Monday, July 14, 2008

Awas Taktik Kotor Penjual Rumah!






Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda satu isu kepenggunaan yang sangat penting iaitu isu pembelian rumah yang saya dengar daripada ruangan "konsumer" kelolaan saudara Mazlan di Radio 24. Saudara Mazlan telah menemurah En Darshan dari Bahagian Aduan Jabatan Perumahan (Maafkan saya kalau silap). Ada beberapa perkara yang saya kira semua pembaca patut tahu ketika membeli rumah agar tidak diperdaya dan ditipu oleh ejen penjual.

Isu ini penting kerana sebagai pengguna yang bijak kita mesti mengetahui beberapa undang-undang ketika membeli rumah. Kejahilan undang-undang boleh menyebabkan kita menjadi mangsa mudah tipu helah si penjual untuk mengaut keuntungan. Seperti yang saya sebutkan dulu, membeli rumah adalah satu pelaburan yang mungkin menyebabkan kita terhutang seumur hidup. Oleh itu apa salahnya kita menambahkan sedikit ilmu sebelum kita membuat pelaburan ini.


BAYARAN TEMPAHAN

Booking fees atau pembayaran untuk tempahan adalah trend baru pemaju perumahan untuk memastikan bahawa si pembeli meletakkan jaminan bahawa dia akan membeli unit tersebut. Ada pemaju yang meletakkan 1% daripada harga rumah, ada yang meletakkan RM 1000 dan pada satu ketika saya sendiri pernah diminta meletakkan RM 5000 sebagai bayaran tempahan.


Ejen-ejen yang bijak ini menggunakan kepakaran mereka untuk si pembeli membuat keputusan pada waktu yang singkat. Sekiranya sedang berjalan-jalan di sebuah kompleks membeli belah, anda mungkin terpaksa membuat keputusan membeli kondo atau rumah tersebut pada jangka waktu itu juga. Segala teknik licik mereka menggunakan pujuk rayu itu juga menggunakan promosi khas seperti percuma "tempat meletak kereta", rebat RM 10,000 atau percuma maintenance fee selama 1 tahun dan sebagainya.

Oleh itu, ramai lah berhempas pulas untuk mencari wang untuk membayar wang tempahan, malah ada yang menggunakan kad kredit mereka sehingga 2-3 keping untuk memastikan bahawa rumah itu dapat ditempah.

Setelah itu, bila anda pulang semula ke rumah dan mendapati bahawa keputusan anda itu telah silap atau anda kurang berkemampuan, anda pasti mahukan wang anda kembali. Anda cuba menghubungi mereka untuk meminta wang anda semula.

Ejen penjual atau pemaju perumahan akan berkata bahawa sekiranya di pembeli TIDAK jadi membeli unit tersebut, maka duit tersebut akan hangus atau hanya 50% sahaja akan dikembalikan. Anda perlu faham bahawa si penjual ini mendapat komisen dengan pembelian ini, oleh itu mereka akan menggunakan segala tipu helah mereka untuk memastikan bahawa jualan itu berjaya.
Kebanyakan pelanggan yang meletakkan RM 200-300 sebagai contoh akan merelakan sahaja kehilangan wang tersebut. Bagaimana pula mereka yang meletakkan wang sehingga RM 5000? Bukankah ini mendatangkan masalah kepada si pembeli.

Mari kita lihat undang-undang berkenaan dengan hal ini. Terdapat satu akta di dalam bahagian perumahan (11.2) yang menyatakan bahawa:-

1. Pemaju atau penjual hanya boleh mengambil wang pendahuluan daripada pembeli setelah mereka menandatangani perjanjian jual beli (S&P).

2. Sekiranya penjual mengambil wang SEBELUM menandatangani apa-apa perjanjian jual beli (dalam kes ini), maka sekiranya pembeli TIDAK MAHU meneruskan pembelian, si penjual perlu memulangkan KESEMUA jumlah wang (100%) TANPA SOALAN.

3. Sekiranya si pembeli mahu meneruskan hasrat untuk membeli, wang yang dibayar tempoh hari boleh digunakan sebagai sebahagian daripada deposit.

Oleh itu, kepada anda yang sudah membayar wang tempahan, sekiranya anda dapati bahawa anda tidak mahu meneruskan, anda boleh meminta kesemua wang anda sekali (100%) tanpa perlu menyatakan sebab kenapa anda tidak mahu meneruskan. Sekiranya pemaju tidak mahu berbuat demikian anda boleh menyatakan hak anda kepada mereka dan membuat aduan kepada Tribunal Bahagian Perumahan untuk diambil tindakan.


BAYARAN PENDAHULUAN

Bayaran deposit pada kebiasaannya adalah berjumlah 10% daripada harga rumah yang dipersetujui dan dibayar selepas menandatangani perjanjian jual beli. Bayaran pendahuluan atau deposit ini berbeza-beza mengikut harga rumah. Oleh itu nilainya boleh jadi sekadar RM 4000 sehingga beratus ribu.

Mengikut akta yang ada, sekiranya pembeli telah membayar wang deposit sebanyak 10% tetapi mendapati bahawa beliau tidak layak atau tidak berjaya mendapat pinjaman daripada bank-bank berkaitan, maka, si pembeli berhak mendapatkan wang pendahuluannya semula. Ini termasuk kepada mereka yang mendapati bahawa mereka disenarai hitam di dalam CCRIS atau CTOS.

Walaupun begitu, si pembeli hanya akan mendapat semula 9% daripada jumlah 10% wang pendahuluan asalnya. Contohnya wang yang dibayar ialah RM 10,000. Si pembeli berhak mendapat semula RM 9000. RM 1000 lagi boleh diambil oleh si penjual sebagai yuran pengurusannya.

Dengan adanya undang-undang sedemikian, maka hak pembeli rumah dilindungi. Terdapat syarikat perumahan yang mementingkan keuntungan akan membuat helah untuk membuat seolah-olah undang-undang berada di pihak mereka, dan mereka yang jahil pula akan menjadi mangsa.

Salam

6 comments:

Anonymous said...

a'kum,

terima kasih atas info. selama ini saya memang suspek benda ini ada helahnya cuma tak terjumpa mana-mana klaus yang menyatakan hak kita..

adakah terpakai untuk kereta juga?

abahfateh

Anonymous said...

saya minta izin, letak nie dlam cari.com.my ruangan pengguna..nnti sy letak link Dr.Azwan sekali..bagus info nie..

Anonymous said...

camane nak tgk akta ni?, kalo kite dtg kat pejabat pemaju tuh at least leh kite bgtau die kite dpt akta ni kat mana dan apa tindakan yg leh kite ambik..takut2 sampai sane die kate tunjukkan saya aktanye?..ah...sudahh.....aku masih ade 1000 tak refund lg ni..hehehehhe

Dr Azwan said...

akta perumahan 11.2. Atau boleh rujuk pada tribunal perumahan.

Anonymous said...

http://www.mohdelam.com/wp-content/uploads/2012/06/JADUAL-GHIJ.pdf

akta perumahan

Cikgu hisham said...

Salam Dr. Sy ingin bertanya ttg deposit hangus. Adakah kita masih blh menuntut semua atau sebahagian duit deposit kiranya tidak dpt teruskan pembelian tetapi perkara ini telah dinyatakan dalam perjanjian sementara jual beli antara pembeli Dan pemilik rumah bahawa pembeli dengan rela hari tidak akan menuntut semua bayaran sekiranya tidak dapat meneruskn pembelian. Minta pencerahan.

Related Posts with Thumbnails