Salam,
Adil itu bukan semata-mata sama rata.
Adil tidak sekadar membawa maksud bahawa jika kita ada dua orang anak, maka sekiranya anak pertama itu dibeli baju warna merah, maka seorang anak lagi juga harus dibeli warna merah.
Apakah sebenarnya adil?
Adil di dalam Islam membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Maka sekiranya ada sebiji epal, untuk dibahagikan kepada seorang budak yang sangat gemuk akibat terlebih makan dan seorang budak lagi adalah sangat kurus kerana kebuluran, adakah adil epal itu dibahagi sama rata - sama berat?
Atau adakah sebenarnya lebih adil sekiranya sebiji epal itu diserahkan semuanya kepada si kanak-kanak yang kebuluran itu tadi?
Bagaimana sekiranya budak gemuk akibat terlebih makan ingin mengambil tindakan mahkamah kerana ketidak adilan kita membahagi epal tersebut?
Jika dilihat hukum dunia, maka ia tidak adil, tetapi di dalam Islam, ia adalah adil kerana ia meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Begitu juga pesakit yang marah-marah kerana menunggu lama sebab doktor terpaksa melayan pesakit kecemasan dahulu. Doktor terpaksa bertindak adil dengan merawat pesakit yang lebih teruk walaupun pesakit tadi datang lebih awal.
Hospital juga perlu adil dengan menyediakan lebih doktor di dalam situasi keadaan pesakit yang begitu ramai.
Berlawanan dengan konsep adil di dalam Islam ialah Zalim. Zalim itu ialah tidak meletakkan sesuatu kepada tempatnya.
Kita kadangkala boleh bersikap zalim terhadap diri kita sendiri dan keluarga kita.
Dato' Fadzilah Kamsah pernah berceramah bahawa seseorang yang membiarkan bulu hidungnya lebat sehingga terkeluar dan menampakkan dia pengotor, adalah mensabotaj dirinya sendiri. Dalam kata lainnya dia sedang melakukan kezaliman kepada dirinya sendiri.
Pada pendapat saya, seorang bapa yang tidak mahu memulakan rawatan nebulizer untuk anaknya yang berpenyakit asthma akut sedangkan anaknya sangat-sangat memerlukannya kerana takut bahawa ubat tersebut boleh mendatangkan ketagihan adalah satu kezaliman.
Pertama ia zalim kepada anaknya sendiri yang terpaksa menderita akibat penyakit tersebut. Kedua ayahnya jahil tentang ilmu tersebut dan beliau bertindak zalim kepada diri sendiri dan keluarga kerana tidak mahu mencari ilmu atau bertanya kepada yang pakar.
Firman Allah Taala:
Dan belanjakan (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) Agama Allah. Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan dan perbaikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.
(Surah Al Baqarah Ayat 195)
Wallahu Alam.
No comments:
Post a Comment