Saturday, December 4, 2010

Berkhatan Untuk Kanak-Kanak Obes



Salam,

Pada musim berkhatan ni, saya mengkhatankan hampir 100 orang kanak-kanak. Kebanyakannya dijalankan di Hospital tempat saya bekerja sekarang di dalam bentuk pakej. Ada juga jemputan oleh kawan-kawan untuk membantu menjalankan khatan di masjid-masjid. Alhamdulillah, secara keseluruhannya tidak ada masalah.

Walaupun begitu, boleh dikatakan hampir 20% kanak-kanak yang berkhatan terdiri daripada kanak-kanak yang obes atau terlampau gemuk.

Berkhatan untuk kanak-kanak obes boleh menjadi satu masalah. Ini kerana tisu persekitaran di kawasan kemaluan tebal dengan lemak. Ini menjadikan 'kepala' seolah-olah tenggelam ke dalam dan yang tinggal cuma kulit sahaja. Tidak banyak doktor di klinik yang sanggup mengkhatankan mereka yang terlalu obes kerana kesukaran tertentu.

Di sini saya senaraikan 5 masalah utama untuk pemahaman kita bersama.


Masalah 1 : Memberi Bius Setempat

Masalah utama ialah untuk memberi bius setempat. Terdapat saraf-saraf di kawasan sekeliling kemaluan yang perlu dibius supaya berkhatan mudah dijalankan. Adakalanya, kesukaran timbul untuk mengenakan bius setempat di kawasan ini kerana lemak yang tebal. Ini kadangkala, menyebabkan bius boleh terlebih dan menyebabkan tisu menjadi bengkak dan menyukarkan tugas. Adakalanya bius pula terkurang dan pesakit pula boleh merasa kesakitan.


Masalah 2 : Bius habis awal

Kesan ubat bius setempat ialah di antara 90 minit hingga 2 jam. Ubat bius yang diberi bergantung kepada lemak badan. Bagi mereka yang gemuk, ada masanya ubat bius setempat tidak tahan lama. Cucuk sekejap jer dah hilang sakit. Ini kerana secara mudahnya ubat bius larut di dalam lemak lebih cepat.


Masalah 3 : Masa Menjalankan Khatan yang Lebih Panjang

Masalah juga boleh berlaku ketika menjalankan khatan itu sendiri. Kanak-kanak memang secara tabi'inya takut dengan khatan. Siapa tidak? Macamana rasa macho sekali pun, apabila di atas katil berkhatan, pasti peluh jantan akan menitik. Jika tidak, takkan ada yang baru nak khatan bila berumur 25 tahun. Itupun sebab nak kahwin tahun depan. Yang datang untuk temankan khatan pulak tunang sendiri.... Eeeeeeee... malu!!!!

Saya sendiri perlu bantuan dua orang untuk mengkhatankan kanak-kanak yang terlalu obes. Seorang sebagai pembantu dan sorang lagi untuk menekan kawasan lemak di atas kemaluan supaya khatan boleh dijalankan. Itu sekiranya anak tersebut tidak meronta dan menangis. Sekiranya meronta, mungkin 4-5 orang diperlukan untuk membantu memegang dan memujuk.

Dalam masa yang sama, saya juga berdoa supaya tidak ada banyak pendarahan. Oleh itu, di dalam kes khatan untuk anak yang obes, masa untuk berkhatan itu sendiri lebih panjang daripada biasa. Jangan terlupa bahawa kesan bius pula adalah lebih singkat daripada biasa.


Masalah 4 : Penjagaan Selepas Berkhatan

Masalah penjagaan selepas berkhatan juga perlu diberi perhatian. Biasanya sebaik sahaja selepas khatan, 'kepala' akan masuk ke dalam dan kelihatan seolah-olah hilang. Bagi ibu-bapa, masalah untuk membersihkan selepas kencing atau cuci harian terjadi kerana seolah-olah 'tidak ada apa-apa yang nak dicuci.

Jika dibiarkan sahaja nanti boleh menyebabkan jangkitan dan melambatkan penyembuhan. Kuman pun boleh duduk di bawah pelipat lemak itu. Oleh itu jangan risau, sewaktu kencing, tekan tisu di sekeliling agar kemaluan itu sedikit terkeluar. Lepas itu cuci sahaja dengan air bersih dan lap kering-kering selepas itu.


Masalah 5 : Tak cukup Potong

Anggaran untuk membuang berapa banyak kulit boleh menjadi sukar kepada mereka yang obes kerana kesukaran mengagak. Bagi kanak-kanak yang boleh dirasa 'kepala'nya ia tidak menjadi sukar. Bagi yang tidak rasa.. kita terpaksa buang kulit dengan cara menganggar sahaja. Bagi yang berpengalaman, ia agak sukar. Apatah lagi bagi yang kurang berpengalaman mengkhatankan kes-kes sebegini.

Untuk mengetahui potong kulit itu cukup atau tidak, agak sukar dikesan pada peringkat awal. Terutama bagi kanak-kanak yang obes. Ini kerana badan seseorang oleh berubah. Dulu masa kanak-kanak badan gemuk dan tak boleh nampak kaki pun masa berdiri, tapi sekarang bila dah besar, kurus dan slim melim pula.

Bila dah kurus, baru perasan masa doktor potong dulu, kulit tidak banyak dibuang jadi ia kembali tertutup atau tertutup separuh. Jadi fungsi khatan tadi tidak mencapai sasarannya. Saya pernah menceritakan di dalam blog saya tentang kisah seorang guru yang saya khatankan kali kedua kerana kulit kepalanya tertutup semula.

Jika ini berlaku, tiada pilihan lain selain daripada datang untuk berkhatan semula.


Kesimpulan

Berkhatan di kalangan kanak-kanak obes boleh dijalankan secara bius setempat. Sekiranya tidak dapat dijalankan, maka mungkin ibu bapa terpaksa menunggu anak-anak kurus sedikit atau lebih dewasa. Ini kerana hormon testesterone yang dirembes semasa anak lelaki menjadi dewasa boleh membantu membesarkan kemaluan dan berkhatan boleh dilakukan selepas itu.

Adakalanya doktor mencadangkan bius tidur atau bius penuh (general anaesthesia) untuk memudahkan khatan. Sekianya bius penuh, suntikan bius setempat tidak perlu diberi sebelum khatan dan kanak-kanak tidak meronta. Ini lebih memudahkan khatan. Bius sepenuhnya adalah satu alternatif tetapi kalau boleh dielakkan, lebih baik dielakkan kerana kos yang tinggi dan risiko-risiko bius penuh pula. Sekiranya ingin dijalankan juga dan menetapi syarat-syarat pakar bius, maka ia boleh dijalankan.

Ini cuma coretan pengalaman saya sendiri. Sila kongsikan pengalaman anda sekiranya ada.

Dr Azwan..


Thursday, December 2, 2010

Daniel, Danish, Rayyan dan Batrisyia..

Salam,

Saya melihat menamakan anak dengan nama yang moden, sedap dan terkini memang menjadi igauan ibu bapa. Saya dapat rasa trend nama anak yang meletakkan anak mereka dengan nama Daniel, Danish, Rayyan dan Batrisya menjadi terlalu kerap.

Apabila sempena cuti sekolah, sewaktu saya menjalankan khatan, perkara ini menjadi jelas.

Apabila anak dipanggil khatan, masuk seorang anak berumur 9 tahun... Siapa nama? Daniel jawabnya..

Tiba saat giliran yang kedua.. Siapa nama? Jawabnya.. Danish...

Tiba yang ketiga.. siapa nama? Daniel..

Eh rasanya tadi Danial dah..

Tiba yang keempat.. Siapa nama? Danish..

Kalau di klinik semasa merawat pesakit pun sama..

Nama Batrisyia terlalu ramai... tadi Batrisyia.. ini Batrisyia lagi... Sehingga sehari jumpa 5 orang Batrisyia... ada Batrisyia perempuan dan ada Batrisyia yang lelaki...

Tidak menjadi salah... tetapi nama tu terlalu popular sehingga semua ibu dan ayah nak namakan anak guna nama yang empat itu.

Saya risau sekiranya di dalam satu kelas 25 orang ada 5 orang Batrisyia dan 5 orang Daniel dan 4 orang Danish.. akan ada masalah untuk memanggil nama mereka..

:) itu cuma dalam fikiran saya sahaja...





Related Posts with Thumbnails