Monday, November 24, 2008

Korban Dan Pengertiannya Yang Terindah...






Assalamualaikum,

Korban adalah ibadah yang tertua pernah tercatat di dalam buku kehidupan manusia. Al-Quran menceritakan bagaimana Habil dan Qabil telah melaksanakan korban di hadapan Allah. Mereka adalah 2 orang anak Nabi Adam Alaihissalam yang telah dipilih oleh Allah untuk melaksanakan korban untuk membuktikan keikhlasan mereka terhadap Allah.

Nabi Ibrahim Alaihissalam juga telah diwahyukan di dalam mimpi baginda untuk mengorbankan anak baginda iaitu Nabi Ismail Alaihissalam yang kemudiannya ditukarkan kepada seekor kambing. Begitu juga isteri baginda yang ditinggalkan di padang pasir bersama anaknya Ismail.

Maka, korban adalah ibadah yang ulung sejak zaman berzaman. Bagaimana kita sebagai umat terkini di zaman sains dan teknologi ini berkorban?

Berkorban membawa makna dan erti yang lebih besar. Berkorban tidak sekadar membelanjakan wang RM 350.00 daripada duit poket untuk bersedekah untuk satu bahagian lembu korban sahaja. Berkorban bukan sekadar membelanjakan wang daripada duit kutipan parti politik untuk membeli 10 ekor lembu untuk dibahagi-bahagikan kepada cawangan atau bahagian. Itu bukan korban yang sebenar.

Seorang ibu berkorban berjuang dengan nyawanya untuk melahirkan zuriat agar anak itu dapat dilahirkan ke dunia untuk menjadi insan yang boleh berbakti kepada masyarakat. Sekiranya dia mati ketika itu maka dia dianggap syahid. Kemudian si ibu berkorban dengan memberi sepenuh kasih sayang, bangun malam menjaga anak yang sakit dan gembira dan sedih bersama anak semasa membesarkannya.

Si Ayah berkorban dengan segala masa dan tenaga membanting tulang untuk mencari rezeki agar si ibu dan anak dapat hidup di dalam keadaan yang serba cukup. Si ayah kadangkala terpaksa melakukan dua kerja untuk memastikan anak dapat bersekolah dan yurannya dan buku sekolahnya di bayar.

Seorang guru berkorban dengan membakar dirinya dengan mengajar ilmu dan mendidik anak-anak muridnya dengan penuh dedikasi tanpa mengira wang yang dikeluarkan daripada poket sendiri dan masa yang dilaburkan pada waktu cuti am dan cuti sekolah.

Seorang pekerja am berkorban dengan memastikan bahawa kawasan tempat dia bekerja berada di dalam keadaan yang bersih, mengotorkan diri dan melakukan kerja yang orang seperti doktor, peguam, guru dan pengurus syarikat tidak mampu lakukan agar setiap orang di sekelilingnya sentiasa ceria dan boleh melakukan kerja masing-masing dalam keadaan bersih, tanpa bau busuk dan kotor.

Setiap dari kita mampu berkorban dengan nilaian korban yang lebih besar dari seekor lembu.

Sekiranya semua isteri tidak mahu berkorban dengan cara tidak mahu mengandung dan melahirkan kerana tidak mahu sakit, tidak mahu bangun malam dan takut nampak tidak menarik seperti dahulu, apa akan jadi kepada dunia ini?

Sekiranya seorang doktor tidak mahu berkorban dengan bekerja lebih masa kerana menganggap dibayar dengan pendapatan yang tidak setimpal dengan kerja, apakah yang akan berlaku kepada pesakit-pesakit miskin dan tidak berkemampuan yang di ambang maut di tengah-tengah malam?

Tanpa pengorbanan - tiadalah penghidupan.

Pengorbanan Membawa kepada Penghidupan...

Salam Aidil Adha...


1 comment:

A Mum Of Three Mohd said...

Salam doktor,

Tanpa pengorbanan - tiadalah penghidupan.
Pengorbanan Membawa kepada Penghidupan...

Yes...Penghidupan yang lebih sejahtera, lebih bermakna, lebih takwa dan yang lebih diberkati Allah, insyaAllah.

Related Posts with Thumbnails