Sunday, December 27, 2009

Adil dan Zalim






Salam,

Adil itu bukan semata-mata sama rata.

Adil tidak sekadar membawa maksud bahawa jika kita ada dua orang anak, maka sekiranya anak pertama itu dibeli baju warna merah, maka seorang anak lagi juga harus dibeli warna merah.

Apakah sebenarnya adil?

Adil di dalam Islam membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Maka sekiranya ada sebiji epal, untuk dibahagikan kepada seorang budak yang sangat gemuk akibat terlebih makan dan seorang budak lagi adalah sangat kurus kerana kebuluran, adakah adil epal itu dibahagi sama rata - sama berat?

Atau adakah sebenarnya lebih adil sekiranya sebiji epal itu diserahkan semuanya kepada si kanak-kanak yang kebuluran itu tadi?

Bagaimana sekiranya budak gemuk akibat terlebih makan ingin mengambil tindakan mahkamah kerana ketidak adilan kita membahagi epal tersebut?

Jika dilihat hukum dunia, maka ia tidak adil, tetapi di dalam Islam, ia adalah adil kerana ia meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Begitu juga pesakit yang marah-marah kerana menunggu lama sebab doktor terpaksa melayan pesakit kecemasan dahulu. Doktor terpaksa bertindak adil dengan merawat pesakit yang lebih teruk walaupun pesakit tadi datang lebih awal.

Hospital juga perlu adil dengan menyediakan lebih doktor di dalam situasi keadaan pesakit yang begitu ramai.

Berlawanan dengan konsep adil di dalam Islam ialah Zalim. Zalim itu ialah tidak meletakkan sesuatu kepada tempatnya.

Kita kadangkala boleh bersikap zalim terhadap diri kita sendiri dan keluarga kita.

Dato' Fadzilah Kamsah pernah berceramah bahawa seseorang yang membiarkan bulu hidungnya lebat sehingga terkeluar dan menampakkan dia pengotor, adalah mensabotaj dirinya sendiri. Dalam kata lainnya dia sedang melakukan kezaliman kepada dirinya sendiri.

Pada pendapat saya, seorang bapa yang tidak mahu memulakan rawatan nebulizer untuk anaknya yang berpenyakit asthma akut sedangkan anaknya sangat-sangat memerlukannya kerana takut bahawa ubat tersebut boleh mendatangkan ketagihan adalah satu kezaliman.

Pertama ia zalim kepada anaknya sendiri yang terpaksa menderita akibat penyakit tersebut. Kedua ayahnya jahil tentang ilmu tersebut dan beliau bertindak zalim kepada diri sendiri dan keluarga kerana tidak mahu mencari ilmu atau bertanya kepada yang pakar.

Firman Allah Taala:
Dan belanjakan (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) Agama Allah. Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan dan perbaikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.
(Surah Al Baqarah Ayat 195)

Wallahu Alam.

Sunday, December 20, 2009

4,000 hadiri ceramah Dr Yusuf al-Qaradhawi





oleh Abdul Rahim Sabri
www.malaysiakini.com
Dis 20, 09
6:20pm

Kira-kira 4,000 hadirin memenuhi dewan solat Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam bagi mengikuti syarahan perdana yang disampaikan oleh ulama tersohor, Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi malam tadi.

Dr Yusuf yang tiba kira-kira jam 7 petang, kemudiannya mengimamkan solat maghrib berjamaah bersama-sama makmum yang menunggu beliau sejak jam 6 petang lagi.

Bagaimanapun, tokoh pemikir Islam dari Mesir itu kelihatan tidak begitu sihat hanya mengimamkan solat dengan keadaan duduk di atas kerusi.

Sewaktu selesai solat berjamaah dan menuju ke kerusi yang disediakan berhampiran dengan mimbar masjid, hadirin yang berada di kiri dan kanan mimbar berpusu-pusu menghampiri beliau dengan lebih dekat menyebabkan pihak keselamatan dan urusetia terpaksa menenangkan keadaan.

Urusetia juga ketika itu, mengingatkan kepada hadirin agar tidak mendekati beliau dengan lebih rapat supaya dapat memberi ruang kepada Dr Yusuf untuk menyampaikan syarahan dengan lebih jelas dan selesa.

Turut hadir mendengar syarahan tersebut adalah beberapa pemimpin Pakatan Rakyat antaranya, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Nordin dan ahli jawatankuasa PAS pusat Abdul Ghani Shamsuddin.

Dr Yusuf yang baru sahaja dianugerahkan tokoh Ma'al Hijrah pada tahun ini kelmarin, menyampaikan syarahan perdana yang menyentuh tentang pengajaran yang diperolehi oleh umat Islam dalam peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah.

Syarahan beliau memakan masa selama dua jam, bermula kira-kira 7.35 malam termasuk terjemahan syarahannya yang dipimpin oleh Abdul Ghani.

'Hijrah satu kemenangan'

Dalam syarahan beliau itu, Dr Yusuf menegaskan hijrah Rasullullah SAW adalah satu pertolongan daripada Allah SWT yang benar-benar berlaku dan bukannya satu khayalan.

"Dalam al-Quran jelas Allah menurunkan tentera (malaikat) yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar . Allah tampilkan mereka tidak lain adalah untuk membantu baginda. Ini jelas di dalam Al-Quran.

"Hijrah adalah satu kemenangan kerana mereka (umat Islam di Mekah) percaya (kepada Allah), mempertahankan prinsip akidah, walaupun dianiaya, diseksa dan pelbagai bentuk penyeksaan," katanya sambil membaca sepotong ayat Al-Quran untuk menguatkan hujahnya.

Dalam kesempatan itu, beliau juga mengemukakan contoh bagaimana sahabat baginda, Sumayyah dan Ammar ibn Yasir diseksa oleh kaum kafir Quraisy kerana menerima ajaran Nabi Muhammad SAW sebelum baginda berhijrah ke Madinah.

Mereka adalah antara sahabat baginda yang terawal mati syahid dalam sejarah Islam, tambah ilmuan Islam itu.

Menurut Dr Yusuf, selain faktor penyeksaan yang diterima oleh para sahabat baginda, ahli keluarga dan kaum kerabat turut baginda dikenakan tekanan sosial dan diboikot dalam bidang ekonomi, menyebabkan Allah memerintahkan baginda berhijrah ke sana.

Dr Yusuf berkata antara pengajaran lain yang perlu dicontohi oleh umat Islam daripada peristiwa agung itu adalah "bagaimana Rasullullah SAW mengatur, merencanakan dan merancang strategi untuk berhijrah".

Katanya baginda mengatur strategi antaranya, memilih Abu Bakar Al-Siddiq menemani beliau sewaktu berhijrah, memilih Ali Abi Talib bagi menggantikan beliau ditempat tidur baginda, dan melantik Asma Abu Bakar menjadi sumber berita kepada Rasullah SAW sewaktu berhijrah.

'Harus atur strategi'

Sebahagian strategi Rasulullah SAW juga ialah memilih penunjuk jalan yang benar-benar arif ke Madinah supaya terhindar daripada kaum kafir Quraisy, tambah ilmuan Islam itu.

"Oleh itu setiap orang Islam harus mengatur strategi dan operasi supaya perjalanan hidup dapat bergerak dengan cara yang betul dan kemudiannya kita berserah kepada Allah. Allah akan membantu kita selepas itu," kata Dr Yusuf sambil membaca sepotong ayat yang dibaca oleh baginda Rasulullah SAW kepada Abu Bakar meminta beliau tidak bersedih dan gusar dengan kaum kafir Quraisy.

Dalam peristiwa hijrah juga, Dr Yusuf berkata bahawa Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW bukan agama yang bersifat individualistik.

Sebaliknya katanya, Islam itu menganjurkan manusia agar hidup berjamaah atau berkumpulan dengan baginda mengasaskan masyarakat Islam dengan mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj, yang dinamakan sebagai kaum Ansar.

"(Ia adalah) permulaan kepada sesebuah masyarakat itu berasaskan kepada Islam... tidak mungkin penyebaran Islam akan berlaku tanpa ada orang yang mempertahankan Islam.

"Berjamaah (atau berkumpulan) adalah sesuatu yang disuarakan oleh Allah dalam al-Quran," katanya sambil membaca ayat keempat dan kelima dari surah al Fatihah, yang menggalakkan manusia hidup berkumpulan bukan bersikap individualistik.

Menurut Dr Yusuf lagi, pengajaran dari peristiwa hijrah tidak terhenti di situ sahaja, apabila baginda membina masyarakat yang berteraskan kepada iman dan Islam.

Menurutnya, baginda mempersaudarakan kaum Ansar dan kaum Muhajirin (umat Islam yang berhijrah ke Madinah), sebagai asas membina masyarakat Islam 'Rabbani Insani' di situ.

Bina masjid

Ini kerana, wahyu yang turun di Madinah, secara umumnya mengisahkan tentang akhlak termasuk pensyariatan solat, puasa, urusan bermuamalat dan sosial di kalangan mereka termasuk perlaksanaan hukum qisas dan pengurusan hutang piutang berlaku selepas peristiwa hijrah.

Dr Yusuf berkata, bagi tujuan tersebut, Rasulullah SAW membina sebuah masjid sebagai pusat sosial dan pertemuan dengan cara menunaikan solat berjamaah serta tempat bermesyuarat.

Baginda juga menubuhkan sebuah pasar bagi meningkatkan kegiatan ekonomi umat Islam, yang menjadi tempat singgahan para pedagang dari luar, tambahnya.

"Pasar itu mempunyai pelbagai seksyen seperti buah-buahan, sayur-sayuran, lembu, unta dan baginda menjadi pemantau terhadap sikap peniaga dan pedagang (yang berniaga)," katanya sambil menceritakan kisah seorang peniaga yang menipu dengan menjual tamar yang tidak elok.

Maka Dr Yusuf membaca sepotong hadis sahih yang menceritakan teguran Rasulullah SAW terhadap perbuatan peniaga tersebut, yang cuba menipu pelanggan.

Sebelum beliau mengakhiri syarahan beliau, ilmuan Islam itu, mengingatkan agar sentiasa berhati-hati dengan "orang munafik yang sentiasa menyebarkan fitnah dalam masyarakat Islam".

'Pendustaan kaum munafik'

Katanya, mereka ini mengaku beriman kepada Allah, tetapi hakikatnya mereka benci kepada Islam. Menurutnya, terdapat ayat-ayat dalam surah Al-Taubah yang menjelaskan sikap, sifat dan ciri-ciri orang munafik.

Katanya, pendustaan kaum munafik di zaman ini "lebih dahsyat daripada zaman silam".

Beliau memberi contoh bagaimana isteri baginda Rasullah SAW, Aisyah Abu Bakar difitnah mempunyai hubungan dengan seorang sahabat, yang terkenal dalam sirah baginda sebagai kisah 'Hadith Al-Ifki'.

Dalam peristiwa ini, orang munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubay menyebarkan fitnah berhubung perkara tersebut dalam masyarakat Islam di Madinah, menyebabkan ada di kalangan sahabat terpedaya dan termakan dengan fitnah tersebut.

"Ayat-ayat di dalam surah ini, Allah mendedahkan tipu daya mereka kerana mereka begitu mudah menjatuhkan martabat orang lain.

"Mereka menuduh (Aisyah) tanpa menampilkan saksi bagi tuduhan tersebut. Ia perlu ditampilkan empat orang saksi. Tidak menampilkan empat orang saksi, maka mereka adalah sesat dan dusta," katanya.

Selepas menyampaikan ceramah, Dr Yusuf diminta membaca doa untuk kesejateraan umat Islam dan hadirin baramai-ramai mengaminkannya, sebelum diiringi dengan laungan takbir.

Friday, December 18, 2009

Mengecilkan Dunia Minoriti... Ke Arah Hidup Tanpa Asap Rokok






Kerajaan telah menetapkan beberapa tempat yang digazetkan sebagai kawasan larangan merokok.

Kenapa perlu ada kawasan larangan merokok?

Ia untuk menjaga kepentingan orang awam daripada "perokok" dan mengelakkan orang awam daripada menjadi perokok sekunder. Seolah-olah "perokok" ini orang asing dan bukannya dari kalangan orang awam.

Ia juga untuk menghalang daripada sebilangan kecil perokok yang terdiri daripada orang awam merokok di tempat awam.

Persoalannya, berapa ramai di antara kita merokok?


HANYA 10% DARIPADA ORANG AWAM ADALAH PEROKOK

Andaikata di dalam sebuah pejabat yang mempunyai 400 orang pekerja, agaknya berapa ramai di antara mereka ini perokok? katalah 40 orang. Ini adalah jumlah anggaran yang agak baik iaitu mengambil 1 orang daripada 10 orang adalah perokok atau 10%. Ini menjadikan baki bukan perokok ialah 90%.

Oleh kerana 90% daripada mereka ini bukan perokok, maka majoriti pekerja adalah bukan perokok.

Tak mengapa. Jika kita naikkan angka ini, katakanlah perokok terdiri daripada 20% sekalipun, tetap 80% bakinya adalah bukan perokok. Masih lagi majoriti yang besar.

Sewajarnya, sebagai sebuah negara demokrasi, sekiranya bilangan peratusan bukan perokok melebihi bilangan perokok secara besar, maka kawasan tersebut menjadi kawasan larangan merokok. Ini adalah adil, kerana di dalam Islam pun kita disuruh menjaga maslahah umat terbanyak.


MAJORITI MENGATASI MINORITI

Kenapa kita perlu pentingkan yang minoriti ini? Mereka bukan sahaja sebilangan kecil sahaja daripada kita, malah asap yang dikeluarkan boleh mengancam kesihatan dan patut dianggap sebagai satu ancaman. Adakah kerana mereka ini kebanyakannya lelaki dan merupakan ketua organisasi atau keluarga? Bagaimana sebilangan besar ketua organisasi dan ketua keluarga yang tidak merokok?

Di dalam restoran sebagai contoh, kenapa perlu ada seksyen ini kawasan merokok, itu kawasan tanpa merokok? Tidakkah boleh diwujudkan di semua restoran, ini kawasan tanpa rokok? Adakah dengan mewujudkan kawasan merokok di restoran boleh menjamin bahawa asap-asap yang dikeluarkan itu tidak terkena kawasan yang dilarang merokok? Saya jamin tidak kerana tidak ada ventilator berasingan ataupun dinding-dinding berasingan.

Cuba buat bancian, berapa ramai yang makan di restoran merokok dan berapa ramai yang sebenarnya tidak merokok. Saya kira kebarangkalian, 90% daripada pengunjung restoran adalah bukan perokok. Oleh itu kenapa restoran perlu mewujudkan kawasan perokok di dalam restoran mereka sendiri?

WUJUDKAN BILIK KECIL PEROKOK DI SEMUA TEMPAT

Oleh kerana mereka ini adalah sebilangan kecil sahaja iaitu hanya 10% pada satu-satu masa, maka kita wujudkan sebuah bilik kecil untuk mereka merokok.

Sebagai contoh, katakanlah di dalam KLCC, kita boleh wujudkan satu bilik kecil di dalam lingkungan 1000 meter kaki persegi sebuah lounge untuk perokok, contohnya di sebuah bilik khas, tingkat 3 KLCC. Bilik ini menempatkan perokok yang ingin merokok yang siap dengan ventilator dan air filter. Bilik ini mestilah selesa, ada tempat jualan minuman ringan, ada sofa, ashtray yang bewarna-warni, ASTRO dan kemudahan tandas lelaki dan wanita. Tidak dilupakan juga pemadam api.

Sekiranya para pengunjung ingin merokok, mereka boleh ke tempat ini untuk merokok. Oleh itu, seluruh bangunan KLCC dijadikan kawasan larangan merokok kecuali bilik ini. Begitu juga Berjaya Times Square dan Bangunan Parlimen Malaysia. Ini akan menyelamatkan 90% daripada majoriti yang tidak merokok. Sesiapa yang didapati merokok di kawasan luar daripada bilik ini akan didenda secara maksimum oleh penguatkuasa KKM dan Polis. Mereka telah diberitahu.


KKM KENA FOKUS KEPADA 90%!

Saya tidak sedih melihat perokok kita yang sudah berumur. Mereka ini adalah perokok tegar. Sudah 30 tahun merokok. Memang susah nak dibuang habit itu. Ia sudah menjalar di dalam darah dan reseptor nikotin sudah tepu di otak. Mereka cuma berhenti rokok sementara apabila minggu depan nak buat pembedahan pintasan jantung. Tidak mengapa, selepas 2 bulan boleh hisap rokok semula.

Yang menyedihkan adalah remaja belasan tahun yang menghisap rokok. Mereka ini patut dihalang. Perangkaan menunjukkan, walaupun kes-kes perokok di kalangan dewasa semakin berkurang tetapi kes kes merokok di kalangan remaja semakin meningkat. Iklan Kementerian Kesihatan Malaysia dilihat kurang berjaya.

Pada pandangan saya, iklan Kementerian Kesihatan perlu fokus kepada 90% yang tidak merokok ini dan bukan 10% perokok.

Ini adalah kerana catchment 90% ini adalah lebih besar. Kementerian Kesihatan perlu fokus di dalam menjaga mereka ini daripada menjadi tahi rokok. Lupakan 10% perokok itu. Mereka akhirnya samada semakin pening kepala sebab harga rokok yang naik saban tahun, atau mereka akan selalu ulang alik ke hospital.

Iklan-iklan perlu fokus kepada remaja. Remaja-remaja-remaja. Kita gegarkan sekolah-sekolah rendah dan menengah. Kita nasihatkan guru-guru supaya berhenti merokok. Mereka adalah contoh kepada masyarakat dan anak-anak murid. Kita jadikan Tak nak Rokok sebagai salah satu elemen KPI bagi guru-guru. Ini penting untuk kenaikan pangkat dan sebagainya.

Guru-guru yang tidak merokok mudah mengajar anak-anak muridnya berjalan lurus. Kenakan denda yang berat kepada anak-anak murid yang ditangkap merokok di luar kelas. Iklan-iklan di TV harus fokus kepada remaja. Dengan ini pendekatan yang lebih fokus mengelakkan kita daripada terlepas sasaran.



WUJUDKAN KLINIK-KLINIK BERHENTI MEROKOK SECARA BERASINGAN DARIPADA HOSPITAL DI PUSAT BANDAR

Berhenti merokok bukan sesuatu yang mudah. Ia perlukan azam dan semangat. Kadangkala azam dan semangat sahaja tidak mencukupi. Kadangkala kita perlu ubat. Ubat berhenti merokok adalah mahal.

Klinik-klinik berhenti merokok perlu diwujudkan secara berasingan daripada hospital dan klinik-klinik awam khusus untuk menghadapi masalah perokok yang ingin berhenti merokok.

Saya percaya ramai perokok ingin berhenti merokok, tetapi untuk ke hospital yang mengadakan klinik rokok mereka tidak sanggup atau tidak mahu beratur. Mereka mahu berhenti rokok dan perlukan perundingan tetapi mereka tidak tahu ke mana hendak dituju.

Di dalam satu kawasan yang padat, kita wujudkan sebuah klinik khusus untuk berhenti merokok di mana sumber-sumber kewangan kerajaan dikhususkan untuk membantu mereka yang betul-betul ingin berhenti merokok.

Kita boleh mulakan 10 klinik pilot khusus untuk mereka yang ingin berhenti merokok di Kuala Lumpur. Konsepnya mungkin boleh dicedok daripada klinik Lembaga Pembangunan Penduduk LPKP.

Ia adalah pusat sehenti yang membantu di dalam memberi perundingan secara perseorangan oleh pakar-pakar yang terdiri mungkin daripada pegawai perubatan atau jururawat yang mempunyai kemahiran di dalam menguruskan ketagihan tahi rokok.


WUJUDKAN KPI - TAK NAK ROKOK - KEPADA PEMIMPIN NEGARA

Bangunan Parlimen adalah dewan yang mulia maka pembersihan rokok perlu dimulakan oleh semua yang bergelar pemimpin negara. Bangunan Parlimen perlu bersih rokok. Mana-mana perokok di kalangan anggota dewan yang berhormat perlu dinasihati.

Tidak wajar lobi bangunan parlimen menjadi pusat merokok para Yang Berhormat. Ini tidak menunjukkan keprihatinan para pemimpin di dalam menjadi aspirasi rakyat untuk berhenti merokok.

Oleh itu, tak perlu diwujudkan bilik perokok untuk anggota Yang Berhormat, tetapi yang perlu kita wujudkan ialah sebuah bilik khas "Klinik Rawatan Bagi YB yang Merokok" yang akan diketuai oleh YB Menteri Kesihatan sendiri.

Malah antara KPI yang Senator Idris Jala perlu cadangkan kepada PM ialah termasuk usaha-usaha setiap kementerian untuk menjalankan program berhenti merokok di kalangan ahli-ahli di bawah kementeriannya termasuk KSU dan anak-anak buahnya.

YB yang berjaya berhenti merokok atau mengekalkan imej bersih dari rokok wajar dipertimbangkan untuk bertanding di pilihanraya kali ke 13.



KENAPA KKM SAHAJA YANG DIPERTANGGUNGJAWABKAN?

Oleh kerana program rakyat sihat adalah agenda negara, maka tidak wajar hanya KKM sahaja yang perlu dipertanggungjawabkan.

Saya ingin mencadangkan bahawa setiap Kementerian patut menjalankan tanggungjawab mengadakan kempen berhenti rokok kepada semua penjawat awam. Ini sebenarnya boleh membantu KKM di dalam mencapai misi dan matalmat mereka secara jangka panjang.

Sekiranya kerajaan betul-betul ingin membanteras penyalahgunaan rokok ini, maka semua pihak patut mengambil tanggungjawab. Bak kata orang KKM, mereka pun tak cukup orang untuk menjalankan penguatkuasaan.

Mereka nak bunuh nyamuk, mereka nak tangkap jentik-jentik, mereka nak kuarantin pesakit H1N1, Mereka nak uruskan penagih dadah, mereka nak tangkap doktor jual MC dan ubat tidur.

Pendekata KKM mempunyai tanggungjawab yang besar. Oleh itu kapasiti semua pihak adalah diperlukan untuk memberi kesedaran kepada umum.

KESIMPULAN

Majoriti rakyat Malaysia adalah bukan perokok. Mungkin mencapai 90% secara purata. Oleh itu bila harga rokok naik, tak ramai yang bising. Bila kerajaan kata rokok saiz kecil dihapuskan tidak ramai membantah. Tiada mogok besar-besaran di jalan-jalan raya. Tentulah kerana mereka adalah minoriti, iaitu 10% sahaja. Mungkin lebih rendah.

Oleh hal yang demikian, mereka yang bukan merokok adalah majoriti. Walaubagaimanapun, di mana kuasa majoriti golongan non-perokok ini? Kuasa majoriti ini harus digunakan untuk menjadikan bumi kita ini dan anak-anak kita lebih sihat. Artikel ini mencadangkan bahawa perlu diwujudkan bilik-bilik khas perokok ini di kompleks membeli-belah utama dan mana-mana bangunan di Malaysia supaya golongan minoriti ini tidak boleh lagi merokok secara bebas. Manakala, kawasan selebihnya perlu diwartakan sebagai zon larangan merokok dengan penguatkuasaan.

Malah kita jadikan seluruh bumi Malaysia kawasan larangan merokok kecuali kepada bilik-bilik dan kawasan yang telah digazetkan sahaja. Tidak wujud lagi papan tanda - "kawasan larangan merokok", kerana setiap inci bumi bertuah ini sudah menjadi kawasan larangan merokok tetapi yang wujud ialah - "Kawasan Untuk Merokok".

Oleh itu dunia minoriti sudah semakin mengecil...

Oh KKM, Bilakah ia akan terlaksana?


Menipu Pengguna Menggunakan Photoshop?





Kebelakangan ini terdapat pelbagai iklan-iklan yang cuba menunjukkan betapa bagusnya atau hebatnya jenama produk syarikat mereka terutama produk-produk kosmetik yang menampakkan keceriaan, kemudaan dan keremajaan. Iklan-iklan sebegini mempamerkan kejelitaan model setelah memakai produk mereka. Ada produk-produk ini kononnya boleh menghilangkan kedutan-kedutan di wajah.

Di Barat, iklan-iklan seperti ini sudah menjadi lumrah. Namun, masih terdapat di kalangan warga mereka yang sedar tentang betapa iklan-iklan ini boleh menyebabkan pemikiran mereka terpesong daripada realiti sebenar.

Pada hakikatnya, menghilangkan kedutan di wajah tidak semudah yang dijangka. Proses penuaan ini adalah akibat kenduran otot-otot di muka dan menyebabkan kulit-kulit di muka ikut kendur. Daripada pengalaman di bahagian pembedahan plastik dahulu, pembedahan untuk menegangkan kulit muka dan suntikan botox adalah di antara rawatan kemudaan ini. Namun kita harus faham, bahawa rawatan ini penuh dengan kontroversi terutama apabila ia menyentuh perosalan agama dan halal-haram.

Mari kita lihat gambar asal twiggy, model syarikat kosmetik Olay yang berumur 60 tahun.


Ini pula adalah model yang sama setelah menggunakan Olay Desitny.


Secara virtualnya model Twiggy kelihatan seolah-olah tanpa apa apa kedutan di kawasan matanya (crow feet), tanpa bengkak bawah mata (eyebag) dan nampak seperti berumur 40-an. Pihak syarikat Olay mengaku bahawa mereka ada menjalankan "perubahan kecil" pada gambar tersebut.

Ini telah mengundang penggubal undang-undang Britain mencadangkan agar iklan yang memesongkan pemikiran pengguna ini perlu dihentikan. Akhirnya "Advertising Standard Authority" di UK telah memberhentikan iklan ini setelah menerima banyak aduan daripada pengguna yang sedar.

Di Malaysia, terdapat pelbagai iklan-iklan yang banyak sebegini tanpa ada kawalan. Iklan-iklan ubat kurus badan, iklan pemutih dan sebagainya disiarkan tanpa ada kawalan dan tanpa kepastian samada produk tersebut memang benar-benar berkesan atau hanya menipu pengguna. Adakah pihak berwajib sedar tentang hal ini?

Wallahu Alam..


Monday, December 14, 2009

Program Khatan di Puncak Niaga, Shah Alam.






Salam,

Pada 12 Disember 2009, Hospital Al Islam telah mengadakan program berkhatan beramai-ramai di Wisma Rozali, Puncak Niaga, Shah Alam. Seramai 38 orang peseta mengambil bahagian di dalam acara tersebut.

Kami bermula jam 10.30 pagi dan tamat pada jam 4.00 p.m. Acara berehat sebentar untuk solat zohor.

Alhamdulillah, tiada masalah "besar" sepanjang program dijalankan.

Masalah "kecil" seperti kanak-kanak menjerit, meronta dan menendang masa nak sunat macam kena sampuk itu adalah lumrah di mana-mana program berkhatan. Masalah "kecil" tersebut dapat diselesaikan dengan bantuan 5 orang lelaki dan 4 orang wanita yang bukan sahaja memberi kaunseling percuma tetapi membantu di dalam kerja-kerja pegang-memegang..

Terima kasih kepada pihak Puncak Niaga kerana sudi menjemput kami untuk menjalankan program khatan di sana.



Adik ini merupakan peserta pertama daripada 38 orang yang mengambil bahagian. Masih lagi tersenyum.



Memberi bius setempat sebelum memulakan khatan

Jururawat Shahril sedang menunjukkan aksi potong dengan jarinya sambil memegang insrtumen di dalam kidney dish di tangan kirinya.

Puan Roslina terpaksa membantu di dalam adegan pegang memegang.

Saudara Shafi'e, di antara tok mudim yang mengkhatankan anak-anak di program tersebut.


Saudara Harez (tengah), wartawan Berita Harian yang menjalankan liputan tentang program ini bersama Jururawat Shamsul (kiri) dan Jururawat Nopi Ropian (kanan).

En Hashim (kiri), pakar jahit-menjahit dan Ustaz Ismat (duduk, kanan), pakar kaunseling kanak-kanak merangkap pengurus perjalanan program.

Cik Hanis sedang mencuci alatan instrumen untuk sunat yang seterusnya.

Wednesday, December 9, 2009

Program Khatan Sepanjang Minggu






Salam,

Beberapa minggu cuti sekolah ini, saya mengkhatankan kanak-kanak di hospital pakar al-Islam, tempat saya bekerja ini. Caj untuk seorang yang hospital kenakan ialah RM 150.00 termasuk ubat-ubatan. Caj ini saya fikir semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Itu untuk bayaran untuk berkhatan oleh pegawai perubatan. Bagi pakar bedah pulah caj yang dikenakan ialah RM 250.00.

Mungkin 10 tahun dulu, bayaran bersunat hanya RM 60.00 seorang di klinik. Setiap setahun atau dua tahun ia meningkat sebanyak RM 10. Sekarang kadar bayaran bersunat ialah di antara RM 100 - RM 150. Ada sesetengah klinik mengenakan bayaran sehingga RM 200 untuk bersunat menggunakan smartklamp.

Pada 12.12.2009, saya bersama-sama rakan-rakan saya di hospital ini akan mengkhatankan 60-70 kanak-kanak di Wisma Rozali, Shah Alam. Ini adalah program anjuran Syarikat Puncak Niaga dan merupakan program rasmi.

Pada 13.13.2009, program berkhatan beramai-ramai di Masjid Salehuddin Al-Ayubi, Taman Melati, akan dilaksanakan. Bayaran ialah RM 100.00 seorang. Program ini adalah kerjasama AJK Masjid Salehuddin Al-Ayubi, Biro Kesihatan ABIM dan MRA. Dijangka 30 orang kanak-kanak akan menyertainya. Saya, Dr Saifullah (pegawai perubatan Orthopaedik HKL), Mr Shuib (Pakar Orthopaedik Hospital Ampang Puteri) dan Mr Hassan Mat (Pakar Bedah Hospital Metro Kajang) akan bersama-sama melaksanakan program ini.

Sesiapa yang berminat utk menyertai khatan di Masjid Salehuddin Al-Ayubi, Taman Melati, boleh hubungi Hj Hassan Basri Bin Hj Pilus, 013-3604846, Setiausaha Penganjur.

Pasti pelbagai reaksi akan dilihat pada program berkhatan ini...

Wallahu Alam.


Friday, December 4, 2009

Bantuan Banjir MRA ke Kelantan






MRA menghantar bantuan ke Kedah baru-baru ini ketika banjir. Ini pula bantuan yang disampaikan ke penduduk Kelantan yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini.
Kota Bharu, 2 Disember – Malaysian Relief Agency dengan kerjasama Skuad Prihatin ABIM, ABIM Kelantan dan Briged Bakti telah menubuhkan Pusat Bantuan Banjir untuk mengkoordinasi aktiviti-aktiviti menghulur bantuan banjir kepada penduduk yang terlibat. Disamping itu, Pusat ini juga akan berfungsi sebagai pusat pengumpulan barang-barang bantuan seperti makanan, pakaian, selimut dan peralatan-peralatan yang diperlukan semasa banjir. Buat permulaan, pihak MRA telah menyediakan 50 bungkus bahan-bahan makanan segera seperti gula, kopi, biskut, minyak masak dan tepung. Pihak ABIM Kelantan pula telah menyumbang 50 kampit beras seberat 5 kg setiap kampit. Bantuan ini akan diedarkan ke tempat-tempat yang telah dikenalpasti pada keesokan harinya.

Menurut Sdr Shahran Kasim, Pengarah Eksekutif MRA, selain daripada menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan, misi bantuan ini juga ingin melatih para sukarelawan khususnya dari genarasi muda untuk terlibat dalam kerja-kerja bantuan kemanusiaan. Diharapkan dengan latihan dan pendedahan yang diberikan, mereka akan lebih bersedia untuk terlibat sama dalam misi-misi bantuan yang akan datang samada di dalam ataupun diluar negara.

Pihak ABIM Kelantan juga telah mengaturkan beberapa pertemuan hormat untuk menyelaras dan melicinkan kerja-kerja bantuan dimasa hadapan. Pertemuan telah diadakan dengan Ybhg En Ab Aziz Yunus, Pengarah Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, pejabat Setiausaha Negeri Kelantan. En Ab. Aziz mengalu-alukan kedatangan rombongan dan mengucapkan ribuan terima kasih kerana mengambil langkah proaktif membantu mangsa banjir. Beliau memaklumkan beberapa kawasan yang amat memerlukan bantuan dan beliau juga memberi komitmen akan membantu setiap aktiviti dan projek yang ingin dilaksanakan.

Rombongan seterusnya melakukan kunjungan hormat kepada Ustaz Wan Hassan dan YB Muhammad Mustafa, dua orang tokoh masyarakat untuk bertukar pandangan dan mencari kaedah terbaik untuk menyalurkan bantuan. Mereka telah memberikan beberapa input dan mencadangkan beberapa perkara untuk menambah keberkesanan bantuan yang bakal diberikan. Disebelah malamnya, rombongan menghadiri Majlis Makan Malam di pejabat Tabung Amanah Tok Kenali dimana Sdr Shahran sempat mengadakan perbincangan ringkas bersama YB Wan Ubaidah (Ahli EXCO Kerajaan Negeri) dan YB Rohani (ADUN Tanjung Mas). Mereka turut melahirkan rasa terharu dan berterima kasih ke atas bantuan yang akan diberikan dan bersedia untuk berkerjasama dalam kapasiti mereka masing-masing.

Menurut ramalan penduduk tempatan, banjir gelombang ketiga akan berlaku dalam waktu terdekat dan akan mengakibatkan lebih banyak kerosakan harta benda dan juga bangunan-bangunan awam seperti masjid dan sekolah. Justeru, pihak MRA ingin menyeru kepada seluruh masyarakat Malaysia untuk terus menyalurkan sumbangan kewangan kepada MRA untuk membolehkan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan. Sila salurkan bantuan ke Malaysian Relief Agency acct no: 5640 9820 6365 (Maybank) atau hantar cek ke alamat Malaysian Relief Agency, PO Box 10314, 50710 Kuala Lumpur.
Related Posts with Thumbnails