Friday, December 4, 2009

Bantuan Banjir MRA ke Kelantan






MRA menghantar bantuan ke Kedah baru-baru ini ketika banjir. Ini pula bantuan yang disampaikan ke penduduk Kelantan yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini.
Kota Bharu, 2 Disember – Malaysian Relief Agency dengan kerjasama Skuad Prihatin ABIM, ABIM Kelantan dan Briged Bakti telah menubuhkan Pusat Bantuan Banjir untuk mengkoordinasi aktiviti-aktiviti menghulur bantuan banjir kepada penduduk yang terlibat. Disamping itu, Pusat ini juga akan berfungsi sebagai pusat pengumpulan barang-barang bantuan seperti makanan, pakaian, selimut dan peralatan-peralatan yang diperlukan semasa banjir. Buat permulaan, pihak MRA telah menyediakan 50 bungkus bahan-bahan makanan segera seperti gula, kopi, biskut, minyak masak dan tepung. Pihak ABIM Kelantan pula telah menyumbang 50 kampit beras seberat 5 kg setiap kampit. Bantuan ini akan diedarkan ke tempat-tempat yang telah dikenalpasti pada keesokan harinya.

Menurut Sdr Shahran Kasim, Pengarah Eksekutif MRA, selain daripada menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan, misi bantuan ini juga ingin melatih para sukarelawan khususnya dari genarasi muda untuk terlibat dalam kerja-kerja bantuan kemanusiaan. Diharapkan dengan latihan dan pendedahan yang diberikan, mereka akan lebih bersedia untuk terlibat sama dalam misi-misi bantuan yang akan datang samada di dalam ataupun diluar negara.

Pihak ABIM Kelantan juga telah mengaturkan beberapa pertemuan hormat untuk menyelaras dan melicinkan kerja-kerja bantuan dimasa hadapan. Pertemuan telah diadakan dengan Ybhg En Ab Aziz Yunus, Pengarah Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, pejabat Setiausaha Negeri Kelantan. En Ab. Aziz mengalu-alukan kedatangan rombongan dan mengucapkan ribuan terima kasih kerana mengambil langkah proaktif membantu mangsa banjir. Beliau memaklumkan beberapa kawasan yang amat memerlukan bantuan dan beliau juga memberi komitmen akan membantu setiap aktiviti dan projek yang ingin dilaksanakan.

Rombongan seterusnya melakukan kunjungan hormat kepada Ustaz Wan Hassan dan YB Muhammad Mustafa, dua orang tokoh masyarakat untuk bertukar pandangan dan mencari kaedah terbaik untuk menyalurkan bantuan. Mereka telah memberikan beberapa input dan mencadangkan beberapa perkara untuk menambah keberkesanan bantuan yang bakal diberikan. Disebelah malamnya, rombongan menghadiri Majlis Makan Malam di pejabat Tabung Amanah Tok Kenali dimana Sdr Shahran sempat mengadakan perbincangan ringkas bersama YB Wan Ubaidah (Ahli EXCO Kerajaan Negeri) dan YB Rohani (ADUN Tanjung Mas). Mereka turut melahirkan rasa terharu dan berterima kasih ke atas bantuan yang akan diberikan dan bersedia untuk berkerjasama dalam kapasiti mereka masing-masing.

Menurut ramalan penduduk tempatan, banjir gelombang ketiga akan berlaku dalam waktu terdekat dan akan mengakibatkan lebih banyak kerosakan harta benda dan juga bangunan-bangunan awam seperti masjid dan sekolah. Justeru, pihak MRA ingin menyeru kepada seluruh masyarakat Malaysia untuk terus menyalurkan sumbangan kewangan kepada MRA untuk membolehkan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan. Sila salurkan bantuan ke Malaysian Relief Agency acct no: 5640 9820 6365 (Maybank) atau hantar cek ke alamat Malaysian Relief Agency, PO Box 10314, 50710 Kuala Lumpur.

No comments:

Related Posts with Thumbnails