Thursday, November 27, 2008

Prinsipal vs Struktural di dalam Perniagaan Islam






Salam,

Orang Islam kalau berniaga perlu ada beberapa perkara yang perlu dipastikan. Yang pertama kena nama syarikat ala arab sikit... contohnya - Halalan Thayyiban atau Barakah Enterprise.

Kalau letak nama Angkasa Raya atau Pokok Hijau contohnya tak berapa sesuai.. hmm tak berapa Islamik lah nama tuh. Tak berapa sesuai dengan imej atau syiar katanya.

Lepas tuh kalau ada mesin-mesin seperti kilang, mesti mesin-mesin itu kena mengadap kiblat. Tak boleh susun semberono sahaja. Kalau boleh semua pekerja kalau duduk pun kena ada cara agar semuanya menghadap kiblat. Alhamdulillah.

Kalau ada pekerja lelaki dan perempuan, kena asingkan. Satu bilik mesin nih khas untuk pekerja perempuan sahaja. Satu lagi bilik yang diletakkan mesin kenalah hanya lelaki sahaja yang boleh bekerja. Kalau satu bilik menggunakan mesin yang sama, satu partition atau halangan perlu ada bagi mengasingkan lelaki dan perempuan. Alhamdulillah.

Ini adalah syarikat Islam yang diceritakan oleh pelanggan saya ketika membeli cacing tempoh hari. Saya tanya dahulu bisnes apa. Dia memberitahu bahawa dulu dia ada market untuk produk makanan halal daripada sebuah syarikat ini. Tetapi akhirnya syarikat itu berkubur.

Saya tanya kenapa? Dia jawab barang tak ada. Mungkin sebab modal tak cukup. Order stok tak sampai-sampai. Dah lah tuh packaging tak menarik. Susah nak pasarkan.

Ada benda yang saya tak faham tentang beberapa orang Islam yang berniaga ini. Kita tidak memikirkan soal prinsip-prinsip utama di dalam perniagaan, tetapi lebih mementingkan imej dan rupa wajah atau kata lainnya Struktural di dalam perniagaan itu sendiri.

Tidak dinafikan kepentingan meletakkan mesin menghadap kiblat atau mengasingkan lelaki dan perempuan pada waktu bekerja tetapi apa yang lebih penting lagi adalah bagaimana perniagaan itu perlu dilaksanakan supaya nama Islam itu tidak menjadi fitnah.

Strategi pemasaran seperti pembungkusan, pengiklanan dan sebagainya adalah sangat penting untuk kelestarian sesuatu perniagaan. Ia adalah prinsip yang wajib sebenarnya di dalam perniagaan. Malah kos pemasaran dianggap satu pelaburan dan bukan pembaziran.

Begitu juga dengan keperluan modal kerja yang perlu. Keperluan modal kerja dan modal pusingan sangat penting dan tidak boleh diabaikan.

Sekiranya perniagaan berkembang maju, dan membuka peluang lebih ramai pekerjaan yang memberi makan kepada ramai keluarga, itu sahaja sudah memberikan nama baik kepada Islam dan lebih substantial daripada meletakkan mesin menghadap kiblat.

Sudah sampai masanya kita lebih berfikir secara prinsipal daripada berfikir terlalu struktural.

Wallahu Alam.

No comments:

Related Posts with Thumbnails