Saturday, November 29, 2008

Korban Aidil Adha - Ceramah Ust Fauzi




Assalamualaikum,

Baru tadi dengar ceramah Ustaz Fauzi tentang korban.

Ada beberapa perkara penting yang mungkin kita dapat berkongsi bersama.

1. Korban adalah sunat yang dituntut atau sunat muakkadah. Oleh itu kewajaran orang yang ada kemampuan untuk memberikan korban walaupun satu bahagian (RM 350) untuk setiap tahun. Ada yang menghabiskan wang dengan bil telefon sebulan beratus-ratus tetapi berkira untuk melakukan korban walaupun satu bahagian.

2. Dari segi keutamaannya (allawiyat), sekiranya masih terdapat golongan miskin di kampung-kampung dan di kawasan berhampiran, maka yang itu lebih perlu diutamakan untuk diberikan daging korban. Sekiranya tiada, kemudian di luar kampung, kemudian di daerah luar, kemudian di dalam negeri, kemudian di dalam negara.. kemudian barulah di luar negara. Sekiranya ada keluarga yang terdekat, saudara mara dan sahabat handai yang miskin, maka bantuan kepada mereka patut didahulukan.

3. Berkorban perlu lah lembu yang sihat. Lembu yang tidak sihat, cacat, mempunyai penyakit kulit, buta, patah kaki, tidak cukup umur akan menyebabkan korban tidak sah dan akan menjadi lembu sembelihan biasa sahaja. Lembu yang tegap, isi daging yang banyak dan sihat menjadi keutamaan walaupun harganya agak mahal daripada lembu yang kurus tetapi murah.

4. Sekiranya didapati lembu korban betina bunting, maka biarkanlah lembu itu melahirkan dahulu anaknya. Sekiranya dikorbankan juga dan anaknya mati di dalam kandungan, maka anak lembu tersebut sah dimakan dan tidak perlu disembelih kerana ibu nya sudah disembelih. Sekiranya anaknya hidup, biarkan sahaja anaknya hidup.

5. Berhati-hati dengan lembu liar yang ganas. Sekiranya di dalam proses ingin menyembelih tersebut, kakinya patah atau telinganya putus akibat usaha untuk menjinakkan atau menenteramkannya, maka korban tersebut tidak sah dan dianggap sebagai sembelihan biasa sahaja.

6. Seekor lembu boleh dibahagikan kepada 7 bahagian korban. Sekiranya ada yang berhajat untuk aqiqah boleh melaksanakannya pada masa yang sama maka ia dibolehkan contohnya 3 bahagian aqiqah dan 4 bahagian korban. Tetapi sekiranya ada keluarga berhasrat untuk melaksanakan 7 bahagian hanya untuk aqiqah sahaja maka ia adalah satu kerugian. Ini kerana, korban hanya dilakukan pada 4 hari raya AidilAdha sedangkan selebihnya 361 hari lagi ada banyak masa untuk melakukan aqiqah.

7. Daging korban adalah afdhal diberikan di dalam keadaan mentah. Ianya diberikan kepada orang Islam sahaja. Berbeza dengan daging aqiqah yang lebih dahulu dimasak. Walaupun begitu kedua-duanya tidak dibolehkan untuk disedekahkan kepada bukan Islam. Di dalam kes Aqiqah, sekiranya ada jiran bukan Islam yang ingin diberikan daging Aqiqah kepada mereka, maka, kita boleh membeli daging daripada luar (bukan daripada yang disembelih) dan dicampurkan sekali di dalam masakan. Contohnya, jika berhajat untuk menghadiahkan 10 kg daging kambing kepada jiran bukan Islam, boleh beli daging di pasar dan campurkan sekali di dalam masakan. Maka, setelah masak bolehlah diserahkan kepada yang bukan Islam.

8. Daging korban tidak boleh dijual. Ini termasuk tulang belulang, isi perut, ekor dan juga kulit. Malah, untuk membayar upah kepada si tukang sembelih dan pelapah juga tidak boleh menggunakan daging korban sebagai bayaran. Ia boleh dianggap hadiah sahaja tetapi bukan upah kepada mereka.


9. Sekiranya ayah atau ibu sudah meninggal dunia, kita tidak boleh melakukan korban untuk mereka kecuali mereka telah mewasiatkan kita untuk berbuat demikian. Sekiranya ibu atau ayah masih hidup, maka keizinan daripada mereka adalah perlu. Sekiranya tidak mendapat keizinan korban tidak boleh dilakukan.

10. Hari raya aidil Adha adalah hari raya yang paling penting, dan 4 kali ganda lebih penting daripada hari raya Aidil Fitri. Sepatutnya dirayakan dengan lebih meriah dan penuh kesyukuran.

Diharap dapat iktibar sedikit sebanyak daripada apa yang ditulis.
Wallahu Alam




Thursday, November 27, 2008

Fitnah kepada Islam






Salam,
Baru-baru ini saya berborak dengan Presiden ABIM, Sdr Yusri. Kami jemput beliau untuk merasmikan satu program retreat di Ampang. Oleh kerana terlalu sibuk, beliau agak sedikit terlewat dalam 10 minit.

"Ana tadi bawak kereta pecut", jelas Abg Yusri.

Dia menerangkan dia terpaksa memecut laju keretanya kerana sudah terlambat untuk menghadiri jemputan program kami itu.

"Tapi anak cabut kopiah ana ni", katanya sambil memakai semula kopiahnya yang ditanggalkan dari dalam kereta.

Saya bertanya kenapa dia tanggalkan kopiahnya semasa memecut tadi?

Dia menjawab, " Ana tak nak nanti jadi fitnah kepada Islam."
Saya yang tak faham maksudnya meminta penjelasan.

Dia memberitahu, "kalau ana pakai kopiah lepas tu bawak pecut kereta laju-laju, nanti kalau ada orang bukan Islam nampak, dia akan kata - Orang Islam tu, pakai kopiah tapi bawak kereta bukan main laju lagi - jadi jadi fitnah kepada Islam, jadi ana pun tanggal lah kopiah ana"... jawab beliau tersengih.

Nadanya seperti bergurau tetapi mungkin ada benarnya.

Ramai di antara umat Islam kita melakukan perkara lebih dahsyat daripada ini. Ada orang Islam yang juara di dalam menghisap dadah, ramai orang Islam yang juara di dalam mengandung luar nikah dan membuang anak, ramai orang Islam memenuhi penjara dan pusat-pusat serenti. Itu boleh dilihat di pentas tempatan.

Di pentas dunia, ramai pak sheikh arab sebagai contoh yang membawa nama Islam melakukan pembaziran berbillion-billion dengan hiburan dan keseronokan sedangkan ada umat Islam yang berhampiran kebuluran dan miskin. Ramai orang Islam menjadi pembunuh, pengacau dan dianggap mengganggu kedamaian orang bukan Islam.

Ramai orang Islam sendiri menjadi fitnah kepada Agama Islam itu sendiri. Tidak hairan di Malaysia, fatwa Ulamak boleh menjadi mainan orang bukan Islam.

Umat Islam ramai tetapi umpama buih di lautan.

Wallahu A'lam.

Prinsipal vs Struktural di dalam Perniagaan Islam






Salam,

Orang Islam kalau berniaga perlu ada beberapa perkara yang perlu dipastikan. Yang pertama kena nama syarikat ala arab sikit... contohnya - Halalan Thayyiban atau Barakah Enterprise.

Kalau letak nama Angkasa Raya atau Pokok Hijau contohnya tak berapa sesuai.. hmm tak berapa Islamik lah nama tuh. Tak berapa sesuai dengan imej atau syiar katanya.

Lepas tuh kalau ada mesin-mesin seperti kilang, mesti mesin-mesin itu kena mengadap kiblat. Tak boleh susun semberono sahaja. Kalau boleh semua pekerja kalau duduk pun kena ada cara agar semuanya menghadap kiblat. Alhamdulillah.

Kalau ada pekerja lelaki dan perempuan, kena asingkan. Satu bilik mesin nih khas untuk pekerja perempuan sahaja. Satu lagi bilik yang diletakkan mesin kenalah hanya lelaki sahaja yang boleh bekerja. Kalau satu bilik menggunakan mesin yang sama, satu partition atau halangan perlu ada bagi mengasingkan lelaki dan perempuan. Alhamdulillah.

Ini adalah syarikat Islam yang diceritakan oleh pelanggan saya ketika membeli cacing tempoh hari. Saya tanya dahulu bisnes apa. Dia memberitahu bahawa dulu dia ada market untuk produk makanan halal daripada sebuah syarikat ini. Tetapi akhirnya syarikat itu berkubur.

Saya tanya kenapa? Dia jawab barang tak ada. Mungkin sebab modal tak cukup. Order stok tak sampai-sampai. Dah lah tuh packaging tak menarik. Susah nak pasarkan.

Ada benda yang saya tak faham tentang beberapa orang Islam yang berniaga ini. Kita tidak memikirkan soal prinsip-prinsip utama di dalam perniagaan, tetapi lebih mementingkan imej dan rupa wajah atau kata lainnya Struktural di dalam perniagaan itu sendiri.

Tidak dinafikan kepentingan meletakkan mesin menghadap kiblat atau mengasingkan lelaki dan perempuan pada waktu bekerja tetapi apa yang lebih penting lagi adalah bagaimana perniagaan itu perlu dilaksanakan supaya nama Islam itu tidak menjadi fitnah.

Strategi pemasaran seperti pembungkusan, pengiklanan dan sebagainya adalah sangat penting untuk kelestarian sesuatu perniagaan. Ia adalah prinsip yang wajib sebenarnya di dalam perniagaan. Malah kos pemasaran dianggap satu pelaburan dan bukan pembaziran.

Begitu juga dengan keperluan modal kerja yang perlu. Keperluan modal kerja dan modal pusingan sangat penting dan tidak boleh diabaikan.

Sekiranya perniagaan berkembang maju, dan membuka peluang lebih ramai pekerjaan yang memberi makan kepada ramai keluarga, itu sahaja sudah memberikan nama baik kepada Islam dan lebih substantial daripada meletakkan mesin menghadap kiblat.

Sudah sampai masanya kita lebih berfikir secara prinsipal daripada berfikir terlalu struktural.

Wallahu Alam.

Tersesat di Hujung Jalan...





Salam,

Dua minggu lepas semasa saya di bahagian pesakit luar, masuk seorang pesakit lelaki warganegara Indonesia berumur 30-an. Masalahnya ialah kedua-dua kakinya berasa kebas sudah beberapa minggu. Semasa masuk ke dalam bilik, saya sudah nampak cara jalannya yang agak tempang dan perlahan sedikit.

Setelah beliau duduk saya mula pemeriksaan tubuhnya. Semasa memeriksa dadanya saya dapati bahawa sebelah pada otot dadanya agak tidak simetrikal (tak sama besar). Saya minta dia menanggalkan pakaian. Rupa-rupanya, dia tidak boleh menanggalkan pakaiannya kerana tangannya tidak dapat diangkat sepenuhnya. Kesukaran menanggalkan baju itu menjadi bertambah rumit apabia dia memakai 2 lapis baju (sejuk katanya).

Saya mula rasa pelik. Ini bukan kes baru. Masalah ini mungkin sudah lama.

MasyaAllah, setelah menanggalkan baju saya dapati, otot bahunya (deltoid) sebelah kanannya tiada. Cuma hanya tinggal tulang sahaja. Dalam bahasa perubatan dipanggil muscle atrophy. Patutlah dia sukar mengangkat tangan untuk membuka baju. Otot dadanya juga mengalami atrophy.

Menggaru kepala juga saya. Saya tanya dia adakah dia pesakit stroke? Dia kata tidak. Failnya juga tidak ada pada saya kerana pembantu klinik al Islam masih mencari di dalam tempat fail.

Soalan demi soalan dalam fikiran saya.
Saya bertanya sejak bila masalah ini berlaku. Dia kata sudah beberapa bulan lamanya. Ketika masih di Indonesia. Dia ke Malaysia mungkin kerana ingin menerima rawatan di sini, kerana bagaimana untuk bekerja dengan keadaan sebegitu sedangkan menanggalkan pakaian pun tidak mampu.

Pening.. pening...

Saya panggil pembantu saya. "Buat rujukan pada pakar tulang!", kata saya. Sedang saya berfikir2 ayat untuk menulis di dalam surat rujukan, apa kemungkinan diagnosis dan sebagainya, tiba-tiba pintu klinik di ketuk.......

Seorang pembantu klinik masuk... "Prof. Dr. Shahdan dok tengah cari pesakitnya yang hilang... ada jumpa tak?" dia bertanya kepada rakan pembantu kliniknya yang sedang bersama saya.(Prof Shahdan adalah pakar perubatan dalaman al-Islam (physician) dan merupakan professor perubatan di HUKM.)

Saya tengok kertas preskripsi bersama-sama kertas kajang di atas meja saya " Lah, patient Prof Dr Shahdan rupanya!!!". Patutlah nak dekat 15 minit saya melayan patient tuh fail dia tak sampai-sampai lagi!

Hehehe... nak pecah kepala memikir diagnosis... rupanya patient Dr Shahdan...

2 hari lepas Prof Dr Shahdan jumpa saya. Dia tanya saya samada saya ingat tak kes pesakit Indonesia yang tersalah masuk ke bilik saya tuh.

Dia mempunyai masalah uppermotor neuron lesion dipanggil spastic quadriparesis. Ia merupakan masalah saraf yang berasal daripada saraf tunjang menyebabkan otot-otot mengecut, rasa kebas, hyper-refleks dan macam-macam masalah lagi berkaitan saraf. Masalah itu mungkin ada kaitannya dengan genetik atau sebab yang tidak dpat dipastikan. Rawatan yang konklusif pun tidak ada, sekadar mengelakkan ia menjadi lebih teruk daripada sekarang.

Pengajaran di sebalik cerita ini, kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Pengajaran kedua, kalau tersesat di hujung jalan, balik lah semula ke pangkal jalan.... adios..



Monday, November 24, 2008

Korban Dan Pengertiannya Yang Terindah...






Assalamualaikum,

Korban adalah ibadah yang tertua pernah tercatat di dalam buku kehidupan manusia. Al-Quran menceritakan bagaimana Habil dan Qabil telah melaksanakan korban di hadapan Allah. Mereka adalah 2 orang anak Nabi Adam Alaihissalam yang telah dipilih oleh Allah untuk melaksanakan korban untuk membuktikan keikhlasan mereka terhadap Allah.

Nabi Ibrahim Alaihissalam juga telah diwahyukan di dalam mimpi baginda untuk mengorbankan anak baginda iaitu Nabi Ismail Alaihissalam yang kemudiannya ditukarkan kepada seekor kambing. Begitu juga isteri baginda yang ditinggalkan di padang pasir bersama anaknya Ismail.

Maka, korban adalah ibadah yang ulung sejak zaman berzaman. Bagaimana kita sebagai umat terkini di zaman sains dan teknologi ini berkorban?

Berkorban membawa makna dan erti yang lebih besar. Berkorban tidak sekadar membelanjakan wang RM 350.00 daripada duit poket untuk bersedekah untuk satu bahagian lembu korban sahaja. Berkorban bukan sekadar membelanjakan wang daripada duit kutipan parti politik untuk membeli 10 ekor lembu untuk dibahagi-bahagikan kepada cawangan atau bahagian. Itu bukan korban yang sebenar.

Seorang ibu berkorban berjuang dengan nyawanya untuk melahirkan zuriat agar anak itu dapat dilahirkan ke dunia untuk menjadi insan yang boleh berbakti kepada masyarakat. Sekiranya dia mati ketika itu maka dia dianggap syahid. Kemudian si ibu berkorban dengan memberi sepenuh kasih sayang, bangun malam menjaga anak yang sakit dan gembira dan sedih bersama anak semasa membesarkannya.

Si Ayah berkorban dengan segala masa dan tenaga membanting tulang untuk mencari rezeki agar si ibu dan anak dapat hidup di dalam keadaan yang serba cukup. Si ayah kadangkala terpaksa melakukan dua kerja untuk memastikan anak dapat bersekolah dan yurannya dan buku sekolahnya di bayar.

Seorang guru berkorban dengan membakar dirinya dengan mengajar ilmu dan mendidik anak-anak muridnya dengan penuh dedikasi tanpa mengira wang yang dikeluarkan daripada poket sendiri dan masa yang dilaburkan pada waktu cuti am dan cuti sekolah.

Seorang pekerja am berkorban dengan memastikan bahawa kawasan tempat dia bekerja berada di dalam keadaan yang bersih, mengotorkan diri dan melakukan kerja yang orang seperti doktor, peguam, guru dan pengurus syarikat tidak mampu lakukan agar setiap orang di sekelilingnya sentiasa ceria dan boleh melakukan kerja masing-masing dalam keadaan bersih, tanpa bau busuk dan kotor.

Setiap dari kita mampu berkorban dengan nilaian korban yang lebih besar dari seekor lembu.

Sekiranya semua isteri tidak mahu berkorban dengan cara tidak mahu mengandung dan melahirkan kerana tidak mahu sakit, tidak mahu bangun malam dan takut nampak tidak menarik seperti dahulu, apa akan jadi kepada dunia ini?

Sekiranya seorang doktor tidak mahu berkorban dengan bekerja lebih masa kerana menganggap dibayar dengan pendapatan yang tidak setimpal dengan kerja, apakah yang akan berlaku kepada pesakit-pesakit miskin dan tidak berkemampuan yang di ambang maut di tengah-tengah malam?

Tanpa pengorbanan - tiadalah penghidupan.

Pengorbanan Membawa kepada Penghidupan...

Salam Aidil Adha...


Wednesday, November 19, 2008

LEMBU KORBAN UNTUK DIJUAL!!






Salam,

Sempena Sambutan Aidil Adha yang bakal menjelang, saya dan dua orang rakan kongsi iaitu Haji Kamaruddin dan Haji Ishak ada menjual lembu untuk tujuan penyembelihan korban.

Harga seekor lembu di dalam lingkungan RM 2400.00 termasuk pengangkutan.

Berat seekor lembu bermula daripada 200 kg ke atas.

Kami juga ada menyediakan perkhidmatan ibadah korban untuk anda. Satu bahagian ialah RM 350.00. Hasil korban akan diagih-agihkan kepada rumah anak-anak yatim, rumah kebajikan dan fakir miskin di sekitar lembah Klang.

Sila hubungi saya seperti di bawah. Klik untuk besarkan gambar di bawah.



Wallahu Alam.

Monday, November 17, 2008

Lumpuh Separuh Badan Tiba-Tiba?






Assalamualaikum

Tujuan saya menulis artikel ini adalah untuk berkongsi dengan anda semua tentang satu kisah di klinik tempat saya bertugas sekarang.

Seorang pelajar lelaki berumur 24 tahun datang ke klinik dengan cerita bahawa beliau tiba-tiba lumpuh separuh badan bermula dari pinggang ke bawah semasa bangun dari tidur pagi itu.

Apabila ditanya dengan lebih lanjut - beliau memberitahu kejadian bermula semasa beliau belajar di Yemen di dalam bidang bahasa Arab beberapa tahun yang lalu. Kejadian itu menyebabkan beliau pulang dari sana dan tidak sambung belajar.

Setelah pulang di Malaysia, beliau telah beberapa kali mendapat serangan serupa iaitu lumpuh secara tiba-tiba sebulan sekali. Yang anehnya, lumpuh itu akan hilang paling lama 3 hari dan paling cepat di dalam masa beberapa jam.

Beliau hanya pergi ke pakar-pakar urut tradisional dan tidak pernah menerima rawatan di Hospital. Kali ini beliau ke hospital Al-Islam kerana beliau mempunyai insuran. Sebelum ini beliau hanya mengikut rawatan di atas kehendak ibu dan ayahnya sahaja.

Secara klinikal, badan beliau kurus, menggeletar dan berpeluh. Tekanan darah normal tetapi degupan nadi mencecah 110 rentak seminit.

Beliau dapat menggerakkan hujung jari kakinya tetapi tidak mampu untuk mengangkat kaki secara keseluruhan. (Motor function : 2/5). Deria rasa pada saraf kakinya adalah normal di kedua-dua belah dan kepekaan deria rasa sama dengan pada tangannya.

Beliau boleh mengangkat tangan (melalui sendi bahu) tetapi kadar pergerakannya atau range of movement agak terbatas kepada 90 darjah sahaja. Beliau tidak boleh menggenggam tangan saya kerana tidak larat.

Terdapat bengkak pada lehernya.

Pemeriksanan darah menunjukkan tahap Potassium di dalam darah yang rendah iaitu 2.3 mEq/L. (normal 3.5-5.2)

Di dalam kes ini, beliau mengalami Hypokalaemic Periodic Paralysis iaitu lumpuh tiba-tiba disebabkan oleh kadar garam Potassium (atau Kalium) yang rendah di dalam darah.

Beliau juga menghidap Thyrotoxicosis iaitu kadar rebesan hormon thyroid yang tinggi dan menyebabkan gejala seperti badan kurus, nadi yang pantas, menggeletar dan berpeluh. Saya rasa beliau telah mengalami masalah thyroid ini sejak di Yemen dahulu tetapi tidak pernah mendapatkan rawatan.

Secara amnya masalah hypokalemia atau kadar rendah Kalium/Potassium dalam darah boleh berlaku di dalam thyrotoxicosis terutama kepada penduduk Asia.

Garam Potassium biasanya berada di luar sel, maka pada kebiasaannya, garam ini akan masuk ke dalam sel di dalam masa 72 jam. Ini yang menyebabkan pesakit yang lumpuh kembali pulih selepas 3 hari.

Sebaik sahaja garam Potassium di masukkan ke dalam tubuh, beliau kembali berjalan seperti biasa. Agak dramatik sebenarnya apabila sebaik sahaja potassium dimasukkan di wad secara perlahan-lahan, beliau kembali normal seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Beliau kini sedang dirawat untuk masalah thyroid sebagai pesakit luar. InsyaAllah selepas ini beliau tidak akan lumpuh sekejap-sekejap lagi.


Thursday, November 13, 2008

Fatwa: Abim pandang berat pihak anjur protes



Dipetik daripada laman web Malaysiakini.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang berat tindakan pihak-pihak tertentu menganjurkan protes umum atau membuat kritikan terbuka terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai pengharaman perlakuan tomboy atau pengkid serta fatwa mengenai Yoga yang sedang dipertimbangkan.

Presiden Abim, Yusri Mohamad berkata, Majlis Fatwa Kebangssaan merupakan sumber rujuk utama bagi umat Islam di negara ini untuk mencari penyelesaian tentang sebarang kemusykilan mengenai hal-hal agama.

"Fatwa yang dikeluarkan, akan melalui proses perbincangan yang teliti dan bersandarkan kepada sumber-sumber hukum sahih serta kaedah-kaedah perundangan Islam yang muktabar.

"Oleh sebab itu, fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak patut dipertikaikan dengan mudah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jika pertikian tetap timbul, tambahnya, ia hendaklah disalurkan ke proses perbincangan yang tertutup.

Yusri berkata ia sama sekali tidak sesuai menjadi perbahasan di kalangan masyarakat awam, lebih-lebih lagi jika dijadikan bahan untuk menganjurkan protes umum atau demonstrasi.

"Abim juga khuatir tindakan pihak-pihak tertentu, terutama sekali pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan bukan Islam, melakukan protes terbuka terhadap fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan, akan mencetuskan suasana ketegangan dan perselisihan di kalangan umat Islam khususnya dan masyarakat amnya di negara ini," katanya.

Abim, tambah Yusri, berpendapat bahawa pendekatan terbaik untuk menangani sebarang kemusykilan dan pertikaian mengenai fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan adalah dengan disalurkan secara sihat melalui perbincangan ilmiah tertutup yang disertai oleh pihak ataupun individu yang mempunyai kepakaran dalam isu yang dibincangkan.

"Pada yang sama, Abim mencadangkan agar Majlis Fatwa Kebangsaan atau pihak berkuasa agama yang berkenaan, mengambil inisiatif lebih agresif untuk menjelaskan kepada masyarakat umum, rasional fatwa pengharaman tomboy atau pengkid, untuk meningkatkan kefahaman masyarakat pelbagai agama di negara ini mengenai isu tersebut.

Tuesday, November 11, 2008

PROGRAM SUBUR PADA BULAN RAMADHAN






Assalamualaikum.

Gambar ini adalah program Biro Kesihatan ABIM bersama penduduk di sekitar SUBUR (Surau Taman Bunga Raya) pada bulan Ramadhan yang lepas.


Pada asalnya program sepatutnya dijalankan di sebuah Masjid di kawasan Ulu Klang tetapi terdapat masalah yang tidak dapat dielakkan dan terpaksa kami berubah haluan. Daripada cerita wakil kami, pihak masjid mahukan bayaran untuk kami membuka klinik amal di sana.

Agak menyedihkan kerana program amal sebegini pun pihak masjid ingin menangguk sedikit keuntungan padahal sukarelawan seperti kami ini cuba untuk mengimarahkan masjid Allah.

Ada juga suara-suara yang menyatakan bahawa mereka cuma mahu berjumpa pakar sahaja (tak mahu jumpa doktor biasa). Saya tersenyum juga. InsyaAllah tak lama lagi, ramai di kalangan kami akan menjadi pakar perubatan, pakar kanak-kanak, pakar tulang dan pakar bedah (saya terkecuali).

Mungkin di bandar, di mana klinik boleh dapat di merata tempat, kehadiran klinik amal ini tidak diperlukan dan tidak dihargai. Tetapi itulah kemampuan dan kapasiti kami di dalam waktu yang sentiasa menyempit. Untuk masuk ke dalam hutan dan kampung-kampung mungkin boleh, tapi bukanlah selalu.

Apapun, kehadiran kami di Surau Taman Bunga Raya amatlah dialu-alukan kedatangannya. Tak sangka, walaupun di dalam keadaan serba "last minute", ramai penduduk di dalam golongan 40 tahun ke atas datang sehingga mencecah menghampiri 70 orang. Ada juga skuad kami yang melawat pesakit di rumah.

Alhamdulillah, jika kita ingin membuat baik, Allah akan tunjukkan dan permudahkan jalannya. Kami diberi hadiah sebungkus seorang bubur lambuk istimewa SUBUR (yang dikatakan lebih sedap dari bubur lambuk Kg Baru - pakcik tukang masak tuh cakap!). Malah saya sendiri dapat 3 bungkus (sebab anak2 dara yg lain tuh tak minat makan).

Ini ada sedikit gambar untuk tatapan anda. InsyaAllah kalau ada rezeki tahun depan boleh buat lagi. Salam.

Saya dan seorang peserta sedang tersenyum kambing.


Di sebelah kanan, Saudari Saadiah (berbaju hijau), pegawai farmasi (bertugas di Hospital Selayang) sedang menulis ubat. Di sebelah kanannya ialah Dr Dahlia, (bertugas sebagai pegawai perubatan O&G di Hospital Serdang) sedang memerhatikan dengan khusyuk.


Dr Ikhwan (pegawai perubatan di HUKM) sedang memeriksa seorang pakcik. kalau dilihat rupa wajah pakcik ni dan misainya, saya rasa samada pakcik ni adalah seorang pesara askar atau pesara polis.


Dr Saifullah, Pengerusi Biro Kesihatan dan Pegawai Perubatan Orthopaediks di Hospital KL sedang memeriksa pesakit.

(Kapten) Dr Shazni, pegawai perubatan di Angkatan Tentera Malaysia, Lumut sedang berbincang dengan tok bilal SUBUR dan berkongsi cerita.

Saudara Zulkifli, pelajar perubatan tahun 4 UiTM sedang menimbang berat dan tinggi salah seorang peserta untuk mengira Body Mass Index.

Friday, November 7, 2008

Abah Tak Basuh Tangan....






Assalamualaikum,

Hari ini saya telah memberi ceramah kepada kanak-kanak berumur 5-6 tahun di Tabika Kemas, Taman Salak Jaya. Saya dijemput pada minggu lepas oleh Pengerusi Tabika Kemas, TSJ melalui telefon untuk menyampaikan 2 tajuk ceramah berselang seli.

Kebetulan anak saya Nur Fateha pergi ke Tabika tersebut (yang menang pertandingan bercerita tuuu...).

Pengerusi Kemas nak saya bagi ceramah pasal 1. keracunan makanan dan 2. Snek yang sihat. Dia kata itu tajuk wajib - tak bole nak tukar.

Saya terfikir tentang tajuk yang saya kira budak umur 5 tahun tak bosan dengar.

Saya tukar tajuk kepada "Membasuh Tangan". Bagi saya itu sangat praktikal kepada budak2 tabika dan juga kepada ibu bapa mereka. (Oh ye saya tukar juga tajuk, tak pedulik.... hehe)

"Membasuh tangan", walaupun nampak mudah tetapi satu perkara yang sangat penting untuk mengekang pelbagai jenis penyakit pada umur mereka ini. Ia menghindari bukan sahaja penyakit berjangkit seperti kuman yang menyebabkan keracunan makanan, tetapi juga kecacingan. Kanak-kanak perlu membasuh tangan sebelum dan selepas makan, selepas bermain dan selepas keluar dari tandas.

Untuk tajuk kedua saya berceramah tentang Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD). Kumpulan sasaran saya adalah daripada golongan dewasa. Satu penyakit yang sangat penting kepada ibu-bapa dan pengelola tabika untuk dihindari. HFMD pernah menjadi tajuk utama akhbar terutama apabila wabak ini telah membunuh berpuluh-puluh orang kanak-kanak di Malaysia.

Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Kanak-kanak di situ begitu teruja melihat gambar-gambar seperti lipas, tikus dan cacing yang saya tunjukkan.

Apabila anak saya Fateha pulang dari Tabika, saya bersiap-siap untuk pergi kerja dan Solat Jumaat. Saya memberitahunya bahawa saya sakit perut dan ingin ke tandas. Dia pun menjawab dengan selambanya "Tulah, Abah tak basuh tangan"...

Saya tersengih.. nampaknya mesej dah sampai...

Wassalam.

Thursday, November 6, 2008

Confusing Chinese Names






Salam...

Ni ada jenaka sikit. Dikirim oleh Mr Herbert Wong kepada saya melalui email. Terima kasih Mr Wong.

Caller : Hello, can I speak to Annie Wan (anyone)?

Operator : Yes, you can speak to me.

Caller : No, I want to speak to Annie Wan (anyone)!

Operator : You are talking to someone! Who is this?

Caller : I'm Sam Wan (Someone). And I need to talk to Annie Wan (anyone)! It's urgent.

Operator : I know you are someone and you want to talk to anyone! But what's this urgent matter about?

Caller : Well… just tell my sister Annie Wan (anyone) that our brother Noel Wan (no one)has involved in an accident. Noel Wan (no one) got injured and now Noel Wan (no one) is being sent to the hospital. Right now, Avery Wan (everyone) is on his way to the hospital.

Operator : Look if no one was injured and no one was sent to the hospital, then the accident isn't an urgent matter! You may find this hilarious but I don't have time for this!

Caller : You are so rude! Who are you?

Operator : I'm Saw Lee (Sorry).

Caller : Yes! You should be sorry. Now give me your name!!!


Kakaka... :O !!

Kursus Cacing 9.11.2008





Salam,

Kursus ternakan cacing secata komersial pada 9.11.2008 masih dibuka. Ia merangkumi semua aspek termasuk penjagaan, pembuatan medium dan semaian baja. Ia mengandungi modul teori dan praktikal.

Sesiapa yang berminat boleh melawat blog baru saya ini.

www.kedaicacing.blogspot.com

Tuesday, November 4, 2008

Saya Sudah Berpindah ke Al-Islam Specialist Center






Assalamualaikum,

Saya baru sahaja meletakkan jawatan sebgai doktor di Klinik Idzham di Kota Damansara. Hmm.. tidak lah baru pun sebenarnya. Pada bulan Ramadhan yang baru sahaja lepas. Tetapi perletakan jawatan ini effektif pada 1/11/2008.

Sebelum ni saya pernah bercerita yang saya telah meletakkan jawatan di HKL pada bulan Ramadhan 2 tahun yang lalu. Jadi cerita ini berulang kembali. Kenapa saya pilih bulan Ramadhan? Mungkin secara kebetulan.

Saya sekarang ini bertugas sebagai seorang doktor di bahagian pesakit luar dan kecemasan di Al-Islam Specialist Center (dulu dikenali sebagai Kg Baru Medical Center) berhadapan dengan Masjid Jamek Kg Baru.

Selama berada dua tahun di Klinik Idzham, banyak perkara yang saya belajar dari segi pengurusan. Di antara banyak-banyak perkara, 1. Klinik merupakan satu bisnes yang boleh menjana duit dengan banyak. 2. Menggaji doktor sebagai pekerja anda adalah sesuatu yang boleh meningkatkan tekanan darah anda dan membuatkan anda tidak tidur malam. 3. Membuka klinik pada waktu sekarang boleh menjadikan anda hilang wang ataupun bankrap jika tidak kena caranya. 4. Anda masih boleh belajar walaupun umur anda mencecah 60 tahun.

Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Idzham yang merupakan Boss, ayah dan colleague saya selama saya bekerja di Klinik Idzham. Jasa Dr Idzham di dalam memberi ilmu dan pengalaman amat-amat saya hargai dan akan saya kenang sampai bila-bila.

Saya tahu Dr Idzham agak keberatan melepaskan saya pergi kerana saya seorang doktor yang diminati ramai patient perempuan di Kota Damansara termasuk makcik dan nenek (kua kua kuaaa..!), pakar cabut tulang (kua kua kua x1000...) dan seorang yang berbudi bahasa (uweekkkk..), tapi apakan daya Dr Idzham.. saya diperlukan di Al-Islam Specialist Center untuk banyak tujuan.

Kepada Kak Rudziah Hussin, penyelia di Klinik Idzham KD, semoga mendapat doktor baru yang boleh berkongsi masalah dan boleh menyelesaikan masalah. Team work kita memang best (sampai menang klinik kedua tercantik - dapat duit RM 4000.00 dari Dr Idzham walaupun sepatutnya dapat no 1). Juga kepada semua staf KD, bekerjalah baik-baik, jangan gaduh2. Kepada Pn Yuszalinda, Assistant No 1 Boss merangkap akauntan, semoga berjaya dengan study dan kerjaya.

Kepada Auntie Sujin, pesakit favourite saya yang berasal dari Thailand juga tuan punya restoran Siam62, Sawadeekaaaap... next time I will eat in your restaurant (after you get your halal certificate from JAKIM la).. I want to learn more from you in doing restaurant business. Dia ni ada banyak restoran kat Thailand. Tak reti cakap omputeh sepatah habuk, tapi kaya masyaAllah. Tiap-tiap kali datang ada sorang translator ikut dia. Dia suka datang ke klinik jumpa saya sebab dia kata ubat saya berkesan.. hahaha.. padahal ubat sama je ngan klinik lain...

Apapun, kepada semua pembaca, doakan saya sukses di tempat yang baru ini. Baru berjinak-jinak dengan makanan di Kg Baru. Maklumlah... sebelum ni makan kat Damansara kan.. Kat Damansara, beli nasik lauk biasa kat makcik tepi jalan pun mahu kena RM 8.00. Kalau anda terjumpa saya kat Masjid Jamek tuh InsyaAllah tegur lah saya. Manalah tau, kalau ada duit lebih saya belanja popia basah kat sebelah Al-Islam Specialist Center tuh.... Insya Allah....

Wallahu A'lam

Salam.

Sunday, November 2, 2008

Perubatan Islam dan Perubatan Muslim - Bahagian 2






Sambungan....

PERUBATAN ISLAM HANYA BERASASKAN NILAI DAN MORAL SAHAJA?

Adakah hanya dengan menetapkan bahawa perubatan moden yang menjaga etika, nilai yang tinggi dan moral sudah menjadikan perubatan itu dipanggil perubatan Islam.

Ini tentulah agak sukar kerana perubatan berdasarkan hanya nilai dan moral sangat subjektif dan sangat sukar untuk didefinisikan. Walaupun begitu, etika dan nilai moral yang tinggi adalah salah satu ciri perubatan Islam tetapi tidak hanya behenti di setakat itu sahaja.

PERUBATAN TRADISIONAL MUSLIM

Pada waktu ini, pengamalan perubatan tradisional orang Islam menggunakan ramuan tradisional pada zaman dahulu digelar perubatan Islam.

Mengapa pengamal perubatan tradisional Islam mendapat sambutan daripada orang ramai walaupun perubatan semakin moden?

Ada beberapa sebab. Pertama, kegagalan perubatan moden mencapai ke dalam kawasan-kawasan ceruk dan pendalaman. Sebagai contoh-contoh di kawasan kampung yang sukar dari segi akses, maka pengamal perubatan tradisional Islam akan mendapat tempat.

Kedua, adakalanya perubatan tradisional yang diamalkan oleh orang Islam memang ada keberkesanannya. Ubat tradisional adakalanya telah diuji selama beberapa dekad dan generasi. Sekiranya ia tidak mujarab maka ia sudah lama berkubur, tetapi oleh kerana ia mujarab, ia terus digunakan sentiasa. Contohnya gamat yang boleh menyembuhkan luka telah digunakan selama beratus tahun.

Ketiga, Sikap segelintir orang Islam yang cuba menjauhi daripada perubatan yang ada kena mengenai dengan dunia barat.

Keempat, pengamal perubatan tradisional Islam lebih memandang manusia secara menyeluruh (bukan sekadar penghidap penyakit), mempunyai lebih banyak masa untuk mendengar masalah pesakit dan tidak menggunakan teknologi yang kadang-kadang tidak disenangi oleh segelintir pesakit. Sedangkan di hospital, kebanyakan doktor terpaksa melayan beratus pesakit sehari menjadikan masa bukan berada di pihak mereka.

Malah, kewujudan lebih banyak perubatan tradisional turun temurun yang diamalkan oleh orang Islam sebenarnya bukan satu fenomena lokaliti tetapi menyeluruh ke banyak tempat disebabkan oleh kegagalan perubatan moden untuk menangani isu yang disebutkan di atas.

Walaubagaimanapun, Islam melarang umatnya yang mengamalkan perubatan tradisional menggunakan sihir, menilik nasib dan tangkal. Ada juga yang menggunakan jin atau mengaku mempunyai kuasa mengawal jin. Perbuatan-perbuatan ini telah jelas di dalam Quran dan sunnah adalah syirik dan menghampiri syirik. Ini adalah antara sebab ada perubatan tradisional tidak lagi popular di kalangan umat Islam secara majoriti.


DEFINISI BARU PERUBATAN ISLAM

Cadangan oleh Prof Omar Kasule untuk mendefinisikan Perubatan Islam sebagai amalan perubatan di mana dasar paradigma dan konsep, nilai dan prosedurnya sesuai dan tidak bercanggahan dengan al-Qur'an dan Sunnah. Ia tidak bergantung kepada prosedur dan ubat-ubatan tertentu yang menjadikan ia sebagai perubatan Islam tetapi perubatan Islam itu meluas, mencakupi kesemua dan fleksibel, dan melalui proses perkembangan termasuk cara berubat dan pemeriksaan penyakit.


ADAKAH PERUBATAN ISLAM HANYA UNTUK ORANG ISLAM?

Saya tertarik dengan persoalan ini. Adakah Perubatan Islam hanya untuk orang Islam, atau adakah ia adalah universal dan mencakupi ke seluruh dunia tanpa mengira agama, negara dan warna kulit?

Bila persoalan ini diungkapkan, perubatan Islam tentulah perlu berada pada aras cemerlang atau lebih cemerlang daripada perubatan barat yang ada sekarang.


PERUBATAN BERASASKAN BUKTI CIRI-CIRI PERUBATAN ISLAM

Perubatan empirikal atau perubatan berasaskan bukti (Evidence Based Medicine) adalah satu pembuktian secara saintifik yang telah diamalkan beratus-ratus tahun sejak zaman yunani dan greek dan diteruskan dan didokong oleh saintis Islam pada zaman kegemilangannya kemudian diteruskan oleh saintis barat dan Islam sehingga kini.

Ia adalah prioriti dan dianggap piawai kepada kecemerlangan ilmu saintifik. Malah perubatan berasaskan bukti adalah selari dengan Islam. Walaubagaimanapun, terdapat kelemahan-kelemahan perubatan empirikal yang diamalkan barat seperti "biased", kelemahan dari sudut pemerhatian dan sbg, ia boleh ditambah baik di dalam perubatan Islam.


MENG"ISLAM"KAN BIDANG PERUBATAN

Islamisasi di dalam sistem perubatan adalah perlu kerana sistem perubatan itu sendiri bukanlah hak barat sahaja malah ia adalah satu perkara yang universal. Malah ramai doktor dan saintis Islam telah banyak menyumbang kepada kemajuan bidang perubatan ini.

Perubatan Barat tidak melihat moral dan isu sosial sebagai perkara penting di dalam masalah pesakit. Apabila pesakit datang kerana masalah hati atau liver chirrosis, maka doktor tidak menyentuh tentang keburukan alkohol dan kenapa pesakit perlu berhenti daipada meminum arak. Mereka hanya mahu merawat masalah dan lupa kepada akar masalah tersebut yang bertitik tolak daripada nilai dan moral pesakit.

Begitu juga amalan kapitalis yang menjadikan perubatan hanya untuk mengaut keuntungan dan kekayaan. Ini menjadikan masalah penipuan dan "malpractice" di dalam perubatan adalah tinggi.

Sumber Ilmu di dalam Islam terbahagi kepada 2 iaitu sumber wahyu dan "kawn" atau dunia eksperimen. "Aqal" atau intelektual adalah alat yang diberi kepada manusia untuk menta'kul dan berfikir dan menguruskan 2 sumber ilmu tadi iaitu "wahyu" dan "kawn".

Pemikiran Barat tidak menerima "wahyu" sebagai sumber ilmu. Mereka bersifat materialistik, tidak mempercayai agama dan adalakalanya anti agama. Oleh itu "ghaib" iaitu satu entiti yang tidak dapat dilihat tidak dimasukkan sekali.

Oleh itu mereka bertindak berdasarkan sistem moraliti yang vakum. Tidak ada sistem moral yang berdiri. Oleh itu mereka cuba menyelesaikan masalah perubatan disebabkan oleh moral tadi dengan menggunakan hanya sistem kecanggihan teknologi sahaja. Ini yang menyebabkan kegagalan sistem perubatan barat berbanding Islam.

KESIMPULAN

Keadaan kita sekarang telah diterangkan oleh Imam Shafiie seribu tahun yang lalu yang ditulis oleh Jalaludin as Sayuti di dalam bukunya Tibb an Nabawi.

"Selepas sains yang membezakan di antara halal dan haram, saya tidak mengetahui satu pun ilmu sains yang lebih tinggi daripada ilmu perubatan... benarlah, Ahli Kitab telah mengalahkan kita dan meninggalkan kita jauh dari dalam bidang ini..."

Semoga proses Islamisasi di dalam bidang perubatan dapat meningkatkan lagi kemampuan intelektual dan motivasi kita secara prakikal untuk bekerja keras di dalam bidang penyelidikan perubatan agar Islam dapat kembali lagi sebagai pemimpin di dalam bidang ini.

Wallahu A'lam.



Related Posts with Thumbnails