Thursday, March 6, 2008

Apa Erti Merdeka 50 Tahun ?

Assalamualaikum semua pembaca budiman,

Malaysia telah merdeka 50 tahun. Ini bermakna penduduk di Malaysia sudah pun agak matang jika diukur di dalam kiraan umur kematangan manusia. 50 tahun bukan angka kecil walaupun ada ramai yang cuba memperkecilkannya. Apalah 50 tahun ini jika nak dibandingkan dengan usia kemerdekaan Amerika Syarikat yang mencapai ke tahap 233 tahun?

Sepatutnya kita merasa berbangga kerana kita tidak berapa jauh daripada Indonesia ataupun India yang telah merdeka di dalam lingkungan 60 tahun. Hanya lebih kurang 10 tahun sahaja bezanya dengan Malaysia.

Menurut beberapa pemimpin negara kita, 50 tahun pertama negara Malaysia ditubuhkan adalah untuk menyediakan fasiliti dan kemudahan survival rakyat Malaysia. Menyediakan kawasan untuk tempat tinggal, menyediakan air dan sumber elektrik kepada penduduk, menyediakan jalan raya yang lengkap (sepatutnya tanpa tol macam negara lain seperti Russia), menyediakan sistem perparitan dan longkang dan segala macam perkara yang perlu untuk kemudahan rakyat. Pendapatan negara digunakan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengurangkan kadar kemiskinan melalui pendidikan.

Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar dan baik walaupun adakalanya ada masalah-masalah timbul seperti kenaikan harga tol, kenaikan harga minyak petrol (walaupun Malaysia negara pengeluar minyak), tahap pemikiran pelajar universiti yang beku dan kenaikan harga barangan akibat inflasi dan permainan golongan tertentu. Secara umumnya kredit seharusnya diberi kepada kerajaan yang memerintah di atas segala perlaksanaan2 yang baik.

50 tahun selepas merdeka, setelah segalanya telah ada dan siap. Maka Pilihanraya kali ke 12 ini mendambakan pemikiran rakyat yang berubah. Perubahan yang bagaimana anda bertanya. Jawapannya ialah perubahan dari sudut yang lebih positif.

Jikalau 50 tahun dulu, kita memilih calon untuk mewakili kita agar jalan di depan rumah kita diturapkan. Kita pilih calon wakil rakyat supaya ada elektrik yang menerangi depan rumah, atau kita nak ada longkang atau parit yang selalu tersumbat dapat dibersihkan, sampah dapat diangkat tepat pada waktunya. Kita pilih calon wakil rakyat yang boleh bagi kita sebuah padang permainan yang lengkap dengan kotak gol supaya anak dapat bermain bola pada waktu petang. Kita pilih wakil rakyat yang tolong bina jambatan yang lebih besar kerana jambatan yang ada sudah tidak boleh menampung kereta yang semakin banyak di kawasan rumah. Tapi adakah itu "priority" atau keutamaan kita pada waktu ini?

Sesetengah kata anda ialah ya! Saya mungkin boleh bersetuju. Cuba lihat sekarang, masih ada kampung yang masih tiada bekalan air dan api. Masih ada jalan yang belum berturap. Masih ada orang kampung yang berpendapatan seperti orang Bangladesh yang tinggal di Bangladesh. Kesihan. Sudah 50 tahun negara merdeka.... dan ada yang masih bergelap dan dapur tidak berasap. Mungkin itu benar di kawasan kampung-kampung. Mereka memilih calon wakil rakyat yang pandai berjanji dengan janji-janji manis tetapi akhirnya menikam mereka dari belakang.

Yang tinggal di bandar-bandar pula telah mengalami perubahan minda yang berbeza. Tahniah dengan segala pendidikan yang disediakan oleh kerajaan yang menjadikan lebih ramai anak muda mempunyai diploma dan ijazah, maka keutamaan untuk memilih calon wakil rakyat telah berubah. Janji-janji seperti - buat jalan yang ada u-turn supaya penduduk kampung di Taman Medan tak perlu membayar tol seperti sekarang contohnya mungkin hanya menjadi isu trivial atau kecil. Nak janjikan pembangunan, nampaknya semuanya telah kelihatan tersedia.

Jadi apakah yang diharapkan oleh mereka yang semakin berpendidikan ini yang tinggal di kawasan bandar2?

Pada pendapat saya, pengundi yang bijak tidak sahaja mengundi di atas isu lokaliti atau setempat tetapi juga mengundi di atas isu nasional atau negara. Mereka mahukan ahli-ahli parlimen yang lebih bertanggungjawab dan bersih. Mereka mahukan ahli perlimen yang bekerja dan berkhidmat untuk rakyat. Mereka gembira jikalau ahli parlimen kita jika berbahas di Parlimen menggunakan bijak akal dan minda dan bukan berbahas seperti budak sekolah menengah tingkatan 3 atau menunjukkan level pemikiran budak tadika.

Mereka membenci ahli parlimen yang rasuah. Mereka tidak mahukan agama Islam dibobrokkan dengan alasan-alasan yang tidak munasabah. Di samping itu kaum lain bebas melaksanakan ritual mereka di dalam batas-batas yang dibenarkan. Mereka mahukan keikhlasan kerajaan di dalam menangani isu kenaikan harga barang. Mereka mahu tahu, ke mana pendapatan negara kita dihabiskan secara telus. Kenapa masih ada pihak membeli sekotak skru dengan harga RM 100?

Apa yang kami dapat dengan mengundi anda wahai wakil rakyat semua. Adakah dengan mengundi anda, kami terpaksa menahan satu lagi kenaikan harga minyak sehingga RM 0.60 sen? Di mana suara wakil rakyat yang kami pilih 5 tahun dulu ketika isu ini diketengahkan. Mana? Mana?

Segala simpati saya kepada mereka yang tidak mahukan perubahan. Walaupun saya terpaksa juga bersimpati di atas diri saya sendiri kerana apa pun yang saya lakukan dan usahakan, harga minyak negara akan tetap naik.. harap ia akan naik sekadar RM 0.60 sahaja kerana sekiranya ia naik sehingga RM 0.80 atau RM 1, saya amat yakin, tidak ada ahli parlimen di sana yang akan berani bersuara.

Wallahu A'lam.

4 comments:

Anonymous said...

saya mengundi kerana inginkan pemimpin yang memimpin rakyatnya ke jalan yang di redai ALLAH...

Dr Azwan said...

kumb@ng : itulah yang sebaik-baiknya. Mengundi kat Johor ke?

Nadlique said...

Isu harga petrol antara isu yg sensitif. Dekat blog saya sendiri, saya ada tulis pasal isu ni. Sampai kena marah! :D

Janji-janji yang ditaburkan sesetengah ahli politik tentang harga petrol sungguh tidak realistik. Ada yg kata harga tak naik, ada yg kata harga akan diturunkan.

Saya rasa, janji tu boleh la dipenuhi sekejap je. Lepas tu, lepas harga minyak dunia naik mendadak, lambat laun, harga minyak di pam minyak akan naik jugak.

Apa-apapun, saya doakan supaya negara kita sentiasa aman.

Dr Azwan said...

Saya dah jawab di dalam blog nadlique:

http://www.nadlique.com/index.php/2008/03/07/election-promises-of-petrol-price-and-subsidies/

Related Posts with Thumbnails