Wednesday, October 22, 2008

PROTON JOURNEY - MPV










Assalamualaikum,

Adik ipar saya, salah seorang engineer di Lotus ada memberitahu tentang keluaran MPV Proton yang baru. Jikalau tak silap saya, proton telah memulakan survey tentang MPV ni sejak beberapa tahun yang lepas.

Saya menerima satu email tentang gambar MPV proton terbaru bernama Proton Journey. Nampak hebat dan mantap. Saya letakkan di dalam blog ini untuk tatapan anda. Ia mempunyai kuasa enjin 1.8 dan telah memulakan ujian di atas jalan sejak 12 hb September yang lepas. Bentuknya seakan-akan Toyota Wish.

Menurut forum yang saya terjumpa, harganya di dalam lingkungan RM 70k -80k tetapi saya belum dapat mempastikan kesahihannya.

Kepada tuan punya gambar, dapat hubungi saya untuk memberi kredit kepada anda.

Diharapkan MPV Journey ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada peminat 7-seater tetapi juga mempunyai kelebihan yang lain seperti penggunaan minyak yang rendah dan alat ganti yang lebih murah.

Wallahu Alam.

Monday, October 20, 2008

Kisah Eurocopter dan Dato' Najib






Assalamualaikum,

Dua minggu yang lepas, bapa saya menerima sepucuk surat tanpa penghantar. Apabila dibuka didapati 3 helai surat berkenaan dengan Eurocopter dan cerita2 tentang pembelian helikoper cougar dengan harga RM 2.4 billion. Mengikut bapa saya, ramai ahli UMNO telah menerima surat ini terutama ketua cawangan dan ketua bahagian.

Saya tertarik dengan artikel daripada blog saudara ibunuzack ini.

Dalam sidang parlimen 13 Oktober yang lalu, Ketua Oposisi, Dato Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kecurigaan besar berkenaan skandal pembelian 12 unit Eurocopter Cougar EC725 yang melibatkan kewangan negara berjumlah RM2.317b. Skandal ini dilapor melibatkan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib Tun Razak yang sebelum ini dikaitkan dengan skandal komisen Scorpene dan Sukhoi.

Pendedahan melalui surat yang ditulis oleh Kapten (B) Dato Zahar Hashim selaku Pengerusi Mentari Services turut melaporkan bahawa proses LOI (Letter Of Intent) tidak mengikut prosedur dan keputusan pembelian dibuat tanpa menemui wakil jualan atau mendapat penerbangan ujian terlebih dahulu.

Saya terbaca pula laman Defense Industry Daily yang melaporkan keputusan kerajaan Brazil membeli helikopter tempur jenis sama dengan harga lebih USD1b.

Brazil and France sign an agreement in principle for Eurocopter to build helicopters in the South American country via its subsidiary Helibras. Brazil’s Defense Minister Nelson Jobim reportedly said that the country intended to buy 50 “Super Cougar” models, the first of which would be delivered in 2010. The deal’s value is reportedly around $1.2 billion.

Perkara sama turut dilaporkan oleh The Economics Times

Menurut laporan laman ini, pembelian 50 unit helikopter Multi-Mission ini akan melibatkan jumlah kewangan sebanyak RM 4.14b (USD 1.2b) atau RM82.8 juta bagi setiap unit. Sila bandingkan dengan Malaysia yang membeli 12 helikopter jenis ini dengan harga RM2.317b atau RM 193.08 juta bagi setiap unit.

Perbezaan harga yang diperolehi adalah RM 110.28 juta bagi setiap unit.

Selain itu turut dilaporkan dalam pakej pembelian itu adalah:

Under the agreement in principle, France would transfer technology and help Brazil expand the export capacity of its aviation industry by aiding the assembly of helicopter components such as engines and electrical systems, the statement said. (Sources: India Times)

Sudahlah mendapat harga yang lebih murah, dapat juga bantuan teknikal, pemindahan teknologi dan bantuan dalam pemasangan komponen helikopter.

Memang benar, spesifikasi setiap negara berbeza apabila melibatkan pembelian unit helikopter yang sama. Namun, kalau perbezaan harganya mencecah 233% bagi setiap unit, itu apa namanya?

Silakan Dato Najib..

Mungkin ada sapa-sapa yang boleh bagitahu tentang hal ini.

Wednesday, October 15, 2008

STATUS ASTHMATICUS - Serangan Maut Asthma





Assalamualaikum,

Dalam beberapa minggu yang lepas saya berkongsi satu berita sedih. Kakak seorang daripada pesakit saya meninggal dunia akibat serangan asthma beberapa hari sebelum hari raya.

Ironinya, pagi itu mereka berjumpa, berborak dan bersalam-salaman. Ketika di tempat kerja, kakaknya membuat panggilan telefon mengatakan bahawa dia tidak boleh bernafas akibat asthma. Adiknya membuat panggilan kepada suaminya untuk ke rumah kakaknya dengan segera.

15 minit selepas itu, apabila tiba di rumah kakaknya, suaminya mendapati bahawa kakaknya sudah tiada lagi.

Status Asthmaticus boleh didefinisikan ialah serangan asthma yang sangat teruk dan ubat seperti inhaler biasa tidak memberi kesan apa-apa kepada serangan ini. Oleh itu ia berbeza dengan serangan asma akut biasa yang memberi respon kepada rawatan awal.

Kejadian serangan asthma maut ini boleh berlaku kepada semua penghidap asthma terutama yang mempunyai serangan kerap dan tidak menjaga ubat-ubatan yang diambil untuk mengelak dari serangan asthma.

Gejala Status Asthmaticus ialah nafas berbunyi (wheezing), sesak untuk bernafas dan tidak boleh menghabiskan satu ayat di dalam satu nafas. Oleh kerana pernafasan menjadi kerja yang sangat berat untuk mereka, otot di leher dan di dada mula bekerja dan anda dapat melihat otot ini tegang untuk membantu pernafasan.

Bibir juga boleh menjadi biru akibat kekurangan oksigen dan peningkatan karbon dioksida di dalam darah dipanggil "cyanosis". Nadi yang pada awalnya laju kini menjadi semakin perlahan (perbezaan di antara asthma biasa dan status asthmaticus).

Sekiranya berlanjutan, pesakit tidak boleh bernafas langsung, bibir menjadi biru, malah "wheezing" sudah tidak lagi kedengaran.

"Wheezing" atau bunyi seperti seruling ketika menghembuskan nafas adalah karakter untuk asthma dan beberapa penyakit lain yang melibatkan masalah paru-paru. Ia berlaku apabila udara dipaksa melalui saluran pernafasan yang sempit dan menghasilkan bunyi tersebut.

Sekiranya tiada "wheezing" dalam serangan status asthmaticus adakah ini tandanya baik? Jawapannya tidak. Tiada wheezing bermakna saluran pernafasan telah tersumbat langsung sehingga tiada udara pun boleh melepasinya untuk menghasilkan bunyi.

Pesakit akan mengalami kekeliruan, rasa marah, semakin lemah dan akhirnya pengsan atau koma dan akhirnya membawa kepada maut.

Status asthmaticus adalah kes kecemasan. Rawatan diberi mengikut keadaan. Nebulizer dengan steroid dan bronchodilator (pembuka paru-paru) secara berterusan diberikan bersama-sama oksigen. Suntikan seperti anti histamine, steroid atau adrenaline diberikan.

Sekiranya teruk pesakit akan dimasukkan ke dalam ICU, diintubasikan dan bernafas menggunakan mesin.

Saya amat rasa sedih apabila terdapat ibu-bapa yang tidak membenarkan anak mengambil nebulizer asthma walaupun anak mengalami serangan asthma yang teruk. Mereka berpendapat bahawa sekali ambil nebulizer maka ia akan menyebabkan ketagihan dan serangan asthma akan berulang-ulang selepas itu. Sedangkan nebulizer membantu untuk mengurangkan kesusahan bernafas dan "lapar udara" yang dihidapi oleh anak-anak.

Itu adalah konsep yang salah. Asthma itu sendiri adalah penyakit yang berulang-ulang. Ia seolah-olah serupa dengan masalah gegata di kulit ketika anda memakan ketam.

Asthma adalah satu jenis alahan dan mengelakkannya dengan mengelakkan penyebab utama asthma seperti habuk, debu, sejuk, bulu kucing, dan asap adalah seperi anda tidak mengambil ketam untuk mengelakkan gegata timbul.

Kita tidak akan tahu bila serangan status asthmaticus boleh terkena kepada anda atau anak anda. Oleh itu berhati-hatilah.

Wallahu Alam.

Tuesday, October 14, 2008

Sudah Sampai Ajal..




Assalamualaikum,

Apakah yang lebih menyedihkan daripada melihat sahabat karib yang makan dan tidur serumah mati tercampak keluar dari kereta di hadapan mata sendiri.

Itulah yang berlaku kepada salah seorang pesakit lelaki saya hari ini. Beliau menangis sejak dua hari lepas sehingga berjumpa saya tidak berhenti-henti.

Beliau dan rakan-rakan serumah dalam perjalanan ke Shah Alam melalui jalan Puncak Alam dari Sungai Buloh untuk beraya 2 hari lepas. Mereka bergerak dengan dua kereta dengan beliau memandu di kereta belakang dan kawannya di hadapan.

Mengikut cerita ibu pesakit, waktu itu agak gelap (dalam maghrib), sedang menyusur jalan yang kurang keretanya itu, tiba-tiba kereta kawannya di hadapan mengelak lopak air besar menjadikan kereta hilang kawalan, berpusing dan melanggar tiang elektrik di sebelah sana jalan.

Pemandu kereta hadapan (mungkin tidak memakai tali pinggang) tercampak keluar dan maut serta merta. Seorang lagi rakannya selamat tanpa kecederaan manakala seorang lagi kawan di tempat duduk belakang mengalami kecederaan kepala tetapi sudah pulih.

Yang begitu menyedihkan pesakit ini ialah beliau menyalahkan kematian kawannya di atas dirinya. Beliau berkata bahawa disebabkan olehnya, mereka terpaksa bertolak lambat kerana beliau tidak tahu jalan ke rumah kawannya. Beliau merasakan sekiranya mereka bertolak lebih awal (waktu cerah), perkara ini sudah tentu dapat dielakkan.

Saya kasihan melihatnya dan cuba menasihati beliau apa yang termampu. Ajal itu sudah ketentuan Allah. Apa yang berlaku cuma sekadar menjadi sebabnya sahaja.

Saya kira hanya MASA sahaja dapat menyembuhkan hati beliau yang terluka akibat kehilangan teman tersayang.

Wallahu Alam.

Monday, October 13, 2008

Ayat-Ayat Cinta





Assalamualaikum,

Saya tak berpeluang menonton filem yang mendapat anugerah filem terbaik ini disebabkan kerja. Ramai yang melihatnya melahirkan rasa kagum.

Ini sebuah filem yang diangkat terbaik di Indonesia dan saya kira di Asia. RM 3.6 juta telah dipungut pada hari minggu pembukaan tayangannya di Indonesia dan RM 80 juta (SD 40 juta) telah dipungut di seluruh tayangan di Singapura dan di Malaysia sahaja menghampiri RM 15 juta.

Kalau tengok dari iklannya, sudah pasti ramai yang tertunggu untuk melihatnya. Filem ini mengangkat martabat filem Indonesia ke arah satu martabat yang tinggi. Tentulah jauh lebih tinggi daripada filem Malaysia yang gah dengan filem Jangan Pandang Belakang dan Cicak Man nya.

Filem ini penuh dengan mesej yang sarat, menampilkan elemen keislaman yang fundamental tetapi tetap bermotifkan cinta tetapi cinta yang lebih agung.... bukan Cinta Fotokopi atau Main Main Cinta.

Nampaknya filem Ayat-ayat cinta arahan Hanung Bramantyo yang berasaskan novel dengan tajuk yang sama tulisan Habiburrahman El Shirazy telah meletakkan martabat filem ini seperti filem-filem hebat di Iran yang sering memenangi banyak anugerah terbilang.

Bilakah Malaysia ingin menghasilkan karya agung seperti ini dan mendapat sambutan penonton yang mengagumkan. Bagaimana taraf karya ini dibanding dengan karya Yasmin Ahmad (yang terlalu banyak adegan bercium dan skrip yang selalu menghentam melayu dan Islam?)

Kenapa kita nak menghasilkan satu karya yang menang anugerah di sana-sini tapi kutipan yang corot di pawagam? Itu adalah pertanyaan sini Sdr Afdlin Shauki apabila ditanya suatu waktu dulu selepas berakhirnya satu anugerah Filem Malaysia. Ketika itu filemnya tewas di tangan sebuah filem lain yang kutipannya lebih rendah.

Genre filem Ayat-ayat cinta mungkin adalah jawapannya...

Wallahu A'lam.

Thursday, October 9, 2008

Saham Dunia Jatuh...






Assalamualaikum,

Masa Warren Buffet kata Amerika sudah mengalami kemelesetan ekonomi waktu krisis sub prima mula menjadi topik hangat beberapa bulan lalu, ada pakar ekonomi Amerika tidak bersetuju.

Tapi perkara tersebut mula semakin jelas apabila pasaran Dow Jones Amerika telah menurun satu pertiga daripada nilai asalnya iaitu hampir 5000 mata sejak setahun yang lepas. Malah sejak 6 hari yang lepas Dow Jones telah turun 6 hari berturut-turut ke paras di bawah 1000 mata. Semalam sahaja pasaran Dow Jones telah turun 190 mata (hampir 2%).

Pasaran di Asia tidak kurang hebatnya. Pasaran saham Jepun telah turun sebanyak 9%, Hong Kong 8% dan India hampir 4%. Pasaran Indonesia telah digantung semalam selepas mengalami kejatuhan sebanyak 10%.

Pasaran saham di Malaysia mengalami kejatuhan sebanyak 27 mata iaitu 2.7% kepada 970 mata. Sekarang ini apa yang berlaku semua pemegang saham ingin menjual semua saham mereka dengan apa harga sekalipun untuk megelakkan kerugian besar. Ini dipanggil jualan panik atau "panic selling".

Panic selling ni lah yang menyebabkan saham-saham di negara yang tidak terlibat secara langsung di dalam krisis sub prima juga merasa kesannya. Mujur saya tidak terlibat dengan pasaran saham buat masa ini.

Walaupun begitu jika Pasaran saham Malaysia turun ke takat 600 seperti dahulu dan krisis sub prima dijangka berakhir (dan Barrack Obama jadi Presiden US..) Wah... mungkin saya akan masuk ke pasaran saham terbuka semula...

Kepada anda yang ingin memahami Krisis Sub Prima US dalam BM dengan ayat yang lebih mudah daripada seorang yang arif dan OTAI.. sila ke blog Pakdi di SINI.


Wallahu Alam.

Wednesday, October 8, 2008

Saya Bukan Pakar Sakit Puan!






Assalamualaikum.

Sejak saya menulis artikel ttg mengira waktu subur begitu ramai sekali yang menghantar komen bertanyakan soalan, email, sms dan ada juga yang call semata2 ingin bertanya tentang waktu subur mereka. Komen telah mencecah beratus. Ada yang dah jawab, ada yang belum... Ada yang tengah jawab komen berjela-jela... tiba-tiba klinik black out!

Ada 2 perkara yang jelas di sini. Yang pertama, artikel saya itu tidak memberi kefahaman kepada pembaca. Ini adalah kerana pembaca bertanyakan soalan seperti bagaimana untuk mengira waktu subur dan soalan mudah yang berkaitan waktu subur yang sudah diterangkan di dalam artikel.

Mungkin kerana tulisan saya terlalu teknikal (? atau penat sangat nak baca sebab panjang sangat). Malah pembaca yang bertanyakan soalan tidak membaca komen2, kerana saya juga ada menerangkan tentang bagaimana nak mengira tarikh subur melalui jawapan di komen-komen (tetapi soalan-soalan yang sama masih terus ditanyakan).

Kedua. Masalah kesuburan menjadi masalah utama wanita di Malaysia. Dan wanita-wanita ingin cuba mencari penyelesaiannya dengan mencari maklumat di dalam internet. Kebetulan terdapat banyak pautan tentang artikel kesuburan itu kepada kepada blog-blog pelawat. Ini menjadikan carian di dalam internet tertumpu kepada artikel yang telah saya tulis.

KENAPA MASALAH KESUBURAN INI MENJADI TOPIK PANAS?

Masalah kesuburan ini menjadi masalah/ kepeningan kepada ramai wanita kerana trend yang berubah. Ramai wanita kahwin agak lambat akibat banyak sebab seperti mengejar kerjaya, menghabiskan pendidikan sehingga peringkat tertinggi, dapat jodoh lambat (kerana lelaki berkualiti semakin berkurang ataupun kumbang sudah "dipetik" bunga.. hehe) ataupun disebabkan oleh masalah kewangan pasangan.

Zaman dahulu, wanita mula berkahwin pada usia 18 tahun. Sekiranya mereka mendapat anak hanya pada umur 22 tahun pun, tidak menjadi masalah. Masih di dalam usia muda. Boleh sempat joli sana joli sini bersama pasangan masing-masing walaupun 4 tahun tiada anak.

Tapi pada zaman sekarang, wanita ramai berkahwin ketika umur mencecah 28 tahun ke atas. Ada yang berkahwin pada umur 30 tahun. Oleh itu, sekiranya wanita tidak mengandung selepas 2-3 tahun, maka ia menjadi kerisauan kepada kedua-dua pasangan. Kenapa masih belum mengandung? Umur sudah mencecah 32 tahun contohnya. Pasangan yang lebih berumur ini lebih cenderung untuk bertindak lebih aggresif. Tiada masa untuk joli joli bagi mereka.

Terdapat maklumat yang saya baca menyatakan bahawa, apabila seseorang wanita menempuhi umur 30 tahun ke atas, daripada segi kesuburan ia mula menampakkan penurunan. Walaubagaimanapun saya tidak pasti kesahihan maklumat ini.

Sekiranya ia benar, maka wanita yang menempuh alam rumahtangga dalam usia 30 tahun ke atas, akan menghadapi sedikit masalah kesuburan berbanding dengan mereka yang memasuki alam rumah tangga didalam usia yang lebih muda seperti umur 20 tahun.


SALAH FAHAM TERHADAP BLOG DR AZWAN

Saya bukan seorang doktor pakar sakit puan. Saya menulis sekadar nak berkongsi ilmu dan pandangan sahaja. Apabila ramai pembaca mula salah faham, saya menjadi agak kurang senang. Ramai yang beranggapan bahawa saya pakar sakit puan sedangkan yang sebenarnya tidak.

Ada yang telefon kerana menganggap saya pakar sakit puan. Saya berharap pembaca jangan tertipu. (sekurang-kurangnya saya berasa seperti saya sedang menipu anda semua).

Soalan yang saya jawab berdasarkan kemampuan saya sahaja. Tentulah jawapan saya tidak setaraf dengan pakar perbidanan dan sakit puan. Sekiranya masalah itu tidak selesai di blog ini maka silalah ke pakar sakit puan yang berdekatan.

Saya rasa amat bersalah sekiranya jawapan saya tidak menepati masalah puan-puan. Malahan saya sendiri tidak begitu kredential untuk menjawab soalan puan-puan.

Saya juga amat berharap anda tidak bertanya kepada saya di dalam blog ini kerana anda ingin berjimat dan tidak mahu berjumpa doktor kerana tidak mahu membayar wang konsultasi. Manakan sama bertanyakan soalan dalam blog berbanding dengan berjumpa berdepan dengan doktor sendiri? Blog bukan direka untuk menyelesaikan masalah kesihatan anda yang rumit. Sekurang-kurangnya bukan di blog saya.

Saya juga mendapat banyak email (memang banyak!) meminta saya mengirakan tarikh subur puan-puan. Adakalanya saya jawab dan adakalanya tidak. Maafkan saya. Kebanyakan yang tidak dijawab kerana saya terlalu sibuk, informasi tidak cukup atau saya merasakan ia sudah jelas tertulis di dalam artikel saya.

Mungkin saya terpaksa mencari jalan bagaimana untuk membantu anda mengira tarikh kesuburan anda sendiri.

Atau anda ada cara? Minta respons.

Terima kasih.

Tuesday, October 7, 2008

Senyum Pengubat Duka




Assalamualaikum,

Ni ada lawak nak kongsi sikit daripada blog ni. :) Saja nak tersenyum pagi raya ke 7ni. Mana-mana penyokong parti politik janganlah marah yer. Senyum itukan pengibat duka.... :)


Di suatu pagi di sebuah hospital kerajaan, suatu majlis Taklimat cum Taklipat:

Ketua Jururawat: Ada lagi jururawat baru dari bukan UMNO..? Siapa yang ahli parti dalam Pakatan Rakyat, ada?

Semua senyap!

Ketua Jururawat: Angkat tangan jururawat baru yang ahli atau penyokong UMNO..!

Semua jururawat baru, perlahan-lahan, mengangkat tangan.

Ketua Jururawat: Bagus! Saya tidak mahu tengok, ada lagi jururawat yang makan gaji dengan kerajaan, lepas itu PRU pangkah parti pembangkang. Faham semua?

Semua mengangguk.

Ketua Jururawat: Baik Lah, kita hanya boleh control staf kita. Tapi kita tidak boleh control pesakit.

Sebahagian pesakit bagus. Sebahagian lagi menyampah saya tengok mereka. Tapi penyokong parti Pembangkang, muka tak malu, bila sakit dapat rawatan hospital kerajaan.

Semua saling berpandangan di antara satu sama lain.

Ketua Jururawat: Ambil kertas ini seorang sehelai. Dalamnya ada 10 soalan macam mana kita nak tanya dan kita boleh tahu seseorang pesakit itu, orang UMNO atau penyokong Pembangkang.

Kertas diedarkan, dan diambil jururawat baru, seorang sehelai.

Ketua Jururawat: Setelah kita kenal pasti kecondongan parti politik pesakit, barulah kita boleh control.

Begini cara kita boleh control ya.

Pertama: bila pesakit bukan orang UMNO, mereka penyokong Pembangkang, bila dia sakit, dia panggil kamu, kamu lambat-lambatkan mendatangi dia.

Kedua: Bila mereka minta apa-apa, kamu buat layan tak layan sahaja.

Ketiga: Injeksyen untuk orang UMNO, lakukan seperti yang telah kamu belajar. TETAPI, bila penyokong Pembangkang, kamu tak usah injeksyen ubat, kamu injeksyen guna air paip sahaja ya.

Faham semua?

Jururawat Baru: Tidak faham Puan Ketua Jururawat.

Ketua Jururawat: Apa yang kamu tidak faham?

Jururawat Baru: Di dinding sana, gambar Menteri Besarnya, dari parti Pembangkang. Negeri kita ini, setelah PRU 12, kerajaannya ialah Pakatan Rakyat. Jadi macam mana perihal control yang Puan terangkan tadi?

Ketua Jururawat: (Kemalu-maluan) Eh! Iya ker? Ooo ini arah panduan tahun 2007, rupanya. Kalau begitu tukar ya. Injeksyen untuk orang UMNO, bubuh air paip sahaja...



Kakakakaka!!!... Kelakar tul..

Monday, October 6, 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri



Selamat Hari Raya Aidilfitri!

Maaflah kepada semua teman pembaca sebab dah lama tak update blog.

Bukan apa.. kome sebok benor seminggu sebelum raya tempoh hari. Siap amik cuti lagi. Kena antor kuih raya kepada pengedar.

Maaflah kepada para pengedar dan pembeli kuih raya yang tak dapat full amount yang diorder terutama 4 hari terakhir sebelum raya. Ada order 50 bekas dapat 45 bekas jer. Maaf lah sesangat. Aida di Johor order saat-saat terakhir 11 bekas dah jadi 8 bekas sahaja. Maaf ye Aida.

Ummusofeya kerja full blown 5 orang - 3 orang pekerja campur saya dan isteri = 5 orang pekerja. Itupun dah tak cukup tangan. Semuanya tidur 3 jam - 4 jam sehari jer nak siapkan order.

Mujur tak ada orang order cacing nak dekat raya. Kalau tak, saya memang tak sempat ke sana sini dah nak hantar cacing.

Apapun pengalaman berniaga kuih raya tahun ini banyak mengajar tentang pengurusan masa dan kewangan. InsyaAllah tahun depan kami akan lebih matang dan lebih bijak mengangani masalah ini

Sempena bulan Syawal 1429H saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin. Semoga dipanjangkan umur agar dapat berjumpa lagi di Ramadhan tahun hadapan InsyaAllah.

Wassalam.

Monday, September 22, 2008

RADIO 24 LEBIH MERAKYAT DARIPADA UTUSAN MALAYSIA






Assalamualaikum Warahmatullahi,

Radio 24 - 93.9 Mhz baru sahaja menyambut umur setahun pada 3 September 2008 yang lepas selepas beroperasi selama setahun. Radio 24 merupakan satu-satunya radio berita kebanggaan negara kelolaan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) kerana menyajikan berita yang terkini dan semasa.

Baru-baru ini di dalam Utusan Malaysia, seorang kolumnis Utusan telah "menyerang" salah satu program hangat Radio24 iaitu Suara Anda yang membincangkan tentang tajuk "Yang mana satu lebih penting? Peralihan Kuasa Pak Lah kepada Najib, atau Turunkan Harga Minyak?". Tidak berhenti setakat itu, serangan demi serangan dijalankan di dalam surat khabar Utusan Malaysia pada hari-hari berikutnya dengan bertujuan untuk menjatuhkan nama baik pengurusan Radio 24. Ini menyebabkan Menteri Penerangan terpaksa campur tangan di dalam isu ini.


PROGRAM SUARA ANDA RADIO 24

Program SUARA ANDA merupakan satu program yang sering membincangkan tajuk-tajuk hangat dan isu-isu semasa. Ada kalanya ia berkisar tentang masyarakat dan budaya, adakalanya berkisar tentang maslahah rakyat dan adakalanya berkisar tentang pergolakan politik di persada negara. Ke mana arah tuju sesuatu tajuk itu dibincangkan sebenarnya berpaksikan kepada pemanggil secara langsung. Ini menjadikan tajuk lebih hangat dan menarik untuk dibincangkan.

Cuba lihat sahaja tajuk "Debat Anwar-Sabery" yang menerima ratusan panggilan memberi ulasan dan mengkritik kedua-dua personaliti popular ini. Ia amat-amat terbuka. DSAI juga pernah dihentam dengan sekeras-kerasnya ketika perbincangan tentang 16 September. Itu adalah rencam di dalam perbincangan terbuka.

Malah saya sendiri melihat bahawa keterbukaan ini yang dipelopori sejak Dato' Sabery Cheek dilantik sebagai Menteri Penerangan amatlah mengagumkan. Bukan sahaja pihak penyokong kerajaan dan pihak pembangkang bisa memanifestasikan pendapat masing-masing, malah pihak yang non partisan mula berbondong-bondong memberikan pendapat.

Adakah media masa lain mampu berbuat begini seperti Radio 24?


MEMBUKA DIMENSI BARU DI DALAM ARENA PENYIARAN

Senario berani memberi ruang kebebasan bersuara oleh Radio 24 ini merupakan satu dimensi baru kerana Malaysia sangat dikenali sebagai sebuah negara demokrasi yang tidak beberapa "mesra" dengan dialog terbuka atau perbincangan langsung tentang masalah negara. Apatah lagi sekiranya ada pendapat-pendapat terbuka ini secara terang-terangan menyokong pihak pembangkang walaupun sedikit.

Apabila beberapa orang "tali barut" daripada Utusan Malaysia ini mula melihat bahawa sistem demokrasi Malaysia cuba disuburkan melalui sebuah anak syarikat di dalam agensi penyiaran kerajaan Malaysia itu sendiri, maka mulalah mereka ingin melatah dan cuba membunuh sesuatu perkara yang baru bertunas dan mengagumkan ini.

Beberapa hari selepas itu, Utusan Malaysia cuba menjadi hero dengan mencanang betapa teruknya situasi pada saat itu dengan menyatakan bahawa stesen radio tersebut "tidak sensitif" dan sebagainya dan menyalahkan DJ atau peneraju yang bertugas di konti ketika itu sebagai penyokong pembangkang.

Siapakah yang memilih tajuk yang dibincangkan itu? Saya tiada pengalaman di dalam hal ehwal penyiaran radio. Tapi persoalan tuntasnya, bolehkah DJ Radio sewenang-wenangnya memilih tajuk yang dikira sensitif itu untuk disiarkan jikalau tidak direstui oleh orang-orang di atas? Sekiranya DJ radio tersebut memilih untuk tidak memberi apa-apa komen tentang pendapat pemanggil yang memberi pandangan ke arah pembangkang adakah wajar dia dipersalahkan?

Apabila siaran langsung diadakan oleh Radio 24, suara pemanggil tidak boleh disekat. Pemanggil sepatutnya bijak memberi pendapat masing2 tanpa menggunakan bahasa yang kesat. Sudah barang tentu para pemanggil terdiri daripada pelbagai latar belakang dan perbezaan pendapat politik. Oleh itu, pendapat mereka mungkin boleh berbeza daripada pendapat kerajaan.

Tetapi walaupun terdapat perbezaan politik kepartian, terdapat satu "common ground" yang mereka ini tetap bersetuju iaitu daripada pandang dasar ekonomi Malaysia yang semakin lemah sehingga menyebabkan ramai Umat Malaysia menderita akibat peningkatan harga barang dan makanan.

Ini menyebabkan tajuk yang dibincangkan "Yang mana satu lebih penting? Peralihan Kuasa Pak Lah kepada Najib, atau Turunkan Harga Minyak?" telah mendapat sambutan di luar jangkaan. Sudah terang-teranglah rakyat akan memilih turunkan harga minyak daripada peralihan kuasa. Ini adalah kerana pada pendapat mereka, peralihan kuasa berlaku atau tidak berlaku, kehidupan mereka tetap sukar dan susah.

RADIO 24 LEBIH MERAKYAT DARIPADA UTUSAN MALAYSIA

Jadi kenapa ingin dipersalahkan program SUARA ANDA Radio 24 jikalau itu adalah hasil daripada rasa tidak puas hati rakyat kepada kepimpinan negara. Isyarat yang sudah jelas ini tidak sepatutnya menjadi modal beberapa "tali barut" Utusan Malaysia ini menghentam Radio 24.

Sudah jelas Radio 24 yang releven dan peka terhadap masalah rakyat dan BUKAN Utusan Malaysia. Malah yang patut di "scrutiny" dan diperlekehkan ialah Utusan Malaysia. Mereka dahulunya pernah menjadi aspirasi kepada rakyat Malaysia dan Umat Melayu tetapi hanya sekadar menjadi pencanang dan tukang beduk segelintir pemimpin? Mereka sepatutnya malu dengan menyiarkan siaran berita terpilih dan menyekat kebebasan bersuara mereka yang mempunyai pendapat yang berbeza.

Pada hari ini, siaran SUARA ANDA di radio 24 telah diberhentikan sementara. Mungkin kerana penyiasatan sedang dijalankan oleh Kementerian Penerangan tentang krew-krew yang terlibat dengan penyiaran beru-baru ini.

Saya kira, berdasarkan populariti SUARA ANDA di kalangan masyarakat Malaysia, mungkin orang-orang tertentu hanya menunggu masa sahaja untuk menyekat rancangan ini agar suara rakyat secara amnya tidak dapat didengari umum. Ini sangat-sangat bertentangan dengan dasar kementerian penerangan sebaik sahaja Pilihanraya yang lepas yang inginkan lebih keterbukaan daripada badan-badan penyiaran.

Diharapkan kata-kata daripada Kementerian Penerangan tentang membuka lebih banyak peluang untuk rakyat bersuara tidak hanya tinggal retorik sahaja.

Wallahu Alam.

Ditulis oleh Dr Azwan untuk www.drazwan.blogspot.com

Friday, September 19, 2008

Siapa Masuk ISA Lepas ni?



Assalamualaikum,

Tadi dengar-dengar ada dua orang UMNO bercerita di dalam klinik. Mereka ni salah seorang terkenal di cawangan masing-masing. Desas desus ada pemimpin pembangkang yang sungguh popular ni akan ditangkap dan dimasukkan ke dalam ISA beberapa hari lagi . Dikatakan kerana mengganggu kestabilan negara.

Juga dengar2 mereka berkata, pemimpin ni dah bawak usul pembangkang ke DYMM SPB Yang Dipertuan Agung tengahari tadi.

Bila nak ditangkap tidak diketahui. Kemungkinan di dalam masa yang terdekat. Seteru politik no 1 UMNO ni membuatkan parti politik melayu terulung di Malaysia ini kucar kacir.

Saya dengar sahaja. Mungkin terjadi, mungkin tidak jadi. Mereka ni orang dalam. Tak tahu lah. Harap-harap tak berlaku.

Wallahu Alam



Monday, September 15, 2008

Kereta Perdana WME 900 Untuk Dijual




Assalamualaikum,

Ini kereta perdana saya untuk dijual.

No plat WME 900 (plat tu dibeli oleh previous owner)

Kereta ini asalnya adalah kepunyaan Prof Dato Dr Ahmad Ridzwan, Pakar Bedah Plastik, Hosp Kuala Lumpur. Dijaga dengan baik.

Mileage 109,000 km. Tahun 2001.

Harga RM 36,000.00.

Hubungi saya untuk tujuan test drive.

Salam..
Dr Azwan
012-9597074

Thursday, September 11, 2008

Apa Itu Testimonial ??



Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin menulis tentang testimonial di dalam konteks penjualan produk kesihatan. Testimonial merupakan satu penyataan yang dikeluarkan oleh pelanggan-pelanggan berkenaan keberkesanan sesuatu produk.

Contoh paling mudah ialah produk A mengeluarkan makalah tentang beberapa penyataan pelanggan mereka tentang setelah mereka makan produk A ini, penyakit kencing manis telah pulih sehingga mereka tidak perlu memakan lagi ubat-ubatan konvensional di hospital.

Oleh kerana saya pernai menyertai MLM dahulu, testimonial dianggap satu alat terpenting di dalam marketing MLM. Malah ia adalah "tools" utama di dalam para penjual barangan MLM untuk menjual produk mereka. Bukan sahaja MLM, malah pelbagai jenis perniagaan menjadikan testimonial sebagai satu cara pemasaran yang berkesan.

Saudara, saudari, tuan dan puan,

Walaupun apa pun yang diberitahu berkenaan sesuatu produk kesihatan, testimonial tidak boleh dianggap sebagai satu bahan bukti keberkesanan sesuatu produk. Ia bukan satu keputusan hasil daripada kajian perubatan yang sah. Ia sangat tertakluk kepada "biased" dan mungkin fakta yang ditokok tambah.

Anda sudah pasti melihat tentang satu produk B yang tertulis, menyembuhkan pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit-sakit badan, lenguh, bisa, gout, sakit kepala, kembung perut, penyakit bongkok, jangkitan kencing, disengat lebah, darah kotor.. dan senarai ini berterusan kepada 1000 penyakit.

Kemudian diselitkan pula dengan sehelai kertas depan belakang dengan gambar beberapa orang dengan kenyataan-kenyataan seperti - " setelah saya makan ubat ini beberapa bulan, saya sudah boleh berjalan setelah terkena lumpuh selama beberapa minggu.."

Selepas itu diletakkan pula ayat yang terakhir dengan satu hadis Rasulullah - "Semua penyakit ada ubatnya kecuali tua dan mati". Bukankan ini satu permainan psikologi yang hebat?

Ubat tersebut mungkin berkesan untuk satu penyakit. Tetapi satu ubat berkesan untuk semua penyakit? apatah lagi kerana diletakkan di labelnya "ramuan herba terpilih?". Pernahkah anda terjumpa kesan sampingan daripada ubat-ubat dari herba terpilih itu? Saya pernah menulis dahulu tentang kesan sampingan pada ubat tidak kira ia ramuan herba ataupun tidak.

Pernahkah anda terjumpa satu ubat di hospital atau klinik yang tertulis : ATENOLOL - Ubat ini boleh menyembuhkan 1000 penyakit. Bukan sahaja darah tinggi, tetapi ia boleh meningkat daya seksual anda, menghindarkan dari penyakit kencing manis, gout, asthma, batuk malam, berak berdarah, kanser payudara, Aids... etc etc etc?

Tentulah tiada. Ubat itu sangat spesifik penggunaannya. Malah apa yang tertulis, kesan sampingan ubat itu pula. Ada muntah, sakit perut, cirit, alahan... Bukankah ini akan menakutkan pengguna? Jadi kenapa letak di situ?

Ini menunjukkan bahawa ubat-ubatan ini telah melalui proses kajian yang sangat ketat sehinggakan kajian itu boleh mengetahui apabila ubat itu masuk ke dalam perut, berapa peratuskan yang akan diserap di dalam badan dan berapa peratuskan yang tidak akan diserap. Berapa peratus yang akan menjadi bahan aktif ataupun dikumuh keluar dari badan. Di mana ia akan dikumuh.. samada di hati atau buah pinggang dan berapa peratuskah yang akan keluar melalui air kencing atau najis. Penelitian seperti ini hanya berlaku melalui kajian yang sangat mendalam dan mengambil masa yang lama.

Intipati daripada artikel ini ialah, anda boleh membaca testimonial sesuatu produk yang hangat dijual di pasaran. Syarikat pengeluar akan meletakkan pelbagai jenis penyakit yang mampu disembuhkan sehingga keseribu penyakit. Ada yang menggunakan teknik hadis Rasulullah untuk menguatkan cerita mereka. Kemudian ditambah pula dengan cerita-cerita bahawa ramai yang telah sembuh dengan ubat mereka.

Tetapi dengan pemahaman anda tentang artikel ini, saya mengharapkan anda patut kenal apa makna testimonial itu. Ia sekadar satu cerita daripada pesakit. Bukan hasil kajian berdasarkan cara yang saintifik. Oleh itu, jika ia satu cerita, maka anggaplah ia sebagai satu cerita.

Wallahu A'lam.

Wednesday, September 10, 2008

Harga Minyak Turun? Harga Barang pun Turun?



Salam,

Bolehkah harga barang-barang turun walaupun minyak turun?

Ada yang kata boleh, ada yang kata tak mungkin terjadi.

Datuk Shahrir Samad membayangkan bahawa sekiranya harga minyak dunia turun sebagaimana pada tahun 2006 iaitu dibawah paras USD 80 dolar setong, maka harga minyak Malaysia mungkin akan turun seperti sebelum ini iaitu RM 1.90 seliter. Ini mungkin sesuatu yang menggembirakan.

Buat masa ini, harga minyak di paras USD 106 setong dan kemungkinan semakin rendah.

Tetapi persoalan tuntas masih belum terjawab. Adakah harga barangan boleh turun?

Yang pertama, selain harga minyak yang meningkat, tarif elektrik juga telah meningkat.

Seperti saya tulis dahulu, bil elektrik di kedai saya naik dari RM 120 sebulan ke RM 180 sebulan disebabkan tarif elektrik yang meningkat. Adakah sewajarnya saya turunkan harga barang saya walaupun harga minyak sudah rendah sedangkan kos elektrik tetap meningkat?

Maka, sewajarnya sekiranya kos minyak turun, maka TNB patut menurunkan tarif elektrik secara sewajarnya. Ini kerana kos yang melibatkan Independent Power Plant (IPP) juga semakin menurun. Sekiranya harga minya turun ke taraf RM1.90, maka tarif elektrik juga patut turun seperti sebelum ini.

Yang kedua, adalah dari sudut penguatkuasaan. Tiada penguatkuasaan bermakna tiada bezanya minyak turun atau naik.

Ini adalah kerana peningkatan harga minyak secara mendadak baru-baru ini menyebabkan inflasi menggunung sehingga 8%. Maka untuk menarah gunung ini, memerlukan segala macam kekuatan daripada semua pihak terutama penguatkuasaan. Ini bukanlah tugas mudah.

Kita semua mengharap harga barang2 semuanya akan kembali pada tahap 2 tahun lalu. Tetapi secara realitinya ia mungkin sukar. Nasi mungkin sudah menjadi bubur.

Wallahu Alam.

Tuesday, September 9, 2008

Pening.. pening...




Assalamualaikum,

Saya tengah pening kepala.

Salah seorang pembantu untuk membuat kuih raya saya telah dipilih untuk menjadi pegawai berkemahiran untuk PLKN. Beliau sepatutnya menlaporkan diri di kem PLKN di Perlis pada awal bulan Ogos ini.

Namun begitu, pembantu saya ini telah memberi komitmen awal kepada saya untuk membantu menyiapkan pesanan kuih raya sehingga hari raya Aidilfitri. Oleh itu, beliau telah berbincang dengan komanden di PLKN Perlis dan akhirnya pihak komanden di Perlis bersetuju untuk menangguhkan pendaftarannya sebagai pegawai di sana dan mula mendaftarkan diri selepas hari Raya Aidilfitri nanti.

Saya sendiri yang membantu menulis surat permohonan tersebut dan difakskan ke kem PLKN di Perlis dan di sertakan salinannya di ibu pejabat PLKN di bangunan TH Selborn, jalan Tun Razak.

Tiba-tiba, semalam, pembantu saya mendapat panggilan telefon dari kem PLKN di Perlis. Beliau diminta ke Perlis untuk mengisi borang di sana secepat mungkin dan kemudian baru boleh pulang semula ke KL untuk meneruskan tugasannya yang lain.

Ini bermakna, beliau terpaksa membeli tiket bas untuk ke Perlis pada hari Isnin ini, pergi ke kem PLKN di sana untuk berjumpa komanden, isi borang di sana tak sampai 10 minit dan kemudian beli tiket bas untuk balik semula ke KL. Phewww.......

Bila ditanya, boleh tak di faks sahaja, jawapannya tidak boleh.

Persoalannya, di zaman sains dan teknologi ni, tiadakah cara lain yang lebih KOS efektif, menjimatkan masa, kurang birokrasi dan segala-galanya lah agar pembantu saya tidak perlu untuk ke PERLIS sekadar untuk mengisi borang selama 10 minit?

Malah, mungkin juga mereka tidak pernah mengetahui tentang kewujudan "E-MAIL" selama ini.

Pening... pening...

Friday, September 5, 2008

"Self Control" di bulan Ramadhan,






Salam Ramadhan,

Hari ini hari kelima kita berpuasa di bulan Ramadhan. Saya kira masih belum terlewat untuk mengucapkan Salam Ramadhan al Mubarak kepada semua pembaca blog yang dihormati. Semoga Ramadhan ini membawa sejuta keberkatan dan pengharapan kepada semua pengunjung.

Satu perkara tentang hikmah berpuasa di bulan Ramadhan ialah tentang "Self Control" atau mengawal diri. Mengawal diri secara fizikal dan juga mengawal nafsu adalah intipati di dalam puasa.

Malah Islam sangat tegas tentang perkara-perkara yang menyebabkan manusia tidak dapat mengawal diri mereka seperti apabila seseorang itu meminum arak. Maka arak diharamkan kerana ia memabukkan sekaligus seseorang itu hilang kawalan ke atas diri mereka sendiri.

"Self Control" ketika berpuasa ialah apabila kita mampu mengawal apa yang masuk ke dalam badan kita melalaui tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah. Kita cuma makan apabila waktu bersahur dan makan semula setelah berbuka. Di antara waktu tersebut kita mengawal diri daripada makan dan minum. Malah kita mengawal nafsu dengan mengelakkan hubungan kelamin pada waktu siang dan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Maka, lama kelamaan, setelah proses berpuasa itu berjalan selama beberapa minggu, kita akan dapati bahawa, nasi beriani, ayam percik, murtabak, ais krim soda dan lain-lain lagi tidak lagi menjadi aral buat kita. Malah, apabila seseorang bukan Islam makan di hadapan kita pun, walaupun sesedap mana, ia tidak boleh mengganggu gugat kekuatan puasa kita.

"Self Control" ketika berpuasa adalah satu mekanisme bagaimana Islam mendidik akal kita agar tidak ada satu pun benda di dunia ini yang boleh mengawal kehidupan kita hatta makanan dan minuman walaupun kita tahu makanan dan minuman itu adalah nadi kehidupan kita.

Apabila manusia yang terdidik dengan akal yang mampu mengawal diri sendiri tanpa dipengaruhi oleh sesuatu seperti ini, maka Islam sebenarnya mengajar kita tentang pengawalan diri secara total.

Maka, di bulan puasa inilah adalah waktu yang paling baik untuk kita mengawal perkara-perkara yang kita patut kawal. Merokok misalnya, ini adalah masa yang paling sesuai untuk menunjukkan bahawa akal kita mampu mengawal pengambilan rokok sebagaimana "self control" yang sama perlu kita buat untuk kita mengelak makan dan minum. Alasan bahawa kita tidak dapat berpisah daripada rokok cuma menunjukkan bahawa akal kita lemah. Sedangkan Islam pula mengajar kita tentang kekuatan mengawal diri dan akal.

Tidak ada apa yang mustahil di dalam hidup seorang Islam itu setelah mencapai amalannya yang optimum. Kepada mereka yang ingin menguruskan badan juga, ini adalah waktu terbaik untuk mengamalkan "self control" yang sebenar-benarnya. 80% penyakit berpunca daripada makanan yang dimakan secara berlebihan. Bulan puasa yang membawa seribu keberkatan adalah peluang untuk kita mengawal tatacara makan kita begitu caca merba.

Di dalam bulan puasa, di mana kita terdidik untuk mengelakkan pembaziran, sepatutnya ia berlaku di bulan Ramadhan. Selain daripada kita mengurangkan pengambilan makanan, kita berhentikan juga amalan merokok sebagai amalan. Inilah waktu untuk kita benar-benar mengamalkan "self control" yang sebenar-benarnya.

Wallahu A'lam.

Kepada

Saturday, August 30, 2008

Belanjawan 2009 - Kerajaan Beri Percuma Elektrik






Assalamualaikum,

Selain daripada rokok, kerajaan telah memberi kemudahan bil percuma kepada pengguna elektrik yang menggunakan elektrik di bawah paras RM 20 ke bawah. Mengikut PM, ini dijangkakan memberi manfaat kepada 1 juta penduduk di Malaysia.

Saya juga ada berniaga runcit kecil-kecilan. Bil elektrik kedai naik dari RM 120.00 sebulan ke RM 180 sebulan bulan ini. Ini disebabkan oleh tarif elektrik yang meningkat dan penggunaan peti ais merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan ini. Malah TV pun tiada di kedai itu dan lampu sahaja hanya dibuka pada waktu malam.

Saya menjangkakan agak mustahil sebenarnya sebuah tempat kediaman yang mempunyai isi rumah 5 orang untuk mencapai penggunaan elektrik di bawah RM 20 sebulan. Dengan mempunyai sebuah TV, 3 buah kipas, 1 buah radio buruk, 5 unit lampu kalimantang, 1 rice cooker, 1 unit seterika, 1 charger handphone, 1 buah komputer dan sebuah peti sejuk di rumah.

Melainkan rumah tersebut yang penghuninya ada sekali sekala, rumah di kawasan sangat pendalaman atau perkampungan orang asli yang menggunakan tenaga solar.

Bagaimana pula ia merangkumi pengguna seramai 1 juta orang di Malaysia yang menggunakan elektrik RM 20 ke bawah?

Takkan ramai betul orang miskin di Malaysia?

Wallahu A'lam

Friday, August 29, 2008

Belanjawan 2009 - Rokok Naik Harga Lagi!



Assalamualaikum,

Banyak kalau nak komen pasal Belanjawan 2009 yang dibentangkan petang tadi. Alhamdulillah dapat sebulan bonus untuk pekerja sektor awam. Presiden cuepacs bising sebab elaun COLA dan elaun khidmat awam tidak meningkat. Dapat sebulan pun dah kira baik, kalau PM bagi setengah bulan kang...

Saya cuma nak komen dalam banyak-banyak tuh ialah duti eksais ROKOK naik lagi. Ini menjadikan sebatang rokok berharga RM 18 sen. Wah... berharga juga rokok sekarang.. Malah duti arak tidak naik pula, walaupun duti rokok naik mencanak.

Sebenarnya, saya dengan segala rendah dirinya, ingin mencadangkan kepada semua perokok dan bukan perokok... jangan hisap rokok! Kita sebenarnya boleh simpan rokok ni buat barang komoditi. Bayangkan kalau naik 3 sen pun dah kira naik 20%. Wah, untung tuh. Jual rumah pun setahun naik tak sampai 6%!

Kalau kita semua tidak merokok, menyimpan rokok di dalam bentuk stok dan menjual semula mungkin 5 tahun lagi, saya pasti anda boleh membuat duit dengan banyak. Malah mungkin lebih membawa pulangan yang lebih lumayan daripada main saham kerana saham kita tidak boleh jamin naik turun pasaran.

Sedangkan rokok, saya boleh gerenti, selagi rokok itu tidak expired (ada tarikh expired ke rokok?), ia tetap boleh dijual di pasaran biasa atau pasaran gelap. Keuntungan mungkin boleh meningkat sehingga 100%... Wow!

Cuba lihat senario ini, jika dahulu harga rokok cuma RM 2.50 sekotak, di dalam masa 3-4 tahun sahaja ia telah meningkat sehingga mencecah RM 7.00. Dan saya jamin permintaannya masih tinggi.

Dari segi pasaran anda usah risau kerana, walaupun kerajaan meletakkan syarat had umur pembeli rokok mesti melebihi 18 tahun, namun, kedai-kedai tetap menjualnya pada budak sekolah rendah. Malah saya pernah tengok budak-budak sekolah hisap rokok pakai baju sekolah pada bulan puasa atas motor dengan kawan-kawan sekolah. Jadi pasaran tidak susah tuan-tuan. Had umur 18 tahun tuh? Tipu je tuh...

Jadi dermografinya besar dari segi pasaran.... Dari budak kecik tak sunat.... sampai ke orang tua kena Kanser paru-paru.... sampai ke orang sakit jantung tinggal semput-semput nafas pun.. InsyaAllah akan menjadi sasaran pasaran anda. Huh.. kalau kena penangan rokok.. antara rokok atau kaki kena potong, dia akan pilih rokok tuan-tuan... tak der masalah.

Jadi amacam? Boleh kita mulakan sekarang? Simpan stok rokok anda.. jangan hisap untuk 5 tahun. Kalau ada duit lebih sikit nak beli rokok, simpan duit tuh di dalam bank untuk pembelian rokok secara borong (lebih murah) atau beli rokok tetapi simpan di dalam peti besi. Lepas 5 tahun, harga dia mungkin naik RM 10.00 atau RM 12.00 sekotak, baru kita jual. Lepas 5 tahun, mungkin anda dah tak der selera nak merokok... sebab anda bakal jadi jutawan..

Well, saya nak bawak usul ni ke parlimen... hohoho..

Oleh Dr Azwan... Usahawan...







Bibik.. bibik..bibik...





Assalamualaikum,

Semalam, seorang wanita pertengahan 40-an dan anaknya berumur 1 tahun 9 bulan datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan kerana anaknya demam. Anak lelakinya memang comel. Wajahnya seiras ibunya malah sedikit pan-asian.

Ibunya berbahasa Inggeris dengan anaknya yang kecil itu. Dia menyatakan masalah anaknya kepada saya sambil memeluk anaknya. Setelah saya periksa, dia menghidapi acute tonsilitis dan saya menulis ubat-ubatan yang sepatutnya.

Ketika pemeriksaan dijalankan, saya dapati kanak-kanak itu menangis dan memangil "bibik, bibik.. bibik..". sambil ibunya cuba memeluknya dan cuba menenteramkannya. Adakalanya ibunya terpaksa menyahut juga, "bibik ada di luar... nanti kita pergi kat bibik". Anaknya yang mungkin faham, berhenti menangis.

Selepas selang beberapa minit, nama bibik di sebut lagi.. "bibik, bibik, bibik..". Sehingga tamat perundingan dan mereka keluar daripada bilik rawatan, saya rasa anak itu memanggil bibiknya 10 kali ganda lebih daripada dia memanggil ibunya.

Saya kaget sebentar sambil berfikir. Cuba bayangkan, anak yang belum pun berusia 2 tahun sudah menganggap bibiknya itu seolah-olah ibunya. Dan mungkin saya perasan riak wajah ibunya yang mungkin berasa malu dengan saya, kerana anaknya itu lebih memanggil bibiknya daripada dirinya sendiri.

Di celah-celah bandaraya, memang mungkin terjadi sebegini. Ibu mungkin terlalu sibuk dengan pekerjaan dan meninggalkan urusan anak-anak kepada bibik atau pembantu rumah. Maka lahirlah anak yang menyayangi bibik lebih daripada ibu kandung sendiri.

Bagi saya, biarlah pembantu rumah menguruskan kebersihan rumah, memasak dan membasuh pakaian. Perihal anak-anak biarlah kita ibu dan bapa yang menguruskan. Apabila anak sakit, kita luangkan masa, kalau boleh cuti silalah ambil cuti untuk menguruskan anak-anak.

Nasihat ini mungkin ditujukan kepada diri saya sendiri. Saya mungkin kurang masa bersama anak kecuali hari Sabtu dan Ahad yang kadang-kadang terpaksa dikorbankan juga kepada bisnes saya dan ABIM. Tetapi saya bersyukur kerana ibunya seorang guru mementingkan masa bersama anak. Beliau tidak mahu mencari pembantu rumah walaupun saya sudah banyak kali mencadangkan. Mungkin ada hikmah disebaliknya.

Apapun, nilailah masa berharga kita yang ada bersama anak-anak. Kita boleh beri harta dan wang berjuta kepada anak-anak, tetapi pada hakikatnya, kasih-sayang dan masa yang kita sumbangkan kepada anak-anak lebih bernilai jauh daripada wang. Saya doakan peristiwa tadi tidak berlaku kepada keluarga saya. Dan saya berharap ia juga tidak terjadi kepada keluarga anda.

Wallahu A'lam.

Wednesday, August 27, 2008

Penjenamaan Semula KBMC



Assalamualaikum,

Maaf sebab tak dapat update blog. Sedang sibuk menguruskan kuih raya tahun ini. Ada juga beberapa agenda menarik yang terpaksa dihadiri. Salah satu daripadanya ialah menghadiri majlis penjenamaan semula KBMC atau Kampung Baru Medical Center kepada Al Islam Specialist Center. Permatang Pauh BUKAN salah satu daripada agendanya yer :).

Sempena penjenamaan semula KBMC kepada Al Islam Specialist Center - terdapat juga forum tentang Puasa dan Kesihatan di Hotel Regency pada hari Ahad yang lepas. Ahli panel yang dijemput ialah SS Dato Seri Dr Harussani, Mufti Besar Perak dan Prof Omar Hassan Kasule dari Universiti Brunei. Moderator ialah Ustaz Fauzi.

Pada malamnya, saya dijemput untuk menghadiri Majlis Makan Malam untuk Al-Islam Medical Center tersebut di atas kapasiti Biro Kesihatan ABIM. Ia dirasmikan oleh Dato' Dr Zahid Hamidi.

Untuk pengetahuan anda, Al Islam Specialist Center adalah Hospital Islam yang diasaskan oleh Dr Ishak Mas'ud, Gastroenterologist dari HUKM 12 tahun yang lalu. Ia merupakan salah satu agensi di dalam ABIM . ABIM dan Koperasi Belia Islam adalah pemegang saham terbesar di dalamnya. Ia terletak bersebelahan dengan Masjid Jamek Kg Bharu. Setelah 12 tahun, Al-Islam Specialist Center mengorak langkah dengan memperbesarkan bangunankan dengan membeli bangunan2 baru di sekelilingnya.
Marilah kita sama-sama memberi sokongan kepada konsortium Hospital Islam seperti pusat pakar kesihatan ini.

Salam.
Related Posts with Thumbnails