Monday, November 30, 2009

Cutaneous Larva Migrans




Jika anda mendapati bahawa kulit anda ada sesuatu bentuk lingkaran yang aneh di bawah kulit dan ia sangat gatal, kemungkinan ia adalah sejenis penyakit dipanggil cutaneous larva migrans.

Kebetulan minggu lepas, saya mendapati seorang pesakit wanita datang dengan masalah batuk dan selsema. Setelah diperiksa beliau mengadu tentang kulitnya yang gatal di sebelah kanan tangannya. Saya bertanya tentang samada beliau pernah pergi jalan-jalan ke tempat berpasir. Beliau baru bulan lepas pergi berehat dari pantai Port Dickson.

Kalau dilihat dari kitaran hidup cacing parasit, ia keluar dari najis haiwan di atas pasir (biasanya manusia pun buang air besar di tepi pantai kan?), kemudian boleh masuk melalui kawasan luka atau kulit yang pecah. Cacing mempunyai sejenis enzim yang membolehkannya melepasi dermis kulit dan masuk ke dalam saluran darah atau limfatik dan akhirnya masuk ke paru-paru dan akhirnya ke usus untuk melengkapkan kitarannya.

Tetapi adakalanya mereka tidak dapat menembusi dermis kulit manusia kerana enzim tersebut tidak berkesan pada manusia dan manusia bukanlah hos utama sesetengah cacing. Cacing itu akan menetap di bawah kulit dan bergerak di bawah kulit ke tempat-tempat berhampiran. Oleh itu ia meninggalkan kesan trekking merah di sepanjang perjalanan.

Ia tidak lah membahayakan tetapi kebanyakan dari kita tidak tahan kerana ia terlalu gatal.

Apa yang saya buat ialah saya menggunakan ethyl chloride dan spray ke tempat tersebut. Ia agak sedikit sejuk dan perit. Kemudian saya beri ubat cacing albendazole untuk dimakan. Saya juga beri ubat tahan gatal untuk sementara waktu. Saya sudah rujuk ke pakar dermatologi untuk tindakan lanjut. Harap ia berkesan. Buat masa ini, itu adalah antara cara yang terbaik untuk merawat Cutanenous Larva migrans.

InsyaAllah.

Wallahu Alam.

Sumbangan Korban 1430H - Selamat...






Alhamdulillah,

Sumbangan korban telah selamat disampaikan kepada rumah anak yatim Al Munirah di Kg Johan Setia Klang, melalui Tuan Haji Jasni. Sumbangan 2 ekor lembu telah diserahkan pada petang Jumaat selepas Asar. Majlis sembelihannya ialah pada hari Sabtu pagi.

Manakala 3 ekor lembu lagi telah diserahkan kepada Ustaz Abdul Rasul. Beliau adalah Mudir atau pengetua di Darul Tahfiz Ummul Qura', Jalan Kebun, Klang. Sumbangan telah diserahkan pada hari Sabtu selepas Zohor dan majlis sembelihan pada hari Ahad pagi.

Kesemua jumlah sumbangan korban ialah sebanyak 5 ekor. Alhamdulillah. Kepada sesiapa yang telah memberi sumbangan, saya mewakili rumah anak yatim al Munirah dan Darul Tahfiz Ummul Qura' mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga. Semoga semuanya mendapat keberkatan dan diterima Allah hendaknya.

Mata dan Ubat Mata..






Salam,

Ni berita terbaru yang dipetik dari BERNAMA iaitu tentang beberapa ubat mata yang dikeluarkan melalui cara titis ke dalam mata telah ditarik di dalam pasaran. Ubat dititis ke dalam mata perlu melalui proses kajian yang ketat dan penghasilannya perlu secara steril menggunakan kilang yang dikawal ketat prosedurnya. Ini kerana mata adalah organ yang sangat sensitif. Sekiranya berlaku allergy, jangkitan atau masalah yang boleh mengakibatkan kecacatan kekal, ini akan menimbulkan masalah yang lebih besar.

Saya amat yakin, tidak ada orang yang berani meletakkan nilai sebiji mata anda dengan wang ringgit. Walau harga yang ditawarkan RM 10 juta sekalipun, tidak ada yang berani menjual matanya sendiri walaupun sebelah. Apatah lagi kedua-dua belah.

Oleh itu, jagalah mata anda sebaik-baiknya kerana dengannya anda dapat melihat keindahan dunia ciptaan Allah..

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan menarik balik 27 produk kosmetik keluaran empat pengilang barang kosmetik tempatan daripada pasaran kerana menotifikasikan produk kosmetik di luar takrifan kosmetik.

Antara produk yang ditarik balik adalah toner mata Permata Hijrah Ainun keluaran Seri Ummi Sdn Bhd, Ainun Syifa toner mata keluaran Yamni Industries Sdn Bhd, Ainun toner mata keluaran Al-Jabbar Manufacturing Sdn Bhd dan Alkaline Theraphy Pearl Extract keluaran Permata Hijrah Resources.

Menurut satu kenyataan kementerian, produk-produk itu ditarik balik daripada pasaran kerana dinotifikasikan sebagai barangan kosmetik tetapi disalahgunakan apabila cara penggunaannya dengan menitiskannya ke dalam mata.

"Produk-produk yang digunakan dengan cara menitis ke dalam mata dan produk untuk dititiskan ke dalam hidung adalah di luar takrifan kosmetik dan sepatutnya dikawal sebagai produk farmaseutikal.

"Produk yang diklasifikasikan sebagai bahan kosmetik sama sekali tidak dibenarkan digunakan untuk tujuan merawat sebaliknya ia hanya persediaan untuk digunakan pada anggota luaran tubuh badan seperti kulit, rambut, kuku, bibir, bagi tujuan mencantikkan, melindungi dan menghilangkan bau badan," katanya.

Katanya produk berkenaan sepatutnya dikilangkan di premis pengilangan bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan perlu mempunyai kelengkapan spesifik untuk mengeluarkan produk 'steril'.

Produk yang dinotifikasi sebagai kosmetik itu tidak memenuhi keperluan berkenaan, menurut kenyataan itu.

Kementerian Kesihatan menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati semasa mendapatkan produk kosmetik di pasaran dan perlu lebih bijak memilih produk sesuai dengan mereka serta tidak terpengaruh dengan testimoni yang diiklankan pengeluar.

-- BERNAMA

Wednesday, November 18, 2009

Cara Yang Paling Sakit Untuk Mati..







Salam,

Saya menulis artikel ini di atas kejadian bunuh diri oleh seorang wanita berketurunan India yang meminum paraquat bersama anak-anaknya.

Membunuh diri adalah satu perkara yang diharamkan di dalam Islam. Sekiranya sesiapa yang mencabut nyawanya sendiri maka ia dianggap mati di dalam kekafiran. Mati dalam kufur maka natijah ialah api neraka yang akan menyiksa kita sampai bila-bila.

Di dalam beberapa hadis sahih Bukhari, ada disebut bahawa,"Siapa yang membunuh dirinya dengan racun, atau dengan besi atau yang sejenisnya, maka dia akan terus diazab dengan cara itu di hari kiamat...".

Sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. yang bermaksud:

“Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kakal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

KENAPA MEMBUNUH DIRI?

Kebiasannya mereka yang mahu membunuh diri akibat jiwa yang terlalu tertekan, sedih dan tidak tenteram. Ada juga yang disebabkan oleh masalah keterhutangan yang serius sehingga diancam. Ada yang sudah rosak akalnya disebabkan ketagihan najis dadah. Wajar dikatakan mereka ini mempunyai masalah hati yang serius (dari sudut kerohanian). Sebab musabab mereka menghadapi tekanan perasaan ialah akibat putus cinta, pergaduhan, kematian yang tersayang, terasa dipinggirkan, tidak disayangi dan macam-macam lagi.

Maka mereka yang tidak bersabar, tidak menerima bahawa ini semua adalah ketentuan Allah, tidak beriman pada Qada' dan Qadar, maka mereka akan menghabiskan nyawa mereka dengan meminum racun atau melompat dari tempat yang tinggi.

BENARKAH MEREKA INGIN MEMBUNUH DIRI?

Walaubagaimanapun, tidak semua mereka ini yang secara zahirnya ingin membunuh diri berhasrat untuk membunuh diri. Kebanyakan mereka yang ingin membunuh diri sebenarnya tidak berniat membuat demikian.

Satu kajian menunjukkan bahawa ada sebilangan yang ingin membunuh diri sebenarnya berniat untuk menarik perhatian seseorang atau kumpulan tertentu. Sebagai contoh, seorang isteri mungkin memotong dengan pisau tangannya untuk menarik perhatian suaminya. Itu sebabnya kadangkala, tidak ada urat yang terputus, hanya sekadar kulit yang terluka.

Begitu juga ada yang berdiri di tepi bangunan yang tinggi tetapi akhirnya diselamatkan kerana mereka hanya mahu menarik perhatian orang ramai sahaja supaya mendengar isi hati mereka. Setelah isi hati mereka didengari oleh mereka yang terlibat maka kemungkinan mereka tidak meneruskan hasrat mereka untuk membunuh diri.

Semasa di di Hospital Kuala Lumpur, ramai juga anak-anak remaja perempuan yang masuk ke hospital kerana menelan 10 biji panadol sekaligus kerana putus cinta. 10 biji panadol mungkin tak boleh membunuh seekor bapak ayam pun, tetapi itu adalah cara menarik perhatian yang berkesan kerana ia boleh mendatangkan kemungkinan maut.

Ini dipanggil "para-suicide". Atau dipanggil dalam bahasa saya - bunuh diri acah-acah.

Mereka yang ada percubaan para-suicide jangan dicabar, kerana mereka akhirnya akan jatuh kepada kategori suicide juga sekiranya masalah semakin meruncing dan tidak diselesaikan.

PARA SUICIDE YANG AKHIRNYA MEMBAWA MAUT

Apabila kita berbincang mengenai para suicide, saya rasa amat sedih kerana ramai yang pada awalnya sekadar mahu gertak-gertak sahaja dan mahu menarik perhatian orang akhirnya membawa kepada kematian. Ini kerana mereka tersalah cara.

Meminum paraquat, iaitu sejenis racun rumpai adalah salah satu cara yang paling-paling bodoh untuk melakukan para-suicide.

Saya ada pengalaman di HKL, seorang anak perempuan berketurunan India berumur belasan tahun bergaduh dengan ibunya hanya kerana benda yang tersangat-sangat kecil. Oleh kerana dia ingin menunjukkan tanda protes kepada ibunya, ditelannya sedikit paraquat. Sedikitnya cuma separuh daripada penutup kecil paraquat itu sahaja. Anak itu mengaku dia meminum sedikit sebagai mahu menarik perhatian ibunya. Tetapi langkahnya silap dan akhirnya mendatangkan kesan yang menggerunkan.

Pada awalnya, kawasan yang terkena paraquat seperti mulut, tekak dan perut akan luka seperti kesan terbakar. Itu pun sudah cukup tersiksa kerana dia tidak dapat makan kerana mulutnya terbakar dan terpaksa bergantung kepada makanan cecair di dalam salur darah.

Saya ketika itu menjangka, ia hanya berhenti setakat itu, tetapi satu demi satu masalah mula timbul. Di dalam masa 3 hari, buah pinggangnya mula rosak dan menyebabkan dia terpaksa menjalani dialysis. Beberapa hari selepas itu hatinya pula rosak. Dan akhirnya dia meninggal dunia. Ini semua gara-gara insiden pergaduhan kecil anak-beranak dan meminum sedikit paraquat. Seolah-olah filem Bollywood.

KESIMPULAN

Saya selalu menasihatkan kepada wanita yang ingin acah-acah membunuh diri.. Jangan minum paraquat. Jangan minum paraquat. Jangan minum paraquat!!

Anda akan mati di dalam keadaan kesakitan yang teramat-amat sangat dan keaadan yang sangat menghibakan.

Malah beratus ganda lebih teruk lagi daripada itu... Anda akan minum paraquat berkali-kali di akhirat kelak. Sedangkan satu kali minum pun sudah cukup menyiksakan...

Wallahu Alam.













Sunday, November 15, 2009

Sumbangan Korban ke Rumah Anak Yatim dan Sekolah Tahfiz






Salam,

Saya telah melancarkan program sumbangan korban ke Sekolah Tahfiz Ummul Qura' dan Rumah Anak Yatim al Munirah, Klang baru-baru ini. Alhamdulillah, ia telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari kawan-kawan.

Untuk pengetahuan anda, saya sendiri telah bertemu ustaz-ustaz yang menjaga 2 insitusi ini untuk mengetahui keadaan tempat tersebut. Kedua-dua tempat ini mempunyai bilangan pelajar yang cukup ramai. Sekolah tahfiz sebagai contoh mempunyai pelajar menghampiri 100 orang.

Buat masa ini 4 ekor lembu telah pun ditempah untuk 28 bahagian. 2 ekor akan diserahkan kepada Rumah Anak Yatim Al-munirah dan 2 ekor lagi ke Sekolah Tahfiz Ummul Qura'.

Terima kasih diucapkan kepada sahabat-sahabat yang telah memberi sumbangan Qurban.




Di antaranya :-

Dr Faizal Ali (2 bahagian), Dr Mohd Ali, Dr Siti Zubaidah (untuk 2 anaknya), Dr Siti Safinat, Dr Suffian Hasim, Dr Shazni Izana, Rafidah Abd. Malek, Dr Ainita, Dr Solhoon, Dr Dahlia, Suaibatul Saadiah, Dr Aida Suzila, Dr Shariza, Mazni dan Wan Aidil (suami isteri) dan Nurul Hayati Borhan.

Sekiranya masih ada yang berminat, saya akan mencari sebuah lagi rumah anak yatim di Klang untuk mengagihkan 2 ekor lembu lagi untuk tujuan Korban. Satu bahagian ialah RM 350.00. Daging korban ini akan diagihkan terus kepada anak yatim, fakir miskin dan anak-anak tahfiz.

Semoga Allah sahaja yang membalas segala kebaikan dan semoga mendapat balasan syurga dari Allah SWT.

Sesiapa yang berminat untuk menjalankan ibadah Qurban, sila hubungi saya di 012-9597074. Anda juga boleh depositkan RM 350 untuk satu bahagian, ke dalam akaun Maybank Shahrizal Azwan 564388100840. Sila sms nama anda, nama mereka yang ingin menjalankan korban dan berapa bahagian yang ingin disumbang.

Wallahu Alam.

Tuesday, November 10, 2009

Sekretariat MRA Padang Pariaman Mula Dibuka



Salam,

Sebelum ini sekretariat MRA beroperasi di sebuah rumah yang dipunyai oleh Ustaz Arsil, seorang aktivis dan sukarelawan dari Dewan Dakwah Indonesia secara percuma. Namun begitu, MRA melihat bahawa POSKO (pusat Koordinator) oleh MRA perlu dinaiktaraf agar lebih efisyen dari segi kegiatannya, stok penyimpanan ubat-ubatan dan perlu ada pusat yang tetap. Maka pusat sekretariat MRA telah diwujudkan di sebuah rumah banglo yang disewa berhampiran.

Dengan adanya sekretariat ini lebih mudah para sukarelawan mengunjung ke Padang Pariaman kerana ia mempunya bilik yang lebih luas dan lebih selesa. Aktiviti serta perencanaan program juga boleh dibuat dengan lebih berkesan.


Dipetik Dari Laman Sesawang MRA

Sekretariat MRA Padang Pariaman terletak 21 km daripada Bandar Udara (Bandara/airport) Minangkabau, Padang sekiranya melalui jalan pintas iaitu melalui kampung-kampung kecil. Keadaan jalannya kurang baik. Perjalanan memakan masa lebih kurang 40 minit. Namun, mengikut jalan biasa, jaraknya bandara ke Pariaman ialah 43 km dengan perjalanan memakan masa lebih kurang sejam. Bandar Padang pula terletak 15 km daripada bandara. Jarak Kota Pariaman ke Kota Padang adalah sejauh 60 km.

Menurut masyarakat tempatan, Alhamdulillah, MRA adalah antara NGO
yang paling dikenali di Padang khususnya Pariaman. Ianya dikenali atas 2 faktor utama, iaitu kerana menjalankan Klinik Bergerak dan telah mula membina Rumah Segera. Oleh itu, maka ramailah yang menaruh harapan agar kampung mereka juga menjadi pilihan MRA untuk mengadakan Klinik Bergerak dan diberikan binaan Rumah Segera.

Dikatakan perawatan dan perubatan dari Malaysia sangat disenangi kerana mempunyai doktor-doktor yang pakar serta memberikan kepada mereka ubat-ubatan yang baik dan berkualiti tinggi. Sepertimana yang dibincangkan baru-baru ini, Klinik Bergerak wajar diteruskan mungkin bagi tempoh 2 bulan lagi. Namun, ianya tertakluk kepada keupayaan dana dan samada adanya sukarelawan yang boleh memberikan khidmat. Juga, masih banyak NGOs tempatan dan antarabangsa lain yang memberikan pelbagai bantuan.

Keadaan di Pariaman sekarang hujan lebat hampir setiap hari. Penempatan untuk penginapan dan persekolahan anak-anak di dalam khemah adalah perkara yang biasa dilihat di beberapa kawasan. Oleh itu, sumbangan bagi mendirikan Rumah Segera hendaklah benar-benar digiatkan, samada sumbangan tersebut atas nama individu, kutipan ahli-ahli keluarga, persatuan kebajikan kakitangan sesuatu organisasi ataupun daripada sumber-sumber lain. Sumbangan dalam nilai apa sahaja pun boleh diterima.

Rumah yang dibina oleh MRA sekarang adalah pada kos RM2,500 sebuah bersaiz 5.0 m x 5.6 m, dilengkapi dengan 2 bilik tidur, satu ruang tamu, bekalan elektrik dan satu bilik air dan tandas di luar rumah. Rumah Segera tersebut dikenali sebagai “Rumah Bangkit Besamo”, tenaga kerja daripada seorang tukang berkemahiran yang diupah sebagai pembimbing dan 5 orang masyarakat atau jiran-jiran membuat secara gotong-royong.

Kerjasama dijalin bersama 2 NGOs lain yang mempunyai pengalaman membina rumah-rumah tersebut di Yogyakarta sejurus berlakunya gempa bumi di sana lebih kurang 3 tahun lalu. Ketahanan rumah ini dijangka boleh dipakai sehingga 10 tahun. Dimaklumkan bahawa kerajaan pusat Indonesia akan menyalurkan dana.

Mengikut maklumat tempatan, secara puratanya setelah mengambil kira hal-hal yang berkaitan dana, pentadbiran dan lain-lain, mangsa gempa akan menerima rumah bantuan kerajaan selepas 2 tahun setengah daripada berlakunya kejadian. Sepertimana yang diputuskan oleh Exco MRA, pembinaan awal rumah segera dengan satu ruang kosong pada saiz 4.0 m x 5.0 m yang menelan belanja RM1,500 sebuah telah kita hentikan, ditingkatkan kepada Rumah Segera yang baru seperti maklumat di atas. Namun, telah terbina 2 buah rumah cadangan awal tersebut dan hasil ziarah ke rumahnya pada 4 November 2009, ianya sangat bermanfaat kepada penghuninya, katanya walaupun begitu saiz dan kondisinya, ia tetap jauh lebih baik daripada terpaksa menghuni di dalam khemah.

Di Pariaman, dimaklumkan 100% penduduk dan peniaga adalah di kalangan orang Islam. Mereka sangat prihatin dan gusar apabila telah mula banyak NGOs antarabangsa dan tempatan yang memberikan bantuan kemanusiaan tetapi pada masa yang sama menjalankan dakyah untuk kristianisasi secara halus, malah ada yang dibuat secara terang-terangan dengan mengagihkan bahan-bahan bacaan dan penerangan kepada kanak-kanak yang menyeru kepada agama kristian. Di antara sukarelawan bagi NGOs tersebut ialah warga Indonesia sendiri, khususnya aktivis mereka dari Jakarta dan di kalangan warga Aceh yang telah mereka latih sejak berlakunya tsunami dahulu.

Mudah-mudahan Allah s.w.t. sentiasa melindungi kita dalam melaksanakan kerja-kerja amal ini. Semoga pandangan dan komen positif mahupun negatif yang diberikan kepada MRA, sekiranya ada, dapat memberi semangat untuk kita lebih komited membantu mereka yang sangat memerlukan. Disamping itu, berdoalah supaya kita dipelihara agar tidak tergelincir daripada landasan keikhlasan!

Salam perjuangan,

Shirajuddin Sirat
Sekretariat
MRA Padang Pariaman
5 November 2009

Belajar dari yang Tersirat..





Salam,
Salam semua pembaca yg dihormati,

Minggu ni agak sibuk.

Bila balik dari Padang, banyak kerja-kerja MRA yang nak dibuat. Kena buat brochure, video klip, arrangement utk temubual exco MRA di radio dan rancangan TV Hello Malaysia. Kerja sukarelawan ni kadang-kadang memang mengambil masa. Tapi keseronokannya dijamin.

Yang paling penting apabila di lapangan ialah adalah cara kita berorganisasi dan beroperasi. Pengurusan pasukan dan masa adalah sesuatu benda yang dipelajari bersama sifu-sifu besar MRA. Tengok bagaimana keputusan dibuat (decision making) ketika sesuatu masalah timbul secara tiba-tiba. Pengurusan kewangan di dalam program-program yang melibatkan sumbangan orang ramai sangat mencabar kerana ia perlu telus dan berwaspada.

Apatah lagi kita berurusan di tempat orang dan berurusan dengan kawan-kawan dari NGO yang lain di Indonesia. Walaupun rambut sama hitam tapi hati lain-lan. Keputusan yang baik bagi kita tetapi tidak semestinya baik bagi mereka.

Sebagai contoh, apabila MRA membuat keputusan untuk membina 2 buah rumah dengan kos RM 1500 setiap satu tetapi designnya terlalu ringkas menggunakan plywood dan zink, tiada bilik dan tiada bilik air maka dengan sendirinya pihak pengurusan di sana tidak menyetujuinya. Tujuan kita jelas untuk membantu rumah secara segera dengan kos yang murah.

Walaubagaimanapun cadangan daripada NGO di sana iaitu Dewan Dakwah Islamiyah lebih praktikal dengan penggunaan dinding berasaskan buluh yang boleh bertahan sehingga 10-15 tahun. Terdapat 2 bilik tidur dengan satu ruang tamu yang agak sederhana besar. Di sebelah bawah dinding, batu-bata diambil daripada tapak rumah lama yang telah rosak.

Kos rumah yang baru ialah RM 2500 sebuah. Rumah ini agak sempurna dan bertahan lebih lama. Malah ia adalah keputusan yang saya fikir sangat baik berbanding rumah plywood pada cadangan asal. Cuma jika kita tidak berada di sana dan tidak boleh mengawal kos pembinaan rumah ini, maka kosnya mungkin akan meningkat, walaupun diuruskan oleh sahabat NGO kita sendiri di sana.

Bagaimana kos sebuah rumah seluas 400 kaki persegi hanya RM 2500 sahaja? Rumah pangsa murah di malaysia bernilai RM 42,000. Di Malaysia, dengan RM 2500 hanya sekadar dapat buat tangga sahaja....! Ini adalah kerana di sana ia dibina secara gotong royong, menggunakan sisa-sisa material runtuhan yang masih elok dan menggunakan bahan baru yang murah iaitu kayu dari batang kelapa (banyak pokok kelapa di sana!) dan dinding buluh yang diimport berkontena dari Jakarta. Ia praktikal, murah dan selesa.

Jika sesiapa yang ingin menyumbang untuk membina rumah bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi saya. Mereka adalah umat Islam yang didalam kesusahan dan doa mereka yang ditimpa kesusahan adalah mustajab. InsyaAllah ini merupakan amal jariah yang berkekalan. Cuba bayangkan sebuah rumah yang orang Islam tinggal di dalamnya, membesarkan anak mereka yang kecil dan solat di dalamnya. Cuba bayangkan pahala yang melimpah ruah sepanjang mereka hidup di dalam rumah yang dibina. Allah sahaja yang membalasnya.



Ini adalah rumah separa kekal MRA yang dibina di Sungai Sarik, Padang Koto dengan kos RM 1500. Ia adalah design yang sama dibina di Acheh ketika tragedi tsunami di sana. Pakcik ini adalah tuan punya rumah yang musnah. Ia dibina menggunakan dinding plywood dan beratap zink. Ia tiada bilik dan tidak mempunyai bilik air.


Ini adalah rumah yang bernilai RM 2500. Dindingnya menggunakan separa buluh dan beratap zink. Ada 2 bilik tidur, satu ruang tamu dan terdapat satu kamar kecil. Ia boleh bertahan selama 10-15 tahun jika tidak berlaku lagi gempa bumi yang kuat.


Ini adalah isteri dan anak kepada Ustaz Firman yang merupakan penerima perintis rumah baru oleh MRA dengan menggunakan design yang baru dengan harga RM 2500. Kami akan cuma membina lebih banyak rumah sebegini.

Wednesday, November 4, 2009

Klip Video MRA Team ke 5 ke Padang.. Sila saksikan..


Assalamualaikum,

Klip video ini saya sendiri yang hasilkan ketika saya berada di sana sehingga sampai di LCCT Malaysia. Gambar saya sendiri tidak banyak sebab saya yang mengambil footage dan gambar. Apapun inilah sumbangan saya kepada MRA dan masyarakat Islam.

MRA akan terus mengadakan klinik bergerak sebanyak mungkin. Klinik bergerak MRA adalah dengan kerjasama Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia, di mana Ustaz dari Dewan dakwah akan memberi tazkirah selama 10 minit sebelum klinik dijalankan. Setelah klinik tamat, kami akan memberi sedikit sumbangan berupa SEMBAKO atau 9 bahan asas seperti beras, gula, teh, sabun dll untuk orang kampung.

Secara jangka panjang, kami akan membina rumah-rumah di sana sebagaimana tayangan klip tersebut. Buat masa ini mereka tinggal di dalam khemah. Rumah yang rosak adalah dianggarkan ebanyak 100,000 buah. Dijangkakan 200-300 rumah sementara kekal akan di bina di kawasan Padang Pariaman oleh MRA sekiranya sumbangan diterima mencukupi. Sebuah rumah menelan belanja RM 2500.00.

Selain daripada itu, MRA akan membantu memulihkan kawasan persantren (pondok pelajar agama) di sana dan akan membina rumah anak yatim yang rosak. Buat masa ini beberapa orang anak yatim telah dikenalpasti untuk dibantu dan dimasukkan ke dalam rumah anak yatim.





Harap semua dapat ambil iktibar apa yang berlaku. Sekiranya ada sumbangan bolehlah hulurkan kepada MRA untuk disampaikan ke sana. Kami amat mengalu-alukan sumbangan besar dari sektor korporat untuk disalurkan kepada anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan di sana. Hubungi saya di 012-9597074 untuk keterangan lanjut.

Wallahu Alam.



Monday, November 2, 2009

Pulang ke Malaysia..






Salam semua,

Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan MRA yang menyertai misi ke 5, Pos Gempa, Padang Sumatera Barat telah tiba di bumi Malaysia pada Ahad 31 hb Oktober yang lalu. Segalanya berjalan dengan lancar.

Sepanjang di sana kami telah menjalankan beberapa tugas seperti bantuan perubatan di kampung-kampung di sekitar Pariaman, bantuan sembilan bahan pokok (SEMBAKO) iaitu berupa beras, gula, minyak dan beberapa keperluan lain, menghantar bantuan kewangan untuk memperbaiki sekolah yang rosak, mengadakan perbincangan jangka panjang bagi bersama-sama membangunkan rumah anak-anak yatim dan membina semula rumah-rumah yang rosak dengan lebih praktikal tetapi menjimatkan sebagai ganti khemah.


Segalanya berjalan dengan baik dan kami dilayan dengan sangat mesra. Makanan tidak menjadi masalah kerana masakan minang lebih kurang Malaysia.


Saya sertakan gambar untuk tatapan semua pembaca. Lagi menyusul ialah artikel saya tentang padang.

salam..
Related Posts with Thumbnails