Tuesday, October 12, 2010

MRA bekerjasama dengan PIMA

Oleh : DR SHAHRIZAL AZWAN BIN SAMSUDIN

Dipetik dari Utusan Malaysia di sini


Para petugas mra dan sukarelawan menyediakan makanan untuk mangsa banjir.


DALAM usaha membantu mangsa banjir di Pakistan, Agensi Bantuan Malaysia (MRA) bekerjasama rapat dengan Persatuan Perubatan Islam Pakistan (PIMA) untuk projek pengagihan kit kebersihan dan ubat-ubatan.

MRA telah menyerahkan bantuan kepada rakyat Pakistan melalui PIMA berjumlah RM25,000 untuk tujuan itu.

PIMA adalah antara persatuan perubatan yang terbesar di dunia. Mereka terdiri daripada gabungan hampir 4,000 doktor yang bergerak membantu mereka yang dalam kesusahan secara percuma.

Selain PIMA, MRA juga menjalankan kerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan tempatan (NGO) seperti Al-Khidmat Foundation dan ISRA-Trust.

ISRA-Trust telah bersetuju bekerjasama dengan MRA bagi menyediakan sebuah gedung dua tingkat untuk tujuan simpanan barang-barang makanan dan bukan makanan yang didermakan oleh rakyat Malaysia.


PENGALAMAN PERTAMA DI PAKISTAN

Sebagai pertama kali saya menjejakkan kaki ke Pakistan, banyak pengalaman yang saya kutip di sini.

Hampir 97 peratus penduduk di sini mengamalkan ajaran Islam menurut mazhab Hanafi. Secara umumnya bahasa Urdu ialah bahasa kebangsaan dan merupakan bahasa utama komunikasi.

Di kawasan tempat kami bergerak di Peshawar dan Chasaddar di daerah Khyber Pakhtun Khwa (KPK), bahasa perhubungan utama di situ ialah bahasa Pashtun bukannya Urdu.

Di jalan raya di Peshawar, kenderaan seperti kereta kuda dan keldai masih dapat dilihat di perjalanan.

Ia merupakan kenderaan efektif untuk mengangkut barangan kecil seperti kayu-kayu dan guni-guni berisi makanan.

Negara Pakistan adalah sebuah negara tentera. Oleh itu sepanjang perjalanan, pasti akan ada tentera dan polis bersenjata membuat sekatan jalan.

Kadangkala terlalu kerap sehingga setiap 200 meter pasti akan diadakan sekatan jalan. Ini tidak menghairankan kerana Pakistan berkongsi sempadan dengan Afghanistan, negara sasaran Amerika Syarikat yang menentang puak Taliban.

Peshawar, bandar tempat kami menginap menjadi jalan utama masuk ke Kabul, ibu kota Afghanistan.

Masalah pengeboman berani mati adalah isu keselamatan yang bermain-main di fikiran kami sepanjang kami berada di sana.

Oleh itu, sedaya upaya kami cuba mengelakkan diri daripada pergi ke restoran-restoran barat seperti KFC, Pizza Hut dan hotel-hotel tumpuan pelancong barat.


BERTOLAK PULANG

Saya bertolak pulang dengan rasa bebanan di bahu. Saya tidak fikir apa yang telah saya sumbangkan selama seminggu di sini telah membawa apa-apa impak yang besar kepada penduduk di sini.

Walaupun begitu, saya yakin bahawa ada tugas yang lebih besar boleh saya laksanakan iaitu dengan memberi lebih banyak maklumat kepada penduduk di Malaysia tentang bencana yang dihadapi oleh penduduk di Pakistan.

Dengan adanya kerjasama di antara Kumpulan Utusan dan MRA untuk melancarkan Dana Bantuan Kemanusiaan Pakistan pada bulan Ramadan ini, saya percaya program yang lebih baik, teratur dan mempunyai impak yang besar boleh dilaksanakan.

Apatah lagi mereka yang menghadapi bencana adalah saudara sesama Islam kita.

Saya merayu agar kita sama-sama membantu mereka yang betul-betul memerlukan.

Segala sumbangan daripada anda walaupun kecil amat bermakna kepada mereka.

Semoga mangsa banjir di Pakistan dapat merayakan hari raya yang bakal menjelang dengan sedikit kegembiraan hasil daripada sumbangan rakyat Malaysia yang budiman.

Related Posts with Thumbnails