Monday, November 30, 2009

Mata dan Ubat Mata..






Salam,

Ni berita terbaru yang dipetik dari BERNAMA iaitu tentang beberapa ubat mata yang dikeluarkan melalui cara titis ke dalam mata telah ditarik di dalam pasaran. Ubat dititis ke dalam mata perlu melalui proses kajian yang ketat dan penghasilannya perlu secara steril menggunakan kilang yang dikawal ketat prosedurnya. Ini kerana mata adalah organ yang sangat sensitif. Sekiranya berlaku allergy, jangkitan atau masalah yang boleh mengakibatkan kecacatan kekal, ini akan menimbulkan masalah yang lebih besar.

Saya amat yakin, tidak ada orang yang berani meletakkan nilai sebiji mata anda dengan wang ringgit. Walau harga yang ditawarkan RM 10 juta sekalipun, tidak ada yang berani menjual matanya sendiri walaupun sebelah. Apatah lagi kedua-dua belah.

Oleh itu, jagalah mata anda sebaik-baiknya kerana dengannya anda dapat melihat keindahan dunia ciptaan Allah..

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan menarik balik 27 produk kosmetik keluaran empat pengilang barang kosmetik tempatan daripada pasaran kerana menotifikasikan produk kosmetik di luar takrifan kosmetik.

Antara produk yang ditarik balik adalah toner mata Permata Hijrah Ainun keluaran Seri Ummi Sdn Bhd, Ainun Syifa toner mata keluaran Yamni Industries Sdn Bhd, Ainun toner mata keluaran Al-Jabbar Manufacturing Sdn Bhd dan Alkaline Theraphy Pearl Extract keluaran Permata Hijrah Resources.

Menurut satu kenyataan kementerian, produk-produk itu ditarik balik daripada pasaran kerana dinotifikasikan sebagai barangan kosmetik tetapi disalahgunakan apabila cara penggunaannya dengan menitiskannya ke dalam mata.

"Produk-produk yang digunakan dengan cara menitis ke dalam mata dan produk untuk dititiskan ke dalam hidung adalah di luar takrifan kosmetik dan sepatutnya dikawal sebagai produk farmaseutikal.

"Produk yang diklasifikasikan sebagai bahan kosmetik sama sekali tidak dibenarkan digunakan untuk tujuan merawat sebaliknya ia hanya persediaan untuk digunakan pada anggota luaran tubuh badan seperti kulit, rambut, kuku, bibir, bagi tujuan mencantikkan, melindungi dan menghilangkan bau badan," katanya.

Katanya produk berkenaan sepatutnya dikilangkan di premis pengilangan bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan perlu mempunyai kelengkapan spesifik untuk mengeluarkan produk 'steril'.

Produk yang dinotifikasi sebagai kosmetik itu tidak memenuhi keperluan berkenaan, menurut kenyataan itu.

Kementerian Kesihatan menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati semasa mendapatkan produk kosmetik di pasaran dan perlu lebih bijak memilih produk sesuai dengan mereka serta tidak terpengaruh dengan testimoni yang diiklankan pengeluar.

-- BERNAMA

1 comment:

Unknown said...

Assallammualaikum dr, saya ada membeli produk ini tahun lepas kerana mendapat penerangan bersama pembuktian kkm. Walaubagaimanapun saya hanya pernah menggunakannya 3 kali sahaja.walaubagaimanapun saya menggunakan semula hari ini.tetapi baru sahaja menitiskan sekali.Adakah kemungkinan untuk mendapat sebarang risiko, dan apakah tanda jika mata saya menghadapi masalah dan apakah yang perlu saya lakukan.

Related Posts with Thumbnails