Monday, September 22, 2008

RADIO 24 LEBIH MERAKYAT DARIPADA UTUSAN MALAYSIA






Assalamualaikum Warahmatullahi,

Radio 24 - 93.9 Mhz baru sahaja menyambut umur setahun pada 3 September 2008 yang lepas selepas beroperasi selama setahun. Radio 24 merupakan satu-satunya radio berita kebanggaan negara kelolaan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) kerana menyajikan berita yang terkini dan semasa.

Baru-baru ini di dalam Utusan Malaysia, seorang kolumnis Utusan telah "menyerang" salah satu program hangat Radio24 iaitu Suara Anda yang membincangkan tentang tajuk "Yang mana satu lebih penting? Peralihan Kuasa Pak Lah kepada Najib, atau Turunkan Harga Minyak?". Tidak berhenti setakat itu, serangan demi serangan dijalankan di dalam surat khabar Utusan Malaysia pada hari-hari berikutnya dengan bertujuan untuk menjatuhkan nama baik pengurusan Radio 24. Ini menyebabkan Menteri Penerangan terpaksa campur tangan di dalam isu ini.


PROGRAM SUARA ANDA RADIO 24

Program SUARA ANDA merupakan satu program yang sering membincangkan tajuk-tajuk hangat dan isu-isu semasa. Ada kalanya ia berkisar tentang masyarakat dan budaya, adakalanya berkisar tentang maslahah rakyat dan adakalanya berkisar tentang pergolakan politik di persada negara. Ke mana arah tuju sesuatu tajuk itu dibincangkan sebenarnya berpaksikan kepada pemanggil secara langsung. Ini menjadikan tajuk lebih hangat dan menarik untuk dibincangkan.

Cuba lihat sahaja tajuk "Debat Anwar-Sabery" yang menerima ratusan panggilan memberi ulasan dan mengkritik kedua-dua personaliti popular ini. Ia amat-amat terbuka. DSAI juga pernah dihentam dengan sekeras-kerasnya ketika perbincangan tentang 16 September. Itu adalah rencam di dalam perbincangan terbuka.

Malah saya sendiri melihat bahawa keterbukaan ini yang dipelopori sejak Dato' Sabery Cheek dilantik sebagai Menteri Penerangan amatlah mengagumkan. Bukan sahaja pihak penyokong kerajaan dan pihak pembangkang bisa memanifestasikan pendapat masing-masing, malah pihak yang non partisan mula berbondong-bondong memberikan pendapat.

Adakah media masa lain mampu berbuat begini seperti Radio 24?


MEMBUKA DIMENSI BARU DI DALAM ARENA PENYIARAN

Senario berani memberi ruang kebebasan bersuara oleh Radio 24 ini merupakan satu dimensi baru kerana Malaysia sangat dikenali sebagai sebuah negara demokrasi yang tidak beberapa "mesra" dengan dialog terbuka atau perbincangan langsung tentang masalah negara. Apatah lagi sekiranya ada pendapat-pendapat terbuka ini secara terang-terangan menyokong pihak pembangkang walaupun sedikit.

Apabila beberapa orang "tali barut" daripada Utusan Malaysia ini mula melihat bahawa sistem demokrasi Malaysia cuba disuburkan melalui sebuah anak syarikat di dalam agensi penyiaran kerajaan Malaysia itu sendiri, maka mulalah mereka ingin melatah dan cuba membunuh sesuatu perkara yang baru bertunas dan mengagumkan ini.

Beberapa hari selepas itu, Utusan Malaysia cuba menjadi hero dengan mencanang betapa teruknya situasi pada saat itu dengan menyatakan bahawa stesen radio tersebut "tidak sensitif" dan sebagainya dan menyalahkan DJ atau peneraju yang bertugas di konti ketika itu sebagai penyokong pembangkang.

Siapakah yang memilih tajuk yang dibincangkan itu? Saya tiada pengalaman di dalam hal ehwal penyiaran radio. Tapi persoalan tuntasnya, bolehkah DJ Radio sewenang-wenangnya memilih tajuk yang dikira sensitif itu untuk disiarkan jikalau tidak direstui oleh orang-orang di atas? Sekiranya DJ radio tersebut memilih untuk tidak memberi apa-apa komen tentang pendapat pemanggil yang memberi pandangan ke arah pembangkang adakah wajar dia dipersalahkan?

Apabila siaran langsung diadakan oleh Radio 24, suara pemanggil tidak boleh disekat. Pemanggil sepatutnya bijak memberi pendapat masing2 tanpa menggunakan bahasa yang kesat. Sudah barang tentu para pemanggil terdiri daripada pelbagai latar belakang dan perbezaan pendapat politik. Oleh itu, pendapat mereka mungkin boleh berbeza daripada pendapat kerajaan.

Tetapi walaupun terdapat perbezaan politik kepartian, terdapat satu "common ground" yang mereka ini tetap bersetuju iaitu daripada pandang dasar ekonomi Malaysia yang semakin lemah sehingga menyebabkan ramai Umat Malaysia menderita akibat peningkatan harga barang dan makanan.

Ini menyebabkan tajuk yang dibincangkan "Yang mana satu lebih penting? Peralihan Kuasa Pak Lah kepada Najib, atau Turunkan Harga Minyak?" telah mendapat sambutan di luar jangkaan. Sudah terang-teranglah rakyat akan memilih turunkan harga minyak daripada peralihan kuasa. Ini adalah kerana pada pendapat mereka, peralihan kuasa berlaku atau tidak berlaku, kehidupan mereka tetap sukar dan susah.

RADIO 24 LEBIH MERAKYAT DARIPADA UTUSAN MALAYSIA

Jadi kenapa ingin dipersalahkan program SUARA ANDA Radio 24 jikalau itu adalah hasil daripada rasa tidak puas hati rakyat kepada kepimpinan negara. Isyarat yang sudah jelas ini tidak sepatutnya menjadi modal beberapa "tali barut" Utusan Malaysia ini menghentam Radio 24.

Sudah jelas Radio 24 yang releven dan peka terhadap masalah rakyat dan BUKAN Utusan Malaysia. Malah yang patut di "scrutiny" dan diperlekehkan ialah Utusan Malaysia. Mereka dahulunya pernah menjadi aspirasi kepada rakyat Malaysia dan Umat Melayu tetapi hanya sekadar menjadi pencanang dan tukang beduk segelintir pemimpin? Mereka sepatutnya malu dengan menyiarkan siaran berita terpilih dan menyekat kebebasan bersuara mereka yang mempunyai pendapat yang berbeza.

Pada hari ini, siaran SUARA ANDA di radio 24 telah diberhentikan sementara. Mungkin kerana penyiasatan sedang dijalankan oleh Kementerian Penerangan tentang krew-krew yang terlibat dengan penyiaran beru-baru ini.

Saya kira, berdasarkan populariti SUARA ANDA di kalangan masyarakat Malaysia, mungkin orang-orang tertentu hanya menunggu masa sahaja untuk menyekat rancangan ini agar suara rakyat secara amnya tidak dapat didengari umum. Ini sangat-sangat bertentangan dengan dasar kementerian penerangan sebaik sahaja Pilihanraya yang lepas yang inginkan lebih keterbukaan daripada badan-badan penyiaran.

Diharapkan kata-kata daripada Kementerian Penerangan tentang membuka lebih banyak peluang untuk rakyat bersuara tidak hanya tinggal retorik sahaja.

Wallahu Alam.

Ditulis oleh Dr Azwan untuk www.drazwan.blogspot.com

Friday, September 19, 2008

Siapa Masuk ISA Lepas ni?



Assalamualaikum,

Tadi dengar-dengar ada dua orang UMNO bercerita di dalam klinik. Mereka ni salah seorang terkenal di cawangan masing-masing. Desas desus ada pemimpin pembangkang yang sungguh popular ni akan ditangkap dan dimasukkan ke dalam ISA beberapa hari lagi . Dikatakan kerana mengganggu kestabilan negara.

Juga dengar2 mereka berkata, pemimpin ni dah bawak usul pembangkang ke DYMM SPB Yang Dipertuan Agung tengahari tadi.

Bila nak ditangkap tidak diketahui. Kemungkinan di dalam masa yang terdekat. Seteru politik no 1 UMNO ni membuatkan parti politik melayu terulung di Malaysia ini kucar kacir.

Saya dengar sahaja. Mungkin terjadi, mungkin tidak jadi. Mereka ni orang dalam. Tak tahu lah. Harap-harap tak berlaku.

Wallahu Alam



Monday, September 15, 2008

Kereta Perdana WME 900 Untuk Dijual




Assalamualaikum,

Ini kereta perdana saya untuk dijual.

No plat WME 900 (plat tu dibeli oleh previous owner)

Kereta ini asalnya adalah kepunyaan Prof Dato Dr Ahmad Ridzwan, Pakar Bedah Plastik, Hosp Kuala Lumpur. Dijaga dengan baik.

Mileage 109,000 km. Tahun 2001.

Harga RM 36,000.00.

Hubungi saya untuk tujuan test drive.

Salam..
Dr Azwan
012-9597074

Thursday, September 11, 2008

Apa Itu Testimonial ??



Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin menulis tentang testimonial di dalam konteks penjualan produk kesihatan. Testimonial merupakan satu penyataan yang dikeluarkan oleh pelanggan-pelanggan berkenaan keberkesanan sesuatu produk.

Contoh paling mudah ialah produk A mengeluarkan makalah tentang beberapa penyataan pelanggan mereka tentang setelah mereka makan produk A ini, penyakit kencing manis telah pulih sehingga mereka tidak perlu memakan lagi ubat-ubatan konvensional di hospital.

Oleh kerana saya pernai menyertai MLM dahulu, testimonial dianggap satu alat terpenting di dalam marketing MLM. Malah ia adalah "tools" utama di dalam para penjual barangan MLM untuk menjual produk mereka. Bukan sahaja MLM, malah pelbagai jenis perniagaan menjadikan testimonial sebagai satu cara pemasaran yang berkesan.

Saudara, saudari, tuan dan puan,

Walaupun apa pun yang diberitahu berkenaan sesuatu produk kesihatan, testimonial tidak boleh dianggap sebagai satu bahan bukti keberkesanan sesuatu produk. Ia bukan satu keputusan hasil daripada kajian perubatan yang sah. Ia sangat tertakluk kepada "biased" dan mungkin fakta yang ditokok tambah.

Anda sudah pasti melihat tentang satu produk B yang tertulis, menyembuhkan pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit-sakit badan, lenguh, bisa, gout, sakit kepala, kembung perut, penyakit bongkok, jangkitan kencing, disengat lebah, darah kotor.. dan senarai ini berterusan kepada 1000 penyakit.

Kemudian diselitkan pula dengan sehelai kertas depan belakang dengan gambar beberapa orang dengan kenyataan-kenyataan seperti - " setelah saya makan ubat ini beberapa bulan, saya sudah boleh berjalan setelah terkena lumpuh selama beberapa minggu.."

Selepas itu diletakkan pula ayat yang terakhir dengan satu hadis Rasulullah - "Semua penyakit ada ubatnya kecuali tua dan mati". Bukankan ini satu permainan psikologi yang hebat?

Ubat tersebut mungkin berkesan untuk satu penyakit. Tetapi satu ubat berkesan untuk semua penyakit? apatah lagi kerana diletakkan di labelnya "ramuan herba terpilih?". Pernahkah anda terjumpa kesan sampingan daripada ubat-ubat dari herba terpilih itu? Saya pernah menulis dahulu tentang kesan sampingan pada ubat tidak kira ia ramuan herba ataupun tidak.

Pernahkah anda terjumpa satu ubat di hospital atau klinik yang tertulis : ATENOLOL - Ubat ini boleh menyembuhkan 1000 penyakit. Bukan sahaja darah tinggi, tetapi ia boleh meningkat daya seksual anda, menghindarkan dari penyakit kencing manis, gout, asthma, batuk malam, berak berdarah, kanser payudara, Aids... etc etc etc?

Tentulah tiada. Ubat itu sangat spesifik penggunaannya. Malah apa yang tertulis, kesan sampingan ubat itu pula. Ada muntah, sakit perut, cirit, alahan... Bukankah ini akan menakutkan pengguna? Jadi kenapa letak di situ?

Ini menunjukkan bahawa ubat-ubatan ini telah melalui proses kajian yang sangat ketat sehinggakan kajian itu boleh mengetahui apabila ubat itu masuk ke dalam perut, berapa peratuskan yang akan diserap di dalam badan dan berapa peratuskan yang tidak akan diserap. Berapa peratus yang akan menjadi bahan aktif ataupun dikumuh keluar dari badan. Di mana ia akan dikumuh.. samada di hati atau buah pinggang dan berapa peratuskah yang akan keluar melalui air kencing atau najis. Penelitian seperti ini hanya berlaku melalui kajian yang sangat mendalam dan mengambil masa yang lama.

Intipati daripada artikel ini ialah, anda boleh membaca testimonial sesuatu produk yang hangat dijual di pasaran. Syarikat pengeluar akan meletakkan pelbagai jenis penyakit yang mampu disembuhkan sehingga keseribu penyakit. Ada yang menggunakan teknik hadis Rasulullah untuk menguatkan cerita mereka. Kemudian ditambah pula dengan cerita-cerita bahawa ramai yang telah sembuh dengan ubat mereka.

Tetapi dengan pemahaman anda tentang artikel ini, saya mengharapkan anda patut kenal apa makna testimonial itu. Ia sekadar satu cerita daripada pesakit. Bukan hasil kajian berdasarkan cara yang saintifik. Oleh itu, jika ia satu cerita, maka anggaplah ia sebagai satu cerita.

Wallahu A'lam.

Wednesday, September 10, 2008

Harga Minyak Turun? Harga Barang pun Turun?



Salam,

Bolehkah harga barang-barang turun walaupun minyak turun?

Ada yang kata boleh, ada yang kata tak mungkin terjadi.

Datuk Shahrir Samad membayangkan bahawa sekiranya harga minyak dunia turun sebagaimana pada tahun 2006 iaitu dibawah paras USD 80 dolar setong, maka harga minyak Malaysia mungkin akan turun seperti sebelum ini iaitu RM 1.90 seliter. Ini mungkin sesuatu yang menggembirakan.

Buat masa ini, harga minyak di paras USD 106 setong dan kemungkinan semakin rendah.

Tetapi persoalan tuntas masih belum terjawab. Adakah harga barangan boleh turun?

Yang pertama, selain harga minyak yang meningkat, tarif elektrik juga telah meningkat.

Seperti saya tulis dahulu, bil elektrik di kedai saya naik dari RM 120 sebulan ke RM 180 sebulan disebabkan tarif elektrik yang meningkat. Adakah sewajarnya saya turunkan harga barang saya walaupun harga minyak sudah rendah sedangkan kos elektrik tetap meningkat?

Maka, sewajarnya sekiranya kos minyak turun, maka TNB patut menurunkan tarif elektrik secara sewajarnya. Ini kerana kos yang melibatkan Independent Power Plant (IPP) juga semakin menurun. Sekiranya harga minya turun ke taraf RM1.90, maka tarif elektrik juga patut turun seperti sebelum ini.

Yang kedua, adalah dari sudut penguatkuasaan. Tiada penguatkuasaan bermakna tiada bezanya minyak turun atau naik.

Ini adalah kerana peningkatan harga minyak secara mendadak baru-baru ini menyebabkan inflasi menggunung sehingga 8%. Maka untuk menarah gunung ini, memerlukan segala macam kekuatan daripada semua pihak terutama penguatkuasaan. Ini bukanlah tugas mudah.

Kita semua mengharap harga barang2 semuanya akan kembali pada tahap 2 tahun lalu. Tetapi secara realitinya ia mungkin sukar. Nasi mungkin sudah menjadi bubur.

Wallahu Alam.

Tuesday, September 9, 2008

Pening.. pening...




Assalamualaikum,

Saya tengah pening kepala.

Salah seorang pembantu untuk membuat kuih raya saya telah dipilih untuk menjadi pegawai berkemahiran untuk PLKN. Beliau sepatutnya menlaporkan diri di kem PLKN di Perlis pada awal bulan Ogos ini.

Namun begitu, pembantu saya ini telah memberi komitmen awal kepada saya untuk membantu menyiapkan pesanan kuih raya sehingga hari raya Aidilfitri. Oleh itu, beliau telah berbincang dengan komanden di PLKN Perlis dan akhirnya pihak komanden di Perlis bersetuju untuk menangguhkan pendaftarannya sebagai pegawai di sana dan mula mendaftarkan diri selepas hari Raya Aidilfitri nanti.

Saya sendiri yang membantu menulis surat permohonan tersebut dan difakskan ke kem PLKN di Perlis dan di sertakan salinannya di ibu pejabat PLKN di bangunan TH Selborn, jalan Tun Razak.

Tiba-tiba, semalam, pembantu saya mendapat panggilan telefon dari kem PLKN di Perlis. Beliau diminta ke Perlis untuk mengisi borang di sana secepat mungkin dan kemudian baru boleh pulang semula ke KL untuk meneruskan tugasannya yang lain.

Ini bermakna, beliau terpaksa membeli tiket bas untuk ke Perlis pada hari Isnin ini, pergi ke kem PLKN di sana untuk berjumpa komanden, isi borang di sana tak sampai 10 minit dan kemudian beli tiket bas untuk balik semula ke KL. Phewww.......

Bila ditanya, boleh tak di faks sahaja, jawapannya tidak boleh.

Persoalannya, di zaman sains dan teknologi ni, tiadakah cara lain yang lebih KOS efektif, menjimatkan masa, kurang birokrasi dan segala-galanya lah agar pembantu saya tidak perlu untuk ke PERLIS sekadar untuk mengisi borang selama 10 minit?

Malah, mungkin juga mereka tidak pernah mengetahui tentang kewujudan "E-MAIL" selama ini.

Pening... pening...

Friday, September 5, 2008

"Self Control" di bulan Ramadhan,






Salam Ramadhan,

Hari ini hari kelima kita berpuasa di bulan Ramadhan. Saya kira masih belum terlewat untuk mengucapkan Salam Ramadhan al Mubarak kepada semua pembaca blog yang dihormati. Semoga Ramadhan ini membawa sejuta keberkatan dan pengharapan kepada semua pengunjung.

Satu perkara tentang hikmah berpuasa di bulan Ramadhan ialah tentang "Self Control" atau mengawal diri. Mengawal diri secara fizikal dan juga mengawal nafsu adalah intipati di dalam puasa.

Malah Islam sangat tegas tentang perkara-perkara yang menyebabkan manusia tidak dapat mengawal diri mereka seperti apabila seseorang itu meminum arak. Maka arak diharamkan kerana ia memabukkan sekaligus seseorang itu hilang kawalan ke atas diri mereka sendiri.

"Self Control" ketika berpuasa ialah apabila kita mampu mengawal apa yang masuk ke dalam badan kita melalaui tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah. Kita cuma makan apabila waktu bersahur dan makan semula setelah berbuka. Di antara waktu tersebut kita mengawal diri daripada makan dan minum. Malah kita mengawal nafsu dengan mengelakkan hubungan kelamin pada waktu siang dan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Maka, lama kelamaan, setelah proses berpuasa itu berjalan selama beberapa minggu, kita akan dapati bahawa, nasi beriani, ayam percik, murtabak, ais krim soda dan lain-lain lagi tidak lagi menjadi aral buat kita. Malah, apabila seseorang bukan Islam makan di hadapan kita pun, walaupun sesedap mana, ia tidak boleh mengganggu gugat kekuatan puasa kita.

"Self Control" ketika berpuasa adalah satu mekanisme bagaimana Islam mendidik akal kita agar tidak ada satu pun benda di dunia ini yang boleh mengawal kehidupan kita hatta makanan dan minuman walaupun kita tahu makanan dan minuman itu adalah nadi kehidupan kita.

Apabila manusia yang terdidik dengan akal yang mampu mengawal diri sendiri tanpa dipengaruhi oleh sesuatu seperti ini, maka Islam sebenarnya mengajar kita tentang pengawalan diri secara total.

Maka, di bulan puasa inilah adalah waktu yang paling baik untuk kita mengawal perkara-perkara yang kita patut kawal. Merokok misalnya, ini adalah masa yang paling sesuai untuk menunjukkan bahawa akal kita mampu mengawal pengambilan rokok sebagaimana "self control" yang sama perlu kita buat untuk kita mengelak makan dan minum. Alasan bahawa kita tidak dapat berpisah daripada rokok cuma menunjukkan bahawa akal kita lemah. Sedangkan Islam pula mengajar kita tentang kekuatan mengawal diri dan akal.

Tidak ada apa yang mustahil di dalam hidup seorang Islam itu setelah mencapai amalannya yang optimum. Kepada mereka yang ingin menguruskan badan juga, ini adalah waktu terbaik untuk mengamalkan "self control" yang sebenar-benarnya. 80% penyakit berpunca daripada makanan yang dimakan secara berlebihan. Bulan puasa yang membawa seribu keberkatan adalah peluang untuk kita mengawal tatacara makan kita begitu caca merba.

Di dalam bulan puasa, di mana kita terdidik untuk mengelakkan pembaziran, sepatutnya ia berlaku di bulan Ramadhan. Selain daripada kita mengurangkan pengambilan makanan, kita berhentikan juga amalan merokok sebagai amalan. Inilah waktu untuk kita benar-benar mengamalkan "self control" yang sebenar-benarnya.

Wallahu A'lam.

Kepada
Related Posts with Thumbnails