Sunday, June 28, 2009

MB Johor, Prof Ungku Aziz tak sokong PPSMI?

Dipetik dari Malaysiakini.


MB: Laksana PPSMI 'tidak beretika'
Jimadie Shah Othman Jun 27, 09 1:03pm

Tidak wajar sesuatu dasar pendidikan negara – seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) – diputuskan berasaskan emosi dan persepsi, tanpa kajian dan perancangan rapi, kata menteri besar Johor.

"Adalah salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya," kata Datuk Abdul Ghani Othman.

"Tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang membentuk dasar pendidikannya secara mendadak, tanpa memikirkan kepentingan murid dan kesediaan guru, melainkan Malaysia."

Abdul Ghani, juga pengerusi Permuafakan Badan Ilmiah Nasional (Pembina), mengulas dasar kontroversi tersebut sewaktu merasmikan kolokium mengenai PPSMI anjuran NGO itu di Shah Alam pagi tadi.

Ucapan ringkasnya itu dibacakan oleh Pengerusi Eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin.

Turut hadir, Prof Diraja Ungku Aziz dan seniman Datuk Jins Samsudin.

Abdul Ghani juga berkata, Pembina berpendirian bahawa sebarang perubahan dasar pendidikan mestilah dibuat berdasarkan perancangan rapi, tidak secara tiba-tiba, serta berlandaskan fakta dan data yang sah.

Tambahnya, kajian badan tersebut – yang disokong ahli akademik dari tujuh universiti awam – mendapati PPSMI menyebabkan berlakunya "kepupusan generasi akibat bertambah ramai murid gagal (dalam matapelajaran) Sains dan Matematik" di pelbagai peringkat.

Sementara Ungku Aziz dalam ucapannya selepas itu menyifatkan masalah dalam sistem pendidikan berlaku disebabkan terlalu banyak kompromi pemimpin politik.

"Banyak pemimpin politik luar dan dalam kabinet tentu hendak mencari kompromi. Orang politik suka berkompromi. Bila banyak komporomi, dia tidak boleh berpikir dengan rasional.

"Tambahan lagi, orang politik hendak cepat. Bagi saya, jalan singkat tidak ada," katanya yang kerap bercerita dan berjenaka dalam ucapannya.

Ungku Aziz menegaskan, tindakan kerajaan memperkenalkan PPSMI enam tahun lalu sebagai "tindakan gila" kerana Matematik menggunakan "bahasa simbol" – melalui angka, nombor dan penggunaan rumus tertentu.

"Apa bahasa matematik? Bahasa simbolik, angka, semua simbol. Matematik ini bahasa simbolik. Kalau guna bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, pilih bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, (itu tindakan) gila.

"Kalau hendak belajar bahasa Inggeris dengan bahasa matematik, bagaimana boleh belajar?" katanya di hadapan 150 pendidik sekitar Selangor.

Selain menyokong saranan Pembina supaya PPSMI dimansuhkan di semua peringkat, Ungku Aziz mencadangkan masa pengajaran bahasa diajar secara tetap tiga hingga empat jam seminggu, selain menggunakan kaedah pembelajaran terkini.

"Masa untuk belajar bahasa tidak cukup. Itu kunci kepada semua sekali, perkara pokok sekali. Dalam sistem pembelajaran di sekolah rendah, menengah dan universiti, masa untuk belajar bahasa itu diberi sedikit sahaja.

"Pendekatannya pun salah. Banyak orang (pemegang) PhD bawa teori lapuk sepuluh tahun lalu. Dia lupa, apa dia belajar dulu orang lain sudah tukar (hari ini)," katanya.

Pembina pertama kali mengedarkan dan membentangkan kajian PPSMI mereka kepada umum hari ini. Dokumen itu pernah diedarkan kepada peserta Kongres Melayu ke-2 penghujung Mac lalu di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur.

Selain laporan itu setebal 200 halaman, dua lagi kajian berhubung pelaksanaan dasar kontroversi itu yang dihasilkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) turut dibentangkan.

Wednesday, June 24, 2009

Minggu Medical Check Up






Assalamualaikum,

Minggu ini adalah minggu yang sangat sibuk.

Ini kerana minggu ini adalah minggu di mana anak-anak tuan/puan mendapat tawaran menyambungkan pelajaran. Ada yang sambung pelajaran ke Politeknik, ada yang ke Matrikulasi dan ada yang ke Universiti.

Bukan di Hospital Al-Islam sahaja, hospital PUSRAWI pun begitu. Kebetulan saya tahu sebab saya lokum di sana seminggu dua ini.

Pada kebiasaannya, pemeriksaan yang dilakukan ialah x-ray, air kencing untuk pemeriksaan mikroskopi, albumin dan gula, air kencing untuk dadah dan pemeriksaan tubuh.

Ada yang datang dengan sangat ceria, ada yang tak beberapa ceria dan ada yang sugul (agaknya sebab tak dapat pilihan di hati..). Ada yang ibu bapa lebih ceria daripada anak-anak..hui hui.

Ada sorang ibu ni minta saya tulis anaknya kena asthma di dalam laporan perubatan anaknya. Kenapa? Sebabnya anaknya dapat belajar di sebuah universiti di Dungun, Terengganu. Kalau tulis anaknya ada asthma nanti, boleh dia merayu untuk bertukar di Melaka. Kampung ibunya... haha.. !

Tapi saya tulis sihat sahaja. Saya bagitahu minta declare dalam borang yang kena diisi sendiri tentang penyakit sendiri dan keluarga. Tulis lah nak tulis apa pun. Kena asthma ke, sawan ke, selsema babi ke... tulis la nak tulis apa pun.

Ada anak yang kena pergi sebuah universiti di Arau, Perlis, ibunya bersedih. Maklumlah tak pernah berjauhan dengan anak. Tiba-tiba berjauhan... macamana dengan keadaan anak-anaknya nanti. Ada pula ibu gembira anak dapat jauh di Kelantan, anak pula yang tensen... sebab kawan-kawan dapat sebelah barat. Dia pula dapat di timur. Apa susahnya dik, kapal terbang ada. Boleh balik hari maa..

Ada yang dah nak masuk matriks dah tetapi perangai macam pelajar tingkatan 5 lagi. Maklumlah dah 17 tahun setengah! Bila tanya soalan, pandang ke emak, suruh emak jawab. Manja semacam je, lentok ke kanan, lentok ke kiri. Dik Non, awak tu nak masuk universiti nih. Kena lah berperangai dewasa sedikit. Tak lama lagi nak kahwin. Mulalah Azwan Ali nak berleter nih.. laser lagi.. Tak kuasa aku.. Haha!

Pada hakikatnya, trend gender pelajar masih lagi sama. Dalam 20 orang buat medical checkup, mungkin ada 7 orang lelaki. Itupun sebab masuk ke politeknik, Giat Mara atau IKM. Di Univerisiti ada tapi kurang.

Kalau dulu, yang masuk kejuruteraan kebanyakannya lelaki. Maklumlah tugasan itukan kadang-kadang banyak di tapak dan kena panjat-panjat. Jurutera elektrik, awam, jurutera robotik, mekanikal semua sekarang sudah ramai pelajar perempuan ceburi.

Bila saya tanya kenapa nak ambik jurutera ni, nanti hitam kulit kena duduk di tapak kerja.. dia jawab, "Alah doktor, lulus nanti saya minta jadi cikgu ke pensyarah..".

Sempat juga saya sabotaj pemikiran beberapa pelajar dan ibu-bapa suruh tukar bidang dari engineering ke perubatan. Terutama yang perempuan dan mempunyai keputusan yang baik tetapi tidak ada peluang di universiti awam. Jangan risau, cuba lagi di universiti swasta atau separa awam. Ada banyak badan kerajaan yang boleh membantu di dalam memberikan pinjaman atau biasiswa (ada lagi ke biasiswa sekarang?). Yang penting kenalah berusaha.

Apa pun tahniah kepada anda yang berjaya. Pengalaman di Universiti adalah sesuatu yang sangat-sangat menyeronokkan. Saya bekas pelajar di kulliyyah perubatan UIAM, tidak berpeluang untuk bergaul dengan pelajar-pelajar UIAM yang lain dari jurusan berlainan kerana kampus kami di Pahang. Lagipun, jadual perubatan yang ketat agak menyukarkan kami untuk ke UIAM Gombak. Jadi dari segi jaringan agak kurang.

Buat mahasiswa-mahasiswi di Universiti, anda boleh menghabiskan sebahagian besar masa anda untuk mentelaah pelajaran dan menjadi ulat buku. Cuma luangkan sedikit masa untuk menjalankan aktiviti baktisiswa, menyertai Jemaah Islam dan menjadi sukarelawan. Ia sangat membantu membentuk pemikiran dan peribadi. Ia juga akan meningkatkan jaringan sosial anda.

Kepada adik mahasiswi, nasihat terakhir saya, kalau nak cari pasangan hidup, carilah di universiti. Apabila habis belajar, sudah mendapat kerja, jaringan sosial anda semakin berkurang kerana kesibukan dan kepenatan. Kebiasaannya, anda akan sukar mencari pasangan hidup yang sesuai, sekufu dan "berkualiti".

Wallahu Alam.




















Friday, June 19, 2009

Cerita penipu di Masjid Jamek Kg Baru



Salam,

Semalam, semasa saya dan sahabat saya, WM Affendi, ejen takaful saya sedang duduk di dalam masjid sementara nak menunggu solat Asar, saya didatangi seorang lelaki melayu. Umurnya dalam 30-an, berbaju t-shirt, berseluar jeans dan berbadan gempal. Maaflah, tapi baunya agak kurang menyenangkan - ala-ala mamat Bangla yang selalu buat pemeriksaan FOMEMA di klinik.

Dia menghulurkan tangan dan bersalam.

Dia memulakan bicara dengan, "Boleh tak abang tolong saya?". Kemudian dia diam. Saya fikir dia sedang menunggu jawapan dari saya.

Itu soalan close-ended.

Kalau soalan close-ended ni ada dua jawapan jer, samada boleh atau tak boleh. Orang melayu biasanya akan jawab boleh. Jawapan tak boleh tu dah kira seolah-olah berdosa besar. Apatah lagi ni kat dalam masjid, orang itu sedang meminta pertolongan dan mungkin dalam kesusahan yang besar.

Soalan jenis close ended ni biasanya salesman yang terdesak sahaja selalu tanya. haha!

Jawapan saya pun jawapan salesman lah juga.

"Bergantung lah kepada apa yang nak ditolong...".

Dalam hati saya orang yang nak minta tolong biasanya tak tanya soalan close ended macam ni.

Dia pun mulakan ceritanya. Dia kata motosikal dia rosak, rantai dia putus. Dia takder duit nak bayar bengkel tu. Jadi dia minta RM 50.00 untuk bayar bengkel itu.

Saya terdiam kejap.

Sebelum saya buka mulut, tiba tiba ada seorang lelaki 40-an, berkopiah dan berbaju melayu datang laju menghampiri kami. Biasa nampak dia kat masjid Kg Baru ni. Salah seorang AJK Masjid rasanya.

"Mana motor kau yang rosak? Bengkel mana kau hantar? mana kunci motor? Mana road tax?".. bertubi-tubi dia tanya soalan.

AJK Masjid tuh bising lagi, "Kau jangan ganggu jemaah kat sini, ini masjid, jangan tipu duit orang. Aku kenal kau ni, masjid ni ada kamera, boleh nampak apa kau buat...

Terkedu mamat kat sebelah saya tu. Usah kata mamat tuh, saya pun terkedu sekali. Mamat tu bun bangun keluar masjid.. "kalau tak nak tolong tak pe la", katanya berlalu.

Dari awal lagi, dia terlalu "cool" macam tak nampak berada di dalam kesusahan pun. Tak ada nampak cemas ke apa.

Kalau masuk program realiti pentas anak wayang... sah keluar awal-awal. Tak pandai la berlakon. Kalau nak menipu pun, buat lah kasi "real". Sekurang-kurang, kalau mengalir air mata, boleh juga dihulur sehinggit dua...

AJK Masjid tu pun cerita tentang ramai jemaah mengadu tentang kes yang sama. Modus Operandinya sama. Itu yang AJK Masjid tu marah sangat bila tengok mamat tipu tu. Dia tak nak penipuan itu berulang lagi.

Cerita orang penipu minta tolong ni dah terlalu biasa. Minta RM 50.00! Pada sesetengah orang RM 50 adalah gaji mereka sehari. Bayangkan kena tipu RM 50.00, duit itu yang nak bagi anak makan, beli duit minyak, nak bayar sewa etc.

Bagi si penipu, lepas dapat RM 50.00, dia boleh makan nasi beriyani dan ayam tandoori seminggu. Sedang yang kena tipu, nak makan sepinggan mee pun berkira-kira. Takut anak-anak tak mampu makan.

Dalam dunia ni memang ramai penipu. Ada yang muka nampak baik, tetapi penipu. Jangat ingat lelaki sahaja menipu. Perempuan pun ramai yang menipu. Di sebalik wajah keibuan mereka, mereka boleh mengambil wang anda. Di dalam perniagaan, kita akan terjumpa lebih ramai orang sebegini.

Penipu boleh berada di mana-mana. Di dalam kes saya tadi, penipu berada di dalam masjid.

Yang sukarnya adalah untuk menilai, mana satu yang betul-betul memohon pertolongan kerana dilanda musibah dan yang mana satu hanya menipu.

Tuesday, June 16, 2009

Pulangnya Fathi Yakan ke Rahmatullah..





Saya dapat email ini daripada sahabat saya Kapten Dr Shazni Izana, Pegawai Perubatan Angkatan Tentera Malaysia. Terima Kasih di atas pemberitahuan.


Antara buku harakah yang paling awal saya kenal ialah buku karangan Ustaz Fathi Yakan bertajuk ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ telah membuatkan diri saya berjaya menemui matlamat hidup yang sebetulnya.

http://www.ikhwan-jor.com mengkhabarkan berita yang cukup meruntun jiwa, pulangnya Dr. Fathi Yakan ke pangkuan Allah Taala pada awal hari ini. Beliau meninggal pada usia 76 tahun lantaran sakit.

Berita ini diterima selepas zuhur 13 jun 09 yang juga disiarkan di aljazeera.net, qudspress.com dan lain-lain. Beritanya adalah seperti berikut:

Pada pagi sabtu, Dr Fathi Yakan telah meninggal dunia di hospital di Lubnan setelah dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lepas kerana menghadapi masalah kesihatan yang teruk. Beliau telah menghembuskan nafasnya terakhir ketika mencapai umur 76 tahun di hospital.

Pihak hospital telah menyatakan bahawa beliau terkena serangan angin ahmar pada otaknya sehingga menyebabkan beliau telah mati klinikal (clinical death). Namun pihak perubatan dan pihak keluarga enggan mencabut alat bantuan hayat dari tubuh beliau.

Siapa yang tidak kenal Dr. Fathi Yakan. Kitab karangannya yang terkenal Apa Erti Saya Menganut Islam (atau lebih terkenal dengan panggilan 'Maza Yakni') menjadi rujukan kebanyakan kumpulan usrah pelbagai wadah.

Kini beliau sudah pergi meninggalkan kita. Permata dakwah ini sudah tiada. Moga-moga akan lahir lebih ramai tokoh dakwah sehebat Dr Fathi Yakan. Ulama agung yang mampu menjulang martabat Islam setinggi-tingginya.


Profil Dr Fathi Yakan

Dr Fathi Yakan ialah ulama dan pendakwah Islam yang terkemuka. Beliau dilahirkan di Tarablas pada tahun 1933 dan telah mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau telah menjawat ketua umum di dalam Jamaah Islam sehinggalah pada tahun 1992.

Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Narul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pd tahun 2007.

Beliau telah banyak mengarang buku di antaranya Maza Ya'ni Intiami lil Islam, al-Mutasiqituna Fala Toriq Da'wah, Kaifu Nadwu lil Islam dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku.

Kita kehilangan satu permata Islam yang bersinar ke seluruh dunia. Tetapi kematiannya tidak akan melenyapkan terus semangat ruhul jadid yang sentiasa segar dalam ingatan hasil kata-katanya dalam hampir 35 buah bukunya.

Tidak sepatutnya bagi penegak agama Islam merasa lemah dengan kematian beliau tetapi perjuangan perlu diteruskan oleh kita yang tinggal ini sebagaimana dengan kewafatan Nabi Muhammad S.A.W yang menyaksikan kepintaran Saidina Abu Bakar dalam menyelesaikan masalah yang timbul. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul . Apakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling tadah (murtad)?. Sesiapa yang berpaling tadah maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada mereka yang bersyukur. Surah Al-Imran Ayat 144

Al Fatihah....

Monday, June 15, 2009

Pendapatan Doktor - Gharar dan Jahalah?



Assalamualaikum,

Ustaz Zaharuddin ada menulis di dalam bukunya Wang, Anda dan Islam tentang pendapatan syubhah para doktor dan klinik yang menyentuh elemen gharar (ketidak-tentuan), jahalah dan kezaliman.

Daripada tulisan Ustaz, Ustaz telah berjumpa seorang ?pakar semasa kakinya sakit dan dikenakan bayaran konsultasi sebanyak RM 60. Kemudian telah membuat beberapa pemeriksaan makmal seperti x-ray dan air kencing. Kemudian beliau dikenakan bayaran RM 400.00. (Pheww.. mahal betul.. hospital mana ni? Patut datang hospital Pakar Al-Islam.. !) Saya kira, ustaz mengeluarkan fatwa berdasarkan pengalaman ustaz sendiri di hospital.

Keesokan harinya beliau dirujuk kepada pakar perubatan kerana kemungkinan mempunyai gout. Saya tak tahu, kemungkinan beliau dikenakan bayaran-bayaran lain pula selepas itu.

Isu pertama yang ustaz bawa ialah bayaran konsultasi doktor sebagak RM 60 tadi hanya diketahui setelah berjumpa dengan pakar tersebut. Sepatutnya harga konsultasi tersebut diberitahu sebelum berjumpa pakar.

Isu kedua ialah ubat-ubatan. Sepatutnya pakar berbincang dengan pesakit tentang ubat-ubatan pesakit. Kemungkinan ada ubat-ubatan yang sama fungsinya tetapi lebih murah harganya dicadangkan kepada pesakit dan pesakit boleh memilih ubat-ubat tersebut. Harga ubat juga diketahui setelah keluar resit selepas menerima ubat bukan sebelum membayarnya.

Menurut Ustaz, sekiranya perkara ini dapat dihindari maka elemen syubhah dan gharar fahish (gharar besar yang merosakkan akad) dapat dielakkan.

Saya ingin memberi pendapat saya tentang hal ini. Bukan tentang hukum yang telah Ustaz fatwakan tetapi tentang proses Standard Operating Procedure yang biasanya klinik-klinik jalankan. Mungkin Ustaz dapat menilai kembali, ataupun para pembaca dapat memahami dengan lanjut apa yang telah ustaz tuliskan.

1. Bayaran konsultasi pakar tidak dikira mengikut minit atau jam, tetapi mengikut kesukaran prosedur, pengalaman atau kepakaran. Biasanya sekali jumpa RM 60. Adakalanya jumpa berjam-jam pun tetap RM 60. Adakalanya mengkut prosedur tertentu, contohnya konsultasi pakar radiology untuk ultrasound ialah RM 50.00 tetapi kalau untuk CT scan mungkin mencecah RM 100.00.

Ada konsultasi pakar sakit puan yang berjumpa dengan pesakit yang mengalami masalah kemandulan dikenakan RM 180.00, tetapi kes-kes biasa pula dikenakan caj RM 60.00. Ini kerana menguruskan masalah kemahilan adalah lebih sukar dan pakar juga tidak ramai. Oleh itu konsultasi pakar adalah bergantung kepada kepakaran dan kerumitan prosedur yang tertentu dan tidak mengikut masa seperti konsultasi profesion lain.

Begitu juga dengan pengalaman pakar. Berbeza berjumpa pakar baru dengan pakar yang sudah 30 tahun dalam perkhidmatan. Sudah tentu fi konsultasi juga berbeza. Jumpa dengan pakar baru setengah jam RM 60, jumpa dengan pakar perunding yang sudah 30 tahun berkhidmat mungkin mencecah RM 150.

Doktor pakar bukan seorang bomoh yang pandai menilik masalah. Dia tidak tahu apa masalah pesakit sehingga segala masalah dan pemeriksaan dijalankan. Adakalanya susah adakalanya senang. Jadi kesukaran dan kerumitan seseuatu perundingan itu tidaklah dapat diketahui setelah berjumpa dengan pesakit, dan setelah pemeriksaan dan prosedur telah dijalankan kepada pesakit. Oleh itu sukar juga untuk memberitahu pesakit berapa caj doktor yang dikenakan sebelum berjumpa. Dikhuatiri tidak adil pula kepada pesakit dan doktor pakar kerana doktor telah menetapkan harga sekian-sekian tetapi akhirnya akibat kerumitan sesuatu pemeriksaan, prosedur dan penyakit maka harga asal tadi telah meningkat.

Mungkin Ustaz boleh tulis hukumnya dengan lebih detail sekiranya perlu. Tetapi saya setuju harga konsultasi sepatutnya diberitahu kepada pesakit sebelum berjumpa walaupun adakalanya sukar. Jika di klinik tempat saya bertugas dahulu, memang ada tertulis harga konsultasi untuk pegawai perubatan sebelum atau selepas jam 12 malam dan harganya pula adalah tetap. Dari segi konsultasi Pakar pula adalah sikit berbeza strukturnya.

2. Tentang ubat-ubatan, kebiasaannya di klinik-klinik swasta, terdapat ubat generik dan original. Saya pernah menulis tentang ubat generik dan original sebelum ini. Walaubagaimanapun, di hospital swasta, kebiasaannya penggunaan ubat generik sangat kurang. Pakar banyak menggunakan ubat original yang mahal harganya.

Sebagai contoh ubat original antibiotik Augmentin 625 mg berharga RM 6 sebiji x 2 kali sehari x 7 hari = RM 84.00. Tetapi ubat generik (biasanya tiada di hospital swasta) cuma RM 4 sahaja sebiji = RM 56.00 seminggu.

Contoh lain pula : sebiji Arcoxia 120mg untuk tahan sakit berharga RM 6.00 sebiji. Walaubagaimanapun, tiada generik yang saya tahu yang sama dengan Arcoxia. Walaupun ubat tahan sakit lain seperti voltaren dan ponstan mempunyai fungsi yang sama dengan Arcoxia tetapi kelebihan-kelebihan Arcoxia seperti kurang kesan gastritis, makan hanya sebiji sehari dan kesan sampingan lain yang lebih kurang melebihi ubat-ubat lain.

Pada pendapat doktor, adalah lebih baik jika memberi ubat yang sama kesan atau lebih berkesan, kurang dari segi dosing harian dan kurang kesan sampingan tetapi sedikit mahal daripada memberi ubat yang murah tetapi banyak kesan sampingan. Itu juga bergantung kepada kemampuan pesakit.

Berbalik kepada permasalahan antibiotik, ada berpuluh-puluh jenis antibiotik yang berada di pasaran. Fungsinya adalah sama, iaitu membunuh kuman. Oleh itu, antibiotik mana yang paling sesuai adalah di atas pilihan doktor. Ada doktor suka memberi antibiotik jenis Zinnat kepada orang yang mempunyai masalah jangkitan kencing sebagai contoh, ada yang suka mempreskripsi Baktrim, ada yang mempreskripsi Augmentin, ada yang beri Ciprofloxacin, ada yang beri Bacampicillin. Kalau ada 10 antibiotik yang boleh memberi fungsi yang sama, tetapi kekuatan dan kelebihan yang berbeza, mana satu yang pesakit ingin pilih? Atau adakah pesakit (yang sedang sakit) ingin memilih? atau lebih mudah menyerahkan kepada doktornya sahaja?

Memang mengikut kebiasaannya, pesakit KRONIK suka untuk memilih ubat-ubatannya. Ini kerana mereka telah mempunyai pengalaman. Contohnya Norvasc 10 mg lebih sesuai baginya daripada ubat-ubatan lain untuk mengawal darahnya. Di dalam hal ini, tiada masalah untuk kita bersetuju dengan pesakit perihal ubat-ubatan yang diambil. Malah sekiranya ada ubat yang lebih murah dengan effikasi yang sama, maka ia juga adalah satu alternatif yang baik.

Justeru, persoalan penyakit yang AKUT seperti sakit perut, sakit kaki, jangkitan kuman, akut appendiks, pendarahan agak sukar untuk dibawa berbincang dengan pesakit di dalam sela masa yang singkat. Ini adalah kerana, sebagai doktor kita mahu yang terbaik dan cepat untuk pesakit. Dan pesakit dengan rela hati menyerahkan tugas mengurangkan kesakitan dan menghindarkan jangkitan secara sebaik mungkin kepada doktor. Pesakit pula di dalam keadaan tidak selesa untuk memikirkan ubat mana yang lebih sesuai untuknya. Asalkan boleh menyembuhkan.

Walaupun begitu, ia bukan tiket kepada doktor untuk mengambil kesempatan memberi ubat yang tidak perlu, hanya sekadar mengaut keuntungan.

Untuk penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan hyperkolestrol, masa lebih banyak untuk hubungan doktor-pesakit berlaku kerana biasanya pesakit akan datang setiap bulan untuk pemeriksaan dan mengambil ubat. Oleh itu pesakit akan berinteraksi dengan doktor ubat mana yang lebih sesuai dan selesa untuk pesakit. Pesakit akan memberi input yang bersesuaian dan doktor mempunyai banyak masa untuk berbincang ubat mana yang lebih sesuai kosnya di dalam lingkungan kemampuan pesakit.

3. Untuk pengetahuan para pembaca dan Ustaz, ada pakar yang dipanggil pakar jemputan atau visiting specialist. Mereka ini menyewa tempat di hospital tersebut. Seolah-olah di dalam hospital tersebut, mereka ini cuma datang sebagai pakar pelawat yang berniaga dengan menyewa tapak di hospital. Sehari mereka membayar kepada hospital sekian-sekian sewa sebagai khidmat hospital menyediakan bilik dan pesakit kepada mereka.

Pakar ini pula meletakkan caj konsultasi kepada pesakit sebagai gaji mereka. Dari segi ubat pula, keuntungan adalah 100% kepada hospital kerana pakar-pakar ini tidak membawa bersama ubat-ubatan. Ubat disediakan oleh hospital. Oleh itu, harga ubat-ubatan adalah terletak pada ketentuan lembaga ubat-ubatan hospital dan bukan pakar perubatan.

Adakalanya, pakar juga tidak tahu berapa harga ubat tersebut. Dia boleh mengganggar sahaja, tetapi harga yang sebenar juga dia tidak pasti. Ini adalah kerana, harga terakhir terletak di kaunter farmasi. Harga ubat juga naik turun hampir setiap bulan mengikut harga pasaran dari syarikat pembekal. Doktor pakar menulis di preskripsi dan di hantar ke farmasi untuk diuruskan. Doktor pakar cuma menerima bayaran konsultasi sahaja. Keuntungan ubat bukan di bawah pengendalian doktor. Oleh itu, tugas memberitahu harga ubat-ubatan terletak di bawah kuasa hospital.

Bagi pihak pesakit, pesakit berhak untuk tidak membeli ubat sekiranya mengetahui ubat adalah mahal. Pesakit boleh bayar kos konsultasi sahaja dan kemudian boleh pulang. Negara-negara di luar negara seperti Indonesia dan UK mengamalkan cara sedimikian. Mereka tidak membeli ubat di hospital tetapi membeli ubat di farmasi luar. Di Indonesia, ada banyak apotek a.k.a farmasi untuk mereka beli ubat. Tetapi masalahnya cuma, ada ubat yang pakar berkenaan tulis tidak terdapat di sesetengah farmasi. Farmasi di hospital lebih memudahkan kerana ubat yang dipreskripsi oleh doktor di dalam hospital biasanya sudah ada.

Sekiranya pesakit ingin membeli ubat di luar, dapatkan preskripsi daripada doktor tersebut dan cari di farmasi luar. Dengan itu, pesakit tidak perlu membayar dengan harga mahal di hospital. Sekiranya pesakit berhasrat untuk membeli ubat di dalam hospital, pesakit boleh bertanyakan harga dan ahli farmasi akan memberitahu harga bagi setiap ubat.

Adakalanya ia tidak berhenti setakat pada persoalan harga, tetapi akan berterusan kepada persoalan mana ubat yang lebih baik, kenapa harga ini lebih mahal dari yang ini dsbg. Ia akan memakan masa pesakit lain yang sedang menunggu ubat. Mungkin hari ini hari anda, namun sekiranya suatu hari yang lain, anda yang terpaksa menunggu.

4. Berkenaan dengan pemeriksaan makmal seperti air kencing, radiology dan darah. Kebanyakan pesakit biasanya akan bertanya harga pemeriksaan makmal tersebut. Cuma pesakit yang tidak bertanya tentang harga ialah pesakit yang mempunyai insurans atau pesakit panel. Kebanyakan pesakit yang membayar tunai akan memastikan harga bagi setiap pemeriksaan makmal yang dilakukan.

Memang secara semulajadinya, hospital tidak mempamerkan harga-harga tersebut secara terbuka. Mungkin kerana strategi pemasaran dsbg, tetapi sekiranya bertanya kepada pegawai pertanyaan di kaunter, biasanya harga tersebut boleh didapati dengan mudah. Saya tak pasti bagaimana ia boleh jatuh kepada "gharar" sekiranya harga makmal tersebut boleh didapati di kaunter pertanyaan.

Secara amnya, saya dapati tidak beberapa praktikal untuk mempamerkan harga ubat kerana itemnya adalah beribu-ribu jenis. Pesakit boleh mendapatinya dengan bertanyakan di kaunter farmasi. Begitu juga dengan harga pemeriksaan makmal yang boleh didapati di kaunter pertanyaan. Pesakit juga boleh menganggarkan harga konsultasi doktor dengan bertanya kepada pegawai yang berkenaan. Pesakit boleh berbincang dengan doktor jika ingin ubat yang lebih murah. Pada pengalaman saya yang ramai menerima pesakit yang kurang berkemampuan, InsyaAllah ia tidak menjadi masalah. Malah, pesakit boleh menolak mengambil ubat di hospital dan boleh membelinya di tempat lain kerana membeli ubat di hospital bukan satu paksaan.

Walahu Alam.























Thursday, June 11, 2009

Shukery Hashim Meninggal Dunia







Salam,

Rasanya baru sahaja saya menulis tentang Allahyarham Shukery Hashim tentang kanser pankreas yang dideritainya di sini. Innalillah.. beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir semalam. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah. Al Fatihah.

AMPANG - "Saya tunggu awak di syurga."

Demikian antara kata-kata akhir pelakon Mohamad Shukery Hashim (gambar), 55, kepada isterinya Faridah Mad Desa, 51, sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit barah pankreas di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), pada pukul 1.45 petang semalam.

Faridah yang sentiasa berada di sisi Mohamad Shukery sejak dimasukkan ke PPUKM pada Jumaat lepas memberitahu, dia tidak menyangka arwah suaminya itu akan meninggal dunia dalam masa yang singkat.

"Terlalu cepat rasanya kerana dia nampak sihat. Arwah cakap, dia bertuah kerana dapat isteri macam saya dan kalau dia pergi dulu, dia akan tunggu saya di syurga.

"Arwah juga selalu berdoa meminta pada Allah, semoga dipermudahkan pemergiannya dan arwah pergi dengan tenang macam tidur," jelasnya.
Dipetik dari kosmo! Online.

Wednesday, June 10, 2009

Prader Willi Syndrome








Dipetik dari KOSMO!

MEMANG menjadi keseronokan bagi sepasang ibu bapa apabila melihat anak sendiri membesar dengan cepat. Sekali pandang, tiada bezanya si pemilik pipi gebu dan lengan berisi itu dengan kanak-kanak lain yang seusia dengannya. Dalam masyarakat kita, sering kali kanak-kanak yang gemuk dikatakan 'sihat'.

Cuma apabila diteliti, terdapat satu ciri yang ketara iaitu saiz dan bentuk badan anak yang agak pendek. Mengenai tabiat pemakanannya pula, nafsu makan anak mereka yang berumur tiga tahun itu cukup luar biasa malah kadangkala membuatkan ibu bapa 'takut' melihatnya.

"Kalau dulu, hendak menyusu pun susah. Tapi bila saja umur tiga tahun, makannya terpaksa kami pantau. Boleh dikatakan apa saja yang diberi akan dimakannya. Dia tidak ubah seperti mesin makanan," luah Karim Bakar (bukan nama sebenar) mengenai anaknya itu.

Karim memberitahu, doktor yang menyambut kelahiran anaknya itu pernah memberitahu tentang kemungkinan anaknya menghidap masalah berkaitan genetik. Tetapi dia tidak menyangka pemerhatian doktor itu bakal menjadi masalah serius.

"Penyakit ini dikenali sebagai Sindrom Prader Willer (PWS) dan ia sangat jarang berlaku. Ia melibatkan struktur genetik yang kompleks yang seterusnya memberi kesan terhadap banyak bahagian pada tubuh," kata Jururunding Genetik Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Sime Darby, Dr. Choy Yew Sing.



MENURUT Dr. Choy, bayi yang menghidap PWS melalui keadaan hypotonia.



Jelas Yew Sing, ketika bayi, mereka dikenal pasti melalui keadaan ketegangan otot yang lemah (hypotonia), kesukaran untuk menyusu, pembesaran dan perkembangan yang perlahan.

"Pada fasa pembesaran awal, nafsu terhadap makanan amat tinggi malah sukar dikawal. Perkembangan ini akan menyebabkan mereka mengalami obesiti. Dalam kes yang pernah direkodkan, seorang kanak-kanak berusia empat tahun mempunyai berat badan sehingga 90 kilogram (kg)," katanya kepada Jurnal.

Ibu bapa yang tidak prihatin tentang masalah yang dilalui oleh anak mereka akan terus memberikan makanan setiap kali diminta oleh kanak-kanak itu. Lebih membimbangkan, ibu bapa itu langsung tidak mengetahui soal zat, nutrisi atau kualiti makanan itu secara asas.

Tanpa bimbingan dan kesedaran aspek kesihatan, keputusan dan tindakan kanak-kanak ini secara tidak langsung dipengaruhi. Bukan suatu yang mustahil jika kanak-kanak tersebut melatih diri 'mencuri' makanan setiap kali terasa lapar pada waktu malam atau ketika tidak diperhatikan ibu bapa atau penjaga. Dalam fikiran mereka, perbuatan itu tidak menyalahi peraturan dalam rumah.

"Sesetengah gen hanya akan aktif apabila salinannya diwarisi daripada sebelah ayah. PWS wujud apabila kromosom 15 daripada sebelah ayah ini hilang atau tidak terbentuk dengan sempurna lalu mengganggu kromosom daripada sebelah ibu untuk menyalin set kromosom," jelasnya mengenai keadaan genetik abnormal ini.

DUA kanak-kanak lelaki sama usia dengan salah seorang daripadanya menghidap PWS.

Antara petunjuk lain mengenai penyakit ini ialah kaki dan tangan yang pendek, struktur muka yang tersendiri, ton kulit serta warna rambut yang luar biasa cerah.

Bagi mengesan penyakit yang dialami oleh satu dalam 10,000 hingga 15,000 bayi, pemeriksaan klinikal terhadap genetik diperlukan.

"Lazimnya, pemeriksaan ini disyorkan kepada bayi yang baru lahir apabila hypotenia dikesan. Pemeriksaan awal PWS akan memudahkan rawatan susulan diberikan terutama pemberian hormon pembesaran," jelasnya.

Suntikan hormon secara berkala boleh membantu perkembangan otot serta mengurangkan pengambilan makanan serta menaikkan berat badan bayi.

"Ini adalah penting kerana pada awal kelahiran, bayi PWS mempunyai berat badan yang amat kurang kerana kesukaran menyusu. Jadi, dengan suntikan hormon ini, pembesaran tubuh bayi akan terjadi secara normal," katanya. - SHANIKA ABDULLATIB


Monday, June 8, 2009

Wang, Anda Dan Islam...







Assalamualaikum,

Saya telah membaca buku yang bertajuk "Wang, Anda dan Islam" karangan Ustaz Zaharuddin Bin Abd Rahman (UZAR) terbitan Truewealth. Saya membelinya pada pesta buku yang lepas dengan harga RM31.90. Dapat juga saya bertemu mata dengan Sdr Azizi Ali untuk mendapat tandatangannya semasa membeli buku ini.

Ustaz Zaharuddin adalah pakar di dalam bidangnya. Beliau adalah lulusan UM di dalam bidang Usuluddin dan Sarjana di dalam Fiqh dan Usul Fiqh dari Universiti al-Yarmouk, Jordan. Beliau telah berkecimpung di sebagai panel syariah di pelbagai tempat termasuk RHB Islamic Bank. Sekarang beliau bertugas sebagai pensyarah di Fakulti UIAM dan sedang menyambung pelajarannya di dalam PhD di UK di dalam bidang Fiqh Muamalah.

Saya ingin mencadangkan agar pembaca membaca buku kerana ia merupakan satu informasi ringkas tetapi padat tentang kewangan islam dan isu-isunya yang sangat releven dengan kehidupan kita di bumi Allah Malaysia ini.

Sebelum-sebelum ini kita seolah-olah tertipu dengan betapa murahnya bank-bank konvensional menawarkan pinjaman-pinjaman dengan riba', sedangkan di dalam pinjaman bank di bank konvensional ada riba'di dalam riba' yang akhirnya kita akan terjerat kepadanya. Lebih teruk daripada itu, kita telah termasuk di dalam sistem kewangan riba' yang Allah dan Nabi Muhammad SAW haramkan di dalam banyak nas serta dalil.

Mungkin terdapat pandangan-pandangan bahawa Perbankan Islam kebanyakannya zalim, mencekik darah dan sebagainya. Alhamdulillah, dengan membaca buku ini para pembaca akan dapati bahawa Perbankan Islam sebenarnya membawa banyak keberkatan dan membersihkan harta-harta kita daripada dosa-dosa riba'. Ini diterangkan dengan baik oleh Ust Zahadruddin dengan membawa sebuah tamsil.

"Seorang lelaki yang kehausan didatangi oleh dua orang, seorang menawarkan segelas arak dengan harga RM 0.50 dan seorang lagi datang dengan membawa sehelas air oren dengan harga RM 1.00. Yang mana satu kita akan pilih? Sudah tentu kita akan memilih air oren kerana ia halal walaupun harganya lebih mahal.."

Walaupun, kalau saya boleh pertikaikan contoh ini dengan menyatakan, Ustaz minum air arak boleh hilang dahaga ke?? (saya pun tak tahu..) ataupun kita besarkan skala ini dari RM0.50 vs RM 1.00, ke ke RM 500,000 untuk bank konvensional dan RM 1,000,000 bank Islam, perbezaan yang sangat ketara.., namun, relevennya tetap jelas kerana sebagai orang Islam, kita tidak memandang kepada keuntungan semata-mata tetapi keberkatan dan redha Allah itu yang lebih utama.

Jika ada yang berpendapat bahawa ia darurat untuk mengambil pinjaman riba' tetapi sekarang hampir semua bank tempatan mengadakan pinjaman tanpa riba', maka ia sudah tidak menjadi darurat lagi.


Di dalam buku ini juga ditampilkan beberapa isu yang bermain di benak kita sehari-hari seperti :-
- Apakah hukum kita menerima dividen KWSP yang ada melabur di kaunter yang syubhah dan haram?
- Bagaimana hukumnya sekiranya Perbankan Islam menuntut bayaran rumah yang terbengkalai walhal urusan jual beli di dalam Islam memerlukan barang yang sudah ada?
- Apakah perbezaan BLR di dalam bank konvensional dengan BFR di Perbankan Islam?
- Apakah hukum FOREX, MLM dan Swisscash ?
- Apakah hukum menukar emas terpakai dengan emas baru dengan berat yang berbeza?
- Apakah hukum menggunakan kad kredit untuk membeli emas, atau barangan lain?
- Apakah hukum membeli emas dengan bayaran ansuran?
- Apa makna jahalah, gharar ?
- Apakah hukum bermain saham di kaunter saham terbuka?
- Apakah itu murabahah, mudharabah dan musyarakah?
- Bolehkah kita menghalalkan urusan jual beli berunsur riba dengan menggunakan helah?





Jika anda baca isi-isi di atas, anda akan dapati, buku ini membuka ruang minda anda tentang Islam dan kewangan Islam. Ustaz Zaharudin memudahkan kewangan Islam dengan penerangan yang lebih difahami oleh orang awam seperti saya.

Saya ingin mencadangkan anda membeli buku ini dan memahami isi kandungannya.

Ia telah banyak membuka mata saya tentang kewangan Islam dan bahaya Riba'. Saya harap anda juga dapat bersama-sama saya.

Wallahu Alam.

Thursday, June 4, 2009

3 Golongan Yang WAJIB Berhenti Merokok





Salam,

Sempena Hari Tembakau Sedunia baru-baru ini, diharapkan lebih ramai orang akan berhenti merokok. Kotak rokok pun sudah ada gambar-gambar yang mengerikan, tetapi orang tetap juga hisap rokok seolah-olah tidak ada apa-apa kesan.

Perangkaan Kementerian Kesihatan menunjukkan terdapat peningkatan perokok di kalangan remaja. Walaupun terdapat juga perangkaan menunjukkan terdapat sedikit penurunan yang tidak ketara terhadap trend perokok yang lebih dewasa. Kenapa perokok di kalangan remaja semakin meningkat?

Menurut sesetengah pendapat, ini berlaku kerana terikut-ikut dengan orang tua, orang dewasa yang berhampiran dan rakan-rakan sebaya.

Pada pendapat saya, sepatutnya ada 3 golongan atau profession yang patut berhenti merokok atau tidak memulakan merokok.

Bukan nak kata yang lain tak perlu berhenti atau patut mulakan. Ini kerana 3 golongan ini adalah dianggap sebagai contoh masyarakat dan boleh menjadi ikutan kepada generasi muda.

Ataupun dengan ayat yang lebih mudah, kita akan hilang hormat atau lebih mudah terpengaruh sekiranya mereka ini merokok. Maka wajar saya cadangkan di sini, 3 golongan ini sepatutnya berhenti merokok atau cuba berhenti mulai sekarang.

3 golongan yang patut berhenti merokok ialah :-

1. DOKTOR

Doktor selalu suruh orang berhenti merokok. Macamana nak hormat sekiranya, di hadapan pesakit dia suruh berhenti merokok, di belakang dia yang paling juara. Kenapa doktor merokok saya sendiri pun tidak tahu.

Jikalau anda fikir apabila seorang doktor merokok, alasan yang akan diberikan nampak lebih munasabah daripada bukan doktor, maka cuba anda tanyakan doktor tersebut. Kenapa doktor merokok? Jawapannya akan kabur juga, sekabur asap rokok.

Ini kerana, tidak ada satu pun jawapan dari segi fakta perubatan atau sains yang membenarkan seseorang menghisap rokok.

Ada seorang pengarah hospital daerah yang saya kenal dahulu begitu kuat merokok. Biasanya dia akan merokok selepas sarapan pagi di sebuah kantin "swasta" di luar hospital. Siapa yang bersamanya merokok? Tentulah kakitangan-kakitangan hospital.

Doktor mengetahui 1001 penyakit yang boleh disebabkan asap rokok. Kenapa perlu menyumbang kepada statistik ini.


2. USTAZ

Saya rasa kurang hormat kalau ada ustaz yang merokok. Dulu fatwa kata makruh, maka takperlah kalau merokok. Tapi sekarang fatwa dah sah terang haram, kenapa masih merokok.

Macamana orang ramai nak ikut fatwa kebangsaan yang banyak diletakkan di masjid-masjid sedangkan setelah habis ceramah, ustaz sendiri merokok dengan ajk masjid di masjid?

Malah Ustaz-ustaz yang sepatutnya membantu memberi nasihat dan menguatkan fatwa merokok itu haram kepada orang ramai. Bukannya mempertikaikan- kononnya tiada dalil dan nas yang Qat'ie lah dan tak Sorih lah, sedangkan majlis fatwa negara dah umumkan.

Mungkin najis rokok ini tidak setara dengan najis mughallazah seperti babi, tetapi ia seberat meminum racun secara perlahan-lahan. Kalau minum racun itu haram, kenapa merokok boleh jadi makruh, sedangkan kedua-duanya membunuh?


3. GURU

Kalau guru rokok berdiri, anak murid rokok berlari...

Itulah kaitannya seorang guru dengan anak muridnya. Seorang guru mempunyai beribu anak murid sepanjang profesion mengajarnya. Mustahil, tidak ada beberapa orang yang terpengaruh sekiranya guru tersebut merokok.

Guru adalah manusia yang kedua bertanggungjawab selepas ibu-bapa di dalam memberi pendidikan dan pelajaran kepada generasi muda negara. Tugas itu sebenarnya sangat penting walaupun ramai ibu-bapa yang memperlekehkan (kerana ibu-bapa dah tak tahu macamana nak kawal anak mereka, dan rasa bersalah tersebut dilepaskan kepada guru).

Oleh hal yang demikian, guru sepatutnya mempunyai rasa tanggungjawab untuk menjadi contoh utama untuk berhenti tabiat merokok. Tidak kira di dalam sekolah atau di luar sekolah, ataupun di rumah, para guru kadangkala diperhatikan. Di dalam sekolah mungkin tidak, tetapi anak murid mungkin melihat anda merokok di dalam kereta ketika pulang, ataupun terserempak dengan anda membeli belah.



Mungkin ada yang berkata kenapa 3 profesion ini sahaja yang disebut. Saya ulang di sini bahawa semua orang patut berhenti merokok. Tetapi 3 golongan ini adalah rapat dengan masyarakat.

Apatah lagi mereka merupakan idola kepada kaum remaja, golongan muda, maka ini menjadikan tanggungjawab untuk mendidik bertambah berat. Maka wajarlah mereka dahulu yang berhenti merokok.

Wallahu A'lam.
Related Posts with Thumbnails