Friday, July 18, 2008

Program Kesihatan Bersama Golongan Asnaf di Bangi





Assalamualaikum,

Pada 12 hb Julai yang lepas, satu program pemeriksaan kesihatan untuk golongan Asnaf telah dijalankan oleh Biro Kesihatan ABIM dengan kerjasama Islamic Outreach ABIM (IOA). Progran pemeriksaan kesihatan ini diadakan di rumah anak-anak yatim ar-Rukaiah yang terletak di depan Institut Perguruan Islam (nama lama MPI), Bangi.

Rumah anak yatim ini adalah hasil usaha Islamic Outreach ABIM yang ditubuhkan pada tahun 2006 untuk membantu golongan anak-anak yatim yang kurang berkemampuan. Terdapat 30 orang anak-anak yatim yang tinggal di sini. Kebanyakannya adalah adik beradik.

Program Pemeriksaan Kesihatan ini bertujuan untuk memberi kesedaran tentang peri pentingnya menjaga kesihatan kepada golongan anak-anak di dalam umur 8 tahun sehingga 14 tahun ini.

Program dimulakan dengan ceramah kesihatan oleh Dr Maryati dengan tajuknya "Membasuh Tangan". Dr Maryati adalah seorang pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Ampang dan mempunyai banyak pengalaman sebagai doktor di Jabatan Peadiatrik. Beliau menjadi aktivis Biro Kesihatan ABIM sejak tahun 2006. Ternyata, ceramah tersebut mendapat perhatian yang sepenuhnya daripada para pendengar "kecil" ditambah pula dengan praktikal membasuh tangan secara betul.

Setelah itu, program diteruskan dengan pemeriksaan kesihatan kepada semua anak-anak oleh tiga orang doktor iaitu Dr Maryati, Dr Azlina dan saya. Dr Azlina adalah Pegawai Perubatan yang merupakan Sarjana tahun akhir (Master) di dalam bidang Anaesthesia, HUKM. Pemerhatian ditumpukan kepada jangkitan kutu kepala, penyakit kudis buta, penyakit-penyakit kulit yang lain dan kecacingan. Ubat diberi kepada mereka yang terjangkit.

Penyakit kutu kepala atau pediculous capitis tidak boleh dielakkan sekiranya mereka tinggal beramai-ramai di kawasan yang sempit dan penjagaan kebersihan diri yang tidak optimum. Ini kerana fakta bahawa kutu kepala mudah merebak dan berjangkit sekiranya tinggal bersama. Begitu juga dengan kudis buta dan penyakit jangkitan kulit seperti impetigo.

Kita juga bertuah kerana dua orang adik pelajar perubatan tahun dua iaitu Saudari Siti Hajar (tiada dalam gambar) dari Universiti Sumatera Utara (USU) sudi bersama-sama sebagai sukarelawan untuk menguruskan ubat-ubatan dan menguruskan timbang berat peserta.

Sukarelawan Biro Kesihatan ABIM yang baru iaitu Cik Nida yang bertugas sebagai pegawai di Nestle banyak membantu memberi nasihat kepada adik-adik untuk belajar bersungguh-sungguh. Beliau juga menguruskan perjalanan program agar berjalan lancar. Tanpa beliau tentu program menjadi kelam kabut.

Saudara Nor Azam (tiada dalam gambar) yang merupakan pegawai kewangan di sebuah syarikat swasta juga sebagai sukarelawan Biro Kesihatan ABIM yang baru, bertindak menguruskan fotografi. Beliau dengan kapasitinya menderma beberapa kampit beras dan makanan untuk anak-anak yatim kita.



Dr Maryati sedang menunjukkan cara membasuh tangan yang betul kepada adik-adik. Semua pening... Maklumlah selama ni cara mereka membasuh tangan tidak mencapai piawai yang telah ditetapkan oleh Dr Maryati.


Dr Azlina, Saya dan Dr Maryati sedang sibuk melayan kerenah anak-anak. Budak-budak lelaki lebih suka mengerumuni saya. Mungkin sebab terlalu macho... ehem..


Semua kanak-kanak yang sedang asyik mendengar ceramah Dr Maryati... kecuali seorang budak pakai tudung hitam tu..

Ya. Teringat waktu kita kecik-kecik dulu kan. Diorang ni tak ada mak ayah yang nak tolong carikan kutu dan telur kutu di atas kepala diorang. Ini jelah yang termampu nak buat.


Antara ubat-ubat yang disediakan untuk anak-anak ini. Antaranya adalah ubat cacing, ubat demam, batuk dan selsema, serta multivitamin.



Tidak putus dengan senyuman dan harapan walaupun tanpa ayah dan ibu.

Saudari Nida bertudung biru di sebelah Dr Azlina dan anaknya sedang berehat setelah melaksanakan tugas.


Program ini Alhamdulillah sedikit sebanyak memberi manfaat kepada semua termasuk anak-anak yatim kita. Saya selaku pengarah program ini ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada sesiapa yang terlibat termasuk Saudara Khaidir dan Saudara Helmi dari Islamic Outreach ABIM yang memastikan bahawa program ini mencapai sasarannya.

Kepada sesiapa yang ingin bersedekah dan beramal jari'ah terutama ketika bulan Ramadhan semakin menghampiri anda bolehlah menghubungi IOA Bangi 03-89267176 atau Saudara Helmi sendiri 012-5774873 untuk menghulurkan bantuan kepada anak-anak yatim yang memerlukan.

Salam.

3 comments:

Nini said...

salam dr,
adakah rumah anak yatim rukaiah sama dgn anak yatim di bawah darul fuqaha? drpd penjelasan dr mengenai penubuhan/pengurusan, mcm berbeza. kalau ya berbeza, dua rumah anak yatim ni sungguh berdekatan! mcm mana boleh saya tak perasan ray rukaiah tu..

Unknown said...

tahniah ,.....
teruskan usaha lain kali ajak ler kengkawan nak join suka ...

Anonymous said...

Tahniah, teruskan usaha murni, moga Allah saja yg dapat membalasnya....Amin

Related Posts with Thumbnails