Showing posts with label Financial Intelligence. Show all posts
Showing posts with label Financial Intelligence. Show all posts

Thursday, November 22, 2007

BAGAIMANA NAK KURANGKAN 50% PENGGUNAAN PETROL

Assalamualaikum Warahmatullah...

Presiden Venezuela, Hugo Chaves yang lantang mengkritik Presiden Amerika Syarikat pernah membuat kenyataan baru-baru ini iaitu sekiranya Amerika Syarikat menyerang Iran, yang merupakan sekutu kepada Venezuela, harga setong minyak dunia boleh meningkat kepada USD $200 setong.

Itu adalah senario yang menakutkan sekiranya ia benar-benar berlaku. Berapa agaknya harga seliter petrol di Malaysia ketika itu. Usah ditunggu saat itu, ketika ini pun kita sudah risau dengan cerita minyak naik harga mulai tahun hadapan.

Untuk mengurangkan kerisauan yang bersarang di hati anda, saya ingin berkongsi beberapa tips penting yang saya petik daripada buku "The Money Book - A CAP Guide to Managing Your Money & More" terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Ia adalah sebuah buku berbahasa inggeris yang anda "mesti beli" pada pandangan saya, kerana kepentingan isu-isu yang berkaitan dengan belanjawan diri dan keluarga berdasarkan situasi tempatan.


"MEMANDU UNTUK BERJIMAT"

Dengan memerhatikan tatacara di bawah anda akan dapati bahawa ia akan mengurangkan 30% hingga 50% penggunaan minyak kereta anda.

PEMANASAN ENJIN SELAMA 30 SAAT

  • Panaskan enjin selama 30 saat sahaja. Enjin kereta panas lebih berkesan semasa kereta bergerak.
  • Memanaskan enjin lebih 30 saat bukan sahaja membazir minyak tetapi boleh merosakkan enjin kerana pelinciran enjin lebih berkesan ketika kereta bergerak. (Kepada yang tak bersetuju... ni CAP yang bagitahu)

ELAKKAN MEMULAKAN PERJALANAN DENGAN KASAR

  • Tekan minyak perlahan-perlahan ketika memulakan perjalanan.

PANDU DENGAN KELAJUAN SEDERHANA

  • Tekan pedal minyak dengan lembut (lembut seumpama ditekan bulu ayam.. CAP yang tulis camtu)
  • Memandu di bawah halaju perjalanan lebih menjimatkan minyak daripada memandu laju.
ELAKKAN MENGGUNAKAN GEAR RENDAH
  • Cuba kekalkan halaju kereta lebih daripada 35 km/jam
  • Langkah gear dari gear 1 terus ke gear 3 atau 4 ketika kereta menuruni bukit atau melalui jalan rata.
  • Tukar gear secepat mungkin ketika menaiki bukit.
  • Apabila memandu secara automatik, tingkatkan halaju anda dengan segera
  • Jangan andaikan bahawa anda perlu memandu di lebuhraya sahaja untuk menggunakan gear 5. Seboleh-bolehnya pandu dengan gear 5 di mana sahaja walaupun berada di dalam jalan yang kecil.

CARA MENAIKI BUKIT

  • Memandu menaiki bukit lebih menggunakan minyak.
  • Tingkat kelajuan sebelum menghampiri kawasan bukit.
  • Momentum yang terbina hasil daripada kelajuan tadi memudahkan pendakian. Tidak perlu menekan pedal minyak terlalu kuat yang boleh menyebabkan pembaziran.

JAGA TEKANAN TAYAR

  • Tayar yang tidak cukup angin menyebabkan penggunaan minyak yang banyak. Bukan itu sahaja ia boleh merosakkan tayar dan brek.
  • Tayar yang mempunyai tekanan angin terlalu tinggi juga boleh merosakkan bunga tayar.

PILIH JALAN YANG SESUAI

  • Jalan yang sesak, kerap berhenti boleh membuang masa dan minyak.

  • Jalan raya yang kasar, berlubang-lubang dan tidak sekata menambah penggunaan minyak sebanyak 30%.

  • Pilih jalan yang jauh sedikit, rata dan cantik daripada dekat tetapi berbukit, kasar dan sibuk.
  • Cuba pilih tempat parking kereta anda paling hampir dengan pintu masuk bangunan yang ingin dituju.

ANGGAR SITUASI PERJALANAN

  • Cuba jarak kenderaan anda sekurang-kurangnya 2-3 kereta supaya anda tidak perlu kerap berhenti sekiranya kereta depan menekan brek.
  • Brek secara kerap menyebabkan kereta menjadi perlahan. Minyak lebih banyak digunakan untuk memulakan kembali perjalanan.
  • Minyak digunakan 6x lebih banyak untuk memulakan perjalan semula selepas kereta berhenti betul (keadaan pegun) daripada menekan minyak daripada kereta yang masih bergerak perlahan.

ELAKKAN MENUNGGU

  • Sekiranya anda terpaksa menunggu seseorang di dalam kereta, matikan enjin.
  • Lebih murah untuk menghidupkan semula enjin daripada menunggu 1 minit di dalam kenderaan dengan enjin yang masih hidup.

ELAKKAN RINTANGAN ANGIN

  • Kereta yang dicipta dengan aero dinamik lebih lancar dan kurang rintangan angin. Oleh sebab itu ia lebih jimat.
  • Untuk mengurangkan rintangan angin, sentiasa memandu dengan menutup tingkap sekiranya halaju melebihi 60 km/jam.
  • Jangan membawa barangan terlalu berat. Berat melebihi 45 kg akan menggunakan minyak 1% lebih daripada biasa.
Ini adalah tips daripada buku yang saya baca yang saya kira agak praktikal. Saya dah mencuba dan nampak ada kesannya. Mungkin anda boleh cuba dan kongsi kejayaan anda bersama-sama saya...

P/s Pssst... saya ada baca satu tips daripada surat khabar... Ia tulis.. kalau nak kurangkan penggunaan minyak.. selalu-selalu lah langgar lampu merah.. hehe :) .. Bukan saya cakap yer.. surat khabar tuh yang tulis... :)

Wednesday, November 21, 2007

RM 5.4 bilion Untuk Dibakar..Hangus...

Assalamualaikum Warahmatullah,



Ini adalah petikan daripada Utusan Malaysia hari ini, di muka hadapan 21 November 2007:-


KUALA LUMPUR 20 Nov. –
Tiga juta rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM15 juta sehari bagi membeli rokok, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon. Beliau berkata, angka yang dibelanjakan itu dijangka terus meningkat berikutan semakin ramai remaja mula merokok.Mengikut statistik Bahagian Kawalan Penyakit kementerian itu, jumlah perokok di Malaysia diramal meningkat kepada 3.8 juta orang pada tahun 2015 dan lebih empat juta menjelang 2020.

Menurutnya, peningkatan jumlah perokok itu menyebabkan lebih 10,000 kes kematian di kalangan perokok direkodkan setiap tahun.

‘‘Mereka yang meninggal dunia menyebabkan keluarga kehilangan punca pendapatan sementara yang berpenyakit kronik seperti strok akan terus melibatkan kos rawatan yang tinggi,’’ katanya.

Banyak perkara boleh dilaksanakan dengan RM 15 juta yang dihanguskan oleh 3 juta perokok Malaysia di dalam masa sehari. Itu adalah RM 450 juta sebulan dan 5.4 billion setahun.


Apa yang boleh dilakukan dengan RM 450 juta sebulan atau 5.4 billion setahun?
Kos untuk menghantar Angkasawan Negara kita ialah hampir RM 100 juta. Maknanya kita boleh menghantar 4 orang Angkasawan Negara di dalam masa sebulan atau 48 orang Angkasawan setahun! Lebih hebat daripada orang Russia dan Amerika.


Sekiranya harga sebuah rumah kos rendah adalah sebanyak RM 42,000 sekarang, bermakna kita boleh menyediakan 10,000 buah rumah kos rendah untuk pembangunan rakyat termiskin dalam masa sebulan dan 120,000 buah rumah setahun secara PERCUMA!


Sekiranya kita memberi bantuan kemiskinan sebanyak RM 800.00 sekeluarga, kita boleh membantu 5000 warga miskin tegar selama 10 tahun akan datang tanpa gagal! Mungkin menghapuskan status miskin tegar yang dihajat-hajatkan selama-lamanya.


Sekiranya sebuah hospital canggih di bina dan di uruskan dengan nilai RM 220 juta sebuah, ini bermakna kita boleh membina lebih daripada 24 buah hospital setahun di seluruh Malaysia!

Dengan 5.4 bilion setahun...

Subsidi minyak boleh diteruskan...

Kos rawatan di Hospital diberikan percuma...

Kemiskinan dapat dikurangkan...

Semua tol boleh dihapuskan...

Kita dapat melihat pembaziran ini. Kenapa para perokok tidak?

Tuesday, November 20, 2007

Kejar Hutang Sampai ke Lubang Kubur


Assalamualaikum...

Gambar ini dikirim ke dalam email saya oleh sahabat saya seorang hamba Allah bernama Hamdy. Beliau mengambil gambar ini ketika melawat kubur. Menurutnya tapak perkuburan itu di Lembah Keramat belakang Stesen Minyak Petronas.

Gambar ini menunjukkan batu nisan yang disalut plastik yang tertulis arahan untuk menghubungi si penulis termasuk kad bisnes yang disertakan sekali di dalam plastik itu. Tujuannya untuk memberitahu keluarga si mati menyelesaikan urusan tertentu seperti hutang dengan si pengutang.

Apapun ini lah yang dikatakan orang kita - "Mengejar hutang sampai ke liang kubur".

Di dalam Surah al-Baqarah terdapat satu ayat mengenai hutang :-

"Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu`amalah tidak secara
tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar. Dan janganlah penulis enggan menuliskannya sebagaimana Allah telah mengajarkannya, maka hendaklah ia menulis" ( Al-Baqarah : 282)


Menulis secara hitam putih beserta dengan saksi adalah amalan hutang yang di dalam Islam. Ini adalah yang terbaik supaya, masalah kemudian boleh diselesaikan dengan teratur.

Sekiranya si penghutang mahu menghalalkan hutangnya maka itu adalah lebih baik dan dianggap sedekah.

Ertiya : Dan jika (orang berutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. ( Al-Baqarah : 280 )


Oleh itu, jagalah hutang kita supaya tidak timbul masalah kemudian. Lebih baik semua hutang diceritakan kepada keluarga terdekat seperti suami atau isteri dan ditulis dan direkod dengan baik agar tidak timbul masalah di kemudian hari.

Untuk pengurusan hutang yang berkesan, apakata anda lawat blog http://www.pakdi.net/ atau terus ke link ini http://www.pakdi.net/biz/category/debt-management/.


Wallahu A'lam.

Thursday, November 8, 2007

AKU TIDAK MAHU BANKRAP!!

Assalamualaikum...

Pada tahun 1998, kes bankrap telah dilaporkan di Malaysia sebanyak 8,110. Semenjak itu, ia semakin meningkat setiap tahun.


Di dalam tahun 2005, 8% daripada 16,000 kes bankrap melibatkan mereka yang berumur di bawah 30 tahun. Daripada sumber Persatuan Pengguna Pulau Pinang, mereka yang masih muda ini bankrap antaranya disebabkan oleh hutang kredit kad, tidak dapat membayar hutang pinjaman dan rugi di dalam pasaran saham.

Manakala pada 2006, terdapat 13,596 kes bankrap telah difailkan. 1,656 atau 12.2 peratus disebabkan hutang kad kredit.


Amat mendukacitakan dan merisaukan kerana peningkatan kes bankrap juga terjadi di kalangan kita sekiranya tidak berhati-hati. Dengan mudahnya mendapat kemudahan kad kredit dan skim pembayaran mudah di pasaraya dan gedung jualan tidak mustahil kita boleh terperangkap dengan masalah ini.
Untuk memudahkan lagi pemahaman kita tentang permasalahan ini, artikel ini ditulis untuk menambahkan pengetahuan tentang bankrap. Ia adalah dipermudahkan kerana saya tidak mahir di dalam bahasa guaman. Sekiranya ada kesilapan sila betulkan di ruangan komen.



APA ITU BANKRAP?


Apabila anda mempunyai hutang yang melebihi kemampuan anda untuk membayarnya.
Secara mudahnya jumlah hutang yang tidak boleh dibayar sekurang-kurangnya berjumlah RM 30,000.


Mahkamah akan mengisytiharkan bankrap dan akan menugaskan Ketua Pengarah Insolvensi untuk menguruskan aset dan hutang-hutang si bankrap.


APA YANG TERJADI KEPADA SI BANKRAP?

Sekiranya anda Bankrap, anda terhalang untuk:-
  1. Tidak boleh membuka akaun termasuk akaun simpanan
  2. Tidak boleh memegang jawatan awam - seperti ahli majistret atau ahli majlis perbandaran
  3. Tidak boleh membawa kes ke mahkamah kecuali dengan izin Ketua Pengarah Insolvensi (DG)
  4. Tidak boleh keluar negara kecuali dengan izin DG atau Mahkamah
  5. Tidak boleh menjadi Pengarah Syarikat atau pengurus syarikat termasuk syarikat kepunyaan isteri atau saudara terdekat.
  6. Tidak boleh menjadi ahli atau bekerja di badan berdaftar
  7. Tidak boleh menjual rumah atau aset-aset besar yang lain.
BOLEHKAH SESEORANG MEMOHON BANKRAP SECARA SUKARELA?

Boleh. Sekiranya seseorang itu memohon untuk diisytiharkan bankrap, tiada lagi penghutang akan mencarinya kerana ia telah dilindungi oleh Mahkamah dari si pemiutang. Pemiutang tidak boleh mengambil tindakan mahkamah ke atas si penghutang dan asetnya. Walau bagaimanapun si Bankrap tidak dilindungi daripada tuduhan jenayah.

APAKAH TUGAS KETUA PENGARAH INSOLVENSI?

Ketua Pengarah Insolvensi akan menguruskan kewangan mereka yang telah bankrap. Dia akan memeriksa harta dan kemampuan kewangan si Bankrap dan akan mengambil langkah-langkah untuk menjual harta untuk membayar hutang.

BERAPA LAMA BANKRAP AKAN BERAKHIR?

Apabila orang yang Bankrap membayar hutangnya dengan cara keseluruhan ataupun berjadual yang dipersetujui oleh si pemiutang, maka dia boleh memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkannya daripada senarai bankrap.

Ketua Pengarah Insolvensi juga boleh mengeluarkan seseorang daripada bankrap setelah 5 tahun diisytiharkan bankrap mengikut budi bicara. Walaupun begitu, si pemiutang boleh membangkang tujuan tersebut dengan notis dan sebab-sebab mereka yang tertentu ditujukan kepada ketua pengarah.


WALLAHU A'LAM

Thursday, October 25, 2007

Soalan Tentang No Money Down

Assalamualaikum,

Email ini dihantar oleh kenalan di dalam blog yang bernama Anis. Saya kongsikan jawapan saya dengan anda. Untuk lebih memahami boleh rujuk artikel saya iaitu "No Money Down". Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan ada kemahiran dan pengalaman samada professional ataupun tidak di dalam bidang yang ditanya oleh sahabat kita ni, minta tolong sumbangan ikhlas idea anda sekali di dalam ruangan komen. Terima kasih.

hye dr,

i ada baca ur blog pasal "no money down"..u state that u deal dgn pemaju dan mark-up harga jualan up to 10% kan? so u akan dpt 100% loan...camne deal u dgn bank? dlm S&P, camne harga jualan? kalau buat camtu, effect tak tuk monthly payment? sbb harga jualan dh naik 10% kan...lawyer fee plak camne? please explain.. plan nak beli rumah dgn cara camtu..tp xpandai la..tolong ajar..huhu

Jawapan saya:-

Ok.. 1st skali, tak semua pemaju yang boleh kita nego dengan harga cam tuh. Rumah yang saya beli dengan nego naikkan 10% tuh adalah rumah yang telah ditolak pembeli sebab tak dapat pinjaman bank. Pemajunya terkenal iaitu *** Development. So pemaju nak jual cepat, dan dia setuju dengan cadangan saya. Kadangkala, pemaju nih ada panel bank mereka tersendiri. Contohnya *** ni rapat dengan *** Bank, so kalau dia putar-putar sikit, mungkin panel bank boleh tolong.... Pada kebiasaannya, pemaju yang tak terdesak takkan buat cam tuh sebab akan membahayakan reputasinya. Takut panel bank diorang akan blacklist. Antara lain juga, ada pemaju yang nak jual unitnya sangat2 sebab lokasi yang tak bagus atau sales yang terlampau rendah juga sanggup nego dengan cara ini asalkan boleh jual unit, so hati-hati.

2nd - Kalau beli di atas tangan, kita kena cari rumah yang di bawah market value. Saya ada beli rumah yang dinilai bank dengan RM 240,000 pada harga pasaran, Harga offer kepada saya oleh penjual iialah RM 220,000... tapi Alhamdulillah, saya berjaya nego ke harga RM 200,000 kerana penjual tuh orang Singapore dan tak tahu harga pasaran. Tapi atas S&P letak harga RM 220,000... So ada RM20,000 untuk cover cost 10%. Dengan syarat penjual setuju. Bila buat pinjaman bank dapat 200,000 (90% daripada 220k).. So, itu sebenarnya secara realiti adalah 100% pinjaman sebab sebenarnya harga rumah tuh 200k.

Saya dah beli 2 buah rumah dengan cara ini dan saya sangat suka cara ke 2 ini. :)

Regarding pembayaran pula - Ok, kalau ikut contoh di atas, 220,000 adalah di atas S&P. Dan loan di bank adalah RM 200,000.... So pinjaman kita ke bank cuma RM 200,000 sahaja. Tetapi urusan jual beli kita seperti lawyer fee dan stamp duty adalah merujuk kepada harga S&P iaitu RM 220,000. So, kenalah bayar extra sikit... apalah sangat extra RM 200-300 kalau nak dibanding kita tak payah keluar RM 20,000 ye dak... Untuk interest, lawyer fee untuk loan (Bank punya lawyer), bayaran bulanan pinjaman adalah hanya tertakluk kepada jumlah pinjaman iaitu RM 200,000 sahaja...

Wang kita sebenarnya banyak habis ke Lawyer fee dan Duty Stamp. Anggarannya bergantung kepada harga rumah. Biasanya untuk stamp duty- 1st RM 100,000 kena 1%, next 200,000 kena 2%. So rumah yang berharga RM 200,000 kena bayar stamp duty dalam RM 3000. Campur lawyer fee, habislah RM 2000 lagi... Kalau campur dengan pinjaman dari loan bank kena bayar lagi lawyer fee depa... so... siap-siaplah RM 10,000 extra...

Tuh sebab kalau nak beli rumah jangan ready 10% je.. Kalau ada 15% sedap lah sikit... itupun kalau bank bagi pinjaman 90%.... Kalau bank bagi pinjaman 85% jer?

Wallahu A'lam

Tuesday, October 2, 2007

CERITA PENIAGA UNTA

"Pada hari ini saya sangat-sangat bernasib baik", kata seorang pemuda.
"Saya terjumpa sebuah dompet yang berisi wang sebanyak RM 2000.00!"
"Oleh kerana tiada siapa yang mengaku tuan punya dompet ini, saya pun mengambilnya".
"Saya amat berharap agar saya sentiasa bernasib baik dan mendapat wang terpijak ini lagi", kata pemuda itu lagi.

Pengalaman yang pemuda ini lalui mungkin boleh berlaku kepada diri anda. Ini mungkin dipanggil "nasib baik" oleh seseorang. Tetapi cuba beritahu kepada saya, sepanjang anda hidup selama 30, 40, 50 tahun... berapa kalikah anda pernah terpijak duit seperti ini? Sekali? Dua kali? Mungkin tidak lebih dari 3 kali... Jarang-jarang bukan?

Orang yang sentiasa mengharapkan "nasib baik" ini, paling ramai berkumpul di meja judi. Mereka akan sentiasa mengharapkan nasib mereka akan baik setelah kalah judi. Apabila menang pula, mereka akan mengharapkan nasib baik akan mendampingi mereka sentiasa dan semakin berani menawarkan wang taruhan yang lebih banyak setiap kali sehingga ramai yang tergadai harta mereka serta maruah keluarga.

Apabila seseorang manusia berusaha dengan tulang empat kerat dan keringatnya, contohnya di dalam pekerjaan atau perniagaan, maka Allah akan memberi keuntungan kepadanya dengan bentuk sumber rezeki yang melimpah. Adakalanya dia mengalami kerugian sesekali akibat kurang pengalaman ataupun keadaan pasaran atau suasana ekonomi yang berubah. Tetapi secara kebiasaannya, keuntungan boleh diperolehi pada bila-bila masa sekiranya berusaha, atau kata lain, keuntungan biasanya berpihak kepadanya.
Ini juga sebenarnya adalah "nasib baik", tetapi nasib baik ketika melaksanakan pekerjaan atau perniagaan tidak begitu diambil peduli. Adakah mendapatkan tender berjuta ringgit itu tidak merupakan satu "nasib baik" setelah banyak kali gagal? Adakah seorang pelabur hartanah mendapat sebuah rumah dengan harga 20% di bawah pasaran tidak bernasib baik setelah meninjau 500 unit hartanah? Percayalah bahawa Allah mengurniakan "nasib baik" kepada mereka yang cekal berusaha tanpa patah semangat.

Berbeza dengan meja judi. Telah menjadi lumrah, mereka yang berjudi akan kalah kerana sistem perjudian itu sendiri adalah memihak kepada "dealer"atau "banker". Dalam 10 kali bermain, maka mungkin menang 1-2 kali. Atau mungkin tidak menang langsung. Ini adalah satu kenyataan kerana cuba anda bertanya kepada mereka yang pernah berjudi... Pernahkah anda mendengar seorang "tycoon" apa-apa bangsa sekali pun yang pernah jadi billionaires dengan berjudi? Tetapi tuan punya kasino yang kaya-raya memang ramai di dunia ini. Sekiranya ada yang jadi kaya dengan berjudi, percayalah nasib baik yang ada padanya tidak akan kekal lama.

Tuan dan Puan, adakalanya nasib baik boleh datang kepada anda di dalam masa yang begitu singkat. Ia datang dengan begitu singkat sehingga kadang kala anda tidak tahu ia adalah satu nasib baik yang menghampiri anda. Ia datang di dalam bentuk peluang...

Seorang peniaga unta di sebuah padang pasir mencari haiwan untuk dibeli secara borong dan dijual. Setelah sepuluh hari mencari dan mencari, beliau tidak juga berjumpa dan berhasrat untuk pulang dengan hati yang sedih. Setelah tiba di sebuah kota yang ditutup dengan pagar kerana lewat malam, beliau pun berehat dan mendirikan khemah untuk bermalam di situ dengan harapan dapat memasuki kota tersebut pada keesokan pagi setelah pagar itu dibuka.

Ketika berehat pada malam itu, seorang saudagar lelaki di khemah berhampiran menegurnya.

Saudagar tersebut dengan rasa sedih memberitahu bahawa beliau terpaksa pulang ke kampung halaman setelah mendapat khabar bahawa isterinya sakit. Oleh hal yang demikian, beliau berhasrat untuk menjual 100 ekor kambingnya dengan potongan 50% harga kerana mahu bergegas pulang. Peniaga Unta tadi gembira kerana mendapat tawaran durian runtuh. Sekurang-kurangnya tak dapat unta, kambing pun jadi la..

Walaupun begitu, satu masalah telah timbul. Oleh kerana terlalu gelap, peniaga unta itu sukar untuk mengira jumlah bilangan kambing yang ingin dibelinya. Saudagar kambing itu merayu agar peniaga unta tersebut membayar wang 50% tersebut dan mengira 100 ekor kambing keesokan harinya bersama-sama hamba saudagar kambing yang ditinggalkan bersamanya. Peniaga unta itu tetap dengan pendiriannya supaya dia tidak akan membayar 50% sehingga kambing-kambing itu dikira.

Pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi, setelah pintu kota dibuka, peniaga unta tersebut melihat berpusu-pusu orang menghampiri khemah saudagar kambing. Rupa-rupanya, kota tersebut sedang menghadapi masalah keputusan makanan dan daging. 100 ekor kambing itu telah dibeli dengan sekelip mata dengan harga 3 kali ganda harga pasaran! Saudagar kambing itu gembira kerana mendapat nasib yang baik. Peniaga unta itu pula hanya melopong mengenangkan nasib baiknya yang baru terlepas dari genggaman.

Moral daripada cerita ini :

1. Nasib baik datang kepada kita di dalam bentuk peluang yang boleh direbut. Ia tidak datang ketika kita berpeluk tubuh dan mengharapkan sesuatu yang baik menimpa kita ketika kita berjalan di waktu pagi. Pelabur di dalam bidang hartanah akan mencari beratus-ratus hartanah, menilainya sebelum memilih satu yang terbaik. Di dalam 300 buah hartanah pasti ada satu yang bernasib baik yang dipanggil "property of the year".

2. Kadang kala nasib baik datang menjenguk di dalam kes peniaga unta itu tadi. Beliau sepatutnya membayar deposit sebanyak 10% atau 20% untuk memastikan bahawa kambing itu akan menjadi miliknya. Menolak peluang yang ada boleh merugikan diri sendiri.

Ulasan daripada buku "The Richest Man in Babylon" karya George S. Clason.

Wallahu Alam.



Monday, October 1, 2007

Jihad Ekonomi - satu tuntutan

Assalamualaikum Warahmatullah...

Semoga semua pembaca blog saya mendapat Rahmat yang tidak terhingga daripadaNya di bulan yang penuh berkah. Terima kasih kerana sudi melawat blog saya ini. Catatan pengunjung pada minggu yang lepas menunjukkan angka 271 orang. Tertinggi sejak blog ini mula ditulis. Diharapkan ia akan terus berkekalan InsyaAllah.

Alhamdulillah, jualan kuih raya juga memberansangkan. Masih ada lagi tempahan-tempahan last minute yang diterima walaupun kami sedang mengejar untuk menyiapkan beberapa order di dalam minggu ini dan minggu-minggu terakhir puasa. Terima kasih di atas tempahan-tempahan anda. Allah jua yang membalasnya.

Segala kesyukuran kepadanya kerana pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini saya diperkenalkan oleh seorang Ustaz yang bernama Ustaz Syakir baru-baru ini ketika menghadiri Usrah bulanan ABIM dan Iftar Biro Kesihatan ABIM. Beliau masih muda di dalam lingkungan 40-an merupakan lulusan dari Universiti Al-Azhar dan menyambung pelajaran di United Kingdom di dalam pengajian Islam. Beliau memulakan perniagaan ketika belajar di UK di dalam bidang elektrik dan elektrik gadget supply. Beliau kemudian mengambil Master in Business Admin. Setelah 15 tahun di dalam bisness beliau sekarang mempunyai 2 buah kilang dan sebuah pejabat bertempat di Putrajaya. Pekerja beliau seramai 58 orang semuanya.

Walaupun seorang Ustaz beliau mempunyai pemikiran yang berbeza dan kesungguhan di dalam perniagaan yang boleh menjadi contoh kepada umat Islam yang lain. Saya ingin jadikan beliau sebagai Mentor saya.

Antara kata-kata beliau ialah menjadikan ekonomi sebagai salah satu cabang jihad. Bahawa Rasulullah menyebarkan Islam ketika beliau merupakan seorang peniaga, Isterinya peniaga dan 7 daripada 10 sahabat rapat beliau adalah peniaga. Besarnya pengaruh perniagaan di dalam Islam sehingga Allah meletakkan tanggungjawab yang berat ke atas peniaga, iaitu peniaga yang jujur akan berada di bawah lindungan Allah di dalam syurga dan peniaga yang mengurangkan timbangannya akan masuk neraka. Allah meletakkan para peniaga yang jujur sama tarafnya dengan orang-orang soleh dan para-para pemimpin.

Ustaz juga ada menyatakan bahawa Prinsip Muamalah merupakan cabang yang sangat besar di dalam sistem Islam. Ini menunjukkan bahawa ekonomi dan perniagaan diberi satu kelebihan dan penekanan yang sangat besar di dalam Islam. Sistem Muamalah yang tersusun tidak ada disentuh dan diperakui oleh agama-agama samawi yang lain iaitu yahudi dan nasrani. Lihat sahaja Perbankan Islam sekarang ini tumbuh bak cendawan di serata dunia.

Beliau juga ada menyentuh mengenai pemikiran anak-anak melayu yang baru keluar dari kepompong universiti kepada masyarakat. Kebanyakan dari mereka yang pertama bukan sahaja memilih kerja, tetapi memilih untuk bekerja di syarikat yang lebih besar seperti GE, Petronas, TNB dan lain-lain lagi walaupun ditawarkan gaji yang sama baik. Ini menyebabkan turn over untuk pekerjaan sangat tinggi dan proses pengembangan syarikat menjadi lebih sukar kerana terpaksa melatih pekerja baru.

Dari segi mengambil pekerja baru pula, kebanyakan lulusan universiti daripada kaum bumiputera tidak mempunyai kecekapan, iltizam dan kemahiran yang "outstanding" berbanding dengan lulusan kaum cina. Sebagai contoh, apabila diperhatikan, ada di antara mereka yang mengeluh kerana terpaksa mengisi beberapa helai borang ketika memohon kerja. Sedangkan di dalam dunia bisness yang sebenarnya, mereka terpaksa "mengunyah" kontrak tender yang beratus-ratus helai di dalam masa beberapa jam sahaja.
Ada juga cerita menarik yang dikongsi. Menurut beliau, rezeki di dalam perniagaan ini sangat luas walaupun dengan menjual itik plastik mainan (yang dalam kolam mainan tuh). Untuk pembelian melalui tender kerajaan, syarikat dimestikan untuk berdaftar dengan e-perolehan. Apabila satu kementerian ini membuat tawaran untuk membeli 5 juta itik mainan plastik untuk diedarkan ke sekolah sekolah dan taman didikan, hanya satu-satunya syarikat yang telah mendaftar e-perolehan untuk menjual itik mainan plastik ini di Malaysia... dan ia merupakan syarikat cina. Menang tanpa bertanding! Dan marginnya RM 2.5 juta! Jual itik mainan pun dapat juta-juta..

Akhir kalam... apakata kita cuba membaca buku-buku yang boleh menambahkan ilmu kita di dlam perniagaan? Mungkin dengan membaca kita dapat melihat dimensi baru di dalam pemikiran kita yang tak pernah kita terokai.. Mungkin ia sebenarnya boleh membina keyakinan untuk berniaga. Dan mungkin juga di dalam diri kita terdapat bakat perniagaan yang masih belum dicungkil keluar tetapi akan menunjukkan dirinya suatu masa nanti. InsyaAllah.





Monday, September 24, 2007

Inflasi Oh Inflasi

Assalamualaikum...

Seperti waktu-waktu sebelum berbuka puasa seperti ramai orang, saya juga selalu ke Bazaar Ramadhan. Bukan kerana tiada orang masak di rumah, dan bukan juga kerana masakan di rumah tidak menyedapkan, tetapi dah jadi macam budaya pulak membeli kuih dan muih di Bazar Ramadhan. Kadang-kadang teringin pulak nak merasa air tebu dan air kelapa. Kuih popia goreng tuh macam memanggil-manggil.. tak sampai hati pulak kalau tak beli. Kesian kat anak dara yang jual kuih popia tuh...

Amalan saya membeli di Bazaar Ramadhan nih telah bermula sejak saya berada di Universiti beberapa tahun dulu. Mungkin masa tuh saya ada sikit duit di dalam poket untuk berbelanja. Saya tak berapa ingat pula mengunjungi Bazaar Ramadhan semasa saya kecil. Ada ke tidak budaya pasar Ramadhan ni masa tahun awal 80an dulu..

Tapi yang paling penting adalah keupayaan membeli dengan wang yang ada. Mungkin 10 tahun dulu, dengan wang RM 10, kita boleh membeli macam-macam. Beberapa tahun dulu saya masih ingat nasi ayam RM 2.50.. Air tebu RM 1.. Murtabak RM 1.. Kuih 5 biji RM 1... Sekarang harga ini mungkin terdapat di kampung-kampung sahaja.

Pada zaman sekarang, RM 10 mungkin tidak boleh membeli dengan banyaknya. Murtabak paling murah RM 2.00 sekarang. Ayam golek yang dibakar seekor yang dulunya RM 12 seekor dah jarang-jarang jumpa.. Yang ada ayam percik atau ayam bakar di potong empat dengan harga RM 6/ seketul (kira RM 24 seekor!). Mi goreng "bodoh" RM 2.00, Nasi ayam RM 3.80..

Adakalanya, harga tidak berubah. Tetapi yang berubah adalah saiz atau kualiti. Kuih 5 biji RM 1 sudah menjadi kecil saiznya. Popia 3 biji RM 1 pun dah makin kecil. Air tebu atau air kelapa semakin cair akibat dicampur dengan banyak air batu dan air gula tetapi masih mengekalkan harga RM 1- 1.50. Nasi lemak RM 1 menjadi semakin sikit.. kadang-kadang ada nasi sedikit, sambal dan telur dadar saiz 2cm x 2cmx 0.5 cm.

Ini bukan berlaku di Pasar Ramadhan sahaja. Saya adalah peminat Kentucky Fried Chicken daripada kecillagi. Saya makin perasan selain daripada harga yang semakin meningkat, ayam yang dihidang semakin kecil! (Atau saya yang makin besar!) Tapi saya perasan, sewaktu dulu kalau nak habiskan satu ketul ayam memang cukup puas kerana ayamnya lebih besar berbanding ayam goreng di rumah.

Setiap tahun pengurangan nilai ringgit berbanding nilai semasa barang yang dibeli setiap tahun disebut inflasi. Secara mudahnya inflasi adalah satu keadaan dimana nilai wang kita semakin kecil. Inflasi di Malaysia berada di takat 3%-6% setiap tahun yang bermakna nilai wang kita semakin mengecil setiap tahun pada kadar yang sama.

Ia adalah disebabkan wang yang terlalu banyak di dalam pasaran. Ini menyebabkan lebih ramai orang mempunyai wang dan mempunyai kuasa membeli yang tinggi. Apabila ini berlaku, kuasa ekonomi mula bertindak apabila pembeli lebih banyak daripada barang yang dijual, maka barang mula naik harga dan nilai wang secara relatif lebih rendah.

Rata-rata pakar ekonomi berpendapat jikalau kita mempunyai lebihan wang tetapi hanya menyimpan wang kita di dalam akaun simpanan sahaja, maka wang kita akan ditelan inflasi. Ini adalah kerana Bank memberi dividen yang tersangat rendah di dalam akaun simpanan serendah 2.8%-3% sahaja. Sekiranya inflasi mencecah 6% maka wang kita akan ditelan inflasi sebanyak 3%.

Salah satu cara kita menentang inflasi adalah dengan membeli hartanah yang naik harga. Sekiranya inflasi naik 4%, maka harga hartanah yang baik juga akan naik harga. Oleh itu, pemilikan hartanah sangat penting sebagai tembok untuk melawan inflasi.

Walaupun begitu, sekiranya berlaku deflasi, ia juga tidak baik kerana, apabila kekurangan wang di dalam pasaran, pembeli tidak mahu membeli dan menyimpan wang mereka sahaja, menyebabkan harga barangan menjadi murah, dan kerancakan ekonomi tidak berlaku. Ini juga boleh merugikan negara.

Wallahua'lam.

Wednesday, September 12, 2007

Ramadhan dan Mengubah Konteks Realiti

Assalamualaikum Warahmatullah...

Pertama-tamanya marilah kita bersama-sama menghadratkan beribu-ribu kesyukuran yang tidak terhingga kerana dipertemukan Ramadhan sekali lagi. Marilah kita bersama-sama berdoa agar Ramadhan kita kali ini lebih baik daripada Ramadhan yang sebelumnya. Dan semoga Allah memanjangkan umur kita untuk menikmati Ramadhan-ramadhan yang mendatang.

Masuknya Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan kedua saya meninggalkan tugas sebagai pegawai kerajaan di Hospital Kuala Lumpur. Pada Ramadhan yang lepas saya telah meletakkan jawatan 24 jam sebagai pegawai kerajaan. Setelah meletakkan jawatan 24 jam saya dipanggil oleh Timbalan Pengarah HKL, Dr Ghazali. Kami bersemuka di dalam biliknya dan beliau bertanya kenapa saya meletakkan jawatan 24 jam daripada kerajaan. Beliau menegaskan bahawa satu kerugian kerana meletakkan jawatan di dalam kerajaan merupakan keputusan yang tidak boleh ditarik balik. Saya akan kehilangan insentif kerajaan. Beliau mencadangkan supaya saya mengambil cuti tanpa gaji selama 6 bulan yang mana cadangan itu saya tolak dengan baik.

Beliau bertanya samada saya ada bergaduh dengan ketua jabatan pembedahan plastik ketika itu. Saya menjawab bahawa saya mempunyai hubungan yang sangat mesra dengan Ketua Jabatan iaitu Dato' Dr. Ahmad Ridzwan Arshad... Malah Dato' ARA telah menganugerahkan saya pekerja cemerlang tahun itu dan dianugerahkan wang cenderahati RM 1000.00 dan sekeping sijil oleh HKL di atas tugasan saya sebagai pegawai Akreditasi Jabatan dan Pegawai untuk ISO 9001 untuk Jabatan dan HKL.

Jika diingat kembali, saya mempunyai satu keazaman yang kuat di samping mempunyai kecenderungan untuk berani membuat keputusan yang tegas dan cepat. Ramai yang memandang bahawa saya telah membuat keputusan yang silap dan bodoh. Mungkin betul... Tetapi tuan dan puan, berani membuat keputusan dengan langkah-langkah besar seperti ini merupakan satu keberanian yang tidak ramai orang berani melakukannya. Malah ada yang bertanya adakah saya menyesal meletakkan jawatan... Jawapan saya mudah... Saya tidak akan memandang ke belakang...

Membuat keputusan adalah satu kemahiran. Di dalam peperangan, ia adalah satu alat yang sangat penting. Ia akan menentukan nyawa anak-anak buah kita terselamat atau terkorban. Malah di dalam keadaan yang sangat genting, sebuah keputusan tidak ada perkataan "betul" atau "salah". Kerana di dalam waktu itu, ketika itu, saat itu... satu keputusan perlu diambil.

Saya membuat satu keputusan yang saya mahu berniaga. Dengan meletakkan jawatan, saya mempunyai lebih banyak masa untuk mengatur strategi untuk berniaga. Siapa ingin katakan saya salah di dalam membuat keputusan? Mungkin saya membuat keputusan seperti itu adalah disebabkan semangat bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan menyebabkan saya lebih berani mempertaruhkan masa hadapan saya untuk saya masuk ke lapangan perniagaan.

Setelah setahun Ramadhan telah berlalu, perniagaan yang telah saya mulakan mula mendikit naik. Tidak ada yang besar. Saya adalah seorang strategist dan realist. Saya tahu ke mana arah saya tuju sekarang. Saya tidak mahu besar tetapi bubar. Cukuplah kecil-kecil tetapi berhasil. Saya tidak mahu buat pinjaman bank dahulu, tapi saya yakin ia akan berlaku sekiranya saya mahu melangkah setapak lagi tapi ini bukan masanya. Mungkin ia akan berlaku satu atau dua Ramadhan lagi. Saya amat yakin ketika itu, perniagaan saya akan melangkah beberapa tapak. Saya sudah membayangkannya.

Apa yang sukar di dalam kotak pemikiran kita ialah menukar konteks realiti kehidupan kita. Sesuatu yang sukar diterima apabila seorang doktor menjual roti di tepi gerai untuk mencari untung sekadar RM 200 -RM 300. Sukar untuk memikirkan seorang pakar perubatan memasuki bisnes penternakan lembu secara sepenuh masa. Sukar untuk membayangkan seorang engineer komputer boleh berhenti kerja untuk buka kedai kek. Ini adalah kerana di dalam konteks realiti kepala kita, professional tidak logik untuk membuat perkara seperti itu.

Saudara-saudari, sempena Ramadhan yang mulia ini marilah kita bersama menukar konteks realiti kehidupan kita. Kita perlu menukar pemikiran kita untuk berfikir bahawa tidak ada yang sukar untuk berjaya di dalam hidup. Di dalam masa yang sama kita perkukuhkan untuk kehidupan di akhirat.

Bagaimana untuk mengubah konteks realiti kita? Iaitu melalui ilmu dan pendidikan. Tambahkan ilmu pengetahuan dan jadikan diri kita seorang yang dahagakan ilmu. Marilah kita membaca dan membaca. Satu buku setiap dua minggu sebagai permulaan. Pilihan buku adalah milik saudara/i. InsyaAllah, konteks realiti kehidupan kita akan berubah...

Sempena Ramadhan al-Mubarak, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat berpuasa. Semoga Ramadhan kali ini penuh makna dan mendapat Rahmat dan Keberkatan dariNya. Wallahu A'lam.


Thursday, September 6, 2007

Kesederhanaan atau di Bawah Paras Sederhana?

Saya ingin hidup sederhana. Ia sesuai dengan hadis Rasulullah SAW iaitu "Sebaik-baik urusan adalah bersederhana". Walaubagaimanapun, kehidupan sederhana yang bagaimana yang boleh kita contohi di Kuala Lumpur?

Secara realiti, saya sukar membayangkan taraf ekonomi yang bagaimana dan model kehidupan yang bagaimana yang dianggap sederhana di bandar yang sibuk ini. Adakah gaji RM 2000 dianggap sederhana? Atau tinggal di rumah pangsa dianggap lebih bersederhana daripada tinggal di rumah 2 tingkat? Adakah seseorang guru yang menerima gaji RM 3,000 lebih bersederhana daripada seorang jurutera minyak yang berpendapatan RM 12,000? Atau bersederhana lebih bermaksud perbelanjaan kita yang terkawal melebihi pendapatan? Apakah definisi kesederhanaan anda? Siapakah yang meletakkan konsep kesederhanaan ini?

Bolehkah anda dikira orang yang bersederhana tetapi gaji anda sentiasa tak pernah cukup dan terpaksa meminta-minta? Adakah anda bersederhana kerana anda tinggal di Kota Kuala Lumpur, mempunyai 5 orang anak yang bersekolah dan terpaksa mengambil 2-3 kerja dalam satu-satu masa untuk meningkatkan pendapatan? Adakah anda bersederhana? Begitu sukar untuk menetukan takrif sederhana.

Adakah seseorang yang duduk di sebuah kampung pendalaman di Kedah misalnya mempunyai sebuah rumah banglo besar 7 bilik di dalam sebidang tanah yang luas, lengkap dengan tanam-tanaman dan mengalir di tanah itu satu sungai yang cantik hidup di dalam lebih besederhana berbanding dengan mereka yang tingggal di Damansara Height yang hanya mempunyai banglo 5 bilik dengan keluasan tanah sekadar 6000 kaki persegi sahaja?


Apakata sekiranya saya ingin mencadangkan satu konsep sederhana yang bersederhana. 10 cadangan saya untuk model bersederhana ialah:

1. Pendapatan saya mestilah cukup untuk membayar rumah tempat saya tinggal, sebuah atau dua buah kereta, bil-bil utiliti. Malah terdapat baki 10%-20% untuk saya simpan daripada keseluruhan pendapatan untuk tujuan hari tua dan kecemasan. Yang paling penting saya tak perlu meminta-minta.

2. Saya mempunyai simpanan pendidikan untuk anak-anak saya

3. Saya mempunyai insuran perubatan untuk saya dan keluarga

4. Saya mempunyai simpanan tunai kecemasan sebanyak RM 50,000.

5. Saya mempunyai simpanan RM 100,000 di dalam bentuk pelaburan di tabung-tabung amanah.

6. Saya mempunyai dua buah hartanah berbentuk rumah yang disewa tidak termasuk rumah yang saya duduk.

7. Saya mempunyai simpanan KWSP yang berjumlah RM 1,000,000 sebaik sahaja saya bersara pada umur 60 tahun yang boleh menjana pendapatan pasif RM 8,000 sebulan selepas bersara supaya saya tak perlu memohon bantuan kewangan daripada anak-anak saya.

8. Saya mengerjakan haji pada umur 45 tahun atau lebih awal. Saya dan isteri melaksanakan umrah setiap 3 tahun jika umur kami panjang.

9. Selepas bersara, dengan wang simpanan saya, saya boleh memberi pinjaman pendahuluan 20% untuk anak-anak saya membeli kereta atau rumah supaya mereka tidak perlu membuat pinjaman persendirian yang dikhuatiri berunsur riba. Saya boleh memberi pinjaman kepada mereka wang saya sekiranya mereka tiada duit tetapi mahu berkahwin tanpa mereka perlu membuat pinjaman persendirian di bank-bank.

10. Saya boleh membayar zakat pendapatan tanpa gagal.

Ini adalah contoh kesederhanaan yang mungkin kita boleh capai sekiranya berusaha. Tanpa usaha, usahlah bercakap tentang hidup bersederhana. Hidup tanpa meminta-minta adalah satu kesederhanaan. Adakah anda rasa hidup anda sederhana sekiranya anda perlu meminta simpati anak-anak anda ketika anda tua?

Ini juga sudah tentu bukan kaya kerana orang kaya tentu mempunyai lebih banyak harta dan rumah daripada apa yang saya cadangkan. Mempunyai 3 buah rumah adalah sesuatu yang sederhana dan kita boleh capai InsyaALlah. Kesederhanaan yang saya cadangkan ini sekadar untuk kita hidup tidak meminta-meminta ketika tua. Cukup wang untuk kita melaksanakan ibadah dan malah boleh membantu kepada mereka yang memerlukan.

Di dalam buku Sdr Azizi Ali iaitu Pesara Jutawan, perangkaan dan statistik yang dikeluarkan begitu memeranjatkan. Hampir 60% daripada pesara yang berumur 56 tahun ke atas cuma mengharapkan wang KWSP mereka yang tak melebihi RM 100,000 selepas bersara. Sekiranya dilanjutkan usia sehingga 75 tahun, mereka terpaksa mengharungi hidup sukar tanpa wang. Itu belum dikira mereka yang telah menghabiskan wang mereka di dalam sekelip mata kerana gagal di dalam perniagaan dan melabur di dalam pelaburan skim cepat kaya. Itu juga tidak dikira mereka yang tidak mencarum KWSP. Mereka ini bukan hidup secara sederhana, tetapi hidup di bawah paras sederhana!

Cuba bayangkan perkara di atas berlaku kepada anda di saat anda tidaklagi mempunyai kudrat untuk bekerja. Mari kita berusaha untuk mencapai kesederhanaan itu. Berdoalah kepada Allah agar rezeki yang kita pohon juga penuh dengan keberkatanNya.. AMIN

Monday, August 13, 2007

Alangkah Indahnya....

Assalamualaikum..

Alangkah indahnya hidup ini sekiranya saya bekerja sehari-hari bukan untuk mendapat gaji. Saya bangun pagi untuk merawat pesakit dengan niat yang ikhlas. Sebagai mengisi tanggungjawab saya. Kalau boleh saya hanya pesakit membayar kos ubat-ubatan, sewa klinik dan kos gaji pekerja sahaja. Tiada keuntungan, tiada caj perawatan... Ini menjadikan klinik saya paling murah di Kuala Lumpur. Pesakit akan datang mendapat manfaat lebih ramai.

Atau saya boleh bina sebuah hospital untuk orang ramai. Saya selaku pengarah hospital. Semua pesakit akan dicaj mengikut bayaran sekadar lepas kos ubat-ubatan dan kos penyelenggaraan hospital sahaja, termasuk gaji doktor yang bertugas. Ini menjadikan hospital saya termurah di Malaysia dan hampir menyamai hospital kerajaan.

Atau saya boleh membuka sebuah yayasan khusus untuk anak-anak yatim dan fakir miskin, saya akan menubuhkan tabung untuk membantu anak-anak ini berjaya di dalam hidup, masuk ke sekolah dan universiti dan kemudian mendapat pekerjaan untuk membantu keluarga. Harapan agar mereka boleh keluar dari kesusahan hidup dan membantu keluarga.

Atau saya boleh menubuhkan satu dana kewangan bernilai berbilion ringgit untuk membantu para-peniaga Islam untuk meningkatkan modal untuk membesarkan perniagaan, atau menyediakan dana untuk mahasiswa/i memulakan perniagaan tanpa melalui karenah birokrasi seperti sekarang.

Atau saya boleh menubuhkan dana dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji Malaysia untuk bersama-sama membantu bakal haji menunaikan haji dengan lebih selesa dan murah, memberi bantuan kewangan untuk menunaikan umrah atau haji dan meningkatkan infrastruktur jemaah haji Malaysia di sana.

Atau saya boleh bina lebih banyak masjid untuk menampung bilangan orang Islam yang bertambah di tempat-tempat seperti Bukit Bintang, Bangsar, Damansara dan Mont Kiara.

Atau saya boleh laksanakan sebuah bank Islam yang menguruskan pinjaman secara Islam untuk orang Islam mampu memiliki rumah, kereta dan harta-harta tanpa riba' dan dengan pulangan yang rendah, lebih rendah dari bank-bank konvensional supaya perbankan Islam menjadi buah mulut orang Islam dan bukan Islam.

..... Huuu... seronok kan kalau dapat berangan-angan macam ni?? .... Tak apa.. niat pun dah dapat pahala... apa nak buat.. niat sahaja lah...

Wallahu A'lam.

Tuesday, July 24, 2007

BASIC RULE NO 5 & 6 - Guide To Investing (RDPD 3)

Assalamualaikum WBT,


Dipetik daripada buku "Guide To Investing" (Rich Dad poor Dad Part 3)- Basic Rule No 5 & 6: m/s 109 - 111.


Seorang pelabur mesti bersedia apa pun situasi yang berlaku. Seorang yang bukan pelabur (non-investor) cuba untuk mengagak perkara yang akan berlaku dan bila ia akan berlaku.


"Apa maksudnya?"Saya bertanya


"Pernahkah awak mendengar seseorang pernah berkata,"Aku sepatutnya beli tanah tu untuk RM 500/ seekar 20 tahun dulu. Cuba tengok sekarang. Ada orang telah membina sebuah kompleks membeli belah betul-betul sebelah tanah itu. Sekarang ni tanah tu dah berharga RM 500,000 seekar!"


"Ya, saya pernah dengar cerita seperti banyak kali.


"Kita semua pernah mendengarnya", kata Rich Dad. "Dalam kes ini, orang itu tidak bersedia. Kebanyakan pelaburan yang akan membuatkan kita menjadi kaya sudah tersedia. Mungkin ia akan datang di dalam masa yang sangat singkat seperti sebuah jual beli di dalam perniagaan, atau di dalam masa yang lama seperti di dalam bidang hartanah.

Tetapi tidak kisah samada peluang itu terbuka dalam masa yang singkat ataupun lama, sekiranya anda tidak bersedia dengan ilmu ataupun pengalaman, ataupun dengan simpanan wang tunai, peluang itu walaupun baik akan terlepas".


"Bagaimana seseorang itu harus bersedia?",


"Anda harus fokus dan menumpukan kepada apa yang pelabur lain sedang mencari-cari. Jikalau kamu ingin melabur di dalam saham, kamu harus hadir ke kelas untuk bagaimana cara untuk memilih saham yang baik. Begitu juga di dalam bidang hartanah. Itu semua bermula dengan latihan di minda untuk tahu apa yang dicari dan bersedia untuk saat-saat apabila pelaburan itu muncul di hadapan.


Ia seperti bermain bola. Kamu bermain dan bermain, dan satu saat tiba dimana kamu terpaksa untuk membuat tendangan gol untuk kemenangan. Di saat itu ia adalah di antara kamu sudah bersedia atau tidak. Atau kamu berada di posisi yang betul atau tidak. Walaupun begitu, sekiranya anda terlepas peluang untuk menjaringkan gol, akan tiba masanya peluang itu tiba lagi. Peluang untuk pelaburan terbaik akan sentiasa tiba kepada anda sekiranya anda sentiasa bersedia.


"jadi itulah sebabnya, anda selalu ketawa sekiranya anda orang memberitahu, anda terlepas peluang itu atau peluang ini".


"Betul. Dan terlalu ramai manusia di dunia ini yang berfikir bahawa peluang untuk berjaya terlalu sedikit. Mereka mengeluh mengenai terlepas satu peluang yang besar dan memegang satu peluang dengan berfikir terlalu panjang bahawa itu satu-satulah peluang mereka dan tidak nampak peluang yang lain. Jika anda berada di dalam B atau I Quadrant (Businessman or Investor) anda mempunyai banyak masa untuk mengenali di mana peluang yang terbaik. Malah keyakinan anda yang tinggi membolehkan anda menukar peluang yang "tidak bagus" bagi seseorang kepada sebuah pelaburan yang "bagus".


......


"Dan apa maksud anda jangan buat jangkaan?"


"Ya, pernahkah anda mendengar, " Apa akan berlaku sekiranya pasaran saham jatuh?', apa yang akan berlaku terhadap pelaburan saya nanti? Itu sebabnya saya tak beli, Saya akan tunggu dan lihat!".


"Sudah banyak kali",


"Saya mendengar sudah banyak kali, apabila diberi peluang satu peluang pelaburan yang baik, mereka melarikan diri daripada pelaburan itu kerana takut. Mereka menjangkakan tentang kegagalan satu pelaburan yang akan mereka alami. Mereka akan mengeluarkan perkataan-perkataan negatif dan tidak melabur... ataupun mereka jual ketika sepatutnya mereka tidak jual, atau mereka beli ketika tidak sepatutnya mereka beli berdasarkan jangkaan emosi mereka."

"Ini semua boleh dihindarkan berdasarkan pengalaman, ilmu dan sedikit persediaan. "
......


"Bagaimana saya nak melabur tanpa wang?"


"Jika kamu sudah bersedia dari sudut ilmu dan pengalaman, dan anda terjumpa satu peluang pelaburan yang baik duit akan datang kepada anda, atau anda akan berjaya mendapatkan wang itu. Pelaburan yang baik akan menjadikan mana-mana orang menjadi "tamak". Saya tidak berniat menggunaan konotasi "tamak" sebagai satu simbol yang negatif. Ia adalah emosi manusia biasa seperti kita. Jadi apabila sesuatu pelaburan itu baik, wang akan datang sendiri kepada kita kerana minat pelabur terhadap pelaburan itu. Sekiranya pelaburan itu tidak baik, maka pelabur tidak akan tertarik dengan kita.


"Pernahkah berlaku bahawa walaupun peluang pelaburan itu sangat baik, tetapi tiada wang yang datang?"


"Ia pernah berlaku, tetapi bukan kerana peluang itu tidak menarik wang untuk datang, tetapi Orang yang mengawal peluang itu yang menyebabkan ia tidak menarik. Sekiranya orang yang mengawalnya dikeluarkan atau dialihkan, maka peluang itu kembali nampak menarik.


"Orang tidak akan bertaruh pada kereta lumba Ferari di perlumbaan F1 sekiranya pemandunya merupakan pemandu kereta biasa sahaja. "

"Di dalam pelaburan hartanah, kita selalu mendengar perkataan, "lokasi, lokasi, lokasi." Saya mempunyai fikiran yang berlainan. Di dalam pelaburan, perkataan yang paling utama ialah "orang, orang, orang!". Itu lah yang menyebabkan hartanah terbaik di atas lokasi yang terbaik juga gagal kerana ORANG yang salah menguruskannya."

"Jadi saya bersedia, saya telah buat tugasan saya, saya berpengalaman dan saya ada "track record" yang baik.Sekiranya saya dapati sesebuah pelaburan yang baik, saya dapati wang itu satu perkara yang mudah."

---- dipetik dari Guide to Investing oleh Robert T. Kiyosaki ----

...................

.....


Friday, July 20, 2007

Pinjaman Perumahan -10 tahun vs 30 tahun

Assalamualaikum...

Ramai yang tak pasti.. kalau nak membeli rumah untuk pelaburan, berapa tahun yang sebaik-baiknya untuk kita pinjam. 10 tahun? 20 tahun? 30 tahun? Pilih yang paling singkat? Atau pilih yang paling lama?

Ada beberapa faktor yang harus kita lihat:-

Yang pertama adalah TUJUAN.
Apakah tujuan anda membeli rumah? Untuk pelaburan atau untuk duduk sendiri? Sekiranya anda buat untuk pelaburan, maka lebih baik anda ambil tempoh paling lama. Sekiranya untuk duduk sendiri, sebaik-baiknya ambil tempoh paling pendek. Ini adalah kerana, untuk duduk sendiri, kita terpaksa menanggung interest rate dari bank yang keluar dari poket kita sendiri. Sedangkan untuk pelaburan, penyewa rumah kita yang amat baik hati akan membayar interest bank tersebut.



Yang kedua adalah UMUR.
Sekiranya anda masih muda seperti saya... Ya.. saya masih lagi muda walaupun rambut dah makin tak beberapa nampak... Sebaik-baiknya ambil pinjaman yang paling lama. 30 tahun adalah baik. Kenapa? nanti akan saya ceritakan. Kalau anda berumur 50 tahun.. anda tiada pilihan lain selain daripada membuat pinjaman dengan tempoh singkat ataupun mendapat bantuan daripada anak-anak untuk buat pinjaman bersama.

Ada 4 sebab besar mengapa kita perlu ambil pinjaman di dalam tempoh paling lama :-

1. Pembayaran bulanan ke Bank akan Berkurang.

Bila kita buat pinjaman dalam tempoh 30 tahun, bayaran bulanan ke bank akan menjadi sedikit. Contohnya kalau pinjaman 20 tahun, bayaran bulanan ialah RM 800/bulan tetapi kalau pinjaman 30 tahun ia akan jadi 600/bulan. Sekiranya rumah anda disewa hanya RM 600/bulan, ada tidak perlu mengeluarkan wang dari poket anda untuk membiayai rumah tersebut. Jadi cashflow anda setiap bulan tidak berkurang. Beban anda boleh ditangani sekiranya tiba-tiba sesuatu terjadi contohnya tiada sewa sebanyak 1-2 bulan. Lubang di poket anda pun tidaklah sebesar mana.


2. Boleh mendapat Cashflow untuk tujuan pelaburan yang lain.

Sekiranya terdapat lebihan sewa daripada bayaran bulanan ke Bank, contohnya rumah disewa sebanyak RM 800/bulan dan bayaran bulanan adalah RM 600/bulan, kita akan ada lebihan cashflow sebanyak RM 200/bulan. Baki RM 200/bulan boleh digunakan untuk disimpan di dalam ASB atau dilaburkan ke Mutual Fund dan menjana pendapatan lebih tinggi. Ataupun kita boleh masukkan di dalam cash reserve sekiranya terdapat masalah di kemudian hari. Atau lebihan wang boleh kita simpan untuk jadi duit deposit untuk membeli rumah yang seterusnya.



3. Boleh menghasilkan pelaburan yang lebih besar
Ini diterangkan dengan baik oleh Dr. Dolf De Roos di dalam bukunya Property Riches. Sekiranya kita mempunyai wang RM 100,000.. kita mempunyai pilihan untuk membeli sebuah rumah dengan harga RM 100,000 tunai! Ataupun kita boleh beli 5 buah rumah yang berharga RM 100,000 dengan deposit RM 20,000 (20%) setiap satu dan bakinya membuat pinjaman ke bank sebanyak RM 80,000 (80%) setiap satu untuk 30 tahun.

Andaikan setelah 20 tahun rumah tersebut naik 3x ganda... Anda akan dapati portfolio anda tumbuh seperti cendawan. Orang yang membeli cash sebanyak RM 100,000 hanya mendapat RM 300,000 nilai aset sahaja. Tetapi yang meminjam dengan tempoh maksimum akan mendapat RM 300,000 x 5 buah rumah = RM 1.5 juta. Setelah ditolak dengan baki pinjaman maka bakinya sekurang2nya tinggal RM 700,000. Atau anda boleh jual 2 rumah dan membayar hutang 3 buah rumah yang lain... Anda ada aset bernilai RM 900,000! Tu belum masuk untung sewa lagi! Ini dipanggil financial leverage. Anda boleh baca artikel saya "the concept of Leverage" di dalam artikel pilihan saya.



4. Inflasi berpihak kepada anda!

Sekiranya anda memanjangkan tempoh bayaran ke bank, inflasi akan memihak kepada anda. Macamana tuh yer... Ok lah.. Anda membeli sebuah rumah dengan bayaran RM 500 sebulan selama 30 tahun. Anda sewakan rumah anda sekarang sebanyak RM 600 (dengan cashflow positif RM 100/bulan). Sekarang memang anda rasa RM 500/sebulan tuh sangat besar... Tetapi bagaimana selepas 25 tahun akan datang? Nilai RM 500 sebulan mungkin masa tuh cuma RM 100 sebulan sahaja kerana Inflasi. Tetapi cuba teka berapa nilai sewa masa itu? Mungkin 25 tahun akan datang sewa kan naik RM 1500 sebulan?. Kenapa tidak gunakan peluang inflasi ini? Bukan shj anda mendapat untung dari sewa tiap-tiap bulan dari tahun pertama anda meminjam tetapi anda dapat untung setiap bulan selama 30 tahun!



Walau bagaimanapun, strategi yang dicanangkan adalah bergantung kepada portfolio anda masing-masing. Ada sebahagian daripada kita mahu hidup bebas dari hutang. Ada yang berani menanggung risiko. Sebaik-baiknya, segala pelaburan adalah mengikut kesesuaian masing-masing. Azizi Ali pernah menulis, mungkin membeli 5 buah rumah dalam masa setahun adalah terlalu berlebihan, tetapi siapa yang ingin menghalang anda untuk membeli 5-6 biji rumah di dalam masa 10 tahun?








Thursday, July 12, 2007

MEMBELI RUMAH DENGAN "NO MONEY DOWN"

Assalamualaikum...

Sebenarnya konsep "No Money Down" di dalam membeli rumah adalah suatu yang wujud walaupun di Malaysia ia tak begitu popular. Ia banyak diperkatakan oleh pelabur hartanah di luar negara seperti Robert G. Allen dan Dr. Dolf De Roos. Milan Doshi dan Azizi Ali juga ada menulis tentang "No Money Down" di dalam pelaburan hartanah.


KEBIASAANNYA 10% DEPOSIT DIPERLUKAN

Pada asalnya, sebelum saya membaca buku2 tentang pelaburan hartanah, saya ada terfikir, macamana nak beli rumah kalau tidak dapat menyediakan wang sebanyak 10% untuk deposit. Jikalau saya yang baru sahaja memulakan kerja, bagaimana saya ingin mengeluarkan sebanyak 10% itu kerana simpanan pun tidak sebanyak itu. Bayangkan untuk membeli rumah RM 200,000 kita perlu ada RM 20,000. Tak campur dengan bayaran peguam, duti dan sbgainya. Kalau begitu, memang susah untuk kita membeli rumah, kerana bank hanya mengeluarkan sebanyak 90% financing sahaja...

Tetapi seperti kata Robert T. Kiyosaki - "Money Dont Make You Rich" , "Financial Intelligent Makes you Rich". .. Saya mula membaca buku2 pelaburan hartanah oleh penulis dari luar negara. 6 tahun dulu, mana ada penulis tempatan yang menulis tentang pelaburan hartanah lagi... Jadi buku-buku luar negaralah yang menjadi rujukan saya. Walaubagaimanapun, manfaat nya tetap ada. Saya mula memahami konsep No Money Down dan cara2 membeli rumah tanpa menggunakan deposit.



RUMAH PERTAMA SAYA MENGGUNAKAN "NO MONEY DOWN"

Rumah pertama saya ialah Oakleaf Park Condominium di Bukit Antarabangsa. Harganya untuk dijual ketika itu ialah RM 135,000. Masa itu saya begitu bersemangat untuk membeli rumah untuk pelaburan. Ketika itu saya baru memulakan tugas sebagai seorang doktor. Saya masih belum ada kemahiran untuk membeli rumah ketika itu, bagi saya lokasi tidak penting! Yang penting ialah untuk membeli banyak rumah sebanyak mungkin. Bagi saya SEKARANG, Bukit Antarabangsa bukanlah lokasi yang menjadi pilihan saya walaupun dengan harga yang rendah.

Ketika itu, PJD Development mahu menjual unit saya dengan cepat. Ini adalah kerana keseluruhan unit telah pun dijual kecuali dua unit kosong. Harga yang saya beli adalah harga bumiputera. Saya tidak cukup kemampuan untuk mengeluarkan RM 13,500 ketika itu. Tetapi, saya telah bersekongkol dengan manager Oakleaf Park ketika itu, untuk menukar harga jualan iaitu 10% lebih dari harga asal iaitu RM 148,500. Saya menghantar permohonan ke RHB Bank dan akhirnya pinjaman 90% iaitu RM 135,000. Walaupun 90% tetapi sebenarnya Saya mendapat pinjaman 100%!! Tak ada pembayaran deposit 10%. Cuma saya kena membayar hampir RM 4000++ untuk bayaran peguam dan lain-lain.

Kini saya membayar RM 1000 sebulan kepada bank+ RM 100 untuk maintenance, dan kini unit ini disewa sebanyak RM 1200 setiap bulan.



RUMAH KEDUA MENGGUNAKAN NO MONEY DOWN

Membeli rumah menggunakan konsep No Money Down tidak semestinya tidak menggunakan deposit. Ya, jangan ingat kalau No money Down anda tak payah keluar duit langsung... itu adalah separuh betul. Kadangkala, anda harus mengeluarkan deposit dahulu. Tapi the best part is , deposit anda dipulangkan. Jadi berapa wang anda yang habis? Tiada...

Saya telah membeli sebuah hartanah 2 tahun lalu iaitu Vistana Condominium di Jalan Pahang berhadapan GHKL dan bersebelahan dengan Grand Season Hotel dan Vistana Hotel. Di hadapannya terdapat sebuah monorel dan dibelakangnya berhampiran dengan LRT Titiwangsa. IJN dan PUSRAWI juga hampir. Ketika saya terbaca iklan tersebut, harga yang diletakkan ialah RM 220,000. Saya bepeluang untuk berjumpa dengan ejen rumah tersebut seorang berketurunan india. Apabila saya mengetahui bahawa tuan rumah dari Singapura, saya pun menekan harga sehingga turun RM 200,000. Untuk pengetahuan anda, sekiranya tuan rumah dari luar negara ini kebanyakannya tidak tahu akan nilai harga pasaran propertynya. Jadi peluang sangat besar untuk tawar menawar sehingga ke takat paling rendah. Dan biasanya mereka terdesak!

Penilai bank menilai harga pasaran untuk Vistana Condominium ini untuk unit saya yang fully furnish (dah siap ada semua perabot dah!) ialah RM 240,000. RM 40,000 kurang! Betul2 bernasib baik saya nih. Saya membayar deposit sebanyak RM 20,000 kepada peguam penjual. Saya membuat pinjaman RM 220,000 dan sekali lagi bank favourite saya RHB meluluskan 90%. (Sebenarnya saya baik ngan Mr.Liew - banker kat RHB tuh... tapi sekarang dia dah pindah ke Hong Leong..sob.. sob.. ).. RM 20,000 akhirnya dipulangkan setelah tamat transaksi. ( Penjual menjual RM 200,000 tapi atas S&P tertulis RM 220,000... so baki RPGT yang dibayar oleh penjual sebanyak RM 1000++ adalah di atas tanggungan saya... ). Saya membayar bank RM 1200 sebulan dan maintenance RM 280 sebulan, saya sewakan dengan RM 1600 sebulan.



BUKANNYA TIDAK GUNA DUIT LANGSUNG

Jadi, membeli dengan no money down bukannya tanpa duit tetapi juga melibatkan pembayaran peguam, itu dan ini yang mencecah hampir RM 6000 bergantung kepada harga rumah. Walaupun begitu, wang deposit RM 10% dapat disimpan untuk kegunaan kita seterusnya.

Sebenarnya saya ada membeli rumah saya seterusnya dengan meminjam 10% daripada nenek saya... Kua..kua..kua... tapi saya tak nak cerita kat sini.. malu.... hu hu.. (Ini pun cara nak elak bayar 10% deposit tapi kena bayar kat nenek lak ngan ansuran interest free).... saya tak nak beli tapi nenek saya yang paksa.. kan dah kena pinjam duit... hehe

Nasihat saya kepada anda... anda boleh membeli rumah dengan cara di atas untuk tujuan pelaburan.. bukan untuk membeli rumah untuk tinggal sendiri. Oleh kerana terdapat pembayaran2 lain untuk membeli rumah seperti apa yang telah saya sebutkan, jadi adalah lebih baik simpanan untuk perkara-perkara lain telah cukup solid. Jika tidak anda jadi cam saya... hari-hari makan tulang buat sup.. kua kua..

Thursday, June 28, 2007

PART 3 - CASHFLOW 101 - THE CASHFLOW GAME

Artikel ini ditulis oleh Dr. Azwan untuk www.bicarajutawan.com


Pernahkah anda bermain saham dan anda kerugian lebih daripada RM 15,000 kerana tamak dan kekurangan ilmu??.

Pernahkah anda cuba untuk berniaga kerana dorongan orang lain, mengeluarkan modal yang besar sebanyak RM 12,000 daripada simpanan anda tetapi akhirnya gagal??

Pernahkah anda membeli sebuah rumah bernilai RM 140,000 dan kemudiannya anda dapati lokasi rumah itu hanya sesuai diduduki oleh golongan jin dan makhluk sepertinya sahaja??

Pernahkah anda mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam dan mengalami jantung berdebar mengenangkan masalah-masalah seperti di atas?

Mungkin anda tidak pernah. Tetapi itu adalah senario yang berlaku kepada saya. Percayalah bahawa ia bukan satu situasi yang menyenangkan. Ia adalah satu perkara yang anda mahu lupakan di dalam lipatan sejarah hidup anda. Walaupun begitu, ia menjadikan kita lebih kuat dari sebelumnya, lebih bijak dan lebih berhati-hati. Bak kata pepatah, “what cannot kill you makes you stronger”. Tetapi seramai mana yang boleh bangun semula dari kejatuhan ini. Apatah lagi jikalau kerugian yang dialami berjuta nilainya. Saya amat bernasib baik kerana diuji Allah di dalam tempoh yang masih kuat bekerja. Bagaimana mereka yang sudah tidak mampu.

Menjana pendapatan pasif daripada sumber pekerjaan sekarang bukan perkara main-main dan boleh dibuat sambil lewa. Ia memerlukan pengalaman dan ilmu kewangan yang sewajarnya. Ilmu boleh dicari daripada buku dan makalah yang sedia ada. Tetapi pengalaman yang ditimba itu juga sama peri pentingnya. Pengalaman saya adalah daripada “school of hard knocks”. Ketukan di kepala saya sangat kuat sehingga meninggalkan kesan mental yang mendalam (untuk pengetahuan anda, saya masih waras ye.. ). Saya yakin anda tidak mahu mengalami nasib yang sama.

Para cerdik pandai di dalam bidang kewangan berpendapat sekiranya anda ingin berjaya, anda mesti mempunyai seorang mentor yang sudah terbukti kejayaannya. Salah seorang multi millionaire yang terkenal dengan kisah “from rags to riches” nya ialah Robert T. Kiyosaki. Beliau juga mempunyai mentornya yang tersendiri iaitu ayah angkatnya (rich Dad).

Di dalam memudahkan proses pemahaman strategi di dalam bidang kewangan peribadi, Robert T. Kiyosaki mencipta satu simulasi yang hampir sama dengan kehidupan seharian kita yang dipanggil Cashflow 101. Di dalam simulasi Cahsflow 101 ini, kita akan didedahkan tentang kerumitan hidup dengan makan gaji, menerima “paycheck” setiap bulan dan wang yang dihabiskan untuk “doodads”. Daripada dua artikel saya di dalam siri Cashflow 101 sebelum ini iaitu “the rat race” dan “menjana pendapatan pasif”, saya percaya tentu saudara/i sudah faham dan arif tentang perkara ini.

Di dalam permainan ini, setiap orang akan menerima tugas menjadi pekerja makan gaji, samada seorang doktor yang bergaji besar dan banyak berbelanja ataupun seorang tukang sapu sampah yang bergaji sedikit. Bak kata orang, makin besar periuk makin besarlah keraknya. Anda akan mendapat penyata pendapatan anda dan penyata wang yang disimpan setiap bulan. Di dalam perjalanan anda untuk mencapai kejayaan (yang dipanggil fast track) anda akan terjumpa beberapa peluang yang menarik seperti tawaran membeli saham, membeli syarikat dan rumah apartment. Anda boleh memilih untuk menerima tawaran tersebut atau tidak berdasarkan maklumat di atas kad yang disediakan dan kemampuan anda sendiri.

Cabaran menjadi semakin sukar kerana anda mungkin terpaksa berbelanja sekiranya mendapat “doodads” yang mengikis habis simpanan anda. Anda juga mungkin dibuang kerja, dipaksa membayar sebulan gaji dan hilang giliran. Anda juga mungkin mendapat anak percuma (tak kahwin pun bleh dapat anak) yang akan mengurangkan cashflow anda. Di sinilah kebolehan dan nasib anda diuji.

Apa yang sukar di dalam permainan ini adalah untuk membina pendapatan pasif daripada pendapatan yang anda terima daripada paycheck itu tadi supaya anda boleh keluar daripada rat race. Anda dikira keluar daripada rat race untuk anda masuk ke dalam fast track sekiranya pendapatan pasif anda berjaya melebihi perbelanjaan bulanan anda walaupun dengan nilai 10 sen. Di dalam fast track anda tidak lagi hidup merana kerana anda akan menerima wang beratus-ratus ribu dollar daripada banker. Bestnya kalau betul2 berlaku…. Anda dikira menang sekiranya pendapatan pasif anda mencapai jumlah RM 50,000 sebulan atau anda berjaya membeli “impian” yang anda ingini sebelum anda jadi kaya.

Yang menarik bagi saya di dalam permainan ini ialah, di dalam kehidupan sebenar, kita amat gembira menghabiskan wang kita untuk membeli kereta besar dan komputer canggih. Kita merasakan satu keseronokan kerana mendapat toys-toys yang baru dan barang up to date. Kita amat yakin yang kita selayaknya mendapat hadiah itu di atas kesungguhan kita bekerja. Tetapi dalam permainan Cashflow ini, “doodads” adalah satu dosa. Kita seolah-olah dihukum kerana membazirkan wang kita ke arah “doodads”. Setelah habis permainan, hati saya dapat merasakan sebenarnya memang “doodads” itu satu pembaziran walaupun sebelum ini tidak. Aneh, ia melekat di dalam hati...

Saya boleh menulis berbab-bab tentang Cashflow 101 kerana saya adalah peminat buku Rich Dad Poor Dad dan semua buku karangan Robert T. Kiyosaki yang menjadi koleksi peribadi saya. Pengalaman saya bermain simulasi Cashflow 101 amat menakjubkan. Saya ingin mengesyorkan anda untuk mencuba simulasi Cashflow 101 ini sebelum anda mengambil tindakan apa-apa untuk menambah pelaburan anda atau membazirkan wang anda.

Kepada anda yang baru meneroka alam pekerjaan setelah tamat belajar di kolej atau universiti, inilah peluang anda untuk mengambil langkah pertama yang betul. Kesilapan pertama yang anda lakukan di dalam kehidupan anda berlandaskan kekurangan ilmu akan membantutkan kejayaan anda. Tingkatkan ilmu, berani ambil risiko dan teruskan berjuang.
JUMPA ANDA DI PUNCAK KEJAYAAN..….


Sila lawati www.bicarajutawan.com untuk mengetahui lebih lanjut tentang cashflow 101.

Anda juga boleh baca artikel tentang cashflow 101 di :-

+
+
+
Artikel ini ditulis oleh Dr Azwan untuk www.BicaraJutawan.com

Wednesday, June 27, 2007

PART 2 - CASHFLOW 101 - Menjana Pendapatan Pasif

Artikel ini ditulis oleh Dr. Azwan untuk www.BicaraJutawan.com

Suatu hari di dalam ceramah mingguan MLM yang saya sertai.. (saya pernah join MLM yer.. ), seorang penceramah yang berpendapatan RM 60,000 sebulan berdiri di hadapan. Beliau merupakan seorang Ustaz yang mempunyai perniagaan konsultansi untuk memberi motivasi kepada syarikat ataupun pelajar2. Beliau juga mempunyai Mercedes Brabus hadiah dari syarikat MLM dan tinggal di sebuah banglo miliknya.

" Kalau Anda Orang Kaya... anda boleh goyang kaki..... ".

" Haaa.. cuba tengok saya goyang kaki ni... nampak tak macam orang kayaaa... ", sambil menggoyang-goyangkan kakinya.. dan disambut dengan tawa hilai pendengar termasuk saya.

" Tapi kalau Anda Nak Kaya.... Anda TAK boleh goyang kaki..... ", ujarnya dengar nada yang membentak dan serius menyebabkan kami terdiam....

Ya.. Ustaz ini memang kaya. Dan apa yang Ustaz tadi ingin sampaikan kepada pendengarnya ialah jikalau kita bekerja kuat, InsyaAllah, kekayaan akan berpihak kepada kita. Kita mesti kerja kuat untuk kita menandingi bangsa lain. Itu tiada kompromi. Walaubagaimanapun, pendapatan yang kita dapati daripada jerit perih usaha kita ini dipanggil PENDAPATAN AKTIF. Apa itu pendapatan Aktif? Di dalam bahasa yang mudah, pendapatan aktif adalah sama dengan pendapatan hasil daripada kita menjual masa kita.

Sebagai contoh :- Seorang doktor swasta di klinik bekerja dengan gaji RM 35/jam. Dalam masa 7 jam Doktor tersebut akan membawa pulang RM 245.00 setiap hari dan RM 1470 seminggu (6 hari) dan RM 5880.00. Wang ini adalah hasil titik peluh doktor yang bertugas... Wang ini dipanggil pendapatan aktif. Kita menjual masa kita untuk mendapatkan wang sebanyak ini. Pendapatan aktif tidak kekal lama kerana sekiranya kita jatuh sakit, pencen, berhenti kerja dan ditimpa musibah pendapatan ini juga akan terhenti.

Pendapatan Pasif (Dan Pendapatan Portfolio) adalah berbeza dengan Pendapatan Aktif - Pendapatan pasif adalah pendapatan yang kita apabila kita goyang kaki, tidur atau melawat ke luar negara... duit akan tetap masuk ke dalam poket. Pendapatan pasif adalah definisi kekayaan yang sebenarnya. Kaya di dalam maksud mudahnya adalah tempoh berapa lama kita boleh hidup tanpa pendapatan aktif (di dalam tempoh bulan atau tahun) sekiranya suatu hari kita tidak dapat bekerja... 1 tahun? 2 tahun? atau 20 tahun? Untuk lebih memahami konsep pendapatan pasif, anda di sarankan membaca artikel saya :


"Kisah Dolah dan Mamat - The Parable of the Pipelines".. sila klik pada senarai artikel menarik saya...

Saya pernah bertanya kepada diri sediri, bagaimana mendapat duit tanpa bekerja? Mana logik? Saya juga ada bertanya kepada ramai orang termasuk adik-adik siswa dan siswazah lepasan Universiti.. Bagaimana kita boleh dapat duit walaupun kita tidak bekerja... Dan rata-rata tidak boleh menjawab soalan itu... soalan yang mudah tetapi jawapannya begitu sukar... Ini adalah kerana tidak ramai remaja, siswa dan siswazah kita dan kebanyakan orang ramai yang faham tentang pendapatan pasif ini. Mereka dididik untuk menjana pendapatan aktif sahaja. Kerja tulang empat kerat sehingga terputus nafas. Di dalam universiti tidak ada silibus tentang pendapatan pasif dan juga ia tidak diajar secara formal.

Pendapatan Pasif boleh dijana antaranya melalui :-

1. Membeli rumah dan kondo untuk disewakan ataupun dijual selepas harga naik "capital appreciation"

2. Berurus niaga saham secara pasaran terbuka, atau melalui saham amanah yang membawa pulangan setiap tahun secara dividen ataupun melalui capital appreciation.

3. Mempunyai asset perniagaan yang menjana wang setiap walaupun tanpa kehadiran anda.

4. Memegang status di dalam portfolio syarikat yang menjana wang melalui pegangan saham di dalam syarikat.

5. Melalui royalti seperti penulisan buku, penghasilan album dsbg

6. Melalui pelaburan-pelaburan lain seperti bon, deposit tetap dan sebagainya.

Ini adalah antara pendapatan yang boleh menjana wang ketika anda tidur dan goyang kaki. Di samping itu, adalah sangat penting untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak sepatutnya seperti Doodads. Membeli barangan, atau pelaburan untuk sesuatu yang susut nilai atau "depreciative" adalah sesuatu yang sepatutnya dikurangkan.

FINANCIAL FREEDOM atau kebebasan kewangan adalah sebenarnya sesuatu yang sangat bernilai. Memang benar wang bukanlah adalah segala-galanya. Bak kata Mentor saya Sdr. Azizi Ali, wang tidak boleh membeli kebahagiaan. Tetapi untuk menjadi bahagia kita memerlukan wang. Bagaimana ingin hidup bahagia sekiranya terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malah ramai pasangan yang bercerai-berai kerana masalah kewangan yang menimpa.

Menjana Pendapatan pasif bulanan melebihi beban kewangan bulanan adalah jalan menuju ke Kebebasan Kewangan. Sekiranya kita mempunyai 5 buah rumah yang disewa dengan lebihan RM 200 sebulan, kita telah menjana pendapatan pasif sebanyak RM 1000 sebulan dengan goyang kaki (bab pening kepala kita kemudian cerita).

Ada seorang jururawat berbangsa cina yang saya kenal di hospital Kuala Lumpur yang mempunyai suami yang memiliki 3 buah kedai yang disewa. Kedai pertama di Balakong disewa dengan RM 10,000 sebulan dan bayaran ke bank RM 5000 - menjadikan aliran positif RM 5000, sebuah kedai lagi mendapat pulangan positif RM 2000 dan sebuah rumah yang dibeli tetapi belum lagi disewakan. Aliran pendapatan pasif suaminya sahaja sebanyak RM 7000 sebulan! Itu yang diceritakan kepada saya sahaja. Baru-baru ni jururawat tersebut ingin membeli sebuah rumah dari developer YTL yang bernilai RM 1 juta!! Biasalah kan orang cina... Adakah bangsa lain sahaja layak untuk mendapat kenikmatan seperti ini?

Saya sebagai orang melayu tidak boleh kah? Saya juga inginkan pendapatan yang serupa. Saya tak mahu kerja teruk-teruk sehingga umur saya mencecah 55 tahun dan saya dapati saya terpaksa bekerja lagi untuk menampung perbelanjaan bulanan saya setiap bulan. Paling menakutkan ialah menjadi miskin ketika umur kita 56 tahun!!

Saya mahu pendapatan aktif saya ditukarkan kepada pendapatan pasif. bagaimana caranya??

Teruskan Membaca PART 3 - CASHFLOW 101 - THE CASHFLOW GAME



Artikel ini ditulis oleh Dr. Azwan untuk www.BicaraJutawan.com


Related Posts with Thumbnails