Tuesday, October 30, 2007

Perhebat Strategi Dakwah... Satu Pandangan.

Assalamualaikum Warahmatullah.
Mari kita berbicara secara serius...

Saya merupakan pembaca setia pena mufti yang ditulis oleh Sahibus Samahah Dr. Mohd Asri Zainal Abidin di Mingguan Malaysia saban minggu. Teringat saya ketika menjadi mahasiswa di Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa di Kuantan, persatuan mahasiswa ada menjemput beliau untuk memberi ceramah terbuka di ruang legar UIAM ketika Hari Terbuka UIAM beberapa tahun yang lalu. Saya dapati, kata-kata beliau amat tersusun di selang seli dengan ayat-ayat al-Quran dan Hadis menampakkan tahap keintelektualan yang sangat tinggi.


Apabila beliau dilantik menjadi Mufti Negeri Perlis, saya berfikir bahawa beliau sangat layak untuk menduduki kerusi itu kerana kemampuan beliau dari segi ilmiah di dalam merungkai masalah-masalah kontemporari di abad yang serba canggih ini. Memang terdapat pelbagai kontroversi sejak akhir-akhir ini tentang pendapat beliau yang dikaitkan dengan wahhabiah. Pemikiran beliau yang agak kritikal mengundang tidak puas hati banyak pihak - tidak daripada kaum bukan Islam tetapi kebanyakannya dari pegawai-pegawai agama negeri-negeri lain yang merupakan pakar-pakar agama Islam juga. Pertelingkahan ideologi ini mengingatkan kita tentang perbezaan pendapat dan ideologi "kaum tua" vs "kaum muda" pada waktu awal sebelum merdeka.


ISU BIN ABDULLAH


Pada kebanyakan pendapat Dr. Asri, saya tertarik dengan beberapa pendapat yang saya rasa agar segar dan memerlukan sokongan "orang muda" seperti saya. Salah satunya ialah menggunakan "BIN ABDULLAH" selepas masuk Islam. Menurut beliau, Bin Abdullah selepas masuk Islam adalah amalan yang diamalkan di Malaysia sahaja dan bukan negara Islam yang lain. Sila lihat petikan beliau:-

Pada zaman Nabi s.a.w., jika baginda amalkan hal ini, tentulah majoriti para sahabah akan ber’bin’kan Abdullah. Maka tidak adalah lagi disebut ‘Umar bin al-Khattab, sebaliknya ‘Umar bin Abdullah, tidaklah lagi Uthman bin ‘Affan, sebaliknya ‘Uthman bin Abdullah. Juga tidak adalah lagi ‘Ali bin Abi Talib, sebalik ‘Ali bin Abdullah. Sebab, kesemua bapa mereka tidak menganut Islam. Namun apa yang berlaku tidak sedemikian rupa.

Ya, baginda menukar nama-nama buruk individu yang menganut Islam tetapi mengekalkan hakikat ‘bin’ mereka. Sedangkan orang Arab begitu menjaga dan menyebut titis keturunan sehingga ke beberapa peringkat. Umpamanya, jika kita membuka kitab yang masyhur, Riyadh al-Salihin, karangan al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) hadith pertama yang beliau sebut daripada ‘Umar bin al-Khattab. al-Imam Al-Nawawi menyebut: “Amir al-Mukminin, ‘Umar bin al-Khattab bin Nufail bin Abd al-Uzza…” ‘Abd al-‘Uzza bermaksud hamba berhala al-‘Uzza. Jika lihat nama datuk nabi “… bin Kilab”. Kilab bermaksud anjing-anjing. Islam tidak mengubah sesuatu hakikat yang pasti.

Sila Rujuk http://drmaza.com/arkib_utusan/?p=12 untuk artikel penuh beliau.

Jika ditinjau dari sudut keturunan, kadangkala ia menjadi sangat sensitif. Saya banyak menerima email daripada puak missionari yang menakut-nakut orang ramai dengan mengatakan, kalau anak awak masuk Islam, nama awak pun akan dibuang. Ia seolah-olah memutuskan hubungan kekeluargaan dengan masuk Islam. Apabila negeri Perlis tidak memansuhkan nama ayah, saya kira tentu ramai yang ingin masuk Islam akan ke Perlis untuk melaksanakannya. Saya rasa pendapat beliau dengan menyatakan bahawa perkara ini boleh menjaga nama baik Islam dari dipandang serong juga adalah tepat dan benar.


Adakala di dalam kerja-kerja dakwah, pendekatan yang ditunjukkan mestilah berdasarkan kebijaksanaan dan hikmah. Masuk Islam adalah memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi bagi golongan bukan Islam. Namun sekiranya ia dipenuhi dengan perasaan sedih untuk ditanggung kepada pihak yang masuk Islam, adakalanya perasaan-perasaan ini menghalang tujuan utama tadi. Oleh itu, cadangan ini boleh mengurangkan beban yang sedia ada.


ISU KEMATIAN SAUDARA BARU

Masih ingat kisah seorang saudara baru kaum India yang meninggal dunia dan dituntut oleh 2 pihak iaitu kaum keluarganya dan JAWI. Isu ini hangat ketika saya masih di HKL. Isu nih juga mendorong lebih ramai bukan Islam menyuarakan tidak puas hati mereka.
Saya terdengar seorang dari rakan saya yang beragama Kristian berkata:-
"Masa hidup tak ada orang kisah kat dia. Dia sakit ke, sihat ke, makan ke tidak, tak ada orang peduli..."
"Tapi bila dia mati, tiba-tiba sahaja semua orang ambil peduli, semua orang mahu mayat dia. Memalukan... "
Saya rasa, beliau merujuk kepada JAWI. Memang terdapat banyak cerita tentang kesusahan hidup saudara baru yang ditinggalkan keluarga. Ada yang sangat menderita. Ditambah pula dengan kesukaran mendapat bantuan daripada agensi-agensi seperti zakat dan sebagainya. Walaupun isu menuntut mayat untuk peristiwa di atas untuk dikebumikan adalah sangat penting tetapi adakalanya kita lupa nak membuka mata kepada isu yang lebih besar.
Terdapat banyak rungutan tentang kisah saudara baru yang menjadi sandaran akhbar dan majlah yang memerlukan perhatian yang lebih. Sokongan dari segi ilmu dan pengetahuan sangat penting tetapi yang sama penting ialah menyediakan mereka kepada satu keadaan sehingga mereka boleh berdikari dan kembali kepada pangkuan masyarakat dengan kepala yang diangkat.



KISAH TOK BATIN

Ada cerita menarik untuk dikongsi bersama yang benar-benar berlaku. Sesiapa yang mengenali Dato' Dr. Abdul Razak Kechik pasti mengetahui akan tugasannya mengIslamkan ramai orang asli di negeri Kelantan sejak berpuluh tahun. Beliau telah berjaya mengislamkan beratus keluarga sehingga tinggal beberapa keluarga yang belum masuk Islam. Salah satu keluarga yang tidak Islam ialah Tok Batin kepada sebuah kampung di sana.


Apabila Dato' Dr. Razak mengajaknya masuk Islam, Tok Batin menolak dengan baik. Setelah dipujuk beberapa kali, Tok Batin masih berpegang kepada pendiriannya tetapi membenarkan isterinya untuk masuk Islam dahulu. Beliau berkata ingin masuk Islam kemudian. Akhirya isterinya masuk Islam. Selang beberapa masa, apabila Dato' bertemu dengan Tok Batin tadi, beliau terus memarahi Dato'. Beliau mengatakan bahawa Islam telah merosakkan perkahwinan mereka, memecah belahkan rumah tangga mereka dan menjadikan hidupnya porak peranda. Sebelum Islam datang beliau amat gembira sekarang beliau di dalam keadaan yang sanagt bersedih. Beliau tak mahu memeluk Islam.

Dato' Dr. Razak yang tidak tahu hujung pangkal bertanya apa sebenarnya yang berlaku. Rupa-rupanya, ada seorang pegawai agama Islam yang entah mana datangnya telah memberitahu kepada isterinya, bahawa isterinya telah masuk Islam dan tak boleh bersama dengan suaminya lagi yang belum masuk Islam. Pendekata, hubungan perkahwinan mereka telah terputus dan mereka dikira telah bercerai. Isterinya telah lari dan meninggalkan Tok Batin berseorangan setelah masuk Islam.

Tragedi ini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya orang Islam itu mempunyai kebijaksanaan di dalam strategi dakwah. Imej Islam yang dibina serta merta hancur disebabkan oleh sikap kurang bijaksana pegawai tadi. Tok Batin itu akhirnya masuk Islam baru-baru ini, namun beliau keseorangan ditinggalkan isterinya. Imej Islam yang telah terjejas teruk perlu dipulihkan kembali dengan cara yang berkesan dan bijaksana. Kita memerlukan ramai pemimpin dan pemikir Islam yang serba boleh di dalam banyak bidang untuk merencanakan perjuangan dakwah yang lebih berkesan.




WALLAHU A'LAM.





Monday, October 29, 2007

Hidup Nuffnang!!

Dah lama dah masuk NuffNang nih.. tapi baru nampak hasil... RM 50? Orang lain dah dapat beratus-ratus dah kan... Tak pelah duit gak tuh.. Passive income lagi.. sebab tak keluar peluh pun... letak jer iklan kat dalam blog nih dapat duit... tapi belum terasa nak cash kan lagi. Ambik bila dah capai RM 100 nanti. Advertlets pun dah lama. Sama lama dengan Nuffnang.. tapi masih stay kat RM 6.00 dah berbulan-bulan... Cam tak best jer Advertlets nih.. Yelah, takde sapa-sapa nak click kat situ pun.. Nuffnang nih tak click pun dapat duit jugak...


Congratulations for my 1st RM 50.00!


Friday, October 26, 2007

Iklan Burung Murai

Saya dapat dari kawan saya, Sdri Liana yang merupakan Timbalan Pendakwaraya dari Pejabat Peguam Negara..Terima kasih.

1979
*****
Anak : Burung aper?
Bapak : Burung Murai
Anak : Burung aper?
Bapak : Burung Murai
Anak : Burung aper?
Bapak : Burung Murai
Anak : Burung aper?

PELEMPANGGGGGGGGGGGGGGGG!!!! (Sibapak tampor)

Anak : Huaaaaaa Huaaaaaaa Huaaaaaaa!! (meleleh air mata)
Bapak : Besok kalu Tuhan kasi betul-betul telinga kau tuli baru kau tahu! Udah!!! Jgn permainkan orang tua-tua tak baik!!!!.


2007
*****
Bapak : Burung aper?
Anak : Burung Murai
Bapak : Aa aa yer burung Murai.
Anak : Eh!!Kenaper abah tak ulang-ulang tanyer? Masih power telinga abah ni yer.

Bapak : Yer! Masa dulu kalu arwah datuk kamu panggil abah suruh ke kedai ke aper, sekali panggil jer abah dah menyahut. Abah tak berani nak buat pura-pura pekak macam engko selalu buat masa kecik-kecik. Barangkali itulah yang jadi barakahnyer, jadi telinga abah ni Allah Taala kasi clear sampai sekarang

*** Kalau iklan Petronas tu macam ni... huhu.. sadis..... ***

Thursday, October 25, 2007

Soalan Tentang No Money Down

Assalamualaikum,

Email ini dihantar oleh kenalan di dalam blog yang bernama Anis. Saya kongsikan jawapan saya dengan anda. Untuk lebih memahami boleh rujuk artikel saya iaitu "No Money Down". Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan ada kemahiran dan pengalaman samada professional ataupun tidak di dalam bidang yang ditanya oleh sahabat kita ni, minta tolong sumbangan ikhlas idea anda sekali di dalam ruangan komen. Terima kasih.

hye dr,

i ada baca ur blog pasal "no money down"..u state that u deal dgn pemaju dan mark-up harga jualan up to 10% kan? so u akan dpt 100% loan...camne deal u dgn bank? dlm S&P, camne harga jualan? kalau buat camtu, effect tak tuk monthly payment? sbb harga jualan dh naik 10% kan...lawyer fee plak camne? please explain.. plan nak beli rumah dgn cara camtu..tp xpandai la..tolong ajar..huhu

Jawapan saya:-

Ok.. 1st skali, tak semua pemaju yang boleh kita nego dengan harga cam tuh. Rumah yang saya beli dengan nego naikkan 10% tuh adalah rumah yang telah ditolak pembeli sebab tak dapat pinjaman bank. Pemajunya terkenal iaitu *** Development. So pemaju nak jual cepat, dan dia setuju dengan cadangan saya. Kadangkala, pemaju nih ada panel bank mereka tersendiri. Contohnya *** ni rapat dengan *** Bank, so kalau dia putar-putar sikit, mungkin panel bank boleh tolong.... Pada kebiasaannya, pemaju yang tak terdesak takkan buat cam tuh sebab akan membahayakan reputasinya. Takut panel bank diorang akan blacklist. Antara lain juga, ada pemaju yang nak jual unitnya sangat2 sebab lokasi yang tak bagus atau sales yang terlampau rendah juga sanggup nego dengan cara ini asalkan boleh jual unit, so hati-hati.

2nd - Kalau beli di atas tangan, kita kena cari rumah yang di bawah market value. Saya ada beli rumah yang dinilai bank dengan RM 240,000 pada harga pasaran, Harga offer kepada saya oleh penjual iialah RM 220,000... tapi Alhamdulillah, saya berjaya nego ke harga RM 200,000 kerana penjual tuh orang Singapore dan tak tahu harga pasaran. Tapi atas S&P letak harga RM 220,000... So ada RM20,000 untuk cover cost 10%. Dengan syarat penjual setuju. Bila buat pinjaman bank dapat 200,000 (90% daripada 220k).. So, itu sebenarnya secara realiti adalah 100% pinjaman sebab sebenarnya harga rumah tuh 200k.

Saya dah beli 2 buah rumah dengan cara ini dan saya sangat suka cara ke 2 ini. :)

Regarding pembayaran pula - Ok, kalau ikut contoh di atas, 220,000 adalah di atas S&P. Dan loan di bank adalah RM 200,000.... So pinjaman kita ke bank cuma RM 200,000 sahaja. Tetapi urusan jual beli kita seperti lawyer fee dan stamp duty adalah merujuk kepada harga S&P iaitu RM 220,000. So, kenalah bayar extra sikit... apalah sangat extra RM 200-300 kalau nak dibanding kita tak payah keluar RM 20,000 ye dak... Untuk interest, lawyer fee untuk loan (Bank punya lawyer), bayaran bulanan pinjaman adalah hanya tertakluk kepada jumlah pinjaman iaitu RM 200,000 sahaja...

Wang kita sebenarnya banyak habis ke Lawyer fee dan Duty Stamp. Anggarannya bergantung kepada harga rumah. Biasanya untuk stamp duty- 1st RM 100,000 kena 1%, next 200,000 kena 2%. So rumah yang berharga RM 200,000 kena bayar stamp duty dalam RM 3000. Campur lawyer fee, habislah RM 2000 lagi... Kalau campur dengan pinjaman dari loan bank kena bayar lagi lawyer fee depa... so... siap-siaplah RM 10,000 extra...

Tuh sebab kalau nak beli rumah jangan ready 10% je.. Kalau ada 15% sedap lah sikit... itupun kalau bank bagi pinjaman 90%.... Kalau bank bagi pinjaman 85% jer?

Wallahu A'lam

Tuesday, October 23, 2007

Kenapa Allah Haramkan Bangkai, Darah dan Babi

Assalamualaikum untuk Semua pembaca Blog!..

Ini ada satu kartun menarik berkenaan dengan halal dan haram di dalam Islam mengikut penjelasan secara saintifik. Saya amat gembira kerana penjelasan ini diterangkan menurut sains, kerana bukan sahaja orang Islam akan faham, malah yang bukan Islam pun dapat bersama-sama memahaminya. Semasa di sekolah dahulu, apabila menduduki peperiksaan Pendidikan Islam, kita diminta membeli dalil Naqli dan 'Aqli untuk sesuatu hukum di dalam Islam...

Jadi dengan adanya penjelasan di bawah dan diolah pula dengan bentuk kartun mudah lah kita untuk membeli dalil secara 'Aqliah - kenapa Allah mengharamkan bangkai dan darah serta daging babi...

(ADA 2 KARTUN - VISUAL KURANG JELAS - KLIK GAMBAR UNTUK BESARKAN)






Kalau tak boleh keluar visual yang besar.. boleh klik kat laman PPIM nih :

http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/comment.php?comment.news.442

Wallahu A'lam

Sunday, October 21, 2007

IKLAN PROTON - PAKAI TALI PINGGANG KETIKA MEMANDU

ASSALAMUALAIKUM...

Orang semua ramai dah balik KL. Tapi sapa sapa yang nak sambung cuti dan baru nak balik kampung, jemput-jemputlah menonton youtube nih. Kelakor... seram pun ada gak... Ini iklan daripada Proton.. tak perasan pulak keluar masa raya baru-baru nih... Ingat.. Pakai tali pinggang keledar.


Saturday, October 20, 2007

Nephrotic Syndrome dan Perawatan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Ada seorang pembaca yang bertanya mengenai Nephrotic Syndrome di dalam ruangan chat baru-baru ini (Puan Haza). Kemungkinan ramai di kalangan kita yang tidak tahu apa itu nephrotic syndrome dan mungkin berminat untuk mengetahuinya. Oleh kerana saya pernah bertugas di bahagian Nephrology selama beberapa bulan di HKL beberapa tahun yang lalu, mungkin saya boleh mencuba menjawab soalan ini. Saya harap artikel ini mendapat manfaat dan menambah pengetahuan kita bersama, InsyaAllah.


DEFINISI
Nephrotic Syndrome adalah satu penyakit yang berkaitan dengan buah pinggang. Di dalam buah pinggang yang normal, glomeruli sejenis penapis halus di dalam buah pinggang, berfungsi untuk yang menghalang albumin (sejenis protein) daripada keluar ke dalam air kencing.

Di dalam nephrotic syndrome, glomeruli atau penapis ini telah rosak atau bocor. Ini menyebabkan lebih daripada 3 gram protein terkeluar melalui air kencing di dalam masa 24 jam setiap hari daripada badan. Ini dipanggil PROTEINURIA. Ini menyebabkan badan kehilangan banyak protein.

PENYEBAB
Nephrotic syndrome lebih banyak berlaku di kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa. Penyebab kerosakan glomeruli pada pesakit nephrotic syndrome kebanyakannya tidak diketahui (idiopathic). Ada juga disebabkan oleh jangkitan kuman di dalam darah seperti syphilis, penyakit autoantibodi seperti SLE (Systemic Lupus Erythematosus), penyakit darah sejak lahir seperti sickle cell disease dan Kencing manis.

PATHOPHYSIOLOGY
Pengeluaran protein melalui air kencing atau PROTEINURIA menyebabkan badan akan kehilangan banyak protein dari dalam darah atau HYPOALBUMINEMIA. Kekurangan protein di dalam salur darah menyebabkan AIR keluar dari dalam salur darah ke dalam tisu badan. Ini menyebabkan kebengkakan muka, tangan dan kaki yang dipanggil EDEMA atau bengkak air. Hati juga mula menghasilkan lebih banyak lemak di dalam darah sebagai reaksi kehilangan protein maka terjadilah HYPERLIPIDEMIA atau lemak berlebihan di dalam darah.

GEJALA
Nephrotic syndrome menyebabkan pengidapnya menjadi lemah dan tidak bermaya. Kencing mereka menjadi berbuih-buih. Mata dan muka kelihatan bengkak pada waktu pagi setelah bangun dari tidur dan kaki kelihatan bengkak pada waktu petang akibat berdiri. Perut kembung, sakit perut dan cirit-birit juga boleh berlaku.

DIAGNOSIS
  1. Air Kencing Dipstick - Level protein yang tinggi di dalam air kencing pada satu-satu masa mungkin disebabkan oleh Nephrotic Syndrome
  2. Air Kencing 24 jam - Air kencing dikumpul selama 24 jam untuk mengira jumlah protein secara lebih tepat.
  3. Darah - Nephrotic syndrome menyebabkan protein yang rendah di dalam darah dan Lipid yang tinggi. Kiraan Creatinine atau Urea yang tinggi di dalam darah menunjukkan fungsi buah pinggang mungkin terganggu


  4. 4. Biopsi - Sedikit sampel tisu buah pinggang diambil untuk menentukan jenis-jenis nephrotic syndrome. Ini sangat penting kerana "Minimal Change Nephrotic Syndrome" boleh diubati dan mempunyai masa depan pemulihan yang sangat cerah.
KOMPLIKASI
  1. Untuk kanak-kanak, penyakit ini boleh membantutkan pembesaran tubuh dan menyebabkan pesakit dimasukkan ke wad hospital sehingga sembuh.
  2. Antibodi badan menjadi lemah. Ini menyebabkan pesakit tadi mudah terkena jangkitan kuman yang boleh membawa maut.
  3. Air yang berkumpul di selaput paru-paru dan tisu badan menjadi tempat pembiakan kuman. Ini menyebabkan jangkitan paru-paru dsbg.
  4. Komplikasi yang menakutkan ialah kegagalan fungsi buah pinggang peringkat akhir atau End Stage Renal Failure (ESRF) di mana buah pinggang tidak lagi dapat berfungsi.
  5. Darah menjadi pekat kerana air keluar dari salur darah ke tisu berhampiran. Penyakit salur darah seperti salur darah di dalam kaki tersumbat (Deep Vein Thrombosis) boleh berlaku.
  6. Ubat yang diambil iaitu Steroids juga memberi banyak kesan sampingan.

PERAWATAN

  • Pada kebiasaannya, ubat steroid iaitu prednisolone diberikan mengikut berat badan sehingga tiada protein di dalam air kencing. Kemudian, dos ubat ini akan dikurangkan dengan perlahan-lahan.
  • Sekiranya muka dan badan bengkak air sehingga boleh mengancam nyawa, maka diuretics atau ubat kencing akan diberikan mengikut kes-kes dan berhati-hati.
  • Protein Albumin akan dimasukkan ke dalam salur darah untuk meningkatkan albumin di dalam darah dan hanya diberikan kecuali di dalam kes-kes tertentu. Pada kebiasaanya ia tidak diberi.
  • Antibiotic akan diberi sekiranya terdapat jangkitan
  • DIET - Pengambilan garam perlu dikawal. Jangan mengambil garam berlebihan. Pengambilan air juga hendaklah dikawal mengikut kes terutama mengalami bengkak air (Edema) yang teruk. Walaubagaimanapun air tidak perlu dikawal keterlaluan di dalam kes-kes biasa. Pengambilan kalori dan protein yang baik adalah penting untuk pengidap penyakit nephrotic.

WALLAHU A'LAM

Friday, October 19, 2007

Roti Sandwich Ada Lipas!!

Assalamualaikum...

Saya sekali lagi ingin membawa anda satu petikan akhbar dari New Straits Times bertarikh 6hb Oktober 2007. Ketika kita semua berpuasa dan bersiap sedia menyambut Hari Raya, negara dikejutkan dengan berita ini. Ini tidak memeranjatkan kerana tahun lepas syarikat pembuat roti nasional ini telah mengejutkan negara dengan cerita sensasinya tentang kebersihan di bawah paras standard dan kontroversi penggunaan minyak yang tidak diluluskan JAKIM.

Sekarang sekali lagi, kebenaran ingin ditunjukkan oleh ALLAH SWT, maka seorang lagi telah menjadi mangsa "kenakalan" syarikat pembuat roti gergasi ini. Saya sudah lama memboikot syarikat roti yang satu ini... Saya harap anda juga boleh bersama-sama mengajar mereka yang tidak ada rasa tanggungjawab kepada orang ramai ini dan hanya mahu memntingkan keuntungan.


Mohd Rafi Mohd Kamal showing the dead cockroach found in the bread he bought in Seremban.— NST picture by Dzulkeffli Mustapha

SEREMBAN: A construction supervisor and his wife nearly had a little "extra protein" in their sandwiches on Thursday.Mohd Rafi Mohd Kamal found a dead cockroach in a loaf of bread he bought from a grocery shop near his Seremban 2 home.
"I didn't notice anything wrong with the bread until I got to the last few slices. I found a dead cockroach sandwiched between them," said the 31-year-old.He says his wife Shukrina Abdullah fell ill after eating a few slices from the same end of the loaf where the cockroach was found.
"She was vomiting and had diarrhoea. The doctor said it might have been caused by the contaminated bread," said Rafi, adding that he noticed a few spots of mould on the bread even though the expiry date on the label was Oct 6.
Shukrina lodged a police report on the same day but Rafi said when he contacted the manufacturer, the company tried to brush off his complaint."They asked me to send the bread to them so they could conduct tests and investigate the matter."I declined because I want the tests to be done by a neutral body," he said.
He lodged a report and submitted the bread to the Negri Sembilan health department for testing yesterday."My next move depends on the test results," he said.The manufacturer' s Nilai facility was temporarily closed down last year because it was unhygienic, and the company was employing illegal workers as well as using cooking oil without a halal certification.
****
TAMBAHAN --- SESIAPA BELUM TENGOK VIDEO KLIP NI. SILA TONTON. VIDEO KLIP SERBUAN KILANG ROTI JENAMA DI ATAS... KOTOR DAN MENGGELIKAN TEKAK...


Wednesday, October 17, 2007

Bake With Yen Kena Serbu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh;

Kepada semua pembaca blog ini diucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Ramai lagi nampaknya yang belum balik kampung. Apa-apa pun Salam Kemaafan dihulurkan dan semoga bergembira hendaknya di hari yang mulia ini.

Saya mendapat email ini daripada kawan. Izinkan saya berkongsi cerita, manalah tahu ada yang boleh diambil iktibar. Cerita sensasi daripada pembekal barang roti kesayangan kita iaitu "Bake with Yen". Mengikut ceritanya kedai ini diserbu oleh PPIM, KKM dan KPDNHEP kerana menjual barang terluput tempoh dan berulat. Harap-harapnya tiadalah di antara kita yang terbeli barangan luput tarikh yang dijual. Ini sedikit-sebanyak merosakkan imej rangkaian kedai barangan bakeri ini daripada umat Islam.

Berikut merupakan sebahagian daripada petikan daripada kenyataan akhbar oleh PPIM:-

"Pada 9/10/2007 kira-kira jam 11.00 pagi, Unit Tindakan Khas PPIM bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, telah menyerbu Syarikat Baked With Yen yang menjual barang-barang yang telah tamat tarikh luput dan berulat. Syarikat ini juga tidak mementingkan kebersihan dan menipu pengguna dengan menggantikan tarikh tamat tempoh tersebut dengan tarikh yang baru.

PPIM sangat kesal dengan syarikat terbabit yang tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan pada musim perayaan ini dengan mengaut keuntungan tanpa mempedulikan hak dan maruah pengguna. PPIM menasihati supaya berhati-hati semasa membeli dan memboikot syarikat tersebut di atas sifat tidak menghormati pengguna serta mementingkan keuntungan
semata-mata."
Wallahu A'lam.

Monday, October 8, 2007

Tragedi di Bulan Syawal - Acute Gastroenteritis

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Acute Gastroenteritis adalah satu penyakit yang sering melanda ketika majlis-majlis perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri diadakan ataupun sekadar majlis kenduri kahwin kecil-kecilan . Ia menyerang tidak kira peringkat usia, tua, remaja sehinggalah ke budak kecil. Ada yang menggelarkannya "keracunan makanan". Hakikatnya tiada racun di dalam makanan itu tetapi ia adalah "makhluk halus" atau mikroorganisme yang menyebabkan anda mengalami gejala penyakit.

Acute Gastroenteritis atau AGE didefinisikan sebagai penyakit yang menyebabkan gejala cirit-birit yang kerap dengan atau tanpa gejala-gejala lain seperti loya, muntah, demam dan sakit perut. Cirit birit ialah konsistensi najis yang cair dengan kekerapan yang lebih daripada biasa.

Penyebab utama penyakit ini merebak adalah daripada sumber makanan yang tercemar ataupun sentuhan individual yang terkena virus, bakteria atau parasit yang berkenaan. Virus yang selalu dikaitkan dengan AGE ialah rotavirus. 60%-70% kes AGE adalah disebabkan rotavirus (lihat gambar sebelah). Antara bakteria yang menyebabkan AGE ialah Salmonella, E.Coli dan Shigella, manakala parasit yang menyebabkan AGE ialah Giardia Lamblia.

Air yang tidak dimasak seperti dalam kiub ais boleh menjadi penyebab utama kepada AGE. Pernah suatu ketika di Kelantan, penyebaran penyakit Demam Kepialu oleh Salmonella Typhi berasal daripada sebuah kilang ais yang tercemar. Makanan yang telah lama dimasak dan sudah sejuk seperti rendang (yang juga kaya dengan santan dan minyak) merupakan tempat yang baik bagi bakteria membiak. Kuman juga boleh merebak dari seseorang yang lain melalui sentuhan seperti bersalam-salaman ataupun berkongsi makanan yang tercemar.

Kebiasaannya, pesakit yang terkena AGE ini akan selalu ke tandas kerana cirit birit. Kadangkala dia akan muntah 3-4 kali dan dalam masa yang sama mengalami kesakitan perut yang teramat sangat. Kesakitan perut yang seperti kekejangan perut ini akan datang setiap 5-10 minit. Ini adalah disebabkan proses peristalsis otot di saluran usus sebagai timbal balas terhadap virus atau bakteria tadi. Demam yang sangat tinggi mungkin disebabkan oleh bakteria. Pesakit AGE akan mengalami masalah ini selama 1 hari sehingga 5 hari. Tanda pemulihan boleh dilihat sekiranya najis sudah tidak lagi cair dan tiada lagi gejala-gejala yang disebutkan di atas.

Untuk kanak-kanak kecil terutamanya, AGE boleh menyebabkan kekurangan air yang serius. Demam yang tinggi, muntah-muntah dan cirit-birit boleh mendatangkan dehidrasi yang boleh membahayakan nyawa mereka. Dehidrasi menjadi bertambah dengan ketakutan untuk meminum air dikhuatiri menyebabkan muntah yang berterusan sekiranya mereka makan atau minum. Mereka akan kelihatan tidak bermaya, asyik terbaring dan mata bertambah cengkung. Sekiranya dehidrasi teruk berlaku, adalah lebih baik mereka di hantar ke hospital untuk dimasukkan air melalui saluran darah.

Sekiranya cirit-birit atau muntah tidak begitu teruk, maka pengambilan air yang bersih adalah digalakkan. Ini termasuk pengambilan Oral Rehydration Salt (ORS) bergantung kepada kekerapan pembuangan najis. Kanak-kanak mungkin boleh mengambilnya sedikit-sedikit di dalam beberapa sudu selama selang 3 minit sekiranya kerap muntah. Untuk orang dewasa, pengambilan ubat seperti loperamide/lomotil di dalam kes cirit berdarah adalah tidak dibenarkan. Buscopan boleh mengurangkan gejala sakit perut dengan berkesan.


Membasuh tangan sebelum dan makan adalah salah satu cara yang sangat efektif untuk mengelakkan daripada AGE. Ini adalah kerana setelah bersalaman dengan ramai tetamu di kalangan saudara mara dan sahabat handai, anda tidak mahu kuman-kuman yang baru melekat di tangan anda itu masuk sekali ke dalam mulut anda bersama-sama dengan juadah hidangan hari raya. Jangan jadikan hari raya ini satu tragedi. Elak sebelum kena. Ikut sunnah Rasulullah SAW yang sangat mudah. Basuh tangan sebelum makan.
Wallahu Alam.

Friday, October 5, 2007

Selamat Hari Raya AidilFitri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh;

Kepada semua bloggers;

Alhamdulillah, tidak beberapa lama lagi kita akan menyambut bulan Syawal. Segala keberkatan pada bulan Ramadhan akan disusuli pula dengan penuh kegembiraan apabila tiba Aidilfitri. Tahun ini saya akan beraya di Pekan, Pahang. Kenalah mengalah dengan isteri tahun ni. Asyik duduk KL je kan, sesekali nak juga beraya di kampung isteri kat Pekan, Pahang.

Saya ada mendapat beberapa tawaran menarik untuk bertugas pada hari Raya Aidilfitri ini. Ada yang nak bayar double... ada nak bayar rate biasa... semuanya saya tolak. Alhamdulillah, klinik Idzham akan tutup bermula petang 11 haribulan (saya kerja petang - so, tak payah datang!) sehingga hari Selasa 16hb iaitu raya ke 4. Wahhh.. lama tu kak..

Masa muda-muda dulu... huuu... iaitu 4-5 tahun dulu, saya pernah beraya hari raya pertama di PUSRAWI di Jalan Ipoh. Ketika itu Hospital PUSRAWI Jalan Tun Razak masih belum dibuka. Jadi PUSRAWI Jalan Ipoh membuka klinik sehingga 24 jam di bahagian Kecemasan sahaja. Saya menawarkan diri untuk membuat Lokum pada waktu petang di kecemasan dengan bayaran double rate. Pada fikiran saya, tentulah tak ramai orang ke PUSRAWI pada waktu petang kerana semua orang dah balik kampung. KL ni macam dah jadi bandar hantu sebab kereta nak jumpa pun susah masa tuh... Tapi sangkaan saya rupanya meleset...

Bila saya masuk saja kerja petang tuh, saya dihujani pesakit yang tak henti-henti datang entah dari mana. Ada yang sakit perut, ada yang demam, ada yang batuk, ada yang sakit dada, ada yang sakit kepala. Maklumlah, masa puasa bukan main jaga makan. Yang ada darah tinggi tak mau sentuh langsung daging lembu, daging ayam dan lauk masin semasa bulan puasa.. Bukan main pantang... pendekata memang berhemah betul bab-bab makan nih. Tapi bila mai Aidilfitri.. pergghh... darah tinggi semua shooting up.. Yang tak jaga makan pun satu hal, ubat pun dah lupa letak tang mana.. kua kua..

Yang paling banyak sekali datang klinik ialah sakit perut, cirit birit ngan muntah. Acute Gastroenteritis. Adalah tuh makan entah silap mana kan. Ada yang makan benda tak beberapa elok. Biasalah kalau masak rendang guna kelapa dan santan, senang lah kena sakit perut. Rendang pun bukannya makan panas-panas.. ada yang dah siap masak 2-3 hari dulu. So, kat klinik tuh penuh lah dengan orang cirit-birit. Hari yang saya buat lokum di PUSRAWI.. tak sempat nak makan pun.. ehh sempat makan sekejap dan sembahyang.. lepas tuh kena serang balik.

Bukanlah pakcik nak mengata kat orang KL ni kan, sebab pakcik pun orang KL jugak. Ini hari Raya pertama Aidilfitri kan... Hari semua orang sepatutnya menziarahi saudara dan sahabat handai, hari semua orang menziarahi kubur-kubur dan berdoa, hari meraikan bersama keluarga rapat, hari anak-anak kita mengumpul duit raya. Tapikan... yang pakcik nak mengalir air mata.... ada jugak Mak ngan Ayah datang ke PUSRAWI pada Hari Raya Aidilfitri Pertama nak cucuk IMUNISASI anak umur setahun!!!... Kua-kua.. Ya Allah... Dah lah pakcik sorang-sorang kat kecemasan jaga orang sakit.. sampai hati betul dia buat pakcik camni... Nak marah tak boleh kak.. bukan keje kat government sepital... huuu.. nak tak nak dah sampai ke PUSRAWI, kena jugak lah cucuk imunisasi kan... nanti merajuk.. apahal orang KL nih, dah takde benda nak buat ker.. pergi cucuk imunisasi Hari Raya Pertama?... Diorang jawab balik : Kang doktor marah pulak! Lambat sehari! Pakcik jawab : Malas pakcik nak layan...
OK.. Selamat hari raya lah you all semua... pakcik doakan semuanya selamat balik kampung dan selamat pulang kembali dengan sempurna tubuh badan dan sempurna kenderaan. Takde faedahnya tekan minyak laju-laju tapi akhirnya parking kat Hospital kan...
Yang sama penting, duit belanja kena jaga-jaga. Kang terlebih budget susah jugak kan... hidup bukan masa raya jer... lepas raya pun nak hidup gak. Dengar kata gaji Government masuk awal sebelum raya.. huhu.. seronok lah masa rayaaa.. lepas raya nanti silap2... makan biskut kering jer nanti bang. Apa pun, Abang Besar kita, Boss JKR kata 1 Januari nih tol mungkin naik 10%.. perghh... banyak tuh bang.. Inflasi lagi lah kita tahun depan.. belum apa-apa lagi dah naik tol. Lepas tuh apa pulak yang naik. Baru jer PLUS umumkan keuntungan 6% baru-baru nih.. haha... naik lagi tol. Kena rebudget lagi.

Bulan puasa tahun nih mungkin sahabat saya agak terkilan sikit. Nama beliau Azwira atau Azwiral Bukhairy Abd. Aziz , Setiausaha Eksekutif ABIM. Ini adalah kerana nama dan gambar beliau naik di dalam surat khabar kerana tersilap orang dengan salah seorang daripada 4 orang yang ditangkap di atas tuduhan Allahyarham adik kesayangan kita Nurin. Walaupun ia di atas kesalahan media yang kononnya tak disengajakan, tetapi tuduhan begitu, lebih2 kagi kes ini berprofil tinggi adalah amat-amat memalukan. Saya amat bersimpati ke atas saudara Wira. Untuk pengetahuan anda, Sdr Wira baru sahaja keluar daripada Hospital KBMC kerana Denggi. Isterinya pula baru sahaja beberapa bulan melahirkan anak pertama. Bersabarlah banyak2 yer. Ini satu ujian di dalam perjuangan. Apa pun Wira... ada beribu-ribu manusia di luar sana yang bersusah payah nak masukkan muka dia kat front page surat khabar.. tapi awak pula yang dapat... Anggaplah awak manusia bertuah!!
(Anda boleh baca artikel ini di : http://www.abim.org.my/content/view/139/25/)

Akhir kata... Salam Aidilfitri untuk semua. Terima kasih kepada yang telah mengunjungi blog ini. Sekiranya ada salah dan silap harap dapat dimaafkan. Kepada semua pembeli kuih raya saya juga harap dihalalkan sekiranya terkurang sebiji dua, maaf dipinta. Segala yang baik semuanya datang dari Allah. Apa yang terkurang adalah di atas kelemahan saya sendiri. Semoga semua mendapat Keberkatan dan kegembiraan di Hari raya ini.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Tuesday, October 2, 2007

CERITA PENIAGA UNTA

"Pada hari ini saya sangat-sangat bernasib baik", kata seorang pemuda.
"Saya terjumpa sebuah dompet yang berisi wang sebanyak RM 2000.00!"
"Oleh kerana tiada siapa yang mengaku tuan punya dompet ini, saya pun mengambilnya".
"Saya amat berharap agar saya sentiasa bernasib baik dan mendapat wang terpijak ini lagi", kata pemuda itu lagi.

Pengalaman yang pemuda ini lalui mungkin boleh berlaku kepada diri anda. Ini mungkin dipanggil "nasib baik" oleh seseorang. Tetapi cuba beritahu kepada saya, sepanjang anda hidup selama 30, 40, 50 tahun... berapa kalikah anda pernah terpijak duit seperti ini? Sekali? Dua kali? Mungkin tidak lebih dari 3 kali... Jarang-jarang bukan?

Orang yang sentiasa mengharapkan "nasib baik" ini, paling ramai berkumpul di meja judi. Mereka akan sentiasa mengharapkan nasib mereka akan baik setelah kalah judi. Apabila menang pula, mereka akan mengharapkan nasib baik akan mendampingi mereka sentiasa dan semakin berani menawarkan wang taruhan yang lebih banyak setiap kali sehingga ramai yang tergadai harta mereka serta maruah keluarga.

Apabila seseorang manusia berusaha dengan tulang empat kerat dan keringatnya, contohnya di dalam pekerjaan atau perniagaan, maka Allah akan memberi keuntungan kepadanya dengan bentuk sumber rezeki yang melimpah. Adakalanya dia mengalami kerugian sesekali akibat kurang pengalaman ataupun keadaan pasaran atau suasana ekonomi yang berubah. Tetapi secara kebiasaannya, keuntungan boleh diperolehi pada bila-bila masa sekiranya berusaha, atau kata lain, keuntungan biasanya berpihak kepadanya.
Ini juga sebenarnya adalah "nasib baik", tetapi nasib baik ketika melaksanakan pekerjaan atau perniagaan tidak begitu diambil peduli. Adakah mendapatkan tender berjuta ringgit itu tidak merupakan satu "nasib baik" setelah banyak kali gagal? Adakah seorang pelabur hartanah mendapat sebuah rumah dengan harga 20% di bawah pasaran tidak bernasib baik setelah meninjau 500 unit hartanah? Percayalah bahawa Allah mengurniakan "nasib baik" kepada mereka yang cekal berusaha tanpa patah semangat.

Berbeza dengan meja judi. Telah menjadi lumrah, mereka yang berjudi akan kalah kerana sistem perjudian itu sendiri adalah memihak kepada "dealer"atau "banker". Dalam 10 kali bermain, maka mungkin menang 1-2 kali. Atau mungkin tidak menang langsung. Ini adalah satu kenyataan kerana cuba anda bertanya kepada mereka yang pernah berjudi... Pernahkah anda mendengar seorang "tycoon" apa-apa bangsa sekali pun yang pernah jadi billionaires dengan berjudi? Tetapi tuan punya kasino yang kaya-raya memang ramai di dunia ini. Sekiranya ada yang jadi kaya dengan berjudi, percayalah nasib baik yang ada padanya tidak akan kekal lama.

Tuan dan Puan, adakalanya nasib baik boleh datang kepada anda di dalam masa yang begitu singkat. Ia datang dengan begitu singkat sehingga kadang kala anda tidak tahu ia adalah satu nasib baik yang menghampiri anda. Ia datang di dalam bentuk peluang...

Seorang peniaga unta di sebuah padang pasir mencari haiwan untuk dibeli secara borong dan dijual. Setelah sepuluh hari mencari dan mencari, beliau tidak juga berjumpa dan berhasrat untuk pulang dengan hati yang sedih. Setelah tiba di sebuah kota yang ditutup dengan pagar kerana lewat malam, beliau pun berehat dan mendirikan khemah untuk bermalam di situ dengan harapan dapat memasuki kota tersebut pada keesokan pagi setelah pagar itu dibuka.

Ketika berehat pada malam itu, seorang saudagar lelaki di khemah berhampiran menegurnya.

Saudagar tersebut dengan rasa sedih memberitahu bahawa beliau terpaksa pulang ke kampung halaman setelah mendapat khabar bahawa isterinya sakit. Oleh hal yang demikian, beliau berhasrat untuk menjual 100 ekor kambingnya dengan potongan 50% harga kerana mahu bergegas pulang. Peniaga Unta tadi gembira kerana mendapat tawaran durian runtuh. Sekurang-kurangnya tak dapat unta, kambing pun jadi la..

Walaupun begitu, satu masalah telah timbul. Oleh kerana terlalu gelap, peniaga unta itu sukar untuk mengira jumlah bilangan kambing yang ingin dibelinya. Saudagar kambing itu merayu agar peniaga unta tersebut membayar wang 50% tersebut dan mengira 100 ekor kambing keesokan harinya bersama-sama hamba saudagar kambing yang ditinggalkan bersamanya. Peniaga unta itu tetap dengan pendiriannya supaya dia tidak akan membayar 50% sehingga kambing-kambing itu dikira.

Pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi, setelah pintu kota dibuka, peniaga unta tersebut melihat berpusu-pusu orang menghampiri khemah saudagar kambing. Rupa-rupanya, kota tersebut sedang menghadapi masalah keputusan makanan dan daging. 100 ekor kambing itu telah dibeli dengan sekelip mata dengan harga 3 kali ganda harga pasaran! Saudagar kambing itu gembira kerana mendapat nasib yang baik. Peniaga unta itu pula hanya melopong mengenangkan nasib baiknya yang baru terlepas dari genggaman.

Moral daripada cerita ini :

1. Nasib baik datang kepada kita di dalam bentuk peluang yang boleh direbut. Ia tidak datang ketika kita berpeluk tubuh dan mengharapkan sesuatu yang baik menimpa kita ketika kita berjalan di waktu pagi. Pelabur di dalam bidang hartanah akan mencari beratus-ratus hartanah, menilainya sebelum memilih satu yang terbaik. Di dalam 300 buah hartanah pasti ada satu yang bernasib baik yang dipanggil "property of the year".

2. Kadang kala nasib baik datang menjenguk di dalam kes peniaga unta itu tadi. Beliau sepatutnya membayar deposit sebanyak 10% atau 20% untuk memastikan bahawa kambing itu akan menjadi miliknya. Menolak peluang yang ada boleh merugikan diri sendiri.

Ulasan daripada buku "The Richest Man in Babylon" karya George S. Clason.

Wallahu Alam.



Monday, October 1, 2007

Jihad Ekonomi - satu tuntutan

Assalamualaikum Warahmatullah...

Semoga semua pembaca blog saya mendapat Rahmat yang tidak terhingga daripadaNya di bulan yang penuh berkah. Terima kasih kerana sudi melawat blog saya ini. Catatan pengunjung pada minggu yang lepas menunjukkan angka 271 orang. Tertinggi sejak blog ini mula ditulis. Diharapkan ia akan terus berkekalan InsyaAllah.

Alhamdulillah, jualan kuih raya juga memberansangkan. Masih ada lagi tempahan-tempahan last minute yang diterima walaupun kami sedang mengejar untuk menyiapkan beberapa order di dalam minggu ini dan minggu-minggu terakhir puasa. Terima kasih di atas tempahan-tempahan anda. Allah jua yang membalasnya.

Segala kesyukuran kepadanya kerana pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini saya diperkenalkan oleh seorang Ustaz yang bernama Ustaz Syakir baru-baru ini ketika menghadiri Usrah bulanan ABIM dan Iftar Biro Kesihatan ABIM. Beliau masih muda di dalam lingkungan 40-an merupakan lulusan dari Universiti Al-Azhar dan menyambung pelajaran di United Kingdom di dalam pengajian Islam. Beliau memulakan perniagaan ketika belajar di UK di dalam bidang elektrik dan elektrik gadget supply. Beliau kemudian mengambil Master in Business Admin. Setelah 15 tahun di dalam bisness beliau sekarang mempunyai 2 buah kilang dan sebuah pejabat bertempat di Putrajaya. Pekerja beliau seramai 58 orang semuanya.

Walaupun seorang Ustaz beliau mempunyai pemikiran yang berbeza dan kesungguhan di dalam perniagaan yang boleh menjadi contoh kepada umat Islam yang lain. Saya ingin jadikan beliau sebagai Mentor saya.

Antara kata-kata beliau ialah menjadikan ekonomi sebagai salah satu cabang jihad. Bahawa Rasulullah menyebarkan Islam ketika beliau merupakan seorang peniaga, Isterinya peniaga dan 7 daripada 10 sahabat rapat beliau adalah peniaga. Besarnya pengaruh perniagaan di dalam Islam sehingga Allah meletakkan tanggungjawab yang berat ke atas peniaga, iaitu peniaga yang jujur akan berada di bawah lindungan Allah di dalam syurga dan peniaga yang mengurangkan timbangannya akan masuk neraka. Allah meletakkan para peniaga yang jujur sama tarafnya dengan orang-orang soleh dan para-para pemimpin.

Ustaz juga ada menyatakan bahawa Prinsip Muamalah merupakan cabang yang sangat besar di dalam sistem Islam. Ini menunjukkan bahawa ekonomi dan perniagaan diberi satu kelebihan dan penekanan yang sangat besar di dalam Islam. Sistem Muamalah yang tersusun tidak ada disentuh dan diperakui oleh agama-agama samawi yang lain iaitu yahudi dan nasrani. Lihat sahaja Perbankan Islam sekarang ini tumbuh bak cendawan di serata dunia.

Beliau juga ada menyentuh mengenai pemikiran anak-anak melayu yang baru keluar dari kepompong universiti kepada masyarakat. Kebanyakan dari mereka yang pertama bukan sahaja memilih kerja, tetapi memilih untuk bekerja di syarikat yang lebih besar seperti GE, Petronas, TNB dan lain-lain lagi walaupun ditawarkan gaji yang sama baik. Ini menyebabkan turn over untuk pekerjaan sangat tinggi dan proses pengembangan syarikat menjadi lebih sukar kerana terpaksa melatih pekerja baru.

Dari segi mengambil pekerja baru pula, kebanyakan lulusan universiti daripada kaum bumiputera tidak mempunyai kecekapan, iltizam dan kemahiran yang "outstanding" berbanding dengan lulusan kaum cina. Sebagai contoh, apabila diperhatikan, ada di antara mereka yang mengeluh kerana terpaksa mengisi beberapa helai borang ketika memohon kerja. Sedangkan di dalam dunia bisness yang sebenarnya, mereka terpaksa "mengunyah" kontrak tender yang beratus-ratus helai di dalam masa beberapa jam sahaja.
Ada juga cerita menarik yang dikongsi. Menurut beliau, rezeki di dalam perniagaan ini sangat luas walaupun dengan menjual itik plastik mainan (yang dalam kolam mainan tuh). Untuk pembelian melalui tender kerajaan, syarikat dimestikan untuk berdaftar dengan e-perolehan. Apabila satu kementerian ini membuat tawaran untuk membeli 5 juta itik mainan plastik untuk diedarkan ke sekolah sekolah dan taman didikan, hanya satu-satunya syarikat yang telah mendaftar e-perolehan untuk menjual itik mainan plastik ini di Malaysia... dan ia merupakan syarikat cina. Menang tanpa bertanding! Dan marginnya RM 2.5 juta! Jual itik mainan pun dapat juta-juta..

Akhir kalam... apakata kita cuba membaca buku-buku yang boleh menambahkan ilmu kita di dlam perniagaan? Mungkin dengan membaca kita dapat melihat dimensi baru di dalam pemikiran kita yang tak pernah kita terokai.. Mungkin ia sebenarnya boleh membina keyakinan untuk berniaga. Dan mungkin juga di dalam diri kita terdapat bakat perniagaan yang masih belum dicungkil keluar tetapi akan menunjukkan dirinya suatu masa nanti. InsyaAllah.





Related Posts with Thumbnails