Saturday, August 8, 2009

Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan bil 10/2009 Berkenaan H1N1


Ini adalah surat pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bil 10/2009 - secara amnya KKM membuat keputusan untuk tidak lagi menutup sekolah-sekolah yang pelajarnya dikesan positif. Setiap hari guru akan mengadakan pemeriksaan kepada semua pelajar. Yang menunjukkan simptom akan disuruh pulang dan cuma kembali ke sekolah setelah sihat. Penutupan kelas atau pengawalan hanya kepada mereka yang terlibat sahaja. Penutupan sekolah dianggap sebagai langkah terakhir.

Tan Sri/Dato’/Datin/Tuan/Puan,

Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Bil. 10/2009

PANDEMIK (H1N1) 2009 DI MALAYSIA:


LANGKAH PENCEGAHAN BAGI MENGURANGKAN KEMATIAN,

LANGKAH KAWALAN PENULARAN DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI/SEKOLAH.


TUJUAN

Surat Pekeliling ini bertujuan untuk memaklumkan tindakan pelaksanaan aktiviti tambahan kepada pencegahan dan pengawalan Pandemik (H1N1) 2009 bagi memperlahankan penularan dan mengurangkan impak pandemik kepada aktiviti sosioekonomi kepada masyarakat dan negara.

LATARBELAKANG

2.1 Penularan pandemik influenza A(H1N1) ke Malaysia telah memasuki komuniti dan jangkitan tempatan ini dijangka akan melibatkan jumlah kes yang tinggi terutama di tempat-tempat yang mempunyai kepadatan penduduk atau penghuni yang tinggi. Penularan ini perlu diperlahankan bagi mengurangkan beban kepada fasiliti kesihatan juga jangkitan kepada golongan berisiko tinggi.

2.2 Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) telah mengeluarkan pekeliling pada 31 Julai 2009 di mana telah mengesyorkan pemberian awal dalam tempoh 48 jam selepas onset simptom, rawatan anti-viral influenza kepada golongan berisiko tinggi.

2.3 Bilangan kluster kejadian jangkitan influenza A(H1N1) yang meningkat dan melibatkan pelbagai sektor termasuk sekolah / institusi pengajian tinggi, tempat kerja dan di komuniti. Kejadian kluster di sekolah dan institusi pengajian tinggi telah mengakibatkan banyak sekolah telah ditutup dan ini memberi impak negatif terhadap aktiviti pembelajaran pelajar.

2.4 Taklimat Mencegah Influenza A(H1N1) di Institusi Pengajian Tinggi telah diadakan pada 1 Ogos 2009. Sesi taklimat ini dihadiri oleh pegawai-pegawai dari semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta dan juga pegawai kesihatan daerah terbabit.


KEPUTUSAN

Bagi mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti pembelajaran dan memastikan rawatan awal dengan anti-viral influenza dapat diberikan dengan segera bagi mereka yang berisiko tinggi dan menunjukkan simptom-simptom jangkitan influenza, Kementerian Kesihatan telah membuat ketetapan berikut;

3.1 Semua kes-kes yang mempunyai simptom jangkitan influenza serta mempunyai faktor risiko(mengandung, obesiti, asma, penyakit paru-paru kronik, diabetik dan golongan imuniti rendah), hendaklah diberi rawatan anti-viral influenza serta-merta TANPA perlu membuat ujian pengesahan influenza A(H1N1). Pemberian rawatan dalam tempoh 48 selepas onset memberi manfaat yang optimum.

3.2 Ujian pengesahan jangkitan influenza hanya perlu untuk kes-kes yang dirawat di hospital (maksudnya di sini yang ditahan di wad sahaja).

3.3 Bagi pelajar sekolah termasuk institusi pengajian tinggi adalah diingatkan bahawa mereka yang bersimptom hendaklah mengelakkan diri daripada menghadiri kelas atau kuliah termasuk aktiviti berkumpulan. Mereka hanya dibenarkan menghadiri aktiviti-aktiviti ini selepas 1 hari bebas simptom jangkitan influenza A(H1N1).

3.4 Untuk tindakan kawalan yang berkesan penularan penyakit influenza di sekolah atau institusi tinggi, kerjasama semua pihak adalah diperlukan termasuk ibu-bapa dan pelajar itu sendiri seperti yang berikut;

a)
Pelajar yang bersimptom influenza hendaklah tidak dibenarkan bersekolah oleh IBU BAPA (bukan doktor atau guru tau!) dan hendaklah segera dirujuk mendapatkan rawatan. Mereka hanya dibenarkan bersekolah setelah bebas simptom jangkitan.

b) Semasa pembukaan sesi pagi atau sebelum memasuki kuliah, para guru atau pensyarah hendaklah memaklumkan pelajar yang bersimptom untuk tidak memasuki kelas dan dirujuk untuk rawatan. Mereka hanya dibenarkan memasuki kelas setelah bebas simptom.

c) Penutupan sekolah merupakan pilihan terakhir dalam menangani kejadian influenza A(H1N1) di sekolah atau institusi. Jika penularan terhad kepada kumpulan tertentu, langkah kawalan dan pencegahan hendaklah menumpukan kumpulan ini. Penutupan sekolah atau institusi pengajian tinggi secara total, hendaklah dibuat setelah siasatan dan penilaian risiko yang teliti dijalankan mendapati terdapat justifikasi kukuh berbuat demikian serta dengan persetujuan bersama di antara pihak pejabat kesihatan daerah dan institusi / sekolah.



TARIKH BERKUATKUASA
Surat Pekeliling ini berkuat kuasa dengan serta-merta.


PERTANYAAN

Sebarang pertanyaan hendaklah dikemukakan kepada;

Pengarah Kawalan Penyakit
Bahagian Kawalan Penyakit
Aras 3, 4, 6 dan 8, Blok E10
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62590 Putrajaya

Tel: 03-88834370 / 88834386


Sekian, terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia



No comments:

Related Posts with Thumbnails