Saturday, November 29, 2008

Korban Aidil Adha - Ceramah Ust Fauzi




Assalamualaikum,

Baru tadi dengar ceramah Ustaz Fauzi tentang korban.

Ada beberapa perkara penting yang mungkin kita dapat berkongsi bersama.

1. Korban adalah sunat yang dituntut atau sunat muakkadah. Oleh itu kewajaran orang yang ada kemampuan untuk memberikan korban walaupun satu bahagian (RM 350) untuk setiap tahun. Ada yang menghabiskan wang dengan bil telefon sebulan beratus-ratus tetapi berkira untuk melakukan korban walaupun satu bahagian.

2. Dari segi keutamaannya (allawiyat), sekiranya masih terdapat golongan miskin di kampung-kampung dan di kawasan berhampiran, maka yang itu lebih perlu diutamakan untuk diberikan daging korban. Sekiranya tiada, kemudian di luar kampung, kemudian di daerah luar, kemudian di dalam negeri, kemudian di dalam negara.. kemudian barulah di luar negara. Sekiranya ada keluarga yang terdekat, saudara mara dan sahabat handai yang miskin, maka bantuan kepada mereka patut didahulukan.

3. Berkorban perlu lah lembu yang sihat. Lembu yang tidak sihat, cacat, mempunyai penyakit kulit, buta, patah kaki, tidak cukup umur akan menyebabkan korban tidak sah dan akan menjadi lembu sembelihan biasa sahaja. Lembu yang tegap, isi daging yang banyak dan sihat menjadi keutamaan walaupun harganya agak mahal daripada lembu yang kurus tetapi murah.

4. Sekiranya didapati lembu korban betina bunting, maka biarkanlah lembu itu melahirkan dahulu anaknya. Sekiranya dikorbankan juga dan anaknya mati di dalam kandungan, maka anak lembu tersebut sah dimakan dan tidak perlu disembelih kerana ibu nya sudah disembelih. Sekiranya anaknya hidup, biarkan sahaja anaknya hidup.

5. Berhati-hati dengan lembu liar yang ganas. Sekiranya di dalam proses ingin menyembelih tersebut, kakinya patah atau telinganya putus akibat usaha untuk menjinakkan atau menenteramkannya, maka korban tersebut tidak sah dan dianggap sebagai sembelihan biasa sahaja.

6. Seekor lembu boleh dibahagikan kepada 7 bahagian korban. Sekiranya ada yang berhajat untuk aqiqah boleh melaksanakannya pada masa yang sama maka ia dibolehkan contohnya 3 bahagian aqiqah dan 4 bahagian korban. Tetapi sekiranya ada keluarga berhasrat untuk melaksanakan 7 bahagian hanya untuk aqiqah sahaja maka ia adalah satu kerugian. Ini kerana, korban hanya dilakukan pada 4 hari raya AidilAdha sedangkan selebihnya 361 hari lagi ada banyak masa untuk melakukan aqiqah.

7. Daging korban adalah afdhal diberikan di dalam keadaan mentah. Ianya diberikan kepada orang Islam sahaja. Berbeza dengan daging aqiqah yang lebih dahulu dimasak. Walaupun begitu kedua-duanya tidak dibolehkan untuk disedekahkan kepada bukan Islam. Di dalam kes Aqiqah, sekiranya ada jiran bukan Islam yang ingin diberikan daging Aqiqah kepada mereka, maka, kita boleh membeli daging daripada luar (bukan daripada yang disembelih) dan dicampurkan sekali di dalam masakan. Contohnya, jika berhajat untuk menghadiahkan 10 kg daging kambing kepada jiran bukan Islam, boleh beli daging di pasar dan campurkan sekali di dalam masakan. Maka, setelah masak bolehlah diserahkan kepada yang bukan Islam.

8. Daging korban tidak boleh dijual. Ini termasuk tulang belulang, isi perut, ekor dan juga kulit. Malah, untuk membayar upah kepada si tukang sembelih dan pelapah juga tidak boleh menggunakan daging korban sebagai bayaran. Ia boleh dianggap hadiah sahaja tetapi bukan upah kepada mereka.


9. Sekiranya ayah atau ibu sudah meninggal dunia, kita tidak boleh melakukan korban untuk mereka kecuali mereka telah mewasiatkan kita untuk berbuat demikian. Sekiranya ibu atau ayah masih hidup, maka keizinan daripada mereka adalah perlu. Sekiranya tidak mendapat keizinan korban tidak boleh dilakukan.

10. Hari raya aidil Adha adalah hari raya yang paling penting, dan 4 kali ganda lebih penting daripada hari raya Aidil Fitri. Sepatutnya dirayakan dengan lebih meriah dan penuh kesyukuran.

Diharap dapat iktibar sedikit sebanyak daripada apa yang ditulis.
Wallahu Alam




1 comment:

Web Scents said...

Semoga kita mendapatkan petunjuk atas pengorbanan yang kita lakukan setiap sa’at sehingga kita terbimbing pada ridhoNya. Amin

Related Posts with Thumbnails