Monday, August 17, 2009

Tolonglah Pakai Topeng Muka.. !






Salam,

Saya berada di barisan pertama (front liner) apabila seorang pesakit H1N1 menerima rawatan. Secara amnya saya sangat-sangat terdedah kepada risiko H1N1. Apapun saya berserah kepada Allah dan berharap agar saya sentiasa sihat dan terus melaksanakan perkhidmatan.

Kadang-kadang terdetik rasa kecewa dan terkilan. Ada sesetengah pesakit yang batuk, selsema dan demam tidak mahu memakai topeng muka walaupun disuruh beberapa kali.

Di antara alasan yang diberikan ialah :-
1. Tak selesa
2. Tak boleh bernafas
3. Tak suka
4. Malu - nanti orang tak nak dekat sebab ingatkan dia kena H1N1
5. Susah nak buat kerja
6. Tak biasa
7. Tak ada topeng muka
8. Susah nak pakai sebab bertudung

Dan alasan yang entah apa-apa lagi.
Alasan-alasan inilah yang membuatkan kita semua yang masih lagi tidak terkena jangkitan, boleh terkena jangkitan.

Ada yang bawa anak-anak yang tidak sihat. Terlalu risau. Mungkin sudah tidak sihat beberapa hari. Alhamdulillah anak bertopeng kemas, batuk pun ketika memakai topeng. Bagus ibu-bapa sebegini. Tapi malangnya, dalam masa menerima rawatan, saya melihat ibunya batuk dan bersin berkali-kali tanpa memakai topeng. Apa guna kalau anak sahaja bertopeng, tapi ibunya yang batuk juga tidak bertopeng. Jangan ingat anak anda sahaja yang boleh terdedah kepada H1N1.

Saya menganggap anda semua yang menghidap selsema, batuk dan demam yang tidak mahu mengambil langkah berjaga-jaga ini dan tidak memakai topeng adalah seorang yang sangat-sangat mementingkan diri sendiri dan membahayakan orang lain.

Mustahil tidak tahu. Maklumlah dah 60 orang mati, dan setiap hari cerita H1N1 keluar di surat khabar. Atau buat-buat tak tahu. Saya tak percaya ada antara anda masih tidak tahu kepentingan memakai topeng muka sekiranya mempunyai gejala influenza.

Ada seorang remaja berjumpa saya untuk membuat medical check up untuk masuk ke universiti. Dia datang berdua bersama kawannya. Kawannya sihat dan tiada masalah. Oleh kerana dia batuk, demam dan selsema, saya minta dia memakai topeng muka. Mula-mula tidak mahu, tetapi saya paksa juga.

Setelah saya buat pemeriksaan perubatan untuk kemasukan ke universiti itu, saya minta dia tunggu di luar sebentar sementara saya nak isi borang. Dia bertanya pada saya. "Doktor, dah habis periksa?". Saya pun menjawab- dah.

Dia tanya kembali kepada saya,"Jadi, boleh saya tanggalkan topeng muka ini?"..

Kelakar pun ada... mungkin pada fikirannya, saya suruh dia pakai topeng untuk elakkan jangkitan hanya kepada saya waktu itu. Padahal saya pun memakai topeng muka juga.

Di luar, kawannya datang kepadanya. "apasal kau pakai topeng muka ni?, kawannya tanya tersengih-sengih. "Entah, Doktor suruh.."jawabnya. Dia tak nampak saya sedang berjalan disebelahnya ketika itu.

Tuan dan puan, kita boleh menghindarkan wabak ini jika diizinkan Allah. Kita berdoa agar Allah memanjangkan usia kita dan menghindarkan kita dari segala bala dan musibah. Namun tawakkal dan doa sahaja tidak cukup tanpa disertakan dengan usaha. Memakai topeng muka dan menjaga kebersihan diri adalah satu keperluan di kala wabak H1N1 sedang merebak. Marilah kita saling ingat mengingati di antara satu sama lain.

Wallahu Alam.










No comments:

Related Posts with Thumbnails