Dipetik dari Harian Metro..
JIKA anda menghadapi masalah berat badan berlebihan, kurang bersenam, mempunyai ibu bapa berpenyakit kencing manis, kerap membuang air dan sentiasa letih, anda sepatutnya melakukan sesuatu atau berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan.
 Ini kerana semua yang disebutkan di atas adalah petanda awal anda bakal menghidap penyakit kencing manis.
 Menurut Pakar Perubatan dan Perunding Endokrin, Fakulti Perubatan  Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Dr Nor Azmi  Kamaruddin, penyakit diabetes tidak boleh dipandang ringan kerana kajian  yang dijalankan Kementerian Kesihatan pada 1996 menunjukkan pesakit  diabetes berumur 18 tahun ke atas meningkat daripada 8.3 peratus kepada  11.5 peratus pada 2006.
Satu daripada tujuh orang dewasa berumur 30 tahun ke atas pula  penghidap diabetes malah lebih memeranjatkan apabila kanak-kanak berusia  enam tahun adalah pesakit diabetes termuda di Malaysia. 
"Daripada statistik ini sepatutnya seluruh rakyat Malaysia  mempunyai tahap kesedaran tinggi mengenai bahaya penyakit ini dan mula  mendapatkan rawatan apabila mempunyai tanda seperti kerap buang air,  mudah letih serta demam," katanya. 
Menurut Dr Nor Azmi, diabetes berlaku apabila badan mengeluarkan  terlalu sedikit insulin atau insulin yang dikeluarkan tidak berkesan.  Ini akan mengakibatkan paras gula dalam darah tidak normal dan jika  dibiarkan  menyebabkan komplikasi yang serius.
"Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan dalam  pankreas. Ia  berfungsi mengekalkan gula dalam darah pada paras normal dan membantu  mengeluarkan glukosa memasuki sel badan. Akibat kandungan insulin yang  tidak mencukupi atau tidak berkesan dalam kalangan pesakit diabetes,  gula tidak dapat memasuki sel badan dan ia kekal dalam darah menyebabkan  paras gula dalam darah meningkat.
"Sebab itu penghidap penyakit kerap kencing dan mengalami rasa  letih serta mudah mendapat jangkitan kuman pada buah pinggang, kulit  serta paru-paru," katanya.
Terdapat dua jenis diabetes iaitu bergantung pada insulin dan tidak  bergantung pada insulin. Diabetes yang bergantung pada insulin sering  berlaku kepada kanak-kanak atau remaja.
Rawatan hanya boleh dikawal menerusi suntikan insulin, kawalan  pemakanan dan senaman. Biasanya pesakit mempunyai ahli keluarga  penghidap diabetes.
Jenis kedua atau tidak bergantung pada insulin selalunya berlaku  dalam kalangan orang dewasa berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai berat  badan berlebihan. Rawatan dilakukan menerusi kawalan makanan, senaman  atau gabungan pemakanan, senaman dan ubat. Biasanya berlaku kepada  individu yang mempunyai ahli keluarga menghidap diabetes.
Sama ada pesakit menghidap diabetes atau sebaliknya, menurut Dr Nor  Azmi, setiap individu perlu membuat pemeriksaan awal ini kerana  menerusi ubat-ubatan, diabetes boleh dikawal. Ramai tidak tahu diabetes  boleh membawa kepada penyakit jantung yang menyebabkan kematian awal  malah kebanyakan penghidap sakit jantung yang meninggal pada usia muda  selalunya mempunyai diabetes.
"Hampir 70 peratus kematian disebabkan sakit jantung dan berpunca  daripada diabetes. Ini kerana penyakit jantung hanya berlaku apabila  usia meningkat 50 tahun ke atas.
"Namun, jika seseorang itu mempunyai diabetes dan sakit jantung dia  mempunyai peratusan yang lebih tinggi untuk meninggal dunia pada usia  muda. Begitu juga dengan kematian disebabkan penyakit buah pinggang  semakin meningkat disebabkan diabetes," katanya.
Katanya, kajian yang dijalankan pada 2008 oleh lima universiti di  Malaysia mengenai Sindrom Metabolik di Malaysia dalam kalangan  masyarakat Melayu menunjukkan 50 peratus pesakit diabetes berpendapatan  bulanan RM500 saja.
"Bayangkan bagaimana pesakit diabetes yang berpendapatan rendah ini  menjalani rawatan sedangkan kos untuk rawatan bernilai ribuan ringgit.  Ini juga memberi implikasi kepada ekonomi negara kerana rawatan  membabitkan penyakit jantung, buah pinggang dan kencing manis memerlukan  kos yang besar. Justeru secara tidak langsung, ia akan memberi bebanan  kepada ekonomi negara," katanya.
Menurut Dr Nor Azmi, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah  menukar minda serta persepsi masyarakat supaya penghidap penyakit ini  mendapatkan rawatan awal. Jangan tunggu sehingga sudah sampai ke  peringkat serius atau apabila kaki sudah perlu dipotong baru berjumpa  doktor. 
Apabila berada pada tahap ini sukar untuk pakar perubatan merawat atau mengurangkan masalah yang berlaku.
Katanya, berbanding lelaki yang kuat ketahanan badan, wanita lebih  mudah mendapat jangkitan penyakit apabila menghidap diabetes. Justeru  kebanyakan wanita mudah diserang sakit buah pinggang, jantung dan  masalah lain apabila menghidap diabetes.
Bagi wanita yang mendapat diabetes ketika mengandung, menurut Dr  Nor Azmi, ini berlaku disebabkan perubahan hormon dan faktor pemakanan.  Bagaimanapun, wanita mengandung tidak boleh mengambil mudah perkara ini  kerana ia petanda awal kemunculan diabetes apabila mereka berusia 40-an.
"Wanita mengandung yang menghidap diabetes apabila tidak dikawal  akan menyebabkan keguguran, terencat pembesaran dan berkemungkinan  mengalami masalah jantung berlubang. Malah bayi akan membesar secara  tidak normal di dalam kandungan yang akan menyebabkan kesukaran ibu  melahirkan anak secara normal," katanya.
Menurut kajian, satu daripada tiga bayi akan mendapat diabetes  sekiranya mempunyai ibu penghidap penyakit itu, satu daripada empat bayi  akan mendapat kencing manis jika bapanya mempunyai penyakit itu dan  sekiranya kedua-duanya mempunyai penyakit berkenaan enam daripada tujuh  bayi berkemungkinan mendapatnya.
Cara mencegah dan mengawal diabetes adalah dengan mengawal  pemakanan kepada makanan sihat dan berkhasiat. Ambil makanan seimbang  mengikut piramid makanan yang disyorkan Kementerian Kesihatan.
"Pada masa sekarang rakyat Malaysia lebih memberi penekanan kepada  makan malam dengan mengabaikan sarapan dan mengurangkan makan tengah  hari. Corak pemakanan ini salah, sepatutnya individu melebihkan sarapan,  mengambil makan tengah hari serta mengurangkan makan malam. Ini kerana  makanan yang dimakan pada waktu malam akan bertukar menjadi lemak  disebabkan tiada aktiviti fizikal dilakukan. Kebanyakan mereka akan  tidur dan menonton televisyen selepas makan malam," katanya.
Diabetes boleh dikawal jika individu mengamalkan cara hidup sihat  dengan bersenam setiap hari. Namun, sering kali alasan tidak sempat,  banyak kerja atau tiada masa diberikan kebanyakan warga kota. Sekiranya  terikat dengan tugasan pejabat sehingga tiada dapat bersenam, sepatutnya  individu mengambil peluang membuat pergerakan fizikal dalam tugasan  harian. Misalnya menukar amalan dengan menaiki tangga setiap hari,   banyak berjalan atau bagi wanita lakukan kerja rumah yang boleh  mengeluarkan peluh walaupun kerja itu boleh dilakukan pembantu rumah.
Penjagaan kesihatan awal kepada kanak-kanak sangat membantu  mengurangkan obesiti yang menjadi punca kepada masalah ini. Ibu bapa  perlu membuang tanggapan anak terlalu kurus tidak cantik dan comel  justeru ibu bapa memberi makan secara berlebihan sehingga mengalami  masalah berat badan.
"Apa yang penting ibu bapa perlu mengawal pemakanan anak-anak.  Biarlah anak itu kurus asalkan dia sihat dan aktif. Jangan kerana  mahukan anak yang comel dan besar sehingga  membiarkan anak makan apa  saja. Pemakanan yang sihat bermula dari rumah. Oleh itu ibu bapa perlu  menetapkan apa yang perlu dimakan anak.
"Misalnya menyediakan makanan berkhasiat dengan melebihkan makanan  bervitamin dan berprotein seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Memberi  air kosong dan mengurangkan air bergula dan berkarbonat. Memberi  makanan yang dimasak sendiri untuk mengelak makanan segera, bercoklat,  berlemak dan bergula secara berlebihan.
"Sekiranya ibu bapa tidak menjaga pemakanan anak sejak kecil,  berkemungkinan mereka akan mendapat obesiti apabila dewasa," katanya.
>Fakta angka
 
 
 
1 comment:
mmg kne berjaga2,pyakit ni dtg tk knl usia,tk knl kaya miskin...org kata datangnya mcm ribut tapi peginya mcm semut....lmbt nk smbuh atau kdg2 trus tk sembuh2.
Post a Comment