Sebelum ini sekretariat MRA beroperasi di sebuah rumah yang dipunyai oleh Ustaz Arsil, seorang aktivis dan sukarelawan dari Dewan Dakwah Indonesia secara percuma. Namun begitu, MRA melihat bahawa POSKO (pusat Koordinator) oleh MRA perlu dinaiktaraf agar lebih efisyen dari segi kegiatannya, stok penyimpanan ubat-ubatan dan perlu ada pusat yang tetap. Maka pusat sekretariat MRA telah diwujudkan di sebuah rumah banglo yang disewa berhampiran.
Dengan adanya sekretariat ini lebih mudah para sukarelawan mengunjung ke Padang Pariaman kerana ia mempunya bilik yang lebih luas dan lebih selesa. Aktiviti serta perencanaan program juga boleh dibuat dengan lebih berkesan.
Dipetik Dari Laman Sesawang MRA
Sekretariat MRA Padang Pariaman terletak 21 km daripada Bandar Udara (Bandara/airport) Minangkabau, Padang sekiranya melalui jalan pintas iaitu melalui kampung-kampung kecil. Keadaan jalannya kurang baik. Perjalanan memakan masa lebih kurang 40 minit. Namun, mengikut jalan biasa, jaraknya bandara ke Pariaman ialah 43 km dengan perjalanan memakan masa lebih kurang sejam. Bandar Padang pula terletak 15 km daripada bandara. Jarak Kota Pariaman ke Kota Padang adalah sejauh 60 km.
Menurut masyarakat tempatan, Alhamdulillah, MRA adalah antara NGO
yang paling dikenali di Padang khususnya Pariaman. Ianya dikenali atas 2 faktor utama, iaitu kerana menjalankan Klinik Bergerak dan telah mula membina Rumah Segera. Oleh itu, maka ramailah yang menaruh harapan agar kampung mereka juga menjadi pilihan MRA untuk mengadakan Klinik Bergerak dan diberikan binaan Rumah Segera.
Dikatakan perawatan dan perubatan dari Malaysia sangat disenangi kerana mempunyai doktor-doktor yang pakar serta memberikan kepada mereka ubat-ubatan yang baik dan berkualiti tinggi. Sepertimana yang dibincangkan baru-baru ini, Klinik Bergerak wajar diteruskan mungkin bagi tempoh 2 bulan lagi. Namun, ianya tertakluk kepada keupayaan dana dan samada adanya sukarelawan yang boleh memberikan khidmat. Juga, masih banyak NGOs tempatan dan antarabangsa lain yang memberikan pelbagai bantuan.
Keadaan di Pariaman sekarang hujan lebat hampir setiap hari. Penempatan untuk penginapan dan persekolahan anak-anak di dalam khemah adalah perkara yang biasa dilihat di beberapa kawasan. Oleh itu, sumbangan bagi mendirikan Rumah Segera hendaklah benar-benar digiatkan, samada sumbangan tersebut atas nama individu, kutipan ahli-ahli keluarga, persatuan kebajikan kakitangan sesuatu organisasi ataupun daripada sumber-sumber lain. Sumbangan dalam nilai apa sahaja pun boleh diterima.Rumah yang dibina oleh MRA sekarang adalah pada kos RM2,500 sebuah bersaiz 5.0 m x 5.6 m, dilengkapi dengan 2 bilik tidur, satu ruang tamu, bekalan elektrik dan satu bilik air dan tandas di luar rumah. Rumah Segera tersebut dikenali sebagai “Rumah Bangkit Besamo”, tenaga kerja daripada seorang tukang berkemahiran yang diupah sebagai pembimbing dan 5 orang masyarakat atau jiran-jiran membuat secara gotong-royong.
Kerjasama dijalin bersama 2 NGOs lain yang mempunyai pengalaman membina rumah-rumah tersebut di Yogyakarta sejurus berlakunya gempa bumi di sana lebih kurang 3 tahun lalu. Ketahanan rumah ini dijangka boleh dipakai sehingga 10 tahun. Dimaklumkan bahawa kerajaan pusat Indonesia akan menyalurkan dana.
Mengikut maklumat tempatan, secara puratanya setelah mengambil kira hal-hal yang berkaitan dana, pentadbiran dan lain-lain, mangsa gempa akan menerima rumah bantuan kerajaan selepas 2 tahun setengah daripada berlakunya kejadian. Sepertimana yang diputuskan oleh Exco MRA, pembinaan awal rumah segera dengan satu ruang kosong pada saiz 4.0 m x 5.0 m yang menelan belanja RM1,500 sebuah telah kita hentikan, ditingkatkan kepada Rumah Segera yang baru seperti maklumat di atas. Namun, telah terbina 2 buah rumah cadangan awal tersebut dan hasil ziarah ke rumahnya pada 4 November 2009, ianya sangat bermanfaat kepada penghuninya, katanya walaupun begitu saiz dan kondisinya, ia tetap jauh lebih baik daripada terpaksa menghuni di dalam khemah.
Di Pariaman, dimaklumkan 100% penduduk dan peniaga adalah di kalangan orang Islam. Mereka sangat prihatin dan gusar apabila telah mula banyak NGOs antarabangsa dan tempatan yang memberikan bantuan kemanusiaan tetapi pada masa yang sama menjalankan dakyah untuk kristianisasi secara halus, malah ada yang dibuat secara terang-terangan dengan mengagihkan bahan-bahan bacaan dan penerangan kepada kanak-kanak yang menyeru kepada agama kristian. Di antara sukarelawan bagi NGOs tersebut ialah warga Indonesia sendiri, khususnya aktivis mereka dari Jakarta dan di kalangan warga Aceh yang telah mereka latih sejak berlakunya tsunami dahulu.
Mudah-mudahan Allah s.w.t. sentiasa melindungi kita dalam melaksanakan kerja-kerja amal ini. Semoga pandangan dan komen positif mahupun negatif yang diberikan kepada MRA, sekiranya ada, dapat memberi semangat untuk kita lebih komited membantu mereka yang sangat memerlukan. Disamping itu, berdoalah supaya kita dipelihara agar tidak tergelincir daripada landasan keikhlasan!
Salam perjuangan,
Shirajuddin Sirat
Sekretariat
MRA Padang Pariaman
5 November 2009
No comments:
Post a Comment