Wednesday, March 10, 2010

Halimah Jongang dan Ugly Betty






Salam,

Cerita tentang Halimah Jongang telah menguasai ruangan pendapat di pelbagai media cetak baru-baru ini. Ada yang pro dan ada yang kontra. Kebanyakan mengutuk cerita tersebut yang dikatakan menghina ketidak-sempurnaan wanita yang mempunyai masalah gigi.

Pada April 2008, saya ada menulis artikel tentang tabiat menghisap puting kosong atau "pacifier" yang akhirnya menyebabkan masalah jongang ini berlaku di kalangan kanak-kanak. Baca di sini. Jongang atau "overbite" perlu dielakkan kerana ia boleh menyebabkan perasaan rendah diri apabila meningkat umur.

Berbalik kepada cerita Halimah Jongang, ramai yang menyatakan bahawa mereka merasa rendah diri akibat cerita tersebut. Sebenarnya yang memberi impak kepada mereka ialah lagu Halimah Jongang tersebut yang dinyanyikan berulang-ulang kali. Malah, lirik lagu tersebut terlalu menghina, tidak bermanfaat dan terlalu superficial. Mana-mana orang yang mempunyai masalah jongang tidak kira lelaki atau wanita pasti akan "terasa" apabila mendengar lagu ciptaan Eddie Hamid itu.

Walaubagaimanapun, siri Halimah Jongang saya kira tidak ada bezanya dengan cerita "Ugly Betty". Di dalam filem Ugly Betty, walaupun Betty itu hodoh rupanya, tetapi dia sangat cerdik. Malah kecantikannya dipamerkan melalui cara perkataannya dikeluarkan, cara dia menyelesaikan masalah di dalam pejabat dan keluarga dan cara pembawakannya yang menarik.

Bagaimana Betty dapat menyelesaikan masalah yang rumit, peranan Betty yang menguatkan organisasi syarikat ditambah pula dengan karakter yang lurus dan amanah menjadikan hakikat kecantikan Betty terpancar di wajahnya.

Malah dalam cerita Yo soy Betty, la fea (I am Betty, the ugly) iaitu cerita asal di dalam bahasa American latin, Betty akhirnya berkahwin dengan Armando, Bossnya yang sangat kacak dan kaya. Betty yang hodoh lebih dipilih dari sekian banyak wanita cantik yang mengelilingi Bossnya. Tiada penonton yang terhina dengan Betty walaupun rupanya hodoh dan giginya penuh braces.

Saya fikir serupa dengan cerita Halimah Jongang, sekiranya Halimah berhati mulia, bijak, berperwatakan menarik, bijak menyelesaikan masalah, maka Jongangnya Halimah pasti tidak tampak kerana ditutupi dengan peribadinya.

Sebenarnya itu yang patut ditonjolkan oleh pengarah filem. Jalan cerita yang cliche tapi kalau ada sesuatu yang boleh ditonjolkan yang membawa mesej positif kepada penonton, pasti akan tiba saatnya walaupun Halimah tetap jongang, ia tetap diterima sebagai seseorang yang sebagaimana adanya. Yang penting karakter Halimah itu kuat berbanding jongangnya. Kalau sekadar nak cerita Halimah itu jongang dan balik-balik isu jongangnya sahaja, lebih baik tidak payah buat cerita.

Akhir cerita, kejongangan Halimah telah dirawat di dalam cerita ini. Kita faham kerana ia sebuah telemovie atau drama bersiri. Pengakhirannya perlu dramatik. Halimah tidak lagi jongang pada akhir cerita kerana menjalani rawatan pembedahan. Tetapi pada hakikatnya, ramai kawan-kawan kita yang mempunyai kekurangan rupa paras tidak dapat berbuat apa-apa hatta menjalani pembedahan plastik sekalipun kerana itu adalah anugerah Allah dan Qada' dan Qadar Allah.

Sewajarnya drama bersiri Halimah Jongang dapat mendidik sekiran ramai penonton tentang baik budi dan berperwatakan mulia lebih daripada sekadar rupa wajah dan gigi yang jongang.

Wassalam..

1 comment:

Anonymous said...

salam,sy stuju sgt ngn dr. time tgk cite ugly bety ngn betty la fea xase down pun.(sy salah sorg hamba Allah yg jongang). tp bila dgr lagu eddie hamid sial tu ase down sgt2 smpai ase nk bunuh dia.

Related Posts with Thumbnails