Thursday, March 26, 2009

Saham Khairy naik...






Salam,

Apabila Khairy diumumkan memenangi Ketua Pemuda UMNO, saham-saham yang dikatakan ada kaitan dengan Khairy telah meningkat dengan mendadak.

Pagi ini jam 11.15 am, ECM Libra telah naik 12% dan SCOMI pula naik 0.02 sen dan menjadi saham keempat paling aktif diniagakan.

Bagaimana pula dengan esok? ada kemungkinan Muhammad Taib boleh menang Timbalan Presiden UMNO? Apakah saham yang berkaitan dengan Muhammad Taib?

Sapa-sapa nak berkongsi?

Blog Dr Azwan di Utusan Malaysia





Salam,
Di dalam memperkatakan tentang betapa rapuhnya kedudukan kedua-dua pasukan kerajaan dan pembangkang di Negeri Kejor Yeop Kejor, kandungan blog ini dipetik di dalam rencana Suara Blog di Utusan Malaysia bertarikh 9 Februari 2009.

Ikutinya di sini.

Terima kasih Sdr Lukman Ismail di atas petikan tersebut.

Dr Azwan

Wednesday, March 25, 2009

Khairy Menang Ketua Pemuda UMNO?






Khairy Menang Ketua Pemuda UMNO?

Memang saya tidak sangka Khairy Jamaludin menang jawatan Kemuda Pemuda UMNO. Apatah lagi dengan skandal rasuah baru-baru ini oleh jawatankuasa disiplin dalaman UMNO.

Saya secara peribadi sebenarnya mengharapkan Mukhriz Mahathir untuk menang.

Adakah ini betul-betul rasuah politik atau ada agenda tertentu di kalangan perwakilan UMNO untuk mengawal atau menghukum team pilihan Dato' Seri Najib. (Jika Dato' Seri Najib ada team pilihan).

Nampaknya karisma Tun Mahathir sendiri tidak berjaya melembutkan perwakilan untuk mengundi anaknya. Malah berbuih komentator dan segala macam Profesor jemputan untuk menegaskan bahawa jangan diundi orang yang terlibat dengan rasuah politik.

Saya menunggu-nunggu apakah komen Tun Mahathir di dalam artikel seterusnya di dalam blog beliau. Pasti sesuatu yang panas...

Salam.

Monday, March 23, 2009

Jasa di Nilai berdasarkan Populariti ? - Satu Pandangan Peribadi kepada Artikel PPIM






Assalamualaikum.

Saya rasa tertarik dengan komen negatif daripada beberapa pengunjung PPIM di websitenya tentang penganugerahan Tokoh Perdana Maulidur Rasul tahun ini kepada Prof Dr Sidek Baba, Professor Pendidikan di UIAM.

Di dalam salah satu artikelnya di sini beliau menyatakan bahawa Prof Dr Sidek Baba pernah menyinar dahulu tapi sekarang sudah terkeluar daripada "aliran perdana" atau lebih tepat sudah hilang pengaruh dan taringnya.

Penulis cuba menunjukkan bahawa kehebatan tokoh lain yang masih segar di arus perdana, sedang Prof Dr Sidek Baba sudah tidak lagi. Apabila Prof Dr Sidek dilantik menjadi tokoh ia sebagai satu situasi yang pelik lagi ajaib. Malah beliau memberi konotasi bahawa terdapat unsur permainan politik di atas pemilihan Prof Dr Sidek Baba sebagai tokoh.

Sejak bila tokoh dan jasa seseorang dinilai di atas betapa popularnya dia di media massa? Prof Dr Sidek Baba selama ini dikenali sebagai penyokong kerajaan kah?

Beliau tidak mengulas dengan lebih lanjut tentang kelebihan-kelebihan Prof Dr Sidek yang diantaranya Ahli Panel Penasehat Pendidikan Institut Integriti Malaysia, Panel Penulis dan Pemikir Islam Hadhari, Ahli Lembaga Pengarah Darul Quran, Ahli Lembaga Pengarah Institut Ketamaddunan Islam, dan Ahli Lembaga Pengarah IKIM. Manakala jawatan tetap beliau adalah Professor Pendidikan di UIA.

Nampaknya ada unsur dendam kesumat di dalam artikel ini. Lebih lebih lagi beliau menekankan bahawa Prof Dr Sidek Baba adalah orang yang bertanggungjawab mencantas program PPIM di IKIM.

Prof Dr Sidek Baba adalah anak melayu Kg Masjid Tanah, Melaka yang dahulunya seorang yang miskin. Pernah berjalan berbatu-batu untuk ke sekolah kerana tidak mampu berbasikal kerana ibu dan ayahnya penoreh getah. Beliau juga pernah menoreh getah untuk menyambung pelajarannya.

Setelah Universiti Malaya beliau menyambung pelajaran di dalam bidang PhD. Di sana beliau membesarkan anak-anaknya walaupun hidup di dalam keadaan susah. Beliau banyak berjasa menjadi Timbalan Rektor yang bersama-sama membangunkan UIAM di waktu tunasnya. Malah telah ramai anak didiknya telah cemerlang di dalam bidang kerjaya.

Walaupun seorang Professor di UIAM namun apabila bersama saya beliau membahasakan diri beliau CIKGU. Bila berborak dengan beliau memang jarang ada bualan kosong, pasti ada bualan yang berbentuk nasihat dan ilmiah.

Setahun yang lepas, kebetulan kami di Bandar Melaka, saya dapati Cikgu Sidek menyampaikan ceramah di hotel tersebut untuk satu program Felda. Kebetulan pula saya juga menyampaikan ceramah kepada peserta yang sama di program itu cuma berlainan waktu.

Saya pun menjemput Cikgu Sidek untuk minum teh pada waktu malam bersama kerana ada kelapangan waktu. Kami berborak lama sehingga ke tengah malam. Banyak yang dibincangkan dan keseronokan bertukar-tukar pandangan dari arena pendidikan sehingga ke politik sehinggakan saya tidak terasa masa begitu pantas berlalu.

Apabila penulis artikel ini merendah-rendah Prof Dr Sidek Baba, saya melihat tentu terdapat niat yang tidak baik terhadap beliau. Orang yang banyak berjasa kepada bidang pendidikan ini, saya kira tidak wajar ditarafkan dengan lain-lain tokoh. Saya amat sedih apabila beliau dibandingkan dengan tokoh yang lain termasuk Adik Muhammad Ahmad Zahid, qari kecil yang menjadi juara hafazan di Dubai baru-baru ini yang juga memenangi anugerah tokoh.

Tidakkah mereka berdua ini berbeza dari segi sumbangan mereka?

PPIM memang hebat dari sudut organisasinya dan perjuangan agenda ummahnya. Saya menyokong perjuangan mereka sejak dari dulu. Tetapi terdapat juga penyokong kuat PPIM yang saya kira terlalu emosional dan kadang-kadang lebih sudu dari kuah. Lihat sahaja komen mereka yang merapu-rapu di website PPIM. Kadang-kadang malu juga melihat betapa rendahnya pemikiran umat Islam yang kononnya membawa agenda ummah.

Apapun Hidup PPIM.... Teruskan Perjuangan!

Wallahu A'lam.

Saturday, March 21, 2009

Baja Urea Granular N46% (46-0-0)



Salam,
Sesiapa yang berminat untuk membeli Baja Urea Nitrogen 46% (46-0-0) boleh hubungi saya. Spesifikasi berdasarkan baja import Ukraine. Stok di Port Klang dan Pengangkutan sendiri.

Sesuai untuk pertanian terutama tanaman serai, getah dan kelapa sawit.

Purchase order diperlukan.

Harga borong USD 380/tan. Minimum 5000 metrik tan. Stok di port Klang.
Harga retail RM 1600 per tan. Minimum 30 tan (Harga boleh runding).

TYPE OF UREA Urea 46%
Granular
Moisture: 0.5% max
Biuret: 1% max
Packed in Jumbo Bag : 1 metric tonne

Terima kasih

Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin
Pengurus Besar,
Syatik Al-Wadi Ent
012-9597074
abiteha@yahoo.com

Thursday, March 19, 2009

Intussusception dan Perawatannya







Salam,

Baru-baru ni saya didatangi seorang kanak-kanak berumur 3 tahun yang menangis disebabkan oleh sakit perut. Sakitnya datang dan pergi setiap 10 minit. Setiap kali sakit maka dia akan menendang-nendang dan mengangkat-angkat kakinya menunjukkan sakit yang teramat sangat.

Dia tiada demam tetapi mukanya kelihatan pucat. Masalah berlaku sejak sehari yang lepas. Pada awalnya ibu-bapanya menganggap ia sakit perut biasa, tetapi lama kelamaan ia menjadi semakin teruk. Anak tidak mahu makan, dan sesekali muntah.

Semasa memeriksa, saya dapati ada sedikit benjolan pada perutnya sebesar buah golf yang tidak beberpa ketara di sebelah atas perut. Beraknya tidak berdarah.

Mengesyaki ia mungkin intussusception, pakar kanak-kanak telah dirujuk dengan segera. Kanak-kanak tersebut dihantar untuk menjalani ultrasound abdomen dan akhirnya menjalani barium enema untuk merawat masalahnya.

Apa itu Intussusception?Intussusception ialah satu keadaan di mana usus menjadi seolah-olah teleskop. Sebahagian daripada usus memasuki sebahagian usus yang lain dan menyebabkannya tersumbat.

Jika dilihat pada gambar, bukan hanya usus sahaja yang terperangkap tetapi ia membawa bersamanya salur darah dan mesentry (tisu seperti langsir yang ada salur darah). Salur darah tersebut akan tersumbat akibat tekanan dan boleh menyebabkan sel usus bengkak dan akhirnya sel tersebut mati. Adakalanya usus boleh bocor, kuman boleh merebak ke dalam darah dan menyebabkan kematian pesakit.


Penyebab Intussusception

Kebanyakan (hampir 90%) Intussususception tidak diketahui puncanya. Ia boleh berlaku pada umur 3 bulan sehingga 6 tahun. Kanak-kanak lelaki lebih ramai terkena berbanding perempuan. Ada juga sebilangan kecil dikaitkan dengan jangkitan virus atau bakteria tertentu. Ada juga mengaitkannya dengan ketumbuhan kecil seperti polyps dan pembengkakan kelenjar pada usus.


Gejala-gejala Intussusception

Antara gejala-gejalanya ialah sakit perut yang teruk. Ia datang dengan sela masa . Perut menjadi seolah-olah kejang dan adakalanya sakit menjadi kurang dan kemudiannya datang semula. Oleh kerana sakit menjadi terlalu kuat, kanak-kanak membengkokkan kakinya dan menekannya pada dada untuk mengurangkan kesakitan.

Muntah juga adalah salah satu gejalanya. Kadangkala muntah sehingga hanya cecair hempedu sahaja yang keluar dipanggil muntah hijau.

Najis mungkin berdarah bercampur dengan lendiran. Ini dipanggil "red currant jelly stool".


Perawatan

Kanak-kanak akan dimasukkan ke dalam wad dan akan tidak dibenarkan makan dan minum. Air akan dimasukkan melalui salur darah.

X ray diperlukan untuk melihat sekiranya terdapat sumbatan pada usus. Seterusnya Ultrasound boleh membantu untuk membuat diagnosis.

Bagi perawatan seterusnya, barium enema boleh digunakan untuk membuat diagnosis dan dalam pada masa yang sama boleh meleraikan masalah intussusception.

Semasa barium enema dilaksanakan, sejenis cecair yang dicampurkan dengan bahan pewarna dimasukkan melalui sejenis tiub khas ke dalam punggung bayi. Kemudian x-ray khas akan mengambil gambar usus berkaitan. Dalam masa yang sama, tekanan yang dihasilkan di dalam usus akibat barium enema tadi akan meleraikan simpulan dan menyelesaikan masalah intuss.

Apapun, barium enema juga mempunyai risiko kecil untuk usus terkoyak dan sukar dilaksanakan sekiranya kanak-kanak terlalu uzur. Ada juga risiko untuk kejadian semula selepas enema.

Sekiranya barium enema gagal, maka cara terakhir ialah merawat instussusception melalui pembedahan. Doktor akan meleraikan usus tersebut secara manual, jika tidak boleh, maka usus tersebut akan dipotong dan dibuang. Usus yang nomal akan dijahit semula (end to end anastomosis).

Kesimpulan

Intussusception boleh berlaku pada kanak-kanak seawal 4 bulan. Oleh itu sekiranya anak anda menghidap sakit perut yang teramat dan tidak berhenti dengan pujukan, beserta dengan muntah dan berak berdarah, intussusception mungkin penyebabnya.

Wallahu Alam.




Tuesday, March 17, 2009

Leong Oh Leong....





Salam,

Minggu yang agak menyedihkan.

Jumaat lepas, semasa saya sedang bersiap-siap untuk balik kampung di Pahang, saya menelefon pembantu saya yang bertugas di kedai telefon. Sedang saya bertanya-tanya tentang stok, dia memberitahu saya bahawa semalam ada seorang cina datang ambik duit hutang.

Saya yang masih tak tak faham bertanyakan dengan lebih lanjut. Hutang apa.. setahu saya tiada pula saya berhutang dengan siapa-siapa.

Dia memberitahu, ada seorang lelaki bernama Leong. Dia datang untuk membetulkan pintu rumah saya. Upah memperbaiki pintu itu RM 750 dan saya dah bayar RM 350 padanya Jadi dia datang ke kedai untuk menuntut baki RM 400. Pembantu saya pun dengan jujur dan naif menyerahkan kepadanya wang itu.

Saya terkejut "chimpanzee" dan memberitahu pembantu saya bahawa saya tak pernah memperbaiki pintu rumah.

Setelah sedar ditipu, saya pun bergegas ke kedai dan membawa pembantu kedai saya bersama-sama untuk membuat laporan polis.

Rupa-rupanya bukan setakat RM 400 sahaja yang lesap. "Leong" berjaya memperdaya pembantu saya untuk menyerahkan 110 keping kad prepaid bernilai RM 1100.00 kepadanya.

Menurut pembantu saya, "Leong" membuat panggilan telefon di hadapannya seolah-olah sedang bercakap dengan saya, yang memintanya menyerahkan kepada "Leong" wang tersebut dan kad prabayar.

"Leong" kononnya biasa membeli kad prabayar dengan saya dan akan memasukkan wang tunai ke dalam akaun bank saya kemudiannya. Pembantu saya meminta bisnes kadnya tetapi tidak diberi.

Kebetulan pula, pelanggan agak ramai dan dia pun tidak berfikir panjang untuk menghubungi saya untuk mengesahkan kebenaran tuntutan itu. "Leong" hanya memberi satu nombor hubungan yang ternyata palsu setelah disiasat. Nama "Leong" pun mungkin adalah palsu.

Saya agak sedih kerana saya mengetahuinya sehari selepas kejadian, itupun kerana saya ingin mengetahui kedudukan baki kad prabayar yang ada di kedai. Untung kad prabayar pun tidak seberapa, untuk menggantikan nilai kad tersebut mungkin mengambil jualan beratus-ratus kad.

Saya harap pembantu saya itu sedar akan kesilapannya dan tidak akan mengulanginya lagi. Ini merupakan pelaburan yang besar untuk menambahkan pengalamannya.

Ini merupakan satu ujian yang sukar yang pasti ada hikmah disebaliknya. Semoga Allah menggantikan dengan lebih baik.

Wallahu Alam.

Wednesday, March 11, 2009

Mati Kehausan Dikelilingi Air






Salam,

Ada kawan saya bercerita tentang seorang kawan yang bekerja di kapal di Australia. Kapal ini terlibat dengan syarikat minyak dan gas. Pada kebiasaannya, dia akan berada beberapa bulan di laut untuk menjalankan tugas.

Selama di laut, dia hanya memakan buah-buahan sahaja. Dia tidak sampai hati makan makanan yang disediakan untuk krew kapal kerana makanan tersebut disediakan oleh chef bukan beragama Islam. Makanan tersebut diletakkan dengan arak dan kemungkinan makanan yang haram.

Oleh kerana hanya dia yang beragama Islam dan hanya seorang sahaja orang Malaysia daripada beratus-ratus orang di atas dek, maka suaranya tidak kedengaran. Takkan dek kerana dia seorang, chef terpaksa memasak set yang berbeza. Sekiranya chef tersebut memasak makanan yang halal pun, masih was-was juga kerana tukang masaknya bukan Islam.

Tetapi gajinya, MasyaAllah.. mencecah angka RM 20k. Gajinya dibayar di dalam Australian Dollar. Elaun sahaja mencecah ke angka RM 10k.

Walaupun gaji beribu-ribu, namun di atas kapal tersebut, wang tersebut tidak ada nilainya pada waktu itu. Berapa lama beliau boleh bertahan dengan makan hanya buah-buahan sahaja sedangkan yang lain memakan makanan yang sedap tidak kita ketahui.

Serupa juga orang yang karam di tengah laut. Walaupun air banyak di sekeliling, namun air masin tersebut tidak boleh dibuat minum. Akhirnya, mati kehausan dikelilingi air yang banyak.

Ada orang yang hidup mengumpul kekayaan sehingga setiap duit sen berkira. Berzakat dan Haji jauh sekali. Malah wang untuk makan sendiri dan anak-anak pun sangat-sangat berkira. Walaupun duit di dalam bank berjuta, tapi hari-hari makan nasi, sayur pucuk paku dengan ikan kering.

Maka inila orang yang rugi. Apabila mati, duit berjuta yang tinggal diguna untuk membeli kain kapan. Yang lebihnya dikongsi oleh yag hidup. Maka doalah kepada Allah agar dijauhkan hati kita dari sifat kikir dan bakhil.
Wallahu Alam.



Tuesday, March 10, 2009

Comel..




(AP Photo/Six Flags Discovery Kingdom, Nancy Chan)

Salam,
Comel betul gambar ini.

"14-month-old male Atlantic bottlenose dolphin, blows a mass of bubbles while checking out Akaasha, a six-month-old female Bengal tiger at Six Flags Discovery Kingdom in Vallejo, Calif. on Thursday, March 5, 2009. Park animal staff strolled by the dolphin exhibit as they escorted the tiger cubs on their daily walk around the park."



Nampak tak ikan lumba-lumba tu sedang tersenyum?

Monday, March 9, 2009

Hasbullah Pit Menentang Unit Simpanan British






Salam,

Demo menentang PPSMI semalam nampaknya berjalan dengan hebatnya. Saya tidak dapat bersama-sama kerana ada "tugas yang tidak dapat dielakkan". Dato' A. Samad Said pun kena tembak dengan gas pemedih mata.

Sahabat blogger saya saudara Hasbullah telah berada di medan perjuangan.

Dijemput tuan-tuan mengikuti kisah Sdr Hasbullah memartabatkan bahasa Melayu menghadapi Unit Simpanan British yang mempertahankan Bahasa Inggeris.

Di samping itu saya ingin panjangkan tentang Prof Abdullah yang juga ada menulis buku bertajuk Mengapa kami Bantah PPSMI.

Untuk mereka yang taksub politik, Prof Abdullah bukan ahli politik dan tak ada sebab orang bijak pandai sepertinya dikatakan terpengaruh dengan mana-mana parti politik.

Ebooknya boleh dimuat turun secara percuma di sini.

Salam...

Friday, March 6, 2009

Doktor Shahrukh Khan...



Salam,

Ketika gawat ini ramai pekerja kita dibuang kerana kilang-kilang ditutup.

Sekiranya pekerja tidak mahir daripada luar seperti Indonesia, Pakistan dan Bangladesh diambil bekerja untuk mengisi ruang pekerjaan di dalam buruh kasar, boleh kita faham kerana kekurangan pekerja di dalam negara yang sanggup menerima pekerjaan tersebut dengan gaji yang rendah.

Tetapi kalau pekerja mahir atau separuh mahir pun kita ambil dari luar negara, ini tidak mementingkan sensitiviti. Kenapa tidak diambil pekerja tempatan untuk mengisi ruang ini.

Apabila kerajaan ingin mengambil 1000 doktor perubatan dari luar negara untuk mengisi ruang penempatan di pesakit luar, maka saya rasa ini harus difikirkan semula.

Tujuannya murni iaitu untuk mengurangkan masa menunggu pesakit luar di klinik pesakit luar. Menurutnya ada yang terpaksa menunggu hingga 3 jam.

Saya percaya masalah menunggu lama ini serius. Saya ada seorang kawan yang bekerja sebagai pegawai perubatan di pesakit luar. Dalam shiftnya dia terpaksa berjumpa sehingga 100 pesakit setiap hari.

Malah apabila saya berjumpa dengannya, ketika dia sedang bercakap dengan saya dalam masa yang sama dia sedang mendengar paru-paru pesakit menggunakan stetoskop... wahaha... rasa kelakar juga macamana dia boleh mendengar paru2 pesakit sambil bercakap. Mesti ada "splitting mind".

Seorang kawan saya yang belajar di German berkata. Doktor di sana memang buat duit walaupun sekadar di klinik kerajaan. Doktor memberi layanan yang istimewa kepada pesakit. Satu pesakit doktor melayan sehingga 20 minit. Dia kata, doktor Malaysia entah apa-apa.. tengok pun nak tak nak. saya dengar sahaja. Mungkin dia tak pernah beratur jumpa doktor kerajaan bersama-sama 100 orang pesakit lain. Kalau ada dia pasti akan kata, kenapa lama sangat doktor ni jumpa pesakit?

Tapi senario baru pula akan bermula.

Doktor di pesakit luar, wajahnya akan kelihatan mirip kepada Dato' Shahrukh Khan, Salman Khan atau Amir Khan. Atau mungkin "bau"nya lebih indah daripada biasa... wahaha..

Oleh itu, masa menunggu bukan menjadi masalah. Sebab kalau sakit jumpa doktor macam Dato' Shahrukh Khan, maka sakit pun semakin berkurang. Kalau tak kena injection, pun sanggup request nak kena injection. Setakat 3 jam... huh.. alah bisa tegal biasa..

Doktor import ini mungkin boleh diletakkan di mana-mana. Di ceruk hulu, di tepi sungai, di hujung hutan. Tempat asal mereka pun mungkin lebih daif daripada tempat kita. Mungkin doktor tempatan terlalu manja. Kalau di hantar ke ceruk kampung, tidak tahan lama ataupun hantar surat pada menteri mintak tukar. Akhirnya terkuburlah prinsip "untuk berjasa kepada agama, bangsa dan negara" hanya kerana tidak ada talian internet.

Tapi itu yang indahnya. Yang tak indahnya tak payah nak cerita. Bahasanya susah nak difahami. Tulisannya pun agak berpusing-pusing ala hindustani. Management pesakit pun boleh dipersoalkan. Doktor sama doktor pun tahu apa masalahnya kalau doktor import ini. Kadang-kadang kita pulak kena jaga dia takut dia buat masalah atau kesalahan.

Kenapa kerajaan sanggup mengeluarkan wang berjuta2 untuk import doktor dari luar negara? Kenapa kerajaan tidak sanggup menaikkan gaji doktor-doktor perubatan bukan pakar tempatan agar setanding dengan doktor di klinik swasta supaya mereka tidak berhijrah ke sebelah pagar sana yang kelihatan lebih hijau daripada laman sendiri.

Apabila kerajaan mengumumkan pembayaran lokum kepada doktor sebanyak RM 80 sejam, masalah kekeurangan doktor di bahagian kecemasan selepas waktu pejabat selesai. Bermakna, ini adalah satu jawapan kepada masalah itu tadi.

Adakah menggaji 1000 doktor bukan pakar tempatan membebankan sangat kerajaan sekiranya waktu menunggu pesakit dapat dikurangkan? Berapa sangatkan perbezaan kosnya? Cuba bayangkan aliran wang keluar negara dengan mengambil doktor asing ini.

Bagi saya kerajaan boleh buat lebih baik daripada itu dengan menggaji anak-anak tempatan kita tanpa perlu mengharapkan doktor-doktor import. Cukuplah mengimport pekerja asing untuk industri pembangunan dan pertanian sahaja. Pendekata, doktor Malaysia adalah 2-3 kali ganda lebih baik dari doktor import dari India atau Myanmar dan sewajarnya gaji mereka perlu dibayar lebih baik. Akhirnya mereka juga adalah pembayar cukai kepada kerajaan.

Wallahu Alam.














Wednesday, March 4, 2009

Di bawah Pohon Beringin...





Salam,

Keadaan politik di Perak menjadi lebih rumit, merimaskan dan semakin memeningkan.

Kisah di negeri Perak ini menjadi perbualan umum sekarang. Pohon beringin menjadi kembali popular semenjak persidangan DUN dijalankan semalam.

Mana tidaknya tidak pernah ada di dalam sejarah sebuah negeri di Malaysia yang mempunyai 2 Menteri Besar... dan 2 set Exco Negeri... masing-masing mengaku mereka lah yang paling sah dan paling betul mengikut perlembagaan.

Wah.. hebat keturunan-keturunan Dato' Maharajalela ini. Tahniah orang Perak...

Bangga ler kawan saya Yeop... Maklumlah selama ini negeri Perak ini tidaklah beberapa dikenali sangat. Sejak Bukit Larut dah tak beberapa ada timahnya, maka, negeri Long Jaafar ni tidak beberapa popular sangat. Tapi semenjak dua menjak ini maka meletup pulak negeri deme yer Yeop.

Tambah pula teman saya si Yeop ini asalnya di Bota Kiri. Semenjak ADUN nya kerja melompat-lompat, lagi lah orang Bota makin popular. Kata si Yeop "Buat malu teman jer!"...

Huhuhu...

Apa pun, saya mengharapkan terhadap cahaya di sebalik terowong yang gelap. Semoga Allah membuka hati Sultan negeri Perak dan Raja Muda agar dapat menyelesaikan masalah ini dengan kadar yang segera.

Mungkin pilihanraya negeri adalah jalan yang terbaik, walaupun pada awalnya saya tidak bersetuju dahulu kerana akan melibatkan wang rakyat yang banyak. Namun keadaan menjadi bertambah rumit. Ekonomi makin jatuh dan pemimpin negeri Perak masih bercakaran. Pelaburan dari luar tidak akan masuk dengan ketidak stabilan politik yang ditunjukkan. Akhirnya yang menjadi mangsa, orang negeri Perak juga.

Mandat yang jelas akan ditunjukkan oleh rakyat jika wujudnya pilihanraya negeri. Menang kalah adat pertandingan. BN akan beruntung jika kerajaan yang ditubuhkan menunjukkan rakyat menyokong BN, begitu juga PKR. Masing-masing kenalah tunjukkan "gentlemen" masing-masing kan. Ini adalah "the real gentleman fight". Kalau kalah tuh, nak buat macamana. Terimalah kekalahan dengan lapang dada.

Akhir sekali, kita sama-sama doakan yang terbaik. Semoga Allah tunjukkan jalannya.

Monday, March 2, 2009

Lembu untuk Dijual..




Salam,

Saya dah tulis satu artikel minggu lepas, tapi oleh sebab tiba-tiba sahaja wireless KL ni ada problem, langsung terputus dan tak boleh masuk dah. Kejam betul... habis hilang artikel saya yang panjang... merajuk terus. Dah tak nak tulis.

Dalam dua minggu ini, saya agak sibuk bersama-sama mentor saya ini ke hulu dan ke hilir. Kandang di ladang kami di Kg Jalan Kebun, sudahpun dipagar dan siap. 30 ekor lembu sudah pun berada di dalam kandang.

Alhamdulillah, Syatik Al-Wadi akan menempah 500 ekor lembu dengan berat purata 250 ekor dari Thailand untuk dijual di kandang. Kepada sesiapa yang berminat membeli lembu harga kita boleh bincang.

Yang pastinya jika anda ingin membeli seekor lembu yang beratnya 250 kg, kami menjual dengan harga istimewa RM 1800.00 seekor. Harga pasaran biasa mungkin dalam lingkungan RM 2000 - RM 2200.

Anda yang berminat membeli secara borong juga boleh hubungi saya sekiranya berminat. Lembu biasanya dijual dengan kiraan berat mengikut kilo.

Kepada sesiapa yang boleh menembusi pasaran seperti Felda, Felcra atau institusi lain yang berminat membeli lembu secara borong, kami InsyaAllah boleh usahakan sebaik-baiknya termasuk penghantaran ke ladang anda. Sila hubungi saya untuk membuat pesanan pembelian (purchase order). Pembayaran dilakukan secara tunai.

Untuk pembelian di musim Haji akan datang, sekarang adalah masa yang baik untuk menempah lembu kerana harga masih lagi murah. Anda cuma perlu membayar deposit sahaja, dan kami akan menyediakan lembu-lembu untuk anda dengan harga yang istimewa. Kesihatan dan tidak cacat adalah jaminan kami.
***********

Di samping itu juga saya ada mencuba projek yang lain. InsyaAllah saya dan juga seorang kawan juga akan cuba mendapatkan kebenaran untuk menghantar pelajar Malaysia ke Universiti luar negara di dalam bidang perubatan. Apapun ia masih di dalam rangka perbincangan dengan dekan sebuah universiti di luar negara dan juga dengan Malaysian Medical Council.

Jika berhasil, syarikat yang akan ditubuhkan untuk menghantar pelajar ke luar negara di dalam bidang perubatan akan dilaksanakan. Ini akan meningkatkan lagi peluang untuk lebih ramai pelajar Malaysia yang bijak tetap yang tidak mendapat tempat di dalam negara untuk belajar di dalam bidang perubatan. Bukan itu sahaja, kami akan pastikan yuran yang berpatutan dikenakan. Ia tentulah lebih murah daripada belajar di tempan lain termasuk di dalam negara.

Yang paling penting universiti tersebut perlu mendapat "recognition" daripada negara Malaysia. Ini akan memudahkan dari segi penempatan dan sebagainya. Saya dilantik sebagai pengarah syarikat untuk pengurusan akademik dan pelajar. Oleh itu saya berharap agar saya dapat melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya.

Itu sahaja buat masa ini. Kami sedang cuba mendapat pinjaman MARA untuk memudahkan urusan. Harap-harap lepas lah... AMIN.

Salam.



Friday, February 27, 2009

Ibu Bapa pula Nak Turun Demonstrasi ??

Gerakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima lonjakan sokongan apabila Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula menyokongnya.

Gabungan nasional PIBG tidak rasmi kira-kira 8,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pertama kali hadir ke mesyuarat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di ibu negara, Isnin lalu.

Baca seterusnya di sini.

Monday, February 23, 2009

Tragedi SMK Bandar Tasik Selatan






Assalamualaikum,

Isteri saya bekerja sebagai guru di SMK Bandar Tasik Selatan. Melihat keadaan sekolah yang dipenuhi dengan polis-polis agak menakutkan dan merendahkan semangat untuk mengajar. Tetapi tugas tetap tugas. Amanah perlu dipikul. Kehidupan perlu diteruskan.

Beberapa hari yang lepas, pihak pengurusan sekolah pening kepala. Pengetua baru pergi berkursus. Yang tinggal penolong pengetua dan guru disiplin baru yang terpaksa menjawab pelbagai persoalan yang datang dari kementerian, jabatan, media dan ibu bapa. Apa dah jadi?

Seorang pelajar tingkatan 3, SMK Sungai Besi telah dipukul dengan teruk oleh seorang pelajar Tingkatan 5 SMK Bandar Tasik Selatan kerana berebutkan seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 di SMK Bdr Tasik Selatan. Dia baru sahaja meninggal dunia pagi semalam.

Antara beberapa fakta lain ialah:-
1. Pelajar tingkatan 3 SMK Sungai Besi tersebut adalah bekas pelajar SMK Bandar Tasik Selatan yang telah ditukarkan sekolah kerana masalah disiplin.

2. Terdapat kumpulan samseng yang bertaburan di kawasan perumahan di sini yang dianggotai oleh budak-budak nakal di sekolah. Satu geng di sebelah Desa Tasik dan satu lagi dengar ceritanya di kawasan Desa Tun Razak. Yang memisahkan mereka hanyalah sebuah jalan besar dipanggil MRR2.

3. Guru tidak boleh buat apa-apa (rotan pun tak boleh kan). Berdiri atas kerusi tak boleh.... dikhuatiri kalau jatuh kerusi, nanti guru boleh kena saman.

4. Terdapat sebilangan pelajar yang berani melawan dan mengugut guru. Ini termasuk pelajar yang dipukul sehingga mati tempohari. Beliau mengugut untuk memukul ustaz di luar kawasan sekolah apabila ditegur.

5. Masalah sosial - pergaulan bebas lelaki perempuan begitu meruncing di sekolah-sekolah dan guru-guru tak boleh buat apa-apa.

6. Polis pun sukar untuk memantau... ya pelajar yang bermasalah ada yang terdiri daripada anak-anak polis. Itu dah kira lesen besar..

7. Gang satu lagi mungkin akan membalas dendam dan akan membunuh pula si pembunuh. Ceritanya tak ubah seperti filem Amerika "Gridiron Gang".

8. Kebanyakan ibu bapa buat tak kisah tentang prilaku anak-anak samseng ini, dan adakalanya tidak memberi kerjasama kepada guru dan polis. Yang menyedihkan ada yang memberi sokongan.

9. Kementerian Pelajaran pun tak boleh buat apa-apa juga... Oleh itu tolong lah pak menteri berhentikan retorik-retorik mengarut dan dengar saranan daripada pakar-pakar dan pendidik.

Kita sedang berada di dalam krisis pendidikan yang agak runcing. Mungkin ia tidak banyak berlaku di asrama penuh, tapi keadaan di sekolah-sekolah menengah biasa mungkin agak menakutkan.

Seorang kawan yang saya kenali baru saja menjadi guru, sangat-sangat terkejut apabila mendapati ada antara anak muridnya keluar dari kelas ikut suka, keluar dari sekolah ikut suka, duduk makan di kantin di luar waktu dan tidak tahu menghormati guru. Tentulah dia terkejut kerana perkara tersebut tidak pernah berlaku pada zamannya. Apa yang dia sebagai guru mampu buat selain daripada memarahi mereka?

Ada budak-budak ini yang sengaja membuat guru marah dengan mengacau pelajar-pelajar lain dan guru terpaksa bertindak menghalau mereka keluar kelas. Setelah keluar kelas, mereka akan membuat perkara-perkara yang mereka suka. Guru pula di dalam dilema. Jika tidak dihalau pelajar ini, maka seluruh kelas tidak dapat belajar akibat perangai pelajar ini.

Ada pelajar kelas corot yang tidak pernah membawa buku teks ke sekolah. Malah ada yang tak membawa apa-apa ke sekolah pun! Apa yang mereka harap di sekolah? Cuma untuk bertemu kawan-kawan dan membuat onar. Dari satu segi, sekolah merupakan tempat lepak yang baik kerana anasir-anasir maksiat dan ganas dapat diminimumkan di sekolah. Maknanya, lebih baik datang sekolah tetapi tak buat apa-apa daripada melepak di cybercafe atau hisap dadah di luar.

Bila waktu peperiksaan, mereka tidur. Mereka hanya berada di dewan peperiksaan disebabkan setengah jam pertama mereka diwajibkan berada di dewan peperiksaan. Setelah tamat setengah jam mereka pun keluar dari Dewan peperiksaan dengan senang hati sedangkan kertas jawapan masih kosong.

Jadi apakah jawapannya kepada krisis ini? Mungkin ada yang berpendapat ia berlaku sejak zaman dahulu sehingga sekarang cuma tidak dilaporkan secara meluas oleh media. Ada juga berpendapat ini hanya pandangan politik untuk menjatuhkan golongan tertentu oleh itu tolong jangan politikkan pendidikan negara.

Saya berpendapat mereka ini di dalam keadaan "denial".

Apa pun, saya merasakan bahawa sesuatu harus diambil iktibar di atas peristiwa kematian pelajar tingkatan 3 ini. Pada umur ini sepatutnya mereka selamat belajar di sekolah dan di rumah. Pada waktu malam, ketika semua anak-anak sedang berada di rumah, tidak terfikirkah ibu bapa ke mana anak mereka pergi dan apa yang sedang mereka buat dan mereka bersama siapa?

Tolong lah ibu bapa semua... sayangi anak-anak anda. Buatlah sesuatu sebelum terlambat.

Thursday, February 19, 2009

"Once in A Summer"






Salam,

Minggu lepas balik dari kerja awal sempat pula saya menonton filem korea yang bertajuk "once in a summer" di ASTRO Kirana channel 122.

Mula-mula cerita nampak bosan, tapi makin lama makin seronok pula.

Pelakon yang membintanginya ialah Lee Byung-Hun dan Soo Ae.

Filem Korea ini memang hebat dari segi melodramanya. Plot dia cantik, berwarna-warni dan memang feeling habis. Lebih-lebih lagi cerita ini menyorot tentang kekuatan pelajar-pelarja universiti di Korea yang sering mengadakan rapat umum untuk menjatuhkan pemerintahan diktator.

Tambah menarik lagi apabila si heroin berasal dari sebuah kampung di Korea Utara dan dianggap mengintip.

Ending dia sedih....

So kalau tak nak sedih-sedih janganlah tengok cerita ini.


Wednesday, February 18, 2009

Tiada Artikel Baru Minggu ini..




Salam,

Sementara waktu, agak sibuk dengan urusan pembelian lembu dari Jerantut untuk dimasukkan ke dalam kandang di Klang.

Tidak dapat mengemaskinikan blog dengan artikel terbaru.

Apa pun saya harap dapat menulis beberapa artikel semula minggu hadapan.

Next program Biro Kesihatan ABIM ialah :-

Program : Pemeriksaan Kesihatan dan Ceramah Kesihatan
Tarikh : 28 Februari 2009
Tempat : Baitul Fiqah USJ/ Masjid USJ
Sasaran : Ibu Tunggal dan Anak-anak yatim piatu
Masa : 8.30 am hingga 1.30 tgh
Jumlah Peserta : anggaran 60 orang
Semua dijemput hadir.

Salam.

Thursday, February 12, 2009

PKPIM Kesal Laporan Kemerosotan Matematik & Sains Tidak Didedahkan






KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kesal dengan tindakan Kementerian Pelajaran tidak mendedahkan laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) yang menunjukkan kemerosotan pencapaian murid negara ini dalam Matematik dan Sains.

Setiausaha Agung PKPIM Khairul Anwar Shazali mendakwa hasil kajian anjuran International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) itu juga mendapati majoriti negara yang menduduki tangga teratas dalam kajian itu menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai bahasa pengantar dalam pembelajaran kedua-dua subjek berkenaan.

"Laporan TIMSS 2007 yang diiktiraf di peringkat antarabangsa itu seharusnya menjadi kayu ukur letak duduk pelajar Malaysia di arena antarabangsa. Ia turut menggambarkan betapa program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah merudumkan prestasi pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains," katanya dalam satu kenyataan di sini.

TIMSS 2007 adalah kajian perbandingan antarabangsa yang mengkaji pelaksanaan dan keberkesanan kurikulum Sains dan Matematik dan Malaysia telah terlibat di dalam kajian ini sebanyak tiga kitaran iaitu pada 1998 hingga 2000, 2001 hingga 2004 dan 2005 hingga 2008.

Seramai 4,466 pelajar Tingkatan Dua, 150 guru Matematik dan 150 guru Sains yang mengajar pelajar Tingkatan Dua daripada 150 sekolah seluruh negara telah mengambil bahagian dalam kajian itu.

"Perlu diberi perhatian bahawa murid Tingkatan Dua yang menjadi responden kajian ini adalah generasi pelajar Malaysia yang melalui program PPSMI, jadi dapatan TIMSS 2007 ini turut memberi gambaran akan keberkesanan PPSMI," kata Khairul Anwar.

Beliau berkata kedudukan Malaysia daripada 49 buah negara yang mengambil bahagian di dalam TIMSS 2007 bagi mata pelajaran Matematik berbanding 46 buah negara dalam TIMSS 2003, telah merosot daripada kedudukan tempat ke-10 kepada tempat yang ke-20.

"Skor purata murid Malaysia bagi mata pelajaran Matematik ialah 474 berbanding skor purata antarabangsa iaitu 500. Skor ini juga telah merosot sebanyak 34 mata pada 2007 berbanding 508 pada TIMSS 2003.

"Negara-negara yang mempunyai skor purata yang lebih tinggi dan perbezaanya adalah signifikan berbanding Malaysia ialah China Taipei (598), Korea (597), Singapura (593), Hong Kong (572), Jepun (570), Hungary (517) dan Rusia (512)," katanya.

Katanya kedudukan Malaysia bagi mata pelajaran Sains juga telah merosot daripada kedudukan tempat ke-20 (TIMSS 2003) kepada tempat ke-21 pada TIMSS 2007.

"Skor purata Malaysia (Sains) juga telah merosot sebanyak 29 kepada 471 (TIMSS 2007) berbanding Singapura (567), China Taipei (561), Jepun (554), Korea (553), England (542), Hungary (539), Australia (515) dan Sweden (511)," katanya.

Khairul Anwar juga mengulangi pendirian PKPIM yang menolak dan membantah pelaksanaan PPSMI.

-- BERNAMA

Saturday, February 7, 2009

Udah Udah Ler Tu...






Salam untuk semua,

Susah juga kalau takde talian internet di tempat bekerja. Ada wireless KL tapi sering bermasalah. Kadang-kadang ada kadang-kadang tak ada.

Bila terjadi pergolakan dan porak-peranda di Perak, sering terlepas berita terbaru. Nak dengar radio 24 tak boleh sebab sedang bekerja.

Apapun, tahniah kepada Dato' Dr Zambry kerana menjadi MB yang baru di Perak. Sebagaimana Pakatan Rakyat menang dengan sedikit majoriti yang menjadikan kerajaan negeri ketika itu berada di dalam kejayaan seperti di tanjung tanduk begitu juga dengan kerajaan BN yang ada sekarang.

Saya juga berasa tidak selesa kerana terdapat unsur-unsur penderhakaan kepada Sultan Perak di sana. Apa pun keputusan Sultan Perak, tentulah berdasarkan undang-undang. Maklumlah beliau merupakan bekas ketua hakim negara suatu waktu dahulu.

Pembubaran DUN , pilihanraya semula dan pembentukan kerajaan baru akan mengambil masa yang lama dan menelan belanja berjuta-juta wang rakyat. Unsur-unsur rasuah juga akan mula berleluasa semula. Pembaziran ini mungkin boleh dielakkan.

Kerajaan BN Perak usah terlalu gembira kerana pada asasnya tiada majoriti sebenar BN berbanding Pakatan iaitu 28-28. Baki lagi yang tiga berada di dalam posisi bebas. Dua daripada ADUN bebas tersebut sedang didakwa di atas tuduhan skandal rasuah dan seks. Dari segi kualiti pun memalukan juga. Tidak ada apa yang perlu dibanggakan kerana dua ADUN tersebut mempunyai skandal. Apapun BN mempunyai sejarah yang biasa mempunyai ADUN yang berlatarbelakangkan mereka yang bermasalah.

Lagipun, sekiranya terdapat ADUN BN yang beralih sokongan semula ke PKR, maka masalah ini akan bermula semula. Apatah lagi kerajaan BN telah memulakan "angkara" ini dahulu. Maka kerajaan PKR bila-bila masa sahaja boleh melakukan perkara yang serupa kerana telah ada "contoh" yang boleh diikut.

PKR berkembang terlalu cepat pada pilihanraya yang lepas. Walaupun baru setahun jagung ditubuhkan, mereka telah berjaya memenangi negeri Selangor setelah bergabung dengan parti lain. Saya kira, perkembangan yang terlalu cepat tidak berdasarkan perjuangan politik yang utuh, sebagaimana sahabat mereka dari PAS. PAS lebih mapan pentadbirannya dan mempunyai semangat perjuangan yang lebih kukuh. Oleh itu, tidak hairanlah kalau ada segelintir ADUN PKR yang suka melompat apabila diacah atau dihulur.

Tan Sri Muhyiddin ada mencadangkan agar dipercepatkan akta melompat parti supaya tiada ADUN BN akan melompat kepada parti pembangkang. Mungkin sekarang beliau lebih senyap daripada biasa.

Saya ingin bertanya adakah wujud "foul play" seperti ugutan dan sebagainya di dalam perpindahan sokongan 2 bekas ADUN PKR ini sebagaimana yang dilaporkan oleh Malaysiakini. Sogokan berjumlah RM50 juta tersebut mesti disiasat oleh polis atau SPRM sebagaimana di dalam akuan sumpah yang diceritakan.

Apapun, jauh di lubuk hati, saya gembira dengan perlantikan Dato' Dr Zambry Kadir sebagai MB kerana peribadi beliau dan latarbelakang pendidikan beliau yang baik. Diharapkan semua wakil BN dapat menjalan tugas untuk membangunkan bangsa dan negara dengan amanah dan professional.

Kepada semua ahli politik kita ini, sudah sudah lah berpolitiking ini. Rakyat dah sangat-sangat bosan. Buat lah kerja. Dulu Permatang Pauh, lepas tu Kuala Terengganu sekarang ni Perak pula. 24 jam politik, bila nak bekerja dan berbakti kepada rakyat?

Orang Perak kata.. udah udah ler tu...


Tuesday, February 3, 2009

Batuk Kering @ Tuberculosis






Seorang pesakit muda berumur 25 tahun dan bujang datang berjumpa saya.

Dia datang dengan masalah batuk selama sebulan dan sedikit darah.

Sejarah yang seterusnya menunjukkan bahawa dia mempunyai demam pada waktu malam, menggigil, berpeluh. Dia juga hilang selera makan.

Secara amnya badannya memang agak kurus.

Dia adalah rakyat Malaysia dan tinggal bersama-sama kawan-kawan di dalam sebuah rumah kongsi. Dia tidak mempunyai rakan rapat dengan kawan-kawan yang mempunyai masalah batuk berdarah yang sama dengannya. Begitu juga keluarganya.


X-Ray menunjukkan terdapat perubahan (consolidation) pada sebelah kanan atas paru-paru (bayang putih pada sebelah atas kanan).

Pesakit ini mengalami Tuberculosis atau TB atau Batuk kering.

Pemeriksaan seterusnya ialah dengan memeriksa kahaknya untuk kuman TB ini. Setelah sah beliau terpaksa menerima rawatan selama 6 bulan untuk anti TB dan perlu mengesan kawan-kawan serta saudara mara rapat untuk mengelakkan jangkitan kepada mereka yang duduk berhampiran.

Saya telah merujuk kes ini pada pakar.

Related Posts with Thumbnails