Wednesday, February 27, 2008

Kek Secret Recipe Berkulat!






Assalamualaikum,

Ini cerita terbaru dari PPIM tentang sebuah kedai kek yang terkemuka di Malaysia telah didapati menjual kek yang sudah berkulat. Artikel dan gambar ini untuk tatapan anda.



KUALA LUMPUR - Orang ramai yang 'kepingin' menikmati keenakan hidangan di Secret Recipe haruslah berwaspada dan menitik berat soal kebersihan dan kualiti produk yang dikeluarkan bukan hanya sekadar menilai dari sudut luaran sahaja.

Itu senario yang berlaku kepada seorang penggemar kek yang terpaksa menanggung kesakitan kerana termakan "kek berintikan kulat." Penggemar tersebut kesal apabila tertipu oleh sebuah syarikat pengeluar kek antarabangsa dan terkemuka kerana menjual kek yang berkulat.

Mangsa mendakwa tertipu dengan kek dan bungkusan yang menarik selepas membeli kek itu di sebuah kedai kek Secret Recipe di Bukit Bintang. Menurutnya, beliau keluar membeli kek tersebut di kedai kek Secret Recipe pada 3 Januari lalu sekitar jam 10.53 malam. Beliau kemudiannya membeli dan terus pulang ke rumah untuk dimakan bersama keluarga tetapi setelah separuh kek dimakan, beliau mendapati bahagian dalaman kek itu telah berkulat.

Akibatnya, beliau bersama keluarga terpaksa dikejarkan ke klinik selepas muntah dan cirit-birit berlarutan dari pagi hingga ke petang. PPIM juga menerima aduan dari orang ramai yang was-was dengan status halal Secret Recipe kerana disyaki mengandungi bahan terlarang dalam ramuan kek keluaran syarikat tersebut.

Setelah aduan dibuat dan perbincangan antara pihak PPIM dengan Secret Recipe, Secret Recipe telah menawarkan habuan berbentuk baucer bernilai RM200.00 kepada PPIM untuk menutup kes ini.

Sungguh tidak wajar sekali syarikat itu menilai kepentingan pengguna hanya dengan baucer bernilai RM200.00. PPIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menggugat keselamatan dan kesejahteraan pengguna selaras dengan tanggungjawabnya sebagai sebuah persatuan yang melindungi pengguna dari perbuatan khianat pengusaha-pengusaha yang tidak bertanggungjawab.


Ingatkan canggih sangat sistem bisnesnyaa, rupanya ada juga produk dia yang berkulat. Agaknya terlupa nak letak alkohol dalam kek tuh...
Wallahu A'lam.

Tuesday, February 26, 2008

SAWAN DEMAM DAN PERAWATANNYA

Assalamualaikum...

Apabila anak anda mengidap demam melebihi 39 darjah celcius anda tentu risau sekiranya mereka boleh terkena sawan demam atau febrile fits. Apatah lagi sekiranya anak mengalami kekejangan di hadapan mata, ramai yang tidak tahu berbuat apa-apa, menjadi panik ataupun hanya menangis. Lebih teruk lagi sekiranya ada pulak yang pengsan. Mungkin artikel ini sedikit sebanyak boleh membantu anda untuk menghadapi situasi ini.

Rujukan saya adalah daripada Malaysia Clinical Practice Guidelines yang disusun oleh Pakar Paediatrik Malaysia diketuai oleh Dr. Hussein Imam - Ketua Institut Paediatrik HKL.


Apa itu Sawan Demam atau Febrile Fits?

Secara definisinya ialah sawan yang belaku akibat demam. Ia boleh terjadi kepada kanak-kanak di dalam lingkungan usia 3 bulan sehingga 6 tahun. Diagnosis sawan demam diberi sekiranya tiada bukti bahawa terdapat masalah di dalam otak ataupun masalah metabolik di dalam darah yang boleh menyebabkan masalah sawan berlaku.

Secara mudah, ini bermakna, sawan demam didiagnos apabila masalah-masalah di dalam otak seperti jangkitan atau masalah di darah seperti kekurangan garam tertentu telah diambil kira.

Sekiranya sawan berlaku sebelum umur 3 bulan atau berlanjutan selepas 6 tahun, maka ia bukan dikira sawan demam. (Semasa saya medical student dulu, kami di ajar sawan demam berlaku di antara 6 bulan - 6 tahun - lebih mudah hendak dihafal)

Apabila demam menjadi terlalu tinggi, ini akan mengganggu aktiviti otak dan menyebabkan sawan berlaku. Sawan bermaksud keadaan di mana kanak-kanak itu akan tidak sedarkan diri, mengalami kekejangan badan dan kaki, mata hitam akan memandang ke atas (uprolling of eyeballs) , air liur meleleh (drooling of saliva), dan pada tahap tertentu boleh termuntah, terkencing atau terbuang air besar.


Jenis Sawan Demam

Terdapat dua jenis sawan demam. Saya terjemahkan sebagai Sawan Demam Biasa (Simple Febrile Fits) dan Sawan Demam Kompleks (Complex Febrile Fits).

Sawan demam biasa adalah singkat, hanya satu episod sawan sahaja setiap kali demam dan terjadi kurang daripada 15 minit. Manakala Sawan Demam kompleks adalah berpanjangan, lebih daripada 15 minit dan terjadi berulang-ulang di dalam satu episod demam.


Adakah Sawan Demam Boleh Berulang-Ulang ?

Ya, sawan demam boleh terjadi berulang-ulang. Untuk anak anda yang baru pertama kali terkena sawan demam atau sering terkena sawan tetapi tidak pernah diperiksa adalah lebih baik sekiranya anak anda di bawa ke Hospital kerana beberapa pemeriksaan dan pemerhatian perlu dilakukan.

Risiko sawan yang berulang-ulang boleh berlaku sekiranya :-

1. Sawan pada umur di bawah 15 bulan

2. Saudara terdekat spt adik beradik, ibu atau ayah yang mempunyai penyakit epilepsi

3. Saudara terdekat spt adik beradik, ibu atau ayah yang pernah kena sawan demam dahulu

4. Terkena sawan demam dengan suhu di bawah 40 darjah celcius

5. Jarak masa demam dan terkena sawan demam adalah singkat

Ini semua adalah faktor risiko dan mereka yang mempunyai satu atau dua faktor risiko di atas akan kemungkinan mengalami 10% (1 di dalam 10) kes sawan yang berulang. Tetapi, satu kajian menunjukkan sekiranya semua risiko di atas ada, maka risiko sawan berulang adalah 100%.


Adakah Sawan Demam boleh Menyebabkan Epilepsi?

Epilepsi adalah sawan yang tidak mempunyai sebab yang jelas. Ia adalah impuls elektrik yang tidak menentu dikeluarkan oleh sel otak yang mengalami masalah mungkin sejak lahir atau di sebabkan kecacatan contohnya selepas kemalangan jalan raya atau trauma.

Tidak ada persetujuan umum oleh pakar tentang samada boleh atau tidak sawan demam akhirnya menjadi epilepsi. Apa yang boleh dikatakan ialah terdapat kajian yang menunjukkan bahawa 2% - 7% pesakit yang mengalami sawan demam akhirnya mendapat sawan akibat epilepsi. Dan 10% - 15% pesakit yang menghidap epilepsi pernah terkena sawan demam semasa hidup mereka.

Tetapi kajian lebih menujukkan mereka yang mempunyai sawan demam berkecenderungan mengalami epilepsi adalah mereka yang sering terkena sawan demam kompleks, sawan yang lebih daripada 3 kali di samping sejarah keluarga terdekat yang menghidap epilepsi.


Apakah Masalah Yang Akan Berlaku Kepada Anak Yang Demam Sawan?

Mengikut 2 kajian, mereka yang terkena demam sawan tidak akan mengalami masalah apa-apa dan akan membesar seperti kanak-kanak normal. Di dalam satu kajian di antara sawan demam biasa dan sawan demam kompleks, mereka yang mengalami sawan demam biasa dan sawan demam kompleks juga tidak menunjukkan apa-apa perbezaan di dalam pembelajaran.

Malah, ada satu kajian yang menyatakan mereka yang mengalami kes demam sawan mempunyai akademik yang lebih cemerlang daripada kanak-kanak yang normal !!

Huuhh!.. Ayat kontroversi nih... nanti ramai pulak mak ayah kat Malaysia yang nak anak mereka sawan demam...


Adakah Anak Anda Perlu Masuk ke Wad?

Mengapa anak anda harus ke Hospital? Ini adalah kerana supaya doktor dapat memeriksa dan memastikan bahawa anak anda tidak menghidap MENINGITIS atau jangkitan selaput otak.

Ini adalah kerana 17% kes demam sawan adalah positif untuk MENINGITIS dan perlu diingatkan MENINGITIS boleh membawa maut dan menyebabkan kecacatan kekal otak, tubuh dan lumpuh.

Pada kebiasaannya, kanak-kanak yang terkena sawan demam akan bangun dari sawan dan bermain seperti biasa, berlari dan tidak menunjukkan tanda-tanda seperti lesu atau lemah. Mereka tidak perlu bermalam ke dalam wad. Cukup sekadar pemerhatian di wad pemerhatian selama 6 jam sahaja.

Sedangkan MENINGITIS, anak anda akan demam berpanjangan, lemah, muntah, menangis tak henti-henti dan di dalam kesakitan. Di dalam kes ini pemeriksaan yang lebih terperinci perlu dilakukan dan anak anda akan ditahan di wad.


Apa Yang Perlu Anda Lakukan Ketika Anak Anda Mengalami Sawan Demam?

Sebelum Sawan

1. Ibu bapa boleh mengawal sawan demam dengan mengawal demam mereka. Ini adalah berkesan dengan cara mengelap anak yang demam dengan tuala yang basah daripada air paip atau air yang suam sedikit (jangan gunakan ais kerana ia boleh menyebab hypothermia).

2. Beri anak minum ubat seperti sirap paracetamol atau sirap neurofen (brufen)

3. Boleh beri satu suppository voren 12.5mg (anak kecil) atau 25 mg (3 tahun ke atas) ke dalam punggung untuk mengurangkan demam (ambil salah satu samada melalui mulut atau punggung).

4. Jangan pakaikan anak dengan pakaian yang tebal. Pakaian tebal boleh menaikkan lagi suhu. Buka pakaian anak dan letak di bawah kipas. Lap dengan air paip ke seluruh badan.

Ketika Sawan

1. Jangan Panik. Cuba lihat jam pukul berapa ia berlaku dan pukul berapa ia tamat. Ini adalah kerana doktor perlu tahu berapa lama sawan itu berlaku.

2. Longgarkan segala pakaian.

3. Jangan ambil sudu atau bahan-bahan keras dan meletakkannya di dalam mulut. Ini boleh menyebabkan luka yang teruk di dalam mulut. Ia juga boleh menyebabkan tercekik objek asing sekiranya patah.

4. Jangan beri minum air atau ubat ketika anak sawan.

5. Lap apa-apa yang lendiran atau air liur yang keluar dari mulut.

6. Duduk bersama anak anda sehingga sawan tamat.
Setelah Sawan

1. Baringkan anak anda mengiring ke kiri. Ini akan mengelakkan daripada muntah atau lendiran masuk ke dalam paru-paru.
2. Jangan beri anak anda minum ubat atau air, atau makan sekiranya anda tidak pasti anak anda telah sedar sepenuhnya.

3. Bawa ke klinik atau hospital. Biasanya doktor akan masukkan rectal diazepam 5 -10 mg untuk mengelakkan terjadinya sawan demam daripada berulang atau sawan yang berpanjangan.

4. Masuk ke wad sekiranya perlu.
Wallahu A'lam.

Friday, February 22, 2008

NO PHONE VIP DAN VVIP untuk DIJUAL!

Assalamualaikum kepada semua pembaca...

Ni ada promosi sikit. Sesiapa yang ingin membeli nombor telefon VVIP dan VIP Celcom prepaid xpax, boleh hubungi saya. Harganya juga tertera di bawah. Tarikh luput di antara Mei 2008 - Nov 2008. Semuanya first hand.

Sangat sesuai untuk calon-calon pilihanraya, bisnes, kegunaan sendiri dan pasangan.

VIP 1 (Harga RM 38)

013 - 3 0909 16

013 - 3 0909 17

013 - 30 8989 7 (TELAH DIJUAL)

013 - 30 8989 4

013 - 30 8989 2


VIP 2 (Harga RM 48)

013 - 6 9 666 38

013 - 66 1 66 58

013 - 6 914 666

013 - 66 11 6 1 8

013 - 696 888 3 (TELAH DIJUAL)

013 - 673 999 0 (TELAH DIJUAL)


VVIP special untuk 2008 !!
(Harga RM 68)


013 - 3 08 99 08

013 - 66 040 66

013 - 66 11 66 7

013 - 66 1 333 4

013 - 666 1 44 3


VVIP Super Special 2008!

013 - 66 15 666

(Harga bergantung kepada pembida tertinggi : Bermula pada harga RM 188)

Hubungi saya : 012-9597074 atau email ke abiteha@yahoo.com untuk bidaan dan pertanyaan.

Boleh deposit wang ke dalam akaun Shahrizal Azwan Bin Samsudin :-

Akaun semasa maybank : 146 00000 981 00

Akaun Semasa CIMB : 5643 8810 0840

Urusan penghantaran di dalam masa 3 hari.

Activation oleh saya sendiri. Belanja poslaju adalah ditanggung.




Wednesday, February 20, 2008

Yang Mana Satu?

Assalamualaikum,


Saya tertarik dengan cerita email yang dikirim oleh teman@ kepada group hidayah.net.

Mari kita berkongsi bersama-sama cerita ini. Saya tak pasti kebenarannya, walau bagaimanapun cukup untuk kita sama-sama ambik iktibar.

Sesungguhnya, Cinta kepada kebendaan boleh mengatasi kasih sayang sesama keluarga. Itu sebabnya ada ikatan kekeluargaan boleh putus disebabkan oleh perebutan harta.


Ini adalah sketsa keluarga seperti yang dilaporkan oleh wife aku tadi. Berlaku hari ini (1 Feb 2008). Masa rehat jumaat tadi, wife aku pegi Shah Alam Mall.

Setelah lunch kat situ dengan member dia, depa berjalan menuju ke car park. Car park yang mengadap DEMC tu..

Kelihatan lebih kurang 50 orang manusia sedang mengerumuni sebuah BMW. Kelihatan di sebelah BMW seorang perempuan sedang menangis...alahai kesiannya...

Wife aku mendekati kumpulan orang ramai dan mendapati ada seorang budak lelaki berumur 1 tahun sedang menangis meronta-ronta dalam car seat kat belakang (dalam BMW tu).

Perempuan yang menangis di tepi kereta adalah mak budak tu. Depa laki bini terkunci anak dalam kereta rupanya ...

Terdengar orang sekeliling sedang memarahi perempuan tu...

Pompuan A:
umpil aje la pintu kereta ni

Mak Budak tu:
tak boleh ...(sambil menangis)... nanti suami saya on the way balik ambil kunci spare...

Pompuan C : Isk tengok tu, sengsaranya baby tu menangis, u sanggup biar anak u mati ke?

Mak budak tu:
(sambil menangis)... nanti suami saya marah...

Pakcik B:
isk kalau saya punya anak, kalau tertinggal kunci, saya takkan patah balik rumah, saya pecahkan aje cermin kereta ni...

Pakcik C:
"Mana bapaknya???"

Mak Budak tu:
"Dia balik Meru ambil kunci"

Semua orang:
"Apa! Meru!!!"

Suasana menjadi kelam kabut sebab orang ramai menjerit-jerit memaksa untuk pecahkan cermin kereta tu. suasana gamat macam perhimpunan haram...

Tapi mak budak tu tak berani buat keputusan. Dia asyik kata..."saya takut suami saya marah" "Tunggu suami saya datang"...Tetiba ade sorang akak tampil dan jerit: pegi ambil kapak, pecahkan cermin kereta ni... biar saya yang jawab dengan suami awak. Awak tak sayang nyawa anak ke?

Sambil beberapa orang pergi mencari tools utk pecahkan cermin keta, beberapa orang pengawal keselamatan sibuk ambil beberapabaldi air dan menyiram kereta BMW tu kerana kasihankan anak yang sedang kepanasan dan kelemasan dalam kereta tu...

Seorang mekanik cina dari bengkel berdekatan dipanggil untuk umpil pintu. Cina mekanik memberi komen " aiya ini keleta tak boleh umpil, kena kasik picah cermin juga baru boleh masuk!"

Tak lama kemudian seorang mamat tiba dengan kapak keselamatan, maka dikapak cermin tepi sebelah pemandu...praannng. ...!!!! Selesai masalah...

Tak lama selepas itu baby tersebut berjaya dikeluarkan. ..kesian baby tu..berpeluh- peluh dengan kulit pun pucat dah naik biru....

Seorang lagi lelaki menjerit "biar saya periksa dia.... saya doktor". Si doktor mendukung bayi dan bergegas ke DEMC untuk memeriksa bayi tu...

Sehingga bayi tersebut dibawa ke DEMC...bapak dia masih tak muncul-muncul ...ye la Meru tu kan jauh.... mungkin bapak dia singgah makan sate kambing dulu...

P/S:Untuk makluman pasangan tersebut adalah pasangan Melayu. Ye betul ..orang melayu Islam yang diwar-warkan penuh budaya ketimuran, lebih compassionate berbanding orang KAFIR. Kononnya lebih mulia daripada bangsa-bangsa lain yang tak Islam.

---------------------

Wallahu A'lam

Tuesday, February 19, 2008

Di Sebalik Sakit Kepala

Assalamualaikum para pembaca budiman,

Di dalam bidang perubatan satu aspek yang sangat penting ialah sejarah tentang pesakit. Sejarah pesakit ialah cerita atau komplen pesakit tentang masalahnya yang akhirnya membawa pesakit tersebut berjumpa doktor. Contohnya pesakit mengalami sakit kepala, di sebelah kiri, selama 3 hari terutama apabila di bawah cahaya matahari.

Doktor akan bertanyakan soalan-soalan yang menjurus kepada masalah tersebut sehingga mencapai ke diagnosis tertentu. Lebih daripada 60% kes dapat didiagnos dan hanya melalui sejarah pesakit sahaja. Bakinya adalah melalui pemeriksaan fizikal dan pemeriksaan melalui makmal.

Oleh itu sejarah pesakit sangat penting kerana ia adalah sumber utama di dalam menghasilkan diagnosis.

Seringkali doktor bertanya di luar daripada masalah kesakitan itu contohnya perihal peribadi pesakit, perihal keluarga pesakit, kerja di mana sehingga kepada hubungan sosial dan ekonomi pesakit. Sebenarnya ini juga boleh berkait rapat dengan penyakit yang timbul.

Bagaimana ini berkaitan?

Baru-baru ini datang seorang wanita berusia awal 30-an yang mengalami pening kepala yang teruk dan menyebabkan dia tidak boleh bekerja selama beberapa hari. Pening ini bermula selepas 2 bulan, datang dan pergi. Bila ditanya mengenai simptom ini lebih lanjut nampak seolah-olah seperti migraine dan simptomnya juga hampir sama.

Tetapi soalan-soalan lebih lanjut menceritakan kisah sedih beliau. Pada asalnya beliau berkeberatan untuk menceritakannya tetapi akhirnya beliau sedia untuk dibantu.

Dua bulan lepas beliau sepatutnya berkahwin dengan pemuda pilihan ayahnya. Walaubagaimanapun, pemuda tersebut tidak jadi menikahinya kerana memberi alasan tidak cukup wang. Sehingga kini pemuda tersebut mengelak dengan memberi pelbagai alasan. Ini menyebabkan beliau sangat malu, tidak bertegur sapa dengan ayahnya dan merasa sangat marah. Ini ditambah pula dengan cerita ibu dan ayahnya terpisah sejak kecil dan beliau dibesarkan oleh neneknya.

Beliau sering menangis dan menghadapi kesukaran untuk tidur. Ini yang sebenarnya menyebabkan sakit kepala ini sentiasa berulang dan mengganggu hidupnya.

Saya menulis untuknya surat rujukan agar bertemu kaunselor di sebuah hospital kerajaan dengan harapan beliau dapat dibantu. Kadangkala nasihat yang baik lebih kuat kesannya daripada ubat yang paling mahal dan kuat.

Itu adalah satu kes daripada sekian banyak kes di mana sejarah pesakit dan masalah mereka membantu proses perawatan. Kadangkala berkongsi masalah hidup mereka menjadikan kita lebih belajar erti hidup lebih daripada mendengar kuliah oleh pensyarah di universiti.

Melihat daripada sudut yang lain, kita kadang2 melihat seorang ayah menaiki motosikal dengan 3 orang anaknya di atas satu motosikal. Dua duduk di belakang dan satu di hadapan. Semuanya berhelmet. Ayahnya membawa motosikal tersebut perlahan-lahan takut sesuatu yang terjadi kepada anaknya.

Memang secara hakikatnya apabila kita menaiki kereta dan melihat kejadian ini, di dalam hati kita terdetik, "apalah punya ayah, ada ke patut bawak anak kecik2 naik motor sampai 4 orang, tak guna punya ayah, nanti anak jatuh macamana?". Kita seperti mahu menelefon polis untuk menyamannya kerana membahayakan nyawa anaknya.

Kita semua pernah melihatnya dan mungkin ada di antara kita terdetik perasaan yang sama. Cuma, jikalau kita ada hati dan perasaan, kemudian bertanya perihal masalah hidupnya, mungkin kita akan menangis menyesal sebagaimana ada yang menangis melihat iklan petronas kisah Si Thiam Hock.

Mungkin apabila kita melihatnya sebegini - dia hanya seorang ayah yang bekerja mencari sesuap nasi dengan gaji yang cukup-cukup makan untuk sebulan. Dia hanya mampu untuk memiliki sebuah motosikal. Dia tak mampu menghantar anaknya ke sekolah dengan bas dengan gajinya yang kecil. Rumahnya yang jauh dengan tempat kerja menyebabkan dia terpaksa bertolak awal bersama-sama anaknya. Dia mahukan anak-anaknya berjaya dengan pendidikan, supaya anaknya tidak menjadi sepertinya. Ini sahaja yang jalan terbaik yang boleh difikirkannya di dalam kepung kemampuannya.

Manusia ini kehidupannya kompleks. Apa yang kita persepsikan dengan mata kita cuma satu faset daripada faset-faset kehidupan yang realiti. Di sebalik persepsi tersebut, kita tidak tahu melainkan kita sama-sama mencari maknanya. Kita berkongsi dengan manusia lain untuk sama-sama menelusi ruang lingkup kehidupan yang mencabar. Membantu mereka apa yang terdaya dengan kelemahan-kelemahan kita yang diciptakan. Sekadar memenuhi masa untuk kembali ke alam yang kekal.

Wallahu A'lam.

Friday, February 15, 2008

Ikan Piranha di Sungai Hulu Tembeling!

Assalamualaikum...

Menarik juga bila beberapa hari yang lepas ada seorang nelayan, Adanan Nipah, 54 tahun digigit sejenis ikan yang didakwa daripada spesis piranha. Kejadian berlaku di hulu Sungai Tembeling, Jerantut, Pahang. Adanan mendakwa ikan sepanjang 25 sentimeter itu menggigit kaki kanannya sebanyak tujuh kali ketika dia mahu melepaskan ikan berkenaan daripada jaring.

Nelayan tersebut mengandaikan bahawa spesis ikan piranha tersebut mungkin terlepas daripada jagaan Jabatan Perikanan ketika banjir besar yang lalu. Dia mendakwa berlaku pembenihan spesies piranha sejak dua tahun lalu di kawasan perlindungan Jabatan Perikanan di Jeram Panjang, Dedari, Lubuk Katak dan Kampung Pagi. Ini telah menyebabkan spesies ikan itu membiak di Sungai Tembeling.

Untuk pengetahuan semua, ikan piranha berasal daripada sungai Amazon di Amerika Selatan (gambar). Piranha membawa maksud "ikan bergigi" atau "ikan hantu".

Ia bersaiz sepanjang 15 hingga 25 cm. Ia mempunyai satu barisan gigi yang panjang di kedua-dua belah rahang yang mampu mengoyak daging mangsanya. Ia dimakan di sesetengah tempat dan kebanyakannya dijual di dalam akuarium sebagai ikan hiasan.

Cerita Piranha Amerika masuk Hulu Tembeling ni macam kisah pendatang tanpa izin jugak. Tidak ada permit kerja, tidak ada passport dan tidak melalui FOMEMA. Oleh itu ia merbahaya dari sudut ketidak seimbangan ekosistem sungai Pahang. Agaknya - ramai lah ikan-ikan yang tak berdosa menjadi mangsa ikan piranha.

Tapi mengikut Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub, beliau menafikan bahawa itu bukan ikan piranha tetapi spesis ikan pacu atau ikan bawal air tawar. Hmm.. baru tahu ikan bawal boleh gigit orang macam piranha. Dikatakan ikan pacu memang mempunyai gigi yang tajam dan boleh memutuskan tali pancing.


Gambar ikan piranha.

Gambar ikan pacu yang ditangkap kerana merokok. Sama ker rupanya ngan piranha?


Penafian Datuk Junaidi dibuat sehari selepas cerita Adanan keluar di akhbar. Saya tak pasti samada kenyataan itu dibuat sebagai satu refleks defensif atau memang beliau sendiri dah pergi berenang kat sungai hulu Tembeling Jerantut untuk memastikan tiada ikan piranha di situ.

Penafian Datuk Junaidi itu memang boleh diterima, cuma secara logik akal saya - takkan nelayan yang berusia 54 tahun tuh (mungkin seumur hidupnya jadi nelayan) tak kenal ikan pacu ngan bawal. Malah dia mungkin lagi kenal ikan pacu ngan bawal daripada Datuk Junaidi yang beli ikan kat TESCO atau Chow Kit.

P.s. Teringat Dato' Khalil Yaakob masa jadi MB dulu pernah berenang di sebuah tasik di Kuantan masa sukan SUKMA Pahang untuk membuktikan tiada buaya di tasik tersebut.

Wallahu A'lam.

Wednesday, February 13, 2008

Pencuri Motor






Assalamualaikum,

Di kala senyap sunyi malam dan hening pagi, terdapat syaitan bertopeng manusia menghendap-hendap mencari sesuatu yang boleh dicuri. Mungkin kita tidak boleh mengenalinya kerana helmet yang dipakai menutup wajahnya itu. Tetapi Allah mengetahui setiap gerak geri manusia. Allah akan membalas setimpal apa yang dilakukan walaupun sebesar zarah.

Sebuah motor telah hilang di hadapan klinik Idzham Kota Damansara. Ia adalah kepunyaan staf klinik Idzham. Motor itu dikatakan baru 2 bulan dibeli. Mungkin sudah tiada rezeki. Kasihan melihat staf saya menangis memikirkan kehilangan itu.

Walaupun kamera dapat menangkap perbuatan keji itu namun tiada apa yang dapat dilakukan. Wajah pencuri ditutupi dengan helmet. Dan rakannya yang seorang lagi juga tidak dapat dikenali. Sesiapa yang melihat kejadian ini boleh hubungi saya Dr Azwan 012-9597074.

Semoga Allah sahaja yang dapat membalas perbuatannya. Wallahu A'lam.



Seorang lelaki menghampiri motor di sebalik tiang di hadapan klinik Idzham pada jam 5:07:38 am.


Lelaki itu begitu handal melepaskan kunci handle dan menghidupkan enjin di dalam masa kurang dari 2 minit sahaja.



Motor itu dilarikan dengan mudah pada jam 5:08:46. Kawannya mengikut dari tepi. Keadaan agak gelap merumitkan usaha mengesan.

Begitu mudah untuk mencuri motosikal sebenarnya. Boleh dilakukan di bawah 2 minit. Semasa menuntut di universiti dahulu, motosikal EX5 saya juga pernah dicuri. Saya tahu apa perasaannya bagaimana kehilangan motor akibat dicuri. Diharap pencuri tersebut sedar akan kesilapannya. Hentikanlah...

Tuesday, February 12, 2008

Saya menang wang tunai RM 20,000!

Assalamualaikum Warahmatullah...

Alhamdulillah, berkat rezeki anak keempat yang baru sahaja lahir iaitu Irfan Auzaie, saya baru sahaja memenangi wang tunai sebanyak RM 20,000! Anda tentu nak bagitahu bagaimana saya memenangi hadiah ini.

Dalam 2 minggu yang lepas, saya ke Tesco Ampang untuk membeli lampin pakai buang jenama Drypers. Memang saya gunakan jenama ini untuk keempat2 anak-anak saya. Saya pergi berseorangan maklumlah isteri saya baru sahaja lepas melahirkan anak. Saya biasanya beli sekaligus. Saiz XXL, XL, L dan S. Oleh kerana ketika itu Tesco Ampang membuat jualan murah untuk jenama ini saya pun ke sana.

Namun, seperti biasa, apabila sampai sahaja, ternyata saiz XXL dan XL sudah habis dijual. Maklumlah murah sehingga RM 9 setiap satu. Mestilah orang dah habis sapu semuanya.

Saya pun dengan muka yang sedih singgah ke T.S. Mega Cheras. Ia adalah pasaraya di Cheras yang agak hampir dengan rumah. Saya pun sapu 2 unit Drypers saiz XXL dan 3 unit drypers saiz XL dengan harga yang sama. Takde potongan harga.

Kami tak sentuh pun lampin itu kerana masih ada sedikit lagi baki yang lepas untuk digunakan. Mungkin seminggu lepas itu, baru isteri saya perasan terdapat peraduan yang dijalankan oleh diapers khusus untuk saiz XXL dan XL.

Peraduan itu ialah apabila dikumpul 8 kad tentang panduan cara menjaga bayi oleh ibu bapa yang berlainan, akan mendapat wang tunai RM 20,000. Dan kami dapat ke lapan-lapan kad yang berlainan!. Saya ni jenis yang tak suka masuk peraduan-peraduan kerana saya tak yakin boleh menang. Tapi ini peraduan yang gerenti menang, tak payah nak isi borang atau menjawab soalan dsbg.


Kami dah buat panggilan ke syarikat dan kami perlu ke sana untuk menuntut hadiah. sok InsyaAllah, kami akan ke USJ, untuk menerima wang peraduan tersebut. Harap-harap tak ada yang sukar. Kalau kami masuk TV atau surat khabar nanti (ehemm ehem... ), nantikanlah kemunculan kami... hehe :).

InsyaAllah akan buat aqiqah untuk anak ke 4 ini dalam bulan Mac ini.

Monday, February 11, 2008

Kembar Siam Berjaya Dipisahkan

Assalamualaikum Warahmatullah...

Baru-baru ini media masa membuat liputan meluas tentang pasangan kembar siam Nur Badrishah dan Nur Bahiyah Norhisyam yang bersambung di bahagian abdomen dan tidak mempunyai punggung tetapi masing-masing memilik sepasang kaki dan tangan.

Mereka berjaya dipisahkan oleh sepasukan pakar perubatan HKL yang diketuai oleh Ketua Jabatan Bedah Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr. Zakaria Zahari pada 2 Februari 2008. Datuk Dr Zakaria yang kami panggil Datuk Zack di HKL merupakan pakar bedah kanak-kanak utama negara saat ini.

Pembedahan yang berhampiran usus ini mengambil masa 15 jam dan mempunyai risiko jangkitan yang tinggi. Doakan kedua-dua bayi ini selamat dan dijauhi daripada jangkitan.

Kembar siam pada sejarahnya diambil daripada dua beradik kembar yang melekat di dada iaitu Chang dan Eng Bunker pada tahun 1811. Mereka berdua adalah berasal dari thailand dan mempunyai ayah keturunan cina Thailand dan ibu campuran Thai-melayu. Mereka menjadi ahli sarkas dan dikenali di seluruh dunia sehingga menjadikan nama "kembar siam" melekat sehingga sekarang.

Cerita mereka berdua sangat menarik kerana mereka berdua berkahwin dengan gadis pilihan masing-masing dan mempunyai anak dengan isteri masing-masing (setiap pasangan mendapat 10-12 orang anak!) walaupun di dalam keadaan melekat di dada.


Bagaimana terjadinya kembar?

Kembar boleh berlaku secara amnya dengan 2 cara.
1. Apabila 1 ovum disenyawakan oleh 1 sperma membentuk 1 satu zygote. Kemudian membahagi dua untuk membentuk 2 embrio. Ciri genetik 2 embrio ini adalah sama. Ini dipanggil "kembar seiras" atau "monozygotic twin".

2. Satu lagi ialah apabila 2 ovum yang terhasil di ovari disenyawakan oleh 2 sperma yang berlainan. Masing-masing hidup untuk membentuk embrio yang berasingan. Mereka mungkin berlainan jantina atau sama jantina. Mereka adalah adik beradik yang lahir pada masa yang sama menjdikan ciri genetik agak berlainan di antara satu sama lain. Ini dipanggil "kembar tak seiras" atau "dizygotic twin".


Bagaimana terjadinya kembar siam?

Kembar siam terjadi apabila zygote yang terhasil daripada 1 ovum dan 1 sperma gagal untuk membahagi dengan sempurna untuk membentuk 2 embrio yang berlainan. Keadaan ini boleh berlaku di dalam 1 dalam 100,000- 200,000 kelahiran. Mereka akan melekat di bahagian-bahagian tertentu seperti dada, dan perut kepala.

Adakalanya kawasan tersebut amat sukar diasingkan seperti otak dimana percubaan untuk memisahkannya gagal seperti yang dialami oleh pasangan kembar Iran yang meninggal dunia di Singapura pada tahun 2003.

Ladan Bijani dan Laleh Bijani, merupakan pasangan kembar yang melekat di otak yang merupakan graduan dari Universiti Tehran di dalam bidang Undang-undang. Mereka mengalami komplikasi pembedahan akibat pendarahan teruk di otak semasa proses memisahkan salur darah besar otak. Mereka meninggal dunia pada umur 29 tahun.

Friday, February 8, 2008

Tan Thiam Hock - Iklan Petronas Yang Mengharukan.

Assalamualaikum...

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada semua pembaca berketurunan cina dan rakyat Malaysia amnya sempena Tahun Baru Cina 2008.

Iklan Petronas terbaru kali ini untuk Tahun Baru Cina sangat-sangat mengharukan saya. Saya akan merasa sebak setiap kali menonton iklan Petronas itu.

Kisah mengenai Tan Thiam Hock, budak sekolah rendah yang pada awalnya kelihatan begitu nakal kerana tidak mahu melukis tentang "reunion dinner" walaupun dimarahi cikgunya. Pandang ke kanan, pandang ke kiri. Geram juga melihatnya begitu pada awalnya.
Tetapi timbul rasa bersalah di hati saya kerana akhirnya Tan Thiam Hock sebenarnya anak yatim yang tinggal di rumah anak yatim berbilang kaum. Dia tak tahu bagaimana untuk melukis "reunion dinner" kerana tidak pernah merasai "reunion dinner" tersebut. Sedih dan mampu mengalirkan air mata.

Iklan ini sangat cantik dengan skornya yang menyentuh hati bagi saya adalah iklan terbaik Petronas. Mungkin yang paling original juga sebab sebelum-sebelum ini iklan petronas adalah dicedok dari buku-buku budak darjah satu atau dua. Ucapan tahniah kepada pencipta iklan ini (Yasmin Ahmad ke?).
Wallahu A'lam.

Tuesday, February 5, 2008

Fatwa ASN dan ASB





Assalamualaikum..

Berikut adalah fatwa yang baru dikeluarkan beberapa hari yang lalu. Alhamdulillah, sekarang kita tidak perlu ragu-ragu lagi untuk melabur di ASB/ASN kerana ada fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan. Majlis fatwa dihadiri oleh semua mufti.

Sebab dan musabab diharuskan tidak diterangkan. Anda mungkin boleh membuat kajian tersebut dan emailkan kepada saya.

Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB), termasuk pembayaran dividen dan bonusnya, adalah HARUS.

Berikutan itu, umat Islam tidak perlu ragu-ragu mengenai status pelaburan kedua-dua skim berkenaan.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti dan mempertimbangkan semua kesan daripada pelaburan berkenaan.

Beliau berharap tiada pihak membangkitkan lagi isu kononnya hasil skim pelaburan itu haram.

Sila baca seterusnya di sini.

Wallahu A'lam

Friday, February 1, 2008

HATI-HATI MAKAN BEBOLA IKAN





Assalamualaikum,

Informasi untuk tatapan anda - Dipetik dari KOSMO. Terutama kepada penggemar bebola ikan di Kepala Batas.

KEPALA BATAS - Jika anda penggemar makanan berasaskan bebola ikan, wajar siasat semula kaedah pengeluarannya untuk mengelak termakan benda haram.

Ini kerana sebuah kilang di sini yang mengeluarkan makanan tersebut sejak limatahun lalu, dikesan mencampurkan daging dan perut babi bersama isi ikan dan tepung untuk membuat bebola ikan.

Malah, kumpulan wartawan yang menyertai serbuan ke kilang itu bersama 20 pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKSPP) turut terkejut apabila melihat sebuah periuk besar berisi minyak masak yang dipercayai digunakan berulang kali untuk menghasilkan produk makanan di situ.

Lebih menjijikkan apabila minyak masak itu yang ditempatkan di dalam periuk di luar kilang, sudah bertukar rupa menjadi hitam serta likat seperti minyak pelincir kenderaan.

Ternyata serbuan yang diketuai Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan JKNPP, Ideris Mohamad bakal membuka mata ramai pihak terutama penggemar makanan berasaskan bebola ikan dan golongan peniaga mengenai status kebersihannya.

"Tindakan pengusaha kilang ini dengan menyimpan perut dan daging babi bersama bahan mentah lain termasuk ikan di dalam satu peti penyejuk memang nyata salah.

"Alasan mereka daging berkenaan adalah untuk kegunaan para pekerja juga tidak masuk akal kerana kuantiti bahan yang disimpan itu terlalu banyak dan hasil siasatan mendapati memang mereka mencampurkan daging babi itu untuk membuat bebola ikan," jelas Ideris.

Produk dari kilang berkenaan dipercayai dipasarkan secara meluas khususnya di Seberang Perai hingga meliputi Kulim dan beberapa kawasan lain. Menurut Ideris, kilang itu pernah diserbu setahun lalu dan diarah tutup selama dua minggu atas kesalahan terlalu kotor.

Namun, serbuan semalam membuktikan tidak banyak perubahan berlaku.

Justeru, pihaknya telah merampas semua bahan makanan di kilang itu yang dianggarkan bernilai lebih RM300,000 selain pengambilan sampel produk untuk ujian.

Jelas Ideris, jika disabit kesalahan, pengusaha kilang boleh didakwa di bawah Seksyen 13B Akta Makanan 1983 kerana memproses makanan tidak mengikut spesifikasi dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lapan tahun. Kilang itu juga diarah tutup selama 14 hari.

Oleh RIZAM ZAKARIYA
Kosmo!




IDERIS Mohamad menunjukkan minyak masak kitar semula yang sudah bertukarmenjadi hitam tetapi masih digunakan di kilang membuat bebola ikan diKepala Batas, Pulau Pinang semalam

IDERIS Mohamad menunjukkan daging dan perut khinzir yang disimpan bersamabahan mentah lain termasuk ikan di sebuah kilang di Kepala Batas, PulauPinang semalam.


IDERIS berada di bahagian stor bahan mentah kilang dengan periuk merebusbebola ikan berada di bawah dalam serbuan di Kepala Batas semalam.

Artikel Perubatan yang Hilang


Assalamualaikum kepada semua pembaca.

Saya telah menulis satu artikel yang panjang semalam berkenaan dengan epilepsi, perawatan dan cara menangani sawan. Namun apakan daya, artikel itu tidak keluar disebabkan masalah teknikal dan karya asalnya telah hilang dari simpanan.

Menulis artikel perubatan ini pun terpaksa menunggu mood dan ilham. Bukan hanya sekadar fakta sahaja. Oleh itu saya membuat keputusan untuk merehatkan otak saya dan menunggu ilham yang baru timbul.

Mungkin saya akan menulis semula pada hari Ahad atau Isnin depan. Nantikan kemunculan artikel tentang epilepsi tersebut. Wassalam.
Related Posts with Thumbnails