Wednesday, January 20, 2010

PROGRAM ORANG ASLI DI POS BERSIH, SLIM RIVER, PERAK






LAPORAN PROGRAM DAKWAH ORANG ASLI DI SLIM RIVER, PERAK

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi kerana dengan izinnya, satu program dakwah orang asli di Slim River, Perak telah dapat diadakan dengan lancar pada 15 hingga 17 Januari 2010 yang lalu. Program ini telah dianjurkan oleh Biro Kesihatan ABIM, Malaysian Relief Agency (MRA) dan Islamic Outreach ABIM. Objektif program ini adalah sebagai satu wadah penyebaran dakwah Islamiah kepada penduduk-penduduk orang asli serta membuat pemeriksaan kesihatan terhadap mereka.

Jumlah peserta program ini adalah seramai 35 orang yang diketuai oleh Dr Shahrizal Azwan dan terdiri daripada 11 orang pelajar Universitas Sumatera Utara (USU), 6 orang kakitangan Hospital Pakar al-Islam, 6 orang daripada Skuad Prihatin ABIM, 5 orang daripada ABIM Selangor, serta 6 orang daripada Islamic Outreach ABIM.

Program bermula pada 15 Januari dengan peserta berkumpul di R&R Rawang untuk satu taklimat ringkas oleh Dr Azwan sebelum memulakan perjalanan. Kira-kira jam 5 petang, para peserta memulakan perjalanan ke Kg Pos Bersih, tempat berlangsungnya program ini.

Perjalanan ke Kg Pos Bersih lancar, kerana jalan yang telah siap bertar dan cuaca yang agak baik. Peserta tiba di Kg Pos Bersih kira-kira jam 7 petang, dengan disambut oleh guru besar SK Pos Bersih, Cikgu Mohd Wazir. Kemudian, Cikgu Wazir menyampaikan sedikit kata-kata aluan dan ucapan penghargaannya kerana memilih untuk mengadakan program di kampung tersebut. Seterusnya, selepas makan malam dan solat berjemaah serta sesi ta’aruf ringkas, para peserta melakukan persiapan terakhir untuk program pemeriksaan kesihatan.

Pada 16 Januari, aktiviti dimulakan dengan solat Subuh berjemaah, diikuti dengan tazkirah ringkas oleh Dato’ Dr Abd Razak Kechik, Presiden MRA. Selepas sarapan pagi, sebahagian peserta melakukan persiapan tempat untuk pemeriksaan kesihatan di SK Pos Bersih, dan sebahagian yang lain pergi ke kampung-kampung sekitar untuk menghebahkan tentang program ini.

Kira-kira jam 10 pagi, pemeriksaan kesihatan dimulakan dengan Cikgu Wazir menjadi pesakit pertama yang diperiksa. Setelah kira-kira 2 jam, jumlah pesakit adalah seramai 39 orang. Pada jam 12 tengah hari, acara cak rayak atau makan besar diadakan, di mana para peserta dan penduduk kampung makan bersama-sama.

Selepas rehat dan solat, kira-kira jam 2.30 petang, para peserta bertolak ke kampung kedua, yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan daripada SK Pos Bersih. Di sini, seramai 22 orang penduduk kampung mengikuti pemeriksaan kesihatan yang berlangsung sehingga jam 4 petang. Pada jam 4 petang, peserta bertolak pula ke kampung seterusnya.

Di kampung ketiga ini, sambutan yang diberikan oleh penduduk kampung amat menggalakkan. Seramai 52 orang telah mengikuti pemeriksaan kesihatan yang diadakan. Pada masa yang sama, satu sesi dialog antara Dato’ Razak dengan penduduk kampung telah diadakan di SK Pos Bersih. Seramai kira-kira 15 orang penduduk telah mengikuti program ini di mana mereka berpeluang meluahkan masalah dan kesukaran yang dihadapi mereka. Pada jam 6 petang, satu sukaneka untuk anak-anak orang asli telah diadakan oleh Skuad Prihatin. Sambutan yang diberikan amat menggalakkan.

Pada malamnya, setelah solat berjemaah, satu lagi sesi tazkirah ringkas oleh Dato’ Razak berlangsung. Seterusnya, para peserta makan malam bersama-sama sebelum satu slot oleh Dr Azwan untuk memperkenalkan MRA kepada peserta.

Pada 17 Januari, seperti biasa, aktiviti dimulakan dengan solat Subuh berjemaah diikuti oleh tazkirah ringkas serta diskusi tentang isu-isu agama. Seterusnya, setelah sarapan pagi, para peserta diberi peluang untuk beriadah di sungai yang berhampiran. Kira-kira jam 10.30 pagi, peserta bertolak ke kampung terakhir untuk sesi pemeriksaan kesihatan yang terakhir, dengan jumlah pesakit di kampung ini seramai 9 orang. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit sepanjang 4 sesi pemeriksaan kesihatan adalah seramai 122 orang.

Kemudian, peserta balik ke SK Pos Bersih untuk makan tengah hari sebelum bersiap untuk berangkat pulang. Sebelum bertolak, peserta sekali lagi singgah di kampung terakhir tadi untuk menyerahkan sumbangan berupa pakaian terpakai untuk didermakan kepada penduduk kampung. Kira-kira jam 2 petang, peserta bertolak meninggalkan Kg Pos Bersih dengan 1001 kenangan dan pengalaman.

Akhir kata, terima kasih kepada semua peserta program yang sanggup meluangkan masa dan tenaga mereka untuk program berbentuk kebajikan yang mulia ini. Diharapkan program-program seperti ini lebih giat diadakan demi kebaikan seluruh masyarakat Malaysia amnya, serta demi dakwah Islamiah khasnya.



Disediakan oleh,

(MUHAMMAD NAIM BIN SAMSUDIN)
AJK Publikasi dan Dokumentasi



"Siapa yang sakit boleh datang klinik.... Sakit hati pun boleh!..."



Penerangan awal sebelum memulakan klinik kesihatan


Suasana meriah ketika sedang sibuk menjalankan klinik percuma. Duduk berbaju biru ialah Cikgu Mohd Wazir, Guru Besar SK Pos Bersih.


Amir, Pelajar Perubatan USU tahun 3, sedang memeriksa tekanan darah menggunakan teknik terkini tanpa menggunakan stetoskop. Menurutnya, ia adalah penemuan terbaru di dalam sejarah perubatan moden....... :)


Pemeriksaan kesihatan untuk Kg Fasa 1. Staff Nurse Liyana interframe.



Menu 'Cak Rayak' (Makan Besar) hari ini ialah Nasi putih, Daging Masak Kicap, Ikan Bilis dan Sayur Kobis berkuah. Koi Koi Cak Cak...


Adakalanya kami pergi dari rumah ke rumah untuk memberi ubat cacing dan vitamin untuk kanak-kanak dan mengajak ke klinik.



En Zulkifli dari IOA sedang menjalankan tugasnya iaitu tersenyum. Dihadapannya sedang duduk, berbadan besar dan berkumis ialah En Saidon, wakil dari JHEOA yang berjanji akan membantu dari segi menghantar bekalan ubat-ubatan dan meningkat fasiliti di sini.


Dispenser-dispenser ubat sedang menjalankan tugas yang diketuai oleh Cik Rosnah bertudung hitam paling kanan, pembantu farmasi dari Hospital Pakar Al-Islam.


Setibanya di Kampung Gesau, Pos Bersih.


En Samsul memakai t-shirt belang sedang memberi ucapan terima kasih kepada masyarakat orang asli dan sedang bercakap dengannya adalah tok Batin Kg Gesau yang merupakan bekas tentera.


Menghirup udara segara di bangsal istimewa di halaman rumah Tok Batin Kg Gesau. Di sebelah kiri saya berbaju kuning ialah Dato' Dr Razak, pakar dakwah orang asli Malaysia merangkap Presiden MRA.


Dato' Presiden MRA sedang menunjukkan pos istimewa di atas sebuah bangsal di rumah orang asli.


Suasana pagi kampung Bersih fasa baru, orang asli masih belum memulakan aktiviti. Pemandangan rumah-rumah PPRT, sebelum kami datang menyerang.



Bergambar di hadapan Kg Bersih Fasa 3 yang sudah mendapat rumah PPRT yang cantik tetapi masih belum ada bekalan api dan air.


Adik-adik USU sedang bergambar di hadapan sekolah SK Pos Bersih. Dari kiri Madinah, Khairun Nisa, Hanisah, Surina dan Sarah.


Zairee (kanan) dan Amir (kiri), adik USU sedang berdiri di atas batu-batu sungai di belakang sekolah. Sungai tempat kami bermandi-manda ini sangat jernih. Di hulunya dikatakan mempunyai 2 mata air iaitu air biasa dan air panas.




2 comments:

Razak Bin Ramli said...

Baguslah ada usaha dakwah kepada orang asli.
Jangan bila dah dia orang dirikan gereja baru puak berkuasa datang.
Berlaku di Jenderak Temerloh.Lepas tu cuba sekat tak bagi masuk air dan letrik atas alasan dirikan bangunan atas rezab kerajaan..Hingga pihak orang asli bawa ke mahkamah.

Anonymous said...

sekarang orang asli di slim river kebanyakan dah masuk kristian. sebab apa? sebab gereja beri mereka bantuan lebih dan beri perhatian terhadap org asli. jabatang agama mana? hilang duit entah kemana. sedih saya lihat

Related Posts with Thumbnails