Showing posts with label Susu Ibu. Show all posts
Showing posts with label Susu Ibu. Show all posts

Monday, April 14, 2008

Malas Menyusu Ibu



Assalamualaikum.

Sabtu malam lepas saya bertugas di Klinik Idzham Pandan Jaya menggantikan doktor di sana. Jam 3.30 am, saya dikejutkan untuk melihat pesakit. Seorang wanita umur awal 20-an memakai cermin mata berbingkai tebal sedang mendukung bayi yang berumur 46 hari. Bayi tersebut batuk selama 3 hari dan merupakan anak pertama.

Setelah saya buat pemeriksaan kepada anaknya, saya mula bertanya-tanya.

Saya : Bayi ni menyusu badan ke menyusu botol?

Wanita : Menyusu botol.

Saya : Mengapa tidak disusukan badan.

Wanita : Saya dah cuba sekali selepas bersalin tetapi tak keluar susu. Lepas tu saya terus susukan guna botol.

Saya : Memang lah awal-awal adakalanya susu tak keluar. Lama-lama banyak lah.

Wanita : Bukan doktor. Mak saya pun dulu tak ada susu. Dah keturunan saya, doktor (!!)

(Dia menjawab dengan muka selamba. Muka dia memandang bawah. Saya sudah mula naik hangat)

Saya : Kalau tak bagi susu ibu nanti anak senang kena penyakit. Anak lahir kat mana?

Wanita : KBMC...

Saya : Kat KBMC takde tunjuk cara-cara menyusu ibu ke?

Wanita : Ada.. tapi saya malas (!!!)
Hmmm... mukanya masih poyo. Nampak semua persoalan saya, dia dah sediakan jawapan. Walaupun jawapan yang poyo...

Bila dia jawab macam tu, saya pun tak nak lah jadi poyo macam dia. Saya pun menulis ubat-ubatnya dan memandangnya keluar daripada bilik dengan pandangan kesian tetapi sedikit geram.

Kalau perkara mengarut seperti tidak menyusu ibu kerana keturunannya tidak ada susu, saya masih boleh terima lagi tetapi kalau dah "malas", apa lagi nak buat. Entah-entah dia bagi jawapan "malas" sebab "malas" nak menjawab soalan merapu saya yang seperti nak menjaga tepi kain dia tu tengah-tengah malam buta...

Lagipun jam dah pukul 3.45 pagi.... buat apa nak gaduh2 pagi-pagi buta kan. Baik tidur... Esok kena kerja lagi.

Salam

Tuesday, March 18, 2008

Irfan Dan Pengasuhnya

Assalamualaikum.

Sudah 2 bulan umur anak lelaki saya Irfan Auzaie. Sekarang sudah tiba masa ibunya meneruskan tugas mengajar sebagai guru di sekolah. Waktu bersalin 60 hari telah habis. Tentulah saya juga berharap cuti bersalin dinaikkan selama 90 hari. Jikalau 90 hari dengan gaji penuh, ia mungkin terbaik bagi ibu-ibu yang melahirkan. Mungkin bukan dalam masa 3-4 tahun ini...

Saya ada bertanya kepada isteri saya, kenapa tidak ambil cuti 30 hari menyusu? Dia memang ingin sangat mengambilnya. Tetapi baginya tidak adil kepada guru yang terpaksa menggantinya. Ini adalah kerana guru ganti yang diambil dari luar (lepasan universiti atau diploma) cuma dibayar selama 60 hari sahaja. Selepas itu, guru yang mengganti datangnya dari guru di sekolah itu sendiri kerana sekolah tidak akan membayar lagi gaji untuk guru ganti luar.

Menurutnya, ini akan menyusahkan guru tetap yang menggantikannya kerana dia bukan sahaja kena mengajar sekian-sekian banyak masa yang diperuntukkan tetapi terpaksalah pula diambil masa rehat untuk menggantikan guru yang mengambil cuti menyusu.

Hmmm.. saya terfikir bahawa alasan ini valid. Ini mungkin hanya berlaku kepada Kementerian Pendidikan sahaja, kerana saya dahulu di Kementerian Kesihatan memang tiada masalah untuk para doktor wanita mengambil cuti menyusukan anak.

Irfan Auzaie saya hantar ke rumah jiran di sebelah rumah yang berumur 50-an. Kebetulan cucunya yang 3 bulan umurnya tidak lagi dihantar kepadanya untuk dijaga. Isnin lepas adalah hari pertama.

Memang saya ini agak cerewet sedikit jikalau bab menjaga anak kecil ini. Saya jikalau boleh tidak mahu Irfan tidur di dalam buai. Saya cuma mahu Irfan minum susu ibu sahaja. Saya tidak suka letak minyak atau yang sewaktu dengannya pada perut dan badan Irfan dan saya tidak pernah memakaikan Irfan barut. Tapi pada pendapat saya, peraturan itu mudah sahaja. Bukan susah nak diikuti kerana susu ibu dan kelengkapan lain semua telah disiapkan.

Saya pada mulanya tidak beberapa kisah bila Irfan ditidurkan di dalam buai. Ok. Tak ada masalah. Tetapi saya mula terasa juak apabila isteri saya beberapa kali ditanya oleh pengasuh tersebut samada boleh diberi Irfan air masak atau tidak. Kenapa nak beri air kosong jikalau susu ibu itu sudah ada? Malah susu ibu yang diberikan tidak pula habis.

Tetapi saya terkejut apabila jiran saya mengatakan bahawa dia melumurkan 3 jenis minyak selepas memandikan Irfan. Itu saya boleh tahan, tetapi apabila saya meminta tengok apa minyak yang dilumurkan, dia menggunakan satu botol vicks untuk melumurkan ke seluruh belakang badan! Mana tidak terkejut, sebotol vicks habis separuh dalam masa 3 hari sahaja!

Pada masa yang sama dia mahu menaikkan bayarannya daripada RM 250 ke RM 300, apabila isteri saya mula menegur.

Saya meminta isteri saya menanyakan kepada jiran saya yang lain untuk mencari pengasuh yang lebih "faham" tentang masalah Irfan. Takut juga apa-apa yang akan berlaku kepada Irfan. Maklumlah Irfan ada "prolonged jaundice" dan enzim hatinya masih lagi belum normal. Walaupun telah saya beritahu berkali2 tetapi nampaknya pengasuh yang satu ini masih kurang "faham". Saya kena berbuat sesuatu...



Wallahu A'lam

Friday, July 6, 2007

KEPERCAYAAN KARUT ORANG MELAYU

Assalamualaikum Wbt.


Terlalu banyak kepercayaan-kepercayaan yang menjadi bualan dan buah mulut orang dan diturunkan dari satu generasi ke satu generasi tetapi sebenarnya kesasihannya tidak terbukti. Kepercayaan yang saya maksudkan tak lain dan tak bukan adalah kepercayaan-kepercayaan tradisional terutama oleh masyarakat melayu. Kebanyakan kita memegang kepercayaan-kepercayaan ini seolah-olah seperti beriman kepadanya dan sukar diganggu gugat walaupun kebenarannya boleh dipertikai.

Mungkin ini adalah kerana kepercayaan ini disampaikan oleh ibu dan bapa kita, atau orang-orang tua yang seangkatan dengan mereka menjadikan ia suatu kefahaman yang dogmatik dan "mesti percaya" sebab mereka lebih "makan asam garam dahulu daripada kita". Saya tidak mengatakan kesemua kepercayaan-kepercayaan yang menjadi pegangan kita itu salah. Ada yang mungkin benar dan mempunyai penjelasan yang logik dan saintifik berdasarkan pengalaman-pengalaman mereka. Tetapi yang menyedihkannya ialah terdapat kepercayaan tertentu yang menjadi amalan kita tidak selari dengan bukan sahaja sains tetapi juga agama Islam yang kita anuti.


Terdapat juga kepercayaan yang tidak beberapa karut atau tahyul malah ia adalah kepercayaan yang saintifik tetapi tidak betul. Kepercayaan saintifik ini meniti dari mulut ke mulut sehingga ia menjadi seolah olah betul. Peliknya yang saya lihat ia cuma berlaku pada masyarakat melayu sahaja.

Di antara kepercayaan karut masyarakat melayu :-

URI


Uri atau placenta adalah tisu yang melekat pada rahim ibu dan disambung ke badan bayi melalui tali pusat. Uri dikeluarkan selepas bayi dilahirkan dan masyarakat melayu Islam menanam uri-uri ini kebiasaannya di hadapan rumah. Kalau tanam jauh-jauh dikhuatiri akan mendapat jodoh daripada orang jauh juga. Terdapat kepercayaan bahawa uri kepada anak perempuan baru lahir di tanam bersama senduk dan sudu menyebabkan anak perempuan itu nanti pandai memasak. Saya pernah bertanya kepada mak saya berkenaan dengan uri saya dahulu, dia kata uri saya ditanam dengan buku dan pensel... tu sebab saya jadi doktor.. hehehe....

Ada juga uri yang dicuci dengan bersih dan diletakkan garam, kemudian diletakkan paku-paku dan sebagainya. Walaupun ada sesetengan orang tua berkata, perkara ini menjadikan anak lelaki mereka pandai bertukang tetapi ia ada kewajarannya.

Secara logiknya, dengan cara ini uri yang bersih boleh mengurangkan bau hanyir darah dan garam boleh mengurangkan bakteria sekaligus mengurangkan juga bau busuk. Ini boleh menghindarkan anjing-anjing dan binatang buas daripada mengorek dan mendekati kawasan uri yang baru ditanam. Paku dan barang tajam di sekeliling uri juga boleh menyebabkan anjing dan binatang buas hilang selera.



TANGKAL

Adakalanya, kanak-kanak yang datang ke klinik memakai tali kuning atau tali hitam yang diikat di pinggang. Ada yang memakai tali di pergelangan tangan. Ini semua dipanggil tangkal dan ulamak berpendapat tangkal hukumnya haram dipakai kerana dikhuatiri menyebabkan syirik. Bila saya tanya kepada ibu bapa yang masih muda ini kenapa pakai tangkal, jawapannya ialah orang tua yang suruh. Kemungkinan perkara ini lumrah suatu waktu dahulu. Namun sekarang dengan adanya ilmuwan Malaysia yang ramai di dalam bidang agama, program agama spt forum hal ehwal Islam dan sebagainya, kepercayaan mengenai tangkal harus dibuang jauh-jauh dari kotak kepala kita. Sebenarnya kepercayaan kepada kuasa tangkal ini lebih banyak pada agama hindu dan buddha kerana pesakit kanak2 dari keturunan India dan cina rata-rata memakai tangkal yang serupa.


PENYAKIT ANEH ATAU BUATAN ORANG

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan aktres kita yang terkenal iaitu Azean Irdawaty yang mengalami kanser payudara. Mengikut ceritanya, aktres ini telah mengesan ketulan pada payudaranya beberapa tahun yang lepas. Namun beliau telah berjumpa dengan seorang bomoh. Bomoh ini menyatakan bahawa beliau telah terkena satu penyakit ganjil. Selepas itu tiada rawatan susulan dibuat.




Penyakit ganjil dan penyakit buatan orang ini juga sudah sebati dengan masyarakat kita. Bukan hendak menafikan wujudnya ilmu hitam di dalam masyarakat kita, tetapi kadang-kadang ia mengelabui pemikiran dan kewarasan kita di dalam bertindak.


Jikalau ada kedai melayu yang perniagaannya merosot pasti ia buatan orang. Jikalau ada lelaki bujang yang kahwin dengan janda... jaga-jaga.. pasti lelaki bujang tuh dah kena jampi mak ayah perempuan janda atau jampi perempuan itu sendiri.

Saya pernah berjumpa seorang pesakit kanser payudara. Beliau bukan calang-calang orang. Beliau lulusan Universiti Canada, dengan bahasa inggerisnya yang fasih. Namun sayangnya, ketika didiagnosed penyakit kanser payudara stage awal, beliau telah pergi berubat di kampung kerana diberitahu ia buatan orang. Sehingga kanser di payudaranya berulat (ye.. boleh nampak ulat).. maka barulah beliau ke hospital.. tapi sayangnya kanser tersebut sudah parah. Beliau meninggal selepas 2 bulan di Hospital. Kesian melihatnya menderita kesakitan setiap hari.



SANTAU

Orang melayu ni memang suka main santau. Ada sahaja yang kena batuk darah. Orang cerita batuk darah dan muntah darah sampai keluar paku dan kaca. Kalau depan mata kepala kita nampak betul-betul objek tu... memang betul-betul santau. Tapi kalau setakat batuk darah, tak nampak apa objek yang terkeluar... adakah ia santau? Atau sebenarnya mungkin Tuberculosis atau batuk kering? Atau mungkin juga Kanser Paru-paru sebab merokok terlampau banyak? Jangan buat kesimpulan awal sehinggakan sebab-sebab yang lebih patut difikirkan tidak kita fikirkan.


BIBIR SUMBING DAN LELANGIT TERBELAH

Semasa di Jabatan Pembedahan Plastik di HKL, Cleft Lip atau Cleft Palate (Kesumbingan Bibir dan Lelangit) ini merupakan masalah kecacatan sejak lahir yang paling popular di sini. Semenjak lahir sehingga pesakit dewasa, rawatan susulan demi susulan diberikan. Bibir sumbing atau lelangit terbelah berlaku disebabkan otot bibir atau otot lelangit tidak bercantum pada tempat yang sepatutnya ketika proses janin berkembang. Faktor-faktor yang menyebabkan termasuk keturunan, mengambil ubat yang tertentu ketika mengandung, jangkitan, radiasi dan sebagainya.

Kepercayaan karut orang melayu bahawa bibir sumbing disebabkan kerana mulut ikan tersangkut pada mata kail yang dipancing ketika isteri sedang mengandung adalah sesuatu yang salah. Malah, ada juga yang menyalahkan ibu yang melahirkan.

"Tu lah kau, masa mengandung kau menyiang ikan.. tak hati-hati... kan anak kau dah cacat"...

Kesian kat ibunya. Sudahlah dapat anak cacat. Dituduh pula penyebab kecacatan anaknya. Mana ibu yang nakkan anaknya menjadi cacat. Sepatutnya kita memberi sokongan moral kepada ibu yang mendapat anak yang seperti ini. Lagipun penyakit ini boleh dirawat dengan pembedahan oleh pakar-pakar bedah plastik.


KENAN

Banyak sungguh jenis-jenis kenan di Malaysia. Kenan monyet, kenan gajah, kenan Ular, kenan burung dan macam-macam lagi. Kita mempercayai bahawa binatang-binatang mampu menyebabkan kecederaan kepada manusia di dalam proses kejadian manusia. Nak disedapkan cerita, dikatakan pula bahawa binatang yang di kenan kepada anak-anak yang lahir itu telah dizalimi oleh ibu-bapanya. Kalau benda ini benar-benar wujud di dalam Islam maka pasti banyak hadis-hadis atau ayat Qur'an yang menceritakan tentang kenan.

Mengikut Professor saya di UIA, kenan ini sebenarnya budaya masyarakat Animisme yang masih wujud di dalam amalan-amalan kita sehari-harian. Ia telah membudayakan pemikiran kita agar takut kepada kekuasaan luar biasa haiwan. Islam telah meletakkan pemikiran kita lebih baik daripada penyembah haiwan.


MAKAN IKAN KERING SELEPAS BERSALIN

Berehat selepas bersalin amat dituntut. Ia amat perlu untuk mengembalikan bentuk badan ibu seperti sebelum mengandung. Proses pemulihan ini memerlukan masa yang panjang dan juga sumber nutrien yang berkhasiat dari pemakanan yang seimbang. Tisu-tisu yang luka memerlukan protein yang cukup dari makanan. Bayi yang baru lahir juga memerlukan susu ibu. Penghasilan susu ibu yang cukup lengkap khasiatnya tentulah dihasilkan daripada pemakanan ibu yang baik dan air yang cukup.

Kepercayaan orang-orang tua di dalam mengawal makanan dan air dengan begitu ketat kepada ibu-ibu selepas bersalin adalah berlawanan daripada objektif yang telah saya sebutkan. Pemulihan tubuh tidak akan berhasil sekiranya kita makan jamu tradisional sahaja. Sekiranya makan ikan kering dengan nasi putih dan air setengah gelas, tiada sumber protein yang mencukupi untuk pemulihan badan.

Kemudian, tidak boleh pula makan buah-buahan kerana sejuk dan sebagainya. Air pula minum sedikit. Maka selepas itu masalah sembelit pula timbul sebab kurang makan makanan berserat dan kurang air. Kesian orang yang bersalin, dah lah luka sana luka sini, makan pun ikan kering, air kena catu, kena sembelit pulak tu. Bukan kesian pada ibu sahaja, yang anak juga menjadi mangsa. Kerana kurang air dan makanan berkhasiat, susu pun kurang terhasil. Maka anak pun terkena tempiasnya, terpaksa minum susu lembu.

Saya ada menulispanjang di dalam artikel sebelum ini iaitu susu ibu vs susu lembu. Sila rujuk artikel tersebut di artikel pilihan saya.


DI ANTARA KEPERCAYAAN-KEPERCAYAAN LAIN

Tak semestinya kepercayaan-kepercayaan di kalangan melayu itu karut-karut. Ada yang "macam" saintifik, tetapi tak betul pun. Kepercayaan-kepercayaan ini bukan sahaja menyusahkan doktor kadangkalanya tetapi menyusahkan yang empunya badan. Antaranya:-

1. Kalau mengandung dan makan multivitamin, nanti anak jadi besar. Akhirnya kena bersalin melalui pembedahan. Jadi tak nak makan multivitamin masa mengandung.

2. Kalau anak-anak makan makanan yang masam macam epal atau limau nanti otak anak jadi lembab dan pelupa.

3. Kalau makan kicap atau minum kopi masa mengandung, anak jadi gelap. Sebaliknya kalau minum air kacang soya selalu nanti anak jadi putih.

4. Makan ais dan aiskrim boleh buat anak jadi demam (walaupun begitu memakan aiskrim atau gula2 berlebihan boleh merosakkan gigi anak dan mak ayah kepada anak. Ais kadangkala boleh menyebabkan batuk kepada pengidap asthma)

5. Kalau anak demam, kena pakai baju tebal-tebal. "Anak saya sejuk doktor", jawab ayah. Tapi kalau sejuk takkan suhunya mencecah 40 darjah?. Mana lagi sejuk.. 37 darjah atau 40 darjah? Kalau pakai baju lagi tebal, suhu anak semakin meningkat dan boleh menyebabkan sawan demam. Buka baju anak dan basahkan dengan air suam aatau air paip. Air ais tidak digalakkan kerana dikhuatiri menyebabkan hypothermia (suhu terlampau rendah).

6. Kalau anak kecil kalau tak pakai barut nanti masuk angun perutnya.

7. Ibu yang ada asthma boleh menjangkiti anaknya melalui susu ibu. Atau kepercayaan asthma boleh berjangkit.

8. Kalau kaki terseliuh tak diurut nanti akan masuk angin. Jadi pesakit jumpa saya selepas terseliuh akan bertanya, boleh urut tak doktor. Bengkak kaki selepas terseliuh bukan sebab masuk angin tetapi proses kerandangan (inflamasi). Tisu membengkak adalah biasa selepas apa-apa injury. Malah kalau urut lagi bertambah bengkak.

9. Kaki yang patah boleh baik jika pergi tukang urut atau bomoh patah?. Ada sesetengah patah yang tak mungkin boleh diluruskan tanpa penggunaan simen. Terutama kalau patah cara "spiral" atau patah riuk. Jika patah itu cuma dislocation sahaja, maka memang boleh menggunakan teknik manual (kira urutlah kalau ikut org melayu). Saya pernah ke Indonesia, diceritakan, ketika itu zaman gawat di sana. Mereka kekurangan wang, jadi bomoh menjadi pilihan utama untuk merawat patah ketika kemalangan (Ya,bomoh patah ada juga diIndonesia). Dan beberapa bulan dan tahun selepas itu, ramai pesakit-pesakit yang berjumpa bomoh kembali ke hospital kerana kaki sebelah pendek, tempang yang teruk sehingga ada yang tak boleh berjalan.

10. Mengambil air tulang belakang boleh menyebabkan lumpuh. Ini kena dihuraikan dengan panjang lebar. Ia tersebar di kalangan masyarakat melayu sehinggakan terkeluar perkataan "Biar anak saya mati, jangan ambil air tulang belakang dia"... pergh.. terjadi kat diri saya masa saya houseman dulu. Ini kena ada satu lagi artikel yang boleh ditulis... kalau saya rajin... hehe.

Tapi tuan puan, orang cina ngan india kat Malaysia ni pun masuk hospital ambik air tulang belakang jugak, orang putih kat england tu, kat US pun masuk hospital ambik air tulang belakang gak... takder pulah dengar jadi lumpuh.. jadi gila... orang melayu kita ni jelah allergik sket pasal air tulang belakang nih. Ini kita cerita lain kali.

11. Kalau anak baru lahir kena kuning, minum susu kambing. Ini pun saya akan buat satu artikel lagi nanti. Maaf ye penjual susu kambing.

Saya mendapati masyarakat melayu lebih percaya kepada sanak saudara atau ipar duai daripada doktor atau pakar perubatan. Ini adalah kerana kelemahan bangsa kita di dalam kajian-kajian dan pembacaan bahan-bahan saintifik. Kadangkala, sejak kecil lagi kita diterapkan dengan benda-benda tahyul. Kebanyakan ibu-bapa melayu mengklasifikasi anak-anak yang bertanya dan tidak bersetuju dengan cara dan budaya tahyul ini dianggap melawan cakap orang tua dan menderhaka.

Saya hairan, adakah tuan-tuan akan menghantar kereta yang rosak ke Chef Farid untuk bertanya resepi macamana nak betulkan enjin. Atau anda suka bertanya bagaimana nak masak roti perancis kepada mekanik belakang rumah anda. Wajarkah anda bertanya adakah sesuai makan ubat multivitamin ketika mengandung kepada saudara mara anda dan bukan doktor? Fikir-fikirkan.




Wednesday, May 9, 2007

Susu Ibu vs Susu Lembu - Selamat Hari Ibu

Assalamualaikum Wbt.

Sempena Hari Ibu ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu di dunia ini… dan saya ingin berkongsi dengan semua pengunjung blog tentang artikel saya ini sempena hari ibu.

Salah satu yang membezakan di antara manusia yang bergelar ibu@ ummi@ emak dengan makhluk Allah yang lain termasuk insan bergelar bapa@ abah, segala haiwan-haiwan dan serangga2… tak lain dan tak bukan ialah… SUSU IBU…. (Well, susu drpd ibu lembu dipanggil susu lembu atau susu awal lembu kan?…. bukan susu ibu lembu). Sila baca artikel ini sehingga habis.. mungkin anda boleh sampaikan kepada ibu2 lain…

Kelebihan Susu Ibu

Susu Ibu mempunyai nutrisi yang lengkap untuk bayi termasuk kandungan karbohidrat, lemak dan protein. Ia juga mempunyai segala khasiat seperti vitamin, mineral, hormon dan antobodi yang diperlukan oleh bayi untuk membesar. Dan TIADA.. saya ulangi.. TIADA.. susu-susu formula.. susu lembu atau susu kambing yang setanding dengannya untuk tumbesaran bayi.

Ok lah.. anda memang meminati susu formula atau susu lembu… Tak pe.. tapi anda harus ingat..

  • Jika susu formula diberi kepada bayi di bawah umur 1 tahun, gejala alahan atau allergi akan meningkat untuk bayi anda.
  • Susu formula atau susu lembu memang ada vitamin dan mineral setelah ditambah oleh pakar-pakar untuk menyamai susu ibu… Walaupun begitu, ciptaan Allah tetap yang terbaik… antibodi tidak boleh ditambah di dalam susu formula… ini menjadikan susu ibu makanan paling power bayi..
  • Susu ibu adalah percuma… tak payah pergi supermarket beli.. jimaaaattt…
  • Hygienic… yelah tak payah jerang air panas, tak payah cuci botol… so si bapa, abah dan ayah tak payah bangun malam cuci botol dan buat susu… (eleh… memang tak pernah bangun pun!)…
  • Anak lebih rapat dengan ibu yang menyusukan menggunakan susu ibu...
  • Ibu yang inginkan badannya cepat langsing boleh mengamalkan penyusuan ibu kerana otot rahim lebih cepat mengecut dan lemak di badan akan digunakan untuk menghasilkan susu.

Susu Tak Cukup

Tapi kan… ramai ibu-ibu yang biasanya anak pertama… mengeluh.. bukan tak nak bagi… tapi tak cukup.. atau alasannya anak tak nak minum… walaupun alasan tersebut memang ada logiknya.. tapi mari kita sama-sama tengok...

  • Bila bayi menghisap puting, hormone prolactin terhasil di kelenjar pituitari di dasar otak, seterusnya hormone oxytoxin di hasilkan, menyebabkan pengecutan kelenjar susu..maka susu dihasilkan dan masuk ke mulut bayi. Semakin banyak bayi menyusu, maka lebih banyak prolactin terhasil jadi lebih banyak susu terhasil. Maknanya….. Kalau susu tak ada… bukannya kita berhentikan bayi itu dari menyusu.. sebaliknya kita kerapkan lagi susuan… nak elakkan bayi dehydrated.. kita sediakan juga sedikit susu formula sementara susu ibu nak terhasil.
  • Kadangkala kita mengikut pantang terlalu “strict”… Tak salah ye puan-puan… tapi macamana kita nak harapkan susu yang terhasil 2000 ml sehari (banyak tu.. boleh buat berniaga..hhehe)… kalau kita minum air pun 100 ml je sehari… Minum air kena cukup... Saya tak pasti kenapa orang tua strict sangat dengan air ni.. kadang-kadang depa kata nanti “kembang”… apa entah yang kembang… Menurut teori oleh Pakar saya… mungkin zaman dahulu, luka di tempat bersalin tu tidak berjahit (yelah dulu-dulu kan bersalin kat rumah).. kadang2 koyak tang sana- koyak tang sini… so nak elak dari luka tu terjangkit kuman, maka dikurangkan minum air, supaya kuranglah terkencing… bila kering cepat luka baik. Tapi sekarang luka dah berjahit, ada pulak antibiotik.. saya rasa alasan tu dah tak releven
  • Sekali lagi pasal pantang… susu ibu ini terhasil daripada pemakanan ibu yang seimbang… susu ibu kurang kalau ibu makan terlampau berpantang… contohnya nasi beberapa suap dengan ikan kering… buah-buah tak makan langsung… sayur pun tak makan… sup tak boleh minum (sup pun air).. susah kan.. ibu yang lepas melahirkan perlu makan makanan yang seimbang… kalau buah itu tak boleh… buah ini sejuk… awak beli je buah-buah luar negara.. epal ke apricot ke… susah jugak orang2 tua kita nak klasifikasi kan… tak tau mana sejuk mana panas…
  • Cara menyusu yang tidak betul. Sekiranya puan-puan tidak ada pengalaman menyusu, maka berlajarlah dari yang mempunyai pengalaman. Bantuan boleh didapati daripada klinik-klinik ibu mengandung atau hospital mesra bayi.
  • Tak nak bagi susu ibu sebab anda sibuk bekerja? Takut anak anda tak nak kat pengasuh? haaa..sekarang ni ada caranya... kalau anda betul2 sayangkan bayi anda... lihat di bawah...

Simpan Susu Ibu di dalam FREEZER?

Tak Bohong! Memang boleh masuk dalam freezer. Saya pun pernah buat… Walaupun mendapat tentangan daripada family awal-awal dulu… Kata mereka nanti anak kembung.. anak sakit… susu tak elok… Saya teruskan juga… Hasilnya, anak-anak saya mendapat susu ibu sehingga 5-6 bulan walaupun orang rumah bekerja. Mudah aje.. guna breast pump, masukkan dalam bekas plastik kecik… letak tarikh.. masukkan di dalam freezer (beku). Susu dalam freezer boleh tahan 3 bulan!
· Susu ibu di dalam suhu bilik tahan 4-8 jam
· Susu ibu di dalam fridge bawah tahan selama 5 hari - 1 minggu (letak kat belakang)
· Susu ibu di dalam freezer tahan selama 3 bulan – 6 bulan. (Wow! Tak tahu pun!)
· Untuk mencairkan susu beku, jangan guna microwave, air panas, atau air menggelegak. Cuma rendamkan di dalam air suam kuku atau air biasa sebelum digunakan, atau letakdi fridge bawah beberapa jam sebelum direndam di dalam air suam. Kemudian boleh transfer di dalam botol...


Di zaman teknologi, bidang perubatan juga telah berubah. Kajian demi kajian menunjukkan bahawa Ibu menghasilkan susu yang sangat baik untuk anak mereka. Kasihan sekiranya, para ibu tidak menganugerahkan susu ciptaan tuhan kepada anak mereka disebabkan oleh kejahilan mereka sendiri atau kejahilan ibu-bapa mereka. Pantang-larang tidak berubah sejak zaman berzaman… tetapi ilmu pengetahuan sentiasa ke hadapan … Selamat Hari Ibu…

Related Posts with Thumbnails