Assalamualaikum,
Sedih juga apabila setelah 51 tahun Malaysia merdeka, ramai anak-anak Malaysia tak kira Melayu, Cina dan India lebih fasih berbahasa Inggeris daripada berbahasa Melayu.
Kadang-kadang saya pun berasa hairan, pesakit saya ni orang melayu, bermuka melayu, hidung penyek, kulit sawo matang, bila duduk depan saya ni, nak juga bercakap bahasa Inggeris. Bukannya salah. Tapi saya menjangkakan apabila saya cakap dengan orang melayu saya sukalah kalau dapat bercakap bahasa ibunda saya.
Saya menjawab dalam bahasa Melayu, dibalas semula di dalam bahasa Inggeris yang "broken". Saya balas balik dalam bahasa melayu, tetap dia tetap membalas dalam bahasa Inggeris. Saya terus juga bercakap melayu sampai dia malu-malu alah dan berbual dengan saya dalam bahasa Melayu juga.
Ada masanya saya yang malu sendirian, apabila saya memulakan percakapan saya di dalam bahasa inggeris dengan pesakit cina dan india, tetapi dibalas pula dengan bahasa melayu yang sangat-sangat fasih.
Ada sekali, seorang wanita melayu ingin memberitahu bahawa terdapat ada masalah di kawasan duburnya. Dia sebut " I've got a problem with my "*ss-hole". Dia sebenarnya nak cakap dia ada problem dengan her "anus", tapi itulah, mungkin ayat yang sesuai dalam bahasa Inggeris tidak terjumpa. Dia pula yang malu-malu alah lepas tuh. Apalah salahnya bagitahu saya di dalam bahasa melayu.
BAHASA SEBAGAI ALAT DAN BUKAN MATLAMAT
Ramai orang menganggap bahawa bahasa Melayu ini adalah bahasa kelas kedua. Orang yang menganggap bahawa Bahasa Melayu ini bukan bahasa sains dan matematik juga ramai. Dan ramai juga GAGAL memahami bahawa bahasa itu bertindak sebagai ALAT untuk menyampaikan ilmu dan bukan ilmu itu sendiri.
Bahasa bertindak sebagai alat untuk memahami apa yang diperkatakan dan disampaikan daripada seorang pendidik kepada yang dididik. Ilmu sains contohnya disampaikan kepada anak murid di dalam bahasa percakapan seharian agar anak murid itu faham tentang ilmu yang hendak disampaikan. Ilmu matematik difahami dan dipraktikkan kepada mad'u setelah memahami maksud setiap makna, aksara dan nilai sesuatu angka dan formulanya di dalam bahasa yang difahaminya. Walaupun apa negara, fahaman dan bahasa sekali pun di dunia, matematik tetap matematik walau nak disampaikan ke dalam bahasa apa sekalipun.
KEGAGALAN PELAJAR MELAYU MENGUASAI SAINS DAN MATEMATIK
Apabila guru-guru terpaksa mengajar anak-anak melayu matematik dan sains di dalam bahasa Inggeris, mereka mendapati dua perkara. Satu, anak-anak ini bukan sahaja tidak dapat memahami bahasa Inggeris, kedua, mereka juga tidak dapat memahami sains dan matematik. Keputusan matematik dan sains jatuh ke tahap "kosong" dan ini banyak memeningkan guru-guru. Anak-anak di bandar mungkin berbeza kerana bahasa percakapan mereka yang banyak di dalam bahasa Inggeris.
Sains dan Matematik adalah asas kepada pemikiran saintifik. Bagaimana sekiranya sains dan matematik ini tidak dapat dikuasai oleh anak-anak kita kerana semata-mata mengejar sesuatu objektif yang lain pula dipanggil "bahasa Inggeris"?
Terdapat pemikir-pemikir bahasa dan ahli berpendidik berpendapat, kalau nak kukuhkan bahasa Inggeris, tambah masa pengajaran bahasa Inggeris. Mengikut Prof Dr Ridzwan dari UM, sekarang ada langkah-langkah awal untuk mengembalikan sains dan matematik ke bahasa melayu semula tetapi mengajar sains dan geografi pula dalam bahasa Inggeris!
HINA- SANGATKAN BAHASA MELAYU?
Kenapa negara Perancis tidak mengajar anak-anak muridnya matematik dan sains di dalam bahasa Inggeris? Perancis adalah bahasa Ilmu? Mungkin. Anda mungkin merasakan bahawa Bahasa Perancis adalah bahasa yang hebat dan antara bahasa yang paling dipertuturkan di dunia ini.
Saya bawakan kepada anda kedudukan ranking, Top 10 bahasa yang dipertuturkan di seluruh dunia.
1. Mandarin (1 billion orang)
2. English (508 juta orang)
3. Hindustani (497 juta orang)
4. Spanish (392 juta org)
5. Russia (277 juta orang)
6. Arab (246 juta orang)
7. Bengali (211 juta orang)
8. Portugis (191 juta orang)
9. Melayu (159 juta orang)
10. French (129 juta orang)
SUMBERDalam beratus-ratus bahasa di dunia ini, Bahasa Melayu adalah di dalam kedudukan 10 bahasa yang dipertuturkan di dunia, lebih tinggi daripada bahasa Perancis, bahasa Jepun, Bahasa Thailand, Urdu dan Tamil. Jadi selain daripada memperkuatkan bahasa Inggeris, kita harus berbangga kerana bahasa yang kita pertuturkan adalah di antara 10 bahasa popular di dunia. Bahasa kita adalah lingua franca.
BAHASA MELAYU DAN ISLAM BERPISAH TIADA
Oleh itu, kita sebagai orang melayu, marilah sama-sama kita mendaulatkan dan memperkasakan kembali bahasa melayu. Tidak ada apa yang kurang di dalam bahasa melayu yang kita gunakan sekarang. Malah bahasa melayu adalah bahasa dakwah Islam. Bahasa Melayu dan Islam adalah sejalan seiring.
Kita gerakkan semula Dewan Bahasa dan Pustaka yang sekarang ni cuma lebih bertindak seperti Muzium yang tidak tahu mana hala tujunya. Kita seru hulubalang bahasa kita untuk mengangkat sumpah berdaulat, memperkasa semula jihad bahasa melayu sebagai bahasa perantaraan kita. Mana anak remaja kita yang berani menegakkan bangsa dan bahasa? Jika orang melayu sendiri tidak mahu memegahkan bahasa sendiri, bagaimana ingin kita harapkan bangsa lain?
Fajar Telah Menyinsing... Bangunlah Wahai Bangsaku!