di dalam perkhidmatan perubatan, manusia adalah bersifat unik. Sehinggakan penyakit yang sama kepada seseorang juga sangat berbeza simptomnya. Saya percaya doktor yang baik ialah beradab. berilmu dan mengambil berat kepada pesakit.
Oleh itu saya tidak fikir ada doktor berani berjanji apa-apa. apatah lagi menjanjikan kesihatan yang Allah sahaja tempat rujuknya.
InsyaAllah yang paling utama, kita berusaha tetapi Allah yang menyembuhkan.

Anonymous said...

saya bersetuju dengan drazwan. Manusia memang unik. Setiap yang datang untuk mendapatkan rawatan tidak sama masalah dan penyakitnya. Tentang saudara/i yang mengatakan ......."Tentunya perkhidmatan yang tidak didasarkan kepada mengaut keuntungan semata-mata akan lebih bertanggungjawab memberi pengetahuan kepada pelanggan mereka tentang apa yang sepatutnya pelanggan tahu SEBELUM perkhidmatan diberikan.".....
Saya mahu tanya laaa....tu perkhidmatan kat spital kerajaan tak ambil untung kan?? Ada ke sempat doktor kat sana bagi penjelasan kat pesakit, tambahan pula kesibukan hospital kerajaan. Saya kira dari segi perkhidmatan, swasta adalah lebih baik dari segi memberi penjelasan kepada pesakit kerana masa terluang, so tak perlu laa timbul isu kaut untung ke tidak. Memang patut dengan harga. Kalau nak murah ...pergi laa jabatan pesakit luar kat spital kerajaan, bayar RM1, tungggulaa berjam-jam dari pagi sampai petang, pastu jumpa doktor tak sampai dua minit, (ada masa kaaa boleh explanation sakit apa). tup...tup tak puas hati..complain lama menunggu, saya rasa dah patut dah dengan harga RM 1 tuh.

reVera said...

mudah-mudah dr hantar artikel ini kepada Ustaz Zaharudin. Banyak artikel beliau mengundang persepsi -ve kepada orang awam yang tidak terlibat secara khusus dalam bidang yang ditulisnya.Saya antara seorang yang tidak bersetuju dengan sesetengah pendapatnya. Untuk kita memberi komen, bukanlah dengan sudut pandangan kita sahaja. Banyak faktor lain perlu diambil kira. Dalam kes DR, saya setuju sangat pesakit pun tiada masa/tidak tahu untuk pilih ubat yang tepat. Semua orang berbeza. Keperluan berbeza. Sama dengan kerjaya saya juga yang memberikan maklumat dan jenis produk yang berbeza mengikut keperluan pelanggan.Kalau nak ikut pelanggan aje. apa yang diorang nak hanyalah MURAH.

Related Posts with Thumbnails