Showing posts with label Books. Show all posts
Showing posts with label Books. Show all posts

Tuesday, November 27, 2007

Menjadi Penulis Jutawan oleh Nimoiz TY


Assalamualaikum


Saya baru sahaja membaca sebuah buku bertajuk "Menjadi Penulis Jutawan" tulisan Nimoiz TY atau nama sebenarnya Nik Mohd Iznan B. Tuan Yaakub. Buku ini adalah terbitan penerbit terkenal Truewealth Publishing. Ia mempunyai 36 buah bab dan berjumlah 250 helai muka surat.

Buku ini sangat baik kerana Nimoiz TY menjadikan bidang penulisan seolah-olah sangat mudah dan semua orang boleh menjadi penulis. Buku ini menggariskan kriteria-kriteria untuk menjadi seorang penulis yang baik. Ia menceritakan beberapa peringkat penulisan, juga menelusuri cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi oleh seorang penulis langkah demi langkah dan menyentuh daripada semua aspek penulisan samada penulisan secara kreatif ataupun fakta.
Untuk menjadikan buku ini istimewa, Nimoiz TY juga menyentuh bagaimana untuk menulis di pentas pertandingan atau litar sayembara. Beliau memang wajar menyentuh isu ini memandangkan pengalaman beliau menyertai banyak sayembara puisi dan cerpen-cerpen kreatif anjuran pelbagai persatuan karyawan dan memenanginya.

Apa yang membuat saya sangat tertarik tentang buku ini ialah ketika Nimoiz TY menyentuh hubungan di antara penulis dan Editor. Seperti yang beliau tulis, editor juga adalah manusia biasa dan mempunyai banyak beban tugas. Tugas penulis bukan sahaja menukar dan menterjemah idea ke dalam bentuk tulisan, tetapi juga memahami kehendak editor dan memudahkan tugas mereka.

Bab lain yang disentuh ialah hubungan penulis dengan peminat dan penulis dengan rakan penulis. Penulis mempunyai peminat mereka yang tersendiri. Siapakah penulis tanpa peminat? Sepatutnya penulis tidak sombong dan sentiasa menjaga hubungan di antara penulis dan peminat. Begitu juga etika perhubungan di antara penulis dengan rakan penulis yang lain. Sentiasa berhubungan, bertanya khabar dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan antara rakan penulis adalah cara-cara menjaga etika ukhuwah antara sesama penulis.


Namun, tidak seceria tajuknya "menjadi penulis jutawan", unsur jutawan tidak ditekankan sangat di dalam buku ini. Selain daripada contoh luar negara seperti JK Rowling dan "Harry Porter" nya serta mentor Azizi Ali dengan buku-bukunya, tidak ada contoh penulis jutawan di dalam negara yang diketengahkan oleh beliau. Penulis yang hebat berjaya diketengahkan dengan berkesan, tetapi penulis jutawan belum lagi.


Walaubagaimanapun, saya menyarankan anda memiliki buku hebat ini terutama kepada mereka yang berminat di dalam bidang penulisan kerana langkah demi langkah yang diketengahkan oleh Nimoiz TY adalah sangat praktikal. Ia amat sesuai dibaca oleh penulis blog, penulis bahan eceran dan bakal penulis novel yang dahagakan ilmu pengetahuan. Nimoiz TY adalah orangnya!


Tuesday, October 2, 2007

CERITA PENIAGA UNTA

"Pada hari ini saya sangat-sangat bernasib baik", kata seorang pemuda.
"Saya terjumpa sebuah dompet yang berisi wang sebanyak RM 2000.00!"
"Oleh kerana tiada siapa yang mengaku tuan punya dompet ini, saya pun mengambilnya".
"Saya amat berharap agar saya sentiasa bernasib baik dan mendapat wang terpijak ini lagi", kata pemuda itu lagi.

Pengalaman yang pemuda ini lalui mungkin boleh berlaku kepada diri anda. Ini mungkin dipanggil "nasib baik" oleh seseorang. Tetapi cuba beritahu kepada saya, sepanjang anda hidup selama 30, 40, 50 tahun... berapa kalikah anda pernah terpijak duit seperti ini? Sekali? Dua kali? Mungkin tidak lebih dari 3 kali... Jarang-jarang bukan?

Orang yang sentiasa mengharapkan "nasib baik" ini, paling ramai berkumpul di meja judi. Mereka akan sentiasa mengharapkan nasib mereka akan baik setelah kalah judi. Apabila menang pula, mereka akan mengharapkan nasib baik akan mendampingi mereka sentiasa dan semakin berani menawarkan wang taruhan yang lebih banyak setiap kali sehingga ramai yang tergadai harta mereka serta maruah keluarga.

Apabila seseorang manusia berusaha dengan tulang empat kerat dan keringatnya, contohnya di dalam pekerjaan atau perniagaan, maka Allah akan memberi keuntungan kepadanya dengan bentuk sumber rezeki yang melimpah. Adakalanya dia mengalami kerugian sesekali akibat kurang pengalaman ataupun keadaan pasaran atau suasana ekonomi yang berubah. Tetapi secara kebiasaannya, keuntungan boleh diperolehi pada bila-bila masa sekiranya berusaha, atau kata lain, keuntungan biasanya berpihak kepadanya.
Ini juga sebenarnya adalah "nasib baik", tetapi nasib baik ketika melaksanakan pekerjaan atau perniagaan tidak begitu diambil peduli. Adakah mendapatkan tender berjuta ringgit itu tidak merupakan satu "nasib baik" setelah banyak kali gagal? Adakah seorang pelabur hartanah mendapat sebuah rumah dengan harga 20% di bawah pasaran tidak bernasib baik setelah meninjau 500 unit hartanah? Percayalah bahawa Allah mengurniakan "nasib baik" kepada mereka yang cekal berusaha tanpa patah semangat.

Berbeza dengan meja judi. Telah menjadi lumrah, mereka yang berjudi akan kalah kerana sistem perjudian itu sendiri adalah memihak kepada "dealer"atau "banker". Dalam 10 kali bermain, maka mungkin menang 1-2 kali. Atau mungkin tidak menang langsung. Ini adalah satu kenyataan kerana cuba anda bertanya kepada mereka yang pernah berjudi... Pernahkah anda mendengar seorang "tycoon" apa-apa bangsa sekali pun yang pernah jadi billionaires dengan berjudi? Tetapi tuan punya kasino yang kaya-raya memang ramai di dunia ini. Sekiranya ada yang jadi kaya dengan berjudi, percayalah nasib baik yang ada padanya tidak akan kekal lama.

Tuan dan Puan, adakalanya nasib baik boleh datang kepada anda di dalam masa yang begitu singkat. Ia datang dengan begitu singkat sehingga kadang kala anda tidak tahu ia adalah satu nasib baik yang menghampiri anda. Ia datang di dalam bentuk peluang...

Seorang peniaga unta di sebuah padang pasir mencari haiwan untuk dibeli secara borong dan dijual. Setelah sepuluh hari mencari dan mencari, beliau tidak juga berjumpa dan berhasrat untuk pulang dengan hati yang sedih. Setelah tiba di sebuah kota yang ditutup dengan pagar kerana lewat malam, beliau pun berehat dan mendirikan khemah untuk bermalam di situ dengan harapan dapat memasuki kota tersebut pada keesokan pagi setelah pagar itu dibuka.

Ketika berehat pada malam itu, seorang saudagar lelaki di khemah berhampiran menegurnya.

Saudagar tersebut dengan rasa sedih memberitahu bahawa beliau terpaksa pulang ke kampung halaman setelah mendapat khabar bahawa isterinya sakit. Oleh hal yang demikian, beliau berhasrat untuk menjual 100 ekor kambingnya dengan potongan 50% harga kerana mahu bergegas pulang. Peniaga Unta tadi gembira kerana mendapat tawaran durian runtuh. Sekurang-kurangnya tak dapat unta, kambing pun jadi la..

Walaupun begitu, satu masalah telah timbul. Oleh kerana terlalu gelap, peniaga unta itu sukar untuk mengira jumlah bilangan kambing yang ingin dibelinya. Saudagar kambing itu merayu agar peniaga unta tersebut membayar wang 50% tersebut dan mengira 100 ekor kambing keesokan harinya bersama-sama hamba saudagar kambing yang ditinggalkan bersamanya. Peniaga unta itu tetap dengan pendiriannya supaya dia tidak akan membayar 50% sehingga kambing-kambing itu dikira.

Pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi, setelah pintu kota dibuka, peniaga unta tersebut melihat berpusu-pusu orang menghampiri khemah saudagar kambing. Rupa-rupanya, kota tersebut sedang menghadapi masalah keputusan makanan dan daging. 100 ekor kambing itu telah dibeli dengan sekelip mata dengan harga 3 kali ganda harga pasaran! Saudagar kambing itu gembira kerana mendapat nasib yang baik. Peniaga unta itu pula hanya melopong mengenangkan nasib baiknya yang baru terlepas dari genggaman.

Moral daripada cerita ini :

1. Nasib baik datang kepada kita di dalam bentuk peluang yang boleh direbut. Ia tidak datang ketika kita berpeluk tubuh dan mengharapkan sesuatu yang baik menimpa kita ketika kita berjalan di waktu pagi. Pelabur di dalam bidang hartanah akan mencari beratus-ratus hartanah, menilainya sebelum memilih satu yang terbaik. Di dalam 300 buah hartanah pasti ada satu yang bernasib baik yang dipanggil "property of the year".

2. Kadang kala nasib baik datang menjenguk di dalam kes peniaga unta itu tadi. Beliau sepatutnya membayar deposit sebanyak 10% atau 20% untuk memastikan bahawa kambing itu akan menjadi miliknya. Menolak peluang yang ada boleh merugikan diri sendiri.

Ulasan daripada buku "The Richest Man in Babylon" karya George S. Clason.

Wallahu Alam.



Friday, September 14, 2007

MEMULAKAN BISNES SENDIRI

Assalamualaikum...

Memang seronok membaca buku-buku yang mengajar kita tentang kejayaan menyertai bisnes. Banyak penulis menulis tentang bagaimana jutawan-jutawan dilahirkan melalui perniagaan yang adakalanya tampak begitu menggiurkan.

Sekiranya anda membaca buku tulisan Fred De Luca, iaitu "Start Small Finish Big" yang merupakan pengasas restoran "SUBWAY" di Amerika Syarikat dan sekarang ke seluruh dunia sehingga ke Malaysia, anda akan dapati kisah-kisah yang ditonjolkan begitu menaikkan semangat. Ia menaikkan bulu roma anda sehinggakan anda mahu berhenti kerja sekarang juga dan memulakan bisnes. Semangat anda meluap-luap untuk berjaya dan anda sangat yakin kejayaan itu cuma beberapa tapak di hadapan anda.

Tunggu dulu! Saya ingin menyarankan anda membeli sebuah buku penulis tempatan iaitu Ainon Mohd dengan bukunya yang bertajuk "Memulakan Bisnes Sendiri" terbitan PTS Publishing. Ketika saya membaca buku ini, saya tertarik kerana ia amat berlawanan dengan buku Fred De Luca.


Di dalam buku "Memulakan Bisnes Sendiri", anda akan disajikan dengan cerita-ceriti yang mematahkan semangat anda untuk membuka perniagaan. Ya, sekiranya anda bukan orang yang kuat semangat dan cepat patah semangat, anda sebenarnya tidak layak dikategorikan sebagai usahawan. Buku ini menceritakan betapa ramai orang yang ingin menjadi kaya melalui perniagaan tetapi akhirnya menjadi miskin kerana berniaga dengan strategi yang salah dan tiada bakat.

Buku ini merupakan edisi kemas kini yang merupakan cetakan kelima. Mempunyai 69 buah bab dengan dibahagikan di dalam 11 bahagian. Bahasanya tersusun dan ceritanya berkisar kisah benar dunia perniagaan.

Ada 2 isi penting di dalam banyak isi-isi penting yang ditulis yang begitu menarik minat saya. Yang pertama ialah bakat. Ainon Mohd menulis, sekiranya kita mula berniaga ketika umur kita melepasi 40 tahun bermakna kita sebenarnya tiada bakat berniaga. Setuju atau tidak, ia merupakan idea yang menarik. Mengikut Ainon, sekiranya kita mempunyai bakat di dalam perniagaan, kita sudah mula berniaga ketika kita masih muda. Tak kiralah bekerja untuk orang sekalipun, kita akan mula berniaga secara kecil-kecilan. Orang yang berniaga ketika melepasi umur 50 tahun tidak mempunyai bakat berniaga. (Kolonel Sanders - pengasas KFC berjaya di ketika umurnya 60 tahun!)

Saya terfikir, bagaimana setelah 35 tahun di dalam perkhidmatan kerajaan atau makan gaji, mereka mula ingin berniaga. Ketika itu, umur sudah 56 tahun, wang gratuiti pula banyak di tangan, dan mereka baru terfikir untuk berniaga. Kebanyakannya berpendapat untuk mengisi masa mereka yang terluang. Daripada membuang masa, baik berniaga. Tetapi saudara-saudari, amat merisaukan sekiranya wang tunai yang banyak itu lenyap serta-merta kerana risiko perniagaan tersangat tinggi dengan rekod kegagalan hampir 90% dalam masa setahun. Sekiranya gagal, dengan keadaan umur sebegitu, pasti akan mengundang padah. Namun begitu, tidak dapat dinafikan, kebijaksanaan dan pengalaman mereka amat berharga sekiranya mereka ingin meneruskan hasrat ini.


Yang Kedua, ialah idea bahawa orang melayu percaya bahawa peniaga cina ingin menjatuhkan mereka di dalam persaingan. Ainon Mohd menjelaskan bahawa ini adalah atitud peniaga melayu yang sering mencari kesalahan orang lain apabila gagal di dalam persaingan. Secara realiti, peniaga cina yang yang adakalanya menjadi pembekal mahukan para pengedar atau pekedai yang dibekalnya, tidak kira melayu atau cina berjaya. Sekiranya pengedarnya berjaya di dalam perniagaan, sudah tentu perniagaan pembekalnya juga akan berjaya. Ini adalah situasi menang-menang.

Di dalam buku ini, Ainon menceritakan bagaimana ada pembekal cina membantu peniaga bumiputera di dalam mencadangkan strategi untuk berjaya di dalam perniagaan dengan berkongsi ilmu pengetahuan dan membantu dari segi kredit membekal barang mentah. Yang menyedihkan. ada juga atitud orang melayu yang tidak memegang pada janji yang menyebabkan bukan sahaja pembekal cina, malah sama-sama melayu pun tidak percaya. Siapa yang harus dipersalahkan jikalau tidak diri sendiri.

Ada banyak lagi isi-isi penting yang saya sendiri dapat mengambil iktibar di dalam buku "Memulakan Bisnes Sendiri" tulisan Ainon Ahmad ini. Kadangkala ada perlunya kita mengkaji kelemahan-kelemahan saudara kita untuk memperbaiki diri sendiri. Biarlah kita belajar dari kelemahan-kelemahan orang lain yang gagal di dalam perniagaan daripada kita belajar kepahitan pengalaman itu daripada kegagalan diri sendiri. Melangkah setapak ke belakang untuk melangkah tiga tapak ke hadapan adalah sesuatu yang bijak dan praktikal di dalam dunia perniagaan. Saya cadangkan anda membeli buku ini untuk koleksi anda.


Wallahualam.

Wednesday, August 8, 2007

FENG SHUI - Satu Pandangan

Assalamualaikum,

Ketika saya mula meminati bidang hartanah, saya tidak pernah mengetahui apa itu feng shui dan menganggap ia suatu yang haram di dalam agama Islam dan tidak boleh diikuti. Memang pun, ada banyak perkara di dalam feng shui kadangkala agak tahyul dan tidak masuk akal. Namun begitu, apabila saya membaca beberapa buku yang ditulis oleh pakar hartanah berbangsa cina, saya dapati terdapat perkara di dalam feng shui yang boleh kita ikuti dan ambil iktibar.

Mengikut Rhenesial Leong, penulis buku Permata Hartanah, Feng Shui bermaksud "angin" dan "air". Amalan Feng Shui berpunca daripada amalan orang cina melihat alam ini. Semua benda di dalam ini dikategorikan kepada air, api, logam, tanah, kayu dan air. Cara 5 perkara ini disusun memberikan keseimbangan tenaga yang dikenali sebagai "yin" dan "yang". Tenaga ini dipanggil "chi".
Mengikutnya lagi, Feng Shui bukan agama atau amalan spiritual. Feng Shui lebih difahami sebagai satu "sains" yang menyusun 5 objek tadi agar berada di dalam keadaan seimbang dan harmoni.

Haaa... sekarang ini pasti anda semua akan memandang saya dengan mata anda yang terbeliak dan berkata, "Biar betul Dr. Azwan nih?? ... lain macam ajerr bunyi artikel kali ini... Jangan bagitahu kami benda-benda tahyul ni.. kami tak mau dengar!"..

Sabar... sabar tuan puan... itu intro baru tuh... Saya pun tak percaya feng shui. Anda tak perlu percaya. Apa yang nak saya ketengahkan adalah logik di sebalik feng shui itu. Kita orang Islam contohnya tidak percaya pada nombor yang boleh memberi sebarang mudarat. Jadi saya pun tidak akan sentuh kerana saya pun tak percaya. Mari kita lihat Feng Shui dari sudut yang positif.

Ini adalah saranan-saranan di dalam feng shui ketika memilih rumah.

1. Pilih hartanah yang terang dan berangin di ruang tamu, ruang utama, bilik tidur dan dapur. Jangan pilih ruam yang suram dan gelap. Memang logik pun. Di sinilah kita banyak menghabiskan masa bersama keluarga. Cuba bayang kalau kita duduk sorang2 kat rumah dan belum masuk maghrib lagi, rumah dah gelap dan suram semacam sahaja... waa..

2. Beli rumah mengadap Utara atau Selatan. Puas saya fikir apasal lah yang hebat sangat kalau beli rumah mengadap utara atau selatan. Saya fikir ini cuma satu tahyul di dalam feng shui. Sehinggalah saya diberitahu oleh seorang ejen berketurunan cina. Rupa-rupanya kalau kita beli rumah mengadap timur atau barat, kita akan menghadap samada matahari naik atau matahari jatuh. Jadi rumah anda akan menjadi panas ketika matahari naik atau matahari jatuh. Tentu anda tak mahu pulang ke rumah dalam keadaan penat ditambah pula dengan keadaan rumah yang panas. Kan sekarang anda dah tahu...

3. Jalan raya dan jalan masuk ke rumah mestilah rata. Elakkan jalan masuk ke rumah yang curam. Logiknya dilihat dari sudut keselamatan. Sekiranya jalan mencuram ke ke rumah, pastikan brek kereta anda berada di dalam keadaan yang baik. Kisah benar, seorang wanita ingin membuka pagar rumah tetapi terlupa menarik brek tangan. Kereta itu bergerak dan melanggarnya. Dia mati tersepit di antara kereta dan pagar. Sebab lain ialah kemungkinan juga anak kita sedang bermain di pintu masuk, dan tiba-tiba brek kereta rosak atau anda hilang kawalan ketika menuruni jalan masuk yang curam menyebabkan insiden yang tidak diingini berlaku.

4. Elakkan rumah mengadap T-junction. Ini juga dipandang dari sudut keselamatan. Anda tidak mahu suatu hari, ada orang yang mabuk atau gila lalu melalui jalan depan rumah anda yang lurus dan terlupa menekan brek. Anda juga akan dapati, pemandangan halaman rumah anda pebuh dengan debu dan anda akan berada di dalam ketakutan setiap kali anda duduk di ruang tamu.

5. Elakkan hartanah dekat dengan tempat yang hingar bingar seperti pasar. Anda mungkin akan mengalami masalah sekiranya rumah yang dibeli begitu hampir dengan kedai yang akhirnya menjadi pusat karaoke. Anda juga tidak mahu kawasan halaman anda menjadi medan letak kereta percuma.

6. Kesan air @ water effect atau kesan hijau @ green effect. Rumah yang mengadap tasik, kolam, sungai dan punca air yang lain akan mendatangkan ketenangan fikiran. Pemandangan yang tidak terhalang dengan bangunan, gunung-ganang, padang dan pokok-pokok juga boleh mendatangkan ketenangan fikiran. Anda akan dapati rumah yang mengadap taman permainan dijual mahal RM 10,000 - RM 20,000 daripada rumah yang mengadap rumah.



Jadi... ini adalah di antara perkara-perkara di dalam feng shui yang boleh membantu kita di dalam memilih rumah yang baik. Walaupun begitu ia adalah sekadar satu panduan. Anda akan dapati, tidak perlu belajar feng shui untuk mengetahu rumah anda adalah baik sekiranya rumah anda cerah dan berangin, mengadap sungai atau padang permainan, tidak terkena bahang matahari petang dan jauh dari kebisingan. Ia merupakan satu suasana yang memotivasikan hidup anda, kerana ia adalah lumrah alam untuk mencari ketenangan di dalam kehidupan.

Walaupun begitu, saya juga mendapati feng shui ini boleh menguntungkan saya. Saya baru sahaja ditawarkan sebuah rumah 2 tingkat yang ingin dijual oleh seorang doktor cina. Pada asalnya, rumah tersebut mengadap sebuah padang. Namun, pembangunan telah dijalankan di kawasan itu menjadikan jalan di hadapan rumahnya bertukar kepada "T-junction". Rumah itu cantik dan telah diubah suai. Semua 3 bilik terdapat kipas dan lampu. Bilik air telah siap dengan water heater. Pintu depan berpagar automatik dan laman hadapan telah diubahsuai dengan tiles sepenuhnya. Rumah juga terdapat alarm. Dapur juga telah diubahsuai separuh. Harga pasaran dianggarkan dalam RM 220,000. Terdapat rumah yang sama jenis dan telah diubahsuai sedang dijual dengan harga RM 240,000 di jalan yang lain. Oleh kerana T-junction itu beliau menawarkan rumah itu dengan harga RM 186,000!. Saya sedang memujuknya untuk menjual kepada saya dengan harga RM 180,000. Doakan kejayaan saya... Feng shui ke tak feng shui... saya tengah dapat harga di bawah pasaran RM 40,000!





Saturday, April 28, 2007

Pesta Buku Antarabangsa ke 26, PWTC Kuala Lumpur

Asssalamualaikum Warahmatullah,

Sekiranya anda ingin menjadi jutawan, kemudian diberi wang modal sebanyak RM 1000 dan diminta untuk melabur, apakah pelaburan yang akan anda ceburi untuk menjadi jutawan?
Adakah anda akan masuk ke dalam saham amanah (trust fund)?....... mungkin pasaran saham?... pelaburan internet barangkali?...... membeli rumah?............ masuk MLM? (RM 60 je bang.. murah) atau anda tidak akan berbuat apa-apa dengan wang itu dan menyimpannya di bank agar dia membiak sehingga jutaan ringgit?.

Sekiranya soalan ini diajukan kepada saya. Saya tidak akan teragak-agak menjawab, " Saya akan membeli buku ".

Buku adalah penasihat kewangan yang baik dan berkesan untuk saya. Nasihat-nasihat yang berguna daripada buku-buku kewangan dan pelaburan adalah beribu-ribu kali ganda lebih baik daripada nasihat kawan-kawan, pakcik makcik, malah adik beradik kita sendiri berkenaan dengan kewangan. Dengan membelanjakan RM 1000 membeli buku dan membacanya, wang pulangan yang akan anda dapat kembali akan bernilai berpuluh-puluh kali ganda.

Oleh itu, sempena Pesta Buku Antarabangsa ke 26 di PWTC Kuala Lumpur ini, marilah kita sama-sama menjenguk ke gerai buku dan membeli buku-buku tidak kira buku apa pun. Yang penting kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita untuk persediaan di dunia dan di akhirat.
Di sini ada beberapa gambar-gambar yang sempat saya ambil pada hari pertama Pesta Buku Antarangsa di PWTC Kuala Lumpur kali ke 26

Ini adalah pintu masuk Pesta Buku Antarabangsa 2007 di PWTC.

Sahabat saya Sdr Sayed Munawar Sayed Mustar (Pengacara MHI- RTM 1) juga ada bersama mempromosi Pesta Buku Antarabangsa kali ke 26

Di gerai PTS Publishing. Saya ada membeli 2 buah buku di sini.


Gerai 56, Dewan legar PWTC, True Wealth Publishing, gerai buku mentor saya.

Di gerai True Wealth Sdn Bhd, bersama pengurus gerai dan buku-buku yang dibeli. Slightly frustrated sebab Mentor Azizi Ali takde nak sign buku. Dia ada 6 hb Mei nanti iaitu hari terakhir Pesta buku.

Di antara buku-buku yang saya beli di Gerai True Wealth. Untuk pengetahuan anda, harga memang murahhhh. Semua buku dapat diskaun. Harga biasa buku Winning at Property Auctions RM 69.90 tapi saya dapat harga RM 48.00++.. Hard Cover lagi! Buku-buku lain pun 20%-30% off. Rugi tak beli beb..




Wednesday, April 18, 2007

Kisah Dollah dan Mamat - The Parable of the Pipelines

Assalamualaikum...

Pernah baca buku "The Parable of the Pipelines?" karangan Burke Hedges... Ini adalah antara buku investment terawal yang saya baca. Isi kandungan ringkas tapi padat. Anda boleh dapatkannya di Amazon.com di bawah blog ni... Ilmu yang dikongsi sangat mengesankan dan antara buku yang banyak menyedarkan orang tentang financial intelligence. Saya terpanggil untuk berkongsi cerita di dalam buku ini kepada anda semua selaku pengunjung setia di dalam blog ni... Tapi saya olah sikit tanpa menukar struktur cerita... sesuai dengan masyarakat Malaysia... Jangan marah Burke Hedges...

Ia mengisahkan 2 orang sahabat baik... Oleh sebab kita kat malaysia saya guna nama orang Malaysia jelah, sorang ni namanya Mamat, sorang lagi nama Dolah.. (karakter ni takde kena mengena dgn yg hidup atau yang dah meninggal) ... Kawan baik mereka berdua ni.. sejak kecil belajar bersama, sekolah bersama dan membesar bersama...

Satu hari seorang pemaju datang ke kampung mereka yang bernama Kg. Pinang Sebatang... Pemaju ingin membangunkan kampung itu tetapi memerlukan sumber air yang baik... Oleh sebab kawasan tu kawasan kampung, sumber air terhampir ialah sebuah sungai kira-kira 250 meter dari situ... Jadi Mamat dan Dollah ditawarkan tugas tersebut... Offer pemaju itu ialah setiap baldi air yang diangkut ke dalam sebuah tangki daripada sungai itu akan dibayar RM 1.00 sebaldi... Kalau sekali angkut boleh dapat 2 baldi... so dapat RM 2.00. Kalau dapat 20 kali jalan mahu dapat 40 baldi = RM 40 sehari.. banyak tu… Sebulan kalau 25 hari kerja dah dapat RM 1000 sebulan… Maklumlah waktu tu RM 1000 tuh besar jugak wangnya.. orang kata jadi Orang Kaya Baru kat kampong…

Maka berlumba-lumbalah Mamat dan Dollah untuk mengangkut air dari sungai ke tangki kampong… Bila masuk seminggu Mamat terfikir tentang pekerjaan yang dilaksanakannya ini.. Sampai bila aku nak kena angkut air ni dari sungai… Tak boleh jadi ni… Mamat menukar cara kerjanya… Mulai saat itu Mamat cuma mengangkat cuma 20 baldi setiap hari iaitu hasilnya semakin berkurang iaitu sebanyak RM 20 sehari sahaja. Orang ramai melihat dan membandingkan mereka berdua… Dollah ni rajin lah, … Dollah memang hebat… Dollah orang kaya… Aku nak kahwinkan anak aku ngan Dollah.. Setiap kali berjumpa Si Dollah orang akan menepuk bahunya dan memuji-mujinya. Sedangkan Mamat terus dikeji akan kemalasannya…. Takder mak ayah nak bermenantukan si Mamat… Tak bertanggungjawab katanya…

Apa yang mereka tak tahu ialah… dengan kecekalan dan keazaman Mamat, dia membina saluran menggunakan batang paip dari sungai ke tangkinya setiap hari perlahan-lahan. Setiap hari dia membina 1 meter paip… Ia bukan mudah.. tanah penuh dengan kerikil.. kadangkala saluran yang dibina patah, kadangkala hujan turun dengan lebat dan air sungai naik… macam macam masalah yang ditempuhi dengan penuh keazaman… 20 baldi air tetap diangkutnya… Masa terus berjalan hari demi hari… dan batang paip semakin hampir dengan tangki…. Setiap hari tugasan Mamat semakin mudah.. Kalau dulu jarak antara sungai dengan tangki adalah sepanjang 250 meter kini menjadi sesingkat 80 meter sahaja. Ketika ini Mamat boleh berulangalik dengan lebih kerap.. sehari pendapatannya boleh mencecah RM 50. Selepas beberapa bulan, maka paip yang dibina siap sepanjang 250 meter… Mamat cuma perlu buka paip air dan air pun masuk ke tangki. Sekarang wangnya bertambah dengan banyaknya… dia tak perlu berjalan… sehari pendapatannya mencecah RM 200. Kadang kadang lebih, kerana pemaju yang datang menambah komisyen dan sebagainya.


Dollah??? Kesian dia… makin lama badannya makin kurus kerana kepenatan, tapak kakinya makin haus, tangannya menggelupas, bahunya makin jatuh dan mukanya makin kelihatan semakin tua… Kepenatan badannya dan sakit-sakit sendi memaksa dia mengurangkan perjalanan dia kepada 20 kali ulang alik dan pendapatannya semakin berkurang sebanyak RM 20 sehari.. kadang kadang dia terpaksa ke klinik Dr. Azwan 24 jam untuk mengambil ubat… terpaksa bercuti pula dan tiada pendapatan yang masuk… Orang kampong mula bercerita… Si Mamat pula dipuji.. Dollah di hina dan dipandang rendah pula… Berebut mak ayah nak bermenantukan si Mamat…

Pengajaran daripada cerita ini ialah, walaupun kita bekerja untuk mendapatkan wang menggunakan tulang empat kerat kita, sebahagian daripada masa kita harus digunakan untuk melabur kearah menjana pendapatan secara pasif (tidur pun dapat duit)… bagaimana caranya? adalah melalui ilmu pengetahuan dan financial intelligence. Pada satu waktu kita akan penat, tua, kemalangan, sakit ditimpa pelbagai musibah…. Sudah kah kita bersedia untuk waktu itu.. ketika itu pendapatan kita terputus… Jadi kita patut menggunakan masa kita untuk menjana pendapatan pasif mungkin melalui perniagaan jangka panjang dan pelaburan-pelaburan yang baik… Harap perkara yang baik ni kita boleh kongsikan bersama…


Tuesday, April 17, 2007

Enterpreneur's Seizure

Saya mengenali 2 perkataan ni ketika saya membaca buku "E-myth Revisited" karangan Michael E. Gerber. 2 perkataan ini timbul ketika kita mahukan perubahan secara positif. Biar saya bicarakan dengan lebih lanjut.

Adakalanya di dalam kehidupan makan gaji, kita akan dimarahi boss.. adakalanya kita merasakan bahawa ketika makan gaji kita tidak bebas untuk melakukan apa yang kita suka. Masa kita terikat untuk tugasan, ada dateline yang harus kita kejar. Masa untuk keluarga tiada... Pendekata, sebagai seorang pekerja makan gaji kita adakalanya memendam rasa kepada majikan dan kawan-kawan di sekeliling. Kita sentiasa rasa tak puas hati tentang pekerjaan kita. Setiap kali kita ditegur atau dimarah, akan terdetik di dalam hati... "Alangkah bagus kalau aku berniaga... boleh jadi boss sendiri... Tak kena marah camni".... Tetapi kita tak tidak ada keberanian untuk berhenti.. Sapa yang akan mengisi periuk nasi kita...

Namun, pada suatu hari... mungkin kita telah membuat satu kesilapan... mungkin boss kita tidak puas hati kepada tugasan kita... dan dia telah memarahi kita... Sabar pun ada hadnya.. Hati yang sudah lama membara seperti ditiup angin taufan... akhirnya terbakar.. dan.. notis 24 jam dihantar... Nah kau....

Pada fikiran kita... syarikat boss akan gulung tikar kerana tiada lagi pekerja lain yang semahir kita kerana kita sudah berhenti... Pada fikiran kita, kejayaan syarikat boss adalah bergantung semata2 kepada kita.... Kita telah bekerja selama 15 tahun. Tanpa kita mustahil syarikat itu akan berkembang sebesar sekarang....... Kemahiran kita 10x ganda lagi hebat daripada boss kita. .... Pada fikiran kita.. kalau kita buka satu lagi syarikat macam boss, pasti syarikat itu akan berkembang juga kerana kita ada di situ.... Mesti syarikat kita berkembang 10x ganda daripada boss kita kerana kemahiran kita yang 10x ganda lebih tinggi berbanding boss kita.

Dengan semangat membara, kecekalan tanpa batasan....Kita membuat pinjaman bank (personal loan), meminjam dari saudara mara serta sahabat, guna duit simpanan yang ada dan gadai barang2 kemas untuk membuka perniagaan. Semangat kita berkobar2... tidak ada apa yang boleh menahan kita daripada membuka perniagaan sendiri. Kita tersenyum puas....

Setelah beberapa bulan membuka perniagaan, kita dapati bahawa perniagaan kita semakin berkembang maju tetapi kita semakin sibuk, kadangkala tak terkejar, kalau dulu pukul 8.30 pm tiap-tiap malam Sabtu dah ada kat depan tv tengok AF, tapi sekarang ni DekNa pun tak kenal... Kalau dulu tiap-tiap malam boleh tengok football match kat ESPN .. tapi sekarang balik pukul 11 pm dah penat dan mengantuk... Bola yang tengok kita... Hari menjadi semakin sukar, perniagaan menjadi semakin membosankan, pelanggan yang ramai bermakna kerja yang lebih... kita mula membenci pelanggan...

Sebenarnya, Michael E. Gerber berpendapat di dalam bukunya "E-myth revisited", membuka sebuah perniagaan bukanlah semata-mata mempunyai kemahiran yang tinggi di dalam bidang perniagaan yang ingin kita ceburi. Seorang tukang kayu yang sangat mahir, mungkin boleh gagal di dalam perniagaan pertukangan. Serupa juga dengan seorang tukang masak yang sangat mahir tidak semestinya berjaya apabila membuka sebuah restoran. Ada seorang ahli perniagaan di US yang tak reti memasak tapi mempunyai chain restaurant yang besar. Kemahiran di dalam perniagaan termasuk mempunyai ilmu di dalam bidang kewangan, mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi, boleh membuat keputusan di dalam perniagaan dan kreatif serta innovatif. Beliau mestilah mempunyai ciri-ciri usahawan yang berjaya. Semangat yang berkobar-kobar untuk menceburi di dalam bidang perniagaan kerana sekadar benci di marah boss, tidak suka dengan suasana tempat kerja dan mengikut-ikut orang lain di gelar "Enterpreneur's Seizure" atau "Sawan Usahawan"... Ia sekejap dan hangat-hangat tahi ayam... Akhirnya pilihan kedua adalah menutup perniagaan dan kembali bekerja makan gaji...


**** Buku E-Myth Revisited by Michael E Gerber boleh dibeli melalui laman blog ini via Amazon.com- sila skrol di bawah blog ****

Thursday, April 12, 2007

Anak Murid Sdr. Azizi Ali Menulis…………….

Assalamualaikum Warahmatullah…

Sebelum membeli apa-apa hartanah (property), anda dinasihatkan untuk menambah ilmu pengetahuan di dalam bidang ini. Ia akan menentukan samada rumah, kedai atau tanah yang anda beli akan menambahkan kekayaan anda atau mempapakan anda dengan kadar yang segera dan berterusan. Saya bercakap melalui pengalaman saya sendiri. Saya ada membeli beberapa buah rumah untuk tujuan pelaburan. Walaupun gaji saya sebagai doktor kerajaan tidak besar dan saya masih lagi baru bekerja, saya berjaya mendapatkan pinjaman bank (bukan pinjaman kerajaan) untuk membeli beberapa rumah untuk tujuan sewa. Saya mendapat ilmu ini daripada buku yang saya baca iaitu sebuah buku tulisan Prof. Dolf De Roos yang bertajuk “Property Riches”. Buku ini berjaya membuka hati saya untuk menceburi pelaburan hartanah bukan sahaja secara serius tetapi… terlalu terburu-buru. Saya tidak akan beritahu anda berapa buah rumah yang telah saya beli selepas 6 tahun saya bekerja sebagai seorang doktor tetapi memadailah saya nyatakan di sini bahawa saya kesal di atas sikap saya yang terburu-buru untuk menambah kekayaan melalui hartanah.

Saya terjumpa sebuah kondominium untuk dijual dan disewakan semula (lease option) dengan jaminan sewaan (rental guaranteed) di Cheras di mana tempat tersebut akan dijadikan asrama untuk pelajar di dalam bidang kesihatan dan kejururawatan oleh sebuah kolej swasta. Daripada tawaran tersebut, saya akan mendapat aliran tunai positif setiap bulan dan sewa bulanan cukup untuk menampung bayaran bank. Saya juga telah mendapat kelulusan daripada Public Bank untuk pembelian rumah ini.

Namun, pada masa yang sama saya juga telah terpaut pada sebuah lagi tawaran kondominium yang berdekatan di sebuah kolej swasta tetapi di luar kawasan Lembah Klang. Tawaran ini lebih menarik kerana bukan sahaja terdapat “rental guaranteed”, saya juga mendapat rebat tunai 10% daripada harga rumah dan aliran tunai positif yang lebih tinggi. Namun, saya dikejutkan oleh pihak Public Bank yang menyatakan bahawa mereka tidak akan meluluskan permohonan untuk kondiminium yang kedua ini. Saya menjadi hairan kerana harga kondominium yang kedua adalah jauh lebih murah sekali ganda. Kenapa pinjaman ini tidak diluluskan? Begitu banyak persoalan yang saya cuba tanyakan di atas masalah ini tetapi cuba dielak oleh pihak pegawai Public Bank yang berurusan.

Ejen kondominium yang kedua telah bertindak dengan pantas (dan jahatnya) untuk mengurus pinjaman saya dengan Bank Rakyat yang diketahui lebih senang meluluskan pinjaman perumahan. Saya yang tidak berhati-hati, malah bersifat EGO kerana dikecewakan oleh Public Bank dengan gembiranya menerima tawaran Bank Rakyat. Akhirnya, sehingga kini kondominium yang telah saya beli itu tidak dapat saya sewakan kerana kolej tersebut tidak diiktiraf oleh LAN dan bilangan pelajarnya yang kurang serta terdapat terlalu banyak perumahan yang sama di kawasan sekeliling. Saya cuba menghubungi ejen yang menjual tetapi dia telah menukar nombor telefonnya. Alangkah baiknya kalau saya buat kajian terlebih dahulu tentang hartanah yang saya beli….

5 mesej yang ingin saya kongsi dengan anda:-

  1. Hartanah yang tidak bagus bukan sahaja rendah harganya, malah pemaju terpaksa meletakkan rebat, tawaran rental guaranteed, percuma itu dan ini dengan harapan taktik ini akan menjerat mangsanya… contohnya saya…
  2. Sekiranya bank anda tidak meluluskan pinjaman, ini adalah samada anda tidak layak mendapat pinjaman kerana kekurangan wang (cash tight), over gearing (pelaburan yang terlalu banyak) ataupun hartanah anda tidak bagus. Nampaknya saya tak perasan langsung sebab yang ketiga itu…
  3. Pemaju untuk hartanah yang tidak bagus akan meletakkan agensi jualan atau ejen2 untuk menjual rumah. Mereka tak cukup wang untuk mengiklankannya di surat khabar atau radio.
  4. Jangan beli hartanah yang jauh dari tempat tinggal anda. Anda bukan sahaja tidak tahu perihal kawasan tersebut, pembangunan sekeliling dan masalah-masalahnya tetapi anda sukar untuk menguruskan hartanah yang jauh dari rumah. Cuba cari hartanah yang jaraknya hanya setengah jam dari rumah
  5. Sentiasa buat kajian tentang hartanah yang ingin anda beli. Sekiranya saya buat kajian tentang kolej swasta yang tidak mendapat kelulusan LAN itu, sedikit sebanyak ia menjadi faktor untuk saya berfikir semula keputusan untuk membeli rumah tersebut.

Insaf dengan pelbagai masalah yang timbul, saya megambil pendekatan yang lebih berhati-hati. Saya membaca banyak buku terbitan penulis tempatan berbanding luar kerana ia lebih relevan di dalam konteks pelaburan hartanah di Malaysia. Izinkan saya cadangkan kepada anda untuk membaca karya 3 orang penulis buku tempatan yang penting sebelum anda masuk ke bidang hartanah.

  1. Mdm Renesial Leong atau dikenali sebagai Queen of Property. 2 bukunya yang utama ialah Permata Hartanah atau Property Jewel dan Your Tenant Your Jewels.
  2. Sdr. Azizi Ali – Bagaimana Hendak Menjadi Jutawan Hartanah, Bagaimana Hendak Menjadi Tuan Rumah Jutawan
  3. Mr. Milan Doshi – How You can become Multi Millionaire Real Estate Investor







Setelah saya baca buku karangan mereka barulah keyakinan dan daya kefahaman saya tentang pelaburan hartanah meningkat lebih daripada 1000%. Namun apakan daya, ketika saya sudah faham tentang pelaburan hartanah yang baik, ketika itulah saya sudah kehabisan wang…. Betullah kata pepatah, Menyesal dahulu pendapatan…..

Monday, April 9, 2007

Biar Kecil Asalkan Berhasil

Assalamualaikum....


Semoga semua pengunjung web ini mendapat Rahmat Allah sentiasa...

Ketika saya bekerja di Hospital Kuala Lumpur, saya mendapat berita bahawa kerajaan ada mengadakan program Usahawan kepada kakitangan kerajaan yang bertujuan untuk menambahkan ilmu pengetahuan di dalam perniagaan. Walaupun ia lebih ditujukan kepada pesara-pesara kerajaan, saya berpendapat apa salahnya sekiranya menghadirinya. Saya terus mengunjungi laman web MECD dan mendaftar sebagai peserta untuk mengikuti program selama seminggu. Sebulan selepas itu saya mengikuti Program Pengwujudan Usahawan anjuran MECD dan MEDEC (UiTM) selama 2 bulan di Shah Alam. Di sana kami mempelajari berkenaan dengan selok belok perniagaan, budaya dan disiplin, peluang-peluang yang ada, asas-asas simpan kira (cthnya Aliran Tunai) dan yang paling penting kami telah menghasilkan kertas kerja atau rancangan perniagaan. Rancangan Perniagaan atau RP ini telah kami bentangkan kepada ahli panel bank pada hari-hari terakhir program yang pada lazimnya memang merekalah yang menguruskan dan meluluskan pinjaman pinjaman perniagaan. Ahli panel bank ini terdiri dari Bank Pertanian, Bank SME, MARA dan Prosper (PUNB). RP saya adalah membuka sebuah Pasaraya sejuk beku.. dan pinjaman saya pohon adalah sebanyak RM 350 000... Maklumlah nak lawan GIANT dan COLD STORAGE ni.. kenalah pinjam banyak sikit... Angan-angan kenalah melangit...


Namun begitu, setelah tamat kursus 2 bulan... saya telah membaca 3 buah buku karangan Dr. Rusly Abdullah atau lebih dikenali sebagai Chef Li. Buku-bukunya adalah 1. Menjejaki Jutawan Senyap 2. Petunjuk Jalan Kekayaan 3. Biar kecil asal Berhasil....


Bukunya yang ketiga di dalam trilogi "Jutawan Senyap" mengajar saya asas perniagaan yang sebenar-benarnya. Mungkin pendekatan yang beliau ambil lebih menyentuh jiwa saya. Di dalam buku yang ketiganya Chef Li menyatakan adalah lebih baik sebuah perniagaan itu bermula dari kecil... Biar Kecil Asal Berhasil daripada Besar tetapi akhirnya Bubar... Chef Li mengajak kita semua mengenali diri kita yang sebenarnya, memahami kenapa orang melayu tidak mahu menceburi bidang perniagaan dan mengapa orang melayu sering gagal di dalam perniagaan. Tak cukup orang melayu dimalukan oleh beliau (Dengan Bona Fide - niat yang baik), beliau memberi contoh seorang pendatang dari Indonesia yang menjual cendol di Chow Kit... berpendatan 4 angka sebulan dan hidup senang lenang dengan menjual cendol. Secara keseluruhan beliau mencabar umat melayu untuk menceburi satu bidang yang dipelopori oleh Rasulullah iaitu bidang perniagaan yang menjanjikan 9 daripada 10 punca kekayaan. Beliau juga berpendapat yang orang melayu ketinggalan banyak ilmu perniagaan di belakang orang Cina.. India.. malah orang Indonesia...




Saya juga tertarik dengan konsep persembahan buku ini iaitu memulakan satu perniagaan secara kecil-kecilan. Ini bertentangan dengan prinsip saya ketika itu iaitu ingin membuka sebuah Pasaraya dengan kos RM 350 000... Nah.. Chef Li membawa cerita bagaimana seorang ibu tunggal boleh berjaya dengan bisnes makanannya dari sebuah gerai ke sebuah restoran, seorang guru boleh berjaya dengan bisnes aiskrimnya bermula di pasar malam, seorang budak yang dibuang sekolah boleh membina empayar restoran dan seorang pegawai yang bergaji besar akhirnya membuka perniagaan menggoreng mee di pasar malam.. semuanya melalui permulaan yang kecil dan sederhana. Saya terasa terpukul... Perniagaan yang permulaannya bermodal tinggi kalau tak cukup perancangan dan ilmu mungkin boleh runtuh dalam sekelip mata. Bak kata Sdr. Azizi Ali.... perkara pertama yang membuatkan seorang jutawan bertukar menjadi Ex-jutawan (papa kedana) adalah melalui perniagaan!...


Oleh itu, saya telah membatalkan hasrat saya untuk membuka sebuah pasaraya dan ini membawa saya kepada ChefFarid dan Akademia Bakeri Ria... Saya ingin membuka sebuah perniagaan berasaskan makanan kecil-kecilan yang mempunyai potensi untuk berkembang dan ia boleh bermula dari rumah.. Akademi Bakeri Ria boleh membantu saya... Pendekata saya memegang semangat "Biar Kecil Asalkan Berhasil daripada Besar Akhirnya Bubar"....

Related Posts with Thumbnails