Friday, December 26, 2008

Syatik Al-Wadi..




Salam,

Membentuk sebuah syarikat yang mempunyai 3 orang usahawan yang berlainan latar belakang dan saling percaya mempercayai adalah sangat sukar. Lebih-lebih lagi, ketiga-tiganya mempunyai pengalaman gagal di dalam bisnes akibat ditipu oleh kawan atau orang yang dipercayai.
Saya bersyukur kerana menjumpai 2 orang sahabat yang walaupun sudah berusia (boleh dipanggil bapa), mempunyai latar belakang yang mengagumkan sekaligus bertindak sebagai sifu atau mentor saya di dalam perniagaan.

Tuan Haji Kamarudin Bin Hj Parlan adalah seorang kontraktor yang sudah 30 tahun berkecimpung di dalam perniagaan. Beliau pernah mengimport daging beku dari India berkontena-kontena (dah tak buat sebab share partner meninggal dunia) dan masih lagi mengambil kontrak maintenance bangunan untuk beberapa syarikat besar. Beliau pernah mewakafkan tanahnya untuk pembinaan sebuah masjid di Jalan Kebun, Klang dan kini masjid tersebut betul-betul di sebelah rumahnya.

Seorang lagi yang tidak perlu disebutkan di sini ialah seorang pegawai di sebuah jabatan kerajaan yang akan bersara dalam masa setahun dua lagi. Beliau dikenali sebagai serang yang amanah dan tidak makan suap walaupun tugasnya memberikan tender-tender kerajaan yang besar. Lihat sahaja keretanya, cuma proton saga lama sahaja. Beliau juga adalah ketua kepada sebuah masjid terkenal di Kuala Lumpur.

Bagaimana saya terjumpa mereka berdua adalah kerana aturan Allah semata-mata. Tidak sangka juga pada awalnya sekadar berjumpa dan berborak, kini kami telah bersama-sama mendaftar untuk menubuhkan sebuah syarikat bernama Syatik Al-Wadi Enterprise untuk membuat penternakan lembu.

Pengalaman Tuan Haji Kamarudin di dalam menjual daging lembu beku beberapa tahun dahulu banyak membantu. Pada awal projek ini kami akan menggunakan kebun kelapa sawitnya seluas 3 ekar untuk memulakan projek ini. InsyaAllah kami juga sedang proses memohon untuk menambahkan modal kerana modal sedia ada telah digunakan untuk membuat kandang dan membeli 30 ekor lembu dari Pahang.

Pada masa yang sama, kami juga akan mengusahakan ternakan kambing dan ayam kampung secara kecil-kecilan. Kepada sesiapa yang berminat untuk membeli lembu untuk urusan perkahwinan dan aqiqah, boleh menghubungi saya atau emailkan kepada saya. InsyaAllah kami akan memberikan harga yang terbaik.

Pada pendapat saya, pertemuan yang membentuk persahabatan ini adalah satu pertemuan yang dirancangkan oleh Allah. Saya berharap ia akan berkekalan dan mendapat keberkatan dariNya juga. Amin.



Friday, December 19, 2008

Syirah dan Quek Mambo








Salam,

Ni anak kedua saya Nur Annisa' Insyirah atau Syirah. Umur 5 tahun tahun 2009 ni. Entah macamana pulak dia boleh berjoget ala Quek Mambo ni pun saya tidak tahu.

Skali tengok cam Quek mambo.. dua kali tengok cam itik balajar terbang... kua kua kua. Siap pegang biskut kat tangan kanan dia.

Biasanya dia malu untuk bejoget depan kamera tetapi kali ini bersemangat sekali. Video klip ni diambil di dalam bilik rumah Aki Syirah di Kg Batu Balek, Pekan, Pahang.

Saya bantai gelak masa tengok dia menari.

Kelakor... :) hahaha...!

Penswastaan IJN - Adakah Satu Keperluan?




Assalamualaikum,

Negara dikejutkan semalam dengan berita bahawa Sime Darby akan mengambil alih Institut Jantung Negara. Pengambil alihan ini menimbulkan banyak rasa kebimbangan samada caj hospital akan juga dinaikkan daripada sekarang dan samada orang miskin dan pegawai kerajaan mendapat keistimewaan sebagaimana sekarang.

Secara amnya apabila penswastaan berlaku, kualiti sesuatu projek atau organisasi akan meningkat terutama dari segi budaya kerja yang lebih berorientasikan pelanggan, kesungguhan untuk meningkatkan keuntungan dengan cara meningkatkan produk dan pemasaran dan pulangan kewangan kepada pekerja swasta yang lebih tinggi.

Namun tidak semua projek penswastaan yang berjaya. Ada juga yang gagal dan tidak mencapai pulangan keuntungan yang diharapkan. Bahkan lebih teruk daripada itu, terdapat sistem penyampaian dan kualiti perkhidmatan yang lebih kurang serupa atau semakin teruk selepas penswastaan dilaksanakan.

IJN dikatakan mempunyai kelebihan dari segi perkhidmatan yang baik walaupun ia tidak diswastakan jika dibandingkan dengan hospital kerajaan lain termasuk bangunan di sebelahnya iaitu HKL. Kakitangannya nampak professional, pakarnya adalah pakar jantung terbaik negara dan wad serta fasiliti mempunyai kelasnya yang tersendiri. Oleh itu kenapa ia perlu diswastakan?

Adakah ia satu keperluan yang sangat terdesak?

Adakah kerajaan tidak mampu menampung kos kenaikan bil perubatan yang meningkat? Lebih-lebih lagi pesakit jantung di kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat saban tahun.

Adakah langkah ini merupakan kebimbangan yang telah saya luahkan di dalam artikel saya yang lepas di dalam blog ini bahawa kos perubatan di Hospital Kerajaan Malaysia akan meningkat? Selepas ini adakah kerajaan akan menaikkan caj rawatan di hospital kerajaan pula? Harap-harap ia tidak akan terjadi.

PM juga menyatakan bahawa perubahan dari segi kemudahan perubatan, kos yang semakin meningkat dan pembayaran gaji yang lebih baik kepada pakar jantung terbaik negara untuk mengelakkan mereka lari keluar ke swasta adalah di antara penyebabnya. Kenapa kerajaan tidak menimbangkan penubuhan "sayap IJN", di mana satu bangunan asing dibina untuk menempatkan pesakit swasta yang inginkan konsultasi dan rawatan daripada pakar jantung negara?

Sayap IJN merupakan tempat rawatan di mana pakar boleh mendapat pendapatan lebih daripada pesakit yang khusus dan rakyat Malaysia masih boleh menikmati caj yang sama sebelum ini. HUKM telah melaksanakannya dan nampak berjaya walaupun terdapat sedikit kelemahan di sini dan sana.

PM akan memastikan bahawa yuran perubatan kepada golongan berpendapatan rendah dan pekerja kerajaan tetap tidak akan meningkat. Kepada golongan rakyat yang lain pula, kerajaan akan memantau caj pembayaran yang dikenakan kepada mereka agar tidak terlalu tinggi. Berapa peratus daripada pesakit IJN yang merupakan mereka yang dikecualikan dari bayaran?

Apa yang dirisaukan, apabila IJN diswastakan, pesakit di IJN akan menjadi lebih kurang kerana tidak mampu untuk membayar caj perubatan, dan pesakit akan kembali membanjiri hospital-hospital kerajaan yang lain. Ini akan membebankan pula doktor-doktor dan kakitangan di Hospital kerajaan yang lain dengan tanggungjawab tambahan.

Pakar Jantung pula akan menjadi lebih kaya. Kalau dulu ada 2 mercedes, sekarang boleh beli 4 mercedes dan beberapa buah banglo. Rakyat Malaysia pula kehilangan satu institusi kerajaan yang selama ini memberi perkhidmatan yang sangat baik dengan caj yang rendah kepada semua pesakit.

Sesiapa yang bukan dari golongan berpendapatan rendah, bukan pekerja kerajaan dan mempunyai sejarah keluarga sakit jantung, penghidap darah tinggi, kencing manis, dan penghisap rokok tegar... Anda boleh mula membeli insurans untuk masa hadapan sekarang... Saya boleh cadangkan beberapa orang ejen yang bagus.

Salam.

Wednesday, December 17, 2008

Kelab RTM






Salam,

Dua hari lepas seorang pengunjung al-Islam dan dua orang pengawal keselamatan Al-Islam sedang berborak-borak. Ketika itu jam 7.15 pagi, masih tiada pesakit. Saya pun datang dan tumpang mendengar sekali.

Pengunjung al-Islam juga dikenali sebagai Datuk X rancak bercerita tentang sebuah kelab baru yang ditubuhkan dinamakan Kelab RTM.

Hmmm... saya fikir, ini adalah satu pembaharuan daripada Dato' Sabery Cheek ni. Hebat. TV3 pun tak ada Kelab TV3, RTM dah tubuh kelab sendiri.

Datuk X bagitahu, kelab RTM ini kebanyakan anggotanya adalah dari golongan pesara. Kebanyakannya adalah kaki-kaki masjid dan majoritinya adalah lelaki. Kelab RTM ini adalah untuk memenuhi masa yang terluang golongan pesara dan yang sudah ditinggalkan anak.

Antara aktiviti kelab RTM ni banyak berkisar di kedai-kedai kopi . Kebiasaannya selepas Subuh satu perjumpaan akan diadakan sehinnga jam 10 pagi. Kemudian seterusnya perjumpa selepas Isyak sehingga jam 11 p.m.

Biasanya akan diadakan perbincangan dan diskusi tentang isu-isu semasa harian negara. Contohnya ahli kelab ini akan membeli beberapa jenis surat khabar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Harakah, Suara Keadilan dan beberapa jenis surat khabar lagi.

Mereka akan bertukar-tukar pendapat, memberi idea-idea bernas masing-masing dan tidak kurang juga berlaku tekak menekak sekiranya isu yang timbul menjadi semakin panas. Pada kebiasaannya pergaduhan mulut boleh berlaku di antara golongan yang menyokong kerajaan dan kumpulan yang menyokong parti pembangkang.

Saya hanya mendengar sahaja cerita Datuk X. Saya tidak menyampuk sebab saya pun tak tahu hujung pangkalnya. Tidak pula diumumkan di radio ataupun surat khabar tentang penubuhan Kelab RTM. Datuk X terus bercerita dan dua pengawal tadi menjadi tukang sampuk. Saya yang mendengar agak keliru juga.

Datuk X tu akhirnya memberitahu Kelab RTM tuh maknanya Kelab REHAT TUNGGU MATI. Ye lah, orang pencen dan yang dah tua nak bersara, buat apa lagi, rehat nak tunggu mati je lah... Lagi kuat dua orang pengawal tuh gelak mendengar cerita Datuk X...

Hampeh Datuk X nih......

Monday, December 15, 2008

Presiden Amerika Paling Bodoh






Salam,

Semalam telah berlaku satu insiden kepada Bekas Presiden Amerika, George W.Bush yang melawat Iraq secara mengejut.

Mungkin beliau mengharapkan balingan bunga atau kata-kata manis terhadap beliau apabila setibanya di sini. Tetapi jangkaannya meleset.

Semasa beliau ingin memulakan ceramahnya, satu objek terbang menghampiri mukanya. Mujurlah beliau dulu pernah belajar silat pulut dengan Wak Mustar sikit-sikit semasa menjadi tentera Amerika sewaktu mudanya.

Seorang wartawan yang marah mencampakkan kasutnya kepada Bush sambil menjerit, "Inilah ciuman Selamat tinggal kamu, Anjing". katanya. Sambil menjerit lagi, "Itu daripada Balu, Anak-Anak Yatim dan Mereka yang mati!". Wartawan tersebut bertugas sebagai wartawan untuk televisyen Al-Baghdadia, Iraq.

Tapi dasar muka tak tahu malu, Bush lepas cam tak ada apa-apa dan membuat lawak, "Itu kasut saiz 10".

Adakah wartawan yang membaling kasut itu akan dianggap sebagai pengganas dan dimasukkan ke dalam penjara Teluk Guantanamo kerana menyerang Presiden Bush sementara Barrack Obama mengambil alih Whitehouse nanti, nasibnya masih tidak diketahui.

Patutnya tapak kasut tu terkena mukanya. Barulah dia tahu betapa tak popularnya dia dan betapa teruk dasar Amerika di bawah pemerintahannya.

Wajarlah dia digelar "Presiden Amerika Paling Bodoh" oleh rakyatnya sendiri.


Wallahu A'lam

Saturday, December 13, 2008

Baja Cacing Tiada Kualiti?






Salam,

Ramai orang kata baja cacing susah nak jual secara komersial. Kenapa?

Ramai penjual baja cacing kata, kita kena melihat dari jangka panjang. dan bukan jangka pendek untuk melihat hasilnya. Kurang serangga perosak, kurang penggunaan racun, pokok jadi sihat. Tetapi adakah petani moden boleh tunggu begitu lama untuk melihat hasil buah-buahan dan bunga dari pokoknya untuk dijual?

Padangan anda adalah diperlukan.

Baca artikel ini untuk memberi komen anda.

Friday, December 12, 2008

Mulakan Pagi Anda Dengan Udara Segar!






Apakata apabila anda bangun pada waktu pagi, mulakan hari anda dengan solat subuh dan ambillah sedikit masa dengan berjalan-jalan di hadapan rumah selepas itu.

Lihat di kehijauan pokok kerana ini boleh menenangkan jiwa dan mengurangkan stress di pagi hari.

Hirup udara segar pagi dengan diiringi kicauan burung dan kokok pagi ayam. Tidak perlu ada udara beracun untuk santapan pagi anda.

Apabila anda bangun dari tidur, jantung anda yang tadi agak perlahan kerana tidur mula menjadi sedikit laju.

Jantung ini mengepam hemoglobin yang sarat dengan oksigen dari paru-paru ke sel-sel tubuh. Sel-sel tubuh ini akan berada di dalam keadaan saf-saf yang tersusun untuk bekerjasama membantu anda mengharungi pagi anda sehingga ke malam esoknya.

Tidak adil dan zalim bagi anda meracuni sel-sel tubuh anda yang bekerja untuk menjadikan diri anda sebagai anda dengan karbon monoksida dan segala macam racun. Tak adil juga kepada paru-paru anda.

Apabila kereta ingin bergerak pada waktu pagi pun anda mulakannya dengan menghidupkan enjin sehingga panas. Ini membantu melambatkan kerosakan enjin. Memberi peluang agar minyak naik ke tahap yang sepatutnya.

Begitu juga dengan tubuh. Berilah sel-sel anda santapan yang sepatutnya diberikan kepada mereka. Jantung dapat berfungsi dengan lebih baik dan efisyen jika tiada asap rokok pada waktu pagi. Salur darah juga kurang tersumbat.

Pada waktu pagi, isteri dan anak-anak anda juga memerlukan oksigen yang mencukupi. Agar anak-anak dapat membesar dengan baik dan sempurna dan agar paru-paru isteri bersih dari segala gelodak dek asap durjana.

Apabila anda mulakan pagi... jangan mulakan dengan asap rokok. Mulakanlah dengan udara segar.

Amalkan lah.. InsyaAllah anda akan dapati perbezaannya.

Wallahu A'lam.

Wednesday, December 10, 2008

Bukit Antarabangsa - Satu Tragedi






Salam,

Apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kejadian tanah runtuh kepada keluarga yang malang sangat-sangat menyedihkan. Malah di Bukit Antarabangsa, kawasan Ukay Perdana dan kawasan Ulu Klang, kejadian tanah runtuh sudah hampir berlaku berulang-ulang kali.

Oleh kerana saya selalu melalui jalan yang tertimbus itu ke oakleaf, saya tahu bahawa salah satu daripada banglo yang musnah itu, sebenarnya baru sahaja selesai pembinaannya. Tuan punya banglo baru itu membeli banglo lama di atas tapak tanah tersebut, meruntuhkannya semua dan membina banglo baru yang lebih besar (amat besar!). Tetapi jika nak dibandingkan dengan kemusnahan akibat bencana alam, banglo itu kelihatan kecil sahaja dan boleh diabaikan.

Cuba bayangkan kebesaran dan kehebatan Allah... MasyaAllah.

Oakleaf Park, kondominium yang saya sewakan juga menghadapi mangsa. Mujur penyewa saya tiada di sana waktu itu. Walaupun tidak ada struktur yang rosak tetapi jalan masuk dan keluar yang tertimbus menyusahkan ramai pihak. Malah, stigma tanah runtuh dan bukit antarabangsa akan kekal beberapa tahun yang akan datang.

Beberapa tahun dahulu, semasa saya baru membeli kondo oakleaf park, saya ada terdengar ura-ura bahawa satu jalan keluar akan dibina di kawasan puncak bukit berhampiran oakleaf. Ini kerana hanya ada satu jalan masuk ke laluan itu iaitu melalui Taman Bukit Mewah dan tidak ada jalan alternatif keluar. Tetapi itu cerita yang saya dengar 5 tahun yang lalu.

Sehingga kini, jikalau difikirkan semula, alangkah bagus kalau memang sudah ada satu jalan alternatif ke luar daripada puncak bukit antarabangsa. Cuba bayangkan sekiranya tanah runtuh melibatkan pelbagai kawasan di atas bukit, pasti keadaan menjadi sangat-sangat sukar tanpa jalan masuk alternatif. Cuba saja kita lihat sekarang.

Mengikut kawan saya yang mengetahui serba sedikit tentang topografi, kawasan Ulu Klang kebanyakannya adalah hutan simpan atau hutan tadahan air. Namun, mungkin kerana arus pembangunan yang pesat yang membelakangkan keselamatan dan alam semualajadi (dan juga ketamakan manusia), maka tanah-tanah hutan ini dibuka di atas nama pembangunan.

Apabila pembangunan tanpa arah dan hanya berkiblatkan wang dan kuasa, maka nyawa dan harta benda orang yang tidak berdosa banyak menjadi korban.

Sudah sampai masanya, penguatkuasaan undang-undang diperketatkan dan dipandang secara serius. Apa yang berlaku perlu diambil iktibar.

Semoga kejadian seperti ini tidak berlaku lagi di masa akan datang.




Friday, December 5, 2008

Dr Azwan di NTV7






Salam,

InsyaAllah sesiapa ada kelapangan boleh menonton di NTV7 esok, 6 hb Disember 2008, jam 1 tghari. Berkenaan satu interview bahagian berita NTV7 dengan saya di samping Dato' Dr Maamor, Chef Farid dan seorang Chef di De Palma yang berkisar tentang makanan halal haram di Restoran Hotel 5 Bintang.

Ini berkenaan kenyataan Dato Dr Mashitah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tentanga hnya 18 hotel sahaja dadripada lebih 2000 hotel yang mempunyai sijil halal.

Wallahu Alam.

Thursday, December 4, 2008

Adakah Handphone Anda Ori?




Salam...

Bagaimana nak tahu telefon bimbit anda original ?

Cuba Klik di sini

Khatan : Terkini atau Konvensional?








Salam,

Ramai yang bertanya, mana satu kaedah yang paling baik untuk berkhatan? Jawapan saya - semuanya boleh belaka dan semuanya baik...

Biarlah saya cuba menceritakan kaedah2 yang saya tahu dan daripada pengalaman saya mengkhatankan mungkin sudah beratus kanak-kanak.

Seperti saya tulis di dalam artikel sebelum ini, berkhatan adalah satu prosedur kecil tetapi di dalam perubatan walaupun ia prosedur yang kecil ia boleh membawa kepada risiko. Sebagai contoh, hatta suntikan di bahu menggunakan jarum yang paling halus pun ada juga risikonya yang tertentu. Jadi mari kita sama-sama nilai kelebihan khatan berdasarkan kaedah-kaedahnya dan risiko-risikonya.

Anda perlu tahu risikonya kerana perubatan moden adalah satu yang transparent atau jelas. Ini adalah kerana akhirnya, keputusan yang dibuat adalah di tangan anda dan bukan di tangan doktor. Penjelasan yang dibuat kepada anda akan menentukan keputusan yang akan anda ambil. Oleh itu ia perlu jelas dan difahami.


KAEDAH KONVENSIONAL

Kaedah konvensional juga ada banyak jenis. Tetapi untuk lebih mudah difahami, ia adalah membuang kulit di hujung kemaluan dengan memotongnya kemudian memberhentikan darah secara manual dan menjahit baki kulit.

Kaedah konvensional ini mengalami sedikit evolusi dengan kehadiran satu alat dipanggil cautery. Cautery ini adalah satu alat yang menggunakan elektrik atau bateri. Ia menghasilkan haba di hujungnya dan boleh digunakan untuk memotong lebihan kulit dan membakar salur darah. Ini menjadikan proses khatan kurang dari segi pendarahannya.

Ada ibu bapa menyalah anggap dan memanggilnya sebagai "laser" walaupun ia bukanlah sejenis laser. Cautery elektrik pada pasaran semasa berharga antara RM 2500 - RM 5000 mengikut jenisnya. Oleh itu bukan semua klinik atau doktor yang mempunyai alat ini. (Saya pun pinjam dengan orang). Cautery menggunakan bateri daripada jenis yang baik dan tahan lama adalah di dalam lingkungan RM 2000.

Kaedah menggunakan gunting dan pisau (blade) masih juga digunakan oleh sebilangan doktor. Pakar bedah plastik yang mengajar saya berkhatan dahulu pun masih menggunakan kaedah ini. Pendarahan diberhentikan menggunakan teknik "Ligation" iaitu diikat menggunakan benang. Kaedah memberhentikan darah secara ini adalah selamat kerana, saluran darah besar akan tertutup dengan pasti menggunakan benang berbanding membakar menggunakan cautery.

Walaubagaimanapun, cara ini agak lambat. Ia mengambil masa dari 20 minit sehingga 45 minit seorang pesakit. Bergantung kepada pendarahan dan sebagainya. Cara konvensional lebih memudahkan berlaku pendarahan kerana memotong menggunakan gunting atau pisau tidak memberhentikan darah berbanding cautery.

Oleh itu ramai doktor menggunakan kaedah konvensional tetapi memotong kulit dan memberhentikan salur darah menggunakan cautery dan menjahit kulit menggunakan benang "catgut". Ini mempercepatkan proses berkhatan dari 45 minit kepada 20 minit sahaja untuk seorang pesakit.


KAEDAH KLAMP

Kaedah klamp (tara klamp, smart klamp) adalah cara terikini untuk berkhatan. Ia adalah cara yang sangat cepat dan kurang pendarahan. Cuba bayangkan 80 orang boleh disunatkan di dalam masa 3-4 jam sahaja dengan 5 buah katil oleh 5 orang operator.

Jika tak silap saya salah satu klamp yang awal dihasilkan berasal daripada idea seorang doktor berketurunan sikh di Malaysia. Aneh kan? Seorang Doktor yang bukan Islam menghasilkan satu alat yang rata-ratanya orang Islam yang banyak menggunakannya.

Setelah kanak-kanak diberi bius, ukuran klamp dikenalpasti dan alat yang sesuai dengan saiz kemaluan akan dimasukkan. Setelah klamp diaplikasikan di tempatnya yang sesuai, kulit-kulit yang berlebihan akan dipotong (samada menggunakan cautery atau pisau). Pendarahan adalah kurang kerana segala salur darah telah ditekan menggunakan alat tersebut.

Kaedah ini tidak perlu jahitan. Oleh itu ia sangat cepat. Selepas 7 hari pesakit akan datang ke klinik semula untuk membuka klamp tersebut. Adakalanya ia akan jatuh sendiri dan ini memudahkan urusan.

Dari segi kos, kaedah klamp ini agak mahal. Rata-ratanya di klinik mengenakan bayaran daripada RM 200 hingga RM 350 untuk satu prosedur. Harganya mungkin lebih murah di dalam lingkungan RM 150- RM 180 sekiranya diadakan berkahatan beramai-ramai kerana dari segi bilangan peserta yang ramai akan mengurangkan kos.

Ada ramai doktor yang tidak beberapa menyukai kaedah klamp. Ini juga termasuk saya. Ada juga yang pada awalnya menggunakan klamp tetapi akhirnya bertukar kepada kaedah khatan konvensional.

Masalah yang berlaku kepada klamp ialah apabila untuk membuang klamp selepas satu minggu. Klamp akan melekat di kawasan kemaluan untuk menutup salur darah dibahagian kulit yang dipotong. Untuk membukanya kadang-kadang pesakit akan merasa sakit. Sakitnya adalah sebagaimana dia bersunat dahulu. Ada yang menangis kerana kesakitan selama beberapa hari selepas itu.

Sedangkan, kaedah konvensional hanya merana pada waktu bersunat sahaja selepas itu tidak ada lagi kesakitan kerana benang yang dijahit akan hilang sendiri dan tidak perlu dibuang.

Ada juga pendarahan berlaku selepas klamp dibuang. Ini kerana kulit yang diklamp tidak tertutup sepenuhnya kerana masalah jangkitan. Masalah jangkitan boleh berlaku pada teknik klamp dan mengakibatkan luka lambat sembuh. Berbanding dengan kaedah jahitan, luka mudah terbuka kerana tidak ada jahitan yang menyokongnya.

KESIMPULAN

Cara yang bagaimana anda pilih untuk mengkhatankan anak anda bergantung kepada pilihan masing-masing. Jika tidak mahu pendarahan, pantas dan mudah dijaga maka pilihlah klamp.

Sekiranya mahukan cara konvensional, ada jahitan dan kurang pendarahan, gunakan cara cautery yang masih mengekalkan tradisi lama.

Apapun pilihan anda, di dalam ibadat berkhatan, yang paling penting adalah kebersihan yang terhasil daripada proses tersebut. Ini kerana di dalam Islam, apabila kita berbincang tentang bab Feqah, perkara yang paling awal ialah Thaharah atau Penyucian. Maka kebersihan adalah matlamat utama ibadah ini.

Wallahu A'lam

Wednesday, December 3, 2008

Dendang Berkhatan!






Assalamualaikum,

Musim berkhatan tiba lagi. Ramai ibu-bapa yang mengambil peluang untuk bercuti apabila tiba musim khatan. Ada juga yang ingin mengkhatankan anak pada waktu Sabtu dan Ahad untuk mengelakkan daripada mengambil cuti.

BAru-baru ini masuk dalam muka surat hadapan sebuah surat khabar berkenaan dengan seorang budak yang berkhatan menggunakan klamp yang menyebabkan anak tersebut dimasukkan ke dalam ICU. Saya tidak mengikuti cerita tersebut.

Saya dapat tahu daripada seorang kawan saya yang merupakan seorang doktor bius di sebuah hospital bahawa anak tersebut mengalami fournier's gangrene selepas dikhatankan.

Fournier's gangrene ialah keadaan dimana kawasan kulit dan bawah kulit mengalami gangrene (kematian sel) pada kawasan skrotum, sekeliling zakar dan kawasan kulit berhampiran punggung. Kematian sel ini adakalanya berlaku secara besar-besaran dan kuman merebak dan boleh masuk ke dalam salur darah atau sepsis. Apabila terlalu serius dan badan sudah tidak boleh bertahan, ini boleh membawa kepada kematian.

Ia merupakan satu perkara yang sangat menyedihkan apabila satu prosedur kecil seperti berkhatan boleh menyebabkan seseorang dimasukkan ke dalam ICU.

Walaupun berkhatan adalah satu prosedur minor yang telah dijalankan sejak zaman-berzaman, tidak dinafikan bahawa risiko prosedur tersebut tetap ada. Risiko jangkitan sebagai contoh lebih dikenali sebagai "burut" oleh orang dulu-dulu merupakan satu contoh yang sering terjadi.

Belum lagi kalau tersilap potong, terlebih potong dan terkurang potong.

Baru-baru ini saya mengkhatankan seorang lelaki dewasa buat kali kedua kerana semasa kecil kemungkinan tok mudim tidak memotong kulit tersebut dengan sempurna. Mungkin ia sesuatu yang memalukan baginya kerana terpaksa menghadapinya buat kali kedua, tetapi jika difikirkan betapa beratnya tanggungjawab untuk menunaikan ibadah dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan kulit yang berlebihan seperti itu, sifat malu dan takut harus dipendam dan dipadam. Saya yakin beliau sekarang lebih gembira dan menghadapinya dengan redha setelah disunatkan buat kali kedua.

Pendarahan adalah salah satu contoh di mana berkhatan harus dilakukan dengan hati-hati. Semasa saya kecil, saya ada terdengar kisah-kisah ngeri kanak-kanak yang meninggal dunia akibat berkhatan disebabkan oleh pendarahan teruk yang tidak boleh diberhentikan. Apatah lagi, tok-tok mudim dahulu tidak mempunyai alat untuk memberhentikan pendarahan sebagaimana sekarang.

Pendarahan memang tidak dapat tidak, boleh berlaku ketika berkahatan. Kemungkinan sekiranya 100 orang yang bersunat, mungkin 5 orang boleh berlaku pendarahan. Walabagaimanapun, usah tunggu sehingga pendarahan mencapai ke hari ke 3 baru memohon bantuan. Sekiranya pendarahan berlaku, bawa segera ke hospital.

Adakalanya pendarahan tidak berlaku sebaik sahaja selepas bersunat. Ada yang berlaku selepas hari ke 2 atau ke 3. Kemungkinan kerana akiviti kanak-kanak tersebut yang terlalu aggresif, menggaru ke, atau bermain bola sepak contohnya.

Keloid pernah berlaku (rujuk artikel saya tentang keloid untuk mengetahui maknanya) di kawasan tempat bersunat. Keloid adalah perkara yang memalukan dan ia mungkin boleh terjadi walaupun jarang-jarang. Sekiranya berlaku ia amat susah untuk dirawat. Bagaimana ia terjadi di situ, saya pun tidak pasti.

Pada kebiasaannya, bersunat ambil masa 5-7 hari untuk pulih. Pulih bermaksud di sini luka sudah tutup dan sudah boleh berjalan perlahan-lahan. Sekiranya ada jangkitan, ia mungkin mengambil masa yang agak lama. Mungkin ada yang pernah berpengalaman terjadinya jangkitan sehingga terpaksa duduk berbaring sehingga 2-3 minggu.

Pada zaman dahulu, ada yang menghabiskan cuti sekolah di atas katil kerana luka khatan tidak sembuh-sembuh. Alhamdulillah dengan adanya teknik berkhatan yang lebih steril, ubat antibiotik dan ubat cuci yang lebih baik, luka jangkitan dapat disembuhkan dengan kadar yang lebih segera.

Walaupun berkhatan telah melalui proses beratus-ratus tahun lamanya di tanah melayu dan sehingga kini melalui prosedur ke tahap sakit yang paling minimum, namun sifat kanak-kanak yang takut, menangis dan lari daripada medan "perang" tetap diwarisi zaman berzaman. Adakalanya majlis bersunat tak ubah seperti tempat "penyembelihan" kanak-kanak. Jika silap hari, kita pula yang kena tendang. kung fu dan kena karate.

Pengalaman indah (dan mengerikan!) melalui zaman berkhatan dahulu tidak dapat dilupakan setiap daripada kita yang bergelar lelaki dan menjadi dendang sepanjang tahun kepada anak-anak lelaki kita hingga ke cucu dan cicit InsyaAllah.


Related Posts with Thumbnails