Monday, November 22, 2010

Boleh sebabkan penyakit jantung

Dipetik dari Harian Metro..


JIKA anda menghadapi masalah berat badan berlebihan, kurang bersenam, mempunyai ibu bapa berpenyakit kencing manis, kerap membuang air dan sentiasa letih, anda sepatutnya melakukan sesuatu atau berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan.

Ini kerana semua yang disebutkan di atas adalah petanda awal anda bakal menghidap penyakit kencing manis.

Menurut Pakar Perubatan dan Perunding Endokrin, Fakulti Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Dr Nor Azmi Kamaruddin, penyakit diabetes tidak boleh dipandang ringan kerana kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan pada 1996 menunjukkan pesakit diabetes berumur 18 tahun ke atas meningkat daripada 8.3 peratus kepada 11.5 peratus pada 2006.

Satu daripada tujuh orang dewasa berumur 30 tahun ke atas pula penghidap diabetes malah lebih memeranjatkan apabila kanak-kanak berusia enam tahun adalah pesakit diabetes termuda di Malaysia.


"Daripada statistik ini sepatutnya seluruh rakyat Malaysia mempunyai tahap kesedaran tinggi mengenai bahaya penyakit ini dan mula mendapatkan rawatan apabila mempunyai tanda seperti kerap buang air, mudah letih serta demam," katanya.


Menurut Dr Nor Azmi, diabetes berlaku apabila badan mengeluarkan terlalu sedikit insulin atau insulin yang dikeluarkan tidak berkesan. Ini akan mengakibatkan paras gula dalam darah tidak normal dan jika dibiarkan menyebabkan komplikasi yang serius.

"Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan dalam pankreas. Ia berfungsi mengekalkan gula dalam darah pada paras normal dan membantu mengeluarkan glukosa memasuki sel badan. Akibat kandungan insulin yang tidak mencukupi atau tidak berkesan dalam kalangan pesakit diabetes, gula tidak dapat memasuki sel badan dan ia kekal dalam darah menyebabkan paras gula dalam darah meningkat.

"Sebab itu penghidap penyakit kerap kencing dan mengalami rasa letih serta mudah mendapat jangkitan kuman pada buah pinggang, kulit serta paru-paru," katanya.

Terdapat dua jenis diabetes iaitu bergantung pada insulin dan tidak bergantung pada insulin. Diabetes yang bergantung pada insulin sering berlaku kepada kanak-kanak atau remaja.

Rawatan hanya boleh dikawal menerusi suntikan insulin, kawalan pemakanan dan senaman. Biasanya pesakit mempunyai ahli keluarga penghidap diabetes.

Jenis kedua atau tidak bergantung pada insulin selalunya berlaku dalam kalangan orang dewasa berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai berat badan berlebihan. Rawatan dilakukan menerusi kawalan makanan, senaman atau gabungan pemakanan, senaman dan ubat. Biasanya berlaku kepada individu yang mempunyai ahli keluarga menghidap diabetes.

Sama ada pesakit menghidap diabetes atau sebaliknya, menurut Dr Nor Azmi, setiap individu perlu membuat pemeriksaan awal ini kerana menerusi ubat-ubatan, diabetes boleh dikawal. Ramai tidak tahu diabetes boleh membawa kepada penyakit jantung yang menyebabkan kematian awal malah kebanyakan penghidap sakit jantung yang meninggal pada usia muda selalunya mempunyai diabetes.

"Hampir 70 peratus kematian disebabkan sakit jantung dan berpunca daripada diabetes. Ini kerana penyakit jantung hanya berlaku apabila usia meningkat 50 tahun ke atas.

"Namun, jika seseorang itu mempunyai diabetes dan sakit jantung dia mempunyai peratusan yang lebih tinggi untuk meninggal dunia pada usia muda. Begitu juga dengan kematian disebabkan penyakit buah pinggang semakin meningkat disebabkan diabetes," katanya.

Katanya, kajian yang dijalankan pada 2008 oleh lima universiti di Malaysia mengenai Sindrom Metabolik di Malaysia dalam kalangan masyarakat Melayu menunjukkan 50 peratus pesakit diabetes berpendapatan bulanan RM500 saja.

"Bayangkan bagaimana pesakit diabetes yang berpendapatan rendah ini menjalani rawatan sedangkan kos untuk rawatan bernilai ribuan ringgit. Ini juga memberi implikasi kepada ekonomi negara kerana rawatan membabitkan penyakit jantung, buah pinggang dan kencing manis memerlukan kos yang besar. Justeru secara tidak langsung, ia akan memberi bebanan kepada ekonomi negara," katanya.

Menurut Dr Nor Azmi, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah menukar minda serta persepsi masyarakat supaya penghidap penyakit ini mendapatkan rawatan awal. Jangan tunggu sehingga sudah sampai ke peringkat serius atau apabila kaki sudah perlu dipotong baru berjumpa doktor.

Apabila berada pada tahap ini sukar untuk pakar perubatan merawat atau mengurangkan masalah yang berlaku.

Katanya, berbanding lelaki yang kuat ketahanan badan, wanita lebih mudah mendapat jangkitan penyakit apabila menghidap diabetes. Justeru kebanyakan wanita mudah diserang sakit buah pinggang, jantung dan masalah lain apabila menghidap diabetes.

Bagi wanita yang mendapat diabetes ketika mengandung, menurut Dr Nor Azmi, ini berlaku disebabkan perubahan hormon dan faktor pemakanan. Bagaimanapun, wanita mengandung tidak boleh mengambil mudah perkara ini kerana ia petanda awal kemunculan diabetes apabila mereka berusia 40-an.

"Wanita mengandung yang menghidap diabetes apabila tidak dikawal akan menyebabkan keguguran, terencat pembesaran dan berkemungkinan mengalami masalah jantung berlubang. Malah bayi akan membesar secara tidak normal di dalam kandungan yang akan menyebabkan kesukaran ibu melahirkan anak secara normal," katanya.

Menurut kajian, satu daripada tiga bayi akan mendapat diabetes sekiranya mempunyai ibu penghidap penyakit itu, satu daripada empat bayi akan mendapat kencing manis jika bapanya mempunyai penyakit itu dan sekiranya kedua-duanya mempunyai penyakit berkenaan enam daripada tujuh bayi berkemungkinan mendapatnya.

Cara mencegah dan mengawal diabetes adalah dengan mengawal pemakanan kepada makanan sihat dan berkhasiat. Ambil makanan seimbang mengikut piramid makanan yang disyorkan Kementerian Kesihatan.

"Pada masa sekarang rakyat Malaysia lebih memberi penekanan kepada makan malam dengan mengabaikan sarapan dan mengurangkan makan tengah hari. Corak pemakanan ini salah, sepatutnya individu melebihkan sarapan, mengambil makan tengah hari serta mengurangkan makan malam. Ini kerana makanan yang dimakan pada waktu malam akan bertukar menjadi lemak disebabkan tiada aktiviti fizikal dilakukan. Kebanyakan mereka akan tidur dan menonton televisyen selepas makan malam," katanya.

Diabetes boleh dikawal jika individu mengamalkan cara hidup sihat dengan bersenam setiap hari. Namun, sering kali alasan tidak sempat, banyak kerja atau tiada masa diberikan kebanyakan warga kota. Sekiranya terikat dengan tugasan pejabat sehingga tiada dapat bersenam, sepatutnya individu mengambil peluang membuat pergerakan fizikal dalam tugasan harian. Misalnya menukar amalan dengan menaiki tangga setiap hari, banyak berjalan atau bagi wanita lakukan kerja rumah yang boleh mengeluarkan peluh walaupun kerja itu boleh dilakukan pembantu rumah.

Penjagaan kesihatan awal kepada kanak-kanak sangat membantu mengurangkan obesiti yang menjadi punca kepada masalah ini. Ibu bapa perlu membuang tanggapan anak terlalu kurus tidak cantik dan comel justeru ibu bapa memberi makan secara berlebihan sehingga mengalami masalah berat badan.

"Apa yang penting ibu bapa perlu mengawal pemakanan anak-anak. Biarlah anak itu kurus asalkan dia sihat dan aktif. Jangan kerana mahukan anak yang comel dan besar sehingga membiarkan anak makan apa saja. Pemakanan yang sihat bermula dari rumah. Oleh itu ibu bapa perlu menetapkan apa yang perlu dimakan anak.

"Misalnya menyediakan makanan berkhasiat dengan melebihkan makanan bervitamin dan berprotein seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Memberi air kosong dan mengurangkan air bergula dan berkarbonat. Memberi makanan yang dimasak sendiri untuk mengelak makanan segera, bercoklat, berlemak dan bergula secara berlebihan.

"Sekiranya ibu bapa tidak menjaga pemakanan anak sejak kecil, berkemungkinan mereka akan mendapat obesiti apabila dewasa," katanya.

>Fakta angka

  • Kaum India paling ramai mendapat diabetes iaitu 19 peratus diikuti Melayu 12 peratus dan Cina 11 peratus (Kajian pada 2006 oleh Kementerian Kesihatan).
  • Kira-kira 70 peratus daripada pesakit jantung yang meninggal adalah penghidap diabetes, ini bermakna enam daripada 10 pesakit jantung adalah penghidap diabetes.
  • Kira-kira 40 peratus penghidap diabetes tidak mengalami masalah berat badan, tetapi disebabkan keturunan dan kurang bersenam.
  • Kira-kira lima peratus daripada wanita mengandung akan mendapat diabetes.
  • Kanak-kanak yang tidak menjaga pemakanan 50 peratus daripadanya akan mengalami masalah berat badan dan satu daripada tiga kanak-kanak akan mendapat diabetes pada usia muda.
  • Negeri Sembilan mencatatkan penghidap diabetes tertinggi iaitu 15 peratus manakala terendah Sabah dan Sarawak sebanyak enam peratus.
  • Sekiranya masyarakat Malaysia menukar corak pemakanan, diabetes hanya dapat dikurangkan dalam jangka masa 20 tahun lagi.
  • Kira-kira 22 peratus pesakit diabetes bukan kakitangan kerajaan, 50 peratus hanya berpendapatan RM500 sebulan saja.
  • Tuesday, November 9, 2010

    Pelancaran Dana Bantuan Mangsa Banjir Utusan-MRA



    Salam,

    Saya berkesempatan untuk menghadiri sidang media bagi pelancaran Dana Bantuan Mangsa Banjir Utusan-MRA pada pukul 1 tengahari semalam 8 November 2010 di Hospital Pakar Al Islam, Kg Baru. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar.

    Diharapkan, dengan pelancaran tabung ini lebih ramai yang akan dapat menghulurkan bantuan untuk membantu saudara kita di Utara Semenanjung. InsyaAllah.

    DR. Abdul Razak Kechik (tiga dari kanan) bersama Aziz Ishak (tiga dari kiri) serta sukarelawan badan itu memasukkan wang derma ke dalam tabung Dana Bantuan Mangsa Banjir Utusan-MRA yang dilancarkan di Hospital Pakar Al-Islam di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Khairil Annuar Khalid (kanan) dan Dr. Shahrizal Azwan Bin Samsudin (tengah)

    KUALA LUMPUR 8 Nov. - Prihatin dengan nasib mangsa banjir di utara tanah air, Kumpulan Utusan dan Malaysian Relief Agency (MRA) hari ini melancarkan Dana Bantuan Mangsa Banjir Utusan-MRA untuk membantu mereka.

    Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (gambar) berkata, pelancaran dana itu diharap menarik perhatian rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

    Menurutnya, walaupun keadaan banjir beransur pulih, namun mangsa- mangsa masih memerlukan bantuan untuk memulihkan kehidupan mereka akibat kerosakan yang dialami semasa bencana itu berlaku.

    "Ia merupakan tanggungjawab bersama untuk membantu mereka ketika dalam kesusahan akibat bencana itu. Saya juga percaya rakyat Malaysia yang prihatin akan bermurah hati menghulurkan bantuan dengan ikhlas bagi membantu mereka,'' katanya.

    Majlis pelancaran Dana Bantuan Mangsa Banjir Utusan-MRAD itu disempurnakan secara bersama oleh Presiden MRA, Datuk Dr. Abdul Razak Kechik dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak di Hospital Pakar Al-Islam di sini, hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Presiden MRA, Dr. Ishak Masud; Pengarah Bantuan Kecemasan MRA, Khairil Annuar Khalid dan Pengarang Berita Utusan Malaysia, Mohd. Ridzwan Md. Iman.

    Sumbangan untuk dana itu boleh dimasukkan ke akaun Maybank MRA iaitu 564098206365 atau menghubungi talian 03-26972007 atau layari laman web www.mra.my.

    Sementara itu, Abdul Razak berkata, objektif penubuhan dana itu adalah untuk meringankan beban mangsa banjir terutama penduduk kawasan luar bandar.

    "Sekurang-kurangnya RM200,000 diperlukan untuk membantu penduduk di beberapa buah negeri itu," katanya.

    Menurutnya, bantuan tertumpu kepada keperluan semasa dan ketika proses pemulihan berikutan banyak barangan mangsa musnah.

    "MRA juga komited untuk meneruskan bantuan dengan menyediakan tiga pusat bantuan yang akan menyediakan makanan yang dimasak, bekalan air bersih, kit kebersihan serta peralatan membersihkan rumah.

    "Malah MRA juga akan menghantar pasukan perubatan untuk memberi rawatan dan pendidikan kesihatan kepada mangsa banjir selain membantu melakukan pembersihan rumah penduduk yang dijangka berterusan untuk beberapa minggu," katanya.

    Sementara itu, Aziz berkata, penubuhan dana tersebut dapat membantu mengurangkan tekanan akibat kerosakan tempat tinggal dan punca rezeki termasuk kemusnahan tanaman selain kekurangan keperluan asas akibat banjir.

    "Penubuhan dana ini merupakan usaha murni Utusan dengan MRA yang prihatin terhadap penderitaan masyarakat," katanya.

    Dr. Ishak pula berkata, pelancaran dana terbaru itu adalah satu lagi kerjasama antara MRA dengan Utusan selepas kali pertama diadakan dalam misi bantuan mangsa banjir di Pakistan.

    ''Kami bersyukur dan gembira kerana sekali lagi mendapat kepercayaan Utusan untuk terus menjalin kerjasama murni ini dalam menjayakan misi kemanusiaan tanpa mengira kaum, agama mahupun pegangan politik,'' kata Dr. Ishak.

    MRA ditubuhkan pada awal 2009 dengan dibarisi ahli jawatankuasa berpengalaman dalam bidang kemanusiaan.

    Sejak banjir melanda utara Semenanjung minggu lepas, MRA menghantar 50 sukarelawan yang membawa bantuan kecemasan bernilai RM60,000.

    Saturday, November 6, 2010

    MRA Bantu Mangsa Banjir di Kedah



    Assalamualaikum,

    Malaysian Relief Agency (MRA) telah memulakan usaha untuk membantu mangsa banjir di Kedah melalui pasukan MRA Utara yang diketuai oleh Sdr Shahrulazilan Said dan dbantu oleh Sekretariat MRA pusat Sdr Khairil Annuar di pejabat MRA di Kuala Lumpur.

    Dana sebanyak RM 4000 telah diserahkan untuk memulakan gerakan membantu mangsa di sana dan RM 10,000 lagi telah diluluskan semalam sebagai bantuan tambahan.

    Menurut Sdr Shahrulazilan, situasi menjadi semakin getir sekarang. Di bandar Alor Setar keperluan air bersih adalah meruncing. Air bersih yang diperlukan untuk minum, memasak dan membersihkan diri dicatu, malah untuk wudhu juga tidak mencukupi. Bekalan air-air mineral di kedai banyak yang habis.

    Terbaru MRA telah menerima bantuan 350 kotak air mineral untuk diagih-agihkan kepada mangsa banjir.

    Punca elektrik dijangka akan ditutup sekiranya banjir terus berlarutan. Stesen petrol ditenggelami air dan terpaksa ditutup akibat banjir menyebabkan masalah kekurangan petrol di banyak tempat. Kenderaan yang digunakan untuk berpindah dari kawasan banjir mengalami masalah kekurangan minyak kerana tiada tempat untuk mengisinya.

    Menurut laporan, keperluan mendesak bagi tisu basah untuk membersihkan bayi, lampin dan juga susu untuk bayi dan kanak-kanak.

    Hampir 23,000 orang telah menjadi mangsa banjir di Alor Setar.

    MRA sedang mengumpulkan beberapa pasukan untuk membantu pasukan MRA Utara di sana. Sesiapa yang berminat boleh menghubungi MRA di laman sesawangnya www.mra.my.

    Saya akan mengetuai pasukan perubatan MRA ke sana dan akan memulakan tugas pada minggu ini bermula 12-14 hb November 2010. Sesiapa yang berlatar belakangkan paramedik boleh hubungi saya atau email di abiteha@yahoo.com.

    Sesiapa yang ingin menyampaikan bantuan air mineral, lampin, susu, makanan, ubat-ubatan dan bantuan boleh hubungi saya atau hubungi pejabat MRA (U.P Fauziah Tahar).

    Salam.

    Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin
    Pengarah Bantuan Kecemasan Perubatan, MRA

    Monday, November 1, 2010

    Adakah Kita Melahirkan Terlalu Ramai Jururawat?



    Assalamualaikum,

    Saya masih ingat tentang masalah kekurangan jururawat yang meruncing satu waktu dulu. Jika mengikut cerita doktor-doktor kita yang pernah berkhidmat di hospital kerajaan 15-20 tahun yang lalu, bilangan jururawat adalah sangat kurang. Saya fikir ketika saya masih houseman 8 tahun lalu, masalah ini masih lagi berlaku. Masalah tersebut bukan sahaja di hospital kerajaan tetapi di hospital swasta juga.

    Pada 2007, KKM berusaha untuk mengurangkan masalah kekurangan jururawat dengan mengimport tenaga luar.

    Kuala Lumpur- Kementerian Kesihatan akan merekrut jururawat dari negara ASEAN dan Komanwel bagi mengatasi masalah kekurangan jururawat di negara ini.

    Menterinya, Datuk Liow, 11 bahagian dikenal pasti mengalami masalah kekurangan jururawat.
    Antaranya Unit Rawatan Rapi, Unit Pediatrik, Unit Kecemasan dan Onkologi. Terbaru Hospital Serdang, Sungai Buloh dan Sg. Petani tidak dapat membuka wad tertentu termasuk ICU akibat faktor sama.

    Sebagai permulaan 27 jururawat dari negeri India akan berkhidmat dengan kementerian Ogos ini.
    Katanya selain faktor kepakaran, pengambilan jururawat dari negara itu dibuat berdasarkan kemampuan mereka untuk berbahasa Inggeris.

    Pada Ogos 2007 kabinet meluluskan cadangan pengambilan jururawat asing dengan aggaran 1,300 jururawat dalam masa tiga tahun.

    Pada tahun 2003, terdapat 28,000 jururawat terlatih yang memenuhi jawatan-jawatan itu di hospital kerajaan. Pada waktu itu hanya terdapat 18 kolej jururawat yang melahirkan jururawat terlatih.

    Kemudian bilangan jururawat telah meningkat kepada 80,000 orang pada bulan Februari 2010. Sehingga kini, 92% daripada kekosongan jawatan jururawat di hospital kerajaan telah dipenuhi.



    Untuk mencapai kepada nisbah jururawat kepada penduduk iaitu 1:200 yang telah ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia berbanding pada kadar 1:329 sekarang, kerajaan melatih sejumlah 8,000 bakal jururawat setiap tahun. Menurut perencanaan, kerajaan mensasarkan sehingga 130,000 orang jururawat perlu dilahirkan menjelang 2020.

    Pada masa yang sama, kerajaan telah meluluskan lesen-lesen di kolej dan universiti swasta untuk melahirkan lebih ramai jururawat terlatih.

    Terdapat 109 kolej dan universiti swasta serta awam yang menawarkan kursus kejururawatan. Ini termasuk 10 institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), 85 kolej serta universiti, satu oleh Kementerian Pertahanan dan 38 di bawah Kementerian Kesihatan. Di antara kolej-kolej swasta yang galak melahirkan jururawat ialah dari Masterskill dan Mahsa kolej.


    Kualiti vs Kuantiti

    Malaysia terkenal dengan jururawat yang bersifat lemah lembut, bersopan santun, berkualiti, rajin, boleh berbahasa inggeris, cemerlang di dalam pengetahuannya dan disiplinnya. Ini menyebabkan jururawat Malaysia yang mempunyai pelbagai nilai tambah, amat disenangi dan digemari oleh negara-negara di pantai timur. Justeru, hampir 1200 jururawat terlatih dari Malaysia sedang mengisi pasaran dunia di luar negara.

    Dengan tertubuhnya perlbagai kolej swasta yang melahirkan lebih ramai jururawat, seseorang pasti tertanya-tanya, bagaimanakah kualiti jururawat yang dihasilkan? Adakah kita sedang membina satu produksi besar-besaran jururawat terlatih pada sijilnya tetapi pada hakikatnya tidak mampu menjalankan tanggungjawab sebagai jururawat yang betul-betul terlatih. Tidakkah ini boleh mencacatkan tanda aras kejururawatan Malaysia sebagai satu standard yang tertinggi.

    Masalah timbul apabila jururawat yang dihasilkan tidak mencapai kemahiran dan pengetahuan yang asas di dlam bidang yang diceburi sehinggakan kualiti perkhidmatan kepada pesakit akan dikompromi. Kebiasaannya, apabila kuantiti dihasilkan dengan membelakangkan kualiti, maka hasilnya adalah caca merba.

    Sebagaimana doktor, Jururawat adalah satu tugas yang memerlukan gabungan teori dan juga praktikal. Sekiranya 8000 jururawat dilahirkan setahun, dimanakah sebenarnya jururawat ini menjalani latihan klinikal? Adakah di hospital kerajaan, di hospital swasta atau di luar negara? Adakah pihak yang bertanggungjawab memantau silibus pembelajaran mereka dari sudut teori dan klinikal.

    Alhamdulilah, mujurlah ada Lembaga Jururarawat Malaysia yang berperanan untuk memastikan jururawat yang dilahirkan telah mengikuti latihan-latihan yang tertentu dan selayaknya diperakui menjadi jururawat terlatih. Mereka adalah tulang belakang kepada penjagaan piawai profession kejururawatan di Malaysia. Diharapkan mereka dapat terus memantau kualiti jururawat yang ada di Malaysia.

    Walaubagaimanapun, sebagaimana Malaysian Medical Council yang memantau doktor-doktor, LJM hanya boleh memastikan bahawa seseorang jururawat itu telah menjalani kursus-kursus yang sepatutnya. Kualiti seseorang jururawat itu masih lagi belum teruji kerana mereka masih belum berada di alam pekerjaan.



    Pasaran Kerja Semasa Di Dalam Bidang Kejururawatan

    Jika dahulu, sekiranya seseorang itu lulus diploma di dalam bidang kejururawatan, maka masa depannya akan terjamin. Kerja bakal menunggu mereka bila-bila masa. Gaji permulaan boleh mencecah RM 2000 ke atas.

    Adakah keadaan itu masih berlaku sekarang?

    Menurut Menteri Kesihatan bilangan pengeluaran jururawat terlatih pada tahun 2009 ialah 8,279 orang, iaitu seramai 2,402 dari kolej kementerian, 528 dari IPTA dan 5,349 dari IPTS.

    Sekiranya kita lihat, pasaran kerja jururawat di hospital kerajaan ialah cuma 8% sahaja kerana 92% jawatan telah diisi, manakala dalam masa yang sama, kerajaan melahirkan 2400 orang jururawat melalui kolej jururawat KKM untuk mengisi jawatan kekosongan tersebut.

    Persoalannya, baki 6000 orang lagi jururawat yang dilahirkan daripada IPTS dan IPTA itu hendak diletakkan di mana?

    Kata Menteri kesihatan, kita melahirkan jururawat ialah untuk mengisi jawatan-jawatan di hospital swasta juga. Pada pandangan saya, tidak ada hospital swasta yang akan mengambil jururawat terlatih yang tidak berpengalaman. Sekurang-kurangnya mereka ingin jururawat yang sudah berpengalaman 2-3 tahun di dalam bidang masing-masing. Jika ada pun terlalu sedikit.

    Oleh itu, ruangan tersebut akan diisi oleh jururawat yang sudah bertugas di hospital-hospital samada di kerajaan ataupun di swasta. Jika di hospital kerajaan, kekosongan akibat migrasi jururarawat akan diisi oleh lulusan kolej jururawat kemeterian juga.

    Saya tidak pasti berapakah jumlah kekosongan jawatan yang wujud di hospital swasta untuk memenuhi kelahiran ramai jururawat ini. Yang pasti ia pasti akan menjadi masalah sekiranya dibiarkan.

    Kebanjiran jururawat yang ada menyebabkan KKM telah mengambil langkah untuk mengekang lebih banyak kolej jururawat dibina.

    KUALA LUMPUR: Berkuatkuasa 1 Julai ini, kerajaan akan menangguhkan kelulusan kursus baru diploma kejururawatan dan penubuhan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang menawarkan program itu.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata langkah itu bagi memastikan institusi sedia ada yang menawarkan program tersebut dapat menaik taraf kualiti kursus dan pencapaian pelajar mereka.

    "Jemaah Menteri baru-baru ini telah berbincang dan bersetuju supaya satu moratorium (penangguhan) diadakan terhadap kelulusan kursus dan penubuhan IPTS yang menawarkan program diploma kejururawatan.

    "Sudah banyak sangat kursus diploma (kejururawatan) yang ada sekarang, kita sekarang nak menggalakkan kursus kejururawatan dalam bidang ijazah pula. Kita juga hendak menggalakkan jururawat sedia ada untuk mendapatkan ijazah pada masa-masa akan datang," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

    Kesukaran Mendapatkan Kerja

    Saya menjadi bingung apabila ramai jururawat lepasan kolej-kolej swasta ini menghubungi saya untuk memohon jawatan sebagai pembantu klinik. Bulan yang lepas sahaja terdapat lebih dari 15 orang menelefon, menghantar sms dan menghantar email untuk mengisi jawatan tersebut.

    Di Hospital, apabila dibuka sahaja tawaran untuk mengisi jawatan pembantu klinik, maka berpusu-pusulah kemasukan permohonan daripada jururawat terlatih ini untuk mengisi kekosongan tersebut. Bukan kekosongan untuk jururawat terlatih tetapi cuma pembantu klinik sahaja.

    Seorang anak saudara kepada kenalan saya yang lulus di dalam diploma jururawat sebuah kolej swasta terpaksa berhempas pulas bekerja sebagai pembantu klinik dengan gaji bersih RM 650 sebulan. Itu pun setelah beberapa kali memohon kerja di tempat lain. Ibu dan ayahnya seorang penoreh getah.

    Dengan gaji RM 650 sebulan untuk hidup di bandar, dibebani hutang PTPTN, maka mahu tidak mahu, dia terpaksa bersyukur dengan kerja yang ada. Lebih baik daripada duduk di kampung menyusahkan emak dan ayah. Saya yakin bukan dia sahaja yang mengalami masalah untuk mencari kerja. Ramai lagi rakan seangkatan yang menerima nasib yang serupa.

    Apa yang berlaku ialah, golongan jururawat terlatih ini akhirnya akan putus asa dan akan bekerja tanpa mengira bidang. Sudah ada idea-idea daripada pihak hospital swasta yang membuka tawaran jawatan kerani kepada mereka yang berlulusan jururawat! Itu sahaja jalan yang boleh membantu mereka sementara ada kekosongan untuk jawatan tersebut di wad-wad.


    Kesimpulan

    Pihak KKM perlu terus memantau keadaan ini dari masa ke semasa. Masalah ini akan terus berlarutan sekiranya bilangan yang mengikuti kursus jururawat sentiasa meningkat sedangkan tenaga kerja yang memerlukan khidmat mereka tidak mencukupi.

    Mereka adalah peminjam-peminjam PTPTN yang terpaksa membayar pinjaman di kolej tempat mereka menuntut ilmu. Bagaimana mereka hendak membayarnya sekiranya mereka tidak mendapat tempat untuk bekerja.

    Saya terfikir samada terdapat unsur-unsur politik dengan terbinanya banyak pusat-pusat pengajian swasta yang melahirkan ramai jururawat ini. Saya ada terdengar tentang seorang bekas menteri (dulu menteri) yang mempunyai saham di dalam sebuah kolej jururawat yang terbesar.

    Dan yang paling kasihan ialah jururawat terlatih ini akhirnya terpaksa mencari tugas di luar bidang mereka seperti kerani dan lain lain. Dan tidak hairan, sekiranya tidak ada peluang yang lebih baik mereka akan akhirnya berniaga di pasar malam dan di kaki lima.

    Wallahu Alam...

    Oleh Dr Azwan untuk www.drazwan.blogspot.com
    Related Posts with Thumbnails