Sunday, February 14, 2010

Ke mana Arah Tuju Pelarian Rohingya di Malaysia?






Salam,

Pelarian Rohingya ke Malaysia perlu mendapat perhatian ramai terutama pihak berwajib. Secara amnya pelarian Rohingya adalah pelarian politik di bawah naungan UNHCR. Mereka adalah kumpulan etnik minoriti Myanmar yang beragama Islam dan ditindas di sana. Jumlah populasi mereka adalah sebanyak 2 juta orang dan tinggal berhampiran dengan sempadan Myanmar-Bangladeh.

Pada tahun 1982, Kerajaan Myanmar telah melucutkan kewarganegaraan etnik Rohingya menjadikan mereka pelarian di negara sendiri. Hak mereka sebagai rakyat Myanmar telah dirampas, mereka tidak dibenarkan keluar daripada penempatan mereka, tanah dirampas, tidak dibenarkan mengamalkan agama mereka secara bebas dan ada yang ditangkap. Akibat daripada tekanan yang semakin meningkat, kebanyakan daripada mereka melarikan diri ke Malaysia, sempadan Thailand, Bangladesh, negara Arab dan Eropah. Sekiranya mereka pulang semula ke Myanmar, mereka boleh ditembak dan ditangkap.

Di Malaysia, status pelarian tidak melayakkan mereka menerima kewarganegaraan dan mendapat layanan kesihatan di Hospital dan klinik. Sedangkan ada di antara mereka mempunyai masalah kesihatan yang serius. Di dalam beberapa klinik amal yang Biro Kesihatan ABIM adakan, masalah kebersihan, jangkitan kulat, kudis buta dan kutu juga tinggi. Ini disebabkan oleh tempat tinggal mereka yang jauh daripada keperluan asas. Malah terdapat juga di antara mereka yang menderita penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis, jangkitan seperti TB, HIV dan AIDS tidak menerima rawatan kerana mempunyai masalah kewangan.

Dari segi kelahiran, saya dapati mereka mempunyai kadar kelahiran yang sangat tinggi. Mereka tidak mengamalkan perancangan keluarga kerana rata-rata mereka mempunyai pendidikan yang rendah. Bayangkan setiap keluarga yang daif ini mempunyai 6 orang anak pada usia yang sangat muda. Malah kadar kelahiran ini akan terus meningkat. Jika ia tidak dikawal, populasi mereka akan menjadi tersangat besar sedangkan taraf hidup mereka masih lagi berada di takuk yang lama.

Kehidupan kanak-kanak Islam Rohingya amatlah daif. Mereka ini boleh dikategorikan sebagai taraf fakir. Kehidupan seperti kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Ada yang terdiri daripada anak-anak yatim piatu mengharapkan belas sedekah bagi menampung keperluan harian.

Menurut perangkaan dari pihak UNHCR,dianggarka
n terdapat lebih dari 16,000 orang pelarian Rohingya kini telah mendaftar dengan pihak UNHCR sementara dianggarkan kira-kira 3,000 orang lagi masih belum mendaftar. Sebahagian besar pelarian ini berada di Lembah Kelang dengan tumpuan utama dikawasan sekitar Ampang.

Ada di antara mereka hidup di bawah jambatan, bekerja di pasar borong, mengemis dan tinggal di tapak-tapak binaan. Tidak ramai yang boleh menampung kehidupan mereka sehari-harian. Mereka ini akhirnya akan menjadi duri di dalam masyarakat dan akan menyumbang kepada statistik peminta sedekah, kejadian kecurian dan rompakan dan pelacuran di Malaysia. Dan yang sedihnya mereka ini adalah saudara se-Islam kita.


Terdapat sebuah sekolah komuniti yang menempatkan khusus untuk kanak-kanak Rohingya terletak di Kg Cheras Baru. Sekolah ini mendapat bantuan daripada Yayasan al-Khalifah yang juga menyelia beberapa rumah anak yatim di seluruh Malaysia, dengan kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA) dan ABIM.

Sekolah ini merupakan kedai 3 tingkat yang disewa untuk menempatkan mereka, dan guru-guru dibayar untuk mengajar anak-anak ini supaya mereka boleh mendapatkan pelajaran dengan harapan mereka boleh menjadi Umat Islam yang berguna suatu hari nanti. Yayasan Khalifah, MRA dan ABIM membayar lebih kurang RM 5000-7000 sebulan bagi membayar guru, peralatan mengajar dan menyewa kedai tersebut untuk kegunaan anak-anak pelarian ini.

Walaupun menjadi satu kesukaran untuk menjalankan tugas ini kerana kewangan yang sempit, ia perlu dilakukan bagi maslahah ummat. Sekiranya tidak dilakukan, mereka ini akan hidup melarat dan mengundang masalah sosial kepada kehidupan kita. Diharapkan sekiranya mereka dididik dengan sempurna, mereka akan menyumbang kepada masyarakat Malaysia ke arah yang lebih positif.

Justeru, pihak ABIM dan MRA memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak tidak kira dari bidang swasta mahupun kerajaan untuk sama-sama berusaha membantu dari sudut tenaga, material, kewangan mahupun khidmat nasihat bagi menggemblengkan usaha meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat pelarian Rohingya Islam ini bagi manfaat bersama. InsyaAllah.

Wallahu Alam.

Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin,
Setiausa, Biro Kesihatan ABIM,
Exco Latihan dan Sukarelawan, MRA.


No comments:

Related Posts with Thumbnails