Assalamualaikum,
Musim berkhatan tiba lagi. Ramai ibu-bapa yang mengambil peluang untuk bercuti apabila tiba musim khatan. Ada juga yang ingin mengkhatankan anak pada waktu Sabtu dan Ahad untuk mengelakkan daripada mengambil cuti.
BAru-baru ini masuk dalam muka surat hadapan sebuah surat khabar berkenaan dengan seorang budak yang berkhatan menggunakan klamp yang menyebabkan anak tersebut dimasukkan ke dalam ICU. Saya tidak mengikuti cerita tersebut.
Saya dapat tahu daripada seorang kawan saya yang merupakan seorang doktor bius di sebuah hospital bahawa anak tersebut mengalami fournier's gangrene selepas dikhatankan.
Fournier's gangrene ialah keadaan dimana kawasan kulit dan bawah kulit mengalami gangrene (kematian sel) pada kawasan skrotum, sekeliling zakar dan kawasan kulit berhampiran punggung. Kematian sel ini adakalanya berlaku secara besar-besaran dan kuman merebak dan boleh masuk ke dalam salur darah atau sepsis. Apabila terlalu serius dan badan sudah tidak boleh bertahan, ini boleh membawa kepada kematian.
Ia merupakan satu perkara yang sangat menyedihkan apabila satu prosedur kecil seperti berkhatan boleh menyebabkan seseorang dimasukkan ke dalam ICU.
Walaupun berkhatan adalah satu prosedur minor yang telah dijalankan sejak zaman-berzaman, tidak dinafikan bahawa risiko prosedur tersebut tetap ada. Risiko jangkitan sebagai contoh lebih dikenali sebagai "burut" oleh orang dulu-dulu merupakan satu contoh yang sering terjadi.
Belum lagi kalau tersilap potong, terlebih potong dan terkurang potong.
Baru-baru ini saya mengkhatankan seorang lelaki dewasa buat kali kedua kerana semasa kecil kemungkinan tok mudim tidak memotong kulit tersebut dengan sempurna. Mungkin ia sesuatu yang memalukan baginya kerana terpaksa menghadapinya buat kali kedua, tetapi jika difikirkan betapa beratnya tanggungjawab untuk menunaikan ibadah dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan kulit yang berlebihan seperti itu, sifat malu dan takut harus dipendam dan dipadam. Saya yakin beliau sekarang lebih gembira dan menghadapinya dengan redha setelah disunatkan buat kali kedua.
Pendarahan adalah salah satu contoh di mana berkhatan harus dilakukan dengan hati-hati. Semasa saya kecil, saya ada terdengar kisah-kisah ngeri kanak-kanak yang meninggal dunia akibat berkhatan disebabkan oleh pendarahan teruk yang tidak boleh diberhentikan. Apatah lagi, tok-tok mudim dahulu tidak mempunyai alat untuk memberhentikan pendarahan sebagaimana sekarang.
Pendarahan memang tidak dapat tidak, boleh berlaku ketika berkahatan. Kemungkinan sekiranya 100 orang yang bersunat, mungkin 5 orang boleh berlaku pendarahan. Walabagaimanapun, usah tunggu sehingga pendarahan mencapai ke hari ke 3 baru memohon bantuan. Sekiranya pendarahan berlaku, bawa segera ke hospital.
Adakalanya pendarahan tidak berlaku sebaik sahaja selepas bersunat. Ada yang berlaku selepas hari ke 2 atau ke 3. Kemungkinan kerana akiviti kanak-kanak tersebut yang terlalu aggresif, menggaru ke, atau bermain bola sepak contohnya.
Keloid pernah berlaku (rujuk artikel saya tentang keloid untuk mengetahui maknanya) di kawasan tempat bersunat. Keloid adalah perkara yang memalukan dan ia mungkin boleh terjadi walaupun jarang-jarang. Sekiranya berlaku ia amat susah untuk dirawat. Bagaimana ia terjadi di situ, saya pun tidak pasti.
Pada kebiasaannya, bersunat ambil masa 5-7 hari untuk pulih. Pulih bermaksud di sini luka sudah tutup dan sudah boleh berjalan perlahan-lahan. Sekiranya ada jangkitan, ia mungkin mengambil masa yang agak lama. Mungkin ada yang pernah berpengalaman terjadinya jangkitan sehingga terpaksa duduk berbaring sehingga 2-3 minggu.
Pada zaman dahulu, ada yang menghabiskan cuti sekolah di atas katil kerana luka khatan tidak sembuh-sembuh. Alhamdulillah dengan adanya teknik berkhatan yang lebih steril, ubat antibiotik dan ubat cuci yang lebih baik, luka jangkitan dapat disembuhkan dengan kadar yang lebih segera.
Walaupun berkhatan telah melalui proses beratus-ratus tahun lamanya di tanah melayu dan sehingga kini melalui prosedur ke tahap sakit yang paling minimum, namun sifat kanak-kanak yang takut, menangis dan lari daripada medan "perang" tetap diwarisi zaman berzaman. Adakalanya majlis bersunat tak ubah seperti tempat "penyembelihan" kanak-kanak. Jika silap hari, kita pula yang kena tendang. kung fu dan kena karate.
Pengalaman indah (dan mengerikan!) melalui zaman berkhatan dahulu tidak dapat dilupakan setiap daripada kita yang bergelar lelaki dan menjadi dendang sepanjang tahun kepada anak-anak lelaki kita hingga ke cucu dan cicit InsyaAllah.
6 comments:
ye tu doc, setuju. mmg kengerian masa nak ngadap tok mudim tu takkan ku lupekan (walaupun yang memotong tu bapakku sendiri) huhu
mmg melalui zaman berkhatan tu sangat mengerikan. nak2 apabila nmpk muka tok mudim (walaupun yang sunatkan diriku ini adalah bapakku sendiri). mmg kenangan itu takkan dilupakan sampai bile
salam..
apa pendapat dr kalau ibubapa khatankan anak lelaki ketika masih bayi?
Salam..doc.. anak saya sudah selamat dikhatankan.. tapi saya agak risau kerana selepas klamp dibuka.. ada bengkak yg agak besar..dibhgn kepala..dan saya takut ada jangkitan. Apa yg perlu dibuat ??klinik kata bengkak tu perkara biasa
Salam Dr, anak saya telah berkhatan secara laser, semasa kencing rasa sakit dan berdarah walau sudah 6 hari. Mohon pencerahan, tq
salam Dr,
Dr masih buat perkhidmatan berkhatan ke? di mana ye?
Post a Comment