Friday, December 18, 2009

Mengecilkan Dunia Minoriti... Ke Arah Hidup Tanpa Asap Rokok






Kerajaan telah menetapkan beberapa tempat yang digazetkan sebagai kawasan larangan merokok.

Kenapa perlu ada kawasan larangan merokok?

Ia untuk menjaga kepentingan orang awam daripada "perokok" dan mengelakkan orang awam daripada menjadi perokok sekunder. Seolah-olah "perokok" ini orang asing dan bukannya dari kalangan orang awam.

Ia juga untuk menghalang daripada sebilangan kecil perokok yang terdiri daripada orang awam merokok di tempat awam.

Persoalannya, berapa ramai di antara kita merokok?


HANYA 10% DARIPADA ORANG AWAM ADALAH PEROKOK

Andaikata di dalam sebuah pejabat yang mempunyai 400 orang pekerja, agaknya berapa ramai di antara mereka ini perokok? katalah 40 orang. Ini adalah jumlah anggaran yang agak baik iaitu mengambil 1 orang daripada 10 orang adalah perokok atau 10%. Ini menjadikan baki bukan perokok ialah 90%.

Oleh kerana 90% daripada mereka ini bukan perokok, maka majoriti pekerja adalah bukan perokok.

Tak mengapa. Jika kita naikkan angka ini, katakanlah perokok terdiri daripada 20% sekalipun, tetap 80% bakinya adalah bukan perokok. Masih lagi majoriti yang besar.

Sewajarnya, sebagai sebuah negara demokrasi, sekiranya bilangan peratusan bukan perokok melebihi bilangan perokok secara besar, maka kawasan tersebut menjadi kawasan larangan merokok. Ini adalah adil, kerana di dalam Islam pun kita disuruh menjaga maslahah umat terbanyak.


MAJORITI MENGATASI MINORITI

Kenapa kita perlu pentingkan yang minoriti ini? Mereka bukan sahaja sebilangan kecil sahaja daripada kita, malah asap yang dikeluarkan boleh mengancam kesihatan dan patut dianggap sebagai satu ancaman. Adakah kerana mereka ini kebanyakannya lelaki dan merupakan ketua organisasi atau keluarga? Bagaimana sebilangan besar ketua organisasi dan ketua keluarga yang tidak merokok?

Di dalam restoran sebagai contoh, kenapa perlu ada seksyen ini kawasan merokok, itu kawasan tanpa merokok? Tidakkah boleh diwujudkan di semua restoran, ini kawasan tanpa rokok? Adakah dengan mewujudkan kawasan merokok di restoran boleh menjamin bahawa asap-asap yang dikeluarkan itu tidak terkena kawasan yang dilarang merokok? Saya jamin tidak kerana tidak ada ventilator berasingan ataupun dinding-dinding berasingan.

Cuba buat bancian, berapa ramai yang makan di restoran merokok dan berapa ramai yang sebenarnya tidak merokok. Saya kira kebarangkalian, 90% daripada pengunjung restoran adalah bukan perokok. Oleh itu kenapa restoran perlu mewujudkan kawasan perokok di dalam restoran mereka sendiri?

WUJUDKAN BILIK KECIL PEROKOK DI SEMUA TEMPAT

Oleh kerana mereka ini adalah sebilangan kecil sahaja iaitu hanya 10% pada satu-satu masa, maka kita wujudkan sebuah bilik kecil untuk mereka merokok.

Sebagai contoh, katakanlah di dalam KLCC, kita boleh wujudkan satu bilik kecil di dalam lingkungan 1000 meter kaki persegi sebuah lounge untuk perokok, contohnya di sebuah bilik khas, tingkat 3 KLCC. Bilik ini menempatkan perokok yang ingin merokok yang siap dengan ventilator dan air filter. Bilik ini mestilah selesa, ada tempat jualan minuman ringan, ada sofa, ashtray yang bewarna-warni, ASTRO dan kemudahan tandas lelaki dan wanita. Tidak dilupakan juga pemadam api.

Sekiranya para pengunjung ingin merokok, mereka boleh ke tempat ini untuk merokok. Oleh itu, seluruh bangunan KLCC dijadikan kawasan larangan merokok kecuali bilik ini. Begitu juga Berjaya Times Square dan Bangunan Parlimen Malaysia. Ini akan menyelamatkan 90% daripada majoriti yang tidak merokok. Sesiapa yang didapati merokok di kawasan luar daripada bilik ini akan didenda secara maksimum oleh penguatkuasa KKM dan Polis. Mereka telah diberitahu.


KKM KENA FOKUS KEPADA 90%!

Saya tidak sedih melihat perokok kita yang sudah berumur. Mereka ini adalah perokok tegar. Sudah 30 tahun merokok. Memang susah nak dibuang habit itu. Ia sudah menjalar di dalam darah dan reseptor nikotin sudah tepu di otak. Mereka cuma berhenti rokok sementara apabila minggu depan nak buat pembedahan pintasan jantung. Tidak mengapa, selepas 2 bulan boleh hisap rokok semula.

Yang menyedihkan adalah remaja belasan tahun yang menghisap rokok. Mereka ini patut dihalang. Perangkaan menunjukkan, walaupun kes-kes perokok di kalangan dewasa semakin berkurang tetapi kes kes merokok di kalangan remaja semakin meningkat. Iklan Kementerian Kesihatan Malaysia dilihat kurang berjaya.

Pada pandangan saya, iklan Kementerian Kesihatan perlu fokus kepada 90% yang tidak merokok ini dan bukan 10% perokok.

Ini adalah kerana catchment 90% ini adalah lebih besar. Kementerian Kesihatan perlu fokus di dalam menjaga mereka ini daripada menjadi tahi rokok. Lupakan 10% perokok itu. Mereka akhirnya samada semakin pening kepala sebab harga rokok yang naik saban tahun, atau mereka akan selalu ulang alik ke hospital.

Iklan-iklan perlu fokus kepada remaja. Remaja-remaja-remaja. Kita gegarkan sekolah-sekolah rendah dan menengah. Kita nasihatkan guru-guru supaya berhenti merokok. Mereka adalah contoh kepada masyarakat dan anak-anak murid. Kita jadikan Tak nak Rokok sebagai salah satu elemen KPI bagi guru-guru. Ini penting untuk kenaikan pangkat dan sebagainya.

Guru-guru yang tidak merokok mudah mengajar anak-anak muridnya berjalan lurus. Kenakan denda yang berat kepada anak-anak murid yang ditangkap merokok di luar kelas. Iklan-iklan di TV harus fokus kepada remaja. Dengan ini pendekatan yang lebih fokus mengelakkan kita daripada terlepas sasaran.



WUJUDKAN KLINIK-KLINIK BERHENTI MEROKOK SECARA BERASINGAN DARIPADA HOSPITAL DI PUSAT BANDAR

Berhenti merokok bukan sesuatu yang mudah. Ia perlukan azam dan semangat. Kadangkala azam dan semangat sahaja tidak mencukupi. Kadangkala kita perlu ubat. Ubat berhenti merokok adalah mahal.

Klinik-klinik berhenti merokok perlu diwujudkan secara berasingan daripada hospital dan klinik-klinik awam khusus untuk menghadapi masalah perokok yang ingin berhenti merokok.

Saya percaya ramai perokok ingin berhenti merokok, tetapi untuk ke hospital yang mengadakan klinik rokok mereka tidak sanggup atau tidak mahu beratur. Mereka mahu berhenti rokok dan perlukan perundingan tetapi mereka tidak tahu ke mana hendak dituju.

Di dalam satu kawasan yang padat, kita wujudkan sebuah klinik khusus untuk berhenti merokok di mana sumber-sumber kewangan kerajaan dikhususkan untuk membantu mereka yang betul-betul ingin berhenti merokok.

Kita boleh mulakan 10 klinik pilot khusus untuk mereka yang ingin berhenti merokok di Kuala Lumpur. Konsepnya mungkin boleh dicedok daripada klinik Lembaga Pembangunan Penduduk LPKP.

Ia adalah pusat sehenti yang membantu di dalam memberi perundingan secara perseorangan oleh pakar-pakar yang terdiri mungkin daripada pegawai perubatan atau jururawat yang mempunyai kemahiran di dalam menguruskan ketagihan tahi rokok.


WUJUDKAN KPI - TAK NAK ROKOK - KEPADA PEMIMPIN NEGARA

Bangunan Parlimen adalah dewan yang mulia maka pembersihan rokok perlu dimulakan oleh semua yang bergelar pemimpin negara. Bangunan Parlimen perlu bersih rokok. Mana-mana perokok di kalangan anggota dewan yang berhormat perlu dinasihati.

Tidak wajar lobi bangunan parlimen menjadi pusat merokok para Yang Berhormat. Ini tidak menunjukkan keprihatinan para pemimpin di dalam menjadi aspirasi rakyat untuk berhenti merokok.

Oleh itu, tak perlu diwujudkan bilik perokok untuk anggota Yang Berhormat, tetapi yang perlu kita wujudkan ialah sebuah bilik khas "Klinik Rawatan Bagi YB yang Merokok" yang akan diketuai oleh YB Menteri Kesihatan sendiri.

Malah antara KPI yang Senator Idris Jala perlu cadangkan kepada PM ialah termasuk usaha-usaha setiap kementerian untuk menjalankan program berhenti merokok di kalangan ahli-ahli di bawah kementeriannya termasuk KSU dan anak-anak buahnya.

YB yang berjaya berhenti merokok atau mengekalkan imej bersih dari rokok wajar dipertimbangkan untuk bertanding di pilihanraya kali ke 13.



KENAPA KKM SAHAJA YANG DIPERTANGGUNGJAWABKAN?

Oleh kerana program rakyat sihat adalah agenda negara, maka tidak wajar hanya KKM sahaja yang perlu dipertanggungjawabkan.

Saya ingin mencadangkan bahawa setiap Kementerian patut menjalankan tanggungjawab mengadakan kempen berhenti rokok kepada semua penjawat awam. Ini sebenarnya boleh membantu KKM di dalam mencapai misi dan matalmat mereka secara jangka panjang.

Sekiranya kerajaan betul-betul ingin membanteras penyalahgunaan rokok ini, maka semua pihak patut mengambil tanggungjawab. Bak kata orang KKM, mereka pun tak cukup orang untuk menjalankan penguatkuasaan.

Mereka nak bunuh nyamuk, mereka nak tangkap jentik-jentik, mereka nak kuarantin pesakit H1N1, Mereka nak uruskan penagih dadah, mereka nak tangkap doktor jual MC dan ubat tidur.

Pendekata KKM mempunyai tanggungjawab yang besar. Oleh itu kapasiti semua pihak adalah diperlukan untuk memberi kesedaran kepada umum.

KESIMPULAN

Majoriti rakyat Malaysia adalah bukan perokok. Mungkin mencapai 90% secara purata. Oleh itu bila harga rokok naik, tak ramai yang bising. Bila kerajaan kata rokok saiz kecil dihapuskan tidak ramai membantah. Tiada mogok besar-besaran di jalan-jalan raya. Tentulah kerana mereka adalah minoriti, iaitu 10% sahaja. Mungkin lebih rendah.

Oleh hal yang demikian, mereka yang bukan merokok adalah majoriti. Walaubagaimanapun, di mana kuasa majoriti golongan non-perokok ini? Kuasa majoriti ini harus digunakan untuk menjadikan bumi kita ini dan anak-anak kita lebih sihat. Artikel ini mencadangkan bahawa perlu diwujudkan bilik-bilik khas perokok ini di kompleks membeli-belah utama dan mana-mana bangunan di Malaysia supaya golongan minoriti ini tidak boleh lagi merokok secara bebas. Manakala, kawasan selebihnya perlu diwartakan sebagai zon larangan merokok dengan penguatkuasaan.

Malah kita jadikan seluruh bumi Malaysia kawasan larangan merokok kecuali kepada bilik-bilik dan kawasan yang telah digazetkan sahaja. Tidak wujud lagi papan tanda - "kawasan larangan merokok", kerana setiap inci bumi bertuah ini sudah menjadi kawasan larangan merokok tetapi yang wujud ialah - "Kawasan Untuk Merokok".

Oleh itu dunia minoriti sudah semakin mengecil...

Oh KKM, Bilakah ia akan terlaksana?


No comments:

Related Posts with Thumbnails