Tuesday, April 29, 2008

SENARAI HOTEL YANG MENDAPAT SIJIL HALAL JAKIM


UPDATED !
Saya dapat senarai tambahan daripada pemberi komen bernama HUB HALAL JAKIM yang dihantar kepada Blog Ustaz Zaharudin
---------

Saya mendapat maklumat ini daripada posting di www.Tranungkite.net yang dipos oleh bputaih di dalam ruangan komen. Senarai ini diambil oleh beliau melalui laman JAKIM.

SENARAI HOTEL YANG TELAH MENDAPAT PENGESAHAN SIJIL HALAL MALAYSIA


HOTEL SERI MALAYSIA BAGAN LALANG
LOT 979, 980, PANTAI BAGAN LALANG
SUNGAI PELEK, SEPANG
43950 SUNGAI PELEK
SELANGOR
Maklumat dapur : Main Kitchen
Tarikh Sah : 01/12/2007 - 31/12/2009


EMPRESS HOTEL SEPANG
KSB REQUIREMENTS & REST SDN BHD)
JALAN ST 1C/7, MEDAN 88
BANDAR BARU SALAK TINGGI
43900 SELANGOR DARUL EHSAN.
Maklumat dapur : Main Kitchen (Central Kitchen)
Tarikh Sah : 01/12/2007 - 31/12/2009


TIARA LABUAN HOTEL
Jalan Tanjung Batu
87007 Labuan
Maklumat Dapur : The Grill, Malay Kitchen, Chinese Kitchen
Tarikh Sah : 01/12/2007 - 31/12/2009


GRAND BLUEWAVE HOTEL SHAH ALAM
Persiaran Perbandaran Seksyen 14
40000 Shah Alam
Maklumat Dapur : Semarak Kitchen, Main Kitchen, Malay Kitchen
Tarikh Sah : 01/12/2007 - 31/12/2009


HOTEL ARMADA PETALING JAYA
Lorong Utara C, Section 52
P.O Box 691
Pejabat Pos Jalan Sultan
46200 Petaling Jaya Selangor
Maklumat Dapur : MALAY KITCHEN / DAPUR MELAYU
Tarikh Sah : 01/12/2007 - 31/12/2009


LEGEND HOTEL KL
(METROPLEX HOLDINGS SDN BHD)
TKT 33, PUTRA PLACE OFFICE TOWER
100 JALAN PUTRA
50350 KUALA LUMPUR
MAKLUMAT DAPUR :
Di Atas Brasserie / Main Kitchen, Museum Chinese Restaurant
Tarikh Sah : 01/08/2007 & nb

UiTM Hospitality Management Services Sdn Bhd
INTEKMA RESORT CONVENTION CENTRE
PERSIARAN RAJA MUDA, SEKSYEN 7
40000 SHAH ALAM SELANGOR DARUL EHSAN
Tarikh Sah : 1/12/ 2007 - 30 / 11/ 2009


Hotel Hilton
Petaling Jaya 2
JALAN BARAT
46200 PETALING JAYA
Tarikh Sah : 1 /12/ 2007 - 30 /11/ 2009

Lotus Nation Sdn Bhd
HOTEL PUTRA KL
LOT 149 SEKSYEN 87
JALAN TUN RAZAK 50050 KUALA LUMPUR
Tarikh Sah : 1 /12/ 2007 - 30 /11/ 2009

PNB Darby Park Executive Suite
(PNB Darby Cafe dan 39th Restaurant)
10 JALAN BINJAI
50450 KUALA LUMPUR
Tarikh Sah : 1 /12/ 2007 - 30 /11/ 2009

RESORT VILLA GOLF COURSE DEVELOPMENT SDN BHD
IOI RESORT
62502 PUTRAJAYA
Tarikh sah : 1/5/2008 to 30/4/2010

Ming Court Hotel (KL) Sdn Bhd
(Corus Hotel, Kuala Lumpur)
Jalan Ampang,
50450 Kuala Lumpur
Tarikh Sah : 1/2/2008 - 31/1/ 2010

THE PARAMOUNT HOTEL 3,
LORONG 9A JALAN KAMPUNG DATO
96000 SIBU SARAWAK
Tarikh Sah : 16/03/2008 - 15/03/2010


Labuan Marina Centre Sdn Bhd
(Waterfront Labuan)
NO. 1, JALAN WAWASAN
87000 W.P. LABUAN
Tarikh sah : 1 /12/ 2007 - 30 /11/ 2009




Daripada senarai di atas, jika diperhatikan tidak semua dapur yang ada status halal. Kemungkinan daripada 6 dapur, cuma dapur melayu atau cina sahaja yang halal. Ini menyebabkan kita rasa ragu-ragu adakah dapur pastri, dapur western, dapur cold dan fusion juga menghidangkan makanan yang halal. Lebih baik jikalau kesemua dapur mendapat status halal. Jika ada tambahan, boleh letakkan di ruangan komen. Saya akan update kan dari semasa ke semasa.

Salam.

Artikel saya disiarkan di www.mstar.com.my





UPDATE!

Pihak editor www.mstar.com.my telah menghubungi saya dan memohon maaf di atas kesilapan meletakkan nama Nayan Man. Nayan Man bukanlah wartawan di laman itu, dan artikel ini disiarkan melalui email yang dihantar oleh pembaca.

Salam.

---------------------------------------------------------

Assalamualaikum,

Hari ni Chef Farid telefon saya di dalam kesibukan saya pada waktu pagi bermain dengan anak-anak. Chef Farid memberitahu bahawa mstar.com.my telah menyiarkan artikel saya di dalam ruangan pendapat pembaca. Artikel tersebut ditiru oleh penghantar sebiji-sebiji tanpa ada olahan dan meletakkan nama penanya "Nayan Man" seolah-olah itu adalah artikel beliau.

Sila baca artikel saya yang disiarkan di mstar.com.my

Saya gembira sekiranya artikel ini disebarkan di seluruh ruang maya cuma jangan lah mengaku ini adalah artikel "NAYAN MAN" di situ seolah-seolah anda yang menulisnya. Ini adalah prinsip utama journalisme dan kewartawanan saya kira. Usah plagiat. Beri kredit kepada blog atau penulis yang sebenar, jika tidak mahu atau tidak tahu biarkan sahaja namanya kosong.

Terima kasih kepada PPIM yang telah membetulkan sumbernya. Respon pihak PPIM yang pantas amat saya alu-alukan dan InsyaAllah tak lama lagi akan jadi ahli PPIM.

Salam.

Monday, April 28, 2008

PPIM Tidak Beri Kredit & Komen Nazira Noran

Assalamualaikum.

Saya terkejut apabila artikel yang saya tulis minggu lalu telah diterbitkan di laman sesawang PPIM. Walaupun sedikit kecewa kerana artikel tersebut tidak meletakkan kredit kepada nama saya atau blog ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada yang menghantarnya. Tetapi yang penting ia disebarkan kepada umum.

Baca artikel yang telah saya tulis di laman web PPIM (tetapi tiada kredit kepada blog):

Saya juga amat berterima kasih kepada Sdri Nazira Noran di atas komennya tentang artikel Hidangan Restoran 5 bintang - Halal atau Haram.

Assalamualaikum..

Saya, Nazira Noran, peneraju radio24 dan mengendalikan program ini pada 130408 baru2 ini. Dan dimainkan semula pada 270408 sebab saya bercuti (jika ada yang masih dengar baru2 ini..

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang hotel mana yg dapat pengesahan halal, anda boleh layari www.muslimconsumer.org.my atau jadi ahli PPIM.

Saya tidak berkuasa untuk menyatakan hotel2 itu dalam program Bernama Radio24.

Sekian, terima kasih.

Nazira Noran,www.nazira.biz


Untuk pengetahuan Nazira Noran, saya adalah peminat Radio 24, Sebenar dan Semasa. Saya pun dah lupa bila kali terakhir saya dengar radio ERA sebab terlalu asyik dengan radio 24 ni. Maklumat yang diberikan memang menakjubkan. Mungkin Stesen radio ERA dah tak relevan lagi kepada saya.

Apapun terima kasih di atas komen. Kenapa Hotel yang Halal tidak boleh dinyatakan? Satu persoalan yang kita kena jawab... atau JAKIM kena jawab.. atau PPIM. Kenapa perlu berahsia?

Salam.

Awas Doktor Palsu!




Assalamualaikum...

Menarik kerana di dalam kosmo hari ini diperkatakan mengenai ramai doktor-doktor palsu yang terdiri daripada pemegang ijazah PhD yang membabitkan pakar motivasi dan pakar perubatan alternatif.

Ada pula doktor yang tidak diiktiraf ijazahnya bekerja di hospital swasta. Baca pautannya di sini:-


KUALA LUMPUR – Laporan Kosmo! mengenai temberang doktor falsafah (Ph.D) membabitkan pakar motivasi dan pengamal perubatan alternatif membawa pula kepada pendedahan ada doktor palsu ‘dilahirkan’ di negara ini.

Masalah itu wujud disebabkan terdapat sekurang-kurangnya 17 program pengajian perubatan tidak diiktiraf dengan graduannya ada yang bekerja di hospital swasta.


Ia didedahkan oleh tokoh akademik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim yang memberitahu dia sendiri menerima laporan berhubung penipuan tersebut dari seorang rakannya, seorang pakar dalam bidang perubatan terkenal.


Kelahiran doktor-doktor falsafah palsu di dalam bidang perubatan alternatif itu saya kira bukan masalah yang besar walaupun pada hakikatnya mereka menipu orang ramai menggunakan topeng PhD mereka. Ini kerana mereka kebanyakannya tidak memberi prekripsi ubat di yang terdiri daripada racun berjadual. Malahan mereka mempunyai produk-produk yang mereka "cipta" sendiri yang kadang-kadang itu lebih "popular" daripada ubat-ubat yang sedia ada di hospital. Kadangkala ubat-ubat "ciptaan" mereka ini memenuhi ruang iklan surat khabar dan menjadi masyhur seantero Malaysia dengan janji penawar 1001 macam penyakit.

Bidang motivasi yang bercambah seperti cendawan yang menjadikan bidang motivasi lubuk kekayaan. Anda perlu untuk mendapatkan gelaran "doktor" agar nama anda dikenali di bidang motivasi. Oleh itu terdapat doktor motivasi yang palsu mendapat gelaran "doktor" dengan cara menipu. Ini tidak membawa kepada keberkatan rezeki. Baca cerita ini tentang kisah pakar motivasi terkenal yang diketahui mendapat PhD palsu.

Yang lebih menakutkan adalah doktor-doktor perubatan yang tidak diiktiraf atau lebih mudah tiada lesen APC atau Annual Practicing Certificate (APC) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Doktor yang tidak diiktiraf ini sudah pasti tidak pernah mendapat pemerhatian (supervision) daripada pakar terlatih semasa di hospital. Apakah yang akan berlaku jika anda meletakkan nyawa anda di dalam tangan mereka?

Hospital swasta (atau klinik) yang berkenaan sepatutnya diambil tindakan sekeras-kerasnya, didenda dan digantung lesen agar memberi pengajaran yang sepatutnya kepada hospital swasta yang lain. Malah, kesalahan ini adalah 10 kali ganda lebih serius daripada kes Dr Basmullah yang dipenjarakan kerana tidak mempunyai lesen klinik (tanpa amaran pulak tu) tetapi merupakan doktor yang mempunyai APC yang sah dan mempunyai pekerti yang baik.


Salam.

Thursday, April 24, 2008

Pakar Cabut Tulang Ikan Kota Damansara






Assalamualaikum...

Pernahkah anda tercekik tulang ikan? Saya yakin anda semua pasti pernah. Perkataan "tercekik" itu mungkin bunyinya berlebih-lebih kerana tercekik dari segi definisinya sesuatu benda yang melekat di ruang tenggorok sehingga boleh menggangu pernafasan.

Mungkin lebih tepat "terlekat" tulang ikan? Ya... itu mungkin lebih sesuai. Apapun perkataan yang digunakan "tercekik" atau "terlekat" tulang ikan mempunyai natijah yang sama iaitu rasa tidak selesa, terganggu dan sakit pada kerongkong terutama apabila kita menelan air liur secara sedar.

Hari ini, seorang pelajar jururawat perempuan dari Kolej Mahsa datang berjumpa saya pada pukul 3 petang. Kerongkongnya terlekat tulang sudah 3 hari lamanya. Kesian dia. Nampak dari matanya (tak turun ke hati ye..) perasaan stress yang teramat.

Apabila beliau membuka mulutnya luas-luas, tulang tersebut tidak kelihatan. Satu hal tentang membuka mulut-mulut luas dan dijolok dengan kayu spatula, ia akan mengundang satu refleks dipanggil "gag" refleks atau refleks nak muntah. Itu yang menjadikan proses membuang tulang yang terlekat menjadi lebih sukar kerana tak sampai 10 saat pesakit akan terasa nak muntah dan melarikan tekaknya dari jolokan spatula.

Percubaan saya yang pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima tidak berjaya. Tulang itu terlalu dalam untuk saya lihat hanya menggunakan spatula dan lampu picit. Kegagalan itu menyebabkan saya menyuruh beliau pulang dahulu. Saya minta dia datang jam 6 petang.

Jam 6.30 petang, pelajar jururawat datang bersama kawannya. Kali ini saya sendiri telah bersedia.. jeng.. jeng.. jeng.. Percubaan seterusnya dilakukan. Kali ini saya dapati, beliau boleh merasa tulang tersebut di dalam kerongkong menggunakan jari telunjuknya. Oleh kerana beliau alah menggunakan spatula, saya menyuruhnya menekan lidahnya sendiri menggunakan jari sahaja. Malah dengan cara itu beliau boleh menunjuk dengan jelas kedudukan tulang tersebut.

Akhirnya... dengan menggunakan "crocodile forceps" (gambar), saya berjaya mengeluarkan tulang yang sepanjang 3 cm itu. Cai yuuukk! .. Wajahnya bertukar ceria dan tersengih-sengih.... Saya pula berjaya mengekalkan wajah kemachoan saya ke tahap maksima yang boleh dibanggakan isteri dan anak-anak... walaupun dalam hati.. tuhan aje yang tahu.

Nampaknya ini sudah lebih dari 8 kali mungkin saya berjaya mencabut tulang ikan dari kerongkong pesakit.

Ini juga mungkin bermakna... saya adalah pakar cabut tulang ikan yang paling handal di seluruh Kota Damansara!!... Ya, mungkin di seluruh kawasan yang bernama Damansara... and some says in Mont Kiara too... Haha..

Jikalau anda tercekik tulang ikan.. Tak kira jenis ikan.. Ikan parang, terubuk, senohong, gelama, ikan duri... jangan ragu-ragu dan jangan risau.. hubungilah saya segera.. saya bersedia berkhidmat untuk anda... !! Sayalah Pakar Cabut Tulang Ikan.. Cai yuukk...

P.s. : Ya... Anda takkan jumpa kepakaran ini di Damansara Specialist Centre...

Salam.

Wednesday, April 23, 2008

Komen Pilihan - KLCC Tiada Pengiktirafan Halal




Assalamualaikum,

Maaflah 2-3 hari ni kita bincangkan pasal artikel yang saya tulis tempoh hari iaitu samada makanan di restoran 5 bintang halal ataupun tidak. Di sini terdapat satu lagi komen menarik untuk saya terbitkan iaitu daripada seorang yang menguruskan tentang makanan di KLCC. Beliau juga telah memperbetulkan tentang fakta di dalam artikel saya iaitu - bukan 5 dapur tetapi 6 dapur di dalam restoran 5 bintang ini iaitu - Dapur Melayu, Barat, Cina, Cold, Fusion dan Pastry. Saya cuma dapat tangkap 3 sahaja. Terima kasih sekali lagi.

Tuan,

KLCC Tiada Pengiktirafan “Halal”

Saya telah diarah majikan saya untuk mengurus majlis keramaian di Dewan Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dan antara jemputannya adalah tetamu dari Timur Tengah dan Eropah. Maka saya disyorkan supaya mengatur hidangan antarabangsa halal.

Dalam urusan saya dengan pihak KLCC, saya dimaklumkan oleh pihak KLCC bahawa hanya makanan keluaran dari “Malay Kitchen” yang ada sijil halal dari JAKIM, manakala lima (5) dapur lain (barat, cina, fusion,cold dan pastry) tidak mempunyai pengiktirafan “halal”. Pada pandangan saya, lebih penting dapur selain "Malay Kitchen" lebih memerlukan pengiktirafan "halal".

Saya berhubung Pengurus KLCC, En Rizal Razali mengenainya dan beliau menegaskan bahawa KLCC tidak perlu pengiktirafan “halal” kerana KLCC adalah hakmilik Petronas yang sudah diberi kredit ISO. Itu pun adalah kenyataan yang KLCC tidak perlu memohon pensijilan “Halal”.

Untuk memperkuatkan tidak perlunya pengiktirafan itu, En Rizal menegaskan juga bahawa KLCC telah banyak kali mengadakan majlis untuk beberapa organisasi Islam tanpa sebarang pertanyaan.
Beliau yakin bahawa pembekal-pembekal KLCC semuanya mempunyai sijil Halal.

Dengan maklumat yang saya terima dari pihak KLCC, saya sedar betapa mudahnya Islam diambil kira oleh masyarakat kita. Kalau bangsa kita “cincai” apatah lagi bangsa lain.

Setelah banyak saya dengar melalui radio dan di akhbar akan perjuangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia untuk mengembalikan hak dan maruah orang orang Islam, saya majukan kepada pihak tuan untuk tindakan wajar.


from : m...



Saya bersetuju pendapat dari M.. bahawa yang paling penting bukan dapur melayu yang perlu mendapat pengiktirafan Halal tapi 5 dapur yang lainnya. Masakan tradisional melayu tidak ada di dalam menunya daging babi goreng berlada, kerabu daging babi atau masak lemak babi cili padi, ataupun meletakkan alkohol di dalam kuih lapis atau kuih tradisional yang lain. Tambahan alkohol pasti akan mengubah rasa dan originalitinya.

En Rizal Razali dari KLCC begitu yakin tentang makanan yang dihasilkan oleh dapurnya di atas jenama ISO. Bagaimana beliau kaitkan kan urusan ISO dengan Sijil Halal JAKIM, hanya beliau dapat menjawabnya. Bak kata Tokki PPIM, kalau jawapan jenis penyapu (sweeping answer) ni diberi oleh orang Islam macam En Rizal ini tadi, kalau kita berdosa sebab makan najis berat ni, sekurang-kurangnya kita boleh hadiahkan dosa kita kepada dia.

Pendedahan ini menambah keyakinan kita bahawa apa yang dikatakan oleh PPIM dan 2 orang Chef di Radio 24 dan Chef Farid bukan perkara main-main. Kita mengharapkan sekali lagi JAKIM melihat isu ini dengan lebih serius dan Kerajaan Malaysia khusus Jabatan Perdana Menteri membuka mata mereka luas-luas dan menangani masalah ini ke akar umbi. Tiada gunanya kalau kedai kecil-kecilan diambil tindakan tutup dan sebagainya sedangkan babi dan arak dihidangkan di dalam makanan secara sembunyi-sembunyi di hotel-hotel besar tanpa diambil tindakan.

Kita tidak mahu konsep Halal-Hub ini sesuatu yang dianggap kosmetik atau dasar tepek-tepek padahal dari sudut penguatkuasaannya adalah kosong dan lopong.

Tuesday, April 22, 2008

Komen Pilihan Oleh Chef Farid


Assalamualaikum,

Ini adalah komen daripada sifu saya, Chef Farid, CEO Akademi Bakeri Ria tentang artikel Hidangan Restoran 5 Bintang - Halal atau Haram. Ini adalah salah satu titik tolak kenapa beliau berkecimpung di dalam mengusahakan bakeria beliau sendiri dan akhirnya terlibat secara langsung di dalam usaha membangunkan lebih ramai usahawan melayu Islam di dalam bidang bakeri. Anda juga boleh baca artikel saya ketika saya menemubual beliau secara tidak rasmi suatu waktu dahulu.

Assalamualaikum Dr. Azwan,

Itulah dilema yang berlaku pada chef yg bekerja di hotel. Ikut pengalaman saya, ada 2 hotel yang saya dah kerja, sememangnya pendirian saya tak mahu bersubahat menghidangkan makanan yg tidak halal di dalam kek kepada pelanggan hotel.

Pernah dibaling kek oleh Executif chef kerana tak mahu masukkan Liquor dalam kek, adalah cabaran berat yang saya hadapi. Tapi pada semua chef yg ada di Malaysia, tak kira pastry chef ke, cook chef ke, ingatlah bumi ALLAH ni luas, di mana-mana sahaja boleh kita cari rezeki.

Apa yang menyedihkan JAKIM seolah-olah tutup mata tentang perkara ini. Cadangan saya, lantiklah pakar perundingan dari orang yang arif tentang sesuatu masakan untuk pengesahan halal sementera sebelum makanan itu di ke LAB untuk mengetahu secara saintifik sesuatu kandungan makanan.

Saya pernah dihubungi oleh seseorang dari PPIM tentang kek yg terdapat di cafe terkenal coz melalui rasa kek, saya dah tahu samada kek itu ada mengandungi wain atau tidak, masalahnya pada peringkat awal saya dah tahu, tapi nak buktikan secara saintifik bukan bidang saya.

Ni sekarang saya dengar pengeluaran sijil halal akan di swastakan oleh JAKIM, nampak gayanya sijil halal sekarang sudah jadi satu perniagaan pulak. Gerakkan usaha kesedaran tentang makanan yang tidak halal di hotel perlu diadakan dan disegerakan.

Suara saya kecil, tapi apabila suara saya digabungkan dengan lebih ramai lagi, ia akan menjadi gelombang seperti Tsunami. Insyaallah sahabat saya Chef Sabri akan turut sama memperjuangkan isu ini.

Semoga kita akan lebih bertanggungjawab lagi kepada UMMMAH. TQ

Chef Farid

InsyaAllah Chef Farid, kita sama-sama bawa gelombang ini ke seluruh Umat Islam di Malaysia. Seperti yang saya pernah tulis dahulu, Proses Halal oleh JAKIM adalah melalui sistem "voluntary". Hotel mana yang nak dapat sijil Halal kena minta kelulusan JAKIM dan JAKIM tidak boleh saja-saja menyerbu hotel mana-mana untuk memberi sijil halal.
Apa kata JAKIM mewujudkan sijil HARAM pula. Tulis besar-besar "HARAM MAKAN DI HOTEL INI!!". Sah orang takan datang buka puasa. Bukan kah itu lebih baik daripada berdiam diri dan membiarkan Umat Islam lain memakan makanan yang haram. Tanggungjawab JAKIM sangat berat.
Lebih baik sekiranya JAKIM dapat jawab persoalan ini. Minta JAKIM respon.
Salam.

Friday, April 18, 2008

Hidangan Restoran Hotel 5 Bintang - Halal Atau Haram?




Assalamualaikum,

Pada hari Ahad yang lepas, sekiranya anda mendengar siaran Radio 24 bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada jam 2 pm, terdapat satu wawancara yang sangat menarik di antara Pengulas Radio 24, Tokki dan 2 orang Chef.

Isu ini begitu menarik sehinggakan saya terasa rugi jika tidak mendengar celoteh mereka walaupun hanya hendak bangun ke tandas. Isu kepenggunaan kali ini ialah tentang Halal atau Tidak Halal Makanan yang Dihidangkan di Hotel 5 bintang.

Seperti yang kita maklum, waktu orang Islam berpusu-pusu untuk makan di Hotel 5 bintang ialah ketika bulan Ramadhan. Bukan sahaja individu, malah syarikat-syarikat juga menjamu pekerja-pekerja dan pelanggan masing-masing di Jamuan Berbuka Puasa di Hotel 5 bintang. Maklumlah, Setelah penat dan lapar berpuasa pada siangnya, tentulah waktu untuk berbuka itu sewajarnya diiringi dengan juadah-juadah yang lazat dan sedap.

Tetapi jangan terkejut kerana hidangan anda di Restoran 5 Bintang itu belum tentu HALAL. Apa hukumnya puasa anda sekiranya berbuka dengan makanan yang Haram?

Yang menariknya di dalam program ini, 2 orang Chef telah bersama-sama menceriakan rancangan ini. Apa kata mereka?

Salah seorang Chef memberitahu, dari pengalamannya dahulu, di dalam retoran hotel 5 bintang yang menghidangkan buffet, terdapat 5 bahagian dapur masakan (Masakan Melayu, Masakan Barat, Masakan Cina.... tak ingat lagi dua). Setiap satu dapur diketuai seorang Chef yang dipanggil Eksekutif Chef. Di dalam buffet, setiap dapur akan memasak makanan tertentu untuk buffet tersebut. Resepi-resepi untuk makanan yang dimasak daripada setiap dapur adalah hak mutlak Eksekutif Chef. Ini bermakna tiada orang lain berhak memberi komen tentang resipi yang telah ditetapkan oleh Eksekutif Chef.

Eksekutif Chef ini terdiri daripada orang yang pakar dan ahli di dalam masakannya untuk menjaga kualiti makanan yang dihasilkan (5 bintang lah katakan...). Sekiranya Dapur Masakan Melayu tentulah eksekutif Chefnya adalah seorang Melayu. Sekiranya western maka pakarnya tentulah orang dari luar negara, begitu juga masakan cina dan lain lain.

Sesetengah Chef yang mungkin berasal dari luar negara mempunyai cara memasak mereka yang tersendiri. Jika mereka sudah biasa meletakkan arak di dalam makanan di luar negara, mereka pasti akan meletakkan Arak ketika memasak di dapur sini.

Salah seorang chef berkata, ketika beliau baru memulakan kerjayanya, beliau melihat bagaimana arak dituang di dalam sup bawang (onion soup) yang dimasak di Hotel 5 bintang ini. Chef itu juga berkata, di atas ruang rak tempat memasak sup-sup, berbaris berjenis-jenis botol arak bersama-sama dengan rencah-rencah lain untuk dibuat sup. Jika tidak silap saya, bukan sup sahaja makanan yang mengandungi arak.

Selain daripada Arak, ada yang lebih menarik lagi tentang pendedahan ini. Menurut chef tersebut, terdapat dua mesin pengisar daging di dapur tempat beliau bekerja. Satu bertulis "PORK" pada papan tanda berdekatan dan satu lagi bertulis "NON-PORK". Tapi dia amat kecut perut.. bila semua orang seperti tak nampak (atau buat-buat tak nampak) sahaja papan tanda itu... Kejap yang pork dimasukkan ke mesin yang ini, sekejap yang di sana... sehinggakan, beliau terpaksa mengangkat tanah dan air untuk mencuci mesin tersebut setiap kali habis bertugas. Yang memakan masakan itu pula ialah kita.

Pada kebiasaannya, sesetengah hotel mengasingkan pinggan yang digunakan untuk menghidangkan khinzir di satu tempat yang berasingan untuk dicuci. Ini adalah kerana, pencuci pinggan dahulunya adalah di kalangan orang Islam. Tetapi menurut chef itu sekarang, pencuci pinggan adalah di kalangan orang Myanmar dan Bangladesh. Mereka bukannya tahu pinggan mana yang ada khinzir ataupun tidak. Untuk memudahkan kerja, semuanya dicampurkan sekali. Habis semuanya....

Chef itu juga ada bercerita tentang kek-kek yang dihidangkan yang mempunyai arak, contohnya tiramisu. Banyak juga dessert dan kek yang tidak halal dihidangkan.

Adakalanya, daging yang di grill, ayam-ayam atau makanan yang dibakar adalah halal. Begitu juga dengan makanan laut. Namun, Chef menasihatkan agar lebih berhati-hati dengan pelbagai sos atau pencicah yang disediakan bersama kerana ia dikhuatiri tidak halal.

Ada juga pada waktu waktu tertentu chef ini akan keluar dan melihat-lihat para pelanggan. Sekiranya beliau melihat orang Islam mendekati makanan-makanan yang tidak halal, maka dia akan mendekati mereka dan berbisik "Encik, makanan ni tidak halal...". Tapi tentulah banyak daripada masa mereka berada di dalam dapur. Jadi nasiblah kepada para pelanggan Islam yang lain sekiranya tidak sengaja menikmati makanan yang haram.

JAKIM telah memberi sijil Halal kepada 3 buah hotel sahaja tetapi sampai tamat program wawancara Radio 24 itu, saya tidak dapat menangkap nama Hotel 5 Bintang yang mana satu. D'Saji Felda telah diiktiraf Halal oleh JAKIM menurut Tokki (PPIM) cuma ia bukan nama Hotel 5 Bintang yang ingin saya dengar.

Saya berasa sangat terkesan di dalam hati apabila mendengar program ini dan pendedahan pengalaman-pengalaman daripada 2 orang Chef jemputan. Salah seorangnya kini telah menjadi Ketua Chef untuk Tabung Haji dan salah seorang lagi bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat makanan. Ia menjadi pengajaran kepada kita bahawa makanan yang nampak mahal dan sedap itu tidak semestinya memberi manfaat kepada kita.

Sekiranya anda tahu Hotel 5 Bintang yang diiktiraf Halal oleh JAKIM sila kongsikan kepada semua pembaca.

Wassalam...

Komen Pilihan - Luahan Hati Isteri Seorang Guru




Assalamualaikum,

Saya terbitkan komen pilihan oleh Puan EJ yang merupakan isteri kepada seorang guru. Untuk memudahkan pembacaan saya terpaksa tukarkan beberapa ejaan SMS beliau kepada ejaan baku. Yang asalnya ada di dalam ruangan komen artikel ini. Ada juga cadangan untuk menerbitkan satu entry khas untuk membincangkan masalah guru. Silakan.

"Saya suka baca artikel and comment doktor tentang tajuk ni.. sebab saya juga adalah isteri kepada seorang guru sekolah. Suami saya lepasan KPLI.

Terima Kasih doktor sebab tolong mendefend kan mereka yang bergelar guru.

1st time posting husband saya 6 bulan tertangguh tak dapat gaji. Bukan nak tunjuk merungut kat sini ek just nak share. Suami saya tak mrungut..sebab dia jenis sabar, tak banyak songeh.

Keluar rumah kul 6.30 am , biasanya pukul 5 baru balik ..paling lewat pukul 7 pm. Sebab meeting, latihan rumah sukan, latihan badan beruniform, latihan itulah inilah...

Weekend dalam sebulan wajib 2-3 kali sabtu ada aktiviti sekolah. Maulud nabi, gotong royong, belum lagi ada yang ada aktiviti adhoc..

Menanda kertas peperiksaan tidak dibenarkan dibuat di sekolah. Kena buat kat rumah. Belum lagi mereka dibebankan dengan tugas2 pengkeranian dan dokumentasi serta laporan. Tu pun kena buat kat rumah. Kalau jabatan lain seorang pegawai mesti ada kerani. Tak pun 3 pegawai berkongsi satu kerani. Kat sekolah guru dah lah kena mengajar, buat persediaan lagi pastu kena jadik kerani lagi. Belum lagi tugas sampingan, guru stor, guru perpustakan, penyelaras tingkatan, guru ko-kurikulum, guru bola sepak. Rehat hanya waktu makan dan solat. Tu pun kadang terkocoh kocoh mengejarkan kelas nak mula, nak meeting.

So please jangan kata guru kerja dia mengajar jer yer...banyak lagi tugas dia yang terbeban dalam seharian. Dari celik mata sampai tutup mata...tu pun tidor lewat sampai lewat malam sebab siapkan kerja. Kang tak hantar laporan kan dicop guru bermasalah lak. Kalau time cuti sekolah tu lah betul-betul waktu mereka berehat. Kasi lah mereka ruang bernafas, lihat lah perkara ini dari sudut positif. Kadang- kadang pun waktu cuti tu pun mereka sibuk, bukan boleh rehat (bak kata org makan gaji buta) kena jaga periksa PMR, SPM, STPM. Pastu kena tanda kertas lak. Kadang-kadang kena attend kursus. Sudahnya cuti tu tinggal begitu saja, serupa macam tak cuti.

Saya dan suami cuma manusia biasa. Ada tanggunjawab dan peranan sebagai masyarakat, anak, ibu bapa, dan sebagai suami isteri. Suami kalau sebelum matahari terbit dah keluar rumah dan pulang bila matahari dah nak tenggelam nak bermasyarakat apa nya. Kat rumah lak.. sebelah malam sibuk lah nak siapkan kerja sekolah. Bila lak masa utk anak dan keluarga? Sebagai isteri saya bersabar jer..walaupun kadangkala sedikit terkilan. Suami tidaklah tiap hari mengadap kerja sekolah jer, pepandailah dia manage, cuma kalau ada perkara yg urgent ni yang terpaksa lah di stay up. Kasihan tengok dia..

Saya memang menetapkan every month mesti balik kampung menjenguk orang tua selagi masih ada..itulah masa untuk menghargai mereka selagi masih ada peluang.

Saya agak terkilan, sebab kadang kala nak blik sebulan sekali pun payah..disebabkan suami perlu komitmen kepada sekolah pada petang jumaat dan hari sabtu.

Ramai yg di luar sana suka memperlekehkan tugas sebagai guru. Kalau ibu bapa sendiri dah tak hormat guru inikan pula anak murid. Cuma saya nasihatkan sebelum komen tugas orang, cermin diri sendiri dulu. Adakah sebagai ibu bapa kita sudah melaksanakan tugas dan amanah sebaiknya?

Kita cek tak buku anak2? apa ada dlm beg anak kita? buat atau tidak homework yg guru berikan. Ke mana lepas pulang sekolah? ada kita buat spot cek kat pusat tuisyen? Mungkin ada yg kata.. "eh mesti lah cek.. semak home work diorang.." Mungkin tu masa darjah 1, 2, 3. Bila tingkatan 1, 2.. mereka sudah lupa rutin tu semua.

Tahun lalu suami saya bercerita, seorang ibu berbangsa india, telah datang ke sekolah mencari suami saya. Sebab anak dia kata cikgu rotan, jadi tangan bengkak tak boleh nak tulis atau buat homework. Naif sungguh ibu ini, datang sekolah marah2. Husband saya tanya, makan boleh tak? boleh dia jawab. Eh boleh pulak.. kalau nak tulis tak boleh ini kan pula makan. Sah-sahlah menipu kan. Husband saya cakap, dah bertahun dia merotan budak2 nakal. Memanglah sakit, tapi diorang realise mistake diorang. Tidaklah jadik kes macam satu ni. Itu sebagai contoh paling simple ibu2 moden sekarang. Murid india tu memang terkenal kenakalannya di sekolah. Kat rumah dia baik lah tu, sebab mak dia tak tau. So husband saya pun story lah kisah si anak murid pada ibunya sendiri. Dah jadi sesi kaunseling lak.. terus
berderai air mata si ibu mengenangkan perangai anaknya. Si ibu kurang beri perhatian pada anak, so di sekolah dia memberontak. Siapa yang susah..guru gak kan.

Saya nak menjawab tentang membandingkan tugas lain yang lebih mencabar seperti jurutera, arkitek dan lain-lain. Perlu diingat setiap kerja itu mempunyai cabaran nya sendiri. Saya ceritakan hal sebenar teman saya sendiri. Dia adalah seorang jurutera. Bekerja di bawah sykt JEPUN (well known how they working). Dek tak larat bebanan kerja yg melampau, terpaksa overtime jer so dia decide mohon KPLI. Setelah dia jadi guru, dia rasa kesal sangat sebab lebih baik dia kerja dengan mesin dan komputer daripada berhadapan dengan kerenah anak-anak murid. Tak semua orang boleh jadik guru. Jangan perlekehkan mereka.

Seperti Dr. azwan nyatakan, profession perguruan merupakan profession paling ramai. Dah tentulah bila dah ramai tu macam2 ragamnya. Sebab bila mereka ramai, bila bersuara banyak lagi yang bersuara. Sebab tu nampak macam golongan ini banyak komplen. Cuba kalau jawatan lain ramai macam guru dah tentu sama juga halnya.

Pegawai PTD tak perlu diserap di dalam jabatan pendidikan. Cukup2 lah pegawai yang ada sekarang. Kalau nak jugak sila ambil mereka dari kalangan guru secara kenaikan pangkat. Bila orang luar yang tak ada pengalaman bidang perguruan dia akan menganggu sistem pengurusan, sebab kurang arif dengan budaya kerja bidang perguruan.

Saya juga tidak menolak bila terjadinya guru2 yang bermasalah seperti ponteng, memukul anak murid secara emosional, tidak datang mengajar, datang lewat. Bagi saya itu adalah masalah individu di mana boleh terjadi pada sesiapa saja apa pun profession mereka. Takan tak pernah dengar kes kecuaian doktor (doktor azwan jangan terasa tau!)? engineer buat design jambatan retak? Berapa ramai antara kalian perasaan yg paper ada keluarkan notis kepada mereka2 di jabatan kerajaan yang tidak datang kerja ada masalah displin. Mereka tak ramai.. so tak berapa nampak sangat lah kan.

Menjawab persoalan utama artikel Dr Azwan. Sebagai sebuah kementerian seharusnya mereka mengetengahkan formula-formula untuk pnyelesaian isu-isu yang dibangkitkan... Untuk situasi win-win. Tuntutan NUTP tu rasanya dah makan bertahun-tahun lamanya. Thats why NUTP sekarang makin agresif... sebab dah bosan kementerian buat dek jer.. Mereka yang diluar sana yang mengatakan guru asyik menyalak (ya Allah hinanya guru, patutlah anak murid banyak kurang ajar sekarang ni.. sebab mak bapak pun tak terajar) pernah kah anda tanya mereka apa masalah nya..sebenar2nya sehingga mengundang ketidak puas hatian. Contohnya lah.. seorang ibu ada dua anak, seorang dilayan bagai anak emas yang seorang lagi ala kadar jer. Mestilah yg sorang lagi sedih bila ibu tadi berlaku tidak adil. Seolah-olah diketepikan, tidak disayangi.

Tidak ada isu politik dalam ini. Guru tak ambik pusing pun tentang gosip2 beliau seperti dinyatakan. Guru2 sibuk mengajar disekolah. Tetapi kredebiliti Dato' HTHO ini sebagai menteri pelajaran diragui. Jawapan demi jawapan dari beliau mencerminkan rapuhnya pengurusan beliau sebagai Menteri Pelajaran.

Itu belum cerita bab makmal komputer terbengkalai, terbaru bumbung dewan sekolah mana entah runtuh.. Ni salah siapa ni? kementeriaan? JKR? Kontraktor? 3 tahun lalu saya ada buat lawatan ke sekolah menegah di daerah Kota Tinggi. Sekolah tu agak cantik ..tapi jauh sikit dari bandar. Di hujung bangunan saya terlihat timbunan pasir. So saya ringan mulut bertanya, nak buat building lagi ker? Entahlah.. dengar kata nak buat makmal komputer, dah bertahun tapi pasir je yang sampai. Geleng kepala saya dibuatnya bila dengarkan jawapan itu....

Kementerian Pelajaran harus lah buat satu anjakan paradigma, melihat masalah guru dengan lebih telus. Mengubah mana2 pengurusan yang sesuai. Mengkaji semula pelarasan gaji, agar tiada guru yang tertindas. Menilai semula pemberian kola kepada guru di luar bandar. Terutama yang jauh diceruk kampung, di mana nak ke pekan terdekat pun lebih kurang 60-70km. Kasihan mereka..pergi balik jer dah berapa duit minyak.

Alamak panjang pula celoteh saya kali ini. Maaf Dr. Azwan. Ini hanya luahan hati seorang isteri kepada seorang suami yang bergelar guru. "


Terima kasih Puan EJ. Guru lelaki Islam seperti suami Puan EJ mempunyai tugas lebih berat daripada guru wanita. Mereka sangat kurang di dalam bidang perguruan. Kadang-kadang terpaksa menjadi guru dispilin, ditugaskan untuk menjadi imam atau ketua program agama, mengetuai projek-projek sekolah, mengetuai program sukan dan sebagainya.
Apa yang Puan EJ luahkan ada benarnya dan diharapkan jika ada pegawai kementerian yang membacanya, diharap ia boleh menyumbang kepada memperbaik lagi organisasi Kementerian Pelajaran yang sudah sedia ada.

Wallahu Alam,

Thursday, April 17, 2008

Tahniah! Graduan Perintis Perubatan UiTM..

Assalamualaikum,



Ini adalah gambar yang saya ambil daripada sebuah blog dipanggil Qanun Fi_at Dunia yang ditulis oleh Sdr Afif.

Gambar di atas adalah gambar barisan Doktor perintis Graduan Perubatan UiTM yang baru sahaja lulus di dalam peperiksaan Professional pada awal bulan April yang lepas.

Untuk pengetahuan anda, untuk menjadi doktor, selain daripada peperiksaan bulanan dan peperiksaan akhir posting, terdapat 2 peperiksaan utama di dalam perubatan di panggil peperiksaan Professional.

Peperiksaan professional pertama adalah peperiksaan pra-klinikal iaitu peperiksaan teori yang diadakan pada tahun kedua perubatan. Peperiksaan professional kedua pula ialah peperiksaan klinikal bersama pesakit di samping peperiksaan bertulis di tahun akhir. Ini merupakan peperiksaan utama dan terakhir sebelum seseorang itu boleh digelar doktor.

Berbeza dengan bidang-bidang lain, di dalam peperiksaan professional, anda dikehendaki mengetahui segala ilmu-ilmu yang dipelajari sepanjang 5 tahun anda menjadi pelajar perubatan. Penilai peperiksaan (examiner) biasanya dijemput dari universiti-universiti lain seperti USM, UM, UKM, UNIMAS, UIAM atau Universiti dari luar negara seperti Universiti Singapura. Soalan-soalan boleh ditanya daripada soalan teori semasa anda belajar di tahun 1 sehingga soalan klinikal.

Menjadi graduan pertama perubatan menyorot semula kisah nostalgia saya dan rakan rakan yang merupakan graduan perintis Perubatan bagi Kulliyyah of Medicine, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kebiasaannya, graduan sulung perubatan mana-mana Universiti pun akan diperhatikan oleh pakar-pakar di hospital tempat mereka akan bekerja untuk menilai sejauh mana keberkesanan ko kurikulum Universiti tersebut yang diguna pakai.

Graduan sulung juga adalah satu penanda aras kepada batch-batch seterusnya untuk meningkatkan lagi kualiti dan semangat juang agar mereka juga dapat bersama-sama senior mereka di dalam arus perkhidmatan perubatan di Malaysia.

Kepada semua graduan perubatan UiTM yang lulus baru-baru ini, terutama kepada adik-adik ahli biro Kesihatan ABIM iaitu Dr Jalil dan Dr Junaidi, jangan lupa tugas anda kepada masyarakat. Ada projek Klinik Amal Biro Kesihatan sedang menanti anda sebelum anda di posting ke Hospital sebagai houseman....

TAHNIAH!!


Salam..

Wednesday, April 16, 2008

Ubat : Nak Yang Original atau Generik?



Assalamualaikum...

Ramai di kalangan pesakit tidak memberi perhatian kepada nama-nama ubat yang dimakan. Mereka lebih menumpukan kepada saiz dan bentuk ubat yang mereka makan. Apabila ditanya apakah nama antibiotik yang diberi oleh doktor sekian dan sekian, mereka akan memberitahu bahawa mereka tak pasti tapi antibiotik itu bewarna kuning dan berbentuk bulat.

Di kalangan ibu bapa juga tidak memberi perhatian kepada nama ubat yang dimakan oleh anak. Ini tidak dapat dielak kerana adakalanya nama ubat ini begitu pelik dan sukar hendak diingat.

Adakah anda kenal ubat Augmentin yang dihasilkan oleh syarikat GSK? Saya percaya ramai yang mengenalinya. Ada ibu bapa yang tak boleh hidup tanpa Augmentin. Kalau anak batuk sikit, itulah ubat yang paling utama bermain di kepala. Ia adalah sejenis antibiotik berkuasa nuklear. Tetapi adakah anda kenal Co-Amoxiclav? Ia dihasilkan oleh syarikat pharmaniaga. Untuk pengetahuan anda, ia adalah antibiotik yang sama tetapi berlainan nama. Augmentin ialah ubat original dan Co-Amoxiclav dipanggil generik.


Apakah itu Ubat Original?

Apabila sesebuah syarikat ubat menghasilkan atau menemui sejenis ubat untuk digunakan melawan sesuatu penyakit, ubat baru tersebut terpaksa menjalani fasa-fasa kajian kepada haiwan dan manusia. Ini untuk memastikan keberkesanannya dan kesan sampingannya. Proses ini mengambil masa bertahun-tahun lamanya dan melibatkan kos berjuta-juta ringgit.

Seterusnya, apabila ubat tersebut hendak dipasarkan, syarikat ini akan membuat permohonan untuk mempatenkan atau melesenkan ubat dan kandungannya supaya tiada syarikat lain boleh meniru produk tersebut. Paten ubat ini kadangkala lama sehingga mencapai 7 tahun. Contoh ubat yang masih dipatenkan ialah Sidenefil Nitrate atau nama powernya ialah "Viagra". Anda akan dapati, tiada ubat lain yang dihasilkan serupa sepertinya oleh mana-mana syarikat ubat lain. Viagra adalah ubat "original" yang dihasilkan oleh syarikat Pfizer.


Apakah itu ubat Generik?

Apabila tamat tempoh patensi seperti yang dipersetujui, syarikat-syarikat ubat lain akan menghasilkan ubat sama seperti viagra dan akan diedarkan diseluruh dunia. Ubat generik akan mempunyai kandungan Sildenefil yang serupa seperti viagra tetapi boleh mempunyai nama, warna dan bentuk yang berbeza. Ubat ini dipanggil "generik".


Kenapa Ubat Generik Lebih Murah daripada Ubat Original?

Viagra dipaten untuk mewujudkan suasana "monopoly" oleh syarikat pfizer kepada penghasilan viagra ke seluruh dunia. Dengan ini Pfizer akan menjual viagra dengan harga yang sangat tinggi. Ini berlaku kerana syarikat tersebut terpaksa mengutip kembali wang yang telah dilaburkan di dalam R&D bertahun-tahun sebelum ini.

Apabila tamat tempoh patensi, syarikat-syarikat ubat akan menghasilkan ubatyang serupa dan diedarkan ke seluruh dunia. Syarikat-syarikat ini tidak mengeluarkan pelaburan wang untuk tujuan R&D dari awal. Mereka juga tidak perlu melakukan promosi dan pengiklanan kerana produk ini telah dikenali di seluruh dunia. Oleh itu, ubat-ubat seperti ini akan dijual dengan harga yang murah kerana kos penghasilannya juga sangat rendah.


Apakah kelebihan Ubat Generik Berbanding Original?

Ubat generik dan original sepatutnya mempunyai kadar potensi yang sama kerana kandungan bahan aktifnya adalah sama. Sebelum ubat generik diedarkan, kajian keberkesanan juga akan dijalankan untuk memastikan kesannya adalah sama, kadar peresapan di dalam badan dan tahap kandungan di dalam darah adalah mengikut tempoh yang ditetapkan jika dibandingkan dengan ubat original.

Dengan kadar keberkesanan yang sama, tetapi harganya yang murah maka ramai orang boleh mendapat manfaat darinya.

Sebagai contoh, Malaysia sebelum ini dianggarkan mempunyai 50,000 hingga 60,000 orang pesakit HIV dan AIDS. Ini telah menelan kos berjuta-juta ringgit untuk membeli ubat original bagi tujuan rawatan. Namun apabila diperkenalkan kepada ubat generik dari India, ini telah mengurangkan kos rawatan.

A Health Ministry official recounted that in November 2002, the Cabinet approved a Ministry of Health proposal to import generic anti-retroviral drugs from India, using Section 84 of the Patents Act 1983 on the government’s rights to exploit a patent for public non-commercial use.

In November 2003, the Ministry of Health obtained a compulsory license from the Ministry of Domestic Trade to import from an Indian company, Cipla, generic versions of three HIV-AIDS drugs that are patented in Malaysia.

In February 2004, the Health Ministry issued a contract to import the generic drugs, which are now distributed through government hospitals and clinics.



Pertikaian Tentang Ubat Generik

Walaupun kandungan ubat generik dan ubat original adalah sama, ada juga yang berbeza pendapat. Dari segi psikologinya, orang akan menyatakan ubat yang mahal itu lebih "baik" dan "berkesan" berbanding ubat yang murah. Sebagaimana juga ada yang berpendapat bahawa ubat di "hospital kerajaan" adalah lebih rendah kualitinya berbanding "hospital swasta".

Ini adalah kerana, mungkin kebanyakan hospital swasta memberi ubat original. Tentulah caj ubatnya juga berganda-ganda dan mampu membuat anda terkena stroke atau sakit jantung sekali lagi.
Dari segi harga di klinik saya, ubat original - Norvasc 10 mg (amlodipine besylate) ubat darah tinggi yang dihasilkan oleh Syarikat Pfizer berharga RM 4.80 sebiji (!!). Manakala, Ubat generik Vamlo 10 mg (amlodipine besylate) oleh Syarikat Ranbaxy berharga RM 2.50 sebiji.

Untuk sebulan, jika anda mengambil norvasc, anda akan membelanjakan RM 144.00 sebulan atau RM 1728.00 setahun, tetapi dengan ubat generik yang sama, anda akan membelanjakan RM 75 sebulan atau RM 900.00 sahaja setahun. Setelah banyak wang dibelanjakan, akhirnya kita tetap melihat bagaimana potensi ubat ini mengawal tekanan darah tinggi pesakit. Jika sama, kenapa bayar lebih?
Walaupun begitu, terdapat kajian di sesetengah tempat di barat yang mana terdapat sejenis dua ubat generik yang tidak memberi kesan yang sama sebagai yang original. Salah satunya di North Carolina USA.


Wassalam.


Tuesday, April 15, 2008

7,000 atau 10,000 atau 40,000?



Assalamualaikum,

Ini adalah berita tentang peristiwa perhimpunan Black 14 yang dihadiri oleh DSAI malam tadi di Kelab Sultan Sulaiman.

Berita dari Yahoo (AP) menulis:-

KUALA LUMPUR, Malaysia - Police cracked down on a rally Monday aimed at celebrating opposition leader Anwar Ibrahim's formal return to politics, halting him midway through a speech to an estimated 40,000 supporters.

Anwar was making his first public speech since last month's general elections to jubilant opposition members who had gathered for a countdown until midnight, when a legal ban that prevents Anwar from holding political office expires.

The celebration came to an abrupt halt when about a dozen policemen interrupted Anwar after he had addressed the rally for nearly half an hour and forced him to stop.

Di dalam Utusan Malaysia juga ada menceritakan tentang perhimpunan tersebut:-

Anwar, 57, yang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan rasuah pada 2004 dilarang aktif semula dan menyertai mana-mana parti politik sehingga tempoh berakhir esok.

Walaupun tidak diberi permit oleh polis, kira-kira 10,000 penyokong Anwar membanjiri Kelab Sultan Sulaiman.

Bagaimanapun, perhimpunan itu bersurai secara aman setelah diarah oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman pada pukul 10.30 malam.


Ada perbezaan sebanyak 400% bilangan penyokong DSAI yang hadir daripada 2 sumber pemberitaan yang berbeza. Satu dari sumber luar dan satu lagi dari sumber arus perdana.

Di Radio 24 radio BERNAMA pagi ini, pembaca berita menyebut penyokong DSAI yang hadir seramai hanya 7000 orang sahaja iaitu perbezaan hampir 570% daripada berita AP.

Anda tentu ingin tahu mana satu yang betul. Cuba lihat gambar ini yang saya ambil dari sini.


Mungkin tak seramai 40,000... mungkin lebih daripada 10,000? Tetapi sah lebih dari 7000....

P.s. Bukan bilangan penyokong yang DSAI semalam yang menarik perhatian saya. Cuma sumber pemberitaan media negara kita ini sangat jauh jurangnya - 400% !!

Wallahu A'lam

Baru Dapat Lesen DBKL




Assalamualaikum,

Saya baru sahaja mendapat lesen dari DBKL untuk kedai telefon bimbit baru saya di kedai Taman Salak Jaya, Salak Selatan. Alhamdulillah setelah segala susah payah naik turun ibu pejabat DBKL maka selesai lah sudah urusan lesen.

Saya telah membeli 3 unit kabinet handphone dan beberapa peralatan pejabat untuk diletakkan di kedai saya.

Selepas ini saya akan memenuhkan stok, memasang banner dan mencari seorang pekerja untuk menjaga kedai. Saya juga berhasrat untuk menyewa mesin fotostat, kerana ingin memudahkan urusan masyarakat yang terpaksa pergi jauh ke pekan untuk urusan fotostat. Walaubagaimanapun, bergantung juga kepada kehendak pelanggan.

Saya sedang mencari cara untuk memasang sistem pembayaran (payment gateway) menggunakan kad kredit di kedai. Ramai pelanggan bertanya samada mereka boleh menggunakan kad kredit ataupun tidak. Kemungkinan saya akan menggunakan sistem ini untuk memudahkan jual beli. Cara ini juga memerlukan modal yang lebih dan lebih pengawasan kerana penipuan kredit kad yang berleluasa.

Diharapkan kedai baru ini akan mula beroperasi pada 1 hb Mei 2008 atau selewat-lewatnya pertengahan Mei 2008.

Kepada sesiapa yang berminat untuk membeli handphone boleh menghubungi saya. Pembelian Zithron adalah digalakkan kerana warranty di seluruh Malaysia. Penghantaran pos adalah percuma. Selagi sistem pembayaran kad kredit ini belum berfungsi, maka terpaksalah tuan puan beli dengan tunai dahulu.

Salam.

Monday, April 14, 2008

Iklankan Bisnes Anda di Blog Dr Azwan!



Assamualaikum,

Baru-baru ini saya menerima cek Nuffnang sebanyak RM 120.00 setelah 3 bulan menunggu. Ia adalah untuk pengiklanan Nuffnang tahun 2007. Saya terima cek itu dengan tersenyum kerana sudah nampak hasil daripada blog saya ini walaupun seciput.

Kata orang duit RM 120.00 boleh buat apa? Tak pe ini adalah satu permulaan.

Kalau anda lihat gambar di atas, itu adalah print screen daripada page Nuffnang saya untuk bulan 1 sampai bulan 4 tahun ni iaitu RM 516.00. Sekarang ini bandwidth saya telah mencapai 12 iaitu pelawat yang berjumlah 500-600 sehari. Apalah sangat jikalau nak dibandingkan dengan blog dia ni (yang ada 39 bandwidth) dan blog dia ni (yang ada banyak iklan).

Apapun permulaan ini adalah satu yang baik kerana pada awalnya saya cuma menerima kunjungan 100 orang sahaja sehari tetapi telah mengalami peningkatan walaupun perlahan.

Saya bercadang nak letak pengiklanan banner kecil-kecilan dan charge RM 50 sebulan. Ada orang nak tak agaknya? Takde lah mahal sangat kot. Nuffnang pun bayar RM 37.00 seminggu, ini pula RM 50 untuk sebulan atau RM 1.80+ sehari. Setakat 8 iklan (banner) sebulan cukuplah. Boleh hubungi saya untuk berbincang.

Mungkin ada di antara anda yang ingin berniaga kuih-muih tradisional melayu untuk tempahan orang ramai, berniaga kain baju dan tudung, berniaga kek online, insuran dan sebagainya. Ini adalah peluang anda untuk mengembangkan bisnes.

Salam.


Malas Menyusu Ibu



Assalamualaikum.

Sabtu malam lepas saya bertugas di Klinik Idzham Pandan Jaya menggantikan doktor di sana. Jam 3.30 am, saya dikejutkan untuk melihat pesakit. Seorang wanita umur awal 20-an memakai cermin mata berbingkai tebal sedang mendukung bayi yang berumur 46 hari. Bayi tersebut batuk selama 3 hari dan merupakan anak pertama.

Setelah saya buat pemeriksaan kepada anaknya, saya mula bertanya-tanya.

Saya : Bayi ni menyusu badan ke menyusu botol?

Wanita : Menyusu botol.

Saya : Mengapa tidak disusukan badan.

Wanita : Saya dah cuba sekali selepas bersalin tetapi tak keluar susu. Lepas tu saya terus susukan guna botol.

Saya : Memang lah awal-awal adakalanya susu tak keluar. Lama-lama banyak lah.

Wanita : Bukan doktor. Mak saya pun dulu tak ada susu. Dah keturunan saya, doktor (!!)

(Dia menjawab dengan muka selamba. Muka dia memandang bawah. Saya sudah mula naik hangat)

Saya : Kalau tak bagi susu ibu nanti anak senang kena penyakit. Anak lahir kat mana?

Wanita : KBMC...

Saya : Kat KBMC takde tunjuk cara-cara menyusu ibu ke?

Wanita : Ada.. tapi saya malas (!!!)
Hmmm... mukanya masih poyo. Nampak semua persoalan saya, dia dah sediakan jawapan. Walaupun jawapan yang poyo...

Bila dia jawab macam tu, saya pun tak nak lah jadi poyo macam dia. Saya pun menulis ubat-ubatnya dan memandangnya keluar daripada bilik dengan pandangan kesian tetapi sedikit geram.

Kalau perkara mengarut seperti tidak menyusu ibu kerana keturunannya tidak ada susu, saya masih boleh terima lagi tetapi kalau dah "malas", apa lagi nak buat. Entah-entah dia bagi jawapan "malas" sebab "malas" nak menjawab soalan merapu saya yang seperti nak menjaga tepi kain dia tu tengah-tengah malam buta...

Lagipun jam dah pukul 3.45 pagi.... buat apa nak gaduh2 pagi-pagi buta kan. Baik tidur... Esok kena kerja lagi.

Salam

Sunday, April 13, 2008

Blog Wordpress Ketua Menteri Melaka Ditutup






Assalamualaikum,

Sedang mencari-cari di alam siber ini terjumpa dengan blog Ketua Menteri Melaka iaitu Dato' Seri Mohd Ali Mohd Rustam. KM Melaka ini adalah salah seorang pemimpin UMNO yang menjadi blogger selain daripada menteri dan bekas menteri yang lain. Beliau mempunyai 2 blog iaitu blogspot dan wordpress yang salah satunya adalah pautan.

Dato' Seri Ali Rustam pernah keluar di TV1 sebagai berkata beliau telah memantau 240 blog yang menjadi blog pembangkang. Malah beliau telah menyiapkan cybertroopers di kalangan blogger dari Melaka untuk menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat.

Artikel terkini beliau ialah kritikan beliau terhadap Kerajaan Negeri Selangor tentang perlaksanaan penternakan babi moden. Beliau mengkritik dasar kerajan negeri selangor kerana membenarkan penternakan itu dilaksanakan.

Usaha kerajaan Selangor membina ladang ternakan babi di Sepang itu boleh dianggap sebagai satu lagi projek mega di negeri itu setanding dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Litar F1 kedua-duanya juga di Sepang. Kedua-dua projek mega tersebut berjaya memberikan keuntungan berjuta-juta ringgit kepada kerajaan Selangor sebelum ini, maka selepas ini keuntungan juga boleh diraih melalui hasil ternakan babi.

Biar apa sekalipun, babi adalah binatang yang dikategorikan sebagai najis berat (mughallazah) kepada orang Islam dan ia haram bagi orang Islam untuk menyentuh apalagi untuk memakannya. Oleh sebab itu, langkah untuk membina ladang babi itu perlu dilihat dari aspek kesannya kepada umat Islam yang tinggal di kawasan berkenaan. Keadaan ini juga dirasai oleh penduduk-penduduk di Kuala Sungai Baru di Melaka. Oleh seba itu, kerajaan Melaka telah berusaha untuk mengurangkan jumlahnya bagi mengatasi masalah itu.




Saya berpendapat ini adalah kerana yang berkata-kata (atau berblogging) itu adalah Dato' Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka yang terkenal dengan isu penternakan babinya, maka responnya tentulah agak hangat dari biasa. Jikalau yang berkata-kata itu Dato' Seri Hishamuddin, mungkin responnya tidak luar biasa seperti ini. Bak kata Karam Singh Walia - tindakan beliau itu mungkin dianggap sebagai "lebih sudu dari kuah" atau lebih tepat "membuka pekung di dada".

Pada pandangan saya juga, keseluruhan artikel beliau agak cetek dari sudut perbahasan tentang penjagaan dari sudut alam sekitar yang ingin dicanangkan oleh Kerajaan Selangor apabila pusat penternakan babi moden ini akan menghapuskan cara konvensional yang menyebabkan banyak pengaliran sungai tercemar. Apabila kritikan semberono ini tidak disertakan dengan fakta, jalan-jalan alternatif dan hanya dibuai sentimen politik sahaja ini yang akan berlaku. Apatah lagi yang menulis itu adalah Ketua Menteri yang sepatutnya mempunyai level yang sedikit tinggi untuk mengemukakan hujjah berbanding blogger biasa seperti anda dan saya.

Hampir 99% daripada pelawat blog beliau telah mengkritik artikel ini. Malah saat terakhir saya melawat blog ini, komen negatif telah mencecah ke hampir 200 komen.

TSUNAMI komen kepada laman wordpress Ketua Menteri Melaka telah melenyapkan salah satu blog beliau. Masih tinggal satu blog beliau sahaja yang masih lagi nyawa-nyawa ikan.

Dikhuatiri bukan hanya blog beliau sahaja yang ditutup malah pejabat kerajaan pimpinan beliau juga mempunyai risiko untuk ditutup menjelang pihanraya ke 13 akibat tsunami ini.

P.s. Anda juga boleh baca "Benarkah tiada babi Malaysia dieksport ke Singapura?"

Wallahu A'lam.

Friday, April 11, 2008

Respon Dr. Siti Tentang Kajian Produk Herbalife




Assalamualaikum,

Merujuk kepada komen artikel ubat tradisional yang tidak tradisional. Ini adalah respon daripada Dr Siti a.k.a Mak Iti Kawan Yus, kawan saya daripada salah sebuah pusat kajian perubatan di Malaysia ini melalui email kepada saya. Respon beliau ini adalah tentang satu literature daripada Science Direct tentang satu kajian daripada Liver unit, Hadassah-Hebrew University Medical Centre, Israel tentang produk Herbalife (lihat ruangan komen). Saya rasa ini adalah retrospective study.

Menurut pendapat seorang pembaca (Dr Shiha) yang memberi komen, study tentang herbalife ini tidak valid kerana bukan melalui Random Clinical Trial. Saya amat-amat bersetuju dengan pendapat Dr. Shiha yang juga amat berpengalaman di dalam bidang kajian perubatan. Terima kasih Dr. Shiha.

"Satu lagi, pasal artikel dari ScienceDirect (Herbalife) kat atas tu. Selagi tak buat Randomized Clinical Trial, the study is not so strong. Boleh masuk kategori Case Studies or anecdotal aje. However, it is good if we can do RCT on that - barulah valid. Wasalam. " - Dr Shiha


Namun begitu, saya juga ingin tahu apakah kesan kajian ini kepada pengguna. Oleh kerana saya sendiri pun tidak mahir di dalam bidang kajian klinikal, maka saya meminta respon daripada Dr Siti sendiri. Berikut adalah jawapan beliau (teks warna biru adalah tambahan daripada saya) :-

" Assalamualaikum,

Sebenarnya article dari Israel yang saya forward kat awak tu bukan saya sengaja cari kat science direct (accessed only with password-paid journal), tapi kawan yang pass kat saya. Saya tak pernah gi Israel tapi tengok dari Semenanjung Sinai, Mesir adalah sebab belajar kat sana.

Memang hebat marketing herbalife hingga tahun 2006 company meraih keuntungan 3.1 billion.

So dalam pencarian saya dalam science direct tu, saya terjumpa beberapa lagi artikel yang berkenaan yang melaporkan acute hepatotoxicity (kerosakan hati akut) disebabkan oleh herbalife.

Saya tak skeptik dgn perubatan herba bahkan saya pun dulu keje kat pusat penyelidikan perubatan herba, dan dalam menambahkan pengetahuan saya tu ada beberapa point yang menarik :

1. Perubatan sekarang ini hampir 70% berasal daripada herba i.e vincristine, vinblastine berasal daripada kemunting cina
(vincristine dan vinblastine ada digunakan sebagai ubat untuk rawatan cancer)

2. Utk menghasilkan ubat daripada herba memerlukan sekumpulan pakar yang komited, dan belanja yang maha tinggi

3. Proses penghasilan ubatan perlu melalui clinical trial
http://www.medicinenet.com/script/main/art.asp?articlekey=46448: dan clinical trial ini sendiri bukan satu proses yang mudah

4. Perlu diingat ubat-ubat yang didaftarkan memang perlu melalui clinical trial yang ada 4 fasa sedangkan supplement tidak perlu kepada ini semua. Rujuk artikel Felix Stickel yang saya attachkan sekali.

5. Pendaftaran melalui Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan utk company dapatkan nombor pendaftaran MAL tu hanya check seperti heavy metal, pencemaran microbacterial, adulterants, steroid dll. adakalanya company ni pandai dia campurkan sildenafil pada kapsul tongkat ali so miss detection.

6. Sedikit mengenai preclinical safety evaluation utk herba yang meliputi toxicology dan pharmacology aspect. Ia meliputi in vitro mutagenicity dan in vivo general toxicity secara acute, subacute dan chronic (ia akan gunakan haiwan mengikut tahap, diberi dose herba selepas cukup masa akan disacrifice dan akan dibedahsiasat utk melihat kesan-kesan kepada keseluruhan organ. Di sini penyelidik akan dapat melihat 'sedikit' gambaran akan dos herba yang toksik kepada binatang. Ia bertujuan untuk mengenalpasti safe starting dose pada human volunteer (clinical trial).

7. Tahun 2004 ada ubat yang ditarik dari market (vioxx rasanya) sebab daripada phase 4 clinical trial (marketing surveillance) ada banyak adverse effect yang direport oleh pengguna.

8. kesimpulan dari artikel Israel tu dia tak condemn langsung herbalife tapi
mereka meminta prospective evaluation of Herbalife products for possible hepatotoxicity. Until then, caution should be exercised by consumers, especially among individuals suffering from underlying liver disease.

Kalau ikutkan scientific evidence paling tinggi adalah meta-analysis on RCT (baca semua RCT dan analysekan semuanya).

Kuat tak kuat methodology paper ni bukan itu isunya tapi apa yang dipaparkan tu cukup kuat sebagai bukti di mahkamah.Kalau dia nak pergi RCT pun at least kena tahu the safe starting dose herbalife kepada human volunteers.

Apa pula yang cuba disembunyikan oleh company herbalife tu bila researcher tu tanya composition dalam herbalife tu? (refer artikel Felix Stickel)
--- (**Tuan punya blog tidak siarkan --- cuma kepada sesiapa yang berminat boleh email.)

Kesimpulan saya forwardkan artikel tersebut utk menasihatkan pelawat blog dan manusia lainnya supaya berhati-hati sebab company herba punya motto "herba adalah bahan natural jadi ia selamat" bagi saya sangat-sangat salah. Sedangkan pegaga pun ada adverse effect dia kalau makan banyak2.

Dan saya rasa saya dah menyelamatkan penjual herbalife dari risiko kena saman kalau ada pelanggan yang dapat hepatotoxicity hasil makan herbalife. Sebab artikel ini dah lama wujud di internet.

Sekian.,
Mak Iti kawan Yus. "


Kesimpulannya, kepada pengguna produk ini yang mempunyai masalah hati, kenalah berhati-hati kerana retrospective study ini (walaupun tidak kuat) menunjukkan masalah hati kepada mereka yang menggunakannya.

Tujuan artikel ini dikeluarkan bukan untuk merugikan bisnes mana-mana pihak. Ini sekadar untuk menambah pengetahuan dan berkongsi ilmu. Semua orang patut tahu tentang apa supplement yang mereka telan setiap hari. Berhati-hati ketika memakan apa-apa produk pun kerana di sebalik sebutan "tradisional" atau "herba" itu juga mungkin ada masalah di sebaliknya. Terima kasih Dr. Siti di atas penerangan di atas.

Wassalam.

Thursday, April 10, 2008

Sufiah Yusof - Satu Penceritaan Semula





Assalamualaikum,

Semalam wajah ibu Sufiah Yusof iaitu Puan Halimahton keluar di kaca TV. Saya tidak mendengar keseluruhan wawancara di dalam bahasa malaysia itu jadi saya tidak boleh mengulas apa yang telah disampaikannya.Daripada wajah beliau kelihatan betapa berat penyiksaan yang beliau tanggung akibat perbuatan anak kesayangannya itu.

Kebetulan sdr menteil dari www.menteil.net melawat ke blog saya semalam iaitu. (Nak exchange blog link pun boleh bro!). Terima kasih meinteil di atas ke"cool"an blog anda... meintilism rules!!

Di dalam satu artikel di dalam blog ini ialah tentang Sufiah. Ia menyiarkan tentang sebuah blog baru dipanggil yusof family iaitu blog rasmi keluarga Sufiah. Blog ini menceritakan kisah sebenar keluarga itu dan penafian cerita-cerita sensasi dari media yang banyak diputarbelitkan untuk tujuan keuntungan. Menurut keluarga Sufiah, banyak cerita sebenar daripada temubual yang diadakan telah ditapis. Perkara-perkara yang golongan media sebutkan semata-mata untuk menjadikan cerita itu lebih sensasi.

Golongan media ini memanipulasi cerita seolah-olah Farooq, bapa mereka dan teknik pelajarannya yang telah menjadikan anak-anak ini mencapai ke tahap genius. Padahal yang sebenarnya ialah Sufiah dan 3 beradik (sekarang 4) yang lain sudah hebat walaupun tanpa kehadiran bapa mereka sebelum ini.

Buktinya mereka mula belajar dari rumah (tidak lagi pergi ke sekolah) sebelum bapa mereka kembali ke pangkuan keluarga. Mereka tidak ke sekolah kerana sekolah di UK tidak boleh menawarkan sistem pelajaran untuk prodigi seperti mereka. (Lebih kurang cerita macam Adiputra kat Malaysia)

Pada hakikatnya, kehebatan dan kepandaian anak-anak ini berasal daripada ibu mereka iaitu Halimahton. Halimahton mendidik anak mereka bukan sahaja dengan penuh disiplin tetapi penuh dengan kasih sayang.

Cuba lihat biodata Halimahton yang berasal dari Muar ini yang ditulis oleh anaknya :
Halimahton is a Malaysian citizen living in the UK. Born in Muar, she went to a Singaporean primary school for six years and returned to Malaysia at the age of 14. At 17, she was accepted to Tunku Kurshiah College and subsequently won a scholarship to receive further education in the UK.

While studying for her doctorate in organometallic chemistry at the University of Hull, she was regarded as one of the best experimentalists in the department, but she decided to discontinue her PhD in favour of spending time with her four young children until they reached school age.

Juga dimuatkan di dalam blog ialah kehadiran Farooq yang menyebabkan timbul masalah dengan keluarga tersebut dengan sifat pemarah dan keegoannya. Farooq sering marah-marah sekiranya anak-anak mereka gagal di dalam sukan dan sebagainya. Malah anak mereka menafikan Farooq yang menyebabkan mereka berjaya tetapi kredit yang sebenarnya diberikan kepada ibu mereka.

Keluarga Sufiah menafikan bahawa mereka tidak dibenarkan untuk menonton TV dan mendengar muzik pop. Saya yakin cerita ini diada-adakan untuk menunjukkan keluarga Sufiah yang melahirkan prodigi matematik beragama Islam mengamalkan Islam secara terlalu sempit. Oleh itu bolehlah puak-puak anti Islam ini menyalahkan Islam di atas kegagalan membesarkan Sufiah.

Sufiah bukan seorang-orangnya genius di dalam famili. Adik beradik yang lain juga hebat sepertinya. Iskander adik Sufiah masuk universiti setahun lebih muda dari Sufiah. Malah adik mereka Zuleikha, lulus peperiksaan A-Level ketika umurnya jauh lebih muda daripada kedua-dua Sufiah dan Iskander. Cuma Sufiah sahaja yang dijadikan bahan media untuk menyedapkan cerita. Mungkin tekanan ini lebih dirasai Sufiah lebih daripada adik-adiknya.

Saya harap anda boleh melawat blog Yusof Family ini dan menilai sendiri cerita daripada pihak mereka. Walaubagaimanapun, nama baik Sufiah telah pun rosak dengan cerita-cerita sensasinya. Diharapkan ibu dan adik beradik Sufiah dapat melalui keperitan ini dengan penuh kesabaran. Marilah kita doakan semoga Sufiah insaf dan kembali ke jalan yang benar.

Wassalam..

Dr Azwan Ahli Silap Mata...




Assalamualaikum...

Saya memang dari kecik-kecik dulu minat nak jadi ahli silap mata macam David Blaine. Saya selalu mencari-cari buku untuk jadi ahli silap mata sejak darjah 4 dulu (10 tahun) di perpustakaan tetapi tak pernah jumpa walaupun judul bukunya ada di dalam senarai buku.

Sekarang PTS ada keluarkan buku tentang cara menjadi ahli silap mata tulisan Ammar. Saya dah baca kat MPH tapi belum beli lagi.

Untuk pengetahuan anda, saya selalu buat pertunjukan silap mata kepada anak-anak saya. Especially trick menghilangkan wang 20 sen. Sekejap kat tangan, kejap lagi kat poket, kejap lagi kat belakang telinga diorang. Selalunya pertunjukan silap mata percuma saya mendapat tepukan hangat diorang.. haha!

Tapi yang tak puas hati sikit, isteri sayalah, tak nak langsung bagi sokongan kat magician terlajak ni. Asyik kena kutuk aje... maklumlah magician tua..

Ni ada clip pasal magician saya dapat dari yahoo. David Hasselhof yang jadi juri tu...



Wednesday, April 9, 2008

MENJAGA HATI



Assalamualaikum.

Hati. Semua manusia mempunyai hati. Hati menjadi subjek utama di dalam pelbagai bidang pengajian. Di dalam lirik-lirik lagu terlalu ramai yang menyentuh soal hati. Begitu juga dengan filem.

Ada ramai Ulamak di Islam menulis tentang cara-cara menjaga hati. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin ada menyatakan: “Apabila hati dalam keadaan kecelaruan seseorang itu tidak mampu melaksanakan ibadat dan pekerjaan-pekerjaan lain dengan sempurna”.

Adakah hati yang disebut cerdik pandai sama dengan hati yang terletak di dalam dada manusia secara literal? Ada yang berpendapat bahawa hati itu adalah sama dengan jantung kerana apabila terjumpa si polan dan si polan - hati pun berdebar-debar. Adakah hati kita yang berdebar atau jantung yang berdebar? Justeru, ramai telah menukar istilah hati kepada "hepar".


Oleh kerana keterbukaan penggunaan perkatan hati dan jantung ini di dalam konteks falsafah, mungkin kita ingin menijau apakah sebenarnya hati ini di dalam konteks sains.


Anatomi Hati

Di dalam bidang sains perubatan, hati adalah organ terbesar pada badan manusia selepas kulit. Ia terletak di sebelah kanan-atas di dalam kaviti abdomen. Di atas hati ialah diafargma kanan (paru-paru) dan di bawahnya terletak buah pinggang kanan. Ia berbentuk seperti kon dan bewarna merah gelap. Beratnya lebih kurang 1.5kg -1.6 kg.

Hati terbahagi kepada 4 bahagian yang dipanggil "lobe". Di belakang hati terletak pundi hempedu (gall bladder) yang menyimpan cecair hempedu untuk tujuan penghadaman lemak.


Fungsi-Fungsi Hati

Ini adalah fungsi2 hati dan apa yang berlaku sekiranya hati gagal melaksanakan fungsinya.

1. Menghasilkan dan merembes cecair hempedu yang bewarna hijau kuning yang diperlukan untuk menghadam lemak. Kebanyakan cecair hempedu akan disimpan di dalam pundi hempedu dan ada yang dirembes terus ke dalam usus. Kerosakan hati akan menyebabkan cecair hempedu masuk ke dalam darah dan menjadikan badan bewarna kuning.

2. Hati adalah umpama stor yang menyimpan gula (glukos). Apabila gula berlebihan, insulin akan menukarkan gula kepada glykogen untuk distorkan di dalam hati. Apabila gula kurang, glykogen ditukar pula kepada gula untuk digunakan di dalam badan. Oleh itu, orang yang mempunyai kegagalan hati akan mengalami kekurangan gula yang sangat serius sehingga kerap pengsan.

3. Hati juga menghasilkan protein seperti albumin. Apabila hati rosak maka penghasilan albumin di dalam badan juga akan berkurang. Kekurangan albumin di dalam salur darah akan menyebabkan air di dalam tisu badan berkumpul (Baca artikel saya di dalam nephrotic syndrome). Perut akan membengkak dipanggil "ascites" - saya rasa orang melayu panggil "busung" dan seluruh badan juga akan membengkak dengan air. (lihat gambar ascites)

4. Hati menghasilkan bahan-bahan untuk pembekuan darah seperti fibrinogen, prothrombin, faktor-faktor V, VII, IX dsbg. Bahan-bahan ini juga adalah sejenis protein. Apabila tiada bahan-bahan ini, pembekuan darah tidak berlaku dan akan menyebabkan pendarahan teruk. Itu juga antara sebab kenapa ramai yang menghidapi kegagalan hati meninggal dunia akibat pendarahan teruk yang tidak dapat dihentikan.

5. Fungsi hati yang tersangat penting ialah membuang bahan-bahan beracun dan menyahtoksin bahan-bahan toksik daripada badan. Untuk pengetahuan anda, segala macam ubat-ubat, bahan kimia, herba-herba dan segala jenis makanan beracun akan di mengalami proses metabolik untuk menghilangkan keracunannya. Oleh hal yang demikian, proses penyahtoksin ini akan menyebabkan hati rosak.

Apabila kita memakan 2 biji panadol contohnya, panadol ini akan ditukarkan kepada bahan tidak bahaya di dalam hati dan dikeluarkan melalui buah pinggang atau najis. Namun, sekiranya kita makan 50 biji panadol sekaligus, bahan ini akan ditukarkan kepada bahan tidak bahaya oleh hati tetapi akan menyebabkan kerosakan hati yang serius yang menyebabkan kematian.

6. Sejenis sel khusus di dalam banyak-banyak sel hati dipanggil "sel kupffer" membentuk satu sistem pertahanan badan. Ia membantu untuk memakan bakteria dan bahan-bahan merbahaya yang lain. Kekurangan protein tertentu akibat kegagalan hati menyebabkan seseorang itu sangat mudah dijangkiti penyakit kerana sistem imun badan yang lemah.


Kesimpulan

Oleh kerana itu, hati adalah sangat penting untuk dijaga. Ia adalah sejenis organ yang tidak boleh hidup tanpanya. Oleh itu jauhilah perkara-perkara yang boleh merosakkan hati. Salah satu daripadanya ialah ARAK. Alkohol adalah antara penyebab kerosakan hati yang utama di seluruh dunia.

Sabda Rasulullah SAW:-
Ertinya: " Sesungguhnya dalam jasad manusia itu terdapat seketul daging. Apabila baik ia, maka baiklah seluruh badan. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh badan. Itulah HATI".

Jika melihat daripada kacamata ulama' dan ahli falsafah, ada yang berpendapat hati yang Rasulullah maksudkan adalah seuatu yang tidak berbentuk material atau jasad sifatnya dan tidak dapat dilihat dengan mata.

Tetapi professor saya pernah berkata dahulu, jikalau diambil dalam konteks sains perubatan yang lebih objektif dan spesifik, maka hadis yang Rasulullah sebut sangat bertepatan dengan organ hati ini secara jasad.

Oleh hal yang demikian, jagalah hati anda walau dari kacamana sekalipun anda melihatnya.

Wallahu A'lam.


Tuesday, April 8, 2008

Al-Fatehah

Assalamualaikum

Salam Takziah diucapkan kepada ibu Ellie (Blog de' HearT- Queen of Cup Cakes) yang telah kembali ke Rahmatullah pagi ini jam 11.30 a.m. pagi tadi.

Ibu Ellie telah beberapa minggu di dalam wad di Hospital Serdang dan dimasukkan kedalam ICU akibat Denggi. Beliau juga menghadapi komplikasi jangkitan paru-paru dan jantung ketika di dalam pemerhatian ICU.

Terima kasih kepada Azlina (Blog JRAzlina - My Journal) yang menelefon saya untuk mengkhabarkan berita sedih ini.

Al-Fatehah.

Monday, April 7, 2008

Sedang Mencari Handphone Display Showcase Terpakai






Assalamualaikum,

Kepada penjual handphone atau siapa-siapa saja, saya sedang mencari 2 unit Handphone Display terpakai untuk diletakkan di dalam kedai saya.

Anggaran saiznya ialah 4, 6 kaki atau 7 kaki x 4 kaki. Kalau boleh ada 3 baris rak daripada kaca dan paling bawah ada sedikit ruang untuk stor. Rangka aluminium atau kayu adalah diterima. Diharapkan masih di dalam keadaan baik. Warna apa-apa pun tak mengapa. Jika ada saiz yang berbeza boleh juga tunjukkan gambar atau email kepada saya.

Bayaran didalam bentuk tunai. Pengangkutan atas tanggungan saya.


Contoh handphone display


Hubungi saya : 012-9597074 - Dr Azwan (24 jam) atau SMS


Wassalam. /



Saturday, April 5, 2008

Keburukan Menggunakan Puting Kosong





Assalamualaikum,

Orang Malaysia panggil puting kosong dan di dalam bahasa inggeris ia dipanggil "pacifier" atau "soother".

Puting kosong ini menjadi pilihan ibu dan bapa untuk menenangkan anak yang sedang menangis. Bayi yang sedang menangis akan segera berhenti menangis sekiranya diberikan puting kosong ini kerana "sucking reflex" atau "rooting reflex" iaitu refleks bayi yang semulajadinya ingin menghisap susu.

Ada kajian juga menunjukkan bahawa SIDS atau Sindrom Kematian Bayi Mengejut dapat dielakkan apabila bayi diberi puting kosong ini kerana bayi yang tidur dengan puting kosong ini tidak boleh tidur terlalu lena kerana dihalang oleh refleks menghisap susu itu tadi. Ini menghalang daripada bayi berhenti bernafas seperti yang berlaku pada penghidap SIDS.

Ada juga pakar berpendapat, adalah lebih baik apabila bayi menghisap puting kosong daripada ibu jari mereka sendiri kerana habit menghisap ibu jari lebih susah dibuang daripada puting kosong.

Tetapi puting kosong ini sepatutnya diberhentikan apabila bayi sudah semakin besar. Ada yang berpendapat 6 bulan, ada 9 bulan dan ada yang setahun. Berapa pun umurnya puting kosong ini harus diberhentikan apabila gigi susu mula tumbuh.

Pengalaman saya di klinik ialah Ibu bapa kebanyakannya tidak mahu memberhentikan puting kosong kerana alasan anak pasti akan menangis. Sehinggakan ada yang menghisap puting kosong sehingga berumur 4 tahun! Ketika ini, amat susah untuk membuang habit menghisap puting kosong ini kerana sudah terbiasa.

Apa bezanya menghisap puting kosong sahaja berbanding botol susu yang berputing? Ya, secara psikologinya, menghisap dengan botol susu berputing, mereka akan berhenti menghisap apabila susu di dalam botol telah pun habis. Tetapi menghisap puting kosong, mereka akan terus menyonyot kerana "susu" nya tak habis-habis...

Yang akan merugikan anak-anak ini ialah oleh kerana terlalu menghisap puting kosong ini, susunan gusi atas akan lari dan menyebabkan pertumbuhan gigi menjadi tidak sekata. Pertumbuhan gigi ini ada yang terlalu ke depan yang kita istilahkan sebagai "jongang" atau "overbite".

"Kejongangan" (betul ke istilah ni?) akan berkekalan sehingga dewasa dan boleh menyebabkan rasa rendah diri dan lebih teruk menyusahkannya untuk mengunyah makanan jika terlalu teruk.

Anak-anak apabila dewasa terpaksa pula berjumpa dengan pakar gigi untuk membetulkan susunan gigi menggunakan alat "braces" atau yang terlalu teruk terpaksa menjalani pembedahan rahang.
Sekiranya anak anda mempunyai masalah lelangit terbelah (cleft palate), dengan menggunakan puting kosong ini akan menyebabkan jurang antara lelangit yang terbelah menjadi lebih luas dan menyukarkan proses pembedahan. Oleh itu adalah dinasihatkan, kepada anak yang mempunyai masalah cleft palate mesti menghindari penggunaan puting kosong (malah menyusu menggunakan puting pun tidak digalakkan) ini secara berdisiplin.

Ada banyak petua untuk memberhentikan anak-anak daripada menghisap puting kosong ini. Diantaranya ialah dengan memotong sedikit puting kosong itu. Anak akan merasa aneh dan akan berhentikan menggunakannya di dalam masa seminggu. Ada yang menadangkan agar diletakkan sedikit ubat pahit di puting kosong. Dan yang paling mudah ialah membuang semua puting kosong yang ada terus ke dalam tong sampah. Mudah kan?

Wallahu A'lam...
Related Posts with Thumbnails