Wednesday, September 12, 2007

Ramadhan dan Mengubah Konteks Realiti

Assalamualaikum Warahmatullah...

Pertama-tamanya marilah kita bersama-sama menghadratkan beribu-ribu kesyukuran yang tidak terhingga kerana dipertemukan Ramadhan sekali lagi. Marilah kita bersama-sama berdoa agar Ramadhan kita kali ini lebih baik daripada Ramadhan yang sebelumnya. Dan semoga Allah memanjangkan umur kita untuk menikmati Ramadhan-ramadhan yang mendatang.

Masuknya Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan kedua saya meninggalkan tugas sebagai pegawai kerajaan di Hospital Kuala Lumpur. Pada Ramadhan yang lepas saya telah meletakkan jawatan 24 jam sebagai pegawai kerajaan. Setelah meletakkan jawatan 24 jam saya dipanggil oleh Timbalan Pengarah HKL, Dr Ghazali. Kami bersemuka di dalam biliknya dan beliau bertanya kenapa saya meletakkan jawatan 24 jam daripada kerajaan. Beliau menegaskan bahawa satu kerugian kerana meletakkan jawatan di dalam kerajaan merupakan keputusan yang tidak boleh ditarik balik. Saya akan kehilangan insentif kerajaan. Beliau mencadangkan supaya saya mengambil cuti tanpa gaji selama 6 bulan yang mana cadangan itu saya tolak dengan baik.

Beliau bertanya samada saya ada bergaduh dengan ketua jabatan pembedahan plastik ketika itu. Saya menjawab bahawa saya mempunyai hubungan yang sangat mesra dengan Ketua Jabatan iaitu Dato' Dr. Ahmad Ridzwan Arshad... Malah Dato' ARA telah menganugerahkan saya pekerja cemerlang tahun itu dan dianugerahkan wang cenderahati RM 1000.00 dan sekeping sijil oleh HKL di atas tugasan saya sebagai pegawai Akreditasi Jabatan dan Pegawai untuk ISO 9001 untuk Jabatan dan HKL.

Jika diingat kembali, saya mempunyai satu keazaman yang kuat di samping mempunyai kecenderungan untuk berani membuat keputusan yang tegas dan cepat. Ramai yang memandang bahawa saya telah membuat keputusan yang silap dan bodoh. Mungkin betul... Tetapi tuan dan puan, berani membuat keputusan dengan langkah-langkah besar seperti ini merupakan satu keberanian yang tidak ramai orang berani melakukannya. Malah ada yang bertanya adakah saya menyesal meletakkan jawatan... Jawapan saya mudah... Saya tidak akan memandang ke belakang...

Membuat keputusan adalah satu kemahiran. Di dalam peperangan, ia adalah satu alat yang sangat penting. Ia akan menentukan nyawa anak-anak buah kita terselamat atau terkorban. Malah di dalam keadaan yang sangat genting, sebuah keputusan tidak ada perkataan "betul" atau "salah". Kerana di dalam waktu itu, ketika itu, saat itu... satu keputusan perlu diambil.

Saya membuat satu keputusan yang saya mahu berniaga. Dengan meletakkan jawatan, saya mempunyai lebih banyak masa untuk mengatur strategi untuk berniaga. Siapa ingin katakan saya salah di dalam membuat keputusan? Mungkin saya membuat keputusan seperti itu adalah disebabkan semangat bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan menyebabkan saya lebih berani mempertaruhkan masa hadapan saya untuk saya masuk ke lapangan perniagaan.

Setelah setahun Ramadhan telah berlalu, perniagaan yang telah saya mulakan mula mendikit naik. Tidak ada yang besar. Saya adalah seorang strategist dan realist. Saya tahu ke mana arah saya tuju sekarang. Saya tidak mahu besar tetapi bubar. Cukuplah kecil-kecil tetapi berhasil. Saya tidak mahu buat pinjaman bank dahulu, tapi saya yakin ia akan berlaku sekiranya saya mahu melangkah setapak lagi tapi ini bukan masanya. Mungkin ia akan berlaku satu atau dua Ramadhan lagi. Saya amat yakin ketika itu, perniagaan saya akan melangkah beberapa tapak. Saya sudah membayangkannya.

Apa yang sukar di dalam kotak pemikiran kita ialah menukar konteks realiti kehidupan kita. Sesuatu yang sukar diterima apabila seorang doktor menjual roti di tepi gerai untuk mencari untung sekadar RM 200 -RM 300. Sukar untuk memikirkan seorang pakar perubatan memasuki bisnes penternakan lembu secara sepenuh masa. Sukar untuk membayangkan seorang engineer komputer boleh berhenti kerja untuk buka kedai kek. Ini adalah kerana di dalam konteks realiti kepala kita, professional tidak logik untuk membuat perkara seperti itu.

Saudara-saudari, sempena Ramadhan yang mulia ini marilah kita bersama menukar konteks realiti kehidupan kita. Kita perlu menukar pemikiran kita untuk berfikir bahawa tidak ada yang sukar untuk berjaya di dalam hidup. Di dalam masa yang sama kita perkukuhkan untuk kehidupan di akhirat.

Bagaimana untuk mengubah konteks realiti kita? Iaitu melalui ilmu dan pendidikan. Tambahkan ilmu pengetahuan dan jadikan diri kita seorang yang dahagakan ilmu. Marilah kita membaca dan membaca. Satu buku setiap dua minggu sebagai permulaan. Pilihan buku adalah milik saudara/i. InsyaAllah, konteks realiti kehidupan kita akan berubah...

Sempena Ramadhan al-Mubarak, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat berpuasa. Semoga Ramadhan kali ini penuh makna dan mendapat Rahmat dan Keberkatan dariNya. Wallahu A'lam.


6 comments:

Raiyan said...

bila baca entry ni baru saya tau yang doc dah tak kerja kat hkl rupanya.tapi masih lg jd doc kan?
kagum,satu keputusan yang berani n hebat. moga terus cemerlang inshallah.
saya juga pernah mengambil keputusan yang di anggap silap/bodoh oleh org lain kerana meletakkan jwtn.satu pekerjaan yang pernah menjd cita2 saya sewaktu kat uni lg.semua orang berebutkn jwtn tu,saya plak pi lepaskan (tp bkn jd doktor le,jd doktor kat makanan aje.hehe)
dan... saya bersyukur dengan pencapaian saya sekarang. mak yang marahkan saya,sudah tersenyum kembali :)
btw, thanks!entry doc, buatkan saya rasa lebih termotivasi.(sori,ayat bm teruk.hehe)

Dr Azwan said...

Awak lagi hebat Najah. Awak letak jawatan terus berniaga full time. Saya tak mampu lagi. Maklumlah. anak sulung dalam keluarga, adik ramai lagi belajar. Anak ngan isteri lagi nak bagi makan. Kalau perniagaan dah cantik, baru saya nak berhenti.

Wahidah said...

hm..sya pun pernah lepaskan jawatan dl kerajaan...tp bukan la utk berniaga...tp adalah atas alasan yg tertentu...ibu sya marah dkt sya...smpai skrang still ungkit gk lagi...tp dh kurang la...

suehoney said...

hari2 saya berfikir utk buka perniagaan. tapi masih belum sampai lagi tahap berani macam doc. minat berniaga tapi everything masih kabur lagi. kat mana nak mula. kat sapa nak minta nasihat. kat mana nak belajar. dalam kepala otak ni macam2 idea dah. pasal modal saya tak berapa risau sebab duit boleh cari. tapi bila surf internet baca pengalaman org lain tempuh masalah teknikal dalam bidang diaorg, dah kendur balik semangat saya. dari 100% yakin, dah turun 80% plak. he..he..he..

Dr Azwan said...

Saya pernah datang kursus anjuran MECD selama 2 bulan. Ternyata ada duit atau ada minat sahaja tidak mencukupi. Tapi bak kata orang : risiko kita kena tempuh untuk berjaya. Kapal terbang yang paling selamat ialah kapal terbang yang tak pernah bergerak dari landasannya. MEmang selamat tapi tak bernilai apa2 pun. :)

Anonymous said...

salam dr...
saya baru je ikut blog dr ni... sebelum ni sibuk sgt. Nak buka komputer pun tak sempat. Saya ni housemen di hkl. tapi akhir2 ni semangat untuk keje dah berkurang, boleh kata dah takde langsung. Cita2 pun tak tinggi, cuma nak dapatkan APC dan buat locum. Sementelah dah kahwin dan ada 2 orang anak, semangat nak jadi housewife melebihi dari pergi bekerja. Apa pandanagn Dr?

Related Posts with Thumbnails