Monday, December 31, 2007

Kisah FOMEMA dan Nikmat Hidup di Malaysia







Assalamualaikum...

Hari ini saya menggagalkan ujian kesihatan seorang lagi pekerja warga asing untuk pemeriksaan FOMEMA. Kali ini kerana satu penyakit yang ditakuti ramai iaitu HIV. Pesakit adalah seorang wanita dari warga negara Indonesia. Ada dua lagi warga asing yang akan saya gagalkan hari ini. Seorang warga Indonesia pengidap kencing manis dan seorang lagi warga Vietnam kerana Tuberculosis atau Batuk Kering.

Untuk sesiapa yang tidak mengetahui, FOMEMA ialah pemeriksaan kesihatan untuk warga asing bekerja di Malaysia. Kepada sesiapa yang mempunyai pembantu rumah, anda sudah tentu maklum. FOMEMA diuruskan oleh Pantai Fomema Systems, anak syarikat Pantai Holdings Berhad yang menjadi kontroversi beberapa tahun lalu kerana dibeli oleh syarikat gergasi dari Singapura.

Memang benar, surat khabar semalam menulis, kebanjiran warga asing ini membolot 30% daripada peluang pekerjaan daripada anak tempatan. Memang benar juga ada di antara mereka yang membuat onar di Malaysia dengan kadar jenayah yang meningkat. Ada juga yang menularkan penyakit yang jarang-jarang orang Malaysia hadapi. Baru baru ini pula Kementerian Kesihatan mengeluarkan data hampir 30,000 warga asing telah gagal dalam ujian FOMEMA kerana penyakit berjangkit dan penyakit2 lain. Itu yang dapat dikesan, bagaimana yang tidak dapat dikesan?

Secara hakikatnya, kehidupan pekerja asing di bumi sendiri memang amat susah. Peluang pekerjaan sangat kurang. Saya kadangkala timbul rasa kasihan kepada mereka. Ada di antara mereka terpaksa bergolok bergadai dari kampung untuk datang ke Malaysia. Saya diberitahu ramai dari Cambodea (Kemboja) yang datang ke Malaysia terpaksa berhutang ke sana sini untuk membayar tiket kapal terbang. Setelah segala susah dan payah, akhirnya mereka terpaksa pula kembali ke negara mereka kerana gagal di dalam ujian kesihatan.

Sama juga mereka yang datang dari negara lain. Mereka dijanjikan pulangan yang baik untuk bekerja di sini. Yang menyedihkan, ada yang berumur 17 tahun sahaja dan buta huruf. Bahasa Cambodia pun tak kenal, inikan pula bahasa malaysia atau bahasa Inggeris. Kalau dilihat dari sudut fizikal macam budak sekolah rendah sahaja. Agaknya kurang nutrien di dalam makanan. Bayangkan kalau mereka ini anak-anak anda sendiri!

Tidak ada masalah untuk menggagalkan mereka yang mempunyai penyakit berjangkit seperti HIV, TB dan Hepatitis. Itu tidak perlu kompromi. Semua doktor wajar mengikut prosedur yang ditetapkan. Sesiapa yang ingkar wajar dikenakan tindakan.
Cuma adakalanya, masalah kesihatan itu secara relatifnya tidak merbahaya. Saya pernah menggagalkan seorang warga Indonesia yang mempunyai "lazy eye". Kedua-dua matanya kurang nampak dan hanya boleh dibantu sedikit dengan penggunaan cermin mata. Namun, walaupun dibantu tahap penglihatan masih lagi rendah. Perkara sebegini memang menyukarkan saya untuk membuat keputusan samada menggagalkannya ataupun tidak. Keputusan untuk menggagalkannya akhirnya dibuat dengan perasaan berat hati. Jikalau diluluskan takut memberi bahaya kepada majikan pula. Diharapkan dia boleh bekerja semula di tempat lahirnya.

Apapun sempena tahun baru 2008, marilah kita bersama-sama memanjat kesyukuran kerana lahir di bumi Allah Malaysia. Walaupun kita berbeza agama, bangsa, ideologi dan fahaman politik, ada satu masa dan ketika kita patut boleh sama-sama duduk dan berbincang tentang bagaimana memakmurkan Malaysia ke arah yang lebih baik. Selagi kita tidak berada di bumi para pendatang warga asing yang berhijrah ke sini, kita pasti tidak tahu berasa nikmatnya hidup di Malaysia.
Bak kata Kumpulan Too Phat dan Yasin... Alhamdulillah... syukur.

Friday, December 28, 2007

Aduan Utama atau Diagnosis?






Assalamualaikum,

Apabila pesakit berjumpa doktor, tentulah ada "aduan utama" yang hendak disampaikan kepada doktor. Maksud aduan utama ini adalah sebab penyebab kenapa seseorang itu berjumpa doktor. Contohnya, si Ali berjumpa doktor kerana sakit tekak selama 5 hari atau demam selama 3 hari.

Tetapi adakalanya, sebahagian pesakit berjumpa doktor dengan sudah ada diagnosis di kepala. Sebagai contoh, Amir sakit tekak sudah 5 hari. Apabila berjumpa dengan doktor, dia akan memberitahu, "Doktor saya terkena tonsilitis".

Mungkin dia memberitahu sebegitu kerana sebelum ini, ada doktor pernah memberitahunya dia mempunyai sakit tekak kerana bengkak tonsil atau dia sudah sememangnya mempunyai sejarah tonsilitis dari kecil.

Tetapi ada juga menyebutnya kerana terikut2 dan terdengar daripada "rakan-rakan" atau "saudara mara" mereka yang mendengar daripada "rakan-rakan" dan "saudara mara" mereka yang terdengar pula daripada "rakan2" dan seterusnya.....

Oleh hal yang demikian, banyak sekali kes apabila diperiksa bengkak tonsil, didapati tonsilnya sebenarnya tidak bengkak. Yang ada cuma jangkitan di pharynx atau sekitar kerongkong, bukan jangkitan tonsil. Apabila diberitahu, "Encik tiada bengkak tonsil"... maka pesakit menjadi keliru. Di kepalanya sudah melekat dengan persamaan sakit tekak = tonsilitis.

Ada juga yang tidak puas hati dengan jawapan doktor. Tetapi apabila ditanya apa itu tonsil, mereka tidak dapat menjawab kerana tidak mengetahui apa itu tonsil. Oleh itu, menjadi peranan doktor mendidik apakah itu tonsil dan kenapa ia bengkak dan sebagainya.

Begitu juga dengan perkataan "wheezing". Adakalanya pesakit tidak membuat aduan seperti susah hendak bernafas tetapi menggunakan perkataan "wheezing". Apabila ditanya adakah beliau pernah mengalami serangan asthma? pesakit akan menjawab tidak. Malah tidak pernah sekali pun pernah mengambil nebulizer atau inhaler sebelum ini. Apabila ditanya dengan lebih jelas apa maksudnya, sekali lagi pesakit tidak dapat memberitahunya. Ini kerana ada kawan2 yang memberitahunya bahawa dia mengalami wheezing.

Perkataan "wheezing" lebih bermaksud keadaan nafas berbunyi kerana saluran pernafasan menjadi sempit. Ini boleh disebabkan oleh serangan asthma atau tercekik bendasing di dalam paru-paru. Udara yang melalui saluran yang kecil ini menghasilkan bunyi seolah-olah bunyi "seruling" yang boleh didengar melalui telinga ataupun menggunakan stetoskop. Oleh itu sekiranya anda susah nak bernafas kerana hidung anda yang tersumbat dengan hingus ia bukanlah "wheezing".

Apabila anak kecil di bawa ibunya atau ayahnya ke doktor kerana tumbuh ruam-ruam merah, di dalam kepala mereka tentu sudah ada diagnosis tertentu seperti campak dan sebagainya. Apabila berjumpa doktor kali ini, mereka akan memberitahu, "Doktor, anak saya ini terkena penyakit campak". Apabila ditanya dengan lebih mendalam, dia akan memberitahu, "dulu masa anak saya umur 2 tahun, dia pun pernah kena campak juga".

Ok. Apa maknanya ayat yang kedua itu? Ini bermakna, samada pada kali ini ruam itu bukan campak atau ketika umurnya 2 tahun, penyakit yang dihadapi itu bukan ruam disebabkan campak. Ini kerana campak hanya datang sekali seumur hidup. Bukan semua ruam adalah campak. Campak dikenali dengan ruam yang banyak di seluruh badan, disertai dengan demam yang sangat tinggi, jangkitan mata, batuk atau selsema. Biasanya anak kecil merengek dan kelihatan teruk. Allergy, ruam virus biasa, rubella dan pelbagai jenis ruam lagi boleh terkena pada kanak-kanak.

Kesimpulannya, lebih baik pesakit mempunyai pemahaman yang jelas tentang penggunaan bahasa perubatan sebelum menggunakannya atau berhati-hati menggunakan "medical jargon". Jika tidak, lebih baik menumpukan kepada masalah utama atau aduan berbanding dengan diagnosis. Walaupun ia nampak remeh, tetapi ia dapat membantu doktor dalam menjalakan tugas mereka.

Saya akhiri artikel ini dengan sebuah cerita :-

Seorang lelaki datang ke hospital dengan semangatnya untuk berjumpa dengan doktor pakar bedah di hospital.

Doktor : Encik, boleh saya bantu.

Lelaki : Doktor, saya nak buat "castration".

Doktor : Kenapa awak nak buat ?

Lelaki : Kawan baik saya baru sahaja buat. Dia kata sangat bagus untuk saya.

Setelah dipersetujui, lelaki itupun meneruskan pembedahan "castration" nya.

***
Oh, untuk pengetahuan anda "castration" ialah prosedur mengkasi - iaitu prosedur membuang kedua-dua testis untuk lelaki. Biasanya dilaksanakan di zaman Dinasti Cina dulu untuk mengelakkan daripada berkahwin dengan perempuan. Selepas membuang testis, lelaki tiada nafsu lagi dengan perempuan.
***

Setelah siap pembedahan, lelaki itu pun dihantar ke wad. Beliau melihat dua orang lelaki sedang terbaring disebelahnya.

Dia pun bertanya:-

Lelaki : Oh, awak juga telah menjalani pembedahan.

Pesakit di sebelah : Ya.

Lelaki : Boleh saya tahu, apa prosedur pembedahan yang awak jalani?.

Pesakit di sebelah : Saya buat "Circumcision" (berkhatan).

Lelaki : Yaaa!!! Itu lah perkataan yang saya nak beritahu doktor tadi !!!


*** Tirai pentas di tutup dengan lagu nyanyian Shidee - " Sayang semuanya sudah terlambat......" ***

Moral : Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.... :)

Thursday, December 27, 2007

Azam Tahun Baru 2008






Assalamualaikum.

Semenjak berkenalan dengan penulis-penulis buku seperti Osman Affan, Mohd Farid dan Mohd Suhaimy dan Nimoiz TY, saya berasa terpanggil untuk menjadi penulis seperti mereka. Mereka memberi semangat kepada saya bahawa menulis buku bukan perkara yang mustahil seperti yang disangka-sangkakan.

Pada pendapat saya menghasilkan buku adalah satu legasi kepada masyarakat dan bangsa. Sekiranya ada sekelumit ilmu boleh dikongsi, maka kita sama-sama berkongsi. Oleh itu, dalam keadaan bertatih ini, saya sedang merancang-rancang hendak menulis sebuah buku. Temanya sudah ada tapi saya belum pasti lagi apa tajuk yang sesuai. Yang pastinya ia bukan buku berbentuk fiksyen kerana saya memang tidak beberapa pandai menulis tema fiksyen. Mungkin buku tersebut lebih berbentuk ilmiah. Tetapi saya risau juga, maklumlah kalau buku ilmiah ini sambutan tu agak dingin sahaja. Puas juga kena memikirkan tajuk yang "catchy" dan isi yang menarik. Ini mungkin azam tahun baru saya untuk 2008.

Di dalam beberapa bulan ini, saya akan mengisi masa lapang untuk membaca lebih banyak buku berkaitan, mengkaji, bertemu lebih ramai orang dan menulis. Oleh itu, pengisian blog mungkin tidak sekerap dulu. :). Bak kata pepatah, perjalanan beribu-ribu batu bermula dari satu langkah. Masa yang kurang memang mengekang banyak perkara kepada saya. Masa yang ada pula perlu dibahagikan kepada keluarga, bisnes, program perubatan & sukarelawan dan jemaah. Itu adalah masalah kepada seseorang, tapi ia juga adalah cabaran kepada seseorang yang lain. Bergantung kepada bagaimana kita melihat samada gelas air separuh kosong atau separuh penuh. Semuanya di dalam fikiran.

Diharap anda semua dapat memberi sokongan dan galakan yang tidak berbelah bahagi kepada saya. Semoga mendapat keredhaan Allah di tahun baru yang mendatang. Terima kasih :)
Wassalam

Thursday, December 20, 2007

Kisah Politik dan Hari Raya Haji 2007

Assalamualaikum Warahmatullah...

Kadangkala perbezaan warna politik boleh menenggelamkan semangat Hari Raya Aidil Adha. Tidak semua orang mempunyai hati yang sama walaupun rambut berpigmenkan warna hitam (atau putih) yang sama. Apabila ada di dalam hati wujud rasa tidak puas hati, maka pergeseran yang berlarutan mengganggu nilai muhibbah walaupun sesama saudara seIslam.

Kisah ini berlaku di kawasan rumahtangga saya sendiri. Pada tahun ini, surau di kawasan perumahan saya hanya mengorbankan seekor lembu sahaja. Tidak seperti tahun lepas terdapat 5 ekor lembu dikorbankan. Daripada 5 ekor lembu yang dikorbankan, 3 daripadanya adalah sumbangan sebuah parti politik tersohor di Malaysia.


Oleh kerana tahun ini hanya seekor sahaja lembu dikorbankan maka tentulah pengagihan tidak sebanyak tahun dahulu.

Parti politik yang dahulu menyumbangkan 3 ekor tidak menyumbangkan apa-apa untuk tahun ini. Tetapi parti politik tersebut telah "menyediakan" 2 ekor lembu yang dihantar ke padang surau kawasan kami. Menurut sumber tertentu, 2 ekor lembu tersebut adalah "sumbangan" daripada 5 buah cawangan yang berlainan. Cumanya "sumbangan" kali ini agak berbeza.

Yang berbezanya, parti politik tersebut meminta bantuan ahli jawatankuasa surau di jemaah kami untuk menyembelih 2 ekor lembu yang disediakan. Sedikit hasil sembelihan akan dibahagikan untuk Ahli Jawatankuasa yang menyembelih dan melapah dan dimasak untuk menjamu ahli jawatankuasa dan ketua bahagian parti politik itu.

Manakala, yang selebihnya iaitu 1 ekor setengah lagi akan dibahagikan sama rata kepada 5 cawangan parti politik tersebut dan tidak kepada jemaah di kawasan yang menyembelih. Kiranya... ini sekadar tolong sembelih je lah. Yang menyembelih dapat upah, lebih diorang ambik.

Cerita ini semakin bertambah menarik. Ahli Jawatankuasa Surau membuat keputusan bersama tidak mahu menyembelih 2 ekor binatang korban yang disediakan tadi. Menurut mereka, ini adalah hal politik, surau tak nak campur. (Tahun lepas parti politik yang sama bagi sumbangan 3 ekor tu, bukan hal politik pulak, walaupun ketua bahagian yang sama datang merasmikan!).

Ahli daripada parti politik yang satu ini pulak, apa lagi, tentulah menggelabah. Agaknya tidak disangka keputusan saat-saat akhir atau tiada perbincangan yang sebaik-baiknya dilakukan dengan ajk surau berkaitan. Pagi raya baru nak cari parang, nak cari tali, nak cari cangkul....

Yang paling parah, takde wakil cawangan yang 5 itu menunjukkan muka untuk datang untuk membantu. Dah pukul 10 lebih baru nak calling calling. Ketua bahagian dah nak datang makan tengahari pulak tu (ketua bahagian tu seorang perempuan). Akhirnya diupah seorang penyembelih untuk datang menyembelih dengan upah RM 30 seekor. Dan tempat penyembelihan juga diadakan berasingan.

Bagi saya yang menjadi pemerhati situasi yang agak janggal ini, saya dapat melihat satu perkara iaitu politik berpuak seperti ini telah menutup roh hari raya korban di kawasan perumahan saya tahun ini.

Parti politik tersebut tidak sepatutnya membahagikan hasil korban mengikut kawasan cawangan politik. Sepatutnya mereka membahagikan hasil sembelih mengikut jemaah-jemaah di kawasan surau masing2 dengan tidak membezakan warna politik. Jangan membelakangkan nilai Aidil Adha untuk menaikkan nama orang-orang tertentu.

AJK Surau juga patut memberi bantuan walaupun ia adalah hasil korban dari sebuah parti politik kerana ini adalah hari raya korban. Walaupun tidak melibatkan jemaahnya, ia melibatkan fakir dan miskin di jemaah yang lain juga. Jika AJK surau itu berjiwa besar, maka hubungan sillaturahim di antara mereka dengan ahli-ahli politik itu dapat dieratkan.

Senario ini telah menimbulkan rasa kurang senang hati kedua-dua pihak. Yang pasti di kawasan perumahan saya yang cuma sekangkang kera, terdapat dua tempat berasingan untuk penyembelihan korban tahun ini. Memang hebat apa yang politik suku suku ini boleh buat kepada Hari Raya Korban tahun ini.


Wallahu A'lam

Wednesday, December 19, 2007

Salam Aidil Adha

Salam Aidil Adha...

Eid al-Mubarak saya ucapkan kepada semua pembaca. Tentunya Aidil Adha kali ini tidak semeriah bagi saudara-saudara kita yang ditimpa musibah di Utara, Selatan dan Pantai Timur. Ia mengingatkan kita tentang pengorbanan yang kita perlu hadapi untuk membantu saudara-saudara kita yang sedang melalui hidup yang sukar.

InsyaAllah, pada beberapa minggu yang mendatang, kita akan meluangkan masa bersama-sama dengan jemaah kita ke kawasan yang ditimpa bencana untuk membantu mereka menghadapi kesukaran ini. Pengorbanan masa, tenaga, harta dan sedikit wang ringgit kita amat bermakna kepada saudara seIslam kita.

Pengorbanan adalah suatu perkara yang praktikal bukan simbolik. Menyembelih lembu untuk diagih-agihkan adalah tuntutan Agama. Bahkan ia sebenarnya lebih daripada itu. Berkorban masa, harta dan tenaga untuk membantu mangsa banjir pada waktu ini adalah lebih bernilai kerana itulah yang mereka amat-amat perlukan sekarang. Marilah kita sama-sama berkorban.

Wallahu A'lam.

Tuesday, December 18, 2007

Banjir Oh Banjir !!

Assalamualaikum.

Mengikut cerita orang-orang tua di Pahang, banjir besar Pahang berlaku pada tahun 1971. Ketika itu keadaan di Pahang sangat teruk kerana air daripada Sungai Pahang dikatakan melimpah ke jalan raya. Ada yang memberitahu air bah tersebut naik sehingga mencapai ke atap rumah. Ada yang terpaksa memanjat tiang-tiang elektrik ketika menunggu untuk diselamatkan kerana air naik terlalu cepat.

Mungkin kata Tok Penghulu Mukim Lepar, Tok Penghulu Wahid. "Bertuah dapat tengok banjir kali ni, ni banjir 30 tahun sekali nih".

Sehingga ke hari ini 18.12.2007, Pahang mencatatkan bilangan mangsa banjir paling teruk dipindahkan ke kawasan sementara dengan angka 24,000 orang. Manakala kawasan di Pekan, Pahang mencatat bilangan dipindahkan paling tinggi iaitu 9000 orang. Jalanraya Kuantan Rompin dan Kuantan Segamat masih lagi ditutup untuk laluan.

Saya ada menghubungi sahabat saya Dr Ikhwan, pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Pekan. Beliau menyatakan bahawa setiap hari beliau mengikut rombongan untuk memeriksa pesakit yang terlibat di kawasan banjir. Beliau seperti tidak menang tangan kerana tidak ramai doktor yang bertugas di sana. Nampaknya cuti raya beliau juga telah dibekukan dan beliau bertugas pada hari raya AidilAdha seperti biasa.

Perkampungan isteri saya, iaitu kawasan Paloh Inai, di Mukim Lepar, Pekan, Pahang juga agak teruk terkena banjir kali ini. Saya terpaksa menaiki bot untuk masuk melalui jalan paya ke rumah bapa mertua saya di Kg. Batu Balik. Mujur rumah mertua saya agak tinggi di atas bukit.

Namun, keadaan tidak jauh bezanya kerana pencawang elektrik telah ditenggelami air menyebabkan semua bekalan elektrik telah terputus sejak seminggu yang lalu. Tinggal dalam keadaan rumah yang diterangi 3 batang lilin setiap malam pasti membangkitkan nostalgia kenangan lama.

Isteri dan anak-anak saya yang terkandas di sana ketika banjir mula melanda telah dipindahkan sejak awal lagi menggunakan bot dan sekarang berada di rumah abangnya di Beserah, Kuantan. Saya berpeluang menaiki bot untuk sampai ke rumah mertua di dalam misi menghantar bantuan makanan kepada "mangsa banjir" iaitu pak mertua saya sendiri. hehe. Misi akhirnya berjaya tanpa sebarang masalah.

Menurut saudara saya yang tinggal di Jerantut, air sungai Pahang (hulu sungai) semakin besar dan dijangka naik lebih tinggi kerana hujan yang masih belum mahu berhenti. Ini akan mengakibatkan air sungai Pahang di hilir iaiatu kawasan Pekan semakin melimpah. Mereka menjangkakan banjir besar kali ini belum lagi sampai ke tahap yang sepatutnya. Bermakna, ia akan naik lagi dan kemungkinan banjir semakin teruk.

Alhamudulillah, walaupun banjir teruk melanda tahun ini, tetapi hakikat bahawa TPM kita berasal dari Pekan, Pahang dan musim pilihanraya yang bakal menjelang, penduduk di Pekan mendapat bantuan yang sebaiknya. Marilah kita berdoa agar banjir ini tidak mengorbankan jiwa yang lebih besar. Amin.


Selamat Datang ke Mukim Lepar Pekan yang ditenggelami air


Ini adalah jalan masuk ke kampung Batu Balek menuju ke arah Chini. Sepanjang jalan telah ditenggelami air.


Pemandangan di tepi jalan masuk

Bapa mertua saya, Ustaz Hj Mohd Tahir B. Awang Mohamad sedang mendayung sampan. Kawasan ini dahulunya merupakan paya yang kering dipenuhi tumbuhan paya. Sekarang sudah seperti sungai.

Ini adalah surau Kampung Tanjung. Sedih tok Imam sebab karpet baru yang disponsor habis rosak ditenggelami banjir.

Saya pula yang sedih. MPV saya yang tersangkut di rumah bapa mertua. Tak boleh dikeluarkan kerana jalan telah ditutup. Buat masa sekarang terpaksa menagih simpati meminjam kereta wira abang ipar.

Monday, December 17, 2007

Jangan Minum Soya Bean di Waktu Hujan!

Saya dapat email ini daripada seoarang sahabat iaitu En Mahfudz. Beliau ingin mengetahui kebenaran artikel ini. Sesiapa ada bukti berdasarkan kajian yang terkini sila email kepada saya di alamt email saya. Buat masa ini, inilah jawapan saya.



Soalan : FACTs on Soyabean milk.

All of us know that soyabean milk drink provides good protein to our body... but not many of us know about the technicalities involved, on when to consume and when not to consume soyabean milk drinks.

Soyabean milk drinks are best consumed on hot sunny days where the sun is burning and glaring. The soyabean milk provide lots of nutrients to the body, as the body is able to absorb the protein well, under this type of weather condition.

However, avoid drinking soyabean milk when the weather is cloudy or raining. Drinking soyabean milk under this weather conditions, facts has proven that the body will not be able to absorb the protein. After a long run, it will result in a disease called "GOUT" or "high acidic urine", which is due to the high protein residue in the body.

GOUT will cause you to have pain to both your knee joints & heels, and it can only be controlled when you cut down on your food intake of proteins and aided with medications. The pain is unbearable. And, more often than not, usually, you will not have the slightest clue as to what would have caused you to have the pain.

Over the years of too much of foods intake like soya beans, ikan billis, broccoli, spinach, peanuts, animal organs ( i.e. liver) etc, could result in GOUT, so it's best to monitor your diet to help avoid GOUT as a cause of prevention.



Jawapan saya :

Thanks Mr Mahfudz for asking.
Appreciate your visit to my blog.

I have never heard such claim. So far our rudimentary system or we call it as Gastrointestinal shows no effect on weather changes. Whether its shiny, rainy or cloudy, the stomach and intestine will digest its protein content.

It is true that Soya bean has high protein content. Why only soya bean digestion alone will be effected by weather. How about meat and chicken? They also have high protein content.

Gout happens when there is deposition of crytallized uric acid into the joints. It is very painful and debilitating. It is true that it can be precipitated by anchovies, beans, red meat and internal organs because of their high DNA content (end product of protein) in the flesh. Not because taking them during shine or rain.

If that is the point, you will see many people quieing into the clinic because of gout in
November to December because of rainy season.

Thank you :)



Sekiranya anda mempunyai fakta yang berlainan tentang jawapan soya bean di atas. Sila emailkan saya. Terima kasih.

Friday, December 14, 2007

Rahsia Blogger - Membongkar Rahsia Buat Duit

Assalamualaikum...

Untuk anda yang baru smengenali dunia blog maka saya ingin cadangkan sebuah buku untuk bacaan santai anda. Buku ini bertajuk Rahsia Blogger - Membongkar Rahsia Buat Duit Dengan Blog. Buku ini ditulis oleh 2 orang yang tak asing lagi dengan dunia blogger di Malaysia iaitu Mohd Suhaimy Abu Bakar A.K.A Shuth dan Mohd Farid Sulaiman.

Saya secara individu pernah duduk bersama Shuth untuk bermain Cashflow 101 anjuran Bicara Jutawan kelolaan saudara Pakdi di Bandar Baru Bangi suatu beberapa bulan yang lalu. Saudara Shuth kelihatan sebagai seorang yang pemalu tetapi apabila tiba bab mencari wang melalui blog, maka beliaulah pakarnya. Shuth mempunyai 2 blog istimewa iaitu www.rahsiablogger.com dan www.mohdsuhaimy.com. Anda boleh belajar daripada blog ini bagaimana menjana wang melalui blog.

Saya juga telah bertemu muka dengan Sdr. Mohd Farid Sulaiman 2 minggu yang lepas di Kota Damansara dan kami minum teh bersama 2 rakan lagi. Saya pada asalnya mengenali beliau hanya melalui blognya iaitu Blog Penternak Menjadi Jutawan iaitu blog tentang penternakan kambing. Rupa-rupanya beliau adalah orang yang bersama-sama Shuth menjadi penulis buku Rahsia Blogger ini.

Mohd Farid yang berwajah ala-cina mempunyai minda perniagaan. Ini dibuktikan dengan idea-idea beliau yang bernas tentang beberapa ruang perniagaan yang berpotensi untuk dibangunkan dan diterokai terutamanya bidang penternakan. Sila lawat blog beliau di www.sanginternet.com

Buku Rahsiablogger ini mempunyai 7 buah bab dengan 111 muka surat. Ia diterbitkan oleh Truewealth Publishing. Secara asasnya ia menerangkan tentang betapa indahnya memiliki sebuah blog.
Ramai orang menganggap fungsi blog adalah untuk meluahkan isi hati yang terpendam di dalam kehidupan sehari-hari seperti sebuah diari. Tidak semestinya. Kini blog menjadi alat pelbagai guna. Blog pada zaman ini boleh menjadi satu alat untuk menyebarkan dakwah, ia juga adalah satu ruang untuk membincangkan isu-isu semasa seperti peperangan, politik dan isu-isu sejagat.

Trend pada waktu ini yang menjadikan blog sebagai "interface" kepada promosi perniagaan mereka untuk lebih dekat dengan pelanggan. Banyak gergasi perniagaan seperti Amazon, Google dan Dell kini meggunakan pendekatan blog yang lebih "mesra pengguna".

Sehingga tahun 2006, 60 juta blog telah didaftarkan kepada technorati.com, salah satu enjin pencarian di blog dan jumlah ini bertambah dari hari ke sehari. Ini tidak menghairankan kerana lebih ramai anak-anak muda lepasan sekolah yang sudah mula menulis blog di peringkat sekolah, malah ada yang memiliki lebih daripada 2 blog.

Apa yang menarik tentang buku ini ialah buku ini mensasarkan pengguna yang masih baru di dalam bidang blog. Ia menerangkan langkah demi langkah daripada mendaftar blog sehingga ke menulis blog beserta dengan grafik yang lengkap dan amat membantu. Ia amat sesuai kepada mereka yang baru bertatih menulis blog.

Mungkin bagi sesetengah orang, apalah ertinya membuang berjam-jam masa anda untuk menulis blog sekiranya tiada balasan berupa wang untuk menjana keperluan harian anda. Jangan risau, ada beberapa tips penting di dalam buku ini tentang bagaimana untuk menjana wang daripada blog dengan mudah.

Secara individu, saya sendiri berjaya mendapat beberapa ratus ringgit sebulan daripada blog ini. Melalui iklan-iklan yang dipaparkan saya menggunakan blog untuk mempromosi jualan offline secara online. Itu adalah cara bagaimana jualan kuih raya syarikat saya mencecah beberapa ribu ringgit walaupun masih baru di dalam bidang ini. Dan ini jugalah cara saya menjual berpuluh-puluh unit handphone kepada pembeli yang membaca blog.

Anda juga boleh membaca beberapa strategi yang digariskan oleh penulis muda kita ini untuk menjadikan blog ini mendapat ranking yang tinggi, lebih hebat, diminati dan mendapat perhatian pembaca. Buku ini juga mengajar anda untuk mencipta identiti anda sendiri melalui penulisan blog anda.

Walaupun begitu, buku ini kelihatan begitu ringkas. Saya cuma mengambil masa selama 3 jam untuk menghabiskan 7 bab. Ini adalah kerana saya tidak perlu membaca secara teliti bagaimana untuk membina blog kerana saya sudah mempunyai kemahiran menulis blog. Apa yang penting bagi saya ialah bagaimana untuk menjayakan blog ini sambil mendapat keuntungan serba sedikit daripadanya.

Untuk blogger yang sudah professional, satu perempat daripada keseluruhan buku ini tidak dikhususkan kepada anda. Walaupun begitu, tips yang dianjurkan amat menarik untuk dikongsi bersama. Mungkin ramai tidak tahu kegunaan RSS dan beberapa SEO tips untuk menaikkan ranking anda. Ini adalah peluang anda untuk memahaminya.

Akhirkata, Rahsia Blogger adalah hasil tulisan daripada pengalaman sebenar penulis ini. Mereka sangat berdedikasi dan komited untuk mempersembahkan kepada anda banyak isi penting tentang makna kewujudan blog dan bagaimana mengambil manfaat daripadanya. Saya nampak keikhlasan di dalam tulisan pada buku ini. Anda wajar merasainya bersama-sama saya.

Wallahu A'lam.



Wednesday, December 12, 2007

Kecik Macam Nyamuk Maaa...

Assalamualaikum.


Minggu lepas seorang wanita berbangsa cina berumur di dalam pertengahan 30-an datang berjumpa saya. Waktu itu jam hampir menunjukkan pukul 2 pagi. Bercakap di dalam bahasa inggeris (broken) yang saya kadangkala tidak beberapa faham, dia memperkenalkan dirinya dan bercerita serba sedikit tentang perniagaannya dan kedai yang baru dibuka beberapa hari yang lepas berhampiran klinik.


Kedai tersebut merupakan pusat kecantikan dan terdapat pelbagai produk kecantikan yang dijual. Suami wanita itu juga berniaga dan saya dapat rasa mereka ini agak kaya berdasarkan cara cakap dan pakaiannya. Tetapi itu bukan niatnya datang untuk berjumpa saya.

Wanita tersebut mula memberitahu masalahnya yang sebenar iaitu beliau sedang mengandung. Berdasarkan kiraan tarikh datang bulan terakhir dan ujian air kencingnya, saya menganggarkan bahawa beliau sedang mengandung 6 minggu.

Saya ucapkan tahniah. Tetapi saya terperasan sesuatu pada wajahnya. Mimik mukanya terpancar rasa risau dan gundah. Saya memulakan pertanyaan demi pertanyaan. Kenapa dan mengapa.


Akhirnya wanita itu memberitahu bahawa beliau tidak mahu kandungan itu. Keadaan beliau yang baru sahaja membuka perniagaan menyulitkan beliau untuk menguruskan semuanya. Lagipun beliau masih belum bersedia secara mental.

Daripada sejarah keluarga, beliau mempunyai seorang anak berusia 13 tahun dan 9 tahun. Ini bermakna kandungan ini mempunyai jarak beza 9 tahun daripada anaknya yang terakhir. Beliau mahu menggugurkan kandungan itu.


Posisi ini pula menjadikan saya jadi serba salah. Prinsip saya sebagai doktor ialah untuk menjaga nyawa seseorang. Wanita itu tidak ada sebab secara perubatan ataupun undang-undang untuk meggugurkan kandungan. Ini menjadikan sebab untuk pengguguran tidak berasas sama sekali. Lebih-lebih lagi beliau berkemampuan dari sudut kewangan dan sebagainya.


Saya menegaskan bahawa saya adalah seorang Doktor Muslim dan saya tak boleh berbuat seperti apa yang dimintanya. Saya cadangkan agar dia berjumpa doktor bukan Islam sekiranya dia ingin meneruskan hajatnya.
Dia memujuk beberapa kali tetapi saya tetap mengatakan bahawa saya adalah Doktor Muslim.
Akhirnya dia mengalah....

Sebelum meninggalkan klinik (telah dialih bahasa) :-

Dia : Doktor, you bagilah saya itu ubat

Saya: Maaflah puan, saya tak boleh buat itu macam

Dia : Alah, ini baru 6 minggu maa..

Saya : Tak boleh lah puan (macam kerang tersengih)

Dia : Itu benda masih kecik macam nyamuk maa....

Saya : ...........?? (tergamam)

Dia pun keluar daripada bilik sambil membebel sorang-sorang kat luar bilik rawatan.

Saya kenal ramai orang yang mengandung tetapi selalu gugur. Ada juga yang selalu berdoa dan mengharap untuk mengandung tetapi tak pernah dapat. Ada yang berpuluh ribu berhabis denganperubatan moden dan tradisional agar dikurniakan anugerah tuhan seperti wanita ini tapi masih tidak berjaya. Ada yang sehingga mengalami kemurungan, ada yang putus asa, ada yang masih terus mencuba...

Ada ke patut nyawa bayi diibarat cam nyamuk... betul lah minah ni.

Saya memandang ke jam... dah pukul 3 pagi... Mata dah hilang mengantuk... Lama betul nak tunggu subuh....

Gelang Untuk Perubatan Haram

Assalamualaikum,

Ada ramai yang bertanya kepada saya tentang gelang magnet untuk merawat penyakit seperti darah tinggi, sakit tulang dan sebagainya. Saya akan menjawab soalan itu pada artikel yang lain.

E-mail tulisan Ustaz Zainuddin Hashim ini diedarkan melalui hidayah.net. Ini merupakan pandangan berbeza daripada golongan yang mahir agama. Terpulang kepada anda untuk bersetuju ataupun tidak.

Apapun, pandangan Ustaz Zainuddin sangat menarik :).

Oleh Ustaz Zainuddin Hashim

Kejahilan dan kedangkalan utk tidak mendalami ilmu agama boleh menyebabkan seseorang itu terikut-ikut dengan tindakan, penerampilan cara hidup orang kafir.

Musuh Islam merancang termasuk dalam bidang perubatan agar orang Islam terjebak untuk menerima cara yang diperkenalkan. Sebagai contoh mereka menciptakan alat bagi mengurangkan tekanan darah dalam bentuk gelang tangan, bagi orang Islam yang tipis imannya akan menerimanya sebagai satu kaedah perubatan terkini.

Hakikatnya banyak cara lain yang boleh di gunakan, tetapi kerana memakai gelang itu adalah dilarang untuk dipakai oleh lelaki Muslim, maka itulah cara terbaik diperkenalkan oleh musuh agar Muslim dilaknat oleh Allah s.w.t., apabila dilaknat mereka tidak akan menjadi umat yang kuat untuk menghadapi kemaraan musuh mereka.

Larangan memakai gelang tangan walaupun untuk tujuan kesihatan, telah ditegaskan oleh Rasullulah s.a.w .: Hadis Imran bin Hussein r.a., bahawasanya Rasullulah s.a.w. telah melihat pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang yang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki berkenaan.

"Apakah bendanya ini"? Lelaki itu berkata, "Ia adalah gelang perubatan". Rasullulalah bersabda,"Sesungguhnya benda itu tidak memberi apa-apa (faedah walaupun utk tujuan perubatan), buangkan benda itu daripada diri anda, jika sekiranya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya (selamat) untuk selama-lamanya. " Hadis Sahih yg ke-19,885 Riwayat Imam Ahmad.

Pemakaian gelang pada hari ini, melibatkan ustaz2, pegawai2 kerajaan, menteri2 bahkan perdana menteri sekali pun...sesungguhnya mereka semua telah tertipu dengan perancangan musuh yang mahu menghancurkan pegangan akidah umat Islam.

Di Malaysia trend ini bermula di mana gelang hitam diberikan sebagai hadiah orang yang baru balik dari Mekah. Sekarang ini dibenarkan oleh Tabung Haji kepada jemaah haji apabila berada di Tanah Suci supaya faktor mudah di kenali atau sebarang kes hilang , kemalangan dsb.

Jenis-jenis gelang yang di haramkan bagi lelaki:-
1) Gelang Kayu koka
2) Gelang Kristal
3) Gelang Tasbih
4) Gelang Getah plastik
5) Gelang Besi magnet
6) Gelang Besi Tabung Haji (apabila berada di Malaysia)

Jenis2 gelang yang diharuskan:-
1) Gelang pesakit semasa berada di hospital (di tanda nama pesakit dan wad)
2) Gelang pesalah/penjenayah (dipakai oleh penjenayah yg telah di tangkap polis)
3) Gelang kaki bagi pesakit gila/jiwa.

Sekiranya ada yang hendak pakai sangat, maka dia hendaklah berusaha menjadi salah satu daripada 3 golongan ini.***

Wallalhua'lam.

Ustaz Zainuddin Hashim

Hadis sahih yang ditulis di atas seolah-olah menunjukkan bahawa gelang perubatan ini telah wujud di zaman Rasulullah SAW. Atau adakah sebenarnya "gelang perubatan" ini sebenarnya bermaksud "tangkal" untuk perubatan??


*** sempat gak Ustaz Zainudin buat lawak.. ***

Monday, December 10, 2007

Negeri Selangor Juara Denggi!

Assalamualaikum Warahmatullah...

Pada 8hb Disember 2007, satu Majlis Pelancaran Kad Denggi Untuk Klinik Swasta Peringkat Negeri Selangor telah diadakan di Auditorium Hospital Serdang yang dirasmikan oleh Y.B Dato' Dr Lim Thuang Seng, Exco Pelancongan, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor.

Saya telah mewakili Dr. Mohd Idzham dari Klinik Idzham untuk menghadiri majlis pelancaran tersebut. Majlis tersebut dianjurkan untuk memberi lebih kefahaman tentang peranan klinik swasta yang merupakan peringkat primer yang dikunjungi pesakit yang menghidapi denggi.



Statistik Terbaru


Negeri Selangor merupakan negeri yang mempunyai kejadian denggi TERTINGGI di Malaysia. Sebanyak 14,814 kes denggi telah dilaporkan pada 1 Januari 2007 sehingga 1 Disember 2007 (48 minggu) berbanding sebanyak 12,284 kes sepanjang tahun 2006 dan 11,965 kes sepanjang tahun 2005. Ini adalah peningkatan 32% daripada tahun 2006.


Mengikut perangkaan statistik selama 10-18 tahun yang lepas, kadar insiden denggi di Negeri Selangor ialah sebanyak 100 kes setiap 100,000 populasi . Selepas tahun 2005 kadar ini telah meningkat kepada 300 kes setiap 100,000 populasi. Ini adalah peningkatan 3 kali ganda! Sebanyak 33 kematian telah dicatatkan pada tahun ini.


Wabak denggi atau "outbreak" di Malaysia (jika saya tidak silap) bermaksud apa sahaja kejadian denggi melebihi daripada ?dua kes dalam selang masa 7 hari. Mengikut statistik, Seksyen u19, Kampung Baru Sungai Buloh (KBSB) di bawah Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA) mencatat 192 kes dan telah diisytiharkan wabak selama 365 hari dalam masa setahun! Bermakna KBSB mengalami wabak sepanjang tahun....

Jika wabak Denggi dijadikan ukuran - MBSA juga patut menerima "Anugerah Penyapu" daripada MB Selangor....


Kenapa Kes Denggi Banyak Di Selangor?

Denggi merupakan penyakit virus bawaan vektor (pembawa) dan dikenali sebagai penyakit urban (bandar). Pembangunan yang pesat menjadikan virus ini susah hendak dikawal kerana di kawasan bangunan tidak siap menjadi tempat utama tempat pembiakan nyamuk. Ini dibuktikan dengan statistik. Melalui bilangan premis tapak binaan yang disiasat di Selangor, 57% didapati positif untuk indeks aedes. Sedangkan kawasan perumahan cuma menyumbang 1.3% kes positif.


Selangor juga mempunyai populasi tertinggi di Malaysia iaitu hampir 5 juta orang. Ini ialah 26% daripada total populasi Malaysia. Jadi tidak hairanlah Selangor mengepalai kes denggi dengan 32.5% daripada keseluruhan kes denggi iaitu 14,814 daripada 45,557 kes.

Pekerja warga asing yang banyak tertumpu di Selangor yang kebanyakannya tiada penempatan yang tetap dan berpindah randah mengikut pembangunan projek juga menyulitkan kawalan denggi secara optimum. Kebanyakan warga asing tinggal di struktur penempatan yang bersepah, tidak bersih dan kurang kemudahan kesihatan juga menyumbang kepada kes peningkatan denggi.


Apa itu Denggi?

Denggi ialah sejenis virus dari jenis Arbovirus di dalam genus Flavivirus. Ia adalah penyakit bawaan nyamuk jenis aedes. 2 jenis aedes yang popular di Malaysia ialah Aedes aegypti dan Aedes albopictus.

Nyamuk aedes boleh dikenali dengan belang-belang hitam putih pada badan dan kaki dan menyerang pada waktu subuh dan lewat petang. Nyamuk betina menghisap darah untuk proses bertelur.



Nyamuk aedes secara sendirinya TIDAK boleh menyebabkan denggi. Denggi tersebar apabila nyamuk aedes menghisap darah pesakit denggi dan mengalihkan virus denggi tersebut kepada mangsa-mangsa yang lain. Pesakit yang digigit nyamuk aedes tersebut pula akan menjadi sakit selepas 7-10 hari. Kemudian proses ini akan tersebar melalui nyamuk aedes kepada pesakit yang lain.




Tanda-tanda dan Diagnosis Penyakit Denggi


Antara tanda-tanda penyakit denggi ialah :-

  • Demam yang tinggi - tidak kurang walaupun memakan paracetamol (panadol) selama 5-7 hari
  • Sakit-sakit badan dan tulang (seperti patah tulang sakitnya)
  • Sakit pada sendi
  • Sakit belakang mata
  • Kepenatan dan lemah badan
  • Hilang selera makan
  • Muka menjadi merah
  • Keluar ruam-ruam merah halus seluruh badan
  • Sakit perut (kerana salur darah perut mengecut)
  • Muntah-muntah
  • Cirit Birit
  • Tangan dan hujung kaki terasa sejuk (tanda salur darah tangan dan kaki mengecut)
  • Lebam secara tiba-tiba atau dengan sedikit hentakan (tanda pendarahan bawah kulit)
  • Gusi berdarah
  • Pendarahan lain
  • Pengsan selepas demam tinggi
  • Sawan selepas demam tinggi
  • Sesak Nafas (tanda air di dalam paru-paru)
  • Kencing berkurang (tanda salur darah di buah pinggang mengecut)

*** Pengecutan salur darah di sekitar badan untuk mengalirkan darah ke tempat penting seperti di otak dan jantung menandakan denggi semakin serius dan mungkin boleh mengalami Dengue Shock Syndrome ***

Pemeriksaan Darah :-

  • Positif untuk Hess Test (50-60%% sensitif)
  • Hematocrit > 40% (pemeriksaan kepekatan darah)
  • Kiraan sel darah (Full Blood Count) - Platelet turun di bawah 100,000
  • Sel darah putih turun di bawah 6,000 (leukopenia)
  • Kiraan darah Neutrofil turun di bawah 4,000.
  • Enzim AST meningkat di dalam hati
  • Ig M meningkat selepas 6-7 hari
  • Viral isolation dan PCR (dapat mengesan sejak awal tapi tidak kos efektif)

Kemasukan ke Hospital

Beberapa tahun yang lalu, kriteria seperti platelet di bawah paras 100,000 (di GHKL) atau 80,000 (di Hospital Selayang) diguna pakai untuk kemasukan ke wad. Namun begitu, ia tidak menjadi satu kriteria lagi sekarang.

Pesakit harus dinilai secara individu mengikut simptom masing-masing. Seseorang yang mempunyai platelet 70,000 adakalanya lebih sihat daripada mereka yang mempunyai platelet 100,000. Penilaian adalah bergantung kepada doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan di Hospital yang merawat.

Saya pernah merujuk satu kes Warga Indonesia ke UMMC yang menghidap demam panas selama 5 hari, lemah badan dan mempunyai ruam. Ujian darah menunjukkan platelet 49,000. Setelah dirujuk ke UMMC, dia disuruh pulang dan datang untuk mengambil darah pada keesokan harinya.

Kes yang akan dimasukkan ke wad hospital kerajaan ialah, tanda-tanda pesakit menghadapi demam denggi berdarah seperti pendarahan, perubahan status mental spt meracau, sesak nafas, sakit perut yang teruk dan tidak boleh minum dan makan kerana muntah berlarutan. (Jangan ingat kalau pesakit meracau - dalam kepala kita - dia disampuk hantu. Pesakit boleh maut tuan-puan!) Ataupun disyaki mengalami Dengue shock Syndrome iaitu hujung tangan dan kaki menjadi sejuk, tekanan darah rendah, kurang kencing dan sakit perut yang teruk.

Kita perlu faham oleh kerana sumber yang terhad di hospital kerajaan, katil yang tidak mencukupi dan pekerja kesihatan yang secara relatifnya kurang, maka kriteria untuk kemasukan ke hospital kerajaan menjadi lebih ketat. Untuk yang berkemampuan, anda boleh memilih untuk memasuki Hospital swasta. Anda akan diwadkan walaupun platelet anda 120,000 dan anda berasa sihat (poket pun kena sihat juga!).


Menyekat Wabak Denggi

Menyekat merebaknya penyakit denggi sedari awal adalah sangat-sangat perlu. Ini adalah kerana sekiranya ada pesakit yang dimasukkan ke dalam hospital kerana denggi, tindakan penguatkuasa untuk melaksanakan "fogging" atau "menyembur asap ubat" ke kawasan yang terlibat hanya akan dilakukan 10 hari daripada tarikh pesakit mula dijangkiti. Ini adalah kerana notifikasi ke pejabat kesihatan hanya dilakukan selepas pesakit di diagnosis di hospital. Adakalanya pesakit lambat ke hospital kerana masalah-masalah domestik menjadikan proses "fogging" lebih lambat.

Peranan klinik swasta untuk menyekat wabak denggi daripada merebak adalah penting kerana merekalah doktor pertama yang merawat. Adalah penting doktor merujuk pesakit ke hospital dengan awal dan menasihatkan pesakit untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

  1. Pesakit dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan darah sekiranya demam makin tinggi dan keadaan semakin teruk. Rujukan awal adalah perlu.
  2. Keluarga pesakit harus memastikan tempat pembiakan nyamuk dibersihkan
  3. Sesiapa yang mengetahui bahawa ada jiran mereka yang menghidap penyakit denggi harus berhati-hati, membersihkan kawasan sekeliling dan tidur menggunakan kelambu
  4. Pesakit denggi tidak boleh keluar waktu lewat pentang dan subuh untuk mengelakkan digigit nyamuk. Jika boleh rehat di rumah sahaja.
  5. Pesakit denggi harus memakai pakaian yang tertutup bagi mengelak gigitan nyamuk. Denggi hanya boleh merebak sekiranya nyamuk menggigit anda. Wabak denggi akan berhenti sekiranya nyamuk tidak dapat menggigit mana-mana mangsa selama 7 hari.
  6. Sekiranya nyamuk masih ada, sementara menunggu fogging, gunakan ubat nyamuk semburan, untuk menyembur seluruh rumah. Gunakan ubat nyamuk di waktu malam.
  7. Sekiranya proses fogging dilakukan, tolonglah.... jangan tutup pintu rumah sebab takut lantai atau dinding berminyak dek ubat tu... ada juga orang berfikiran begini... Nyawa lebih bernilai daripada segala barang berharga di rumah tersebut.
  8. Nasihatkan teman rapat atau jiran untuk melaksanakan perkara-perkara di atas sekiranya terdapat sesiapa yang disyaki menghidap denggi.

Wallahu A'lam.


Sunday, December 9, 2007

Doktor dan Jururawat yang Celupar...

Assalamualaikum,

Saya ambil keratan akhbar ini daripada harian metro semalam. Saya baca sehingga habis artikel berita ini tetapi hati saya masih ragu-ragu... kenapa doktor dan jururawatnya berbuat sebegitu rupa. Cuba baca artikel ini.



KUALA LUMPUR: “Babi! Masuk dalam bilik kalau mahu bincang!” Itu antara maki hamun yang dihamburkan seorang doktor kepada sepasang suami isteri ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Sungai Besi di sini, ketika meminta sijil cuti sakit.
Tambah menyedihkan, mangsa yang demam panas dituduh doktor terbabit sebagai pemabuk kerana keadaan fizikalnya yang lemah. Mangsa yang dikenali sebagai Amin berusia 30-an, berkata dia ke klinik itu bersama isteri dan anaknya kira-kira jam 9.10 malam baru-baru ini kerana demam panas.
Katanya, dia masuk ke bilik rawatan sebelum menerangkan penyakit dihadapi, namun doktor itu secara tiba-tiba mendakwa dia tidak demam, malah menuduhnya sakit kerana mabuk. (Baca sehingga habis)

Mengikut artikel ini, jururawat juga bertindak kurang ajar dan memanggil mereka binatang. Pasangan ini telah membuat laporan di Balai Polis, Salak Selatan (dekat ngan rumah saya).

Sungguh tidak wajar doktor menggunakan perkataan yang sangat kurang sopan kepada pesakit. Begitu juga dengan jururawat. Klinik sepatutnya tempat para pesakit mendapat rawatan secara fizikal dan juga mental. Sekiranya berita ini benar-benar berlaku, Doktor ini akan menghadapi masalah besar dengan Malaysian Medical Council (MMC).

Walaubagaimanapun, sebagai seorang yang waras, tidak ada manusia yang memaki perkataan "BABI" kepada manusia yang lain kecuali sangat-sangat marah sehingga hilang pertimbangan. Saya rasa ada benda yang meragukan tentang laporan ini. Sangat-sangat meragukan....

Pada pendapat berita ini adalah berat sebelah kerana ada sebahagian perkara yang sebenar tidak dilaporkan (sebahagiannya kerana klinik tak nak angkat telefon). Mungkin laporan sebelah pihak lagi akan dikeluarkan tak beberapa lama lagi untuk menjadikan cerita ini lebih eksklusif dan melariskan jualan surat khabar.

Kita tunggu dan Lihat... hmmm...

Friday, December 7, 2007

RECENT COMMENT WIDGET... LEGA!!

Assalamualaikum...

Lega rasanya.. akhirnya saya terjumpa widget Recent Comment (Komen Terkini) untuk www.blogger.com. Puas sebenarnya mencari sana dan sini. Akhirnya jumpa kat Blog Kak Jie - Hidup Biar Sedap - salah seorang favourite blogger saya. Sila lawat blognya yang sentiasa diupdatekan. Ada cerita berguna, ada nasihat dan macam-macam. Actually Blog Kak Jie dah lama dan quite established. Kalau tengok rangking technorati dia - tinggi tuh!

Sebenarnya saya banyak terlepas untuk komen-komen dari pengunjung sebab tak pasti komen mana untuk artikel yang mana. Ada 150 artikel semuanya - Jadi, bila ditulis "terima kasih doc" - pening lah kepala saya... loh kok untuk mana satu artikelnya... nggak pasti. Cari punya cari -kadang2 terjumpa, kadang kadang kelemasan.

Saya cuba untuk menggunakan plug in wordpress untuk dimasukkan ke dalam blog ini, namun biasalah, saya nih tak beberapa mahir sangat. Setakat kenal "mouse" ngan keyboard jer. Orang kata, lepas lah nak tulis blog tuh. Kalau nak buat php cam DikMal tuh, tak lah saya reti.

Harap-harap kepada pengunjung yang saya tidak balas komennya, janganlah berkecil hati kerana bukannya saya sombong, tapi tak kesampaian untuk membalasnya. Lemas mencari komen di dalam artikel sendiri - seolah-olah hanyut di atas daratan. Tak jumpa cari.

Tapi ini tidak bermakna kalau ada recent comment widget ini saya tidak akan terlepas menjawab semua komen anda 100%. Kadangkala terdapat keterbatasan masa. Tetapi InsyaAllah saya akan lebih efisyen bermula hari ini.

Kepada yang saya belum balas komennya. Saya akan usahakan juga membalas komen anda. InsyaAllah.

Bakal Iklan Raya Yasmin Ahmad untuk Petronas Tahun Depan

*** SILA RUJUK SENARAI HARGA HANDPHONE UPDATED 7.12.2007 *****


Assalamualaikum

Saya dapat lawak ini daripada blog Saudara Safuan iaitu "Just For Fun". Blog ini agak baru dan mempunyai beberapa cerita lawak yang menggelikan hati. Sila melawat ke blog ini dan bagi sokongan anda!

Lawak ini memang sesuai dijadikan iklan Petronas untuk tahun depan. Kalau ada sapa2 boleh cadangkan kepada Yasmin Ahmad untuk projek iklan raya dia tahun depan. Yasmin Ahmad kan suka ambik CERITA RAKYAT untuk jadi bahan iklan dia macam iklan Burung Murai dan Iklan Orang Tua Makan Pinggan Plastik tuh. Tapi kena tambah la dengan elemen sedih sikit la last-last tuh.. biasalah Yasmin Ahmad specialty, tambah sket ngan lagu-lagu sedih.. dan mimik muka Pak Ali yang sedang bersedih.. InsyaALlah boleh hit!


Pada satu hari, Pak Ali pergi ke hutan untuk mencari kayu api.

Apabila lalu di sebuah tasik, Pak Ali tergelincir dan kapak buruknye terjatuh ke dalam tasik tu. Maka datanglah Pari Pari Tasik kepada Pak Ali.

Pari Pari: Kenapa dengan kau?

Pak Ali: Kapak aku terjatuh ke dalam tasik.

Pari Pari pun menyelam dan kembali bersama kapak perak.

Pari Pari: Inikah kapak kamu?

Pak Ali: Tidak.

Pari Pari pun menyelam dan kembali bersama kapak emas.

Pari Pari: Inikah kapak kamu?

Pak Ali: Tidak, kapak aku buruk sahaja.

Pari pari pun menyelam dan kembali bersama kapak buruk.

Pari Pari: Inikah kapak kamu?

Pak Ali: Ya, itulah kapak buruk aku.

Pari Pari Tasik suka sikap Pak Ali yang jujur itu lalu memberikan ketiga-tiga kapak itu kepadanya.


Pada hari lain pulak. Pak Ali berjalan di sekitar tasik yang sama bersama isterinya. Kali ni isterinya pula yang terjatuh ke dalam tasik. Pak Ali jadi susah hati. Maka datanglah Pari Pari Tasik kepada Pak Ali..

Pari Pari: Kenapa kau bersedih?

Pak Ali: Isteriku jatuh ke dalam tasik.

Pari Pari pun menyelam dan kembali bersama Christina Aguilera.

Pari Pari: Inikah isteri kau?

Sambil menangis Pak Ali menjawab... "ya, itulah isteriku..."

Pari Pari pun marah, "Sungguh ku tak sangka, kau yang jujur satu masa dulu telah menjadi tamak".

Sambil menahan pilu Pak Ali menjawab,"Aku bukan tamak.

Kalau aku kata 'tidak' pada Christina Aguilera... kau akan bawakan pula Britney Spears... Kalau aku katakan 'tidak' juga, barulah kau bawakan isteriku...

Bila aku kata 'ya', kau akan berikan mereka bertiga padaku... ". Aku yang miskin ni tak mampu tanggung mereka semua"....


Kah kah kah kah!!....

Wednesday, December 5, 2007

Kok... Kita Kan Serumpun Pak!

Assalamualaikum Warahmatullah...

Segelintir pemimpin negara Indonesia kadangkala suka menunjukkan ciri-ciri kurang rasional mereka apabila mempertikaikan sesuatu isu. Perbalahan kadangkala bertitik punca dari perkara remeh yang dicanang seolah-olah ia sesuatu yang sangat besar.

Sekiranya timbul sesuatu isu besar untuk dibincangkan, pemimpin mereka akan cepat melenting. Beberapa tahun 2005, Indonesia telah menghantar kapal perang dan kapal selam mereka ke perairan Malaysia. Bukan perkara kecil tuan dan puan, siap hantar pasukan tentera dan kapal perang. Apa yang mereka cuba sampaikan dengan menghantar kapal perang? Jangan main-main dengan kami? Kalaul kami bosan dengan kamu, kami akan serang?

Isunya boleh diselesaikan di meja rundingan. Petronas memberikan konsesi minyak kepada Shell bagi kawasan yang dipertikaikan pemiliknya iaitu Pulau Ambalat. Bukan itu sahaja, sudah banyak kali bendera Malaysia dibakar dengan teriakan "Ganyang Malaysia". Malahan ada yang sudah mengisytiharkan perang kepada Malaysia. Ini tindakan yang terdesak.

Isu berkenaan budaya pula ialah nyanyian Rasa Sayang yang dipertikaikan kerana digunakan Malaysia sebagai lagu promosi Malaysia Truly Asia. Menurut salah seorang pemimpin di sana, lagu Rasa Sayang berasal dari Maluku Indonesia. Ada yang mahu pampasan diberikan dan ada yang mahu izin kerajaan di Indonesia untuk menggunakan lagu tersebut.

Masalahnya sekarang negara Indonesia sendiri tidak dapat menunjukkan bukti hakcipta lagu tersebut kerana ia adalah lagu rakyat yang digunakan oleh kedua-dua buah negara sejak turun temurun. Ada ketika apabila orang Filipina juga pernah menyanyikan lagu tersebut di majlis kebudayaan di luar negara!

Yang terbaru ialah berkenaan dengan tarian Endang dan Barongan yang menjadi pertikaian kedua-dua negara setelah dipersembahkan di sebuah persembahan kebudayaan di Osaka Jepun. Buat masa ini, tarian tersebut telah dihentikan untuk memberi laluan kepada perbincangan dua hala Malaysia Indonesia berkenaan isu ini.

Kita mungkin faham sekiranya terdapat rasa tak puas hati Indonesia tentang beberapa isu kebelakangan ini melibatkan warganegara mereka yang behijrah di Malaysia (kes juri karate dipukul). Juga mungkin tentang persepsi mereka tentang layanan buruk sesetengah majikan di Malaysia. Itu hanya kes-kes yang terpencil di bandingkan dengan kebanjiran warga Indonesia yang bekerja di Malaysia, sehingga kini bilangan mereka melebihi seluruh warga negeri Perlis!

Jikalau mereka sibuk mempertikai sumbangan warga kerja Indonesia kepada pembangunan ekonomi Malaysia, adakah mereka hendak menafikan sumbangan Malaysia juga terhadap ekonomi Indonesia? Berjuta-juta wang Malaysia di bawa keluar ke Indonesia setiap hari! Apa yang mereka ingin nafikan?

Cuba lihat kumpulan penyanyi dari Indonesia, sebut sahaja kumpulan yang mana pasti ada lagunya berkumandang di radio di Malaysia. Malahan yang tidak popular di negara sendiri datang ke sini untuk menjadi popular. Beberapa minggu lagi, Konsert Kumpulan Dewa di bandar-bandar utama di Malaysia akan berlangsung. Tiket-tiket percuma sedang diedarkan di Radio ERA.

Tuan- puan, Indonesia sedang meng"ganyang" kita di sana. Kita pula sedang menyusukan kera di hutan, sedangkan anak kita kelaparan! (Saya pernah terbaca tulisan seorang penulis blog di Indonesia - tulisannya 10x lebih celupar daripada tulisan saya).

Berbalik dengan perbezaaan pendapat, saya pernah berada di Indonesia dan melihat cara mereka memilih pengerusi untuk MPR (Majlis Perwakilan Rakyat) yang disiarkan secara langsung waktu itu. Pemilihan itu sahaja berlangsung begitu lama, dengan perdebatan demi perdebatan demi perdebatan. Begitu agrresif. Untuk memilih seorang yang duduk di kerusi itu sahaja, dah cukup letih kita melihatnya. Mereka memang mempunyai begitu banyak masa untuk tujuan itu.

Walaupun begitu, hakikat kelahiran negara Indonesia patut kita fahami. Negara Indonesia lahir daripada pelbagai perjuangan menentang imperialis Belanda secara peperangan. Sebelum itu mereka telah dijajah oleh Inggeris dan Portugis. Kemudian menentang tentera Jepun secara peperangan juga. Telah ramai terkorban, darah banyak tumpah.
Tidak seperti Malaysia yang lebih bersikap demokrasi (dengan pilihanraya-nya), toleransi dan bertukar-tukar perjanjian dengan penjajah. Kita banyak menggunakan akal dan budi bicara sehingga termeterai kemerdekaan dengan pihak Inggeris. Tidak hairan, rakyat Malaysia kaya dengan tolak ansur. (Ramai di Indonesia anggap Malaysia mengkhianati Indonesia termasuk Bung Karno kerana bersekongkol dengan British)

Tata budaya kita walaupun kelihatan sama dengan negara seberang tetapi sebenarnya mempunyai watak yang banyak bezanya. Walaupun kita dikatakan serumpun oleh kerana asal nenek moyang yang sama, tetapi sikap kita yang suka bertolak ansur, lemah lembut dan bersopan menjadi jatidiri kita amat berbeza. Ini yang menjadikan orang melayu Malaysia lebih disukai di negara Arab berbanding melayu Indonesia. Tak percaya? Tanya mana-mana warga Arab di Al-Azhar Mesir.

Apabila, melihat semula semua ini, saya terfikir, konotasi "kita serumpun" sudah tidak lagi sesuai untuk memanifestasikan budaya kita yang pada asalnya sama. Ini adalah kerana sekiranya Indonesia mula mempertikai dan menghalang lagu "Rasa Sayang" dan beberapa tarian lagi dipersembahkan untuk memperkenalkan Malaysia yang "kononnya" serumpun dengan Indonesia dengan alasan yang remeh -temeh, menunjukkan kita bukan lagi serumpun. Ya, mungkin kita "sebaja" tapi bukan "serumpun".


Wallahu A'lam.

THE HALAL PORK - PART 2

Assalamualaikum...

Sebelum ini saya ada menulis satu artikel tentang halal pork dengan logo halal dijual di Singapura. Di dalam website Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sekali lagi isu logo halal ini dipertikaikan.

Untuk anda yang masih belum melihat halal pork ini , begini rupanya :-



Gambar yang sebelah kiri ialah daging babi yang dijual di salah sebuah pasaraya di Singapura dengan logo Halal dari Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Yang Di sebelah kanan pula ialah gambar PORKLOIN RIB (daging dari tulang rusuk babi) juga dengan logo dari MUIS tetapi bentuk logonya agak sedikit berbeza.

Untuk pengetahuan anda, JAKIM meletakkan MUIS sebagai badan halal yang diiktiraf dari negara luar termasuk badan-badan halal yang lain dari Thailand, Brunei dan sebagainya.

Sekiranya anda lihat logo di bawah :-


Logo atas sebelah kiri adalah logo MUIS yang diiktiraf oleh JAKIM. Terdapat warna-warni pada badan logo dan bukan sekata. Cuba bandingkan dengan logo di atas.
Persoalannya:-
1. Mengapa tiada kenyataan rasmi daripada dua-dua pihak tentang masalah Halal Pork ini? Adakah perkara ini tidak sensitif?
2. Tiadakah kajian yang dibuat berdasarkan DNA tentang masalah ini?
3. Terdapat 3 logo MUIS, ketiga-tiganya berupa bentuk yang berlainan. Mana satu yang betul? Kenapa tiada tahap piawai logo yang sepatutnya lebih ketat dikenakan.
4. Isu ini patut mendapat perhatian media massa kerana ia melibatkan orang Islam dan perkara sensitif iaitu halal dan haram. Jika ia haram, reputasi JAKIM sebagai pengiktiraf juga akan terjejas.
Wallahu Alam.

Tuesday, December 4, 2007

Kematian Selepas Kelahiran

Assalamualaikum Warahmatullah..

Saya terbaca satu berita di dalam Yahoo! tentang kematian ibu yang melahirkan anak (maternal death) di India. Angka kematian yang sangat mengejutkan. Cuba baca artikel ini:-

NEW DELHI (AFP) - - India will not meet a key United Nations development goal to cut its "shocking" maternal death rate 75 percent by 2015 at its current pace, a UN health advisor said Monday.

About 100,000 women die in childbirth in India each year, or one every five minutes.

"In India, more than 300 maternal deaths occur for every 100,000 live births," Paul Hunt, UN special rapporteur on health rights, told reporters Monday after visiting two of India's worst states for maternal deaths."

"For a middle-income country of its status and stature, the rate of maternal deaths in India is shocking." Baca artikel hingga akhir

Kematian 300 orang ibu yang melahirkan anak daripada 100,000 kelahiran hidup di India sangat mengejutkan kerana ia terlalu tinggi. Antara penyebabnya ialah kekurangan pekerja di dalam bidang kesihatan dan kurangnya pemeriksaan sebelum mengandung.

Definisi kematian ibu mengandung (maternal death) oleh WHO ialah kematian berlaku ketika melahirkan sehingga 42 hari selepas melahirkan. Kematian tersebut perlu berkaitan secara langsung atau tidak langsung dengan kelahiran tersebut.

Sekiranya ibu meninggal disebabkan oleh pendarahan yang teruk ketika melahirkan anak, ia dikira sebagai "maternal death" secara langsung. Sekiranya ibu tersebut meninggal kerana penyakit malaria yang menyebabkan kekurangan darah merah dan menyebabkan ibu tidak dapat diselamatkan selepas mengandung, ia dikira "maternal death" secara tidak langsung.
Contoh lain kematian secara tidak langsung ialah, kematian ibu selepas mengandung disebabkan sakit jantung di mana kesan kelahiran diketahui boleh menyebabkan penyakit jantung tersebut menjadi serius.

Sekiranya ibu tersebut dilanggar kereta dan meninggal dunia di dalam masa 42 hari kelahiran, ia tidak dikira sebagai "maternal death".

Contoh lain yang merupakan penyebab secara langsung kematian selepas kelahiran ialah :-
  • Pendarahan
  • Thromboembolism (saluran darah di paru-paru atau otak tersumbat disebabkan oleh darah beku daripada tempat lain terlepas ke kawasan itu)
  • Jangkitan kuman
  • Mengandung luar rahim
  • Darah tinggi disebabkan mengandung
  • Prosedur Bius Umum (bius tidur)

Contoh penyebab secara tidak langsung kematian selepas kelahiran ialah :-

  • Sakit Jantung
  • Bunuh diri
  • Pendarahan otak
  • Masalah paru-paru
  • Malaria
  • Anaemia

Kadar "maternal mortality" adalah mencerminkan kehebatan perkhidmatan kesihatan di sesebuah negara. Dengan perkhidmatan yang mencapai piawai yang tinggi, ubat-ubatan yang mencukupi dan tenaga kerja yang baik maka kadar kematian akan menjadi rendah.

Di United Kingdom, kadar kematian ibu mengandung mencecah 8 orang setiap 100,000 kelahiran hidup. USA mencatat kadar kematian 11 setiap 100,000 kelahiran.

Di Malaysia, pada tahun 2005, kadar kematian ibu selepas melahirkan anak ialah 62 orang setiap 100,000 kelahiran hidup. Di Thailand pula ia berkadar 110 orang setiap 100,000 dan di Singapura sangat rendah iaitu 14 setiap 100,00 kelahiran.

Sumber statistik

Daripada angka di atas, Malaysia mungkin berada di dalam tangga 50 terbaik dunia. Mungkin kurang memuaskan hati??

Saya masih ingat sewaktu di HKL, sekiranya ada seorang ibu yang meninggal dunia selepas melahirkan, ia akan menjadi cerita hangat di wad bersalin. Ia tersebar seperti api yang marak di hutan California. Pakar dan pegawai perubatan akan berpeluh-peluh kerana terpaksa menyiapkan laporan dan di "scrutinize" oleh orang-orang atasan. Ada sekali terdapat 2 ibu yang meninggal dunia di dalam seminggu. Semua orang seperti histeria!

Kerana apa? kerana "Maternal Mortality" adalah menjadi urusan negara. Pakar akan menjawab kepada Pengarah Hospital. Pengarah Hospital pula akan menjawab kepada Menteri Kesihatan. Menteri Kesihatan pula akan menjawab kepada PM Malaysia. Seperti yang saya tulis tadi, ia mencerminkan tahap kesihatan negara Malaysia di mata dunia.

Kepada rakyat Malaysia (atau pemimpin) yang sangat taksub untuk memecahkan rekod Guinness di dalam apa apa acara pun contohnya menyusun lemang terpanjang di dunia atau paling ramai bershampu rambut serentak di dunia, adalah lebih baik untuk kita sama-sama membawa perubahan untuk negara kita kepada negara yang paling kurang meninggal dunia selepas kelahiran.

Wallahu A'lam

Saya Sakit Kepala

Assalamualaikum...

Hari ni 3 Disember 2007, saya sakit kepala. Tak boleh nak tulis blog. Maaf lah bebanyak. Esok sambung balik. Kerja kena kerja jugak. Tak boleh MC. Takder sapa nak ganti...

Terima kasih di atas sokongan anda! Blog ini mencapai rekod 450 pelawat hari ini!

Wassalam.

Friday, November 30, 2007

Harga Tepung Roti Naik Melambung!

Assalamualaikum Warahmatullah...

Alhamdulillah, permintaan roti untuk Ummusofeya kembali baik. Ini berikutan terdapat orang tengah yang datang untuk mengambil roti dari rumah dan diedarkan ke tempat-tempat jualan. Kebelakangan ini bisnes UmmuSofeya agak suram disebabkan oleh raya dan cuti sekolah.
Untuk pengetahuan anda kami mengedar roti ke kantin-kantin sekolah dan bilik guru. Semasa bulan puasa kami aktif menjual kuih raya. Kami telah kembali meningkatkan pengeluaran kepada 7kg - 8 kg setiap hari atau selang sehari bermula 2 minggu lepas.

Di sebalik cerita gembira, ada juga berita sedihnya. Ini adalah berikutan harga tepung roti yang naik secara mendadak. Terasa kenaikan tepung roti yang melambung ini begitu membebankan sehinggakan saya terpaksa menaikkan harga roti saya sebanyak RM 0.10 untuk menyerap kenaikan kos.

Beberapa bulan yang lepas, harga tepung "Gunung Mas" yang dijual di Bake with Yen ialah RM 56.00 setiap 25 kg. Manakala harga tepung "Diamond" di TESCO dan TESCO Extra ialah RM 49.00 setiap 25 kg.

2 minggu lepas, harga tepung "gunung mas" telah naik kepada RM 66.00 setiap 25 kg (RM 56 harga lama) - naik RM 10! Manakala harga tepung "Diamond" naik kepada RM 60.00 setiap 25 kg (RM 49 harga lama)- Naik RM 11.00.

Mengikut beberapa peniaga bakeri bumiputera, kenaikan ketara ini adalah kerana kenaikan harga pengilang yang semuanya bukan bumiputera. Kenaikan ini hampir 0.40 sen sekilogram dan betul-betul menyusahkan peniaga. Dikatakan sebelum Disember 2006 - harga tepung roti cuma RM 35.00 setiap 25 kg sahaja.

Walaupun kerajaan telah menyatakan bahawa harga tepung tidak naik, saya berpendapat itu mungkin tepung gandum untuk membuat roti canai. Walaupun begitu dah ada kedai mamak dah naikkan harga roti canai dari RM 0.70 sekeping ke RM 0.90 sekeping.

Harga tepung roti pula dijangka akan naik lagi. Sekiranya terus naik, bukan usahawan bakeri sahaja akan terjejas, malah harga roti sandwich di dalam pasaran yang dikeluarkan oleh kilang-kilang roti gergasi juga akan meningkat.

Cadangan untuk meletakkan harga tepung roti sebagai barang kawalan patut dilaksanakan kerana ia juga melibatkan pengguna seperti kita. Sekiranya harga minyak naik, tidak tahulah apa yang akan berlaku kepada harga tepung roti... yang pastinya ia tak akan menurun.

Wallahu A'lam.

Thursday, November 29, 2007

Ke Arah Melahirkan Wakil Rakyat Malaysia yang "Witty"

Assalamualaikum Warahmatullah...

Terima kasih di atas sokongan dan kehadiran anda ke dalam blog saya yang tak seberapa ini. Alhamdulilllah, di dalam minggu ini kehadiran pembaca telah mencapai ke angka 420 orang. Paling tinggi di dalam sejarah semenjak blog ini ditulis. Mungkin ada beberapa artikel yang menarik minat anda.

Saya mendapat sedikit inspirasi untuk meletakkan video klip ini dari blog Sdr. blalang iaitu http://www.isuhangat.blogspot.com/. Blog isuhangat ini juga sangat menarik dan penuh dengan informasi, silalah jemput ke sana. Setelah mencari-cari video klip yang panas ini di dalam youtube maka akhirnya terjumpa lah juga saya.

Video klip ini adalah tentang rakaman salah seorang DUN Kelantan yang hilang sabar setelah diprovokasi dan menendang seorang DUN Kelantan yang lain. Dengar ceritanya, beliau telah pun di rehatkan selama 6 bulan. Mungkin para pembaca tidak beberapa mendengar kisah ini daripada arus perdana kerana DUN tersebut merupakan ahli pembangkang di Kelantan. Mujur juga ada youtube...



Pertama-tama sekali apabila kita melihat perwatakan ahli politik DUN Kelantan ni rasa berdebar-debar juga. Maklumlah, bukan sahaja serangan mulut dilancarkan tetapi siap ada serangan fizikal lagi. Tapi bila dah banyak kali tengok, jadi tersengih pulak. Segan pun ada... Apa tak disegankan, inilah level politik kita sebenarnya.

Tapi biasalah dalam politik... Sedangkan Perhimpunan Agung MIC pun ada yang berdarah-darah kepala kan. Samseng politik nih mana-mana kumpulan ada. Itulah politik namanya.

Walaupun begitu, pada pendapat saya, di dalam bidang politik, ia tidak lari dengan provokasi terutama ketika berbahas di Dewan Rakyat kan. Bergantung dengan kemahiran seseorang wakil rakyat untuk mengembalikan "paku buah keras" dengan sebuah lagi "paku buah keras". Jikalau ditengok Dato' Samy Vellu menjawab soalan Lim Kit Siang.. selama dekk dia jer. Tak simpan dalam hati pun.. lepas keluar dewan sama sama minum kopi, hisap curut macam tak de apa-apa je sebelum tu..

Mungkin sebab lain-lain bangsa agaknya. Mungkin jika sama-sama melayu atau sama-sama India, sensitiviti dia mungkin lebih daripada biasa. Mungkin kemarahan yang lebih membara bila diorang ingat melayu ni nak tikam melayu atau india pulak tikam india apabila berbahas. Ada pulak saya dengar orang kata tentang kes kandang babi kat Melaka, DAP ngan MCA senyum-senyum je depan suratkhabar. Tak gaduh pun. Haa.. cina ngan cina mungkin tak macam bangsa kita. Watawa Sau bil Haqq!

Kalau rasa-rasa nak serang DUN lain dengan "tendangan padu maut" sebab diprovokasi, melenting tak tentu pasal dan bermasalah untuk mengawal marah susah juga. Sebab politik memang penuh warna-warni. Kalau semua orang kena provoke jadi macam DUN kita sorang ni tiba-tiba kena sawan saja, tak jadi cerita lah politik Malaysia. Macam parlimen Taiwan la.. baling-balik kerusi - campak-campak meja. Akhirnya jadi bahan cerita di dalam "Ripley's Believe it Or Not!"

Apapun, kalau dilihat parlimen Britain, ahli parlimennya mempunyai kelas yang tersendiri. Intelektual dan "witty"... Apa yer "witty" nih.. nak kata bijak menjawab cam Dato' Samy Vellu melebih-lebih pulak kan. Ramai pulak yang tak setuju kang, terutama Mr Nallakarupan. Semasa Tony Blair memerintah di Parlimen Britain, anda patut lihat bagaimana cara dia menjawab apabila di soal.. Biarpun dihentam teruk dengan isu "berkhalwat" dengan Presiden Bush... perghh... tepat, cantik dan "full of wit".

Bilakah kita akan kita mampu melahirkan golongan ahli parlimen yang lebih bersopan, bijak, "witty" dan beretika ketika membahas di Dewan Parlimen atau Dewan Rakyat. Mungkin 20 tahun lagi? Marilah kita sama-sama berdoa.. Insya Allah.

MEMILIKI MAHLIGAI PERTAMA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Membeli sebuah rumah untuk tinggal di dalamnya bersama ahli keluarga adalah suatu yang menjadi impian semua orang. Rumah tersebut tidak perlu terlalu besar. Sekadar sesuai untuk semua ahli duduk bersama-sama untuk bercerita tentang hal harian masing-masing, tempat makan untuk makan bersama dan cukup bilik untuk setiap orang tidur dengan nyenyak samada berkongsi katil ataupun tidak. Ada yang memilih rumah yang mempunyai tanah, ada yang tidak. Satu kajian menunjukkan bahawa orang Asia mempunyai kesukaan untuk membeli rumah yang bertanah sekiranya mempunyai kewangan yang baik, manakala Mat Salleh pula tidak beberapa kisah. Walaupun begitu, membeli rumah untuk tinggal sendiri perlu mengikut kemampuan kewangan pasangan yang membeli.

Membeli rumah adalah satu pelaburan yang sangat besar. Ia dikatakan satu-satunya pelaburan yang melibatkan wang beratus ribu ringgit sepanjang hidup kita. Ada yang mengeluarkan wang sehingga berjuta-juta untuk membeli sebuah rumah. Pendekata, ada di antara kita yang dengan bebanan kewangan yang ada akan hanya mampu memiliki SATU buah rumah sahaja seumur hidup. Wajarkah dengan menghabiskan wang yang begitu banyak kita hanya memandang mudah sahaja kriteria untuk membeli sebuah rumah?


Membeli rumah menelan belanja yang sangat besar bergantung kepada harga rumah. Ini adalah kerana membeli sebuah rumah yang berharga RM 200,000, menurut kiraan bank semasa, kita dikehendaki mengeluarkan wang sebanyak RM 20,000 sekurang-kurangnya untuk membayar deposit 10% dan baki RM 180,000 akan diselesaikan melalui pinjaman bank.

Sekiranya pinjaman bank mempunyai interest sebanyak 6% setahun selama 30 tahun maka keseluruhan interest adalah sebanyak 180% untuk 30 tahun. Maknanya secara ringkas jumlah interest dan pinjaman pokok yang perlu dibayar ke bank selama 30 tahun ialah RM 388,000 (dikira mengikut kalkulator bank). Ia adalah RM 188,000 lebih daripada harga rumah yang dibeli.

Untuk membeli sebuah rumah yang bernilai RM 200,000, terdapat pelbagai lagi bayaran yang harus disediakan selain daripada RM 20,000 @ deposit 10% tadi. Bayaran-bayaran lain adalah bayaran guaman dan duti setem yang dikenakan untuk menguruskan perjanjian jual beli. Setelah perjanjian jual beli dimeterai, yuran guaman termasuk urusan fotostat, pengangkutan, telefon dan stamping jual beli perlu dibayar dahulu. Jumlah yuran guaman juga boleh mencecah sehingga RM 3000.00.

Setem duti dikira sebanyak 1% daripada RM 100,000 yang pertama dan 2% untuk RM 100,000 berikutnya sehingga ke harga setengah juta. Setem duti adalah pembayaran ke pejabat tanah dan tidak ada kena mengena dengan bayaran kepada peguam. Untuk rumah yang biasa-biasa sahaja, setem duti boleh mencecah sehingga RM 3000. Jadi, jumlah bayaran kepada pihak peguam untuk menyelesaikan urusan pembelian rumah boleh mencecah sehingga RM 6000 untuk kedua-dua bayaran yuran guaman dan setem duti.


Ia tidak berhenti di situ. Untuk pinjaman melalui bank, bayaran guaman kepada peguam bank juga akan dikenakan sebagai yuran menyediakan deed of assigment. (Kita berurusan dengan 2 peguam - peguam untuk beli rumah dan peguam bank). Untuk urusan lebih mudah, ramai orang menggunakan peguam yang sama untuk urusan pembelian rumah dan urusan pinjaman bank. Tetapi ini juga tertakluk kepada panel bank yang diwakili peguam itu.

Oleh itu sekiranya dicampurkan segala ongkosnya, duit yang perlu disediakan untuk membeli rumah yang berharga RM 200,000 boleh mencecah sehingga RM 30,000.


Adakah simpanan akaun 2 anda di KWSP mencukupi untuk membayar 10% duit pendahuluan untuk membeli rumah?. Biar kita kira sama-sama kira. Sekiranya gaji anda RM 3000 ke atas, simpanan bulanan KWSP untuk akaun 2 adalah lebih kurang RM 300 sebulan (30% daripada jumlah potongan KWSP termasuk caruman majikan). Untuk mencapai ke angka RM 30,000, anda harus menyimpan selama 100 bulan atau lebih daripada 8 TAHUN!. Ini bermakna sekiranya anda hanya mengharapkan wang dari KWSP, anda hanya boleh membeli rumah sendiri pada umur 30 tahun sekiranya gaji anda RM 3000 ke atas dan mula bekerja pada umur 22 tahun. Tetapi jikalau isteri juga mencarum di KWSP mungkin proses ini lebih pantas.

Memandangkan kesukaran yang dihadapi untuk membeli sebuah rumah, anda sepatutnya lebih BERHATI-HATI memilih rumah pertama yang anda ingin beli kerana ia mungkin akan menjadi rumah terakhir anda.
Wallahu A'lam..
Related Posts with Thumbnails