Saturday, August 21, 2010

Misi Bantuan Banjir Pakistan-MRA- Hari pertama



Assalamualaikum,

Segala kesyukuran dirufu'kan ke hadrat Allah SWT di atas limpahan kurniaNya dan keberkatan di dalam bulan Ramadhan al Kareem yang sungguh mulia.

Alhamdulillah, saya telah bertolak ke Islamabad, Pakistan pada hari ini 20hb Ogos 2010 sebagai mewakili Malaysian Relief Agency (MRA) untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada golongan mangsa banjir di Pakistan.


Pasukan Pertama MRA yang bertolak ke Pakistan selaku skuad peninjau di samping menghantar bantuan di sana.


Saya dan saudara Shahrulazilan (Pengarah Projek) menaiki pesawat Thai Airways dari KLIA pada jam 1320H waktu Malaysia dan transit selama 5 jam di Bangkok. Kami meneruskan perjalan dari Bangkok ke Islamabad pada jam 1900H (8.00 pm waktu Malaysia).

Kami selamat tiba di Benazir Bhutto International Airport, Islamabad pada jam 2230H (1.30am waktu Malaysia). Kami ditegur oleh 3 orang delegasi dari Negara Jepun yang juga sedang membuat 'pencarian fakta' di sana.


Mr Adnan Swati berdiri di sebelah kiri saya dan pegawai-pegawai lain yang membantu.


Pemeriksaan bagasi kami mengalami sedikit kesulitan kerana pihak kastam tidak memberi kelepasan bagi ubat antibiotik yang kami bawa bersama. Menurut syarat di Pakistan, mana-mana ubat yang dibawa masuk perlu mempunyai tarikh luput tempoh sekurang-kurangnya 2 tahun. Sekiranya tarikh luput kurang daripada 2 tahun, kebenaran khas perlu diminta kepada Jabatan 'National Disaster' di sana.

Sehubungan dengan itu, Ketua Pegawai Kastam yang bertugas, Mr Adnan Iqbal Swati D.C. telah bersusah payah membantu menghubungi pihak yang bertanggungjawab untuk mendapatkan kelulusan itu. Setelah beberapa panggilan dibuat, akhirnya surat pelepasan kami terima. Saya merasa sungguh terharu di atas keprihatinan dan kerjasama beliau di dalam memudahkan urusan membawa masuk ubat tersebut.


Saudara Asadullah dari PIMA dan 2 lagi rakan dari ISRA yang datang menyambut ketibaan kami.

Kehadiran kami disambut oleh dua NGO tempatan iaitu Pakistan Islamic Medical Association (PIMA) dan Islamic Relief Association Pakistan (ISRA'-PAK). Saya bermalam di Islamabad bersama PIMA dan Saudara Shahrul pula akan ke Peshawar bersama wakil ISRA'-PAK. Saya akan mengadakan mesyuarat dengan PIMA pada esok hari dan Saudara Shahrul akan membuat tinjauan awal di Peshawar (3 jam dari Islamabad) sebelum kembali semula ke Islamabad.

Kita akan melihat kemungkinan kerjasama di antara MRA dengan PIMA dan ISRA'-PAK di dalam membantu mereka yang menjadi mangsa banjir. InsyaAllah.


Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin
Director of Medical Relief,
Malaysian Relief Agency.

3 comments:

salmi said...

akhirnya... setelah beberapa bulan menanti entri baru...

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

Syabas! Semoga misi rakan-rakan MRA berjaya. Saya mendoakan. Baca blog sahabat saya Shahrul Peshawar dan paut ke sini.

Chuck said...

Aslkm...salam ziarah..tuan rumah ape khabar ? bleh linkkan blog saye ni http://rejeks.blogspot.com ni kat sini ? oklah,selamat berpuasa,bye

Related Posts with Thumbnails