Thursday, September 3, 2009

Makin Puasa Semakin Berat?






Salam...

KONSEP BULAN RAMADHAN SEBAGAI BULAN IBADAH - BENARKAH?

Bulan puasa ini bulan di mana ibadah kita diberi ganjaran berpuluh kali ganda.

Ada pakar agama berpendapat ini bulan Ibadah. Memang betul pun.

Kerana apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, semua kelab-kelab dangdut ditutup. Sebab semua setan dah kena penjara.

Lepas bulan Ramadan, kelab dangdut dibuka semula. Setan dah terlepas.

Itu sebab konsep bulan Ramadhan sebagai bulan Ibadah patut dikaji semula. Sepatutnya semua bulan adalah bulan Ibadah. Sebab Allah menjadikan manusia dan Jin untuk beribadah kepadaNya.

Cuma bulan Ramadhan diberkati dengan Malam Lailatul Qadar, ganjaran berlipat kali ganda dan ibadah2 yang bulan lain tidak ada. Oleh itu, kesempatan ini adalah baik untuk meningkatkan ibadah kita. Tidak bermakna kita hanya beribadah di bulan ini atau hanya baca Qur'an di bulan ini dengan meninggalkan bulan yang lain.


ORANG YANG MEMBAZIR ADALAH ADIK-BERADIK SYAITAN

Di dalam Qur'an ada sebut, "Sesungguhnya Orang Yang Membazir itu, Adalah Saudara Kepada Syaitan " - aL iSRA' AYAT 27.

Pembaziran itu adalah Ikhwan Syaitan. Maksudnya saudara syaitan. Bukan Kawan, tapi saudara. Mungkin bermakna adik beradik. Lagi tinggi dari taraf kawan.

Macamana kita membazir di bulan puasa?

Kita makan lebih daripada yang sepatutnya.

Sepatutnya, pada bulan puasa ni kita pantau makan minum kita. Sebab tujuan puasa ialah untuk melihat bagaimana orang yang fakir dan miskin tidak cukup makan dan minum, dan menginsafi mereka.

Nampaknya ia jarang-jarang berlaku. Bila membeli belah di Pasar Ramadhan, memang penuh-penuh tangan. Sekali sekala tak pe lah. Kalau hari-hari macamana?

Yang sedihnya, bila kita beli banyak dan makan tak habis, apa kita buat dengan makanan itu?

Ada yang simpan untuk makan pula untuk sahur, itulah yang ramai datang klinik cirit birit sebab ada yang terlupa nak panaskan atau letak dalam fridge. Ramai juga yang membuangnya sahaja.

Kita membazir kerana -

1. Pada bulan-bulan biasa, kita makan cuma RM 10 sehari, termasuk makan pagi, petang dan malam. Tapi bulan Ramadhan kita habis RM 20 sehari untuk membeli di pasar Ramadhan.

2. Pada bulan-bulan biasa berat kita 60 kg. Tapi habis bulan Ramadhan berat kita naik jadi 65 kg!

3. Tiap-tiap tahun habis RM 2000 untuk beli langsir, baju baru dan kelengkapan raya.


Sepatutnya, bulan Ramadhan juga kita boleh mengambil peluang untuk menguruskan badan.
Paling kurang 2-3 kg turun pun kira dah cantik la. Malangnya kalau berat kita naik!

Sepatutnya bulan Ramadhan adalah waktu berjimat, kita dah tak makan tengahari, sepatutnya kita menyimpan RM 4 daripada RM 10 sehari. Malangnya duit kita makin sikit sebab kita membazir waktu berbuka.

BERHENTI MEROKOK PADA BULAN RAMADHAN

Pada bulan Ramadhan kita boleh berhenti merokok.

Sebabnya, kita berjaya hidup tanpa rokok selama 13 jam. Pukul 12 sampai pukul 5 kita tidur, tentulah tak merokok. Kita Cuma perlu tahan 6 JAM sahaja!

Dari pukul 7 malam sampai pukul 12 tengah malam, dan dari pukul 5 pagi sampai Imsak. Sekejap sahaja 6 jam tu. Kita boleh tahan 13 jam, takkan tambah lagi 6 jam pun tidak boleh.

Tetapi ramai yang tidak boleh kerana kaitan psikologinya dan kimia otaknya dengan rokok sudah tepu. Ketagih...

Tetapi, malang sekali ada kalau ada yang berbuka dengan rokok.

Dia baca Bismillah dulu, lepas tu baca doa buka puasa. Ya Allah, kepada Engkau Aku Berpuasa, Dan Dengan Engkau Aku Beriman, Dan Dengan Rezeki Engkau Aku Berbuka.... puhh... sebatang rokok..

Kita berbuka dengan benda yang haram!

Macamana kita berbuka puasa dengan benda yang haram. Mula dengan Bismillah pulak tu!

Yang paling membazirnya, kita "triple" kan dos merokok. Sebab pagi dah tak boleh merokok.... Malam kita lepas gian.. sebatang, sebatang, sebatang... sedar2 habis 8 batang... lepas tu baru minum air... lepas gian

Lepas terawikh hisap lagi.. sahur pun hisap lagi.

Kita kena ingat, bukan kita sahaja berbuka dengan rokok. Secara tidak langsung, anak isteri kita juga berbuka dengan asap rokok sekunder itu sebagai perokok pasif.

KESIMPULAN

Ramadan adalah bulan kita menambah amalan. Ia adalah bulan disiplin kepada sesiapa yang berpuasa kerana Allah. Kalau sesiapa yang berpuasa kerana sebab yang lain, maka dia akan merasakan bulan ini adalah bulan yang sangat memberatkan.

Disiplin di dalam puasa adalah termasuk menjaga makan dan minum kita. Sekiranya seseorang menambahkan berat badannya pada bulan puasa ini bermakna terdapat masalah dengan puasanya. Ini kerana ia tidak mengikut tatacara yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW untuk menginsafi mereka yang fakir dan miskin.

Maka sewajarnya dia menghisab semula di mana kesalahan puasanya.

Wallahu Alam.









1 comment:

Sharifah Hamidah said...

Salam

Bab merokok ni memang pelik lah siang hari boleh bertahan tak merokok tapi bila aje buka puasa tiba gian nak hisap. Kalau siang hari tak hisap kan elok di teruskan. Masa ni lah kita boleh ambil kesempatan berhenti merokok!!!

Related Posts with Thumbnails