Assalamualaikum..
Bahang pilihanraya umum 2008 kini semakin rancak dan panas. Lihat saja di kotak TV sekarang ini. Macam-macam ada....
Saya ada juga berborak-borak dengan pemerhati politik di Malaysia ini yang pakar dan juga bukan pakar. Apa pun saya ada pendapat saya yang tersendiri.
Anda tidak perlu bersetuju dengan pendapat saya kerana ini adalah pendapat saya sahaja. Sekiranya anda adalah penyokong BN atau Pembangkang yang tidak bersetuju, awal-awal lagi saya minta ampun dan maaf. Dan sekiranya anda bersetuju dengan pendapat saya, maka boleh beri sokongan anda di ruangan komen.
Pada pemerhatian saya, nampak lebih ramai kaum India tahun ini kelihatan "incline" kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbanding tahun-tahun terdahulu. Ini juga dipersetujui oleh kawan-kawan saya yang pergi ke ceramah PKR. Lebih ramai warga keturunan India hadir ke ceramah pembangkang. Lori-lori dan van yang membawa bendera PKR saya dapati pemandunya adalah golongan India. Saya juga pernah ke Rawang untuk satu urusan, tiba-tiba satu kumpulan bermotor yang terdiri daripada kaum India membawa bendera pembangkang dan menekan hon. Ini merupakan satu senario yang menarik. Mungkin ada "swing" daripada undi kaum India tahun ini sorotan tidak kepuasan hati mereka tentang beberapa isu.
Pihak PAS sebagai pembangkang nampak lebih rasional dan professional tahun ini. Muka-muka baru yang fresh dan professional menaikkan parti itu sebagai satu alternatif. Ada pendapat yang mengatakan, kehadiran lebih ramai professional dan anak-anak muda di dalam PAS meneutralkan banyak perkara di dalam parti itu yang dahulu pernah dilabel oleh BN sebagai parti kafir-mengkafir. Malah calon India wanita di Johor juga mengejutkan banyak pihak. Kenyataan akhbar daripada pemimpin mereka juga nampak lebih lembut dan bijak.
Saya pernah menjadi sukarelawan pemerhati untuk mengira undi suatu waktu dahulu. Saya bersama-sama kawan2 buat untuk seronok2 sahaja. Jikalau dilihat parlimen Kuantan dan Parlimen Pekan di Pahang, bagi saya itu sudah menjadi kubu kukuh Barisan Nasional. Bukan sebab apa. Pada ketika pembangkang hampir menyaingi undi BN, tiba-tiba datang berkotak-kotak undi pos yang dikatakan daripada tentera. Beribu-ribu undi pos itu HANYA mempunyai undi BN sahaja. Ulang suara - HANYA mempunyai undi BN sahaja. Saya tahu kerana, saya berada di situ sebagai pemerhati.
Pada pendapat saya, selagi undi pos diteruskan seperti sekarang, ketelusan itu nampaknya boleh dipertikai. Kalau satu mekanisme boleh dilaksanakan oleh SPR untuk meminda sistem undi pos kepada satu sistem yang lebih telus, maka ia adalah amat dialu-alukan.
Secara keseluruhannya, Barisan Nasional akan menang pada pilihanraya ini. Itu sesuatu pandangan yang realistik. Malah mereka wajar menang untuk meneruskan beberapa agenda Islam dan melayu. Cuma, saya merasakan bahawa adalah lebih baik Barisan Nasional tidak mendapat undi 2/3 majoriti di dalam pilihanraya ini.
Walaupun nampak menyusahkan kerajaan, tapi bagi rakyat, keputusan kerajaan yang adakalanya sewenang-wenangnya memutuskan sesuatu yang boleh menyusahkan rakyat dapat di timbang tara oleh suara pembangkang. Contohnya, sekurang-kurangnya, keputusan kerajaan untuk menaikkan harga minyak selepas pilihanraya akan mendapat tentangan daripada pembangkang. Oleh itu, saya amat berharap pihak pembangkang dapat menafikan undi 2/3 majoriti. Namun, secara realistiknya tampuk kekuasaan masih kepada Barisan Nasional.
Kepada pihak pembangkang, menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional adalah satu kemenangan sebenarnya. Ramai yang mahu melihat ini termasuk saya sendiri. Kelantan mungkin masih dipegang oleh PAS walaupun ramai saya dengar anak-anak muda di KL yang ingin melakukan perubahan demi janji-janji pembangkang (BN). PKR juga mungkin boleh memenangi lebih banyak kerusi tahun ini.
Tetapi secara personal, saya sangat-sangat mahu melihat jawatan Ketua Pembangkang di serahkan oleh Lim Kit Siang DAP kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim. Pada pendapat saya, jika DSAI menjadi ketua pembangkang, suara pembangkang akan menjadi sangat kuat. Pasti sesuatu yang menarik sekiranya Pak Menteri BN terpaksa mempertahankan sesuatu usul yang dibentangkan kepada Ex Boss mereka sendiri yang pernah memegang jawatan kedua tertinggi di BN dan Kerajaan.
Apa sahaja hujah yang tak konkrit, mengarut dan merugikan rakyat dapat dicerna dan dihadam oleh kedua-dua pihak dengan sama adil dan sama kuat. Jawapan tak beberapa bijak Sami Vellu seperti "kalau tak mau bayar tol, baik naik kereta lembu lah" mungkin akan kurang kedengaran. Dan ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada rakyat.
(Macamana DSAI nak masuk parlimen tuh, satu misteri yang belum terungkap dan mungkin juga tak akan berlaku).
Perang saraf sekarang semakin menjadi-jadi. Tinggal lagi 3 hari, media memainkan peranan yang sangat besar untuk menaikkan mood pengundi silent majority. BN mahukan pengundi senyap ini ke kotak undi kerana mereka ini biasanya memberi undi yang memihak kepada BN. Mereka ini mungkin ibu atau suri rumah atau mereka yang hanya mendapat berita daripada arus perdana seperti TV, radio dan surat khabar. Kepada mereka yang berlebih-lebih letak iklan pilihanraya kat TV dan radio, saya ibaratkan macam pakai make-up lah - kalau pakai secara sederhana memang cantik... tapi kalau sapu bedak sampai seinci dan eye shadow berlebih-lebih sangat, orang jadi menyampah pula.
Apa pun selamat mengundi semua rakyat Malaysia 2008.
Wallahu A'lam.