Acute Gastroenteritis adalah satu penyakit yang sering melanda ketika majlis-majlis perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri diadakan ataupun sekadar majlis kenduri kahwin kecil-kecilan . Ia menyerang tidak kira peringkat usia, tua, remaja sehinggalah ke budak kecil. Ada yang menggelarkannya "keracunan makanan". Hakikatnya tiada racun di dalam makanan itu tetapi ia adalah "makhluk halus" atau mikroorganisme yang menyebabkan anda mengalami gejala penyakit.
Acute Gastroenteritis atau AGE didefinisikan sebagai penyakit yang menyebabkan gejala cirit-birit yang kerap dengan atau tanpa gejala-gejala lain seperti loya, muntah, demam dan sakit perut. Cirit birit ialah konsistensi najis yang cair dengan kekerapan yang lebih daripada biasa.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiV4uuhA6V1tI-MseTuEqvF1MJUKvsMhW32eYCTy2Fn6zhBRPcdF5Nm_heUWkmSrmzx-Ob0qEK8kj19XeNAcvzT7-Fh4l95NK7tSVLgZMQ5zrSMCqu8r1Qd-SXsM6WWQ0Ium19C6jBxFkVV/s320/Rotavirus.gif)
Air yang tidak dimasak seperti dalam kiub ais boleh menjadi penyebab utama kepada AGE. Pernah suatu ketika di Kelantan, penyebaran penyakit Demam Kepialu oleh Salmonella Typhi berasal daripada sebuah kilang ais yang tercemar. Makanan yang telah lama dimasak dan sudah sejuk seperti rendang (yang juga kaya dengan santan dan minyak) merupakan tempat yang baik bagi bakteria membiak. Kuman juga boleh merebak dari seseorang yang lain melalui sentuhan seperti bersalam-salaman ataupun berkongsi makanan yang tercemar.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhbNzRbY8mOP_9U4026PsnzHWLi_F58dwXGkaZTfuQI8w-2aPB2MregHeI2VEGOIz-gu84oBbnWPwNnZaEafjBVRdk9NcPxSrc2qCxPVreoNLflcW13Tv4684gLitde2rWEAExtXMwTNxOZ/s320/cramps.jpg)
Untuk kanak-kanak kecil terutamanya, AGE boleh menyebabkan kekurangan air yang serius. Demam yang tinggi, muntah-muntah dan cirit-birit boleh mendatangkan dehidrasi yang boleh membahayakan nyawa mereka. Dehidrasi menjadi bertambah dengan ketakutan untuk meminum air dikhuatiri menyebabkan muntah yang berterusan sekiranya mereka makan atau minum. Mereka akan kelihatan tidak bermaya, asyik terbaring dan mata bertambah cengkung. Sekiranya dehidrasi teruk berlaku, adalah lebih baik mereka di hantar ke hospital untuk dimasukkan air melalui saluran darah.
Sekiranya cirit-birit atau muntah tidak begitu teruk, maka pe
ngambilan air yang bersih adalah digalakkan. Ini termasuk pengambilan Oral Rehydration Salt (ORS) bergantung kepada kekerapan pembuangan najis. Kanak-kanak mungkin boleh mengambilnya sedikit-sedikit di dalam beberapa sudu selama selang 3 minit sekiranya kerap muntah. Untuk orang dewasa, pengambilan ubat seperti loperamide/lomotil di dalam kes cirit berdarah adalah tidak dibenarkan. Buscopan boleh mengurangkan gejala sakit perut dengan berkesan.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjq4bbbuTpmGXnX7Wo_HSOYz6LmrKn43QnywujglD890Z2fIC3TLC1b48Gva4jXp1J7ucQAApWunhjetkdFUHgSCBknghkInwgHVR7LXvdfJmqb_Cgs1X-bYMWPRxRfc9vCBIKrghZjG8Sc/s320/1-ORS.jpg)
Membasuh tangan sebelum dan makan adalah salah satu cara yang sangat efektif untuk mengelakkan daripada AGE. Ini adalah kerana setelah bersalaman dengan ramai tetamu di kalangan saudara mara dan sahabat handai, anda tidak mahu kuman-kuman yang baru melekat di tangan anda itu masuk sekali ke dalam mulut anda bersama-sama dengan juadah hidangan hari raya. Jangan jadikan hari raya ini satu tragedi. Elak sebelum kena. Ikut sunnah Rasulullah SAW yang sangat mudah. Basuh tangan sebelum makan.
Wallahu Alam.
1 comment:
SALAM DR. SAYA NK TANYA MENGENAI PERBEZAAN KERACUNAN MAKANAN DENGAN A.G.E.....BOLEH BERI SEDIKIT INFO MENGENAINYA..
AKMAL
PENCARI ILMU
Post a Comment